Category: Kemalangan / Bencana

  • Sukar percaya hampir 100 mangsa terlibat, anggota APM kongsi kisah sedih operasi SAR

    Sukar percaya hampir 100 mangsa terlibat, anggota APM kongsi kisah sedih operasi SAR

    PADA mulanya, sukar untuk Mohd Firdaus Abd Samad mempercayai laporan awal yang diterimanya mengatakan hampir 100 mangsa terlibat dalam insiden tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm,  Gohtong Jaya, di Hulu Selangor kerana jumlahnya terlalu besar.

    Itulah reaksi awal Pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Hulu Selangor itu ketika ditanya pengalamannya sebagai seorang daripada anggota operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa insiden malang berkenaan.

    “Semasa bertugas di Pusat Kawalan Operasi Daerah Hulu Selangor Jumaat lepas, kami terima panggilan dari MERS 999 mengenai insiden itu kira-kira pukul 2.30 pagi. Saya terus menghubungi balai bomba untuk buat pengesahan kerana tidak percaya mangsa yang terlibat mencecah 100 orang.

    “Setelah terima pengesahan dari pihak berkuasa termasuk polis, saya bersama Pegawai APM Hilmi Husman dan lima anggota yang lain bergegas ke tempat kejadian,” katanya kepada Bernama tengah malam tadi.

    Mohd Firdaus berkata setibanya di lokasi, selain kelibat pasukan-pasukan keselamatan yang lain, situasi di lokasi kejadian sangat hiruk-pikuk dan menyedihkan dengan suara jeritan meminta bantuan daripada mangsa kedengaran hampir dari segenap arah.

    “Ketika pasukan penyelamat memulakan misi SAR, saya lihat beberapa orang mangsa bergerak keluar sendiri dari lokasi runtuhan ke arah yang lebih selamat. Ada di antara mereka menyalakan lampu suluh sebagai isyarat meminta bantuan,” katanya.

    Menurutnya, keadaan yang berselut mencecah paras lutut dan tanah yang licin menyukarkan pergerakan mereka memberi bantuan kepada mangsa, selain bimbang mungkin berlaku siri runtuhan yang lain.

    “Ada satu kejadian yang menyedihkan buat saya, seorang mangsa lelaki memberitahu kami isteri dan anaknya ada di dalam kereta mereka yang turut terkesan dengan runtuhan itu. Dia menjerit memberitahu supaya pasangannya terus menekan hon supaya mudah untuk kami mengesan kedudukannya.

    “Dalam timbunan tanah dan kereta yang berselerakan, kami terus mencari arah hon kereta mangsa. Tidak lama selepas itu kami menemui kereta yang dimaksudkan lelaki berkenaan, dengan di dalamnya memang ada isteri dan anaknya.

    “Dalam keadaan lemah, wanita itu meminta kami menyelamatkan anaknya terlebih dahulu. Ketika sudah berjaya mencapai si anak, saya segera memeluknya. Bagaimanapun, ketika itu, terdetik dalam fikiran saya bahawa kanak-kanak malang itu sebenarnya sudah meninggal dunia. Jelas dia pucat, sejuk dan tidak lagi bernadi,” katanya.

    Firdaus berkata dengan pengalaman selama 17 tahun di dalam APM yang mengajarnya menjadi profesional, beliau dan pasukannya kekal tenang mengeluarkan si anak diikuti isteri mangsa selepas itu.

    APM adalah antara lima agensi utama terlibat dalam misi SAR mangsa insiden tanah runtuh Batang Kali yang diketuai Jabatan Bomba dan Penyelamat, yang kini memasuki hari ketiga.

    Setakat petang semalam, 24 mangsa telah disahkan terkorban dengan sembilan lagi masih hilang daripada keseluruhan 94 mangsa terlibat berdasarkan maklumat rasmi Polis Diraja Malaysia.

    Tinjauan Bernama setakat 2 pagi ini, keadaan lengang dengan hanya pergerakan keluar masuk kenderaan agensi penyelamat di Pos Kawasan Pusat Kejadian (PKTK).

    Operasi SAR ditamatkan pada pukul 4 pagi dan disambung semula 9 pagi nanti.

  • Jenazah mangsa pertama tanah runtuh, Nurul Azwani selamat dikebumi

    Jenazah mangsa pertama tanah runtuh, Nurul Azwani selamat dikebumi

    JENAZAH seorang daripada mangsa tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Fathers’ Organic Farm, Gohtong Jaya, Batang Kali, Selangor selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah (KL-Karak), Taman Selasih, di Kuala Lumpur, pukul 10 malam tadi.

    Ibu Allahyarham, Siti Esah Hassan, 53, berkata jenazah Nurul Azwani Kamarulzaman, 31, dibawa ke tanah perkuburan selepas selesai solat jenazah di Masjid Abu Hurairah Kampung Batu 5, Jalan Ipoh di Kuala Lumpur.

    Siti Esah berkata Allahyarham merupakan anak sulung daripada tiga beradik yang bekerja sebagai penolong kantin di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Mun Choong.

    “Allahyarham menyertai perkhemahan itu kerana mengikut majikannya yang juga guru di sekolah tersebut dan dia sudah berjanji untuk pulang ke kampung selepas habis aktiviti perkhemahan itu.

    “Rabu lepas, Allahyarham ada menghubungi saya pada malam sebelum hari kejadian untuk memberitahu dia sudah membeli tiket untuk pulang ke kampung di Kelantan yang sepatutnya semalam,” katanya kepada pemberita di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah.

    Allahyarham merupakan antara 24 mangsa yang terkorban dalam tragedi tanah runtuh yang berlaku pada 2.42 pagi Jumaat.

    Setakat 9 malam tadi, seramai sembilan mangsa masih hilang manakala 61 lagi berjaya diselamatkan.

  • Tumpu usaha SAR dulu, selepas itu siasatan – KPN

    Tumpu usaha SAR dulu, selepas itu siasatan – KPN

    SIASATAN terhadap pengurus yang mengendalikan tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, Gohtong Jaya, Batang Kali, Hulu Selangor akan dilakukan selepas operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa tragedi tanah runtuh di lokasi itu selesai.

    Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani, berkata tumpuan utama Polis Diraja Malaysia (PDRM) ketika ini ialah usaha mencari dan menyelamat (SAR) baki sembilan mangsa yang masih hilang dalam insiden berkenaan.

    “Bagi peringkat awal, pihak polis akan mengambil keterangan daripada pengurus terbabit.

    “Sepatutnya, dia tampil memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Selangor, hari ini. Namun, dia memohon maaf kerana belum hadir disebabkan IPD terletak jauh dari lokasi dia berada, dan akan tiba dalam masa terdekat.

    “Siasatan kes ini juga akan dilaksanakan selepas segala maklumat diperoleh,” katanya yang melawat lokasi kejadian hari ini, lapor Berita Harian.

    Acryl Sani sudah mengarahkan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (KJSJ) Selangor, Senior Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib, untuk mengetuai siasatan berkaitan kejadian itu.

    Katnaya, siasatan akan dipantau oleh KJSJ Selangor dengan mengikut segala peruntukan undang-undang yang bersesuaian.

    Beliau turut mengarahkan pihak polis terutama Ketua Polis Daerah Hulu Selangor selaku Komander Operasi SAR itu supaya sentiasa mengemas kini setiap perkembangan di lokasi kejadian kepada pihak media.

  • Tanah runtuh Batang Kali: Pengurus tapak perkhemahan akan dipanggil – Polis

    Tanah runtuh Batang Kali: Pengurus tapak perkhemahan akan dipanggil – Polis

    POLIS akan memanggil pengurus tapak perkhemahan Fathers’ Organic Farm, Batang Kali di Hulu Selangori susulan kejadian tanah runtuh yang mengorbankan 23 mangsa setakat ini.

    Perkara itu disahkan oleh Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintenden Suffian Abdullah dalam sidang media di lokasi insiden, hari ini.

    “Setakat ini, kita akan panggil pengurus tapak perkhemahan dan kita akan mengambil tindakan,” katanya memetik laporan Astro Awani.

    Semalam, tiga tapak perkhemahan Fathers’ Organic Farm dikenal pasti beroperasi tanpa lesen sejak 2020.

    Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, semakan mendapati syarikat itu hanya memohon lesen bagi membangunkan ladang organik di kawasan berkenaan.

    Katanya, itu merupakan satu kesalahan di bawah Akta 133 iaitu Akta Parit dan Bangunan.

    Jika disabit kesalahan, individu berkenaan boleh dikenakan hukuman penjara tiga tahun atau denda tidak lebih RM50,000.

    Dalam kejadian pada awal pagi semalam, runtuhan tanah dianggarkan membabitkan sebanyak 450,000 meter padu (m³) tanah.

    Selain itu, ia turut membabitkan keluasan keseluruhan 225,000 meter padu dengan dimensi tanah runtuh di kawasan berkenaan membabitkan kawasan sepanjang 500 meter, 200 meter lebar dan sedalam lapan meter.

    Setakat pukul 1 tengah hari tadi, seramai 23 mangsa terkorban dalam kejadian tanah runtuh berkenaan, sementara 10 lagi masih hilang.

    Operasi mencari dan menyelamat (SAR) melibatkan seramai 135 petugas yang terdiri dari pakar kejadian tanah runtuh dikerah ke lokasi runtuhan bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku, selain memastikan keselamatan pasukan bertugas.

  • Tragedi tanah runtuh: Mayat mangsa ke-24 ditemui

    Tragedi tanah runtuh: Mayat mangsa ke-24 ditemui

    MAYAT mangsa ke-24 dalam tragedi runtuhan tanah di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm di Jalan Batang Kali – Gohtong Jaya, ditemui petang tadi.

    Mangsa berkenaan merupakan kanak-kanak perempuan dan mayat ditemui pasukan mencari dan menyelamat pukul 4.35 petang, lapor Harian Metro.

    Penemuan itu sekali gus menjadikan jumlah mangsa korban tragedi itu seramai 24 orang dengan baki sembilan mangsa masih dikesan.

    Pada pukul 1.05 tengah hari tadi, pasukan mencari dan menyelamat menemui mayat dua beranak yang juga mangsa ke-22 dan ke-23 tertimbus kira-kira satu meter di kawasan Hillview.

    Ketua Polis Hulu Selangor, Superintendan Suffian Abdullah dilaporkan berkata, mayat wanita berusia anggaran 30-an dan kanak-kanak lelaki berusia antara 7 hingga 10 tahun itu ditemukan anggota penyelamat yang melakukan pengorekan tanah di kawasan terbabit.

    Semalam, media melaporkan seramai 94 mangsa terbabit dalam kejadian tanah runtuh pada pukul 2.24 pagi.

  • Lokasi tragedi Batang Kali adalah kawasan sensitif kerana pembangunan tanah

    Lokasi tragedi Batang Kali adalah kawasan sensitif kerana pembangunan tanah

    KAWASAN tragedi runtuhan cerun yang meranapkan tiga tapak perkhemahan milik Father’s Organic Farm di Hulu Selangor awal pagi semalam, disifatkan sebagai kawasan yang sensitif kepada pembangunan tanah.

    Persatuan Aktivis Sahabat Alam (KUASA) dalam kenyataannya menjelaskan, ciri fizikal kawasan itu adalah bukit batu granit yang dikelilingi Hutan Simpan Batang Kali iaitu hutan perlindungan tanah dan hutan taman negeri yang mempunyai dengan kecerunan sekitar 30 hingga 45 darjah.

    “Ketinggiannya yang mencapai 600 meter daripada aras laut, membuatkan ia terletak dalam Kawasan Sensitif Alam Sekitar (KSAS) Tahap 2 di bawah Rancangan Fizikal Negara (RFN).

    “RFN memperuntukkan, tiada sebarang pembangunan boleh dijalankan dalam kawasan KSAS Tahap 2, melainkan aktiviti seperti penyelidikan, pelancongan terkawal dan penebangan hutan secara terpilih.

    “Namun, dalam kes ini, liputan hutan di lokasi sudah dibersihkan untuk projek pertanian organik dan ditambah kawasan perkhemahan. Masa sama, kontraktor tidak membuat penanaman semula di cerun terbuka dengan pokok-pokok asal bagi mengawal runtuhan,” katanya menerusi kenyataan yang dikongsi dalam Twitter, lapor BH Online.

    KUASA menegaskan, aktiviti penebangan hutan secara habis untuk pembukaan ladang organik dan perkhemahan itu sudah tentu melanggar syarat pembangunan yang ditetapkan mengikut status KSAS Tahap 2.

    Katanya, zon guna tanah semasa berdasarkan maklumat daripada Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia) adalah zon komersial, walaupun sebelum ini, kawasan terbabit dikenali sebagai zon berhutan.

    “Yang menimbulkan persoalan adalah mengenai kelulusan pembangunan ladang pertanian organik, sedangkan ladang pertanian seharusnya di bawah zon pertanian. Bagaimana zon komersial ini boleh bertindih di bawah KSAS Tahap 2?.

    “Difahamkan, pemilik tanah melanggar syarat-syarat kelulusan dengan memberi izin kepada pembukaan kawasan agro-pelancongan atau perkhemahan dalam ladang. Ia adalah projek haram, tidak ada permit.

    “Tambahan, pembangunan sebelum ini seperti pembinaan jalan raya dan pembalakan sudah melemahkan struktur cerun. Untuk bina jalan, kawasan hutan perlu ditolak, sisa tanah ditolak tadi ditimbun atau ditambak di tebing bukit dan menjadi cerun baru buatan manusia.

    “Semasa musim hujan, limpahan hujan yang banyak akan mengalir di permukaan dan meresap ke dalam permukaan tanah cerun dan menyebabkan kegagalannya disebabkan tanah itu berat, ‘tepu air’ dan menyebabkan kestabilan menurun,” katanya.

    Persatuan itu mendakwa, situasi terbabit akan mendorong kepada berlakunya runtuhan tanah secara besar-besaran.

    Mereka menyifatkan, bencana kali ini amat malang kerana ‘kebetulan’ ada kawasan perkhemahan sekitar 100 meter di bawah tanah runtuh (30 meter di bawah paras jalan), membuatkan pengunjung yang sedang tidur dalam khemah tertimbus dengan runtuhan tanah berat.

    Katanya, bencana ini berlaku pada cerun buatan (cerun tambakan, dan pembersihan ladang), dan bukannya pada cerun semula jadi, yang menyaksikan gabungan pembinaan jalan raya dan pembukaan tanah pertanian hingga menyebabkan berlakunya runtuhan tanah yang dahsyat.

    “Justeru itu, KUASA menasihatkan agar kerajaan dan rakyat, wajib mengambil iktibar daripada kejadian ini bagi mengelakkan tragedi ini berulang dengan beberapa langkah. Kawasan sensitif perlu dizonkan semula sebagai kawasan perlindungan kerana kini ada banyak kawasan sensitif dizonkan dalam zon pembangunan.

    “Pewartaan kawasan sensitif ini sebagai kawasan terlindung adalah penting bagi menghalangnya daripada diceroboh, mahupun dibangunkan secara tidak mampan pada masa depan.

    “Kita kena kenal pasti banyak lagi kawasan sensitif yang baru di masa depan. Tindakan meluluskan projek pembangunan yang tidak sesuai di kawasan sensitif harus dihentikan menerusi komitmen kerajaan negeri.

    “Banyak senario di mana kerajaan negeri gagal mematuhi dasar Persekutuan, dengan meluluskan banyak projek tidak mampan di kawasan sensitif alam sekitar Tahap Satu, Dua dan CFS,” katanya.

    KUASA menyifatkan, pihak berkuasa negeri yang meluluskan projek seumpama itu masih jahil mengenai alam sekitar, pembangunan dan undang-undang yang berkaitan.

    Justeru itu katanya, kerajaan Persekutuan harus memantau serta mengawal kerajaan negeri bagi kelulusan ini supaya ia menepati dengan dasar perancangan fizikal dan alam sekitar negara

    “Kelemahan pemantauan dan penguatkuasaan boleh diatasi sekiranya orang awam dilatih, khususnya penduduk tempatan mengenai ilmu serta kemahiran memahami SOP pembangunan supaya mereka boleh melaporkan sebarang kejadian pencerobohan dan perlanggaran syarat oleh kontraktor

  • Tanah Runtuh Batang Kali: TUDM sedia bantu operasi SAR

    Tanah Runtuh Batang Kali: TUDM sedia bantu operasi SAR

    TENTERA Udara Diraja Malaysia (TUDM) bersedia menyertai operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa insiden tanah runtuh di tapak perkhemahan di Batang Kali, Selangor, sekiranya diperlukan.

    Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan, berkata walaupun operasi SAR dikendalikan pelbagai jabatan yang berkaitan, anggota TUDM sentiasa bersiap sedia membantu dan menyokong keperluan operasi itu.

    “Pihak TUDM sentiasa bersedia sekiranya diperlukan, misalnya bantuan dari segi aset jika ada keperluan untuk mengeluarkan mangsa yang menghadapi kesukaran, kita sudah bersedia.

    “Kami ada aset atau peralatan yang boleh digunakan untuk membantu, begitu juga dari segi anggota,” katanya ketika mengulas kesediaan TUDM membantu operasi SAR tragedi tanah runtuh itu yang kini dilaporkan telah meragut 21 nyawa, manakala 12 mangsa lagi dikhuatiri masih hilang.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perbarisan Penyampaian Sayap Penerbangan Kursus Asas Penerbangan Siri 83/21 dan Kursus Penerbangan Helikopter 63/21 di Kolej Tentera Udara, hari ini.

    Pada majlis itu seramai 30 pelatih menerima sayap penerbangan masing-masing termasuk lima daripada mereka dianugerahkan sebagai Pelatih Terbaik bagi Piala Panglima Tentera Udara.

    Mengulas mengenai kesiapsiagaan TUDM menghadapi bencana banjir, Mohd Asghar Khan, berkata aset pasukan keselamatan itu telah diletakkan di lokasi tertentu dan bersedia untuk digerakkan sekiranya diperlukan.

    “Secara keseluruhan untuk operasi banjir ini kita namakan Operasi Murni, yang diterajui Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan TUDM akan memberi bantuan atau sokongan berdasarkan keperluan.

    “Jadi di setiap kawasan di bawah Briged Tentera Darat ini kita sudah ada komander yang ditugaskan bersama agensi bencana negeri. Apabila berlaku apa-apa malapetaka kita akan beri bantuan kerana kita sudah bersedia,” katanya.

  • Tanah runtuh Batang Kali: 6 daripada 21 mangsa meninggal dunia dikenal pasti – NADMA

    Tanah runtuh Batang Kali: 6 daripada 21 mangsa meninggal dunia dikenal pasti – NADMA

    ENAM daripada 23 mangsa yang meninggal dunia dalam insiden tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, Batang Kali di Hulu Selangor telah dikenal pasti melalui proses pengecaman oleh waris atau melalui ujian cap jari.

    Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dalam satu kenyataan memaklumkan, proses bedah siasat dan pengecaman mayat yang lain masih dijalankan.

    “Lima dari enam mangsa yang meninggal dunia adalah wanita, manakala seorang lagi merupakan kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun.

    “Daripada lapan mangsa yang menerima rawatan di hospital, tiga telah dibenarkan pulang manakala lima lagi sedang menerima rawatan di hospital,” menurut kenyataan tersebut, lapor Astro Awani.

    Jelas kenyataan itu, tiga mangsa yang dibenarkan pulang itu menerima rawatan di Hospital Kual Kubu Bharu, Selangor, manakala empat mangsa masih dirawat di Hospital Selayang dan seorang lagi di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

    Sehingga kini, operasi mencari dan menyelamat (SAR) insiden tanah runtuh di Batang Kali masih diteruskan biarpun cuaca kurang baik.

    Setakat ini, angka korban telah meningkat ke 23 orang.

  • MPHS arah tapak perkhemahan rekreasi dikosong serta merta

    MPHS arah tapak perkhemahan rekreasi dikosong serta merta

    MAJLIS Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) mengeluarkan 25 notis pengosongan tapak perkhemahan dan rekreasi di seluruh kawasan seliaannya berkuat kuasa serta-merta.

    Arahan tersebut dikeluarkan khusus buat tapak kawasan berdekatan cerun dan berisiko tinggi berlakunya kejadian yang sama seperti di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm di Jalan Batang Kali-Genting Highland, di Hulu Selangor.

    Yang Dipertua MPHS, Mohd. Hasry Nor Mohd. berkata, tindakan itu selaras dengan arahan yang dikeluarkan Menteri Pembangunan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, semalam.

    “Kira telah mengeluarkan 25 notis kepada pengusaha tapak perkhemahan yang berisiko dan bercerun di sekitar Hulu Selangor.

    “Terdapat tapak yang tidak berlesen namun dalam proses pemutihan, kita dalam proses memutihkan kesemua ini mengikut SOP perlesenan,” katanya ketika ditemui pemberita memetik laporan SatuBerita.

    Semalam, Kor Ming  mengeluarkan arahan kepada 155 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk mengosongkan tapak perkemahan berisiko tinggi selama tujuh hari, berkuat kuasa pagi semalam.

    Arahan tersebut merupakan langkah bagi mengelakkan kejadian tanah runtuh di tiga tapak perkemahan di Jalan Batang Kali-Genting Highland dekat Hulu Selangor berulang.

  • Tanah runtuh: Dua lagi mayat ditemui

    Tanah runtuh: Dua lagi mayat ditemui

    OPERASI mencari dan menyelamat (SAR) mangsa tanah runtuh di Father’s Organic Farm, Jalan Genting di Hulu Selangor hari ini menemukan dua lagi mayat.

    Mayat itu dipercayai seorang wanita dan seorang kanak-kanak lelaki yang berjaya ditemui oleh pasukan penyelamat di lokasi tanah runtuh.

    Menurut Sinar Harian, maklumat awal diterima kedua-dua mayat berkenaan ditemui pada pukul 1.40 petang.

    Pihak polis dijangka mengadakan sidang akhbar mengenai penemuan mangsa terbaharu tersebut dalam masa terdekat.