Category: Kemalangan / Bencana

  • Lelaki kurang siuman tersangkut atas pokok diselamatkan bomba

    Lelaki kurang siuman tersangkut atas pokok diselamatkan bomba

    BANTUAN anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) terpaksa dipanggil bagi menyelamatkan seorang lelaki dipercayai kurang siuman tersangkut pada dahan sebatang pokok yang tinggi dalam kejadian di Seberang Jaya, Pulau Pinang semalam.

    Jurucakap JBPM Pulau Pinang berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian seorang lelaki tanpa berpakaian yang gagal turun dari sebatang pokok kira-kira pukul 8.08 pagi.

    Jelasnya, bomba dengan kekuatan enam anggota bersama sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Perai dengan dibantu oleh BBP Perai kemudian bergegas ke lokasi kejadian.

    Seorang lelaki dipercayai kurang siuman tersangkut pada dahan sebatang pokok yang tinggi dalam kejadian di Seberang Jaya, Pulau Pinang semalam

    “Sebaik sahaja tiba di lokasi, terdapat seorang lelaki berada di atas pokok pada ketinggian kira-kira 20 meter.

    “Kerja-kerja menurunkan mangsa kemudian dilakukan dengan menggunakan tangga milik jentera bomba,” katanya kepada pemberita hari ini.

    Video kejadian itu yang memaparkan sekumpulan anggota bomba yang menyelamatkan lelaki berkenaan turut tular di laman sosial media hari ini.

    Tambah jurucakap itu, mangsa kemudian berjaya diturunkan dalam keadaan yang baik sebelum diserahkan kepada polis dan pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk tindakan lanjut.

  • 3 maut di RnR:Tidur dengan penghawa dingin terbuka punca kematian

    3 maut di RnR:Tidur dengan penghawa dingin terbuka punca kematian

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    POLIS memaklumkan punca kematian dua lelaki dan seorang wanita warga Myanmar di Kawasan Rawat dan Rehat (RnR) Yong Peng, dekat Batu Pahat malam tadi adalah kerana tidur terlalu lama dengan penghawa dingin kereta dibuka.

    Pemangku Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Superintenden Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, siasatan awal mendapati ketiga-tiga mangsa berusia 23 hingga 27 dalam perjalanan dari Genting Highlands ke Taman Air Biru, Pasir Gudang.

    “Kereta Perodua Alza yang digunakan dipinjam dari seorang rakan di Johor Bahru dan dipercayai telah berhenti rehat seterusnya tidur dalam kereta di tempat kejadian.

    “Hasil temubual beberapa saksi, kereta mangsa didapati telah diletakkan dalam tempoh masa agak lama di RnR berkenaan.

    “Mangsa didapati tidak bergerak namun enjin kereta dihidupkan manakala tingkap tertutup rapat serta pintu dalam keadaan berkunci,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Katanya, apabila semua mangsa tidak memberikan sebarang tindak balas selepas orang awam mengetuk cermin tingkap dan memanggil dari luar, mereka kemudiannya terpaksa memecahkan cermin tingkap di bahagian pemandu untuk membuka pintu kereta dan memberi bantuan.

    “Selepas pintu berjaya dibuka didapati kesemua mangsa dalam keadaan tidak sedarkan diri dan tidak memberikan sebarang tindak balas.

    Menurutnya, selepas pemeriksaan daripada pasukan perubatan mendapati ketiga-tiga mangsa kemudiannya telah disahkan meninggal dunia dilokasi kejadian.

    Mayat mangsa kemudiannya dirujuk ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) Batu Pahat untuk proses bedah siasat dan kes disiasat mengikut Siasatan Mati Mengejut (SDR), katanya.

  • Tiga ditemui mati dalam kereta di RnR Yong Peng

    Tiga ditemui mati dalam kereta di RnR Yong Peng

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    TIGA individu ditemui sudah meninggal dunia dalam kereta Perodua Alza di Kawasan Rehat dan Rawat (RnR) Yong Peng, arah selatan dekat Batu Pahat malam tadi.

    Mereka merupakan dua mangsa terdiri daripada lelaki berusia 23 dan 25 tahun serta seorang wanita berusia 27 tahun.

    Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pagoh, Penguasa Bomba Kanan II Suhairulair Sarip berkata, identiti mangsa masih belum dikenal pasti dan mereka ditemukan terperangkap dalam kereta tersebut sebelum orang awam bertindak memecahkan cermin kenderaan itu untuk mengeluarkan mereka.

    “Sebelum itu pihak bomba menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian ini pada pukul 8.59 malam tadi sebelum enam anggota dan satu jentera Fire Rescue Tender (FRT) dikejarkan ke tempat kejadian.

    “Setibanya di tempat kejadian pihak bomba dapati mangsa sudah dikeluarkan oleh orang awam. Ketiga-tiga mangsa ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri,” katanya dalam kenyataan pada malam tadi.

    Beliau berkata, pemeriksaan mendapati mereka sudah meninggal dunia dan semua mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

    “Siasatan masih dijalankan dan operasi tersebut selesai pada pukul 11.22 malam,” ujar beliau.

    Sementara itu, pemangku Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Superitendan Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani ketika dihubungi mengesahkan kejadian.

    Difahamkan semua mangsa dipercayai warga Myanmar dan punca sebenar kejadian masih dalam siasatan.

  • Waris tuntut keadilan nahas MH17

    Waris tuntut keadilan nahas MH17

    SELEPAS sembilan tahun tragedi pesawat Malaysia Airlines MH17 ditembak jatuh, waris serta keluarga mangsa nahas itu masih mengharapkan keadilan.

    Biarpun Mahkamah Daerah The Hague pada tahun lalu sudah menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup ke atas dua warga Russia dan seorang warga Ukraine selepas didapati bersalah menembak jatuh pesawat malang itu pada 2014, keadilan yang diharapkan masih belum terlaksana.

    Bagi Munirah Mustafa, kakak kepada pramugari MH17, Allahyarham Mastura Mustafa berkata, dia bersama beberapa waris lain masih sabar menunggu supaya mereka yang bertanggungjawab dibawa ke muka pengadilan dan menjalani hukuman di atas perbuatan mereka.

    “Hari ini kami dalam kalangan waris mangsa MH17 berkomunikasi sesama sendiri sempena memperingati tragedi MH17 yang ditembak jatuh pada 2014.

    “Namun, sehingga ke hari ini, sudah memasuki sembilan tahun, kami tetap sabar menunggu, mengharapkan akan ada keadilan sepenuhnya kepada semua mangsa,” katanya kepada Berita Harian, hari ini.

    Munirah berkata, apa yang keluarganya harapkan adalah supaya kes terbabit dapat diselesaikan sepenuhnya secepat mungkin.

    “Tempoh hari kata sudah selesai tetapi sampai sekarang masih tergantung, malah proses (mahkamah) sudah dijalankan, siapa yang salah pun sudah diketahui tetapi masih tetap belum selesai.

    “Kami sebagai waris hanya mahu kes ini selesai secepat mungkin, sudah bertahun kami menunggu,” katanya.

    MH17 ditembak jatuh ketika dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur di ruang udara timur Ukraine pada 17 Julai 2014 menyebabkan semua 298 penumpang, sebahagian besarnya rakyat Belanda serta anak kapal terbunuh.

    Penumpang lain membabitkan rakyat Australia, Britain, Malaysia dan Indonesia.

    Tahun lalu, Mahkamah Daerah The Hague menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup ke atas dua warga Russia dan seorang warga Ukraine selepas didapati bersalah menembak jatuh pesawat Malaysia Airlines MH17 pada 2014.

    Dua warga Russia, Igor Girkin dan Sergei Dubinsky serta warga Ukraine, Leonid Kharchenko, turut didakwa menyebabkan semua 298 penumpang dan krunya terbunuh.

    Hakim Hendrik Steenhuis yang membacakan ringkasan penghakiman turut memerintahkan ketiga-tiga lelaki itu membayar pampasan kepada ahli keluarga mangsa.

    Beliau berkata, peluru berpandu Buk Telar dibawa ke Ukraine atas inisiatif Dubinsky, selaku pegawai memerintah dalam Republik Rakyat Donetsk (DPR) dan pegawai memerintah dalam DPR.

  • Hanapiah Nasir meninggal dunia hari ini

    Hanapiah Nasir meninggal dunia hari ini

    LAGENDA sukan olahraga, Hanapiah Nasir yang menghembuskan nafas terakhir pada pukul 6 petang tadi di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

    Allahyarham, 65, banyak menyumbang keringat kepada sukan olahraga negara, meraih empat emas, masing-masing dalam acara lompat jauh (1985), 110 meter (m) lari berpagar (1985) dan decathlon (1983 dan 1981) di temasya Sukan SEA.

    Pada 1985, Allahyarham memecahkan rekod Sukan SEA dalam acara lompat jauh dengan lompatan sejauh 7.59m serta 110m lari berpagar.

    Allahyarham turut meraih perak dalam acara 4x100m bersama Rabuan Pit, Sivaling Govindasamy dan Nordin Jadi.Selepas bersara, Allahyarham terus bergiat dalam arena olahraga dan pernah menggalas tanggungjawab sebagai ketua jurulatih negara dari 2005 hingga ke 2009.

    Difahamkan, jenazah Allahyarham akan dibawa ke Masjid Kampung Baru malam ini dan dikebumikan esok.

    Sementara itu, bekas atlet lontar peluru kebangsaan, Adi Alifuddin Hussin turut memuatnaik hantaran mengenai pemergian Allahyarham di akaun Facebook miliknya.

    “Mohon sedekahkan al-fatihah buat ‘coach’ Hanafiah Nasir yang baru sahaja meninggal dunia sebentar tadi.

    “Semoga arwah ditempatkan di kalangan orang beriman. Terima kasih atas ilmu yang dicurahkan semasa saya aktif dalam sukan olahraga,” kata Adi.

    Dalam pada itu, pemenang pingat emas 110m negara di Sukan SEA Manila 2005, Robani Hassan turut menitipkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham.

    “Salam takziah buat keluarga coach Hanafiah Nasir yang baharu sahaja meninggal dunia di HKL. Terima kasih coach. Semoga tenang di sana,” tulisnya di laman Facebook, lapor Berita Harian.

  • Tiga maut pacuan empat roda hilang kawalan langgar pokok

    Tiga maut pacuan empat roda hilang kawalan langgar pokok

    TIGA individu maut manakala seorang lagi cedera parah apabila kenderaan pacuan empat roda yang mereka naiki disyaki hilang kawalan sebelum melanggar pokok di Jalan Deshon, di Sibu hari ini.

    Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Zon Sibu, Andy Allie berkata, mereka yang meninggal dunia ialah dua lelaki, Tiong Meng Eng, 32, dan Bryan Lau Pick Sing, 27, serta seorang wanita yang belum dikenal pasti identitinya.

    “Seorang mangsa yang cedera parah dikenali sebagai Camelia Lee Mei Kee, 23, yang berada dalam keadaan separuh sedar dan dihantar ke Hospital Sibu,” katanya ketika dihubungi.

    Beliau berkata, pihaknya menerima maklumat berkaitan kemalangan itu pada 11.34 pagi dan sebuah jentera bersama 11 anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Merah digegaskan ke lokasi kejadian.

    Katanya mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

  • Guru besar maut motosikal rempuh tiang elektrik

    Guru besar maut motosikal rempuh tiang elektrik

    SEORANG guru besar maut selepas motosikalnya dipercayai melanggar tiang elektrik di Jalan Supar, Sabak Bernam semalam.

    Kejadian 1.30 tengah hari itu berlaku ketika mangsa berusia 59 tahun dalam perjalanan pulang ke rumah selepas bertugas di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Tengar.

    Ketua Polis Sabak Bernam, Agus Salim Mohd Alias, berkata mangsa dipercayai gagal mengawal motosikalnya lalu melanggar tiang elektrik.

    “Mangsa cedera di kepala dan disahkan meninggal dunia. Permukaan jalan basah ketika kejadian kerana hujan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Jemaah di Sabak Bernam untuk bedah siasat.

    “Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya menurut Harian Metro.

  • Wisma Putra giat kesan 12 rakyat Malaysia ‘hilang’ di utara India

    Wisma Putra giat kesan 12 rakyat Malaysia ‘hilang’ di utara India

    KEMENTERIAN Luar (Wisma Putra) giat menyelaras usaha mengesan sekumpulan 12 rakyat Malaysia yang tidak dapat dihubungi keluarga masing-masing selepas fenomena hujan lebat melanda wilayah utara India Ahad lalu.

    Wisma Putra dalam kenyataan berkata, usaha mengesan dilaksanakan melalui Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Delhi dengan kerjasama pihak berkuasa India.

    Menurutnya, suruhanjaya tinggi dimaklumkan kumpulan itu sedang menyertai ekspedisi pengembaraan di Hampta Pass, Himachal Pradesh.

    “Sebarang perkembangan terkini mengenai status rakyat Malaysia terkesan dalam kejadian ini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” katanya.

    Dalam pada itu, Suruhanjaya Tinggi Malaysia di India akan terus memantau perkembangan di Himachal Pradesh dan menasihatkan rakyat Malaysia memerlukan bantuan konsular untuk menghubungi talian +91 85955 50594 atau e-mel ke [email protected].

    Wisma Putra juga menasihatkan rakyat Malaysia lebih berhati-hati serta sentiasa mengikuti perkembangan cuaca di setiap lokasi dikunjungi.

    Menurut laporan media tempatan, sekurang-kurangnya 31 maut di negeri Himachal Pradesh akibat fenomena hujan lebat, manakala ratusan pelancong terkandas di daerah Lahaul-Spiti dan Mandi.

  • Lelaki Bangladesh menyorok dalam mesin ditemui maut

    Lelaki Bangladesh menyorok dalam mesin ditemui maut

    SEORANG pekerja kilang warga Bangladesh ditemui maut dalam mesin ketika cuba menyembunyikan diri daripada serbuan Jabatan Imigresen di kawasan perindustrian Rawang pagi tadi.

    Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor, Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada 9.27 pagi.

    “Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Rawang dikejarkan ke lokasi dan mendapati mangsa berada dalam keadaan tidak sedarkan diri dalam mesin tersebut.

    “Mangsa merupakan seorang lelaki warga Bangladesh berumur lingkungan 30 tahun dipercayai bertindak menyembunyikan diri dalam mesin berkenaan ketika operasi imigresen pada malam Sabtu,” katanya dalam kenyataan.

    Katanya, mangsa disahkan meninggal dunia sebelum pihak bomba tiba.

    “Mayat kemudian dikeluarkan anggota bomba sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya, lapor Sinar Harian.

  • Beg milik mangsa tragedi kepala dijumpai

    Beg milik mangsa tragedi kepala dijumpai

    SEBUAH beg dipercayai milik Karim Abdullah, 39, yang merupakan salah seorang mangsa tragedi kepala air di Jeram Air Putih, Kampung Air Putih di sini ditemukan semalam.

    Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Hanyan Ramlan berkata, barangan tersebut dijumpai di beting pasir sejauh dua kilometer dari lokasi kejadian kira-kira jam 12 tengah hari.

    “Semasa mengetuai operasi mencari mangsa yang masih hilang, seorang Pegawai Kanan Bomba, Mohd Zailani Abdullah telah menemui satu beg sandang jenama Gregory.

    “Hasil pemeriksaan mendapati terdapat satu beg duit berwarna hitam yang mengandungi pelbagai dokumen peribadi barangan berharga milik mangsa. Antara barangan yang ditemui adalah wang berjumlah RM1,279 selain kad pengenalan, kad perkahwinan, jam tangan dan telefon bimbit,” katanya dalam kenyataan, lapor Sinar Harian.

    Hanyan menambah, barangan yang ditemui itu akan diserahkan kepada waris mangsa.

    Pada 1 Julai lepas, sembilan sekeluarga dari Felda Lepar Hilir, Pahang dan bakal menantu keluarga tersebut dari Batu Pahat, Johor dikhuatiri lemas selepas dihanyutkan kepala air.

    Setakat ini, sembilan jasad mangsa tragedi itu telah ditemukan sejak enam hari operasi pencarian dijalankan bermula 2 Julai lalu.

    Jasad Allahyarham Karim Abdullah, 39, dan isterinya, Azizah Eiyi, 40, serta empat anak mereka iaitu Muhammad Zulqarnain Haikal Karim, 11, Putri Nurerina Natasya,10, Muhammad Haziq Ziqree Karim, 6, dan Putri Aryana Umaira Karim, 4, ditemukan pada Ahad dan Isnin manakala Putri Balqis Izzati Abdul Rahman, 18, dan adik tirinya, Putri Alleya Maisarah, 16, ditemukan pada Selasa.

    Pada Khamis lalu, mayat kesembilan mangsa tragedi kepala air di Jeram Air Putih, Kampung Air Putih di sini disahkan sebagai Muhammad Fikri Saliman, 24.

    Dengan penemuan mayat kesembilan itu menjadikan mangsa terakhir yang masih hilang ialah Putri Nur Fatin Karim, 14.