Category: Kemalangan / Bencana

  • Tekong bot nelayan dicari, tidak pulang selepas semalaman di laut

    Tekong bot nelayan dicari, tidak pulang selepas semalaman di laut

    Oleh RIZQI ZABIDI

    SEORANG tekong bot nelayan kini dicari apabila tidak pulang ke rumahnya setelah keluar ke laut dari Kuala Sanglang di Perlis, semalam.

    Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Romli Mustafa berkata, individu berkenaan dikenali sebagai Zaizali Harun, 61, dipercayai menuju ke Selat Bagan Nyior untuk menangkap ikan.

    “Anak lelaki itu, Rokie Zaizali memaklumkan, bapanya tidak pulang ke rumah selepas keluar ke laut kira-kira pukul 4.30 petang semalam.

    “Bot lelaki itu dipercayai mengalami kerosakan dan usaha mencari serta menyelamat mangsa kini giat dijalankan dengan turut dibantu agensi sahabat terdiri daripada Pasukan Polis Marin (PPM) serta beberapa bot nelayan tempatan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Tambahnya, semua pihak yang turun ke laut diingatkan supaya mengambil langkah keselamatan termasuk memakai jaket keselamatan, merujuk ramalan kaji cuaca, memastikan bot dalam keadaan baik dan membawa Pengesan Lokasi Individu (PLB).

    “Ibu Pejabat Maritim Negeri Kedah dan Perlis juga meminta orang awam untuk melaporkan sebarang kejadian kecemasan atau kemalangan di laut melalui talian kecemasan 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Ibu Pejabat Maritim Negeri Kedah dan Perlis di talian 04-9662750,” katanya.

  • Bapa berkali-kali kucup jenazah tiga beradik

    Bapa berkali-kali kucup jenazah tiga beradik

    BAPA kepada tiga beradik yang maut akibat renjatan elektrik di Kampung Bendang Surau, Morak, di Tumpat, tidak dapat mengawal kesedihan apabila menangis di sisi jenazah anak-anaknya.

    Mohd. Nadzir Mohamad, 67, dilihat berkali-kali mengucup tiga anak perempuannya, Nurul Syazwani, 33, Sakinah, 29 dan Noor Fathiah, 27, sebaik semua jenazah tiba di Masjid Al Ismaili, Kampung Morak, pukul 11 malam tadi, selepas proses bedah siasat selesai dibuat di Hospital Tumpat.

    Kira-kira 200 yang hadir mengiringi jenazah tiga beradik itu sebaik tiba dengan menaiki tiga van jenazah dan disolatkan di masjid berkenaan.

    Dalam keadaan mengalirkan air mata, Mohd. Nadzir reda dengan pemergian anak ketiga, lima dan enam dari lapan beradik itu dalam keadaan menyayat hati.

    Ketika ditemui, dia berkata, tiada perubahan ketara ditunjukkan tiga beradik itu kecuali layanan yang mesra diberikan oleh Nurul Syazwani dan Noor Fathiah, terhadap dirinya kebelakangan ini.

    “Sebelum ini, ketiga-tiga mereka memang sudah baik budi pekerti tapi kebelakangan ini melayan saya dengan sangat baik terutama Syazwani dan Fathiah yang sering bertanyakan makan minum saya.

    “Jika saya beritahu nak makan apa-apa, mereka segera menyediakannya dan saya tidak mengesyaki apa-apa sebaliknya apabila berlaku tragedi ini, baru saya sedar akan perubahan itu,” katanya ditemui malam tadi, lapor Harian Metro.

    Jenazah tiga beradik itu selamat dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Kampung Morak di Tumpat pukul 11.45 malam tadi.

    Mohd. Nadzir berkata, masih terbayang di ingatannya mengenai kejadian yang menimpa tiga anaknya itu pagi semalam dan memberitahu tidak pasti mampu atau tidak untuknya melupakan detik itu.

    “Luluh hati saya melihat tiga anak dalam keadaan bergelimpangan dalam air dan sebaik bekalan elektrik diputuskan, saya segera menerpa ke arah mereka bertiga sambil gagal menahan air mata meratapi pemergian mereka dengan cara itu.

    “Tidak dapat dinafikan naluri sebagai ayah menyebabkan saya sebak mengenangkan takdir ini namun dalam masa yang sama menerimanya dengan reda,” katanya.

    Dalam kejadian 11.45 pagi semalam, tiga beradik itu terkena renjatan elektrik sebaik seorang daripada mereka berpegang pada sebatang tiang di rumah jiran yang mengalirkan elektrik apabila ingin bermain air banjir.

    Tindakan itu menyebabkan ketiga mereka jatuh ke dalam air sebelum tubuh menjadi seakan kejang dan meninggal dunia serta-merta.

  • Diuji banjir selepas rumah terbakar minggu lalu

    Diuji banjir selepas rumah terbakar minggu lalu

    SEORANG pemuda yang melecur di seluruh badan akibat rumah terbakar minggu lalu, terpaksa membalut tubuhnya menggunakan plastik sebelum dibawa menaiki lori bomba ke kediamannya di Taman Wahyu, di Rantau Panjang, semalam.

    Azlan Zainudin, 36, tidak dapat mengharungi air susulan laluan ke penempatannya dinaiki banjir lebih satu meter sebelum dibantu anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) kembali ke rumah.

    Menurutnya yang sudah lima hari dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ) II, Kota Bharu, tidak menyangka air naik terlalu cepat menyebabkan dia dan isteri, Rosnida Fauzi, 37, terkandas.

    “Pihak hospital sudah membalut bahagian yang melecur dengan sebaiknya, tetapi saya mengambil inisiatif untuk menambahkan balutan lagi menggunakan plastik hitam bersaiz besar kerana risau terkena air.

    “Tambahan pula, saya tidak boleh berjalan sendiri dan perlu diangkat. Nasib baik, ada anggota penyelamat yang turut membantu mengangkat dan memastikan saya selamat sampai ke rumah.

    “Saya terpaksa menahan kesakitan sepanjang jalan tetapi bersyukur semuanya selamat,” katanya ketika ditemui semasa diselamatkan anggota bomba di Jalan Pasir Mas-Rantau Panjang, Rantau Panjang, semalam.

    Azlan turut berkongsi kesedihan apabila kediamannya di Kampung Tasek Permai, Rantau Panjang, musnah 100 peratus dalam kebakaran pada Rabu lalu.

    “Ujian bertubi-tubi menimpa saya, namun saya reda mungkin ada hikmah di sebalik yang berlaku selain berharap dapat segera sembuh dan kembali bekerja seperti biasa.

    “Doktor ada memberitahu bahawa untuk sembuh perlu mengambil masa beberapa bulan kerana badan saya melecur hampir 70 peratus.

    “Saya berharap banjir segera reda kerana perlu berulang alik ke hospital dua kali seminggu untuk proses cuci luka dan rawatan susulan,” katanya, lapor Harian Metro.

  • Enam jam berpaut pada pokok, 3 bekas askar terkandas banjir

    Enam jam berpaut pada pokok, 3 bekas askar terkandas banjir

    TIGA bekas askar terpaksa berpaut pada dua batang pokok leban selama hampir enam jam susulan paras air banjir naik mendadak di Kampung Bukit Tokbat, Hulu Terengganu semalam.

    Menurut mangsa, Abd Latif Jamaludin, 54, sebelum kejadian itu, mereka sedang bertani di lokasi yang menjadi tapak projek Tanaman Sayur Koperasi Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) Hulu Terengganu.

    Dua mangsa lain yang turut bersama Latif ialah Wan Azmi Wan Ibrahim, 50, dan Rusli Muhammad, 42.

    “Kami tiba pada 8 pagi (kelmarin) sebelum hujan lebat dan paras air naik mendadak tidak sampai dua jam kemudian.

    “Kawasan pertanian kami tiba-tiba berubah menjadi seolah-olah lautan dengan banjir setinggi 1m,” kata Latif, menurut laporan Free Malaysia Today (FMT).

    Latif berkata, mereka bertiga yang terperangkap pada mulanya berlindung di sebuah pondok yang terdapat di situ.

    Harapan mereka agar banjir surut tidak kesampaian apabila air naik sehingga 2m menjelang lewat petang.

    “Kami terpaksa memanjat dua batang pokok leban untuk selamatkan diri pada tengah malam sehingga subuh (semalam).

    “Sepanjang terperangkap kami hanya alas perut dengan biskut dan mi segera,” katanya.

    Mereka akhirnya dapat meminta bantuan seorang rakan, Mohd. Fauzi Sufian, 51, menggunakan telefon bimbit Wan Azmi yang masih berfungsi.

    “Kami diselamatkan Mohd. Fauzi yang berjaya memasuki kawasan bencana dengan menaiki sebuah bot gentian kaca pukul 10 pagi (semalam).

    “Sebaik tiba di jalan besar yang terletak kira-kira lima kilometer, kami mengharung pula banjir sedalam kira-kira 1m,” katanya.

    Setakat pagi ini, situasi banjir di Terengganu tidak menunjukkan petanda lebih baik. Angka mangsa banjir terus melonjak kepada 37,792 orang melibatkan 10,401 keluarga, berbanding 26,494 orang daripada 7,369 keluarga malam tadi.

  • 63,415 mangsa banjir di lima negeri, jumlah terus meningkat

    63,415 mangsa banjir di lima negeri, jumlah terus meningkat

    JUMLAH keseluruhan mangsa banjir di 21 daerah melibatkan lima negeri terus meningkat hingga kini mencecah 63,415 orang terdiri daripada 17,377 keluarga, setakat pukul 6 pagi tadi

    Negeri yang terjejas melibatkan Perak, Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor, lapor Sinar Harian.

    Berdasarkan laporan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), Terengganu mencatatkan jumlah mangsa tertinggi, iaitu seramai 37,021 orang melibatkan 10,211 keluarga.

    Sementara di Kelantan merekodkan 25,353 mangsa melibatkan 6,897 keluarga, manakala di Pahang, 934 mangsa daripada 235 keluarga.

    Di Johor pula seramai 53 mangsa daripada 17 keluarga yang terjejas dengan banjir, dan Perak mencatatkan 17 mangsa melibatkan 17 keluarga.

  • Tanah runtuh: Lebih 80 peratus kawasan runtuhan digali, diperiksa-Bomba

    Tanah runtuh: Lebih 80 peratus kawasan runtuhan digali, diperiksa-Bomba

    LEBIH 80 peratus kawasan runtuhan tanah di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, Gohtong Jaya, di Hulu Selangor telah diperiksa anggota penyelamat setakat ini bagi mencari baki sembilan lagi mangsa yang masih hilang.

    Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Datuk Norazam Khamis berkata faktor tanah yang lembut dan cuaca hujan yang menyumbang kepada takungan air di bawah tanah menyukarkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang memasuki hari keempat.

    Beliau berkata walaupun tinggal kira-kira hanya 20 peratus kawasan pencarian, keselamatan anggota penyelamat juga perlu diambil kira.

    “Tanah di sini sememangnya lembut dan apabila ditambah dengan air hujan, ia menyebabkan struktur tanih menjadi lembap dan lemah, susah nak bergerak dalam keadaan macam ini,” katanya kepada Bernama.

    Setakat ini, seramai 135 anggota penyelamat ditempatkan di lapangan dengan kerjasama pelbagai agensi untuk operasi SAR.

    Tragedi tanah runtuh yang berlaku pada 2.42 pagi Jumaat lepas di tapak perkhemahan itu setakat ini menyaksikan 61 selamat, 24 nyawa terkorban dan sembilan lagi mangsa masih hilang daripada keseluruhan 94 orang.

    Norazam berkata operasi SAR telah dibahagikan kepada tiga sektor iaitu sektor A (Hill View), sektor B (Farm View) dan sektor C (River View) melibatkan kerjasama lima agensi utama kerajaan yang berganding bahu menghadapi bencana itu selain terdapat juga beberapa agensi sokongan lain.

    “Sejak hari pertama SAR lagi, kita telah menggunakan jentera pengorek yang amat memudahkan kerja kami kerana ia mampu digunakan berterusan serta dapat mengurangkan tenaga manusia untuk kerja mengorek tanah.

    “Jika diikutkan, anggota penyelamat sememangnya telah melakukan pengesanan dan pencarian mangsa mengikut kawasan runtuhan iaitu dari atas runtuhan sehinggalah ke kawasan bawah,” katanya. – Bernama

  • Mangsa banjir enggan berpindah, naik ke bukit selamatkan diri

    Mangsa banjir enggan berpindah, naik ke bukit selamatkan diri

    TERDAPAT mangsa di kawasan Sungai Durian, di Kuala Krai menolak untuk ditempatkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) sebaliknya memilih ke kawasan bukit bagi menyelamatkan diri daripada banjir.

    Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintendan Suzaimi Mohammad berkata, usaha memujuk dilakukan oleh pasukan penyelamat yang masuk menggunakan bot sejauh dua kilometer ke rumah penduduk.

    “Apabila pasukan penyelamat sampai di depan rumah, mereka tidak mahu berpindah.

    “Polis meneruskan usaha memujuk dan sentiasa memantau kawasan banjir bagi memastikan mereka selamat,” katanya ditemui ketika mengetuai operasi menyelamat di Kampung Petaling, Sungai Durian, Kuala Krai.

    Menurut Suzaimi, ada juga mangsa yang sanggup berada lama dalam air separas 0.8 meter kerana tidak mahu meninggalkan barangan berharga di rumah mereka.

    “Kami tidak menggalakkan mangsa berbuat demikian dan menasihati supaya patuh pada arahan berpindah kerana air naik dengan cepat.

    “Angka mangsa banjir ini juga dijangka meningkat jika hujan masih berterusan,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Menurut beliau, seramai 198 anggota keselamatan terdiri daripada pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) melakukan operasi menyelamat di daerah itu.

    “Pertambahan anggota akan dilakukan dari semasa ke semasa bergantung kepada keperluan.

    “Kami meminta penduduk peka dengan keadaan semasa termasuk di Sungai Durian yang sudah melimpah ke jalan utama di daerah ini,” katanya.

    Setakat pukul 12 tengah hari tadi, Kuala Krai mencatat rekod seramai 2,155 mangsa dipindahkan ke 18 PPS di daerah itu.

    Antaranya Kampung Petaling, Kampung Sedek, Kampung Chenulang, Kampung Guchi dan Kampung Kenor.

    24)

  • Kekurangan aset sukarkan pasukan penyelamat ke lokasi banjir

    Kekurangan aset sukarkan pasukan penyelamat ke lokasi banjir

    POLIS Kontinjen Terengganu mengakui pihaknya kekurangan aset yang boleh digunakan bagi membantu mangsa banjir terutama pengangkutan bagi kerja memindah dan menyelamat penduduk ke pusat pemindahan sementara (PPS).

    Ketua Polis negeri, Datuk Rohaimi Md. Isa berkata, keadaan banjir yang semakin buruk di Terengganu sekarang, menyebabkan pihaknya perlu melakukan kerja menyelamat dengan segera bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku.

    “Buat masa ini, selain menggunakan aset sendiri dari Terengganu, pihak kami turut memohon bantuan aset daripada Jabatan Kerja Raya (JKR), Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Pasukan Simpanan Persatuan (PSP).

    “Bagaimanapun, ia masih tidak mencukupi lagi, malah kita dimaklumkan pihak Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu akan memohon daripada Putrajaya bantuan segera dari segi aset jentera berat.

    “Polis juga menggerakkan semua 2,992 pegawai dan anggotanya membantu operasi sepanjang banjir yang bertambah buruk sekarang berbanding musim tengkujuh yang berlaku sebelum ini,” katanya lapor BH Online.

    Rohaimi berkata, beberapa Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) termasuk Kemaman, Besut dan Setiu juga sudah meminta penambahan aset bagi menghadapi banjir kali ini.

    Mengulas kelewatan bekalan makanan tiba di PPS, beliau berkata, ini antara masalah yang timbul walaupun pihak berkaitan termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sudah membuat tugasan terbaik dengan agensi berkaitan.

    Beliau berkata, pihaknya juga menyiapkan makanan segera yang boleh dibawa ke mana saja, namun masalah akses menyebabkan ada yang tidak dapat menerima bantuan disediakan itu.

    “Contohnya di sini (Kampung Kua), tetapi akses ke dua PPS berdekatan tidak dapat dilakukan sebab kita tiada kenderaan berat termasuk bot berkuasa tinggi untuk meredah arus deras,” katanya.

  • Tiga beradik maut, terkena renjatan elektrik rumah dilanda banjir

    Tiga beradik maut, terkena renjatan elektrik rumah dilanda banjir

    TIGA beradik maut dipercayai akibat terkena renjatan elektrik di luar rumah mereka yang dilanda banjir di Kampung Bendang Surau dekat Morak, di Tumpat, pagi tadi.

    Mangsa yang semuanya wanita berusia antara 20 hingga 27 tahun meninggal dunia di lokasi kejadian pukul 11.45 pagi.

    Difahamkan, seorang daripada mangsa terkena renjatan elektrik selepas memegang tiang rumah sebelum terkena pula kepada dua adiknya turut berada di hadapan rumah, lapor Berita Harian.

    Ahli keluarga mangsa, Mohd. Amin Mohd. Nazir, 25, ketika ditemui mengesahkan kejadian itu.

    Sementara itu, menurut Sinar Harian, ketiga-gadis gadis tersebut ditemui dalam keadaan terapung dan meninggal dunia.

    Difahamkan salah seorang mangsa merupakan seorang guru Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti).

  • Banjir: Jenazah warga emas terkandas 14 jam dalam rumah

    Banjir: Jenazah warga emas terkandas 14 jam dalam rumah

    JENAZAH seorang warga emas terkandas hampir 14 jam di kediamannya di Kampung Gaung, di Besut yang dinaiki air sejak awal pagi tadi.

    Difahamkan Che Gayah Mohamad, 81, meninggal dunia kira-kira pukul 8 malam tadi akibat sakit tua selepas terlantar hampir enam bulan.

    Cucunya, Nik Mohd. Fhaiez Mohd. Khalil, 30, berkata jenazah sepatutnya dikebumikan malam tadi tetapi disebabkan proses dokumentasi mendapatkan permit kubur tidak lengkap, ia terpaksa ditunda pagi ini.

    “Sekitar pukul 3 pagi air banjir melimpah ke kawasan rumah sehingga hampir masuk ke dalam rumah, kami semua terkandas tidak dapat keluar.

    “Kami cuba menghubungi bilik gerakan banjir tetapi tidak berjaya dan terus menunggu sekiranya ada anggota penyelamat yang boleh masuk ke kawasan ini.

    “Namun sehingga pukul 8 pagi masih belum ada bantuan sampai untuk membawa keluar jenazah nenek ke Hospital Besut bagi mendapatkan pengesahan kematian,” katanya seperti dilaporkan BH Online.

    Katanya, mereka juga terpaksa meminta bantuan melalui media sosial supaya dapat keluar dari kawasan rumah secepat mungkin.

    “Syukur kira-kira pukul 10 pagi ada bot persendirian yang berjaya masuk ke kawasan ini dan membantu kami membawa keluar jenazah ke jalan utama.

    “Jenazah nenek dijangka dikebumikan petang ini di Tanah Perkuburan Islam Kampung Gaung yang terletak kawasan berbukit,” katanya.