Category: Kemalangan / Bencana

  • Kanak-kanak perempuan lemas di taman tema air

    Kanak-kanak perempuan lemas di taman tema air

    SEORANG kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun meninggal dunia dipercayai akibat lemas, selepas didapati tidak sedarkan ketika beriadah di taman tema air di Alor Gajah, Melaka, semalam.

    Ketua Polis Daerah Alor Gajah SUPT Arshad Abu berkata mangsa dikenali sebagai Puteri Sofea Hanis Dania Jamaluddin yang datang ke taman tema itu bersama ibunya.

    Beliau berkata pihaknya menerima panggilan daripada Bahagian Kecemasan Hospital Alor Gajah mengenai insiden itu kira-kira 3.15 petang.

    “Hasil siasatan awal mendapati kejadian itu berlaku di pinggir kolam berdekatan dengan pulau buatan dengan kedalaman lebih kurang satu meter di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan di Alor Gajah, hari ini.

    Katanya petugas taman tema telah memberikan bantuan kecemasan dan membawa mangsa ke hospital.

    Arshad berkata laporan bedah siasat menyatakan punca kematian kanak-kanak itu sebagai ‘consistent with drowning’ iaitu dipercayai akibat lemas.

    “Siasatan setakat ini mendapati tiada unsur jenayah dan kes disiasat di bawah kematian mengejut,” katanya.

    Beliau berkata pihaknya dimaklumkan mangsa sedang bercuti bersama ibunya dan rombongan seramai 78 anggota keluarga lain dari Komuniti Kampung Sungai Tuansih Tanjung, Sedeli Kota Tinggi, Johor. 

    Arshad berkata pengerusi jawatankuasa penganjur program itu memaklumkan program itu hanya diadakan sehari dan mereka tiba di lokasi lebih kurang 11 pagi.

  • Jumlah mangsa banjir di Terengganu, Kelantan terus meningkat

    Jumlah mangsa banjir di Terengganu, Kelantan terus meningkat

    JUMLAH mangsa banjir di Terengganu dan Kelantan terus meningkat, Johor dan Perak kekal manakala di Pahang berkurang pagi ini.

    Di TERENGGANU, jumlah mangsa banjir meningkat kepada 40,456 orang daripada 11,097 keluarga berbanding 39,311 orang daripada 10,937 keluarga malam tadi.

    Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Banjir Negeri (JPBN) dalam kenyataan memaklumkan kesemuanya sedang berlindung di 299 pusat pemindahan sementara (PPS) di lapan daerah.

    Daerah Kemaman merekodkan jumlah mangsa paling ramai iaitu 9,147 orang yang ditempatkan di 30 PPS, Besut (8,536 orang, 88 PPS), Hulu Terengganu (5,893 orang, 49 PPS) dan Dungun (4,419 orang, 40 PPS).

    Selain itu, di Setiu seramai 4,352 orang ditempatkan di 52 PPS, Kuala Nerus (3,597 orang, 16 PPS), Kuala Terengganu (2,777 orang, 12 PPS) serta Marang (1,735 orang, 12 PPS).

    Berdasarkan laman sesawang https:publicinfobanjir.water.gov.my/, enam sungai di Terengganu masih melepasi paras bahaya termasuk Sungai Kemaman di Rumah Pam Paya Paman di Kemaman, Sungai Telemong di Kuala Ping di Hulu Terengganu dan Sungai Nerus di Kampung Langkap di Setiu.

    Di KELANTAN, seramai 31,487 orang daripada 9,055 keluarga berada di PPS pagi ini berbanding 31,313 orang daripada 9,005 keluarga malam tadi.

    Sekretariat JPBN memaklumkan kesemua mangsa ditempatkan di 140 PPS di lapan jajahan membabitkan Tumpat, Pasir Mas, Tanah Merah, Kuala Krai, Machang, Pasir Puteh, Kota Bharu dan Bachok.

    Sementara itu di JOHOR, jumlah mangsa banjir kekal 48 orang daripada 15 keluarga dengan dua PPS masih dibuka di Segamat.

    Menurut JPBN kesemua mangsa adalah penduduk dari Kampung Seberang Batu Badak dan Kampung Batu 5, Segamat dengan 34 orang daripadanya berada di Balai Raya Kampung Batu Badak manakala 14 lagi di Dewan Komuniti Kampung Tasek. 

    Mengikut data Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Sungai Muar, Buloh Kasap di Segamat berada pada paras amaran dengan ketinggian 8.63 meter.

    Di PERAK, JPBN melaporkan situasi banjir tidak berubah dengan 54 orang daripada 17 keluarga masih berada di PPS Sekolah Kebangsaan Sungai Tiang Darat dan PPS Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan Abd Rahman Talib.

    Sungai Bidor di Changkat Jong, Hilir Perak masih merekodkan melebihi paras bahaya, melebihi 0.5 meter dari paras amaran dengan bacaan 3.27 meter setakat ini.

    Bagaimanapun di PAHANG, Sekretariat JPBN memaklumkan situasi banjir di Kuantan bertambah baik dengan hanya 221 orang daripada 62 keluarga masih ditempatkan di tiga PPS pagi ini berbanding 484 orang daripada 113 keluarga di lima PPS semalam.

    JPS melaporkan paras air Sungai Keratong, Rompin kekal melepasi tahap bahaya dengan trend menurun.

  • Tanah runtuh Batang Kali: Padanan mangsa hilang dengan laporan waris dilakukan

    Tanah runtuh Batang Kali: Padanan mangsa hilang dengan laporan waris dilakukan

    POLIS sedang melakukan pemadanan identiti mangsa hilang dengan laporan waris keluarga insiden tanah runtuh di tapak perkhemahan Fathers’ Organic Farm, Jalan Batang Kali-Genting Highlands, Selangor, baru-baru ini.

    Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, pihaknya yakin akan ada waris yang tampil membuat laporan bagi memaklumkan kehilangan keluarga mereka yang kini sudah hari kelima selepas kejadian.

    “Melalui laporan polis oleh keluarga waris maka pemadanan boleh dilakukan bagi meneruskan usaha mencari baki mangsa yang masih hilang.

    “Buat masa ini, kita (polis) masih menunggu dan selepas menerima laporan untuk dipadankan sekali gus membolehkan angka sebenar dikenal pasti yang kita percaya masih lagi hilang,” katanya selepas ditemui pada majlis pelancaran Misi Bantuan Banjir Kementerian Dalam Negeri ke Pantai Timur, lapor Satu berita.

    Ditanya mengenai perkembangan operasi menyelamat, Acryl Sani berkata, pihaknya dimaklumkan pasukan bomba ada mengesan beberapa lokasi yang dikenal pasti, tetapi ia masih belum dimuktamadkan lagi.

    “Pagi ini usaha diteruskan untuk kenal pasti bilangan mangsa yang hilang dan usaha membawa mereka keluar dari tempat kejadian akan dilakukan segera,” katanya.

    Malam tadi, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Hafisham Mohd Noor mengesahkan penemuan mangsa ke-25, melibatkan mayat seorang kanak-kanak perempuan di lokasi pencarian insiden tanah runtuh tapak perkhemahan, pukul 11.20 malam.

    Sementara pagi ini, seorang lagi mangsa Tebaharu iaitu yang ke-26 ditemukan pasukan penyelamat.

    Tragedi tanah runtuh pada 2.42 pagi Jumaat lalu di tapak perkhemahan itu, setakat ini menyaksikan 61 selamat, 26 nyawa terkorban dan tujuh lagi mangsa masih hilang daripada keseluruhan 94 mangsa yang terbabit.

    Mengikut data dari Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB), seramai 29 daripada keseluruhan mangsa yang terbabit dalam insiden tanah runtuh itu adalah kanak-kanak. 

  • Tanah runtuh: Mayat mangsa ke-26 lelaki dewasa ditemui – Bomba

    Tanah runtuh: Mayat mangsa ke-26 lelaki dewasa ditemui – Bomba

    PASUKAN mencari dan menyelamat (SAR) di kawasan tanah runtuh Father’s Organic Farm di Gohtong Jaya, Batang Kali, dekat Hulu Selangor, menemui satu lagi mayat mangsa dipercayai lelaki dewasa.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), mayat mangsa ditemui sekitar pukul 11.16 pagi.

    “Kemas kini setakat jam 11.16 pagi, pasukan mencari dan menyelamat (SAR) Operasi Tanah Runtuh Jalan Batang Kali – Genting Highlands telah berjaya menemui seorang lagi mangsa iaitu lelaki dewasa di sektor C.

    “Ini menjadikan jumlah mangsa korban tanah runtuh yang berjaya ditemui adalah sebanyak 26 orang.

    “Operasi SAR pada hari keenam diteruskan lagi bagi mencari baki tujuh mangsa yang masih hilang,” jelas kenyataan itu memetik laporan Astro Awani.

    Operasi turut dibantu 11 jengkaut tanah pelbagai agensi serta sembilan ekor unit anjing pengesan K-9.

  • Terkepung akibat banjir, 62 penduduk masak, minum guna air banjir

    Terkepung akibat banjir, 62 penduduk masak, minum guna air banjir

    SERAMAI 62 mangsa banjir di Kampung Tasek Bakong, Rantau Panjang yang terkepung dan tiada bekalan air bersih memaksa mereka memasak air banjir untuk diminum sejak dua hari lalu.

    Kata penduduk, Muzipah Che Muda, 54, dia tidak mempunyai pilihan lain dan terpaksa menggunakan air banjir untuk membuat susu kepada anak kecil.

    “Ini berikutan kawasan penempatan itu kini tidak dapat dilalui akibat ditenggelami air.

    “Walaupun tahu tindakan ini tidak begitu baik namun dia buntu kerana ramai kanak-kanak merengek kehausan begitu juga orang dewasa yang tidak dapat minum.

    “Malah, air ini juga kami gunakan untuk memasak secara bergotong-royong. Besar harapan kami supaya ada pihak yang masuk untuk menghantar bantuan air bersih buat kami di sini.

    “Kami tahu kawasan penempatan ini agak sukar diakses, oleh itu kami mencari ikhtiar lain terlebih dahulu dengan hanya tawakal sahaja semoga air yang diminum tidak memudaratkan.

    “Semua mangsa berkumpul di rumah milik salah seorang penduduk yang tidak dimasuki air tetapi halamannya digenangi banjir separas 0.5 meter,” lapor Berita Harian.

    Sementara itu, seorang lagi mangsa, Mohd. Yatin Mat Yaacob, 46, berkata kesemua mangsa terpaksa tidur berhimpit, manakala sesetengah kumpulan lelaki tidur dalam kereta kerana tidak cukup ruang.

    “Kami tidak ke pusat pemindahan sementara (PPS) kerana sudah terlalu ramai dan penuh. Tambahan pula, hanya rumah ini yang tidak dimasuki air di sini.

    “Ada antara mangsa yang kediaman mereka hanya tinggal bumbung sahaja, namun kami reda dengan ujian ini dan bersyukur kerana masih ada tempat berteduh,” katanya.

    Katanya, mereka juga mengambil inisiatif menggunakan penjana elektrik bagi mendapatkan bekalan terutama untuk mengecas telefon bimbit kerana bekalan itu sudah ditutup sejak banjir melanda.

  • 72,332 mangsa banjir ditempatkan di PPS

    72,332 mangsa banjir ditempatkan di PPS

    JUMLAH keseluruhan mangsa banjir yang masih ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di lima negeri pagi ini mencatatkan sedikit penurunan kepada 72,332 orang berbanding 72,358 orang malam tadi.

    Bagaimanapun, Kelantan dan Terengganu terus mencatatkan peningkatan bilangan mangsa.

    Berdasarkan laman sesawang Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), setakat 8 pagi tadi, sebanyak 443 PPS dibuka di lima negeri untuk menempatkan mangsa banjir.

    Daripada jumlah itu, 40,889 mangsa dari 11,360 keluarga di Terengganu kini ditempatkan di 298 PPS membabitkan 11,360 keluarga.

    Sementara itu di Kelantan, sebanyak 138 PPS kini beroperasi untuk menempatkan 31,120 orang mangsa daripada 8,922 keluarga termasuk warga emas dan warga OKU selain kanak-kanak dan bayi.

    JKM turut melaporkan dua PPS di Perak dan Johor masih beroperasi dengan kurang 60 orang mangsa bagi setiap negeri.

    Di Pahang, menunjukkan tiga PPS masih beroperasi di negeri itu dengan merekodkan 221 mangsa daripada 62 keluarga.

    Dalam perkembangan sama, sepasang suami isteri warga emas merupakan antara 40 mangsa banjir di Dungun, Terengganu yang berjaya diselamatkan anggota bomba dan penyelamat (JBPM) malam tadi.

    Menurut Ketua Bomba dan Penyelamat Dungun, Shahrizal Shamsudin, pasangan berusia sekitar 80an dari Kampung Padang Pulut itu telah dihantar ke PPS Masjid Kampung Padang Pulut.

    “Kami berhadapan detik sukar apabila terpaksa mengangkat bot kami kerana jalannya yang tidak stabil serta ada beberapa kawasan menuju ke rumah mangsa tidak dinaiki air…Alhamdulillah kita dapat keluar ke kawasan selamat,” katanya.

    Tambahnya, semua mangsa berjaya diselamatkan dengan kekuatan 35 anggota bomba yang bertugas serta bantuan anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

  • Mayat budak perempuan ditemui di lokasi tanah runtuh

    Mayat budak perempuan ditemui di lokasi tanah runtuh

    OPERASI mencari dan menyelamat (SAR) mangsa tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, Gohtong Jaya dekat Batang Kali yang memasuki hari kelima semalam, menemukan mayat seorang kanak-kanak perempuan pada 11.15 malam sebelum operasi ditangguhkan pada 12 tengah malam.

    Penemuan mayat kanak-kanak dianggarkan berusia lingkungan lima hingga tujuh tahun itu, menjadikan angka korban tragedi berkenaan kini 25 mangsa.

    Gambar – BOMBA SELANGOR

    Operasi hari ini dipergiatkan dengan anggota pasukan ‘sweeper’ ditingkatkan empat kali ganda kepada 28 orang berbanding hanya tujuh orang, semalam.

    Cuaca baik sejak semalam membantu operasi SAR yang bermula kira-kira 8 pagi tadi, selain Jabatan Kerja Raya melaporkan tiada pergerakan tanah di kawasan pencarian berbanding semalam.

    Terdahulu, anggota penyelamat menemukan selimut, tong dan peralatan perkhemahan ketika pencarian di sektor C (Riverside).

    Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Wan Md Razali Wan Md Ismail berkata selain sektor C, pihaknya mengulangi pencarian di sektor A (Hill View) dan B (Farm View) bagi mengesan mangsa.

    Anggota penyelamat juga terus bersemangat dan tidak berputus asa dalam menjalankan tugas pencarian, meskipun terdapat tiga pegawai dan anggota yang menerima rawatan selepas kurang sihat dan mengalami kecederaan ringan.

    Malah Penolong Pengarah Operasi Bomba Selangor Hafisham Mohd Noor berkata ada antara anggota penyelamat yang enggan keluar dari lokasi pencarian bagi mengesan baki mangsa yang masih hilang, walaupun dibenarkan untuk berehat.

    Komitmen yang ditunjukkan anggota SAR turut mendapat perhatian Istana Selangor, apabila Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin hari ini menzahirkan penghargaan kepada mereka.

    Sementara itu, Ketua Polis Selangor Datuk Arjunaidi Mohamed berkata polis sudah merakam keterangan 53 individu, bagi membantu siasatan berhubung tragedi berkenaan termasuk pengusaha, dua pekerja tapak perkhemahan selain mangsa yang terselamat dan keluarga mereka. 

    Tragedi tanah runtuh pada 2.42 pagi Jumaat lepas di tapak perkhemahan itu, setakat ini menyaksikan 61 selamat, 25 nyawa terkorban dan lapan lagi mangsa masih hilang daripada keseluruhan 94 mangsa yang terlibat.

    Mengikut data dari Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB), seramai 29 daripada keseluruhan mangsa yang terlibat dalam insiden tanah runtuh itu adalah kanak-kanak.

  • Ambulans terbalik, 4 cedera

    Ambulans terbalik, 4 cedera

    EMPAT individu cedera selepas sebuah ambulans St. John yang dalam perjalanan menghantar pesakit ke Hospital Pulau Pinang (HPP) terbabas dan merempuh pembahagi jalan serta sebatang pokok lalu terbalik dalam kejadian di Jalan Masjid Negeri, Pulau Pinang semalam.

    Kemalangan itu mengakibatkan pemandu ambulans berusia 22 tahun, pembantu perubatan (28 tahun), pesakit wanita (54 tahun) dan anak perempuannya (24 tahun) mengalami kecederaan di beberapa bahagian badan termasuk di kepala dan muka.

    Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintendan V. Saravanan, kejadian itu berlaku pukul 4.40 petang ketika pemandu ambulans dan pembantu perubatan dalam perjalanan dari Sungai Ara selepas mengambil pesakit dan anak perempuannya untuk dibawa ke HPP.

    “Apabila menghampiri Jalan Masjid Negeri (menghala ke Jalan Scotland), pemandu ambulans hilang kawalan menyebabkan ambulans terbabas melanggar pembahagi jalan dan sebatang pokok di sebelah kanan jalan lalu terbalik.

    ”Pemandu ambulans, pesakit dan anak perempuannya tersepit di tempat duduk namun berjaya dikeluarkan dengan selamat oleh anggota bomba,” katanya hari ini.

    Dalam pada itu, kejadian tersebut turut tular di dalam media sosial sejak malam tadi.

    Saravanan berkata, pemandu ambulans mengalami kecederaan di tangan dan kepala manakala pembantu perubatan cedera ringan di muka dan tangan.

    Sementara itu katanya, pesakit yang dibawa menggunakan ambulans tersebut mengalami kecederaan di kepala manakala anak perempuannya cedera di kepala dan muka.

    “Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

  • Bomba selamatkan bayi dalam pantang ke PPS

    Bomba selamatkan bayi dalam pantang ke PPS

    SEORANG bayi berusia 40 hari bersama tujuh ahli keluarga antara mangsa banjir yang diselamatkan pihak bomba selepas kediamannya di Kampung Pulau Rusa Hilir di Kuala Terengganu, dinaiki air pada semalam.

    Pihak bomba mengambil masa kira-kira 45 minit bagi memindahkan keluarga terbabit ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Paloh.

    Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Terengganu, Rozizah Abni Haja, seramai enam anggota bomba yang ditugaskan di situ berdepan cabaran arus deras sepanjang proses menyelamat kerana air sungai naik mendadak di kawasan berkenaan.

    “Sebelum sampai ke rumah tersebut, air sungai sedang naik dan pihak bomba berdepan cabaran arus sungai yang agak deras dan perlu lebih berwaspada dan mengutamakan aspek keselamatan.

    “Ketika pasukan penyelamat sampai di rumah itu, paras air sudah setinggi lebih satu meter.

    “Bagaimanapun, dengan kerjasama diberikan penduduk serta ahli keluarga mangsa banjir, proses pemindahan di situ berjalan lancar,” katanya memetik laporan Sinar Harian, hari ini.

    Dalam pada itu, Rozizah turut mengingatkan semua mangsa banjir untuk sedia berpindah lebih awal bagi mengelak kemungkinan tidak diingini.

    “Ada juga mangsa banjir yang pada mulanya enggan berpindah dengan memberikan alasan mahu berlindung di tingkat atas kediaman, namun mereka kembali menelefon pihak bomba untuk berpindah setelah air semakin naik.

    “Itu bukan langkah terbaik dalam tempoh bencana ini kerana kita bimbang proses menyelamat lebih sukar pada waktu malam.

    “Jadi kita mohon sangat kepada mangsa banjir ini segera berpindah setelah pihak bomba sampai kerana nyawa lebih penting untuk diselamatkan. Apabila air kembali surut bolehlah pulang ke rumah,” katanya.

    Sementara itu, menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), sehingga pukul 10 pagi tadi, seramai 38,454 mangsa banjir dari 10,595 keluarga dipindahkan ke 315 buah pusat pemindahan sementara (PPS) di seluruh daerah selepas kediaman mereka dinaiki air.

    Banjir gelombang kedua di Terengganu kali ini disifatkan paling buruk apabila semua daerah iaitu Kemaman, Besut, Setiu, Hulu Terengganu, Marang, Kuala Terengganu, Kuala Nerus dan Dungun terjejas.

  • Tiga remaja maut, dua cedera kereta terbabas rempuh pembahagi jalan

    Tiga remaja maut, dua cedera kereta terbabas rempuh pembahagi jalan

    Oleh BADLISHAH MAT

    TIGA remaja lelaki maut, manakala dua rakan mereka cedera apabila kereta dinaiki dipercayai terbabas di Kilometer 63.5, Jalan Alor Setar-Butterworth di Sungai Petani, awal pagi tadi.

    Nahas kira-kira pukul 2.30 pagi itu mengorbankan pemandunya, Muhammad Aiman Rusdi, 17, dan dua penumpang, Muhammad Izani Mohd. Tuah, 15, serta Mohd. Iman Mohd. Akhir, 17.

    Ketiga-tiga mangsa terbabit disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di bahagian kepala dan anggota badan.

    Dua lagi mangsa, Muhammad Zulhakim Zulkhairi, 17, cedera parah dan kini dirawat di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani, manakala Alif Danial Abdul Aziz, 15, pula hanya cedera ringan.

    Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, siasatan awal mendapati kereta dinaiki kesemua remaja itu dalam perjalanan dari Bakar Arang menghala ke Padang Temusu sebelum dipercayai hilang kawalan lalu merempuh pembahagi kiri jalan.

    “Kereta jenis Honda itu dipercayai dipandu laju dengan impak pelanggaran yang kuat menyebabkan pemandu dan penumpang hadapan serta seorang daripada tiga penumpang belakang maut di lokasi kejadian.

    “Mayat ketiga-tiga remaja itu kini telah dihantar ke Unit Forensik HSAH untuk bedah siasat,” katanya.

    Tambahnya, berdasarkan maklumat yang diperolehi semua mangsa sudah tidak bersekolah dan kereta yang dipandu adalah milik abang kepada pemandu.

    “Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya.