Category: Kemalangan / Bencana

  • Pelakon ditahan pandu melulu sehingga kekasih tercampak keluar dari kenderaan

    Pelakon ditahan pandu melulu sehingga kekasih tercampak keluar dari kenderaan

    GARA-gara perselisihan faham,  seorang pelakon lelaki ditahan selepas memandu dalam keadaan melulu dan berbahaya sehingga mengakibatkan kekasihnya tercampak keluar dari kenderaan dalam kejadian di Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2), Kuala Lumpur, pukul 5.30 petang kelmarin.

    Kejadian itu selepas dirakam kamera papan pemuka sebuah kenderaan lain yang melalui lebuh raya sama.

    Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, siasatan mendapati kereta jenis Perodua Myvi yang dipandu suspek dengan tiba-tiba menukar lorong secara melulu.

    “Kenderaan dipandu pelakon tersebut kemudiannya hilang kawalan dan melanggar bahagian sisi kiri sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Innova.

    “Susulan pelanggaran tersebut mengakibatkan kekasih suspek yang merupakan wanita tempatan berumur 25 tahun tercampak keluar.

    “Siasatan awal mendapati kemalangan berpunca daripada kecuaian pemandu Perodua Myvi yang memandu secara melulu hingga menyebabkan kemalangan,” katanya dalam satu kenyataan tengah malam tadi.

    Mengulas lanjut, kata Mohamad Farouk, siasatan juga mendapati berlaku pertengkaran di antara suspek dan mangsa ketika kejadian.

    “Kes disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,”jelasnya lapor Satu Berita.

  • ‘Tragedi Batang Kali: Pemilik tanah, kerajaan negeri bertanggungjawab’

    ‘Tragedi Batang Kali: Pemilik tanah, kerajaan negeri bertanggungjawab’

    SELAIN pemilik tanah, kerajaan negeri juga perlu bertanggungjawab terhadap kejadian tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm di Batang Kali sehingga mengorbankan 31 nyawa.

    Pakar Geologi Kejuruteraan dan Mekanik Tanah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Nor Shahidah Mohd Nazer, berkata pemilik tanah berkenaan bersalah kerana memanipulasi kawasan pertanian itu untuk dijadikan tempat rekreasi tanpa pengetahuan pihak berwajib.

    “Kerajaan negeri seharusnya mengambil tanggungjawab yang berlaku dalam kawasan pentadbirannya itu.

    “Kerana pada hakikatnya, kawasan bercerun yang juga diklasifikasikan sebagai kawasan sensitif alam sekitar paling banyak taburannya adalah di Selangor, berbanding di negeri lain di negara ini.

    “Jadi kerajaan negeri sepatutnya sedar potensi kejadian tanah runtuh yang akan berlaku apabila tibanya musim hujan seterusnya perlu bertindak lebih proaktif dan langkah susulan.

    “Antaranya dengan mengadakan langkah ketat ke atas semua aktiviti yang dilakukan manusia di kawasan tanah tinggi dan berisiko bagi membendung isu kegiatan haram yang mungkin memberi kesan langsung ke atas keselamatan alam sekitar,” katanya kepada BH.

    Kejadian tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm di Batang Kali pada 16 Disember lalu adalah kejadian kedua terbesar membabitkan jumlah mangsa maut selepas runtuhan Kondominium Highland Towers pada 1993 yang mengorbankan 48 nyawa.

    Tragedi kira-kira pukul 2.30 pagi itu, membabitkan 92 mangsa, dengan 61 daripadanya terselamat manakala 31 lagi terkorban, selepas berlaku runtuhan tanah hingga menimbus kawasan perkhemahan.

    Kejadian menyayat hati itu meragut 18 nyawa individu dewasa dan 13 kanak-kanak, dengan 20 mayat ditemukan di sektor A, satu sektor B dan 10 lagi di sektor C di kawasan perkhemahan berkenaan.

    Sementara itu, berkongsi pandangan sama, Pegawai Lapangan Sahabat Alam Sekitar (SAM), Meor Razak Meor Abdul Rahman, berkata bencana yang berlaku itu disebabkan sikap tidak bertanggungjawab sesetengah pihak.

    Tanpa mahu menuding jari kepada sesiapa, Meor Razak berkata perkara itu dapat dielakkan sekiranya semua pihak memainkan peranan masing-masing dalam menjalankan amanah yang diberikan.

    “Ia boleh dielakkan jika segala syarat dipatuhi serta pemantauan oleh pihak berkuasa diadakan dengan lebih kerap terutamanya di kawasan yang dikesan sebagai sensitif.

    “Sebagaimana kita sedia maklum kawasan itu adalah tanah milik syarikat atau individu yang melaksanakan pertanian tanaman organik, jadi pemiliknya perlu mematuhi syarat nyata pemilikan tanah berkenaan.

    “Tanah itu dikhususkan untuk pertanian, dalam geran tanah itu sepatutnya sudah disertakan dengan syarat tertentu mengenai pemilikan dan kegunaan tanah.

    “Bila syarat nyata itu ditulis untuk pertanian, maknanya ia khusus untuk pertanian dan tidak boleh dibangunkan chalet, hotel, resort mahupun tapak perkhemahan secara komersial. Di sini kita nampak yang pemilik tanah tidak mematuhi apa yang sudah ditetapkan dalam syarat nyata pemilikan tanah berkenaan,” katanya.

    Tambahnya, dengan kegunaan tanah yang disertakan dalam geran berkenaan, pihak berkuasa perlu memastikan setiap pemilik tanah mematuhi Rancangan Tempatan Daerah (RTD) di kawasan masing-masing.

    “Setiap daerah mempunyai RTD dan sekiranya kawasan itu dikhususkan sebagai zon pertanian, bagaimana pemilik tanah itu ‘boleh terlepas’ menjadikan ia sebagai tapak komersial.

    “Ia dipanggil sebagai kawasan komersial kerana bukan hanya satu dua khemah yang dipacakkan di kawasan itu untuk diduduki oleh seorang dua individu, tetapi ia dibuka kepada orang ramai dan mereka ini perlu bayar kepada pemilik tanah untuk menginap di situ, ini sudah salah kerana sepatutnya pemilik perlu mendapatkan kebenaran daripada pihak berkuasa tempatan (PBT).

    “Dan PBT pula tidak boleh luluskan ia sebagai kawasan komersial kerana ia adalah zon pertanian, sebab itu sepatutnya PBT ini bila sudah tahu ia digunakan sebagai tapak perkhemahan komersial sepatutnya dari awal diambil tindakan.

    “Bukan sahaja PBT, malah Pejabat Daerah dan Tanah serta Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) juga boleh ambil tindakan kerana pemilik itu tidak mempunyai permit dan melanggar syarat-syarat kegunaan tanah,” katanya.

    Meor Razak berkata, beliau tidak mahu menuduh sesiapa yang bersalah namun peraturan dan peruntukan undang-undang sudah ada dan mengapa ia tidak dikuatkuasakan oleh pihak yang sepatutnya dan mengambil tindakan lebih awal sebelum kejadian itu berlaku.

    “Jika tindakan sudah diambil lebih awal, ia secara tidak langsung boleh elakkan berlakunya insiden kehilangan nyawa. Bencana tetap akan berlaku, kerana jika dilihat kepada RTD kawasan itu, ia diletakkan sebagai kawasan sensitif tahap satu dan dua, jadi tidak mustahil akan berlakunya bencana.

    “Kawasan sensitif tahap satu dan dua ini perlu dipelihara sebagai kawasan perlindungan bukannya dijadikan tempat komersial,” katanya.

  • Adik maut, kakak parah dirempuh kereta

    Adik maut, kakak parah dirempuh kereta

    SEORANG penunggang motosikal maut, manakala dua lagi parah dalam kemalangan di Jalan Pekan Gurney, dekat sini, tengah malam tadi.

    Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sitiawan, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Mohd Azizi Zakaria, berkata sebuah kereta dipandu seorang lelaki bertembung dengan motosikal ditunggangi dua beradik.

    Menurut Mohd Azizi, akibat perlanggaran itu, Mohammad Azman Faizal, 20, yang menunggang motosikal maut di tempat kejadian, manakala kakaknya, Siti Norazualina Faizal, 26, parah.

    “Berdasarkan maklumat dari saksi kejadian, kereta masuk ke laluan bertentangan sebelum melanggar motosikal.

    “Pemandu kereta yang berumur 33 tahun itu dikeluarkan oleh orang awam dan turut parah,” kata Mohd Azizi ketika dihubungi hari ini.

    Menurut Mohd Azizi, kedua-dua mangsa yang parah diberikan rawatan awal sebelum dibawa ke Hospital Seri Manjung, manakala mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

    Terdahulu, pihak BBP Sitiawan menerima panggilan kecemasan jam 12.35 tengah malam. Operasi menyelamat ditamatkan jam 1.47 pagi lapor BH Online.

  • Pemandu mabuk lawan arus punca kemalangan di LDP direman

    Pemandu mabuk lawan arus punca kemalangan di LDP direman

    TINDAKAN lelaki mabuk memandu secara melawan arus mengakibatkan kemalangan dua kenderaan di Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) berhampiran jejambat Taman Megah, dekat Petaling Jaya, hari ini.

    Menurut Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu, 6.09 pagi tadi.

    “Siasatan awal mendapati kemalangan itu berlaku akibat Honda Civic dipandu secara melawan arus oleh seorang lelaki di bawah pengaruh alkohol berusia 27 tahun.

    “Tindakan itu menyebabkan kenderaan berkenaan terlanggar sebuah Proton Saga yang datang dari arah hadapan,” katanya dalam kenyataan, hari ini, lapor Harian Metro.

    Mohamad Fakhrudin berkata, kemalangan itu menyebabkan dua penumpang kereta Honda Civic serta pemandu kereta Proton Saga cedera.

    “Semua mangsa yang cedera dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk menerima rawatan.

    “Pemandu kereta Honda Civic itu pula direman selama dua hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 44 Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

    Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta menghubungi penolong pegawai penyiasat trafik, Sarjan Juwita Selamat di talian 019-2841667 bagi membantu siasatan.

  • Skuad Prihatin Bersatu santuni tahfiz terjejas banjir

    Skuad Prihatin Bersatu santuni tahfiz terjejas banjir

    SKUAD Prihatin Bersatu hari ini menyantuni lebih 50 warga Madrasatul Quran Sahabat di Kampung Bukit Biah, DUN Telemung, antara tempat yang terkesan akibat banjir baru-baru ini.

    Mereka menerima sumbangan kit pembersihan diri yang disampaikan oleh Ahli Parlimen Hulu Terengganu merangkap Timbalan Ketua Badan Pimpinan Negeri BERSATU Terengganu, Datuk Rosol Wahid.

    “Semoga Allah melindungi anak-anak tahfiz disini kerana merekalah pelapis guru-guru agama kepada anak-anak kita nanti, insyaAllah,” kata Rosol lapor BeritaBersatu.

    Antara barangan keperluan harian untuk kegunaan anak-anak tahfiz seperti toto (tilam), tuala, berus gigi dan sabun.

    Sumbangan tersebut adalah kerjasama Pejabat Khidmat Masyarakat Parlimen Hulu Terengganu.

  • Banjir: Penduduk sifatkan terburuk, anggar kerugian cecah RM10,000

    Banjir: Penduduk sifatkan terburuk, anggar kerugian cecah RM10,000

    PENDUDUK Taman Desa Tanjung Damai (TDTD), Gong Badak, Kuala Nerus tidak dapat menahan kesedihan mereka pasca banjir yang berlaku di Terengannu baru-baru ini apabila pelbagai barangan dalam rumah mereka rosak dengan kerugian dianggar mencecah hingga RM10,000.

    Penduduk di kawasan perumahan yang mempunyai hampir 1,000 ketua isi rumah (KIR) itu menyifatkan bah kali ini adalah yang terburuk selepas empat kali kawasan itu dinaiki air banjir sejak 2015.

    Seorang penduduk, Mohd Azmi Awi, 37, berkata, rumahnya pernah dinaiki air banjir namun tidak seteruk pada kali ini.

    Menurutnya, air memasuki rumah agak tinggi sedalam paras lutut dewasa selain terpaksa berpindah selama enam hari di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Gong Badak.

    “Lebih memilukan banyak barangan perabot seperti almari, meja, sofa serta barangan elektrik rosak dan terpaksa dibuang kerana tidak boleh digunakan lagi.

    “Selain itu dokumen kerja saya serta buku sekolah anak juga turut alami kerosakan kerana ditenggelami banjir ‘termenung’. Saya anggarkan jumlah kerugian tidak kurang RM10,000.

    “Walaupun sedih melihat barangan rosak kerana bukan mudah untuk membelinya semula, saya tetap bersyukur kerana semua ahli keluarga selamat daripada perkara yang tidak diingini,” katanya, lapor Berita Harian.

    Banjir di perumahan berkenaan yang berlaku mulai Selasa minggu lalu adalah sedalam satu meter dalam rumah manakala di luar rumah sedalam 1.5 meter.

    Seorang lagi penduduk, Roslina Abd Rahim, 50, berkata dia hilang kata-kata dan menangis selepas barangan perabot dan elektrik rumahnya rosak akibat ditenggelami banjir selama lima hari.

    Ibu tunggal yang sudah menetap di taman berkenaan sejak tujuh tahun lalu bagaimanapun bersyukur kerana tidak mengalami sebarang kecederaan selain struktur bangunan tidak rosak.

    “Selepas dibenarkan pulang ke kediaman, saya menangis kerana banyak barangan perabot dan elektrik rosak, barangan lain juga turut rosak, saya anggarkan kerugian hampir RM10,000 kerana tidak boleh digunakan lagi dan terpaksa dibuang.

    “Saya harap pihak berkuasa dapat menaikkan taraf Rancangan Tebatan Banjir (RTB) bagi memastikan kejadian malang ini tidak berulang lagi,” kata suri rumah itu ketika ditemui di kediamannya.

    Berdasarkan rekod, banjir yang melanda negeri ini adalah yang terburuk dalam sejarah dengan lebih 40,000 mangsa terpaksa berteduh di PPS.

    Terdahulu kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri Terengganu masing-masing mengumumkan ‘saguhati’ RM1,000 kepada setiap KIR mangsa banjir.

  • Warga emas maut jengkaut dikendali jatuh gaung

    Warga emas maut jengkaut dikendali jatuh gaung

    SEORANG warga emas maut selepas jengkaut dikendali jatuh ke dalam gaung dalam kejadian di Jalan Assan Nunggang, Jalan KJD di Sibu, hari ini.

    Mangsa, John ak Singke, 62, maut akibat tersepit di dalam jentera berat itu.

    Menurut Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian pada 3.38 petang.

    Katanya, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintangor kemudiannya dikejarkan ke lokasi kejadian.

    “Pasukan operasi dimaklumkan kemalangan melibatkan sebuah jengkaut jatuh gaung dan terdapat seorang mangsa tersepit.

    “Jarak ke lokasi dari jalan utama dalam anggaran 400 meter dan anggota berjalan kerana tiada akses untuk jentera ke lokasi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Kata kenyataan itu lagi, mangsa dikeluarkan menggunakan peralatan ‘Air Lifting Bag’.

    “Mangsa berjaya dibawa keluar dari lokasi kejadian pada pukul 5.51 petang dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya. lapor Harian Metro.

  • Lima superbike kemalangan, Lebuhraya KLK sesak lebih 8km

    Lima superbike kemalangan, Lebuhraya KLK sesak lebih 8km

    KEMALANGAN membabitkan lima motosikal berkuasa tinggi di Kilometer (KM) 26.5, Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) mengakibatkan aliran trafik menghala ibu negara perlahan lebih lapan kilometer (km).

    Menurut Pengurus Besar Kanan ANIH Berhad, Radzimah Mohd Radzi, laporan awal yang diterima pihaknya mengatakan kemalangan berlaku kira-kira pukul 1.45 tengah hari yang menyebabkan lorong laju di lebuh raya terhalang.

    Katanya, setakat pukul 2.30 petang tadi, lorong laju masih ditutup.

    “Trafik kini agak perlahan sepanjang 8.5 kilometer dari KM35 (Genting Sempah-Gombak hingga ke lokasi kemalangan.

    “Justeru kita minta semua pengguna lebuh raya supaya bersabar dan berhati-hati ketika memandu selain mematuhi arahan petugas di tempat kejadian,” katanya, lapor Berita Harian.

    Terdahulu tular beberapa gambar dan rakaman video membabitkan kemalangan itu di media sosial.

    Difahamkan, kejadian itu tidak membabitkan kehilangan nyawa namun kelima-lima penunggang motosikal terbabit dilaporkan mengalami kecederaan parah.

    Bagaimanapun pihak media sedang menunggu maklumat lanjut daripada pihak polis berkaitan kemalangan itu.

  • Siasatan tragedi tanah runtuh Batang Kali 90 peratus siap

    Siasatan tragedi tanah runtuh Batang Kali 90 peratus siap

    SIASATAN polis berhubung tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, Batang Kali pada 16 Dis yang mengorbankan 31 nyawa kini telah hampir 90 peratus lengkap, kata Ketua Polis Selangor Datuk Arjunaidi Mohamed.

    Beliau berkata kini hanya tinggal siasatan di lokasi kejadian, rakaman percakapan anggota pasukan penyelamat dan laporan patologi daripada pihak hospital untuk mengetahui punca kematian mangsa yang terlibat.

    “Sehingga kini polis telah merakam keterangan daripada 77 orang saksi melibatkan mangsa yang cedera dan keluarga mangsa, operator dan pekerja tapak perkhemahan dan anggota pasukan penyelamat, kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 304 (A) Kanun Keseksaan dan Seksyen 290 Kanun Keseksaan serta Akta Kerajaan Tempatan 1974,” katanya kepada pemberita hari ini.

    Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Tamat Latihan dan Penyampaian Sijil Pentauliahan Inspektor Kor Sukarelawan Polis Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di Bangi hari ini.

    Arjunaidi Mohamed

    Seramai 66 orang pelatih yang merupakan pelajar UKM menerima sijil selepas berjaya menamatkan latihan masing-masing di majlis berkenaan.

    Sementara itu Arjunaidi berkata pihaknya telah mengesan 20 kenderaan yang tertimbus dalam kejadian berkenaan dan sedang mengenal pasti pemiliknya.

    “Pihak polis tidak akan mengeluarkan kenderaan itu kerana ia tertimbus terlalu dalam, jadi ia terpulang kepada pemilik kenderaan itu nanti untuk berbincang dengan pihak insurans mereka berkaitan dengan tuntutan,” katanya.

    Tragedi pada kira-kira pukul 2.30 pagi 16 Dis itu, membabitkan 92 mangsa, dengan 61 daripadanya terselamat manakala 31 lagi terkorban, selepas berlaku runtuhan tanah hingga menimbus kawasan perkhemahan.

    Kejadian menyayat hati itu meragut 18 nyawa individu dewasa dan 13 kanak-kanak.

  • Guru maut motosikal terbabas langgar penghadang

    Guru maut motosikal terbabas langgar penghadang

    Oleh BADLISHAH MAT

    SEORANG guru lelaki maut apabila motosikal dinaiki dipercayai hilang kawalan sebelum melanggar penghadang besi di Kilometer 91.8, Lebuhraya Utara Selatan arah selatan di Sungai Petani, pagi tadi.

    Dalam kejadian pada pukul 8.35 pagi itu, mangsa, Muhammad Nasuha Mustaffa, 34, yang mengajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Kedah, Alor Setar mengalami kecederaan dalaman.

    Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, siasatan awal di tempat kejadian mendapati, mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha Y15 dipercayai terbabas sendiri.

    “Ketika kejadian motosikal mangsa sedang bergerak dari arah utara menghala ke Selatan. Kemalangan dipercayai berlaku apabila kenderaan yang sedang bergerak di lorong kecemasan itu hilang kawalan dan terlanggar penghadang besi di sebelah kiri jalan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Menurut Zaidy, akibat kemalangan itu, mangsa yang berasal dari Kampung Alor Melintang Mukim Gunong, Alor Setar meninggal dunia di tempat kejadian.

    “Mayat dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di sini untuk ujian saringan Covid-19 dan proses bedah siasat,” katanya.

    Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.