Category: Kemalangan / Bencana

  • Penonton maut dirempuh kereta di Litar Dato Sagor

    Penonton maut dirempuh kereta di Litar Dato Sagor

    SEORANG lelaki maut akibat dirempuh kereta yang terbabas di Litar Dato Sagor, Kampung Gajah di Pasir Salak hari ini.

    Rakaman kejadian yang tular di media sosial memaparkan dua buah kereta yang sedang berlumba dalam acara permotoran bergesel hingga menyebabkan salah sebuah kereta berkenaan terbabas.

    Lapor Sinar Harian, kejadian itu menyebabkan beberapa individu yang berada di tepi litar segera lari menyelamatkan diri namun mangsa parah akibat rempuhan berkenaan.

    Beberapa orang penonton kemudian dilihat bergegas untuk memeriksa keadaan mangsa sebelum ambulans tiba untuk memberikan bantuan.

    Difahamkan, mangsa dihantar ke Hospital Changkat Melintang namun disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan.

    Sementara itu, Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Barudin Wariso ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan memaklumkan siasatan lanjut sedang dijalankan.

  • Seorang rakyat Malaysia antara korban kebakaran hotel kasino Kemboja

    Seorang rakyat Malaysia antara korban kebakaran hotel kasino Kemboja

    SEORANG rakyat Malaysia antara yang maut dalam kebakaran di hotel kasino di Poipet, Kemboja.

    Wanita berusia 73 tahun dan suaminya warga Thailand maut dalam kebakaran yang berlaku di hotel kasino Grand Diamond City di Poipet, Wilayah Banteay Meanchey, Kemboja pada 11.30 malam (waktu tempatan) Rabu.

    Wanita itu, yang namanya dirahsiakan dan suaminya berusia 70 tahun pergi ke Poipet untuk menghadiri majlis perkahwinan rakan anak perempuannya.

    M. Ramesh, saudara kepada si mati berkata ahli keluarga cuba menghubungi kedua-dua mereka ketika mengetahui tentang kebakaran itu.

    “Mereka kemudiannya dijumpai terkunci di dalam bilik hotel mereka.

    “Kedua-duanya ditemukan mati akibat terhidu asap,” katanya kepada Bernama.

    Ramesh mengucapkan terima kasih kepada Kedutaan Malaysia di Phnom Penh dan Bangkok atas bantuan menghantar pulang jenazah.

    Wanita itu dikebumikan di Tanah Perkuburan Thai Islam di Bangkok pada petang Sabtu.

    Pengebumian dihadiri ahli keluarga, sanak saudara dan sahabat handai.

    Kebakaran itu mengorbankan sekurang-kurangnya 26 orang – 17 warga Thailand, seorang warga Malaysia dan seorang warga Nepal.

    Timbalan pengerusi Jawatankuasa Kebangsaan Pengurusan Bencana, Kun Kim berkata kebakaran itu dipercayai berpunca daripada litar pintas, lapor AFP. – BERNAMA

  • Kembar ‘buntu’ kelengkapan sekolah dihanyutkan banjir

    Kembar ‘buntu’ kelengkapan sekolah dihanyutkan banjir

    KETERUJAAN pasangan kembar seiras untuk kembali ke sekolah esok selepas bercuti panjang seakan terpadam apabila segala kelengkapan persekolahan mereka dihanyutkan banjir.

    Pasangan itu, Nik Nurul Fatikha Nik Aziz, 12, dan Nik Nurul Fathira, dari Kampung La, Hulu Besut berkata, banjir yang melanda kampung berkenaan, kali ini turut merosakkan peralatan persekolahan sedia ada selain menyebabkan kediaman keluarga mereka ditenggelami air hingga rosak teruk.

    Tambah menyedihkan Nik Nurul Fatikha memberitahu, banjir kali ini memaksa mereka sekeluarga menumpang lama di pusat pemindahan sementara (PPS) Masjid Kampung La dan hanya dibenar pulang ke rumah pada pukul 10 pagi hari ini.

    “Rumah kami rosak teruk akibat banjir, menyebabkan kami terpaksa tinggal lama di PPS walaupun banjir sudah surut.

    “Pagi tadi kami dibenar pulang dan PPS ini ditutup. Esok sekolah pula akan dibuka dan sesi pembelajaran berjalan seperti biasa.

    “Bagaimanapun, kami sudah kehilangan semua kelengkapan sekolah, bagaimana mahu meneruskan pembelajaran seperti sebelum ini,” katanya.

    Nik Nurul Fatikha berkata, disebabkan banjir mereka pernah gagal menghadirkan diri pada hari pembukaan sekolah ketika kali pertama menjejakkan kaki di Tahun Satu Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung La di lima tahun lalu.

    “Namun waktu itu kami bernasib baik, banjir tidak terlalu besar dan ibu saudara, Nik Azizah Nik Muhamad, 47, sempat menyimpan pakaian sekolah di bahagian bumbung rumah yang dijadikan stor ketika musim banjir,” katanya, lapor Berita Harian.

    Sementara itu, Nik Azizah berkata, sejak mereka tinggal di kampung itu kira-kira 25 tahun lalu, banjir tahun ini paling besar sehingga menyebabkan rumah rosak dan perlu dibaiki sebelum dapat diduduki semula.

    “Kami buntu memikirkan di mana mahu mencari wang untuk membaik pulih rumah sepenuhnya kerana hampir semua bahagian rumah perlu dibaiki termasuk bumbung, dinding serta lantai,” katanya.

  • Bomba bantu keluarkan cincin pada kemaluan warga emas

    Bomba bantu keluarkan cincin pada kemaluan warga emas

    KHIDMAT bomba terpaksa digunakan bagi menanggalkan sebentuk cincin yang tersangkut pada kemaluan seorang lelaki warga emas di Hospital Kuala Kangsar, di sini, malam tadi.

    Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, panggilan diterima pukul 7.41 malam dan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kangsar digerakkan ke hospital itu.

    Katanya, lelaki berusia 72 tahun berkenaan berkenaan datang sendiri ke hospital.

    “Bomba mengambil masa kira-kira 10 minit sebelum cincin berkenaan berjaya ditanggalkan.

    “Komander operasi mengarahkan anggota menggunakan pemotong bagi memotong cincin terbabit,” katanya dalam kenyataan, lapor Harian Metro.

  • 2 cedera bas ekspres bawa 30 penumpang terbalik

    2 cedera bas ekspres bawa 30 penumpang terbalik

    SEORANG wanita warga Thailand dan seorang kanak-kanak perempuan warga Indonesia cedera selepas bas ekspres yang dinaiki mereka terbabas dan terbalik kira-kira 500 meter dari Plaza Tol Rawang arah selatan, Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) dekat sini, awal pagi tadi.

    Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Datuk Norazam Khamis berkata wanita berusia 65 tahun itu cedera di kepala manakala kanak-kanak berkenaan cedera di bahagian kaki.

    Beliau berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 1.46 pagi dan seramai 10 anggota bersama beberapa jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Rawang telah digerakkan dan tiba di lokasi kira-kira 40 minit kemudian.

    “Sebaik tiba, kami dimaklumkan terdapat kemalangan membabitkan sebuah bas ekspres yang membawa 30 penumpang masing-masing 16 lelaki, 12 wanita dan dua kanak-kanak terbabas dan terbalik di tepi lebuh raya berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Menurutnya, kedua-dua mereka berada dalam keadaan stabil dan sedang menerima rawatan di Hospital Sungai Buloh. – BERNAMA

  • Peluncur udara maut terhempas di cerun konkrit

    Peluncur udara maut terhempas di cerun konkrit

    SEORANG peluncur udara (paraglider) maut selepas terhempas pada cerun konkrit akibat diterbangkan angin sejurus mendarat dan menurunkan rakan peluncur (penumpang) yang terbang bersamanya, hari ini.

    Kejadian kira-kira pukul 2 petang itu berlaku di kawasan Projek Lebuhraya Pan Borneo berhampiran Kampung Keliangau, Manggatal, di Kota Kinabalu.

    Mangsa lelaki berusia 26 tahun itu dilaporkan mengalami kecederaan parah sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

    Difahamkan, ketika kejadian mangsa dikatakan membawa seorang penumpang meluncur udara menuruni bukit dari kawasan Bukit Kokol, Manggatal dan berjaya mendarat dengan selamat.

    Sebaik penumpang diturunkan, mangsa yang belum sempat menanggalkan tali payung luncur udara dibadannya tiba-tiba ditiup angin kuat menyebabkan mangsa terbang sebelum tubuhnya terhempas ke cerun konkrit.

    Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan Kalsom Idris ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan dan siasatan masih dijalankan.

    “Mayat mangsa dibawa ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Queen Elizabeth I (HQE I) untuk tindakan selanjutnya.

    “Siasatan masih diteruskan dan kes diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut,” katanya, lapor Harian Metro.

  • Dua lelaki maut dalam nahas dua kenderaan di WCE

    Dua lelaki maut dalam nahas dua kenderaan di WCE

    DUA lelaki maut dan seorang lagi cedera apabila kereta yang dinaiki mereka terbabit kemalangan dengan sebuah lagi kenderaan di kilometer 208.6 Lebuhraya Persisiran Pantai Barat (WCE), Manjung, hari ini.

    Kemalangan tersebut berlaku apabila kereta jenis Toyota Vios dinaiki tiga mangsa itu berpusing lalu dirempuh dari arah belakang oleh sebuah kereta jenis Proton Saga yang tidak sempat mengelak.

    Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada pukul 7.35 pagi, sebelum anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sitiawan dikejar ke lokasi.

    “Dipercayai Toyota Vios itu berpusing dan Proton Saga terlanggar dari arah belakang lalu menyebabkan Toyota Vios itu tersangkut di atas pembahagi jalan.

    “Selain itu seorang penumpang tercampak ke dalam parit. Terdapat empat orang mangsa dalam kemalangan dua kenderaan ini. Pemandu lelaki Toyota Vios cedera tersepit manakala dua lagi penumpang lelaki maut di lokasi kejadian.

    “Pemandu kereta Proton Saga selamat dalam nahas itu,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Astro Awani.

    Menurutnya lagi, anggota bomba kemudian menggunakan peralatan khas bagi mengeluarkan mangsa tersepit.

    Operasi diketuai Pegawai Bomba Kanan II, Ellya Syaril Tahrim itu tamat pada pukul 8.46 pagi.

  • Dua pelajar universiti swasta lemas di Sungai Chiling Peretak

    Dua pelajar universiti swasta lemas di Sungai Chiling Peretak

    KESERONOKAN tujuh pelajar sebuah universiti swasta bermandi-manda di Sungai Chiling Peretak, Kuala Kubu Baharu bertukar tragedi apabila dua daripada mereka lemas, tengah hari tadi.

    Mangsa ialah Shaik Rahim Khan Salauddin dan Muhammad Arief Haiqal Azhan masing-masing berusia 21 tahun dari Universiti Kuala Lumpur (UniKL).

    Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Datuk Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan membabitkan kejadian pada pukul 12 tengah hari.

    Katanya, sepasukan lima anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kubu kemudian dikerahkan ke lokasi kejadian.

    “Bomba tiba 21 minit kemudian dan mendapati mangsa pertama telah dibawa naik oleh orang awam dan pihak bomba memberi bantuan pertolongan cemas.

    “Mangsa kedua dijumpai oleh anggota bomba yang melakukan pencarian di kawasan kejadian pada pukul 12.45 tengah hari,” katanya dalam satu kenyataan hari ini, lapor UtusanTV.

  • TLDM siasat bot tempur berlanggar sewaktu demonstrlasi

    TLDM siasat bot tempur berlanggar sewaktu demonstrlasi

    TENTERA Laut Diraja Malaysia (TLDM) menubuhkan Lembaga Siasatan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian pelanggaran bot tempur semasa Hari Terbuka Armada (HTA2022), semalam.

    Bahagian Komunikasi Strategik Markas Pemerintahan Armada Barat dalam satu kenyataan memaklumkan, insiden berlaku ketika sebuah bot tempur TLDM telah hilang kawalan dan terlanggar KD Laksamana Tan Pusmah sewaktu melaksanakan demonstrasi manuvra bagi memintas bot mencurigakan di jeti Pangkalan TLDM Lumut.

    Insiden kira-kira pukul 11.30 pagi tersebut telah mengakibatkan badan kapal KD Laksamana Tan Pusmah terkoyak sepanjang 2 x 1m dan Bot Tempur kemek di bahagian haluan.

    “Tiada kemalangan jiwa atau kecederaan akibat insiden ini. Insiden juga tidak menjejaskan perjalanan HTA22 yang akan diteruskan mengikut atur cara telah ditetapkan,” menurut kenyataan itu.

    Sambutan HTA22 sedang berlangsung bermula semalam hingga esok di Pangkalan TLDM Lumut. – Bernama

  • Pelayan restoran maut selepas bungkusan atas bonet kereta meletup

    Pelayan restoran maut selepas bungkusan atas bonet kereta meletup

    SEORANG lelaki maut selepas bungkusan yang ditinggalkan di atas bonet keretanya meletup ketika dipegang di Pandan Indah, Kuala Lumpur, pukul 8.55 malam tadi.

    Difahamkan mangsa berusia 28 tahun itu terlihat sebuah bungkusan ditinggalkan di atas bonet kereta sebelum cuba mengambilnya.

    Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata,
    bagaimanapun ketika mangsa memegang bungkusan berkenaan, berlaku letupan mengakibatkan kecederaan pada mangsa.

    “Apabila mangsa memegang bungkusan berkenaan, terus berlaku letupan dipercayai daripada bungkusan berkenaan.

    “Mangsa yang mengalami kecederaan parah pada bahagian badan dan tangan telah dibawa oleh orang awam ke Hospital Ampang.

    “Mangsa telah disahkan meninggal dunia pada jam 9.45 malam di Hospital Ampang,” jelasnya dalam satu kenyataan, lapor Astro Awani hari ini.

    Siasatan awal di tempat kejadian turut menemui beberapa kesan lekukan pada kenderaan mangsa dipercayai akibat letupan berkenaan.

    Mengulas sama ada di lokasi kejadian mempunyai rakaman kamera litar tertutup, beliau enggan mengulas lanjut dan siasatan masih dilakukan.

    Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu bunuh yang boleh membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.