Category: Kemalangan / Bencana

  • Tiga sekeluarga termasuk bayi maut kemalangan di LPT2

    Tiga sekeluarga termasuk bayi maut kemalangan di LPT2

    TIGA sekeluarga termasuk bayi berusia dua bulan maut dalam kemalangan setelah kereta dinaiki terbabas di Kilometer 375.8, Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2), dekat Bukit Besi, Dungun pada petang semalam.

    Mangsa, Nik Muhammad Zayyan Irfan Zulhilmi Ismail bersama ibunya, Raja Nurhanani Nabila Raja Hussin, 23 dan neneknya, Noreha Mohamed, 53 meninggal dunia dalam nahas yang berlaku kira-kira jam 6.25 petang.

    Ketua Polis Daerah Dungun, Superintenden Baharudin Abdullah, berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian kira-kira jam 7.30 malam.

    Katanya, sebelum kejadian, lima sekeluarga itu dalam perjalanan dari rumah mereka di Kampung Semat Jal, Wakaf Bharu, Kelantan untuk menghantar Raja Nurhanani dan bayinya pulang ke Kem Tentera Darat Batu 10, Kuantan.

    “Sebaik tiba di lokasi kejadian, kereta Proton Wira dipandu adik mangsa, Raja Haikal Najmi dipercayai hilang kawalan lalu terbabas sebelum melanggar kotak pembetung yang berada di sebelah kiri jalan lalu terbalik,” katanya labor Sinar Harian.

    Susulan itu, sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Berang dikejarkan ke lokasi kejadian untuk mengeluarkan kesemua mangsa.

    Baharudin memberitahu, Nik Muhammad Zayyan bersama neneknya disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian dan dibawa ke Unit Forensik Hospital Dungun untuk tindakan lanjut.

    Sementara itu, katanya Raja Nurhanani yang merupakan penyelia asuhan meninggal dunia jam 10.30 malam ketika menerima rawatan di unit kecemasan Hospital Hulu Terengganu.

    “Dua lagi mangsa yang merupakan adik kepada Raja Nurhanani iaitu Raja Haikal Najmi, 20, patah kaki sebelah kanan dan Raja Nurhumairaa Nadzirah, 17, patah bahu sebelah kiri. Mangsa yang parah dikejarkan ke Hospital Dungun untuk menerima rawatan,” katanya.

    Menurut Baharudin, kes itu disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

  • Bayi 11 bulan maut disyaki tersedak susu

    Bayi 11 bulan maut disyaki tersedak susu

    BAYI perempuan 11 bulan dilaporkan maut dipercayai tersedak susu ketika dijaga pengasuhnya di Rumah Awam Ayer Molek, Melaka semalam.

    Ibu mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Zaidah, 35, berkata, dia dimaklumkan pengasuh kira-kira 11 pagi bahawa anaknya tidak sedarkan diri dan badannya kebiru-biruan.

    “Saya memintanya segera bawa anak ke klinik berhampiran sementara saya bergegas ke sana,” katanya menurut Berita Harian.

    Menurutnya, beliau menghantar anaknya ke rumah pengasuh kira-kira 7.30 pagi sebelum pergi bekerja di Sungai Udang, manakala suami bekerja di Pulau Gadong.

    Beliau berkata, anaknya dijaga pengasuh sejak berusia empat bulan dan setakat ini hospital belum mengesahkan punca kematian kerana perlu menunggu laporan lengkap bedah siasat.

    Jenazah anaknya kemudian dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Titian Bintangor, Alor Gajah kira-kira 10.30 malam tadi.

    Ketua Polis Melaka Tengah, Christopher Patit mengesahkan kejadian itu dan setakat ini kes diklasifikasikan mati mengejut sementara menunggu laporan penuh bedah siasat.

  • Tiga maut, lapan cedera dalam kemalangan libat tiga kereta di Pekan

    Tiga maut, lapan cedera dalam kemalangan libat tiga kereta di Pekan

    TIGA termasuk dua warga emas maut manakala lapan cedera dalam kemalangan melibatkan tiga kereta di KM65, Jalan Kuantan-Segamat di Pekan hari ini. 

    Mereka yang meninggal dunia ialah Ayub Zakaria, 66, yang memandu kereta Toyota Vios dan penumpangnya Podziah Daharun, 65, kedua-duanya beralamat di Segamat, Johor serta penumpang Perodua Myvi Muhammad Azrin Ahmad Nazri, 19, dari Sungai Lembing di sini. 

    Ketua Polis Daerah Pekan Supt Mohd Zaidi Mat Zin berkata kejadian kira-kira 11.20 pagi itu turut melibatkan sebuah kereta Perodua Alza yang dinaiki tiga lelaki, lapor Bernama.

    “Kemalangan berlaku apabila kereta Alza dari Segamat ke Kuantan disyaki hilang kawalan dan terbabas ke laluan bertentangan lalu bertembung dengan Myvi, yang turut dilanggar Vios dari arah Segamat ke Kuantan,” katanya dalam kenyataan. 

    Beliau berkata lapan yang cedera terdiri daripada dua penumpang Alza, pemandu dan tiga penumpang Myvi serta dua penumpang Vios, kesemuanya berusia lingkungan 20 hingga 72 tahun.

    Pemandu Alza bagaimanapun tidak cedera. 

    Katanya mayat dibawa ke Hospital Pekan untuk bedah siasat manakala yang cedera turut dirawat di hospital sama dan kemalangan itu sedang disiasat lanjut mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. 

  • Mayat nelayan ditemu dalam perut buaya

    Mayat nelayan ditemu dalam perut buaya

    PENCARIAN seorang nelayan warga emas hilang dipercayai dibaham buaya di Sungai Kampung Mas-Mas Nasib Kita pada Rabu lalu, berakhir dengan penemuan mayat lelaki itu dalam perut seekor buaya.

    Ketua Bomba Tawau Jemishin Ujin, berkata operasi mencari mangsa, Addi Bangsa, 60, dilakukan bersama Jabatan Hidupan Liar.

    “Pada hari keempat operasi, pasukan Perhilitan menjumpai seekor buaya yang dipercayai membaham mangsa dan bertindak menembak haiwan itu seterusnya membelah perutnya lalu mendapati benar terdapat mangsa di dalam perut haiwan itu.

    “Pengecaman identiti mangsa dilakukan oleh ahli keluarganya dan mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan.

    Sementara itu, Pegawai Jabatan Hidupan Liar Tawau Primus Lambut, mengesahkan perkara itu dan memaklumkan buaya jantan dianggar seberat 800kg serta berukuran 4.26 panjang itu ditembak awal pagi tadi di kawasan laut, kira-kira 1.5km dari lokasi mangsa dilaporkan dibaham buaya.

    “Kami telah menerima maklumat daripada pihak bomba pada hari kedua operasi dan mengarahkan anggota supaya membantu operasi pencarian,” katanya.

    Sebelum ini dilaporkan kehilangan nelayan itu disedari ahli keluarganya kira-kira 4 pagi, Rabu lalu.

  • Empat kedai di Terminal Larkin Sentral terbakar

    Empat kedai di Terminal Larkin Sentral terbakar

    SEBANYAK empat unit kedai di tingkat satu Terminal Larkin Sentral, Johor Bahru terbakar, pagi tadi.

    Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor Penguasa Kanan Bomba I Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 6.50 pagi dan menjalankan operasi pemadaman dengan kekuatan 30 anggota.

    Beliau berkata kebakaran di premis jenis kekal itu melibatkan dua kedai buku yang musnah 90 peratus, satu kedai minyak wangi (70 peratus) serta satu kedai kosmetik dan herba (10 peratus).

    “Operasi pemadaman sedang dilakukan kerana masih terdapat bara di beberapa kawasan terjejas dan kita mahu memastikan api tidak merebak ke kawasan lain. Kebakaran tidak melibatkan mangsa disebabkan waktu kejadian masih belum ramai orang dan penumpang bas berada di terminal bawah.

    “Siasatan awal mendapati kebakaran dipercayai bermula dari kedai buku, sebelum merebak ke tiga kedai lain dan kebakaran menjejaskan kira-kira 10 peratus daripada keseluruhan 640 premis perniagaan yang terdapat di terminal ini,“ katanya kepada pemberita di terminal berkenaan.

    Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia negeri Mohd Hairi Mad Shah dan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan ACP Raub Selamat.

    Ahmad Mukhlis berkata pihak pengurusan Terminal Larkin Sentral memaklumkan operasi perkhidmatan bas ekspres tidak terjejas dan akan beroperasi seperti biasa, manakala premis yang tidak terlibat dengan kebakaran akan kembali dibuka secara berperingkat.

    “Operasi pemadaman berdepan kesukaran kerana melibatkan kawasan dalam lot kedai, jadi perlu lebih berhati-hati. Ada kawasan terjejas turut melibatkan loteng yang runtuh,“ katanya sambil menambah nilai kerugian masih disiasat.

    Sementara itu, Mohd Hairi berkata kerajaan negeri menerusi Perbadanan Usahawan Johor Sdn Bhd (PUJB) akan memberi sumbangan kecemasan berjumlah RM5,000 kepada peniaga yang premis mereka terjejas dalam kebakaran berkenaan bagi mengurangkan beban kerugian.

    “Selain sumbangan kecemasan, kerajaan negeri juga akan cuba bantu mereka yang terlibat menerusi pemberian geran ataupun pinjaman perniagaan. Pihak JKR (Jabatan Kerja Raya) juga akan datang untuk sama-sama membuat penilaian kos kerugian.

    “Saya ucapkan terima kasih kepada bomba yang dapat mengawal kebakaran dengan pantas agar tidak merebak ke kawasan lain dan juga pihak polis yang berjaya mengawal keadaan di terminal ini daripada menjadi kecoh,“ katanya.

  • Tujuh terselamat dalam kemalangan helikopter di Subang

    Tujuh terselamat dalam kemalangan helikopter di Subang

    PIHAK  Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) mengesahkan, sebuah helikopter dengan tujuh penumpang termasuk juruterbang, mengalami kemalangan di kawasan apron hangar Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAA) Subang, hari ini.

    Kejadian jam 11.52 pagi di apron UniKL MIAT itu, membabitkan helikopter jenis Leonardo S.p.A AW189 dengan nombor pendaftaran 9M-BOF.

    Ketua Pegawai Eksekutif CAAM, Kapten Norazman Mahmud, berkata helikopter berkenaan sedang menjalani ujian penerbangan di bawah kendalian Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

    Beliau berkata, menara kawalan trafik udara Subang menerima laporan pada jam 11.52 pagi dan sebelum Perkhidmatan Bomba dan Menyelamat Lapangan Terbang (AFRS) bertindak segera menangani insiden berkenaan.

    “Ada tujuh penumpang termasuk juruterbang dalam helikopter itu dan kesemuanya dilaporkan dalam keadaan stabil.

    “Siasatan lanjut akan dijalankan oleh Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU) Kementerian Pengangkutan mengikut Bahagian XXVI Peraturan-peraturan Penerbangan Awam 2016,” katanya dalam satu kenyataan hari ini, lapor Berita Harian

  • CAP gesa Pulau Pinang selesai segera masalah banjir kilat

    CAP gesa Pulau Pinang selesai segera masalah banjir kilat

    PERSATUAN Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan agensi berkaitan mengambil tindakan segera bagi mengatasi masalah banjir kilat yang sering melanda negeri itu.

    Presiden CAP, Mohideen Abd Kader berkata, kejadian banjir kilat telah berulang kali berlaku sejak beberapa tahun lalu, namun masalah tersebut masih berlarutan sehingga kini, malah dilihat semakin serius.

    Jelas beliau, dalam kejadian awal bulan ini misalnya, kira-kira 10 kawasan melibatkan taman perumahan dan kampung di negeri itu dilanda banjir kilat yang menjejaskan kehidupan penduduk termasuk para pengguna jalan raya.

    “Menerusi tinjauan CAP, kami mendapati kemungkinan punca kejadian ini adalah akibat pelaksanaan projek pembangunan dan kemusnahan hutan semula jadi yang menjadi tempat tadahan air ketika hujan.

    “Selain itu, sistem saliran yang sempit dan tidak diuruskan dengan baik juga menyebabkan ia tidak mampu menampung pengaliran air ketika hujan dari bukit-bukit yang diteroka dan tersekat oleh mendapan lumpur dan sampah-sarap,” katanya kepada pemberita hari ini.

    jurucakap
    Mohideen Abdul Kader

    Tambah Mohideen, masalah itu menjadi bertambah buruk kerana sistem saliran dan sungai gagal berfungsi dengan berkesan.

    Ujarnya, parit serta longkang dipenuhi semak-samun dan pelbagai bahan buangan manakala sungai dan muara sungai menjadi cetek akibat hakisan tanah.

    Kata beliau, pihaknya percaya jika punca-punca tersebut dibiarkan boleh menjejaskan aktiviti harian dan ekonomi penduduk setempat.

    “Malah, ia boleh mengancam keselamatan mereka serta menyebabkan kerugian yang besar akibat kerosakan harta benda,” katanya.

    Sehubungan itu, tegas Mohideen, CAP berharap Kerajaan Negeri Pulau Pinang tidak membenarkan pemaju sewenang-wenangnya memusnahkan hutan dan meneroka bukit di negeri ini tanpa mengambil kira kesan buruk ke atas alam sekitar dan kehidupan penduduk tempatan.

    “Demi masa depan yang lebih selamat daripada sebarang bencana, projek pembangunan yang boleh menyumbang kepada banjir kilat dan mengancam alam sekitar wajar dikaji semula dan dihentikan pelaksanaannya dengan segera,” katanya.

  • Pelajar perempuan maut terjatuh dari tingkat dua bangunan sekolah

    Pelajar perempuan maut terjatuh dari tingkat dua bangunan sekolah

    SEORANG pelajar perempuan Tingkatan Satu di sebuah sekolah menengah di Melaka maut selepas dipercayai terjatuh dari tingkat dua sekolah itu hari ini.

    Ketua Polis Daerah Melaka Tengah ACP Christopher Patit berkata mangsa ditemukan oleh tukang kebun dalam keadaan terlungkup di kaki lima bangunan sekolah itu pada 2.31 petang.

    Beliau berkata siasatan awal mendapati kelas mangsa berada di tingkat dua bangunan sekolah tiga tingkat itu.

    “Kejadian dipercayai berlaku di tingkat dua bangunan tersebut selepas pasukan penyiasat menemukan kasut pelajar terbabit di kaki lima aras sama sekolah terbabit.

    “Tiada saksi yang nampak mangsa terjun atau terjatuh dan tiada kesan perbuatan jenayah di sekitar kawasan,” menurutnya dalam kenyataan malam tadi.

    Katanya mayat mangsa dihantar ke Hospital Melaka untuk bedah siasat dan motif kejadian masih disiasat.

  • Identiti 9 kru kapal kargo hilang dikenal pasti

    Identiti 9 kru kapal kargo hilang dikenal pasti

    OPERASI mencari dan menyelamat (SAR) sembilan kru MV Tung Sung yang hilang selepas kapal kargo itu terbalik di perairan Sebuyau, semalam, diteruskan pagi ini.

    Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Sarawak, Laksamana Pertama Maritim Zin Azman Md Yunus berkata, operasi bermula pada 8 pagi dengan pencarian tertumpu di sekitar Pulau Burung hingga Tanjung Po.

    “Identiti semua sembilan kru kapal itu sudah dikenal pasti dan kesemua mereka berumur antara 20 hingga 52 tahun.

    “Mereka terdiri daripada empat warga tempatan iaitu Chieng Siew Ngiek, Wong Hua Wu, Maxwell Billy Stimba, Stimba Chuit.

    “Empat lagi adalah warga Myanmar adalah That Min July, Ye Lin Htet, Hla Win Tun, Tun Lin Oo, manakala seorang warga Indonesia bernama Lido Ali Purwanto,” katanya, memetik laporan Harian Metro.

    APMM menerima laporan berkaitan kehilangan kapal membawa muatan batu kelikir itu pada 9.40 pagi semalam selepas pihak pengurusan syarikat kapal terbabit gagal mengesan dan menghubungi kru.

    Ketika kejadian, kapal terbabit membawa muatan batu kerikil dari Kuching menuju ke Sarikei.

  • Pemandu ambulans dan anak maut, kemalangan di Jalan Gua Musang – Jeli

    Pemandu ambulans dan anak maut, kemalangan di Jalan Gua Musang – Jeli

    DUA beranak maut dan seorang cedera selepas kereta yang dinaiki mereka bertembung dengan sebuah lori muatan kayu di Kilometer 37 Jalan Gua Musang-Jeli, dalam kejadian kira-kira 6.15 petang, semalam.

    Ketua Polis Daerah Gua Musang, Supt Sik Choon Foo berkata, ekoran daripada pertembungan tersebut mangsa yang bekerja sebagai pemandu ambulans, Mohd Zuki Mohamed Ali, 55, bersama anaknya Muhammad Hasbullah, 15, maut di tempat kejadian, manakala seorang lagi anak mangsa, Muhamad Huzaifah, 18, mengalami kecederaan di dada.

    “Siasatan awal mendapati mangsa bersama dua anak lelakinya dalam perjalanan dari arah Gua Musang menuju ke Jeli.

    “Kenderaan mangsa dipercayai telah masuk ke laluan lori yang membawa muatan kayu dari arah bertentangan ketika melalui jalan yang sedikit berselekoh, menyebabkan kedua-dua kenderaan bertembung,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata kedua-dua mangsa yang meninggal dunia dan cedera dibawa ke Hospital Gua Musang manakala pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan.

    “Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian,” katanya.