Category: Kemalangan / Bencana

  • Wisma Jakel terbakar lagi

    Wisma Jakel terbakar lagi

    SELEPAS dua hari Wisma Jakel di Seksyen 7, Shah Alam terbakar, insiden sama sekali lagi berlaku dan kali ini melibatkan stor langsir terbakar tengah malam tadi.

    Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Datuk Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai insiden berkenaan pada 12.40 tengah malam.

    “Susulan itu sepasukan pegawai, anggota serta aset Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Shah Alam; BBP Puchong; BBP Kota Anggerik;BBP Damansara; BBP Sungai Pinang; BBP Petaling Jaya dan BBP Kota Raja bergegas ke lokasi kejadian.

    “Pasukan bomba tiba di lokasi pada 12.52 tengah malam dan berjaya mengawal kebakaran daripada merebak pada 1.45 pagi.

    “Api kemudian berjaya dipadamkan keseluruhannya pada 3.07 pagi dan kerja-kerja ‘overhaul’ sedang dilakukan.

    “Tiada mangsa dilaporkan terlibat,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Harian Metro.

    Terdahulu, gedung tekstil terkemuka itu dilaporkan terbakar awal pagi 1 Januari lalu dan bomba menerima panggilan kecemasan mengenai insiden berkenaan pada 7.08 pagi sebelum kebakaran berjaya dipadamkan kira-kira 10 jam kemudian.

    JBPM Selangor kemudian menggerakkan Unit Anjing Pengesan (K9) bagi menjalankan kerja-kerja forensik untuk mengenal pasti punca insiden, semalam.

    Difahamkan, laporan siasatan penuh mengenai punca kebakaran akan diperolehi dalam tempoh sebulan.

  • Lelaki dikhuatiri lemas di Tasik Gubir

    Lelaki dikhuatiri lemas di Tasik Gubir

    SEORANG lelaki berumur lingkungan 20-an dikhuatiri lemas di Tasik Gubir dekat Sik pada petang tadi.

    Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Daerah Sik Penolong Penguasa Bomba Zulkhairi Tanjil berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada pukul 4.57 petang dan terus menggerakkan anggotanya ke lokasi untuk operasi mencari dan menyelamat.

    “Pusat Gerakan Operasi Kedah terima panggilan kecemasan mangsa lemas melalui MERS 999 dan jentera-jentera serta bot dengan kekuatan lima anggota bersama pegawai, telah digerakkan ke lokasi kejadian di Tasik Gubir.

    “Jarak lokasi dari balai kita ialah 43 kilometer. Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) turut membantu dalam operasi mencari dan menyelamat ini,” katanya menerusi satu kenyataan ringkas hari ini.

    Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sik Deputi Superintendan Abdull Razak Osman ketika dihubungi, mengesahkan kejadian itu dan berkata berdasarkan maklumat awal diperoleh kemungkinan mangsa ke Tasik Gubir untuk memancing.

    “Siasatan masih dijalankan dan operasi mencari dan menyelamat akan bersambung esok,” katanya.

  • Lelaki maut selepas terjun kolam dekat Batu Arang

    Lelaki maut selepas terjun kolam dekat Batu Arang

    SEORANG lelaki maut selepas terjun ke dalam sebuah kolam di Tasik Puteri Centre Park, Batu Arang, pagi tadi.

    Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Datuk Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada anggota polis pada pukul 10.26 pagi tadi.

    Beliau berkata, maklumat awal daripada polis menyatakan mangsa yang dikenali sebagai C. Aravind Raj, 25, telah terjun ke dalam kolam dipercayai mabuk kira-kira pukul 10 pagi tadi.

    “Sepasukan lima anggota Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) dan tujuh anggota Balai Bomba dan Penyelamat Batu Arang dikerahkan ke lokasi kejadian.

    “Mangsa ditemui pada pukul 1.33 petang dan mayat kemudian diserahkan kepada polis bagi tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini, lapor Utusan TV.

  • Sambutan hari lahir jadi kenangan terakhir bersama cucu

    Sambutan hari lahir jadi kenangan terakhir bersama cucu

    SAMBUTAN hari lahir bersama cucu menjadi kenangan terakhir buat Lokman Marni apabila dua cucunya maut dalam kebakaran di sebuah rumah teres di Kampung Simpang Tiga, Gombak, awal pagi tadi.

    Lokman, 57, berkata Nur Syaza Alfisya Muhammad Faizan, 10, dan adiknya, Muhammad Al Qayyum Muhammad Faizan, 7, hadir majlis hari lahirnya di Sabak Bernam, Selangor pada 26 Dis lepas.

    “Itu kali terakhir saya berjumpa dengan mereka. Mereka berkelakuan seperti biasa serta tidak menunjukkan sebarang perubahan ketika itu,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

    Lokman berkata dia dimaklumkan mengenai kejadian kebakaran itu oleh anak perempuannya pada 4 pagi tadi.

    Menurutnya dia kemudian bergegas ke lokasi sebelum bertemu anaknya yang berada dalam keadaan tidak bermaya kerana terlalu sedih dengan insiden itu.

    “Anak saya sedang sarat mengandung anak ketiga tidak dapat masuk ke dalam rumah…dia cedera di kaki kerana terkena kaca dan kemudian dibawa ambulans ke Hospital Selayang untuk rawatan,” katanya.

    Lokman berkata ketika kejadian, anaknya yang berusia 28 tahun dan suami, 30 tahun, keluar makan kira-kira 3 pagi dan meninggalkan dua anak mereka di dalam rumah.

    Katanya, cucu perempuannya mempunyai penyakit asma dan kedua-duanya disifatkan sebagai manja dalam kalangan ahli keluarga.

    Dalam kejadian awal pagi tadi, Nur Syaza Alfisya dan Muhammad Al Qayyum ditemukan rentung di sebuah bilik dan dipercayai terperangkap ketika kejadian.

    Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Selangor Datuk Norazam Khamis berkata bomba menerima panggilan kecemasan pada 3.54 pagi sebelum 22 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Selayang dan Rawang serta Pasukan Bomba Sukarela Gombak ke lokasi kejadian.

    Kebakaran itu melibatkan kemusnahan dianggarkan kira-kira 70 peratus daripada keseluruhan rumah dan mayat kedua-dua mangsa dibawa keluar pada 4.43 pagi tadi sebelum dihantar ke Hospital Selayang untuk proses bedah siasat.

  • Kebakaran Wisma Jakel: Henti spekulasi, hormati mereka terkesan

    Kebakaran Wisma Jakel: Henti spekulasi, hormati mereka terkesan

    KETUA Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd. Iqbal Ibrahim mengigatkan orang ramai supaya menghentikan spekulasi berlegar dalam media sosial berkaitan kebakaran di Wisma Jakel Seksyen 7 di Shah Alam, semalam.

    “Hormati individu kerugian jutaan ringgit dan mereka yang kehilangan sumber pendapatan,” nasihat Mohd. Iqbal kepada orang ramai terutama netizen agar tidak keterlaluan memberikan pandangan.

    Jelas beliau, setakat ini polis belum menerima sebarang lapoan berkaitan beberapa hantaran dalam media sosial yang mendakwa kejadian kebakaran tersebut disengajakan.

    “Biarpun laporan polis belum diterima berkaitan perkara tersebut, saya ingatkan kepada masyarakat jangan sewenang-wenangnya mengeluarkan kenyataan yang mengguris hati pihak terlibat.

    “Jangan bergembira atas kesedihan orang lain, atau sewenang-wenangnya membuat sebarang dakwaan yang tidak sahih sedangkan kita tidak tahu punca sebenar,” katanya memetik laporan Sinar Harian hari ini.

    Katanya, dakwaan sebegini boleh dikenakan tindakan undang-undang yang tegas.

    “Memang boleh kena tindakan undang-undang, jika laporan bomba sebaliknya, pihak pemilik boleh ambil tindakan sivil atau saman malu.

    “Kes masih dalam siasatan pihak bomba, dan setakat ini punca kejadian masih belum diketahui.

    “Saya mohon kepada masyarakat agar tidak mengeluarkan sebarang spekulasi atau andaian berkaitan perkara ini,” katanya.

    Semalam, Wisma Jakel yang menempatkan gedung jualan pakaian dan stor barangan terbakar dalam kejadian sekitar 7 pagi.

    Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Datuk Norazam Khamis dilaporkan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai insiden berkenaan pada pukul 7.08 pagi.

    Susulan itu, sepasukan pegawai dan anggota serta aset dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Shah Alam, BBP Kota Anggerik, BBP Subang, BBP Kota Raja, BBP Damansara, BBP Sungai Pinang dan BBP Puchong dikejarkan ke lokasi kejadian.

  • Dua beradik rentung dalam kebakaran

    Dua beradik rentung dalam kebakaran

    DUA beradik rentung dalam kebakaran sebuah rumah di Jalan Dewan Simpang Tiga Kampung Tanguit Gombak, Shah Alam, awal pagi ini.

    Mangsa, Nur Syaza Alfisya Muhammad Faizan, 10, dan adiknya, Muhammad Al Qayyum Muhammad Faizan, 7, ditemui rentung dalam kejadian itu.

    Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Selangor, Datuk Norazam Khamis berkata, pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada pukul 3.53 pagi.

    “Seramai 22 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Selayang dan Rawang termasuk Pasukan Bomba Sukarelawan (PBS) dikejarkan ke lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Norazam berkata, semasa kejadian, ibu bapa mangsa tiada di rumah dan mangsa dipercayai cuba keluar berdasarkan keadaan mayat, namun pintu jeriji dalam keadaan terkunci.

    “Kedua-dua beradik itu ditemui rentung pada pukul 4.43 pagi tadi selepas kebakaran dapat dikawal sepenuhnya pukul 4.13 pagi,” ujarnya

    Jelasnya, kebakaran itu melibatkan sebuah rumah teres kelas A berkeluasan 6×24 meter persegi dengan 70 peratus terbakar.

    “Punca sebenar kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan lanjut,” katanya, lapor Sinar Harian.

  • Lelaki hilang dari pusat jagaan ditemui lemas

    Lelaki hilang dari pusat jagaan ditemui lemas

    MAYAT seorang lelaki warga emas ditemui terapung di Sungai Pinang, George Town hari ini.

    Mayat Kang Tan Bok Ghee, 72, ditemui tiga pemancing di pinggir laut berhampiran Lebuh Macallum yang kemudiannya menghubungi Sistem Tindak Balas Kecemasan Malaysia (MERS) 999.

    Timbalan Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintendan V. Saravanan, berkata pihaknya mengarahkan anggota ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan berhubung penemuan mayat pada jam 10.06 pagi.

    “Lelaki beralamat di Butterworth itu tinggal di sebuah rumah jagaan orang tua dikendalikan sebuah persatuan dan didapati hilang kira-kira pukul 9 pagi semalam.

    “Pihak polis berjaya mengesan keluarga mangsa yang kemudiannya hadir membuat pengesahan identiti,” katanya, hari ini lapor BH.

    Saravanan berkata, anak saudara mangsa memaklumkan Bok Ghee tinggal di pusat jagaan berkenaan sejak setahun lalu.

    Pemeriksaan pada tubuh mangsa tidak menemukan sebarang unsur jenayah dan mayat dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Pulau Pinang untuk bedah siasat.

  • Kemalangan Litar Dato’ Sagor: Kerajaan negeri teliti laporan penuh penganjur

    Kemalangan Litar Dato’ Sagor: Kerajaan negeri teliti laporan penuh penganjur

    KERAJAAN Negeri Perak akan meneliti laporan penuh daripada penganjur Pertandingan ‘CCT Battle of Champion’ di Litar Dato’ Sagor, Kampung Gajah susulan kemalangan yang mengorbankan seorang penonton, semalam.

    Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan negeri Khairudin Abu Hanipah berkata tindakan selanjutnya akan dibuat selepas melihat laporan berkenaan khususnya melibatkan aspek keselamatan.

    “Saya mewakili kerajaan negeri mengucapkan takziah kepada keluarga penonton yang maut dan peristiwa semalam sudah pasti sesuatu yang kita kesalkan.

    “Saya akan umumkan apa tindakan selanjutnya selepas menerima dan meneliti semua laporan penuh termasuk daripada pihak berkuasa dari aspek teknikal, keselamatan penonton, pelumba, pegawai bertugas dan sebagainya,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

    Petang semalam, seorang penonton yang juga mekanik sebuah bengkel dilanggar sebuah kereta lumba yang terbabas dan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Changkat Melintang, Lambor Kanan dan hasil bedah siasat mendapati mangsa mengalami kecederaan di kepala dan pendarahan di bahagian paru-paru.

    Khairudin berkata pihaknya tidak berkompromi terhadap pengabaian ciri keselamatan pada setiap acara sukan bermotor apatah lagi melibatkan kehilangan nyawa.

    Tambah beliau, pihak penganjur seharusnya bertanggungjawab terhadap kecuaian dalam melaksanakan program tanpa mengikut prosedur operasi standard (SOP).

  • Dua lelaki Orang Asli maut dalam kemalangan

    Dua lelaki Orang Asli maut dalam kemalangan

    DUA lelaki Orang Asli maut apabila motosikal yang dinaiki bertembung dengan kereta dalam kemalangan di Kilometer 18, Jalan Rasa-Bukit Beruntung, Hulu Selangor pukul 7.15 pagi tadi.

    Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Suffian Abdullah berkata, kedua mangsa berumur 34 dan 35 tahun itu dipercayai dalam perjalanan dari Bukit Beruntung menghala ke Batang Kali.

    “Motosikal jenis Yamaha 135LC dinaiki mereka dipercayai hilang kawalan lalu masuk ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan sebuah kereta jenis Perodua Axia yang dipandu seorang lelaki berumur 56 tahun.

    “Kedua-dua mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan kaki serta disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Katanya, mayat kedua mangsa dibawa ke Hospital Kuala Kubu Bharu untuk proses bedah siasat.

    “Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya, lapor Sinar Harian.

  • Wisma Jakel Shah Alam terbakar, musnah 80 peratus

    Wisma Jakel Shah Alam terbakar, musnah 80 peratus

    GEDUNG tekstil terkemuka, Wisma Jakel cawangan Shah Alam musnah 80 peratus dalam kebakaran di Seksyen 7, Kuala Lumpur, pagi tadi.

    Pihak bomba menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian tersebut pada pukul 7.08 pagi dan sepasukan anggota dari tujuh Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) dikejarkan ke tempat kejadian.

    Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Datuk Norazam Khamis berkata, pasukan pegawai dan anggota serta aset dari BBP Shah Alam; BBP Kota Anggerik; BBP Subang; BBP Kota Raja; BBP Damansara; BBP Sungai Pinang dan BBP Puchong terlibat.

    “Sebaik tiba di lokasi, didapati satu kebakaran membabitkan satu lot kedai tiga tingkat yang sedang terbakar 80 peratus. Bahagian dalam bangunan musnah terbakar.

    “Bagaimanapun api telah berjaya dikawal dan dipadamkan dalam tempoh lebih kurang sejam.

    “Ketika ini pasukan JBPM sedang melaksanakan pemadaman bara bara api dan timbunan kain,” katanya hari ini, lapor Astro Awani.

    Norazam menambah tiada mangsa yang terlibat dalam kebakaran tersebut, dan punca insiden masih dalam siasatan.