Category: Kemalangan / Bencana

  • Banjir : Empat jalan terputus hubungan, 45 orang dipindahkan di Ranau

    Banjir : Empat jalan terputus hubungan, 45 orang dipindahkan di Ranau

    EMPAT jalan terputus hubungan di daerah Ranau akibat kejadian hujan lebat berterusan dan banjir pada petang semalam.

    Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah dalam kenyataan memaklumkan jalan utama yang menghubungkan Kota Kinabalu-Sandakan di Km179.308 telah ditutup serta-merta akibat banjir.

    Kenyataan itu memberitahu Jalan Marakau-Kinapulidan-Kigik, dan Jalan Libang-Marakau juga ditutup disebabkan banjir, manakala Jalan Kituntul Lama ditutup kerana tanah runtuh.

    “Hujan berterusan lebih tiga jam telah menyebabkan beberapa kawasan kampung di daerah ini telah dinaiki air iaitu Kampung Libang, Kituntul dan Marakau.

    “Susulan itu, hingga 8 pagi ini seramai 45 mangsa daripada 14 keluarga dipindahkan ke PPS (pusat pemindahan sementara) di PPS Dewan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ranau yang dibuka pada 12.45 tengah malam tadi,” menurut kenyataan itu.

    Enam lokasi di daerah itu telah dikenal pasti sebagai lokasi berisiko di daerah Ranau iaitu Kampung Libang, Marakau, Kituntul, Silou, Lasing dan Bahab.

    “Pemantauan pada pagi ini mendapati kejadian banjir sudah semakin surut,” menurut kenyataan itu.

    Sementara itu, Jabatan Kerja Raya Negeri Sabah dalam kenyataan berasingan memberitahu pengguna Jalan Kota Kinabalu-Sandakan boleh menggunakan dua jalan alternatif untuk ke destinasi masing-masing.

    “Kenderaan kecil boleh menggunakan Jalan Sinarut Baru-Togudon Baru, manakala kenderaan berat di Jalan Marak Parak-Kota Marudu-Kota Kinabalu,” menurut kenyataan itu.

  • Nenek, cucu melecur dalam kebakaran

    Nenek, cucu melecur dalam kebakaran

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG nenek dan cucunya melecur dalam kebakaran di rumah mereka di Taman Gembira, Johor Bahru hari ini.

    Dalam kejadian itu, wanita warga emas berusia 70 Tahun dan seorang kanak-kanak berusia 10 tahun melecur manakala seorang wanita dewasa berusia 30-an cedera.

    Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Larkin, Penolong Penguasa Bomba Shamsul Khomari Bakar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kejadian tersebut pada pukul 5 pagi.

    Beliau berkata, seramai 19 anggota dari BBP Larkin dan BBP Tebrau dibantu satu jentera Fire Rescue Tender (FRT) serta satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke tempat kejadian.

    “Kebakaran melibatkan sebuah rumah jenis kekal berkeluasan kira-kira 1.4 x 6.5 meter telah terbakar 60 peratus. Terdapat tiga mangsa yang cedera dan melecur semasa kejadian berlaku.

    “Seorang daripada mangsa berkenaan melecur kulit dan seorang lagi cedera di muka akibat serpihan kaca,” katanya dalam satu kenyataan.

    Beliau berkata, semua mangsa dihantar ke Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini menggunakan ambulans dan EMRS J2-20
    Kempas.

    Jelasnya, punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan, operasi menyelamat mangsa selesai pada pukul 6.35 pagi.

  • Peniaga warga emas maut, motosikal terbabas dalam semak

    Peniaga warga emas maut, motosikal terbabas dalam semak

    SEORANG peniaga maut selepas motosikal ditungganginya terbabas ke dalam semak di Jalan Tanjung Lumpur berhampiran Bandar Putra, Kuantan pukul 8.30 malam tadi.

    Ketua Polis Daerah Kuantan Asisten Komisioner Wan Mohd. Zahari Wan Busu berkata, mangsa emas tersebut, Muhammad Firdaus Ching Abdullah, 62 tahun, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

    “Siasatan awal polis mendapati mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha LC135 dari arah Kuantan menghala ke arah Kempadang.

    “Apabila sampai di tempat kejadian, motosikal mangsa dipercayai hilang kawalan lalu terbabas ke dalam semak di bahu jalan sebelah kiri.

    “Akibat kemalangan itu, mangsa telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini, lapor Astro Awani.

    Beliau berkata, mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) bagi proses bedah siasat.

    Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut diteruskan.

  • Pemandu lori lawan arus dipercayai mabuk ditahan

    Pemandu lori lawan arus dipercayai mabuk ditahan

    PEMANDU lori yang dirakam melawan arus hingga terbabit nahas dua buah kenderaan lain di Kilometer 5.5 Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia-Singapura (Linkedua) di Iskandar Puteri petang ini dipercayai memandu di bawah di bawah pengaruh alkohol.

    Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Rahmat Arrifin berkata, siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku semasa pemandu lori berusia 41 tahun itu dalam perjalanan dari Kulai menghala ke Tanjung Pelepas.

    Menurutnya, laporan berhubung kejadian itu diterima pada pukul 4.30 petang.

    “Apabila sampai di kawasan rehat dan rawat (R&R) Gelang Patah menghala ke selatan, pemandu lori telah terlepas susur ke Pelabuhan Tanjung Pelepas dan memandu melawan arus untuk masuk semula ke susur pelabuhan tersebut.

    “Lori dipandu di lorong paling kanan melawan arus bertembung dengan dua buah kereta iaitu Mercedes Benz dan Nissan Almera yang berada di laluan tersebut,” katanya menerusi kenyataan hari ini,

    Mengulas lanjut Rahmat berkata, kemalangan itu menyebabkan lelaki berusia 44 tahun yang memandu Mercedes Benz mengalami kecederaan pada bahagian leher dan kaki.

    Jelasnya, mangsa telah dibawa ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru untuk mendapatkan rawatan.

    “Pemandu lori telah ditahan dan didapati berada bawah pengaruh alkohol semasa kejadian.

    “Kes disiasat mengikut Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Sementara itu, Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan II, Syuhaidy Fazly Yahya berkata seramai 13 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Larkin bersama sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) ke lokasi kejadian bagi membantu mangsa.

    Sebelum itu tular, rakaman video berdurasi 50 saat memaparkan sebuah lori dipandu dalam keadaan melawan arus sebelum bertembung dengan sebuah kereta di Linkedua.

  • Lori lawan arus punca kemalangan 3 kenderaan

    Lori lawan arus punca kemalangan 3 kenderaan

    TINDAKAN seorang pemandu lori memandu lawan arus di lebuh raya Linkedua-Tanjung Kupang di Iskandar Puteri petang ini nyaris meragut nyawa beberapa pengguna jalan raya.

    Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri Johor, kejadian berlaku sebelum kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Tanjung Kupang.

    Katanya, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 4.31 petang hari ini.

    Menurutnya, sebuah jentera Fire Rescue Tender dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Larkin dengan kekuatan 13 anggota diketuai oleh Pegawai Bomba Kanan II Syuhaidy Fazly Yahya dikerah ke tempat kejadian.

    “Kemalangan membabitkan lori lima tan yang dipandu melawan arus sebelum merempuh sebuah kereta jenis Mercedes Benz E250 dan kereta jenis Nissan Almera.

    “Pemandu kereta Mercedes Benz E250 mengalami cedera ringan dan dikeluarkan oleh orang awam.

    “Mangsa iaitu seorang lelaki dewasa berusia 44 tahun dibawa dengan ambulans untuk menerima rawatan manakala pemandu lori berusia iaitu lelaki 41 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan dan didapati tidak terperangkap,” katanya, lapor Harian Metro.

    Beliau berkata, manakala pemandu kereta Nissan Almera seorang wanita berusia 46 tahun juga dalam keadaan selamat.

    “Operasi tamat pada 5.18 petang hari ini,” katanya menerusi siaran media hari ini.

  • Dakwaan kebakaran Wisma Jakel disengajakan tidak logik

    Dakwaan kebakaran Wisma Jakel disengajakan tidak logik

    PENGARAH Urusan Kumpulan Jakel, Datuk Seri Mohamed Faroz Mohamed Jakel menegaskan dakwaan kebakaran Wisma Jakel di Seksyen 7 di Shah Alam disengajakan kerana hendak menuntut insurans adalah tidak logik

    Beliau sebaliknya mempersoalkan dakwaan tular di media sosial itu memandangkan cawangan gedung tekstil di Shah Alam adalah kedua paling maju selepas Jakel Mall, Kuala Lumpur.

    “Shah Alam merupakan kedua terbanyak jualan yang mana setahun memberikan sebanyak hampir RM300 juta, buat apa kita bakar?

    “Sudah dua minggu berturut-turut orang ramai disebabkan cuti sekolah. Kejadian berlaku pada hari Ahad, iaitu seminggu sebelum tamat jualan murah dan memang orang tengah sesak beli barang.

    “Hari Jumaat pun barang berapa juta masuk (seperti) kain-kain baru untuk menyokong jualan. Kemudian, hari raya lagi tiga bulan dan memang waktu untuk membeli-belah selain Shah Alam kebiasaannya padat kalau musim perayaan,” katanya kepada Sinar Harian hari ini.

    Mohamed Faroz berkata, bukan kerja pihaknya untuk melakukan perbuatan kotor seperti itu.

    “Kita ada lebih 500 pekerja, gaji pun kita komited bayar. Ini kedai tutup setahun kita hilang jualan. Gaji sebulan berapa? Lebih RM2 juta. Kalau kita bakar, mana nak dapat RM2 juta untuk bayar (gaji).

    “Insurans bukan boleh bayar esok. Insurans nak kena proses dan ada prosedur. Mungkin enam bulan atau setahun.

    “Selepas itu jumlah barang lebih daripada insurans. Buat apa kita nak ambil satu langkah yang merosakkan nama Jakel. Apabila ini berlaku, kita pun terkesan. Tetapi kita reda dengan kehendak ALLAH dan yakin ada hikmah di sebaliknya,” katanya.

    Sementara itu, Mohamed Faroz memaklumkan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka yang membuat fitnah tersebut selain telah membuat laporan polis mengenainya.

    “Kita akan buat beberapa lagi laporan polis dan sudah dapatkan maklumat-maklumat (ini) semua serta meneruskan (tindakan undang-undang) bagi pemfitnahan-pemfitnah ini,” katanya.

  • Kebakaran Wisma Jakel : Polis ambil alih kes jika ada unsur khianat

    Kebakaran Wisma Jakel : Polis ambil alih kes jika ada unsur khianat

    POLIS hanya akan mengambil alih siasatan kes kebakaran di Wisma Jakel, Seksyen 7 di Shah Alam sekiranya didapati terdapat unsur khianat dikesan, berdasarkan hasil laporan bomba.

    Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Mohd Iqbal Ibrahim berkata setakat ini polis belum menerima apa-apa laporan daripada pemilik Wisma Jakel atau mana-mana pihak lain, berkaitan punca kebakaran bangunan itu.

    Beliau sekali lagi mengingatkan orang ramai, terutama pengguna media sosial supaya tidak membuat spekulasi atau tuduhan berhubung punca kebakaran itu.

    “Kita hentilah (buat spekulasi) yang cuba menimbulkan kemarahan pekerja yang hilang pekerjaan. Kejadian ini kita tidak minta berlaku, jadi berhati-hatilah dalam mengeluarkan kenyataan,” katanya ketika ditemui berhampiran lokasi kejadian di Wisma Jakel, hari ini.

    Katanya enam orang anggota polis termasuk dari cawangan trafik di Pusat Kawalan Hadapan (PKH) bersama petugas bomba ditempatkan di sekitar tempat kejadian bagi mengawasi keselamatan lokasi kebakaran.

    Mohd Iqbal turut menasihatkan pengguna jalan raya supaya tidak meletakkan kenderaan atau berhenti di bahu jalan untuk melihat kerja-kerja pemunggahan barangan tekstil yang terselamat, atau sengaja meninjau tempat kejadian, kerana ia akan mengganggu lalu lintas.

    Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim. GAMBAR: Warta Rakyat

    “Saya nasihatkan (orang ramai) supaya tidak berhenti bagi mengambil gambar, atau apa sahaja tujuan supaya lalu lintas di kawasan ini dapat berjalan lancar, dan proses pemunggahan dapat dilaksanakan,” katanya.

    Selepas bangunan lot kedai yang cukup terkenal di Shah Alam itu mengalami kemusnahan lebih 80 peratus akibat kebakaran pada awal 1 Jan lepas, Wisma Jakel sekali lagi dilaporkan terbakar tengah malam tadi apabila bilik simpanan kain langsirnya di tingkat atas bangunan itu dijilat api lewat tengah malam tadi.

  • Pekerja binaan maut terjatuh dari ketinggian 70 meter

    Pekerja binaan maut terjatuh dari ketinggian 70 meter

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG pekerja warganegara Nepal berusia 42 tahun maut selepas terjatuh dari tempat tinggi di sebuah tapak projek pembinaan di Pasir Gudang pada pukul 10.21 pagi semalam.

    Menurut Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Johor, hasil siasatan awal yang dijalankan pihak JKKP mendapati mangsa merupakan pekerja sub-kontraktor yang dilantik bagi kerja-kerja pembuka perancah di kawasan pembinaan berkenaan.

    “Ketika kejadian mangsa telah terjatuh dari ketinggian 70 meter ke aras bawah. Mangsa mengalami cedera parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan.

    “Susulan itu JKKP Johor telah mengeluarkan notis larangan serta merta berkaitan aktiviti kerja merombak perancah kepada pihak majikan termasuk arahan larangan kacau ganggu tempat kejadian,” menurut JKKP Johor dalam kenyataan hari ini.

    Jelas kenyataan itu, siasatan lanjut akan dijalankan bagi mengenal pasti punca-punca kemalangan dan pihak yang bertanggungjawab atas kemalangan tersebut.

    JKKP Johor katanya, akan mengambil tindakan perundangan ke atas pihak yang bertanggungjawab sekiranya didapati terdapat pelanggaran di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994.

    “JKKP memandang serius setiap kemalangan yang berlaku terutamanya melibatkan pekerja mahupun orang awam. Majikan mempunyai kawalan penuh ke atas sebarang aktiviti di tempat kerja,” menurut jabatan itu lagi.

    Tambah JKKP, majikan bertanggunjawab untuk mengenal pasti terlebih dahulu bahaya-bahaya di tempat kerja, membuat penilaian risiko dan seterusnya mengadakan kawalan risiko di tempat kerja yang berkesan sebelum pekerja menjalankan aktiviti kerja.

    “Ini bagi mengurangkan risiko ke atas pekerja dan mengelakkan sebarang kemalangan. Adalah menjadi tanggungjawab majikan untuk melaporkan kemalangan maut yang berlaku dengan serta merta kepada JKKP dengan cara yang paling cepat.

    “Kejadian seumpama ini boleh dielakkan jika majikan melakukan penaksiran dan kawalan risiko yang komprehensif mengikut kaedah dinyatakan dalam Garis Panduan Pengenalpastian Hazard, Penaksiran Risiko dan Kawalan Risiko (HIRARC),” jelas JKKP.

  • Amaran hujan berterusan di Sarawak, Sabah, Kelantan, Terengganu

    Amaran hujan berterusan di Sarawak, Sabah, Kelantan, Terengganu

    JABATAN Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran mengenai hujan berterusan tahap waspada di beberapa bahagian di Sarawak bermula hari ini hingga 4 Jan.

    Dalam kenyataan yang dikeluarkan pada 1.30 tengah hari ini MetMalaysia memaklumkan hujan berterusan itu dijangka berlaku di Kuching, Serian, Samarahan, Sri Aman, Betong, Sarikei, Sibu dan Mukah.

    Hujan berterusan juga diramal di beberapa kawasan di Sabah membabitkan Sandakan (Telupid, Kinabatangan, Beluran dan Sandakan) dan Kudat.

    MetMalaysia dalam kenyataan sama memberitahu keadaan cuaca sama turut dijangka berlaku di Kelantan dan Terengganu bermula 6 hingga 7 Jan ini.

    Menurut kenyataan itu, di Kelantan ia melibatkan Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Jeli, Tanah Merah, Bachok, Machang, Pasir Puteh dan Kuala Krai, sementara bagi Terengganu pula membabitkan Besut, Setiu, Kuala Nerus dan Kuala Terengganu. – BERNAMA

    MetMalaysia, Sabah, Sarawak, Terengganu, Kelantan, hujan, cuaca

  • Bomba fokus unsur sabotaj kebakaran kedua Wisma Jakel

    Bomba fokus unsur sabotaj kebakaran kedua Wisma Jakel

    UNSUR perbuatan bakar dan sisa bara api menjadi antara fokus utama siasatan bomba Selangor susulan kebakaran terbaru di bilik simpanan kain langsir Wisma Jakel, Seksyen 7, Shah Alam, awal pagi tadi.

    Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Datuk Norazam Khamis berkata bagaimanapun siasatan pihaknya akan memberi tumpuan kepada semua aspek dan dikaji secara mendalam agar maklumat menyeluruh dapat diperoleh.

    “(Punca bara di bawah kain), itu kami masih siasat dan mengambil aspek yang perlu kami analisa. Mungkin bara-bara yang tertinggal atau ada sesiapa yang naik melakukan pembakaran. 

    “Aspek-aspek lain juga akan dilihat dan dikaji secara mendalam. Setakat ini belum ada lagi satu kesimpulan yang boleh dibuat mengenai kebakaran kedua ini,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian kebakaran di Wisma Jakel, hari ini. 

    Norazam berkata pihaknya memerlukan tempoh 14 hari bagi menjalankan siasatan dan analisa awal termasuk mendapatkan saksi kejadian itu.  

    Jelas Norazam pihaknya hari ini turut menggerakkan khidmat Unit Anjing Pengesan (K9) iaitu dua ekor anjing jantan dari baka English Springer Spaniel bernama Woody dan Rocco untuk mengesan apa-apa bahan yang boleh mencetuskan kebakaran.

    “Sampel dan sebagainya kami akan hantar ke makmal penyiasatan kami di Bukit Jelutong untuk dianalisa. Selain itu, aspek pendawaian dan peralatan elektrik yang digunakan oleh bangunan Wisma Jakel juga akan turut dianalisa,” katanya.

    Dalam pada itu, Norazam berkata pihaknya hari ini mula membuka Pusat Kawalan Hadapan (PKH) dengan menempatkan lebih 10 anggota sebagai langkah pemantauan dan berjaga-jaga sekiranya berlaku kebakaran berulang.

    “Kebakaran setakat ini sudah dipadamkan sepenuhnya namun langkah pemantauan menyeluruh masih diteruskan,” katanya.

    Di samping itu, beliau turut memaklumkan orang awam tidak dibenarkan sama sekali memasuki kawasan lokasi kejadian kecuali dengan pengawasan dan diiringi pihak berkuasa.

    “Bomba dengan dibantu pekerja Jakel akan menjalankan kerja-kerja pemunggahan semua barangan terutama fabrik yang terselamat daripada premis Wisma Jakel mulai hari ini,” katanya.  

    Wisma Jakel di Seksyen 7 hari ini mengalami kebakaran kali kedua apabila bilik simpanan kain langsirnya terbakar tengah malam tadi selepas pihaknya menerima panggilan pada 12.40 tengah malam dan kebakaran itu berjaya dipadam keseluruhannya oleh pihak bomba pada 3.07 pagi.

    Sebelum ini, gedung tekstil terkemuka itu dilaporkan terbakar awal pagi 1 Jan lepas dan pihak bomba menerima panggilan kecemasan mengenai insiden tersebut pada 7.08 pagi dan berjaya dipadamkan.