Category: Kemalangan / Bencana

  • Lelaki hilang tiga hari rupanya maut selepas terbabas di selekoh jalan

    Lelaki hilang tiga hari rupanya maut selepas terbabas di selekoh jalan

    MISTERI kehilangan seorang lelaki sejak Sabtu lepas akhirnya terjawab apabila mayatnya ditemukan di KM22 Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli, petang semalam.

    Ketua Polis Daerah Gerik Supt Zulkifly Mahmood berkata sebelum itu, bapa mangsa membuat laporan polis berhubung kehilangan anaknya berusia 46 tahun itu di Balai Polis Kuala Ketil kira-kira 2 petang semalam.

    “Rakan-rakan mangsa kemudian mencarinya selain memaklumkan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Gerik kira-kira 5.30 petang semalam berhubung penemuan mayat lelaki itu di kawasan kejadian.

    “Siasatan awal mendapati, mangsa yang menunggang motosikal jenis Kawasaki Ninja ZX63 bergerak bersendirian dari arah Gerik menghala ke Banjaran Titiwangsa kira-kira 12 tengah hari Sabtu lepas. Sampai di tempat kejadian, mangsa dipercayai hilang kawalan, terbabas sendiri lalu terjatuh ke bahu jalan dan terperosok ke dalam semak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Beliau berkata mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Gerik untuk bedah siasat yang selesai dijalankan pagi tadi dan diserahkan kepada pihak keluarga untuk urusan pengebumian. 

    Zulkifly berkata kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan siasatan lanjut masih dijalankan. — BERNAMA 

  • Kapal kargo Malaysia hilang di perairan Indonesia

    Kapal kargo Malaysia hilang di perairan Indonesia

    SEBUAH kapal kargo Malaysia yang membawa muatan besi paip dari jeti Kampung Acheh, Perak ke Kuching, Sarawak dilaporkan hilang sejak 10 hari lalu.

    Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, pihaknya menerusi Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Johor Bahru menerima maklumat dari MRSC Langkawi pada 5.13 petang semalam berkaitan kehilangan kapal kargo MV Dai Cat 06 yang berdaftar di Malaysia.

    Menurutnya, maklumat diterima susulan laporan polis yang dibuat pukul 12.11 tengah hari semalam oleh ejen kapal yang dikendalikan lima kru itu.

    Katanya, laporan mendakwa kapal kargo MV Dai Cat 06 keluar dari jeti di Perak pada 23 Disember 2022 dan sepatutnya tiba di Kuching, Sarawak pada 31 Disember 2022.

    Beliau menjelaskan, lokasi terakhir kapal ini dikesan menerusi sistem Automatic Identification System (AIS) adalah pada 1 Januari lalu di perairan Indonesia iaitu 0.2 batu nautika dari sempadan perairan negeri Johor.

    “Maklumat terkini yang diperolehi pada 10.42 malam semalam, suatu isyarat kecemasan Emergency Position Indicatior Radio Beacon (EPIRB) dikesan daripada kapal kargo MV Dai Cat 06 di kedudukan 30 batu nautika barat laut Pemangkat, Indonesia.

    “Isyarat kecemasan ini dikesan oleh Malaysia Mission Control Centre (MYMCC) dan Police Operation Command Centre (POCC) Singapura,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat APMM Johor di Johor Bahru, hari ini, lapor Harian Metro.

    Nurul Hizam berkata, Kapal MV Dai Cat 06 dikendalikan lima kru termasuk tiga warga tempatan dan dua kru warga Indonesia berusia antara 20 hingga 57 tahun.

    Beliau berkata, Maritime Rescue Control Centre (MRCC) Putrajaya memaklumkan kepada pihak berkuasa Indonesia bagi mengesan kapal kargo berkenaan.

    Menurutnya, MRSC Johor Bahru turut menghantar IMB Piracy Alert dan Navigational Telex (NAVTEX) bagi memohon bantuan komuniti Maritim sekiranya memiliki maklumat berkaitan kehilangan kapal berukuran 52 meter itu.

    Ketika diminta mengulas sama ada kejadian berkenaan terdapat unsur serangan lanun mahupun masalah teknikal kapal berikutan cuaca buruk, Nurul Hizam menyatakan tidak mahu membuat sebarang andaian.

    “Kita tidak mahu membuat sebarang andaian apa yang terjadi tanpa mendapat gambaran atau maklumat jelas.

    “Kita terus berkomunikasi dengan Indonesia dan meminta bantuan untuk mengesan kapal berkenaan,” katanya.

  • Pemandu bas maut, lapan penumpang cedera nahas tiga kenderaan

    Pemandu bas maut, lapan penumpang cedera nahas tiga kenderaan

    PEMANDU bas maut manakala lapan penumpang cedera selepas terbabit dalam nahas tiga kenderaan di Kilometer 32.5 Lebuhraya Utara Selatan (arah utara) di Kulai, malam tadi.

    Mangsa, Ismail Tapah, 65, dilaporkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian badan dan kepala.

    Menurut Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Tok Beng Yeow, kemalangan yang berlaku kira-kira pukul 9.30 malam itu membabitkan tiga kenderaan iaitu bas, kereta dan lori.

    Katanya, dalam kemalangan terbabit, selain warga emas yang maut, lapan penumpang bas cedera ringan.

    “Hasil siasatan awal mendapati kemalangan disyaki berlaku apabila lori yang sedang bergerak terus menghala ke arah utara terbabas di tengah jalan dan tersangkut di bahagian tengah besi pembahagi jalan.

    “Kemudian, bas dipandu mangsa yang datang dari arah sama menghala ke utara, tidak sempat mengelak dan melanggar lori berkenaan dari belakang.

    “Akibat pelanggaran itu, bas terbabas ke longkang di kiri jalan sebelum kereta pula terlanggar lori berkenaan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini, lapor Berita Harian.

    Beng Yeow berkata, pemandu lori dan pemandu kereta tidak mengalami sebarang kecederaan.

    Katanya, kenderaan yang terbabit akan dibawa ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) Senai untuk pemeriksaan.

    “Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

    Sementara itu, Komander Operasi, Penolong Penguasa Bomba Fairuz Helmi Mohd Ali, berkata 22 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kulai dan BBP Skudai dikejarkan ke lokasi kemalangan selepas menerima panggilan kecemasan pada pukul 10.17 malam.

    Katanya, setibanya di tempat kejadian, pasukan keluaran operasi (PKO) bertindak mengeluarkan mangsa yang cedera dan meninggal dunia dari bas berkenaan.

    “Mereka yang cedera dihantar ke hospital menggunakan ambulans manakala mangsa yang meninggal dunia diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.

    “Operasi ditamatkan pada pukul 12.42 tengah malam,” katanya.

  • Remaja Orang Asli maut diserang gajah liar

    Remaja Orang Asli maut diserang gajah liar

    SEORANG remaja lelaki Orang Asli berusia 15 tahun maut dipercayai akibat diserang seekor gajah liar di kebun durian di Kampung Tual di Pos Sinderut, Kuala Lipis, hari ini. 

    Ketua Polis Daerah Lipis, Supt Azli Mohd Noor, berkata pihaknya dimaklumkan mengenai kejadian yang menimpa Andy Yok Manin pada jam 4.30 petang oleh batin kampung itu. 

    “Mangsa dikatakan berada di kebun durian yang terletak kira-kira 30 kilometer dari rumahnya bersama ahli keluarga. 

    “Gajah itu dikatakan terlebih dahulu menyerang di Kampung Regang, namun dapat dihalau penduduk menyebabkan ia menuju ke kebun durian itu,” katanya. menerusi kenyataan, di sini hari ini. 

    Azli berkata keluarga mangsa telah membawa balik mayat mangsa ke rumah selepas serangan gajah itu tamat. 

    Mayat dihantar ke Hospital Kuala Lipis untuk bedah siasat. – BERNAMA 

  • 440 penternak rugi lebih RM3.9j akibat banjir Disember lepas

    440 penternak rugi lebih RM3.9j akibat banjir Disember lepas

    SERAMAI 440 penternak seluruh negara direkodkan mengalami kerugian lebih RM3.9 juta akibat banjir pada Disember lepas, kata Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Dr Suratan Kamarudin.

    Beliau berkata kerugian itu membabitkan kematian ternakan dan kerosakan kandang, homplot (tanaman rumput), peralatan serta mesin ladang.

    “Saya berharap kerajaan akan menyalurkan bantuan kepada penternak seperti yang telah diperuntukkan pada tahun-tahun sebelum ini.

    “JPV sentiasa melakukan pemantauan dan penilaian berterusan bagi tujuan menyalurkan bantuan kepada penternak terjejas dalam industri ternakan,” katanya kepada pemberita selepas Program Penyerahan Bantuan Makanan Haiwan Kesayangan Pasca Banjir di Kelantan di sini hari ini.

    Dr Suratan berkata pada 2021 kerajaan membelanjakan lebih RM1.6 juta bagi membantu 287 penternak terjejas berikutan bencana di seluruh negara.

    Beliau berkata semasa musim banjir, jabatan itu telah membantu mengenal pasti kawasan tinggi untuk pemilik memindahkan haiwan ternakan mereka seperti lembu, kambing, ayam dan itik ke tempat lebih selamat.

    Mengulas mengenai kejadian positif demam babi Afrika (ASF) yang dikesan di Pulau Pinang, Dr Suratan menasihatkan pemilik ladang ternakan babi supaya meningkatkan kawalan bagi membendung penularan.

    Beliau berkata antara negeri berisiko berlaku wabak adalah Pulau Pinang, Selangor, Perak dan Johor.

    Semalam, sebuah lagi ladang ternak babi di Kampung Valdor, Seberang Perai Selatan, Pulau Pinang ditutup ekoran kes baharu penyakit ASF dikesan di ladang berkenaan, menjadikan dua kes terkumpul positif ASF membabitkan dua ladang ternakan babi di negeri itu, setakat ini. – BERNAMA

  • Dua maut kereta terjunam dalam parit

    Dua maut kereta terjunam dalam parit

    DUA lelaki maut selepas kenderaan yang mereka naiki terhumban ke dalam parit berhadapan Balai Bomba dan Penyelamat Meru Raya, Meru, awal pagi tadi.

    Jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat Meru Raya berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan kejadian itu pada 5.19 pagi.

    “Kereta jenis Honda Accord dinaiki kedua-dua mangsa mengalami remuk di bahagian hadapan dan pihak bomba menggunakan peralatan khas bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit.

    “Kedua-dua mangsa telah disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang hadir dan pihak bomba berjaya mengeluarkan mayat mangsa 30 minit kemudian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Seorang daripada mangsa dikenali sebagai R Dhaarnish, 29, manakala seorang lagi tidak dapat dikenal pasti identitinya.

    Operasi tamat sepenuhnya pada 7.44 pagi

  • Bomba potong jeriji tingkap, selamatkan dua beranak daripada kebakaran

    Bomba potong jeriji tingkap, selamatkan dua beranak daripada kebakaran

    DUA beranak berjaya diselamatkan anggota bomba apabila rumah mereka musnah terbakar di Bandar Universiti, Seri Iskandar awal pagi tadi.

    Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, anggota bomba menggunakan peralatan khas memotong jeriji tingkap bagi mengeluarkan dua mangsa iaitu ibu dan anak perempuannya.

    Katanya, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada pukul 2.04 pagi, sebelum anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seri Iskandar dengan dibantu BBP Parit bergegas ke lokasi.

    “Kebakaran melibatkan sebuah rumah kelas A berkeluasan 20×70 yang musnah terbakar 30 peratus.

    “Dua mangsa wanita iaitu ibu dan anak perempuannya berjaya diselamatkan oleh anggota bomba, dengan memotong jeriji tingkap dan keluar melalui tingkap.

    “Tiada kecederaan yang dialami oleh mangsa tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini lapor Astro AWANI.

    Katanya lagi, anggota bomba membuat kerja pemadaman dengan menggunakan satu aliran 100 kaki dua pancutan dengn sumber air dari tangki jentera.

    Operasi yang diketuai oleh PPgB Muhamad Ashraf Mat Isa itu tamat pada pukul 4.15 pagi.

  • Pelajar tingkatan tiga kritikal terjun bangunan sekolah

    Pelajar tingkatan tiga kritikal terjun bangunan sekolah

    SEORANG pelajar lelaki tingkatan tiga cedera parah selepas dikatakan terjun dari tingkat tiga bangunan sekolahnya di Sepang, semalam.

    Ketua Polis Daerah Sepang ACP Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata polis dimaklumkan mengenai kejadian itu oleh pihak sekolah selepas pelajar berkenaan ditemukan dalam keadaan terbaring dan berlumuran darah di bahagian kepala oleh guru di sekolahnya pada kira-kira 10 pagi.

    Menurutnya remaja berusia 15 tahun itu kini dirawat di Hospital Putrajaya dan berada dalam keadaan kritikal dan tidak sedarkan diri.

    “Siasatan awal polis mendapati tiada unsur jenayah ditemui,” katanya ketika dihubungi.

    Beliau berkata ada saksi mendakwa melihat pelajar terbabit berada di kaki lima tingkat tiga bangunan berkenaan sebelum terjun.

    Wan Kamarul Azran berkata pihaknya dimaklumkan pelajar itu telah beberapa kali menjalani sesi bimbingan dan kaunseling daripada pihak sekolah kerana mengalami kemurungan ketika di sekola

  • Murid tujuh tahun tahan sakit sejam bibir tersepit penutup botol

    Murid tujuh tahun tahan sakit sejam bibir tersepit penutup botol

    SEORANG murid lelaki berusia tujuh tahun terpaksa menahan kesakitan selama sejam selepas bibirnya tersepit pada penutup botol.

    Menurut Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Kuala Lumpur, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 10 pagi.

    Katanya, sepasukan enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Keramat diketuai Komander Operasi Mohd Rusdi Ibrahim kemudiannya bergegas ke Klinik Desa Tun Hussein Onn, Jelatek.

    “Bomba berjaya mengeluarkan bibir mangsa dari penutup botol dengan menggunakan ‘mini grinder’,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Tambahnya, mangsa mengalami bengkak pada bibir dan dihantar ke hospital bagi menerima rawatan lanjut.

  • Remaja hilang dalam hutan ditemui lemas di air terjun

    Remaja hilang dalam hutan ditemui lemas di air terjun

    SEORANG remaja yang dilaporkan hilang dalam hutan berhampiran Laman 3 Budaya Asahan, Jasin petang semalam ditemui lemas di air terjun di kawasan rekreasi berkenaan awal pagi ini.

    Mangsa, Muhammad Radif Azahari, 19 tahun, yang hilang sejak pukul 7 petang selepas pergi ke kawasan rekreasi itu bersama seorang rakannya, ditemui oleh anggota bomba dan penyelamat pada pukul 1.29 pagi tadi.

    Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Jasin (BBP) Jasin, Penguasa Bomba Kanan II, Seleman Tugi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 10.24 malam sebelum 16 anggota bergegas ke lokasi kejadian.

    “Laporan awal diterima daripada seorang rakan mangsa yang dipercayai bersama-sama pergi ke kawasan rekreasi itu petang pada semalam dan setibanya di tempat kejadian, operasi mencari dan menyelamat (SAR) terus digerakkan.

    “Operasi ini kita lakukan dalam radius 500 meter dari kawasan mangsa dipercayai hilang dan selepas hampir tiga jam operasi dijalankan, pasukan SAR akhirnya menemui mangsa lemas di kawasan air terjun,” katanya dalam kenyataan, lapor Astro Awani.

    Mengulas lanjut Seleman memberitahu, mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Tangkak untuk dibedah siasat selain kes berkenaan turut diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tangkak.

    Operasi SAR mangsa turut dibantu oleh Unit Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) BBP Melaka dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).