PENCARIAN seorang lelaki dikhuatiri lemas di Sungai Pahang dekat Kampung Batu Bor, Bera pada Sabtu berakhir apabila ditemukan hari ini.
Mayat Faizal Akmal Fikri Mohd. Fauzi, 20, dijumpai terapung oleh Unit Anjing Pengesan (K9) pada pukul 10.44 pagi.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Ismail Abdul Ghani berkata, mangsa ditemui pada jarak 0.9 kilometer dari lokasi kejadian.
“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) pada hari ketiga (Isnin) melibatkan tiga anggota dan dua ekor anjing dari Unit K9, dua anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Triang dan enam anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA).
“Operasi turut mendapat bantuan pihak polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Persatuan Bulan Sabit Malaysia (PBSM).
“Operasi bermula jam 8.30 Isnin dan mayat mangsa telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan memetik laporan Sinar Harian.
Pada Sabtu, mangsa dipercayai lemas ketika mandi bersama lima rakannya di lokasi kejadian.
SEMBILAN Wanita UMNO cedera selepas terbabit kemalangan ketika dalam perjalanan pulang ke Kemaman selepas menghadiri persidangan Perhimpunan Agung UMNO 2022 (PAU 2022) di Kilometer 240.6 Lebuhraya Pantai Timur arah trimur, Kuantan, semalam.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, van dinaiki sekumpulan wanita yang dipercayai ahli UMNO itu dipandu oleh pemuda berusia 37 tahun.
“Van yang dinaiki kumpulan itu dikatakan terbabas akibat mengelak sebuah kenderaan lain yang brek secara mengejut.
“Siasatan awal mendapati, pemandu bersama sembilan orang penumpang dari arah Kuala Lumpur hendak menghala ke arah Kemaman selepas selesai program PAU 2022.
“Akibat kemalangan tersebut, pemandu tidak mengalami sebarang kecederaan, namun sembilan penumpang wanita mengalami kecederaan ringan dan kini mendapatkan rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afazan (HTAA),” katanya memetik laporan Sinar Harian.
Beliau memaklumkan, hasil siasatan awal mendapati kemalangan berlaku atas kecuaian pemandu yang tidak dapat mengawal kenderaan ketika memandu sehingga menyebabkan kemalangan.
Katanya, kes masih dalam siasatan lanjut di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Dalam pada itu, Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Noraini Ahmad, semalam, memaklumkan mendapat perkhabaran tentang kemalangan yang melibatkan rombongan perwakilan Wanita UMNO Bahagian Kemaman, Terengganu di Lebuhraya Pantai Timur ketika mereka di dalam perjalanan pulang ke rumah masing-masing pada petang Sabtu.
POLIS Pulau Pinang mengesahkan daging-daging khinzir yang dikesan bertaburan di sepanjang Jalan Pokok Tampang menghala ke Lahar Yooi, Tasek Gelugor semalam adalah sisa dari tempat sembelihan haiwan itu yang terjatuh ketika sedang dibawa ke tapak pelupusan.
Pemangku Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Superintenden Siti Nor Salawati Saad berkata, polis menerima maklumat daripada orang awam berkenaan sisa-sisa daging khinzir yang bertaburan di sepanjang jalan terbabit hingga menimbulkan rasa kurang menyenangkan.
Tambahnya, aduan itu diterima sejak pukul 6 pagi semalam di Balai Polis Tasek Gelugor dan Sungai Dua.
Jelas beliau, pemantauan di lokasi juga mendapati terdapat sisa-sisa khinzir hasil penyembelihan di jalan berkenaan seperti yang dilaporkan.
“Bagaimanapun, kerja-kerja pembersihan telah dijalankan oleh pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat, Balai Bomba Tasek Gelugor, Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) serta kakitangan syarikat terbabit.
“Kes ini disiasat mengikut Peruntukan Kaedah 19, Kaedah-Kaedah Lalu Lintas 1959 (L.N. 166/59),” ujar beliau dalam kenyataan.
Dalam pada itu, beliau menasihati orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi tidak benar berhubung insiden itu yang boleh menjejaskan keharmonian dan ketenteraman awam.
Terdahulu, beberapa keping gambar mengenai kejadian tersebut tular di media sosial sejak awal pagi semalam termasuk ada pihak mendakwa ia sengaja dilakukan oleh pihak tertentu atau terdapat unsur-unsur sabotaj.
KANAK-KANAK lelaki berusia 11 tahun ditemukan lemas di Pantai Kemayang, petang kelmarin.
Semasa kejadian, mangsa, Muhammad Hanif Nurhaqim Amran dipercayai datang berkelah dan mandi bersama keluarganya di pantai itu.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bachok, Ahmad Ridhuan Mohamad Ghazali berkata, mangsa dipercayai bermain di tembok penghadang ombak sebelum terjatuh ke dalam laut bersama abangnya, Muhammad Hanif Lokman, 12.
Bomba katanya, menerima panggilan pada pukul 5.55 petang sebelum bergegas ke lokasi.
“Mayat mangsa ditemui di kepala tembok penghadang ombak kira-kira 200 meter dari lokasi dipercayai terjatuh. Bagaimanapun, sebelum itu abang mangsa sempat diselamatkan orang awam,” katanya memetik laporan Sinar Harian, hari ini.
Menurutnya, mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
DUA individu rentung selepas terperangkap dalam kereta dinaiki yang terbakar akibat kemalangan dengan sebuah lori di Kampung Datuk Sharif Ahmad, Jalan Temerloh, Kuala Krau, hari ini.
Kejadian pada pukul 10.48 pagi itu mengakibatkan kereta terlibat terbakar sepenuhnya.
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, terdapat dua mangsa tersepit dalam kereta itu.
“Kereta itu terbakar 100 peratus manakala lori mengalami kemusnahan 80 peratus.
“Seramai 15 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Krau dan Temerloh dengan tiga jentera memadam kebakaran itu,” katanya, lapor Harian Metro
Beliau berkata, kebakaran berjaya dipadam sepenuhnya pada jam 11.46 pagi dan operasi mengeluarkan mangsa dijalankan.
Katanya, mangsa yang tersepit ditemukan rentung dan mayat diserahkan kepada polis.
LAPORAN siasatan kes kebakaran di Wisma Jakel di Seksyen 7, di sini dijangka siap selewat-lewatnya pada hujung bulan ini, kata Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor Datuk Norazam Khamis.
Katanya laporan itu meliputi hasil analisis sampel kebakaran yang diambil di setiap sudut bangunan berkenaan serta dokumen daripada pihak Jakel sendiri.
Selain itu katanya, pihak bomba juga akan menyiasat tentang dakwaan beberapa bahagian dalam wisma berkenaan yang diubah suai tanpa mendapat sijil perakuan bomba (FC) untuk dimasukkan dalam laporan berkenaan.
“Bangunan tersebut mempunyai FC pada peringkat awal, tapi saya akan semak semula dengan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan siasat secara mendalam.
“Jika ada perubahan (pengubahsuaian) mungkin ia masih dalam proses permohonan kerana tempoh pandemik COVID-19 selama dua tahun sebelum ini dan kemungkinan permohonan itu tergantung, tapi semua blok itu ada FC,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Lawatan Kerja Rasmi Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid ke JBPM Negeri Selangor dan Majlis Penganugerahan Pingat Perkhidmatan Bomba di Ibu Pejabat JBPM Selangor hari ini.
Sementara itu, Norazam turut memaklumkan bangunan berkenaan masih selamat untuk diduduki dan digunakan semula kerana tempoh kebakaran yang tidak lama dan hanya melibatkan kemusnahan fabrik.
” (Namun) mungkin pihak Jakel perlu mencari pihak tertentu untuk mengukur tahap ketahanan bangunan tersebut. Tapi setakat ini, wisma itu tiada masalah (untuk digunakan semula),” katanya.
Media sebelum ini melaporkan gedung tekstil terkemuka itu terbakar sebanyak dua kali pada 1 dan 3 Jan lepas membabitkan anggaran kerugian hampir RM100 juta.
Terdahulu, Majlis Penganugerahan Pingat Perkhidmatan Bomba hari ini menyaksikan seramai 83 pegawai dan anggota bomba dari seluruh negeri Selangor menerima Pingat Kebesaran Jabatan atas kecemerlangan perkhidmatan mereka sepanjang 2020 yang disampaikan Mohammad Hamdan.
Norazam berkata daripada jumlah tersebut seramai 68 anggota menerima Pingat Cemerlang Bomba manakala selebihnya mendapat Pingat Setia Bomba.
PENYAKIT demam babi Afrika (ASF) di Pulau Pinang kini diisytihar sebagai bencana setelah Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) negeri itu mengesahkan setakat hari ini tujuh buah ladang babi komersil dijangkiti penyakit terbabit.
JPV Pulau Pinang dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, sebanyak tujuh buah ladang babi komersial itu masing-masing lima di daerah Seberang Perai Selatan (SPS) dan dua di Seberang Perai Tengah (SPT).
Menurutnya, pengesahan penyakit itu dibuat melalui ujian Polimerase Chain Reaction (PCR) yang dijalankan oleh Makmal Veterinar Zon Utara Bukit Tengah, pada 4 hingga 12 Januari lalu ke atas sampel babi dari ladang-ladang tersebut.
”Bagi mengawal dan mencegah perebakan penyakit ASF, JPV Pulau Pinang telah menjalankan ‘stamping out policy’ menerusi pemusnahan babi di ladang yang disahkan positif penyakit ASF.
“Pemusnahan tersebut dijalankan menggunakan kaedah gas CO2 (High Concentration) mengikut garis panduan Kod Amalan Kebajikan Haiwan Pengurusan Pelupusan Haiwan sebelum ditanam secara sempurna,” kata kenyataan itu.
Tambah kenyataan itu, sehingga hari ini, sebanyak 929 ekor babi telah dimusnahkan dari ladang di daerah SPS.
Jelasnya, pemusnahan akan diteruskan pada hari ini di ladang kedua setelah terdapat banyak kematian babi di ladang terbabit dan dijangka memakan masa kira-kira satu minggu untuk diselesaikan.
“Aktiviti pemusnahan tidak dapat dimulakan dengan lebih awal akibat kekangan kawasan untuk dijadikan tapak pelupusan babi,” katanya.
Tambahnya, bagi mengesan jangkitan dan perebakan penyakit ASF di kawasan berhampiran aktiviti pemantauan, pemeriksaan klinikal dan persampelan bagi kesemua ladang ternakan babi dalam radius lima kilometer (km) dari ladang yang terlibat terus aktif dijalankan.
Katanya, aktiviti pemantauan dan pemeriksaan karkas juga giat dijalankan di semua rumah sembelihan babi berlesen di Pulau Pinang.
Dalam pada itu, kenyataan itu menambah, sekatan jalan raya (SJR) telah mula dijalankan di jalan-jalan masuk ke kawasan perkampungan Valdor bermula 10 Januari lalu.
“SJR ini dijalankan bagi mengawal pergerakan keluar dan masuk babi hidup serta karkas babi dari kawasan jangkitan seterusnya mengawal penularan penyakit ASF ini ke kawasan lain,” katanya.
DUA ejen insurans maut apabila kereta dinaiki mereka merempuh sebuah lori tangki dalam kejadian di Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ), berhampiran Serkam, Jasin, awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5 pagi itu, kedua-dua mangsa Badrul Shyam Noor Ibrahim, 31, dan Ezham Hazim Ahyat, 33, disahkan maut di lokasi kejadian selepas mengalami kecederaan parah.
Pemangku Ketua Polis Daerah Jasin, Asisten Superintendan Mohd. Fadzli Othman berkata, siasatan awal mendapati kedua-dua mangsa yang beralamat di Johor Bahru itu dalam perjalanan dari arah Melaka menghala ke Muar.
“Kedua-dua mangsa yang menaiki kereta jenis Toyota Vios ini sedang menghala ke arah Muar manalaka lori tangki yang turut terlibat dalam kemalangan ini pula dari arah Serkam menghala ke Jasin.
“Apabila lampu isyarat sudah bertukar hijau, lori tangki yang dipandu lelaki berusia 42 tahun meneruskan perjalanan seperti biasa sebelum kereta dinaiki mangsa secara tiba-tiba melanggar bahagian sisi lori tersebut dan terbalik di tengah jalan,” katanya dalam kenyataan.
Ujarnya, pemandu lori berkenaan bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan, manakala mayat kedua-dua mangsa terlibat dihantar ke Hospital Jasin untuk proses bedah siasat.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” tambahnya lapor Astro Awani.
SEORANG lelaki tempatan yang merupakan orang kena tahan (OKT) meninggal dunia dalam lokap di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Larkin di Johor Bahru semalam.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, OKT berusia 47 tahun itu mati semasa ditahan dalam lokap semasa menunggu untuk dituduh di mahkamah Johor Bahru semalam.
“Sebelum itu lelaki berkenaan mengadu sakit dan muntah-muntah pada pada pukul 6.20 pagi semalam sebelum dibawa ke Klinik Kesihatan Larkin untuk menerima rawatan pada pukul 7.45 pagi.
“Namun pegawai perubatan yang memberi rawatan kemudian telah mengesahkan kematian OKT pada pukul 8.30 pagi. Bedah siasat dijadualkan di Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru pada hari ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, setakat ini kes tersebut diklasifikasikan sebagai mati mengejut, Unit Jabatan dan Siasatan Jenayah Dalam Tahanan (USJKT) Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard, Bukit Aman akan melakukan siasatan kes berkenaan.
Raub berkata, OKT ditahan kelmarin kerana mempunyai rekod orang dikehendaki berkenaan kes di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Menurutnya, OKT berkenaan mempunyai 12 rekod lampau berkaitan kes dadah.
KEHILANGAN kapal kargo dari Malaysia, MV Dai Cat 06 yang membawa muatan besi paip masih belum mendapat petunjuk.
Bagaimanapun, Pengarah Maritim Negeri Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, lima kru kapal iaitu dua warganegara Indonesia dan tiga warga tempatan sudah dikenal pasti.
Kelima-lima kru MV Dai Cat 06 itu ialah Adi,43 sebagai Master (Indonesia), Damai Papane Ole, 57, (ketua jurutera) serta tiga rakyat Malaysia Mohammad Syafarizan Mohd Noor, 24, (kletua pegawai), Mohammad Sudeh Sudin, 20, (kelasi) dan Derrent Littor, 22, (kelasi).
“Pihak kami akan terus bekerjasama dengan Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan (Basarnas) Republik Indonesia selepas kapal itu kali terakhir di kesan di perairan negara itu.
“Basarnas akan mengkoordinasikan pencarian kapal kargo membawa muatan 527 besi paip itu yang dianggarkan bernilai RM726,000, selepas dikesan di republik itu pada kedudukan 30 batu nautika barat laut Pemangkat.
Nurul Hizam menunjukkan lokasi terakhir kapal Kargo MV Dai Cat 06 yang dikesan berdekatan 0.2 batu nautika dari sempadan perairan negeri Johor pada 1 Januari lalu.
“Berdasarkan maklumat terakhir itu diterima pada 11 malam semalam, Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Johor Bahru daripada Maritime Rescue Control Centre (MRCC) Putrajaya dimaklumkan, Basarnas Republik Indonesia akan mengkoordinasikan pencarian kapal kargo itu.
“Ini berdasarkan maklumat berkemungkinan kapal berada dalam perairan Indonesia. Sehingga kini tiada maklumat terkini penemuan kapal berkenaan. Kami masih menunggu maklumat dari pihak MRCC dan Basarnas,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan, di Johor Bahru, hari ini.
Semalam, kes kehilangan sebuah kapal kargo dari jeti Kampung Acheh, Perak ke Kuching, Sarawak hilang pada 1 Januari lalu dilaporkan.
Kehilangan kapal diketahui selepas ejen kapal membuat laporan polis pada Isnin, yang mendakwa kapal kargo MV Dai Cat 06 keluar dari jeti Perak pada 23 Disember 2022 dan sepatutnya tiba di Kuching, Sarawak pada 31 Disember 2022.
Lokasi terakhir kapal ini dikesan menerusi sistem Automatic Identification System (AIS) adalah pada 1 Januari lalu di perairan Indonesia iaitu 0.2 batu nautika dari sempadan perairan negeri Johor lapor Astro Awani.