Category: Kemalangan / Bencana

  • Wanita larikan diri dari polis ditemukan mayatnya terapung

    Wanita larikan diri dari polis ditemukan mayatnya terapung

    MAYAT wanita yang terjun ke Sungai Belat dekat Jeti Tanjung Punai, Kuantan, ketika cuba melarikan diri daripada serbuan polis ditemukan lemas, pukul 11.36 pagi tadi.

    Unit selam Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang menemukan mayat berkenaan kira-kira 50 meter dari lokasi mangsa terjun.

    Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Wan Zahari Wan Busu berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) anita berkenaan yang berusia 42 tahun itu disambung pada hari kedua kira-kira 8 pagi tadi.

    “Pencarian bertumpu kepada rondaan menggunakan bot di sepanjang sungai berkenaan meggunakan tiga buah bot milik Polis Marin dan JBPM.

    “Turut memberi bantuan dalam operasi SAR adalah unit K9 JBPM mengunakan dua ekor anjing nama yang diberi nama Pop dan Blade,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Katanya, mayat mangsa dibawa ke darat untuk siasatan lanjut dan pengecaman oleh anak mangsa mengesahkan identitinya, lapor Harian Metro.

  • 44 penumpang cemas bas persiaran terbakar di Tol

    44 penumpang cemas bas persiaran terbakar di Tol

    SERAMAI 44 penumpang berdepan detik cemas selepas bas persiaran dinaiki mereka terbakar di Plaza Tol Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang, pagi tadi.

    Penolong Pengarah Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Hafisham Mohd. Noor berkata, bomba menerima panggilan kecemasan berhubung kebakaran itu pada pukul 6.19 pagi.

    “Bas persiaran itu dari Johor Bahru menghala ke Kuala Lumpur dan mengalami kebakaran 100 peratus.

    “Bagaimanapun, seramai 44 penumpang dan pemandu bas terbabit berjaya menyelamatkan diri,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Hafisham berkata, kebakaran tersebut turut merebak dan menyebabkan bumbung pondok tol terbakar 10 peratus.

    “Api berjaya dipadamkan kira-kira setengah jam kemudian. Punca kebakaran masih dalam siasatan,” katanya, lapor BH Online.

  • Percutian berakhir tragedi, budak lemas mandi kolam renang

    Percutian berakhir tragedi, budak lemas mandi kolam renang

    PERCUTIAN sekeluarga di sebuah villa di Labuan, berakhir tragis apabila anak lelaki mereka berusia enam tahun lemas ketika mandi di kolam renang di premis itu, hari ini.

    Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Unit Kecemasan Hospital Labuan, dalam kejadian pukul 7.45 pagi itu.

    Menurut Ketua Polis Daerah Labuan, Superintendan Ahmad Jawila, siasatan awal mendapati mangsa yang menginap di villa berkenaan bersama kanak-kanak lain pergi mandi di kolam renang yang terletak di hadapan villa.

    Katanya, ibu mangsa berada di tepi kolam dan mengawasi mangsa mandi bersama kanak-kanak yang lain.

    “Kira-kira 15 minit kemudian, semua kanak-kanak yang mandi di dalam kolam itu diarah untuk masuk ke dalam villa.

    “Namun, ibu mangsa tidak melihat anaknya lalu masuk ke dalam rumah untuk mencari mangsa.

    “Selang beberapa minit, beberapa kanak-kanak menjerit di kawasan kolam kerana menemui mangsa di dalam kolam dengan keadaan tidak sedarkan diri,” katanya dalam kenyataan, hari ini, lapor Berita Harian.

    Ahmad berkata, mangsa kemudian diangkat ke tepi kolam sebelum diberikan bantuan pernafasan kecemasan (CPR).

    Bagaimanapun, katanya, mangsa disahkan meninggal dunia dan siasatan awal mendapati bahawa tiada unsur jenayah dalam kejadian itu.

    “Polis sedang menjalankan siasatan lanjut dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian supaya menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau terus berhubung dengan Ibu Pejabat Polis Daerah Labuan di talian 087-412222.

    “Kes diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut (SDR),” katanya.

  • Teragak-agak semasa melintas jalan, lelaki maut dirempuh kereta

    Teragak-agak semasa melintas jalan, lelaki maut dirempuh kereta

    SEORANG pejalan kaki maut dilanggar sebuah kereta dalam kemalangan jalan raya di Kilometer 19, Jalan Lipis – Merapoh di Lipis, awal pagi ini.

    Ketua Polis Daerah, Superintendan Azli Mohd Noor berkata, kejadian pukul 6.50 pagi itu melibatkan pembantu makmal, Muhammad Fadly Riduan, 41, yang beralamat di Seksyen 24, Shah Alam, Selangor, yang meninggal dunia di lokasi.

    Menurutnya, siasatan mendapati, pemandu kereta Proton Saga yang dalam perjalanan ke arah Kuala Lipis, sudah memperlahankan kenderaannya setibanya di lokasi selepas melihat seorang lelaki hendak melintas dari kiri ke kanan jalan.

    “Pemandu berusia 38 tahun itu telah memperlahankan keretanya kerana melihat seorang lelaki melintas jalan dari arah kiri ke kanan.

    “Secara tiba-tiba, lelaki terbabit berpatah balik ke arah lokasi menyebabkan pemandu (Proton Saga) cuba mengelak ke kiri namun terlanggar mangsa,” katanya, lapor Berita Harian.

    Azli berkata, akibat kemalangan itu, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala.

    “Hasil siasatan mendapati punca kemalangan adalah disebabkan oleh kecuaian si mati iaitu melintas jalan tanpa kecemasan.

    “Lokasi kemalangan adalah di kawasan jalan lurus, keadaan jalan berturap serta basah, tiada bahu jalan. Sistem jalan satu lorong dua hala, terdapat garisan tengah putus-putus. Keadaan cuaca basah akibat hujan, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) APJ 1987, ” katanya.

  • Ibu, anak enam bulan maut nahas dua kenderaan

    Ibu, anak enam bulan maut nahas dua kenderaan

    SEORANG ibu bersama bayi lelakinya yang berusia enam bulan maut dalam kemalangan melibatkan dua kenderaan di Kilometer 35 Jalan Gua Musang-Kuala Krai di Gua Musang, malam semalam.

    Kejadian pukul 12.40 tengah malam itu, Khoirul Bariyyah Mohamed Sokeri, 28, yang duduk di bahagian hadapan penumpang kereta jenis Perodua Axia bersama bayinya, Muhammad Alfah Abdul Rahim, enam bulan maut di tempat kejadian.

    Suami mangsa pula patah tangan kiri dan pinggang manakala anak lelakinya yang berusia lima tahun patah di kedua-dua kaki dan mereka dirawat di Hospital Kuala Krai.

    Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Gua Musang, Deputi Superintendan Azmi Mokhtar, Perodua Axia yang dinaiki empat beranak dalam perjalanan dari Subang Selangor menuju ke Kota Bharu.

    “Bagaimanapun sebaik tiba di lokasi kejadian, kenderaan dipandu seorang anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) berusia 28 tahun itu hilang kawalan dan masuk laluan bertentangan sebelum bertembung dengan kereta jenis Naza Ria.

    “Akibat dari pertembungan itu, seorang wanita bersama bayi lelakinya berusia enam bulan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Azmi berkata, mayat dua beranak itu dihantar ke Hospital Gua Musang untuk dibedah siasat.

    “Manakala pemandu kereta Naza Ria tidak mengalami sebarang kecederaan.

    “Kes disiasat dibawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu sehingga menyebabkan kemalangan maut,” katanya, lapor Harian Metro.

  • Dua individu rentung nahas lori kontena disahkan suami isteri

    Dua individu rentung nahas lori kontena disahkan suami isteri

    POLIS mengesahkan dua individu yang rentung dalam kejadian kemalangan sebuah lori kontena di Kilometer 259.6 arah selatan berhampiran susur keluar Plaza Tol Port Dickson pagi tadi merupakan sepasang suami isteri.

    Menurut Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof, mangsa dikenali sebagai Mazlan Molot, 48, beralamat Taman Putra Damai, Petaling Jaya dan Fauziah Uyop berusia lingkungan 40-an.

    Katanya, kemalangan turut melibatkan sebuah kenderaan Proton X70 yang dipandu seorang lelaki berusia 31 tahun.

    “Pemandu Proton X70 yang dikenali sebagai Suraj Doshi, 31, tidak mengalami sebarang kecederaan dan kereta miliknya rosak di sebelah kanan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini, lapor UtusanTV.

    Media hari ini melaporkan kemalangan berlaku ketika mangsa dalam perjalanan dari Klang ke Senawang dengan membawa muatan biji plastik.

    Bagaimanapun, tiba di lokasi kejadian, pemandu yang berada di lorong kiri telah hilang kawalan lalu terbabas ke lorong kanan dan melanggar penghadang jalan sebelum terbakar.

    Akibat kemalangan itu, kedua-dua mangsa telah tersepit di kepala lori kontena dan disahkan maut di lokasi kejadian.

    Mayat mangsa telah dihantar ke Bahagian Forensik Hospital Seremban bagi proses bedah siasat.

    Kes kini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

  • Ribuan telur ayam pecah, bertaburan atas lebuh raya

    Ribuan telur ayam pecah, bertaburan atas lebuh raya

    RIBUAN telur ayam pecah dan bertaburan di atas jalan raya selepas sebuah lori membawa muatan itu terlibat dalam kemalangan di Kilometer 242.6 Lebuhraya Utara Selatan(PLUS) arah utara dekat Rembau, hari ini.

    Dalam kejadian kira-kira pukul 9 pagi itu mengakibatkan kesesakan lalu lintas sejauh lima kilometer.

    Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintendan Hazri Mohamad berkata, siasatan awal mendapati, kemalangan berlaku selepas lori berkenaan hilang kawalan lalu terbabas dan melanggar pembahagi jalan di sebelah kiri.

    “Ia mengakibatkan lori itu terbalik dan muatan telur dibawanya bertaburan di atas jalan.

    “Pemandu lori iaitu lelaki berusia 30 tahun mengalami kecederaan ringan dan telah dibawa ke Hospital Rembau untuk rawatan lanjut,” katanya kepada Sinar Harian.

    Menurutnya, kesesakan lalu lintas bagi arah utara berpanjangan dalam tempoh kira-kira dua jam bagi tujuan pembersihan lokasi kemalangan.

  • 2 remaja perempuan maut motosikal bertembung kereta

    2 remaja perempuan maut motosikal bertembung kereta

    DUA remaja perempuan yang juga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pondok Upeh, Balik Pulau, Pulau Pinang maut selepas motosikal yang ditunggangi mereka bertembung dengan sebuah kereta dalam kejadian di Jalan Sungai Rusa malam tadi.

    Dalam kejadian kira-kira pukul 10.10 malam itu, mangsa, Nur Humaira Mohd. Zaini, 17, yang menunggang motosikal tersebut maut di lokasi kejadian kerana kecederaan parah di beberapa bahagian badan.

    Sementara itu, pembonceng motosikal terbabit iaitu Nur Fatimah Salamahullah,17, meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Pulau Pinang (HPP).

    Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintenden Kamarul Rizal Jenal berkata, siasatan awal mendapati kemalangan itu berlaku semasa seorang lelaki yang memandu kereta jenis Proton Waja dalam perjalanan dari George Town ke Kuala Sungai Pinang.

    Jelasnya, apabila sampai di Jalan Sungai Rusa, Sungai Pinang semasa di jalan lurus, kereta itu bertembung dengan motosikal yang ditunggangi dua pelajar berkenaan yang datang dari arah bertentangan.

    ”Motosikal yang ditunggangi pelajar tersebut dipercayai cuba memotong sebuah kereta lain ketika kejadian berlaku,” katanya hari ini.

    Menurutnya, akibat kemalangan tersebut, pemandu kereta yang merupakan seorang mekanik mengalami kecederaan di pipi kanan.

    Tambah beliau, pemandu kereta dan penunggang motosikal mempunyai lesen memandu dan lesen kenderaan bermotor (LKM) yang masih sah tempoh.

    “Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

  • 2 mangsa kemalangan disangka mati diselimut kain putih, kereta remuk

    2 mangsa kemalangan disangka mati diselimut kain putih, kereta remuk

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    DUA mangsa kemalangan di Lebuh Raya Perling berhampiran Sungai Danga di Johor Bahru awal pagi ini disangka maut oleh pengguna jalan raya selepas kereta yang dinaiki remuk teruk.

    Kemalangan kira-kira pada pukul 2 pagi itu mengakibatkan seorang lelaki, 25, dan seorang wanita, 20, tersepit dalam kereta Proton Wira berkenaan.

    Komander operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Larkin, Pegawai Bomba Kanan I Mohd. Nazaruddin Ahmad berkata, seramai 12 anggota dibantu satu jentera Fire Rescue Tender (FRT), satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dan dua unit Rapid Intervention Motorcycle (RIM) dikejarkan ke tempat kejadian.

    “Proton Wira berkenaan telah terbabas sendiri dan terdapat dua mangsa tersepit. Pihak bomba bertindak
    mengeluarkan mangsa menggunakan peralatan khas,” katanya dalam kenyataan.

    Beliau berkata, kedua-dua mangsa berjaya
    diselamatkan dan diserahkan kepada pegawai perubatan untuk tindakan lanjut, operasi tamat pada pukul 3.19 pagi.

    Sebelum ini, foto nahas berkenaan tular dalam media sosial dan ramai pihak menjangkakan kedua-dua mangsa maut berdasarkan keadaan kereta yang remuk.

    Malah berdasarkan keadaan kereta yang remuk serta mangsa yang diselaputi kain putih, ada pengguna jalan raya menzahirkan ucapan takziah kerana menyangka mangsa maut.

  • Suami isteri maut, tujuh cedera dalam kemalangan 4 kenderaan

    Suami isteri maut, tujuh cedera dalam kemalangan 4 kenderaan

    SEPASANG suami isteri meninggal dunia manakala tujuh lagi cedera dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan di kilometer (km) 41.5 Jalan Kuala Terengganu-Kuantan dekat Kampung Selawa, Merchang, pukul 8 pagi tadi.

    Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Mohd. Zain Mat Dris berkata, kemalangan tersebut membabitkan Proton Wira, Proton Satria Neo, Perodua Myvi dan Perodua Axia.

    “Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila Proton Satria dari arah Dungun menghala ke Kuala Terengganu terbabas kerana hilang kawalan dan dipercayai terlanggar lopak air di tengah jalan.

    “Kereta tersebut memasuki laluan bertentangan dan melanggar tiga kenderaan lain yang sedang bergerak di laluan bertentangan,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

    Menurut Mohd. Zain, mangsa, Rozita Mamat, 41, yang merupakan penumpang hadapan Perodua Axia berasal dari Kampung Bukit Depu di Kuala Terengganu disahkan maut di lokasi kejadian manakala pemandu, Ahmad Arshad Mamat, 50, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Klinik Kesihatan Merchang.

    Beliau berkata, tiga lagi penumpang dalam Perodua Axia mengalami kecederaan parah.

    Semua mangsa cedera katanya, dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di Kuala Terengganu untuk menerima rawatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.