Category: Kemalangan / Bencana

  • Budak lelaki jatuh tingkat 11 meninggal dunia

    Budak lelaki jatuh tingkat 11 meninggal dunia

    KANAK-kanak lelaki berusia 12 tahun yang terjatuh dari tingkat 11, Rumah Pangsa Larkin di Jalan Garuda Johor Bahru lewat petang semalam meninggal dunia tengah malam tadi.

    Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat, berkata kanak-kanak berkenaan menghembus nafas terakhir ketika menerima rawatan di Hospital Sultanah Aminah (HSA) di Johor Bahru.

    “Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR),” katanya ketika dihubungi lapor BH.

    Semalam, media melaporkan seorang kanak-kanak 12 tahun patah tangan kiri selepas terjatuh dari tingkat 11 kediaman berkenaan.

    Pihak berkuasa menerima panggilan kecemasan berkaitan kejadian pada 7.31 malam tadi.

    Kanak-kanak itu ditemukan tersangkut di bumbung kedai ditingkat bawah selepas terjatuh dari tingkat 11 bangunan terbabit.

    Anggota bomba membawa turun mangsa yang mengalami patah tangan kiri dengan pengusung dan diserahkan kepada pasukan perubatan untuk dibawa ke HSA.

  • Mangsa banjir di Johor meningkat, Pahang dan Sabah menurun

    Mangsa banjir di Johor meningkat, Pahang dan Sabah menurun

    JUMLAH mangsa banjir meningkat di Johor walaupun tiga pusat pemindahan sementara (PPS) di negeri berkenaan ditutup manakala Pahang dan Sabah menurun, petang ini.

    Di JOHOR, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) memaklumkan jumlah mangsa di PPS meningkat kepada 2,660 orang setakat jam 2 petang ini, berbanding 2,511 orang pada jam 8 pagi tadi.

    Menurut kenyataan itu hanya tinggal enam daerah yang terjejas banjir selepas satu-satunya PPS di Muar ditutup pada jam 1.15 tengah hari tadi dan dua PPS di Segamat juga ditutup, menjadikan keseluruhan 30 PPS beroperasi setakat ini.

    Mersing masih merekodkan jumlah mangsa paling ramai iaitu 975 orang, diikuti Batu Pahat (736), Kluang (422), Kota Tinggi (420), Segamat (92) dan Tangkak (15).

    Sementara itu, Sungai Endau, Mersing masih melepasi tahap bahaya dengan bacaan 2.77 meter.

    Di PAHANG, jumlah mangsa banjir di Rompin menunjukkan penurunan petang ini selepas hanya 200 orang daripada 63 keluarga masih ditempatkan di tiga PPS berbanding 314 orang daripada 96 keluarga, pagi tadi.

    Portal InfoBencana,Jabatan Kebajikan Masyarakat(JKM), melaporkan PPS Kampung Setajam menempatkan 171 orang manakala Kampung Denai (27 orang) dan dua orang di Balai Raya Kampung Jawa.

    Paras Sungai Keratong di Rompin terus menunjukkan trend penurunan namun masih melebihi paras bahaya.

    Di SABAH, jumlah mangsa banjir di negeri ini merekodkan penurunan dengan 1,637 orang daripada 642 keluarga di lapan PPS petang ini, berbanding 1,664 orang daripada 651 keluarga pagi tadi.

    Sekretariat JPBN, dalam kenyataan, memaklumkan mangsa paling ramai di Pitas melibatkan 1,363 orang daripada 565 keluarga yang dipindahkan ke empat PPS, diikuti Paitan membabitkan 231 orang (66 keluarga) di tiga PPS dan Lahad Datu 43 orang (11 keluarga) di sebuah PPS. 

    Kenyataan itu memaklumkan satu PPS iaitu Rumah Kampung Cocos di Paitan ditutup petang ini manakala jumlah mangsa banjir di Pitas dijangka kekal, Paitan dijangka menurun, manakala di Lahad Datu dijangka meningkat hari ini. – BERNAMA

  • Lelaki dipercayai mabuk rempuh Vios, dua budak perempuan parah

    Lelaki dipercayai mabuk rempuh Vios, dua budak perempuan parah

    DUA beradik cedera parah selepas kereta dinaiki bersama keluarga terbabit kemalangan dengan pacuan empat roda dipercayai dipandu lelaki dalam keadaan mabuk dalam kejadian di kilometer 57 Jalan Batu Pahat-Mersing lewat petang semalam.

    Mangsa, Nur Hana Humaira yang berusia setahun enam bulan parah di kepala, mengalami pendarahan otak serta cedera pada tulang pinggul, manakala kakaknya, Nur Aisyah Humaira yang berusia enam tahun parah di kepala, mengalami pendarahan pada otak dan bengkak tulang rahang.

    Kejadian melibatkan kereta jenis Toyota Vios dinaiki keluarga mangsa dari arah Kluang menuju Mersing yang dirempuh Nissan Navara dari belakang sebelum terbabas dan melanggar pokok pada bahu jalan.

    Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Md Noh mengesahkan kejadian itu dengan dua beradik berkenaan masih menerima rawatan di Zon Merah Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom.

    Katanya, kejadian turut menyebabkan bapa mereka, 34, yang memandu Toyota Vios bersama isteri cedera dan mendapatkan rawatan di Zon Kuning hospital sama.

    “Tangkapan telah dibuat terhadap lelaki berusia 29 tahun yang juga pemandu Nissan Navara oleh Pegawai Polis dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang.

    “Suspek dipercayai mabuk semasa kejadian itu dan sampel darahnya telah diambil untuk dihantar ke Jabatan Kimia bagi tujuan pemeriksaan toksikologi,” katanya, lapor Berita Harian.

    Bahrain berkata, polis akan memohon perintah reman ke atas pemandu Nissan Navara itu untuk siasatan kes yang diklasifikasikan mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

    Terdahulu, tular klip rakaman video perbuatan suspek yang berjaya dirakam orang awam di media sosial hingga mendapat kecaman ramai kerana memandu melulu dan menjadi punca kemalangan itu.

  • Mangsa banjir di Sabah menurun, Johor meningkat

    Mangsa banjir di Sabah menurun, Johor meningkat

    JUMLAH mangsa banjir di Sabah menurun manakala Johor menunjukkan peningkatan dan Pahang kekal dengan 314 orang, setakat 8 pagi ini.

    Di SABAH,  Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) memaklumkan jumlah mangsa banjir di negeri itu terus menurun kepada 1,664 orang daripada 651 keluarga di sembilan pusat pemindahan sementara (PPS) pagi ini, berbanding 1,723 orang daripada 673 keluarga malam tadi.

    Menurut kenyataan itu, mangsa di Pitas seramai 1,363 orang daripada 565 keluarga dipindahkan ke empat PPS, diikuti Paitan dengan 259 orang (76 keluarga) di empat PPS dan Lahad Datu 42 orang (10 keluarga) di satu PPS.

    JPBN memaklumkan jumlah mangsa banjir di Pitas dan Lahad Datu dijangka kekal, manakala di Paitan mungkin menurun hari ini.

    Dalam pada itu, satu PPS iaitu Masjid Binsulung di Paitan telah ditutup pada pagi ini.

    Di JOHOR, JPBN melaporkan jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di PPS meningkat sedikit kepada 2,511 orang setakat 8 pagi ini, berbanding 2,216 orang pada 8 malam tadi.

    Terdapat pertambahan satu PPS di Mersing dan dua di Batu Pahat menjadikan 33 PPS beroperasi setakat ini di tujuh daerah masih terjejas iaitu Mersing, Kota Tinggi, Kluang, Batu Pahat, Segamat, Tangkak dan Muar.

    Mersing masih mencatatkan jumlah mangsa paling ramai iaitu 836 orang, diikuti Batu Pahat (694), Kluang (422), Kota Tinggi (416), Segamat (123), Tangkak (15) dan Muar (5).

    Di PAHANG, JPBN memaklumkan jumlah mangsa banjir di Rompin kekal 314 orang daripada 96 keluarga, yang kini ditempatkan di tiga PPS iaitu PPS Kampung Setajam seramai 165 mangsa, PPS Kampung Rekoh (122) dan PPS Kampung Denai (27). – BERNAMA

  • Amaran banjir kilat dalam tempoh 12 jam dikeluarkan bagi 6 negeri

    Amaran banjir kilat dalam tempoh 12 jam dikeluarkan bagi 6 negeri

    PUSAT Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN) Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), hari ini mengeluarkan notis kesiapsiagaan kemungkinan banjir kilat dalam tempoh 12 jam di enam negeri di seluruh negara.

    Di Perak, kawasan berisiko terjejas ialah daerah Kerian (Mukim Gunong Semanggol, Mukim Beriah serta kawasan sekitarnya) manakala Pahang melibatkan daerah Kuantan (Mukim Sungai Karang serta kawasan sekitarnya).

    Di Terengganu, daerah yang berisiko banjir kilat ialah Kuala Terengganu (Mukim Cenering, Mukim Batu Buruk, Mukim Kuala Terengganu serta kawasan sekitarnya) dan daerah Marang (Mukim Bukit Payung serta kawasan sekitarnya), manakala di Kelantan melibatkan daerah Kota Bharu (Mukim Padang Raja, Mukim Tiong, Mukim Tok Ku serta kawasan sekitarnya).

    Di Sarawak, membabitkan tiga daerah iaitu Kuching, Samarahan dan Miri, manakala di Sabah melibatkan daerah Tuaran di Pekan Tenghilan, Kampung Berungis serta kawasan sekitarnya.

    Menurut kenyataan JPS, notis yang dikeluarkan pada pukul 5 petang tadi itu adalah berdasarkan makluman ramalan hujan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), sistem Southeastern Asia-Oceania Flash Flood Guidance System (SAOFFGS) dan model ramalan banjir JPS, bahawa terdapat risiko banjir kilat di beberapa lokasi di negeri terbabit jika berlaku hujan lebat atau ribut petir yang signifikan. – BERNAMA

  • Remaja ditemukan lemas 9 km dari lokasi hilang

    Remaja ditemukan lemas 9 km dari lokasi hilang

    REMAJA lelaki yang hilang selepas mandi-manda bersama dua rakannya di sungai Parit Haji Anuar, Batu 18, Ayer Hitam, Bakri, dekat Muar, Rabu lepas, ditemukan lemas pagi ini.

    Ketua Polis Daerah Muar ACP Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata mayat Muhammad Nur Hakim Zulkarnain, 19, ditemukan di tebing sungai tersebut, kira-kira sembilan kilometer dari lokasi terakhir dia dilaporkan hilang.

    “Pada 10.30 pagi, pasukan mencari dan menyelamat berjaya menjumpai mangsa di tebing sungai itu dalam keadaan lengkap berpakaian. 

    “Ahli keluarga mangsa yang berada di lokasi kejadian telah membuat pengecaman identiti dan mayat mangsa dibawa ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah, Muar, untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata operasi mencari dan menyelamat yang disertai pelbagai agensi termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat ditamatkan pada 12 tengah hari tadi manakala kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

    Rabu lepas, Muhammad Nur Hakim, bersama dua rakan lelakinya berusia 20 dan 21 tahun dipercayai terjun dari jambatan di sungai berkenaan untuk mandi-manda.

    Sejurus terjun, mangsa kemudiannya timbul dan menggapai tangan meminta bantuan namun gagal diselamatkan kerana arus sungai terlalu deras. – BERNAMA

  • 49 sekolah di Sabah terjejas banjir

    49 sekolah di Sabah terjejas banjir

    SEBANYAK 49 sekolah termasuk enam sekolah menengah membabitkan 15,531 murid dan pelajar dilaporkan terjejas akibat banjir yang di tujuh daerah seluruh Sabah, setakat ini.

    Menurut Timbalan Pengarah Jabatan Pendidikan Sabah, Abidin Marjan menerusi satu kenyataan, daerah terbabit ialah Pitas, Beluran, Kudat, Kota Marudu, Beaufort, Sipitang dan Lahad Datu.

    Katanya, daerah Beluran mencatat jumlah sekolah paling banyak terjejas iaitu sebanyak 18 sekolah, diikuti Kota Marudu sebanyak 16 sekolah.

    Beliau berkata, selebihnya enam sekolah terjejas akibat banjir di daerah Pitas, empat sekolah di Beaufort, masing-masing dua sekolah di Kudat dan Lahad Datu serta sebuah sekolah terjejas di Sipitang.

    “Kebanyakan sekolah terjejas sama ada disebabkan kawasan sekolah dilanda banjir atau laluan ke sekolah terputus atau tidak dapat dilalui akibat banjir.

    “Selain itu, beberapa sekolah juga terpaksa ditutup kerana dijadikan pusat pemindahan sementara (PPS) mangsa banjir,” katanya hari ini, lapor Berita Harian.

    Katanya, setakat ini sebanyak sembilan sekolah dijadikan PPS di daerah Pitas, Beluran, Kudat dan Kota Marudu.

    Sekolah terbabit ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Rukom dan SK Dandum di Pitas; Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pamol di Beluran; SK Sikuati dan SK Lok Yuk Sikuati di Kudat; serta SK Ranau, SK Taritipan, SMK Tandek dan SMK Bengkongan di Kota Marudu.

    Sementara itu, katanya setakat hari ini sebanyak 32 sekolah dikenal pasti turut dilanda banjir, iaitu termasuk laluan dan kawasan sekolah.

    Berdasarkan laporan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah, sebanyak lima daerah masih terjejas akibat banjir di Sabah setakat pagi ini, termasuk Telupid dan Tawau yang dilaporkan kawasan terkini dilanda banjir.

    Bilangan mangsa yang dipindahkan juga meningkat dengan jumlah setakat jam 8 pagi tadi seramai 6,843 mangsa daripada 2,412 Ketua Isi Rumah (KIR) berbanding 6,453 mangsa yang dipindahkan setakat jam 4 petang semalam.

  • Hujan berterusan diramal landa Pantai Timur dan Johor sehingga Isnin

    Hujan berterusan diramal landa Pantai Timur dan Johor sehingga Isnin

    HUJAN berterusan dijangka melanda Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor bermula hari ini sehingga Isnin depan.

    Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menerusi amaran yang dikeluarkan pada 9 pagi ini memaklumkan hujan lebat berterusan tahap buruk dijangka melanda Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Tanah Merah, Bachok, Machang dan Pasir Puteh di Kelantan serta seluruh kawasan di Terengganu. 

    Sementara itu, hujan berterusan tahap waspada dijangka berlaku di Kelantan melibatkan Jeli, Kuala Krai dan Gua Musang; Pahang (Jerantut, Maran, Kuantan, Pekan dan Rompin) dan Johor (Segamat, Kluang, Mersing, Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bahru).

    Berikutan itu, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) mengarahkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana (JPB) Peringkat (JPB) Negeri/Daerah diaktifkan serta tahap kesiapsiagaan ditingkatkan bagi menghadapi bencana yang bakal berlaku terutama di kawasan berisiko tinggi.

    JPB Peringkat Negeri/Daerah juga diminta memastikan setiap pusat pemindahan sementara (PPS) dilengkapi dengan keperluan asas dan Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) mempunyai aset pengoperasian mencukupi serta berada di dalam keadaan yang baik dan bersedia untuk digunakan.

    NADMA melalui Pusat Kawalan Bencana Negara (NDCC) sentiasa memantau situasi parameter maklumat teknikal dengan kerjasama pelbagai agensi teknikal selain boleh dihubungi melalui nombor telefon 03-80642400, faksimili 03-80642429 atau e-mel [email protected]. – BERNAMA

  • Lebih 12,000 mangsa banjir di 4 negeri berlindung di PPS

    Lebih 12,000 mangsa banjir di 4 negeri berlindung di PPS

    SERAMAI 12,090 mangsa banjir di empat negeri terjejas dengan bencana itu kini ditempatkan di 84 pusat pemindahan sementara setakat 8 pagi ini. 

    Di SABAH, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) memaklumkan jumlah mangsa di negeri itu meningkat kepada 6,843 orang daripada 2,412 keluarga dan semuanya ditempatkan di 29 PPS di lima daerah, berbanding 6,394 mangsa daripada 2,281 keluarga malam tadi.

    Mangsa banjir teramai adalah di Kota Marudu dengan 4,789 orang daripada 1,731 keluarga ditempatkan di 12 PPS di daerah tersebut.

    “Seramai 1,201 orang daripada 453 keluarga ditempatkan di lima PPS di Pitas, 720 mangsa daripada 199 keluarga dipindahkan ke sembilan PPS di Paitan dan angka ini dijangka meningkat manakala di empat daerah lain dijangka kekal,” menurut kenyataan JPBN.

    Selain itu, mangsa banjir di Tawau dan Telupid yang merupakan daerah baharu terjejas bencana alam tersebut masing-masing berjumlah 109 orang dan 24 orang.

    Di JOHOR, jumlah mangsa banjir kembali meningkat kepada 4,868 orang berbanding 4,575 mangsa malam tadi dengan Tangkak menjadi daerah kelapan dilanda banjir.

    JPBN memaklumkan secara keseluruhan terdapat 50 PPS beroperasi setakat ini, susulan pertambahan masing-masing satu PPS di Tangkak dan Batu Pahat.

    Mersing kekal daerah paling teruk terjejas dengan 1,793 orang, diikuti Kluang (1,173), Kota Tinggi (900), Segamat (490), Batu Pahat (358), Muar (121), Pontian (18) dan Tangkak (15).

    Sementara itu, empat sungai di negeri ini masih melepasi paras bahaya iaitu Sungai Muar di muara Sungai Gemas, Segamat dengan bacaan 19.08 meter (m); Sungai Lenik di Ladang Chaah, Segamat (6.43m); Sungai Kahang di Kampung Contoh, Kluang (15.42m) dan Sungai Endau, Mersing (2.83m).

    Sementara itu, JPBN PAHANG melaporkan jumlah mangsa banjir di Rompin pagi ini kekal 323 orang daripada 97 keluarga dengan tiga PPS masih beroperasi iaitu PPS Kampung Setajam yang menempatkan 161 orang;  PPS Balai Raya Rekoh (122) dan PPS Balai Raya Bukit Lepas (40). 

    Sungai Keratong di Rompin masih melepasi paras bahaya 23m apabila mencatatkan bacaan 24.76m  pagi ini, dengan trend menurun, menurut JPBN.

    Jumlah mangsa banjir di SARAWAK juga kekal 56 orang daripada 17 keluarga yang ditempatkan di dua PPS iaitu Sekolah Kebangsaan Sebat dan Balai Raya Kampung Sebat Dayak manakala paras air di beberapa kawasan di Sarikei, Lawas dan Sibu dilaporkan meningkat. – BERNAMA

  • Helikopter hantar 4 tan makanan bantu mangsa banjir di Kahang

    Helikopter hantar 4 tan makanan bantu mangsa banjir di Kahang

    EMPAT tan bekalan makanan dihantar menerusi dua penerbangan menggunakan helikopter Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini, bagi membantu mangsa banjir yang terputus jalan perhubungan di Kahang, dekat Kluang.

    Ketua Polis Daerah Kluang ACP Bahrain Md Nor berkata penghantaran bekalan makanan itu untuk kegunaan lebih kurang 660 mangsa yang terdiri daripada pekerja ladang di Ladang Kelapa Sawit Selai dan Ladang Kelapa Sawit Enggang.

    Beliau berkata bekalan makanan itu turut dihantar kepada 240 keluarga Orang Asli melibatkan Kampung Orang Asli Sedohok dan Kampung Orang Asli Pangkalan Tereh.

    “Penerbangan menggunakan helikopter jenis Agusta Westland (AW139) yang dikendalikan juruterbang Supt Mohd Fairuz Jamil dan pembantu juruterbang ASP Shahrizat Shahrudin dari Pasukan Gerakan Udara Pangkalan Semenanjung PDRM.

    “Antara barang yang dihantar termasuk beras, air mineral, gula dan barangan keperluan lain, yang dijangka boleh bertahan empat hingga lima hari,” katanya dalam sidang akhbar di Padang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kahang, hari ini. 

    Bahrain berkata bagi penduduk Orang Asli yang lain termasuk di Kampung Orang Asli Peroh dan Pucur, penghantaran akan dilakukan melalui laluan sungai dalam masa terdekat.

    Beliau juga menambah sekiranya ada mangsa banjir yang juga terputus hubungan jalan (darat), mereka dinasihati supaya sentiasa berhubung dengan pihak berkuasa terutamanya polis dan pasukan penyelamat agar usaha mengeluarkan dan memberikan bantuan dapat dilaksanakan segera.

    Semalam, Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat memaklumkan lebih 2,000 pekerja ladang dan penduduk di perkampungan Orang Asli di Kahang, dekat sini, terputus hubungan akibat jalan penghubung ke kawasan berkenaan ditenggelami air akibat banjir.

    Beliau berkata jumlah berkenaan membabitkan 1,700 pekerja di 14 ladang dan 647 penduduk dari enam perkampungan Orang Asli. – BERNAMA