Category: Kemalangan / Bencana

  • Jumlah mangsa banjir di Sabah meningkat, Johor kekal

    Jumlah mangsa banjir di Sabah meningkat, Johor kekal

    JUMLAH mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di Sabah menunjukkan sedikit peningkatan manakala jumlah mangsa di Johor kekal pagi ini.

    Di SABAH, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah dalam kenyataan memaklumkan jumlah mangsa banjir setakat 8 pagi ini meningkat kepada 535 orang daripada 165 keluarga dan ditempatkan di sembilan PPS, berbanding 478 orang daripada 151 keluarga malam tadi.

    “Mangsa teramai dipindahkan adalah di Telupid iaitu 208 orang daripada 65 keluarga dipindahkan ke empat PPS manakala di Beaufort, 200 orang daripada 55 keluarga dan dipindahkan ke satu PPS.

    “Seramai 79 orang daripada 36 keluarga dipindahkan ke dua PPS di Paitan dan di Beluran 48 orang daripada sembilan keluarga di dua PPS. Mangsa banjir di Beaufort dijangka meningkat manakala daerah lain kekal,” menurut kenyataan itu.

    Anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) memantau keadaan banjir di Kampung Seberang Batu Badak, Segamat. – Foto ihsan APM Segamat

    Di JOHOR, jumlah mangsa yang ditempatkan di lapan PPS kekal 925 orang daripada 264 keluarga setakat 8 pagi ini.

    Menurut kenyataan JBPN Johor, 877 orang daripada 249 keluarga berada di Batu Pahat manakala di Segamat pula 48 orang daripada 15 keluarga.

    Sementara itu, keadaan cuaca di dua daerah tersebut cerah setakat 8 pagi, namun data pula menunjukkan paras air Sungai Bekok di Batu Pahat masih merekodkan bacaan melepasi tahap bahaya dengan bacaan 18.80 meter.

  • Rumah terbakar, warga emas OKU rentung

    Rumah terbakar, warga emas OKU rentung

    SEORANG warga emas orang kurang upaya (OKU) rentung dalam kebakaran di sebuah rumah di Kampung Paya Pelantar, Bentong semalam.

    Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang Ismail Abdul Ghani berkata, mangsa dikenali sebagai Mohd Yusof Idris, 65, ditemukan di tepi tingkap biliknya.

    Beliau berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kebakaran itu pada 9.02 malam sebelum 17 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Bentong dan Karak digerakkan ke lokasi kejadian.

    “Rumah separuh kekal dipercayai didiami mangsa berseorangan itu musnah 90%,” katanya dalam kenyataan.

    Mayat telah diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut, tambahnya.

  • Saluran paip berisi cecair kimia pecah, dua beradik melecur

    Saluran paip berisi cecair kimia pecah, dua beradik melecur

    DUA beradik melecur selepas terkena cecair kimia yang dipercayai digunakan jirannya bagi membersihkan saluran paip sinki tersumbat, dua hari lepas.

    Ketua Polis Daerah Serdang ACP A A Anbalagan berkata dalam kejadian kira-kira 9.30 malam di sebuah apartment di Seri Kembangan itu, seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun melecur teruk di kepala dan badan manakala adik perempuannya berusia tujuh tahun melecur di bahagian paha.

    Beliau berkata ibu kanak-kanak itu memberitahu terdengar bunyi letupan dan jeritan anak lelakinya yang berada di bahagian dapur dan mendapati dua anaknya terkena cecair dipercayai asid yang digunakan untuk membersihkan saluran paip sinki tingkat atas unit kediaman mereka.

    Anbalagan berkata siasatan awal mendapati pemilik rumah di tingkat atas kediaman  mereka menggunakan serbuk soda dengan memasukkannya ke dalam saluran paip sinkinya bagi membersihkan saluran paip yang tersumbat.

    “Seorang lelaki yang merupakan pemilik rumah di tingkat dua dirakam percakapan dan mengakui menggunakan serbuk soda (pembersih paip tersumbat) yang dibeli dalam talian berharga kira-kira RM50,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

    Anbalagan berkata kanak-kanak lelaki itu yang melecur tahap tiga di bahagian dahi, kepala, bahu, badan, lengan dan paha kini dalam keadaan stabil dan masih dirawat di Unit Rawatan Rapi Hospital Kuala Lumpur (HKL), manakala adik perempuannya dibenarkan pulang selepas menerima rawatan pesakit luar.

    “Kes disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan Seksyen 7 Akta Bahan-bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958,” katanya. – BERNAMA

  • 15 motosikal di parkir flat hangus terbakar

    15 motosikal di parkir flat hangus terbakar

    SEBANYAK 15 buah motosikal musnah dalam kebakaran di kawasan parkir Flat Tuna D4, Jalan Seberang Jaya, Pulau Pinang dalam kejadian awal pagi tadi.

    Kejadian itu dipercayai berlaku ketika kebanyakan penghuni flat berkenaan sedang nyenyak tidur, namun tidak melibatkan sebarang kehilangan jiwa.

    Jurucakap Pasukan Bomba dan Penyelamat Malaysia (PBPM) negeri berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu pukul 5.11 pagi tadi sebelum bergegas ke lokasi kejadian.

    Menurutnya, sebaik sahaja tiba, didapati kebakaran itu melibatkan 15 buah yang diletakkan di kawasan parkir flat berkenaan yang mana sebanyak sembilan buah motosikal terbakar 95 peratus manakala enam buah lagi terbakar 50 peratus.

    “Kebakaran turut melibatkan sebuah stor penyimpanan peralatan sembahyang yang dibina berasingan (kelas C) berkeluasan enam kali tiga meter persegi dengan peratusan kemusnahan sebanyak 80 peratus,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Ujarnya, kebakaran dapat dikawal sepenuhnya pukul 5.40 dan tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian tersebut.

    Sementara itu, punca kejadian dan jumlah kerugian akibat kebakaran tersebut masih dalam siasatan.

  • Lelaki OKU ditemui lemas di Sungai Melaka

    Lelaki OKU ditemui lemas di Sungai Melaka

    SATU mayat lelaki orang kurang upaya (OKU) ditemui terapung di Sungai Melaka, berdekatan Kampung Morten, di Melaka pukul 11.25 pagi tadi.

    Mayat lelaki berusia 38 tahun itu ditemui terapung oleh seorang wanita yang juga pemandu bot pelancong.

    Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, sejurus menerima maklumat daripada orang awam sepasukan polis kemudian ke lokasi kejadian dan mendapati mayat lelaki terbabit berada dalam keadaan terapung dan terlangkup.

    “Ketika ditemui mayat lelaki terbabit masih lengkap berbaju dan berseluar serta masih berselipar.

    “Pemeriksaan keatas tubuh badan lelaki terbabit juga mendapati tiada kesan perbuatan jenayah yang kelihatan selain dipercayai baru meninggal,” katanya.

    Menurutnya, sebelum kejadian kira-kira jam 11 pagi, pekerja pembersihan ada melihat si mati berjalan berseorangan di kaki lima sungai dan tidak mengesyaki apa-apa.

    “Tidak lama selepas itu, pada jam 11.25 pagi, pemandu bot memaklumkan menjumpai satu mayat lelaki terapung di dalam sungai,” katanya.

    Christopher berkata, bapa lelaki terbabit yang membuatkan pengecaman memaklumkan anaknya adalah pemegang kad OKU masalah mental dan baru semalam keluar dari Hospital Melaka selepas menerima rawatan.

    “Turut dimaklumkan pagi sebelum kejadian, si mati berada di gerai milik bapanya sebelum keluar bersiar-siar malah jarak mayatnya ditemui dengan restoran bapanya hanya 100 meter,” katanya, lapor Harian Metro.

    Tambahnya, mayat berkenaan sudah dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Melaka bagi proses bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian.

  • Mangsa banjir di Sabah meningkat, Johor menurun

    Mangsa banjir di Sabah meningkat, Johor menurun

    JUMLAH mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di Sabah menunjukkan peningkatan, manakala di Johor berkurangan setakat petang ini. 

    Di SABAH, jumlah mangsa banjir pada petang ini meningkat dengan 627 orang daripada 188 keluarga dipindahkan ke 13 PPS di tiga daerah, berbanding 599 orang daripada 183 keluarga pagi tadi.

    Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah dalam kenyataan memaklumkan daerah Telupid mencatat jumlah mangsa tertinggi iaitu 454 orang daripada 130 keluarga, diikuti Paitan 128 orang daripada 46 keluarga serta Lahad Datu melibatkan 45 orang daripada 12 keluarga. 

    Menurut kenyataan itu mangsa banjir di Telupid dan Paitan dijangka terus meningkat, manakala Lahad Datu kekal. 

    Sementara itu, Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah dalam kenyataan berasingan pula memaklumkan 112 orang daripada 19 keluarga terperangkap di Kampung Mempulut, Keningau pagi tadi akibat banjir.

    “Pasukan bomba bersama agensi lain bertindak mengeluarkan dan memindahkan mangsa yang terlibat. Mangsa kemudian dihantar ke PPS yang telah dibuka dan rumah saudara terdekat. Operasi ditamatkan pada 10 pagi tadi,” menurut kenyataan itu.

    Dalam pada itu, Jabatan Kerja Raya Sabah dalam kenyataan memberitahu Jalan Randagong Himbaan di Ranau tidak boleh dilalui semua jenis kenderaan akibat banjir lumpur, justeru orang ramai diminta menggunakan jalan alternatif di Jalan Tenompok Bundu Tuhan.

    “Kejadian berpunca daripada hujan lebat berterusan dan kerja-kerja pembersihan jalan sedang giat dlaksanakan,” menurut kenyataan itu.

    Di JOHOR, kesemua PPS di Mersing ditutup menjadikan tinggal tiga daerah sahaja terjejas akibat banjir ketika ini.

    JPBN Johor dalam kenyataan memaklumkan jumlah mangsa banjir menurun kepada 1,106 orang setakat 2 petang ini berbanding 1,381 orang pagi tadi.

    Menurut kenyataan itu, 12 PPS masih beroperasi dengan Batu Pahat mencatatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 919 orang, diikuti Kota Tinggi (97) dan Segamat (90).

    Kulai, Kota Tinggi dan Kluang mengalami hujan ketika ini, manakala tujuh daerah lain dilaporkan cerah.

    Dalam pada itu, paras Sungai Bekok di Batu Pahat merekodkan tahap bahaya dengan bacaan 18.71 meter. – BERNAMA 

  • Guru lemas ketika mahu lepaskan jala ikan tersangkut di dasar sungai

    Guru lemas ketika mahu lepaskan jala ikan tersangkut di dasar sungai

    Oleh RIZQI ZABIDI

    SEORANG guru yang maut akibat lemas ketika menjala ikan di Kampung Batu 6, Jalan Sanglang, Kedah semalam dipercayai turun ke sungai bagi melepaskan jalanya yang tersangkut di dasar sungai.

    Ketua Polis Daeah Kubang Pasu, Superitendan Rodzi Abu Hassan berkata, kejadian itu turut dilihat oleh rakannya yang berada hanya kira-kira 10 meter daripada lokasi mangsa, Khairul Azuar Mohd. Saud, 41 dilaporkan lemas.

    Menurutnya, rakan mangsa itu mendakwa sempat melihat Khairul Azuar terkapai-kapai sambil meminta tolong selepas turun ke sungai sebelum hilang ke dasar.

    “Rakan mangsa itu cuba menghampiri Khairul Azuar namun ketika itu, mangsa sudah pun tenggelam. Usaha lelaki itu meraba ke dasar untuk mencari Khairul Azuar turut gagal menemukannya kerana keadaan air yang keruh dan kedalaman sungai mencecah lebih dua meter.

    “Berikutan itu rakan mangsa terus meminta bantuan orang ramai di kawasan berhampiran. Mangsa kemudiannya ditemukan dan dibawa ke darat oleh pihak bomba dengan kerjasama penduduk kampung,” katanya.

    Difahamkan mangsa bekerja sebagai guru di Sekolah Kebangsaan Paya Kemunting, Jitra.

    Warta Rakyat semalam melaporkan mengenai kejadian yang menimpa mangsa ketika dia turun menjala ikan dengan pihak bomba dimaklumkan mengenai kejadian itu kira-kira pukul 4.59 petang.

    Mengulas lanjut Rodzi berkata, temu bual bersama isteri mangsa memaklumkan, suaminya itu sememangnya gemar menjala dan memancing ikan namun tidak terlalu pandai berenang.

    “Keputusan bedah siasat menunjukkan punca kematian mangsa akibat lemas dan pemeriksaan ke atas tubuh badan mangsa mendapati tidak terdapat kesan mahu pun unsur jenayah,” katanya.

  • Cuaca buruk, 66 penumpang pesawat Firefly berdepan detik cemas

    Cuaca buruk, 66 penumpang pesawat Firefly berdepan detik cemas

    SEBANYAK 66 penumpang dan empat kru pesawat penerbangan Firefly berdepan detik cemas selepas berdepan cuaca buruk sebelum ia dilencongkan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Senai (LTAS) di Johor, hari ini.

    Syarikat penerbangan Firefly berkata, pesawat Firefly FY3124 tersebut dalam perjalanan dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (SZB), Subang, Selangor ke Lapangan Terbang Seletar (XSP), Singapura.

    Katanya, pesawat itu berlepas dari SZB pada pukul 7.20 pagi dan dijadual tiba di SXP pada 8.40 sebelum mengalami gangguan tersebut.

    “Walau bagaimanapun, pesawat tersebut telah dilencongkan ke LTAS dekat sini sementara menunggu cuaca reda sebelum membuat penerbangan semula ke Seletar.

    “Seramai 66 orang penumpang, termasuk seorang bayi berserta empat orang anak kapal berada dalam pesawat berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan.

    Pihak Firefly dalam pada itu mengucapkan ribuan terima kasih dan penghargaan kepada semua penumpang atas kesabaran mereka sehingga selamat sampai.

    “Keselamatan penumpang dan anak kapal sentiasa menjadi keutamaan kami dalam memberikan perkhidmatan yang terbaik,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Terdahulu tular video dalam pesawat berkenaan yang berdepan cuaca buruk dan penerbangan terpaksa dilencongkan.

  • Lemas setelah jatuh ke sungai ketika menjala

    Lemas setelah jatuh ke sungai ketika menjala

    Oleh RIZQI ZABIDI

    SEORANG lelaki meninggal dunia setelah terjatuh ketika menjala ikan di sungai Kampung Batu 6, Jalan Sanglang, Kedah hari ini.

    Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jitra, Penolonng Kanan Penguasa Bomba, Bustan Karudin berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pukul 4.59 petang.

    “Setibanya di lokasi, pihak bomba terus menjalankan pencarian di permukaan dengan dibantu penduduk kampung.

    “Mangsa kemudiannya ditemukan penduduk kampung kira-kira pukul 5.39 petang dan disahkan meninggal dunia oleh petugas perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya.

    Tambahnya, mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

  • Pekerja ladang dibaham buaya ketika memancing

    Pekerja ladang dibaham buaya ketika memancing

    SEORANG pekerja ladang dibaham buaya ketika memancing di kawasan muara sungai di ladang Pegagau di Semporna, pukul 3.30 petang semalam.

    Mangsa yang merupakan lelaki berusia 36 tahun dibaham reptilia tersebut sebelum dibawa masuk ke dalam sungai.

    Ketua Polis Daerah Semporna, Superintendan Mohd. Farhan Lee Abdullah berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu daripada orang awam yang menyatakan seorang pekerja ladang dibaham buaya.

    “Mangsa bersama tujuh rakannya memancing di pinggir kawasan sungai, bagaimanapun tali pancingnya tersangkut di dalam air.

    “Mangsa kemudian bertindak mengambil sebatang kayu panjang bagi melepaskan tali pancing berkenaan namun tiba-tiba seekor buaya muncul dan membaham kedua kakinya sebelum dibawa masuk ke dalam air,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Menurutnya, operasi mencari dan menyelamat (SAR) dimulakan pada jam 4 petang hari yang sama.

    “SAR giat dilakukan oleh pihak polis dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dengan dibantu pekerja ladang serta penduduk kampung.

    “Mayat mangsa ditemui bersama buaya berkenaan, namun ia dibawa semula ke dalam sungai ketika pasukan SAR cuba menghampiri mayat tersebut,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Mohd. Farhan berkata, SAR disambung semula pada Isnin namun sehingga kini mayat mangsa belum ditemui.