Category: Kemalangan / Bencana

  • Baru seminggu disatukan, suami maut nahas langgar jalan lubang

    Baru seminggu disatukan, suami maut nahas langgar jalan lubang

    KETIKA inai masih melekat di jari, Azimah Zahari, 31, kehilangan suaminya buat selama-lamanya selepas lelaki itu maut akibat kemalangan dekat Kampung Megat Segama di Temerloh, kelmarin.

    Hairul Hafizi Mursid, 34, yang bekerja sebagai penolong penyelia pasar raya di Temerloh ketika kejadian kira-kira pukul 10 malam itu sedang menunggang motosikal sebelum kenderaan tersebut dipercayai terlanggar lubang sebelum terjatuh di tempat kejadian.

    Mangsa kemudiannya meninggal dunia di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS) Temerloh pada hari sama.

    Kejadian yang menimpa mangsa turut tular di laman sosial dan mendapat pelbagai reaksi netizen selain bersedih dengan tragedi tersebut.

    Menurut Azimah, dia dan suami baharu sahaja melangsungkan perkahwinan mereka pada 4 Februari lalu.

    Anak bongsu dari tiga beradik itu berkata, dia dan suaminya dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Felda Jengka 17 selepas tamat waktu bekerja.

    “Selalunya kami pergi dan balik kerja bersama, sama ada naik motosikal atau kereta. Tapi, semalam (Jumaat), kami naik berasingan. Suami naik motosikal sebab katanya nak ‘service’ motosikal.

    “Dalam perjalanan balik malam itu, saya ikut rapat belakang suami dengan kereta. Cuma bila tiba dekat dengan lokasi kejadian, saya agak ke belakang sedikit sebab keadaan jalan berselekoh dan berbukit.

    “Saya melepasi tempat suami terjatuh, tapi saya pusing semula sebab saya kenal dengan warna motosikal tu dan memang tak sangka, suami saya terjatuh terlanggar lubang. Itu yang orang awam beritahu pada saya,” kata Azimah, lapor Sinar Harian.

    Mengulas lanjut Azimah berkata, keadaan suaminya ketika itu dalam keadaan separuh sedar dan mengerang kesakitan sebelum dihantar ke hospital.

    “Bila tiba di hospital, saya terus mendaftarkan nama suami tetapi selepas lima atau 10 minit selepas itu, doktor panggil saya dan maklum, suami saya sudah meninggal dunia.

    “Lepas doktor cakap macam tu, saya betul-betul terkejut, tergamam… Macam tak percaya benda ni boleh berlaku.

    “Ada juga saya rasa ralat sangat. Kalau saya tahu akan berlaku macam ni, saya takkan benarkan suami naik motosikal,” jelas Azimah yang ditemui di kediaman keluarga di Kampung Baru Chenor, semalam.

    Jenazah Allahyarham Hairul selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bunian, Chenor kira-kira pukul 4.28 petang semalam.

    Azimah berkata, suaminya adalah seorang anak yatim piatu dan mereka telah mengenali antara satu sama lain sejak 2016.

    “Suami juga anak bongsu dari empat adik-beradik dan tidak menunjukkan sebarang perubahan sikap pada hari kejadian kecuali sebelum ini ada meluahkan rasa rindu pada arwah ibunya.

    “Arwah seorang periang, suka tersenyum dan kuat menyakat dan kami memiliki hobi sama, suka ubah suai kenderaan tetapi saya akan tetap anggap dia masih ada di sisi saya.

    “Banyak kenangan bersama suami sejak awal perkenalan,” akui Azimah lagi.

    Dalam pada itu, dia berharap kejadian yang menimpa suaminya menjadi pengajaran pada semua pihak selain segera diselenggara sebaik mungkin oleh pihak terbabit.

    “Itu lah laluan kami untuk balik kerja. Jalan tu selalu ada air dan saya perasan memang ada lubang.

    “Jangan jadi pada orang lain pula. Sebelum ni, ada juga dengar orang patah tangan, kaki…. Cuma nyawa je tak melayang lagi.

    “Sekarang, berlaku pada suami saya. Jadi, saya minta dan berharap, pihak berkaitan dapat baiki atau selenggara sekerap jalan itu,” tambah dia lagi.

    Sementara itu, ketika tinjauan dibuat di lokasi kejadian pada Sabtu mendapati laluan tersebut telah diturap. – Sinar Harian

  • Tiga wanita maut kereta bertembung treler muatan sawit

    Tiga wanita maut kereta bertembung treler muatan sawit

    TIGA wanita termasuk dua beradik maut selepas kereta dinaiki mereka terbabas dan bertembung dengan treler membawa muatan sawit di Kilometer 27 Jalan Ibam-Rompin, Rompin malam tadi. 

    Ketua Polis Daerah Rompin DSP Mohd Azahari Mukhtar berkata kemalangan pada 10.51 malam itu menyebabkan semua mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian akibat cedera parah di kepala dan badan. 

    Mereka ialah pemandu kereta Suhada Ramli, 22, kakaknya Nazira, 23, yang duduk di bahagian penumpang hadapan serta rakan mereka Nurul Natasha Ahmad Akbal, 22, dengan semuanya beralamat di Felda Selendang 1, Rompin. 

    “Kemalangan dipercayai berlaku apabila Perodua Myvi dinaiki mangsa dari arah Muadzam Shah ke Rompin terbabas ke lorong bertentangan dan bertembung dengan treler, menyebabkan kereta itu remuk sepenuhnya,” katanya menerusi kenyataan hari ini. 

    Mohd Azahari berkata mayat dibawa ke Hospital Muadzam Shah, Rompin untuk bedah siasat manakala kemalangan itu disiasat lanjut mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – BERNAMA 

  • Dua kanak-kanak jatuh longkang dikhuatiri lemas

    Dua kanak-kanak jatuh longkang dikhuatiri lemas

    Dua kanak-kanak lelaki dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam longkang di Jalan Ukay Perdana, Ukay Perdana, di Ampang, hari ini.

    Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Datuk Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu jam 4.44 petang.

    Susulan itu katanya, sembilan anggota bersama dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ampang dikejarkan ke lokasi kejadian.

    “Sebaik tiba, kami dimaklumkan terdapat dua kanak-kanak lelaki masing-masing berusia sembilan dan 10 tahun dipercayai hanyut di dalam longkang.

    “Kerja-kerja menyelamat sedang dijalankan. Maklumat lanjut berhubung kejadian ini akan dimaklumkan kemudian,” katanya menurut laporan Harian Metro.

  • Pelajar OKU lemas mandi sungai bersama 5 rakan

    Pelajar OKU lemas mandi sungai bersama 5 rakan

    SEORANG pelajar orang kurang upaya (OKU) ditemukan lemas semasa mandi-manda bersama rakan-rakannya di Sungai Kombat, Felda Perasu di Gua Musang, semalam.

    Dalam kejadian jam 4.30 petang, mangsa, Muhammad Fakhrul Imam Zulkepli, 16, yang lembam dalam pembelajaran itu dipercayai hanyut dan tenggelam dibawa arus sungai berkenaan.

    Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, hasil siasatan awal mendapati mangsa ke sungai tersebut bersama lima rakan yang juga merupakan jirannya.

    Semasa sedang mandi katanya, mangsa dan seorang lagi rakannya dikenali sebagai Amir telah dihanyutkan ke tempat yang lebih dalam.

    “Menyedari keduanya hampir lemas, rakan-rakannya telah berusaha menyelamatkan mereka. Bagaimanapun, Amir berjaya diselamatkan dan dibawa naik ke tebing sungai.

    “Selepas itu mereka cuba menyelamatkan Muhammad Fakhrul Imam menggunakan sebatang kayu tetapi malangnya ia patah dan hanyut serta tenggelam dibawa arus,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Choon Foo berkata, rakan-rakan mangsa kemudian bertindak melaungkan azan dan tidak lama kemudian Muhammad Fakrul Imam telah timbul.

    “Mangsa dibawa ke tebing sungai dan telah dibantu dengan melakukan bantuan pernafasan. Tetapi didapati mangsa tidak memberi sebarang tidak balas.

    “Jenazah mangsa telah dibawa ke Hospital Gua Musang untuk tujuan bedah siasat,” katanya, lapor Sinar Harian.

  • Terus pandu lori remuk ke hospital selepas kemalangan untuk rawatan

    Terus pandu lori remuk ke hospital selepas kemalangan untuk rawatan

    Oleh RIZQI ZABIDI

    TANPA membuat sebarang panggilan kecemasan, seorang pemandu lori bertindak segera memandu lorinya yang remuk, terus ke Unit Kecemasan dan Trauma Hospital Jitra di Kedah setelah kenderaan tersebut terlibat dalam kemalangan kelmarin.

    Tindakannya itu dipercayai dibuat bagi memastikan kelindannya yang tersepit di kerusi penumpang, segera diberikan rawatan.

    Menurut Pengarah Kesihatan Negeri Kedah, Dr. Othman Warijo, pihak hospital langsung tidak menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu sebelum lori tersebut tiba-tiba muncul dan berhenti di Unit Kecemasan dan Trauma Hospital Jitra kira-kira pukul 4 petang.

    “Sebaik lori itu berhenti di depan unit tersebut, petugas hospital terus memberi bantuan. Pemandunya hanya cedera ringan namun kelindannya tersepit di tempat duduk penumpang.

    “Begitu pun kelindan lori tersebut berjaya dikeluarkan. Dia kemudiannya dibawa ke zon merah untuk dirawat,” katanya ketika dihubungi Warta Rakyat.

    Ketibaan lori tersebut dalam keadaan remuk ke hospital menarik perhatian ramai apabila klip video mengenainya tular di media sosial.

    Difahamkan lori berkenaan terlibat dalam kemalangan dengan sebuah mesin padi di Jalan Sunngai Korok, Jitra.

    Othman menambah, kelindan lori itu didapati mengalami kecederaan di bahagian abdomen dan dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar untuk tindakan lanjut.

    “Pemandu lori itu pula turut diberi rawatan dan dibenarkan pulang ke rumah,” katanya.

  • Warga emas melecur dalam kebakaran di PPR Desa Petaling

    Warga emas melecur dalam kebakaran di PPR Desa Petaling

    SEORANG warga emas melecur selepas kediamannya di Blok B, Projek Perumahan Rakyat Desa Petaling terbakar, pagi tadi.

    Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Kuala Lumpur berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian pada pukul 6.41 pagi.

    Beliau berkata, sepasukan 22 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Tun Razak, Sri Petaling dan Seputeh dikerahkan ke lokasi kejadian.

    “Komander Operasi Roshdi Fitri Roslan berkata, bomba tiba di lokasi kejadian dan mendapati sebuah rumah di tingkat satu musnah 70 peratus dalam kebakaran.

    “Sementara warga emas melecur sebanyak 20 peratus,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Jelasnya, kebakaran berjaya dipadam sepenuhnya pada pukul 7.50 pagi dan punca kejadian masih dalam siasatan.

  • Enam maut, van persiaran terbabas di Jalan Genting

    Enam maut, van persiaran terbabas di Jalan Genting

    SEBANYAK enam individu terbunuh selepas van persiaran dinaiki mereka terbabas dan merempuh pembahagi konkrit di Jalan Genting Highlands, tengah hari tadi.

    Kejadian pukul 1 tengah hari itu berlaku ketika van dinaiki mangsa terbabit sedang menuruni jalan dari pusat peranginan di Bentong tersebut.

    Enam individu terbunuh selepas van persiaran dinaiki mereka terbabas dan merempuh pembahagi konkrit di Jalan Genting Highlands, tengah hari tadi.FOTO MEDIA SOSIAL

    Harian Metro yang memetik sumber Bomba dan Penyelamat berkata, terdapat 12 wanita dewasa dan dua lelaki dewasa yang menaiki van itu ketika kejadian berhampiran kilometer 4.8 Jalan Genting Highlands.

    “Susulan kejadian itu satu jentera bomba dan Balai Bomba dan Penyelamat Genting dihantar ke lokasi kejadian.

    “Sebaik tiba di lokasi, anggota bomba mendapati 10 mangsa wanita dan dua mangsa lelaki tersepit di dalam kenderaan itu. Anggota bomba kemudian segera menggunakan peralatan khas untuk mengeluarkan semua mangsa.

    “Setakat ini seramai enam mangsa membabitkan lima wanita dan seorang lelaki disahkan meninggal dunia,” katanya kepada Harian Metro.

    Menurutnya, semua mangsa yang meninggal dunia diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

    “Lapan lagi mangsa yang cedera dihantar ke hospital berdekatan untuk menerima rawatan kecemasan. Identiti semua mangsa masih cuba dikenal pasti,” katanya.

  • Calon SPM maut dalam perjalanan ke sekolah

    Calon SPM maut dalam perjalanan ke sekolah

    Calon SPM maut dalam perjalanan ke sekolah

    Oleh BADLISHAH MAT

    SEORANG pelajar tidak sempat menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) apabila maut dalam kemalangan membabitkan tiga buah kenderaan dan seorang pejalan kaki di Jalan Taman Intan, Sungai Petani.

    Dalam kejadian pada pukul 7.05 pagi hari ini, mangsa, Lee Yi Long, 17, disahkan meninggal dunia kira-kira lima jam selepas diberikan rawatan di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH).

    Pelajar lelaki yang belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tunku Ismail, Sungai Petani itu juga sepatutnya menduduki Ujian Bertutur Bahasa Melayu bagi SPM yang bermula hari ini.

    Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, kemalangan dipercayai berlaku ketika mangsa yang menunggang motosikal jenis Honda RS150 mengekori sebuah kereta Perodua Kancil dari arah Taman Intan menuju ke sekolahnya.

    “Sebaik tiba di lokasi kejadian, seorang pejalan kaki wanita berumur 73 tahun tiba-tiba melintas jalan menyebabkan pelajar itu gagal mengawal motosikalnya lalu melanggar wanita itu hingga menyebabkan kedua-duanya jatuh.

    “Motosikal mangsa kemudiannya menggelongsor dan merempuh pintu belakang Perodua Kancil sebelum terpelanting dan mengenai pula kereta Proton X70 yang diparkir di bahu jalan,” katanya hari ini.

    Menurut Zaidy, pejalan kaki dan pelajar terbabit mengalami kecederaan parah dan dikejarkan ke HSAH, manakala kedua-dua pemandu Perodua Kancil dan Proton X70 tidak mengalami kecederaan.

    “Bagaimanapun pada pukul 12.35 tengah hari tadi, pelajar itu menghembuskan nafas terakhir ketika sedang diberikan rawatan di Zon Kuning HSAH.

    “Kita sedang mengesan saksi bebas kejadian itu untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

  • Pelajar buta mata kanan terkena serpihan bunga api

    Pelajar buta mata kanan terkena serpihan bunga api

    SEORANG pelajar Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Pei Hwa di Sungai Mati, Tangkak buta mata kanan terkena serpihan bunga api ketika menyertai tarian singa, minggu lalu.

    Mangsa yang dikenali sebagai Hao, 18, menyertai rombongan tarian singa di penempatan sekitar daerah ini pada 30 Januari lalu.

    Menurut kakak mangsa yang mahu dikenali sebagai Ying, 26, adiknya menyalakan bunga api sebagai sebahagian daripada persembahan di rumah terakhir kira-kira pukul 1 pagi.

    “Kami difahamkan adik menyalakan bunga api sebelum ia meletup, menyebabkan adik saya rebah dan mengalami kecederaan di muka.

    “Tuan rumah membawa adik ke Hospital Tangkak dan saya bergegas ke sana selepas dimaklumkan kira-kira pukul 2 pagi.

    “Selepas menjalani rawatan di situ, adik dirujuk ke Hospital Muar bagi rawatan susulan.

    “Saya diberitahu mata kanan adik cedera parah dan doktor menyatakan ia mungkin tidak dapat berfungsi hampir sepenuhnya,” katanya, hari ini, lapor Berita Harian.

    Ying berkata, mata kiri adiknya selamat tetapi tetap perlu dipantau atas nasihat doktor.

    Walaupun Hao masih boleh melihat, keluarganya tetap berikhtiar dan merujuknya bagi menjalani pemeriksaan mata di hospital pakar di Kuala Lumpur.

    Ying mengakui berdepan kesulitan menanggung kos perjalanan ke ibu negara memandangkan mereka hanya keluarga sederhana manakala bapanya baru mengalami kemalangan jalan raya.

    “Saya tidak akan putus asa dan berharap masih ada peluang bagi adik saya demi masa depannya” katanya yang dalam proses memohon kad orang kurang upaya (OKU) Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi Hao.

  • Banjir di Kelantan akibatkan kerosakan infrastruktur berjumlah RM172.3j

    Banjir di Kelantan akibatkan kerosakan infrastruktur berjumlah RM172.3j

    BEBERAPA siri banjir akibat Monsun Timur Laut (MTL) yang berlaku di Kelantan sejak 2021 hingga tahun ini telah mengakibatkan kerosakan kemudahan infrastruktur berjumlah RM172.3 juta.

    Menteri Besar Datuk Ahmad Yakob berkata antara kerosakan yang dilaporkan ialah jalan raya, jambatan, sistem saliran dan pengairan, jeti serta runtuhan cerun.

    “Nilai kerosakan itu berdasarkan data yang direkodkan sehingga kini. Angka ini dijangka bertambah selepas proses pengumpulan data selesai,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Sistem Pengurusan Bencana (e-Bencana) Negeri Kelantan di sini hari ini.

    Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita negeri Datuk Mumtaz Md Nawi dan Speaker Dewan Undangan Negeri Kelantan Datuk Abdullah Ya’kub.

    Sistem e-Bencana yang dibangunkan dalam tempoh lapan tahun dengan kos RM300,000 itu akan membolehkan mangsa banjir mendapat bantuan segera selain bertindak sebagai mekanisme pengurusan yang lebih kemas dalam menentukan peranan serta tanggungjawab agensi terbabit semasa bencana.

    Sementara itu, Ahmad berharap kerajaan Persekutuan mempercepat pembinaan Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Golok (KESBAN) Fasa Dua dan Tiga bagi menangani banjir.

    “Masalah banjir di Rantau Panjang bergantung kepada cepat atau tidak projek tebatan tersebut.

    “Kita harap Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi membantu menyegerakan pelaksanaan projek berkenaan. Ia penting kerana dapat menyelamatkan kawasan kampung di sekitar Rantau Panjang,” katanya.

    Pada Ahad, Bernama melaporkan penduduk Kampung Tersang di Rantau Panjang melahirkan rasa bimbang berikutan kampung mereka kembali digenangi air sejak Sabtu akibat hujan lebat serta pertembungan air Sungai Lanchang dengan Sungai Golok. – BERNAMA