Category: Kemalangan / Bencana

  • Pejalan kaki maut digilis treler

    Pejalan kaki maut digilis treler

    SEORANG lelaki maut digilis sebuah treler dalam kejadian di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Baru di Sungai Buloh, malam tadi.

    Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Shafa’aton Abu Bakar berkata, ketika kejadian, kenderaan dipandu lelaki berumur 38 tahun itu diletakkan berhampiran lokasi kejadian.

    “Pemandu treler kemudian menghidupkan enjin untuk bergerak mengambil muatan di Pelabuhan Barat, Klang pada pukul 12.40 tengah malam.

    “Semasa mula bergerak, pemandu dimaklumkan seorang individu bahawa treler yang dipandunya telah melanggar seorang lelaki,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

    Katanya, pemeriksaan mendapati mangsa dalam keadaan terbaring di bahagian tayar belakang sebelah kanan.

    Mangsa yang merupakan seorang lelaki berumur 23 tahun mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan badan telah dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk dibedah siasat, katanya.

    “Siasatan berkaitan kejadian masih dijalankan dan kes disiasat bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya, lapor Sinar Harian.

  • Pemilik gudang rugi RM100,000, tangan melecur akibat premis terbakar

    Pemilik gudang rugi RM100,000, tangan melecur akibat premis terbakar

    Oleh RIZQI ZABIDI

    SEORANG pemilik gudang tidak hanya mengalami kerugian hampir RM100,000 malah turut melecur setelah premis miliknya itu terbakar di Kampung Batu 4, Sanglang dekat Kubang Pasu, Kedah, hari ini.

    Menurut Azli Che Ahmad, 44, kejadian itu berlaku ketika dia bersama empat pekerjanya sedang mengimpal besi dinding gudang tersebut.

    Begitu pun katanya, percikan api kimpalan tersebut jatuh ke atas jerami, mengakibatkan kebakaran berlaku.

    Percikan api kimpalan tersebut jatuh ke atas jerami, mengakibatkan kebakaran berlaku

    “Kami kemudiannya berusaha memadamkan kebarakan namun angin kencang menyebabkan kebakaran merebak dengan cepat.

    “Saya lalu cuba mengeluarkan jentera pengangkut jentera tersebut tiba-tiba tersangkut. Ketika itulah tangan kanan saya disambar api menyebabkannya melecur sedikit,” katanya.

    Sementara itu Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jitra, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Bustan Karuddin ketika dihubung memaklumkan, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pukul 10.21 pagi.

    Pemilik gudang melecur tangan semasa cuba mengeluarkan jentera pengangkut tetapi tiba-tiba tersangkut sebelum disambar api

    “Sebaik tiba di lokasi, api didapati sedang marak dan terdapat seorang mangsa melecur di tangan kanan. Pihak kami terus berusaha memadamkan kebakaran sementara mangsa dibawa kenderaan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) ke klinik kesihatan terdekat bagi mendapatkan rawatan.

    “Api kemudiannya berjaya dikawal kira-kira pukul 12 tengah hari daripada merebak ke kawasan rumah yang terletak 100 meter daripada guang terbabit. Namun kejadian itu turut memusnahkan dua kenderaan iaitu sebuah jentera pengangkut dan motosikal,” katanya.

    Katanya, pemantauan awal mendapati gudang terbabit musnah hampir 60 peratus.

  • 3 maut nahas dua kenderaan di Lebuhraya Seremban-Port Dickson

    3 maut nahas dua kenderaan di Lebuhraya Seremban-Port Dickson

    TIGA termasuk seorang remaja maut manakala empat cedera dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di KM 20.8 Lebuhraya Seremban-Port Dickson (SPDH) menghala ke Telok Kemang, Port Dickson, di sini hari ini.

    Ketua Polis Daerah Port Dickson Supt Aidi Sham Mohamed berkata kejadian kira-kira 1.30 tengah hari itu melibatkan kereta Toyota Camry dinaiki enam individu berusia 16 hingga 51 tahun dan kenderaan pacuan empat roda Toyota Hilux dipandu seorang lelaki berusia 45 tahun.

    Beliau berkata kesemua yang maut adalah penumpang Toyota Camry iaitu R. Mogana, 35, M. Pangaja Valli, 51, dan S. Jagannatth, 16.

    “Kemalangan berlaku apabila kesemua penumpang serta pemandu Toyota Camry yang berasal dari Ampang, Selangor itu dalam perjalanan ke sebuah kuil di Batu 5, Jalan Pantai, Port Dickson manakala Toyota Hilux itu menuju ke Taman Intan Perdana untuk menyiapkan projek perumahan.

    “Sebaik tiba di lokasi, pacuan empat roda itu dipercayai melanggar belakang kereta terbabit menyebabkan tiga penumpang belakangnya tersepit dan maut di tempat kejadian dengan tiga yang lain mengalami patah tangan kiri serta tulang rusuk. Pemandu Toyota Hilux pula cedera ringan,” katanya dalam kenyataan.

    Beliau berkata kesemua mangsa dibawa ke hospital Port Dickson untuk bedah siasat dan rawatan lanjut.

    Aidi Sham berkata berdasarkan ujian saringan, pemandu pacuan empat roda itu didapati bebas daripada alkohol dan dadah, namun beliau ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – BERNAMA

  • Gempa Turkiye: 39 mangsa ditemukan pasukan penyelamat Malaysia

    Gempa Turkiye: 39 mangsa ditemukan pasukan penyelamat Malaysia

    SEBANYAK 39 mangsa gempa bumi Turkiye berjaya ditemukan pasukan penyelamat Malaysia bagi Misi Bantuan Mencari dan Menyelamat (SAR) sepanjang lapan operasi dijalankan di Gaziantep, Turkiye.

    Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menerusi satu kenyataan berkata, daripada 39 mangsa yang ditemukan, lima daripadanya masih hidup manakala selebihnya telah meninggal dunia.

    “Seramai 143 orang pegawai daripada Malaysia yang menyertai Ops SAR Turkiye pada kali ini termasuk tiga pengamal media.

    “Pasukan MAS 01 dianggotai oleh enam orang pegawai JBPM dan 64 orang pegawai Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART).

    “Manakala, pasukan MAS 10 pula dianggotai oleh 30 orang pegawai JBPM, 20 orang pegawai SMART, 20 orang pegawai Angkatan Pertahan Awam (APM) serta tiga orang pengamal media,” katanya hari ini.

    Kata kenyataan itu, kesemua pegawai ditempatkan di Base Camp, Nurdagi Stadium, Gaziantep, Turkiye.

    “Kesemua 36 pegawai JBPM berada dalam keadaan yang sihat dan baik malah cuaca juga cerah dengan suhu 4 darjah Celsius,” tambah kenyataan itu lagi.

    Wisma Putra semalam memaklumkan, Malaysia menghantar 142 anggota penyelamat dan dua ekor anjing pengesan (K9) bagi menyertai misi SAR mangsa gempa bumi di Turkiye, sekali gus menjadi pasukan operasi pertama dari negara ASEAN yang tiba di negara itu.

    Pasukan itu diketuai Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) yang turut disertai SMART, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), JBPM dan APM itu antara yang terawal sampai di tapak bencana di Gaziantep.

    Dua gempa bumi kuat berukuran 7.8 dan 7.6 magnitud yang melanda selatan Turkiye dan barat laut Syria pada Isnin minggu lalu meragut ribuan nyawa.

    Angka kematian akibat gempa bumi di selatan Turkiye meningkat kepada sekurang-kurangnya 7,108 orang, manakala jumlah mangsa cedera seramai 40,910 setakat ini.

  • Dua maut tersepit, terperosok bawah kereta

    Dua maut tersepit, terperosok bawah kereta

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    DUA lelaki maut selepas terlibat dalam kemalangan di Kilometer 47, Jalan Batu Pahat-Mersing dekat Kluang, hari ini.

    Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd. Noh berkata, kemalangan pada pukul 4.12 pagi itu melibatkan sebuah kereta jenis Proton Saga dinaiki tiga lelaki dan motosikal jenis Honda Wave ditunggang seorang lelaki.

    “Hasil siasatan awal mendapati kereta itu dari arah Batu Pahat menghala ke Kluang manakala motosikal dari arah bertentangan. Apabila sampai di tempat kejadian di jalan selekoh, kereta berkenaan dipercayai hilang kawalan lalu masuk ke laluan bertentangan.

    Pihak bomba menggunakan peralatan khas untuk mengeluarkan tiga lelaki yang tersepit selepas terlibat kemalangan di Kilometer 47, Jalan Batu Pahat-Mersing, Kluang, hari ini.
    – Foto ihsan bomba Johor

    “Kereta berkenaan kemudian bertembung dengan motosikal tersebut sebelum terbabas melanggar tiang lampu di sebelah kanan jalan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Beliau berkata, akibat kemalangan itu, penumpang hadapan kereta berkenaan, V. Prashaanthan, 20, yang beralamat di Taman Cahaya Pelangi, Kluang cedera parah di kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian.

    Katanya, Pemandu kereta tersebut, B. Nantha Kumar, 30, yang beralamat di Taman Bersatu, Kluang, cedera parah di kepala, leher dan patah tulang belakang, kini berada di Zon Merah Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) di Kluang.

    Anggota bomba bejaya mengeluarkan seorang mangsa yang maut selepas tersepit dalam terlibat kemalangan di Kilometer 47, Jalan Batu Pahat-Mersing, Kluang. – Foto ihsan bomba Johor

    “Seorang lagi penumpang belakang yang merupakan adik kepada Nantha Kumar iaitu B. Sathis Kumar, 27, juga beralamat di Taman Bersatu patah tangan tangan kiri, cedera di muka dan berada di Zon Kuning HEBHK,” katanya.

    Sementara penunggang motosikal tersebut katanya, T. Ravindran, 51, beralamat di Taman Kluang Jaya cedera di kepala, patah tangan kiri dan meninggal dunia di tempat kejadian.

    Beliau menambah, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

    Kereta dinaiki tiga lelaki rosak teruk selepas terlibat kemalangan dengan sebuah motosikal di Kilometer 47, Jalan Batu Pahat-Mersing, Kluang. – Foto ihsan IPD Kluang

    Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kluang, Pegawai Bomba Kanan II Jusoh Mohd. Salleh berkata, kemalangan tersebut berlaku berhampiran jirat Cina.

    Menurutnya, seramai lapan anggota dibantu sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke tempat kejadian.

    “Kemalangan itu mengakibatkan ketiga-tiga mangsa dalam kereta tersebut tersepit. Selain itu kemalangan ini turut mengakibatkan penunggang motosikal berkenaan tersepit di bawah kereta,” ujarnya.

    Motosikal ditunggang mangsa yang terkorban rosak teruk selepas terlibat kemalangan dengan sebuah kereta di Kilometer 47, Jalan Batu Pahat-Mersing, Kluang. Foto ihsan IPD Kluang

    Pihak bomba katanya, bertindak mengeluarkan semua mangsa yang tersepit dalam kereta tersebut dengan menggunakan peralatan khas.

    Jusoh memberitahu, pemandu kereta terbabit disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan yang hadir.

    “Pihak bomba dibantu sebuah kren mengangkat kereta tersebut bagi mengeluarkan penunggang motosikal yang terperosok bawah kereta dan apabila dikeluarkan sudah meninggal dunia,” katanya.

    Kedua-dua mangsa yang meninggal dunia ujarnya, diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan operasi tamat pukul 4.50 pagi.

  • Kanak-kanak jatuh longkang ditemui di timbunan sampah

    Kanak-kanak jatuh longkang ditemui di timbunan sampah

    MAYAT kanak-kanak lelaki yang hilang selepas dipercayai terjatuh ke dalam longkang di Jalan Ukay Perdana, Ukay Perdana, Ampang, Sabtu lalu ditemui di sebalik timbunan sampah.

    Lapor Harian Metro, Muhammad Rizqullah Mohd Shafie, 10, ditemui pada 5.10 petang tadi dan usaha membawanya keluar sedang dijalankan.

    Menurut Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Datuk Norazam Khamis, mayat mangsa kedua yang hanyut itu ditemui kira-kira 400 meter, di bawah timbunan sampah.

    Harian Metro Sabtu lalu melaporkan dua kanak-kanak lelaki dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam longkang di Jalan Ukay Perdana, Ukay Perdana.

    Seorang lagi mangsa, Wan Muhammad Ammar Wan Mohd Noor Hafizan, 8, ditemui 6.30 petang semalam pada jarak 200 meter dari lokasi dia dipercayai terjatuh.

  • Ajal langgar palang besi kawasan pembinaan

    Ajal langgar palang besi kawasan pembinaan

    SEORANG penunggang motosikal EX5 maut selepas terlanggar palang besi berhampiran sebuah pangsapuri di Petaling Jaya malam tadi.

    Mangsa meninggal dunia ketika menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

    Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, pihaknya menerima laporan daripada PPUM mengenai kejadian pada 10.13 malam.

    Beliau berkata, siasatan mendapati kemalangan berlaku semasa mangsa berusia 30 tahun dalam perjalanan berjumpa rakan.

    “Tiba di tempat kejadian, mangsa tidak menyedari terdapat penghadang palang dan terus melanggar palang terbabit,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Mohamad Fakhrudin berkata, palang itu diletakkan bagi menghalang kenderaan luar masuk ke kawasan pembinaan pangsapuri.

    Beliau difahamkan, pintu hadapan pada jalan besar hanya dibuka dari pukul 7 pagi sehingga 7 malam untuk lori dan kenderaan pekerja.

    “Mayat mangsa akan dibedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian,” katanya, lapor UtusanTV.

    Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

  • Dua maut dalam kemalangan tiga kenderaan

    Dua maut dalam kemalangan tiga kenderaan

    DUA wanita meninggal dunia selepas kereta dinaiki mereka terlibat dalam nahas melibatkan tiga kenderaan di Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) dekat Kampung Sri Mawar, Serkam, di Jasin, pukul 7.40 pagi tadi.

    Kedua-dua mangsa yang menaiki Nissan Almera dikatakan baru pulang dari bekerja di sebuah kilang elektronik di Batu Berendam.

    Komander Operasi dari Balai Bomba Bukit Katil, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Mohamad Hamdan Sudin berkata, pihaknya menerima panggilan pada pukul 7.45 pagi sebelum lapan anggota digerakkan ke lokasi kejadian.

    “Setibanya pasukan keluaran operasi (PKO) di tempat kejadian didapati benar terdapat kemalangan jalan raya melibatkan tiga buah kenderaan iaitu Nissan Almera, Toyota Altin dan motosikal jenis Yamaha Y15.

    “Terdapat empat mangsa yang mana dua mangsa wanita dari kenderaan Nissan Almera meninggal dunia di tempat kejadian, seorang mangsa lelaki yang menaiki Toyota Altis pula tersepit manakala penunggang motosikal cedera ringan.

    “Semua mangsa yang cedera telah diberi rawatan awal oleh unit EMRS manakala mangsa yang maut diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan, lapor Astro Awani.

  • Pasukan Selam Ranjau bantu SAR kesan anggota komando dikhuatiri lemas

    Pasukan Selam Ranjau bantu SAR kesan anggota komando dikhuatiri lemas

    PASUKAN Selam Ranjau KD Duyong, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) akan membantu operasi mencari dan menyelamat (SAR) anggota komando dikhuatiri lemas di perairan Pulau Undan, Selasa lepas.

    Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Melaka dan Negeri Sembilan Kepten Maritim Iskandar Ishak berkata pasukan tersebut akan membantu selaman di kawasan pengesanan sonar yang telah ditanda oleh Tim Ukur Medan dari Cawangan Operasi dan Persempadan Pusat Hidrografi Nasional (PHN) semalam.

    “Pencarian hari ketujuh ini akan lebih tertumpu menggunakan sonar oleh Tim Ukur Medan dari Cawangan Operasi dan Persempadan PHN.

    “Khidmat Pasukan Selam Ranjau akan digunakan bagi membantu selaman di kedalaman lebih dari 40 meter dengan armada barat telah mengkoordinasi pergerakan tim selam berserta peralatan bersama kapal TLDM dari Lumut, Perak,” katanya dalam kenyataan di Melaka hari ini.

    Beliau berkata 11 aset laut dari pelbagai agensi termasuk aset Angkatan Tentera Malaysia (ATM) diatur gerak membantu pencarian pada pagi ini.

    Katanya orang ramai dan komuniti maritim yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian boleh menyalurkan terus ke Pusat Operasi Maritim Melaka dan Negeri Sembilan di talian 06-387 6730 dan MERS 999 yang beroperasi secara 24 jam bagi membantu operasi.

    Pada 7 Feb lepas, L/Kpl Edrin Baintim, 25, yang merupakan anggota Tentera Darat dipercayai daripada Grup Gerak Khas (GGK) atau lebih dikenali sebagai komando dilaporkan hilang ketika menjalani latihan menyelam di 0.7 batu nautika barat daya Pulau Undan.

    Mangsa dikatakan hilang ketika latihan eksesais ‘Pari Harimau’ iaitu kursus juruselam bersama enam pegawai dan 37 peserta kursus dari Pusat Latihan Peperangan Khusus (PULPAK) Sungai Udang.

  • Seorang hilang, enam selamat perahu karam di Sungai Song

    Seorang hilang, enam selamat perahu karam di Sungai Song

    SEORANG lelaki hilang manakala enam yang lain terselamat selepas perahu yang mereka naiki karam di muara Sungai Song, di Song, lewat malam tadi.

    Ketua Operasi Bomba dan Penyelamat Negeri, Henderi Ardimanshah berkata, insiden membabitkan penduduk Rumah Ekeh Nanga Pan, di Song berlaku semasa mereka dalam perjalanan pulang selepas mengunjungi pekan Song.

    Pihaknya kata Henderi, menerima panggilan pukul 11.17 malam dan segera mengaktifkan jentera dan sepasukan tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Song yang kebetulan sedang mengadakan rondaan Monsun Timur Laut ke lokasi.

    “Berdasarkan maklumat awal, kesemua mangsa yang terselamat sedang tersadai di muara sungai, yang terletak di seberang pekan termasuk dua yang tidak sedarkan diri, setelah diselamatkan rakan mereka.

    “Seorang daripada mangsa kemudian menghubungi saudaranya yang berada di pekan berkenaan, yang kemudian memanjangkan maklumat kepada pihak bomba.

    “Setibanya di jeti pekan Song, pasukan bomba kemudian mendapatkan bantuan pemilik perahu awam yang kebetulan berada di jeti berkenaan untuk menyelamatkan mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Katanya lagi, ketika itu pihaknya mendapat maklumat akan identiti mangsa hilang yang dikenal pasti sebagai Gawing Mancha, 47.

    Tambahnya, semua mangsa yang terselamat kemudian diserahkan kepada pasukan paramedik dari Klinik Kesihatan Song untuk rawatan lanjut.

    “Operasi mencari dan menyelamat mangsa yang hilang bagaimanapun akan dimulakan pada pagi ini memandangkan keadaan persekitaran yang gelap serta faktor keselamatan bagi pasukan penyelamat,” ujarnya, lapor Astro Awani.