Category: Kemalangan / Bencana

  • Kanak-kanak lemas di homestay milik keluarga

    Kanak-kanak lemas di homestay milik keluarga

    SEORANG kanak-kanak perempuan ditemui lemas ketika bermandi manda di kolam renang sebuah inap desa (homestay) di Kampung Pulai, Merlimau, pukul 10.50 pagi semalam.

    Mangsa, Auni Falisha Muhammad Firdaus yang berusia tiga tahun itu dikatakan pergi ke inap desa yang berhampiran kediamannya bersama abangnya yang berumur lima tahun.

    Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Ahmad Jamil Radzi berkata, siasatan awal mendapati dua beradik itu berjalan kira-kira 500 meter ke inap desa berkenaan tanpa pengetahuan ibu bapanya.

    “Hasil siasatan mendapati mangsa bersama abangnya yang berumur lima tahun telah berjalan kaki ke kolam renang yang jaraknya lebih kurang 500 meter dari rumah mereka tanpa sebarang pengetahuan ibu bapa dan ahli keluarga yang lain.

    “Kolam renang itu adalah hak milik ahli keluarga si mati sendiri dan semasa kejadian didapati tiada pelanggan yang mengunjungi dan berada di kolam renang tersebut,” katanya metika dihubungi hari ini.

    Mengulas lanjut katanya, kejadian itu disedari selepas abang mangsa pulang ke rumah dalam keadaan basah dan memaklumkan adiknya berada di kolam renang sendirian.

    Ibunya kemudian menghubungi rakan sekerja dan meminta bantuan untuk pergi ke kolam renang tersebut bagi melihat keadaan kanak-kanak itu.

    “Semasa rakan ibu bapanya tiba di kolam renang mendapati mangsa dalam keadaan tertiarap dalam kolam renang dan tidak sedarkan diri.

    “Pemeriksaan secara fizikal ke atas mayat mangsa mendapati tiada sebarang kesan perbuatan jenayah dan bedah siasat telah dilakukan,” tambahnya lapor Astro Awani.

    Ujarnya, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

  • Sarjan polis ditemukan maut dengan kesan tembakan

    Sarjan polis ditemukan maut dengan kesan tembakan

    SEORANG anggota polis berpangkat Sarjan ditemukan maut dengan kesan tembakan di belakang balai polis Bayan Lepas, dekat Balik Pulau pukul 3.30 petang tadi.

    Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintenden Kamarul Rizal Jenal berkata, mangsa yang berusia 51 tahun ditemukan meninggal dunia dengan kesan tembakan pada leher, dada dan kepala.

    Jelas beliau, polis turut menemukan sepucuk pistol bersama mangsa.

    “Mangsa merupakan anggota polis yang bertugas di balai polis Bayan Lepas.
    “Kes masih dalam siasatan dan polis menasihati orang awam tidak menyebarkan sebarang spekulasi,” katanya dalam kenyataan di Balik Pulau malam ini.

  • Suami isteri termasuk seorang kanak-kanak maut

    Suami isteri termasuk seorang kanak-kanak maut

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEPASANG suami isteri dan seorang kanak-kanak meninggal dunia selepas motosikal dinaiki terlibat dalam kemalangan di Jalan Persiaran Tanjung Tampoi, Johor Bahru, hari ini.

    Kejadian tersebut mengorbankan penunggang motosikal, Mohammad Shahril Abdullah, 38, dan isterinya, Habsah Jailani, 41, serta Muhammad Dany Lukman Naim Abdullah, 10.

    Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kempas, Pegawai Bomba Kanan II Wan Nor Affendi berkata, pihaknya menerima panggilan kejadian tersebut pada pukul 4.47 petang.

    Anggota bomba mengangkat mangsa kemalangan melibatkan sebuah motosikal dan lori di Jalan Persiaran Tanjung Tampoi, Johor Bahru, hari ini

    Susulan itu katanya, seramai 10 anggota dengan sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dikejarkan ke tempat kejadian.

    “Kemalangan melibatkan sebuah motosikal jenis Yamaha LC dengan sebuah Lori Mitsubishi Fuso.

    Seorang daripada tiga mangsa yang terkorban dalam nahas melibatkan sebuah motosikal dan lori di Jalan Persiaran Tanjung Tampoi, Johor Bahru

    “Penunggang dan dua pembonceng meninggal dunia akibat cedera parah. Muhammad Shahril dan Habsah dipercayai suami isteri manakala kanak-kanak terbabit tidak dapat dipastikan hubungan dengan pasangan tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata, mayat diserahkan kepada pihak polis manakala pemandu lori, Faizi Mohd Fuad Tan, 30, selamat.

    Tambahnya, operasi menyelamat mangsa tamat pada pukul 5.50 petang.

  • Kanak-kanak lelaki dikhuatiri lemas

    Kanak-kanak lelaki dikhuatiri lemas

    SEORANG kanak-kanak lelaki berusia enam tahun dikhuatiri lemas dihanyutkan air deras sebuah longkang di Taman Pelangi, di Selayang hari ini.

    Pihak bomba menerima panggilan kecemasan berkaitan insiden tersebut pada pukul 6.19 petang.

    Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Hafisham Mohd. Noor berkata, seramai 10 anggota dan pegawai bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Rawang bergegas ke lokasi kejadian.

    “Pihak bomba sedang menjalankan pencarian di lokasi sehingga ke kawasan sungai berhampiran,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

  • Mayat penuntut UniKL lemas ditemukan

    Mayat penuntut UniKL lemas ditemukan

    Oleh BADLISHAH MAT

    MAYAT penuntut Universiti Kuala Lumpur (UniKL) yang dilaporkan hilang petang semalam ketika mandi-manda ditemukan lemas pada pukul 1.24 petang ini di Pantai Tanjung Rhu, Langkawi.

    Mangsa, Muhammad Fahmi Hafizi Zulkiflli, 20, yang berasal dari Mukim Tajar, Langgar di Alor Setar ditemukan kira-kira 50 meter dari pantai berkenaan oleh pasukan penyelamat.

    Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari berkata, identiti mangsa disahkan ibu, ibu saudara dan sepupu mangsa yang berada di lokasi kejadian.

    “Pengesahan kematian dibuat oleh kakitangan perubatan sebelum mayat dibawa ke Unit Forensik Hospital Sultanah Maliha, Langkawi untuk bedah siasat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Terdahulu, mangsa yang merupakan penuntut Kejuruteraan Penerbangan di UniKL MIAT, Jenderam Hulu, Selangor bersama beberapa rakan sedang berenang di pantai tersebut sebelum didapati dia tiba-tiba lemas.

    Difahamkan, rakan mangsa yang lain cuba menyelamatkannya, namun gagal kerana ombak yang kuat di kawasan kejadian.

    Mangsa baru dua minggu berada di pulau pelancongan tersebut untuk menjalani latihan amali.

    Shariman berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilakukan seramai 69 pegawai dan anggota melibatkan polis, bomba, Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).

  • Penuntut UniKL dikhuatiri lemas ketika mandi di Tanjung Rhu

    Penuntut UniKL dikhuatiri lemas ketika mandi di Tanjung Rhu

    SEORANG penuntut Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dikhuatiri lemas ketika mandi bersama rakan di Pantai Tanjung Rhu, di Langkawi, semalam.

    Menueut Ketua Polis Daerah Langkawi Asisten Komisioner Shariman Ashari, mangsa Muhammad Fahmi Hafizi Zulkiflli, 20 tahun, berasal dari Batu 8 1/2 Jalan Jelai, Mukim Tajar, Langgar, baru dua minggu datang ke Langkawi untuk menjalani latihan amali.

    “Bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Langkawi menerima laporan kejadian pada jam 7.20 petang, terdapat seorang lelaki lemas ketika mandi di Pantai Tanjung Rhu.

    “Mangsa merupakan penuntut Kejuruteraan Penerbangan, Malaysian Institute of Aviation Technology (UniKL MIAT), Jenderam Hulu, Selangor bersama beberapa rakan sedang berenang di pantai, tiba-tiba lemas,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Katanya, rakan mangsa yang lain cuba menyelamatkan mangsa namun gagal kerana alun air kuat.

    Shariman berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilakukan seramai 57 pegawai dan anggota polis, bomba, Angkatan Pertahanan Awam dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia.

    “Operasi ditangguhkan jam 12 tengah malam dan akan disambung pagi ini,” katanya, lapor Astro Awani.

  • Pemandu e-hailing maut dihempap kereta sendiri

    Pemandu e-hailing maut dihempap kereta sendiri

    MALANG tidak berbau. Seorang pemandu e-hailing maut dihempap kereta miliknya ketika sedang melakukan kerja-kerja pembaikan di parkir kawasan perumahan di Presint 5, di Putrajaya hari ini.

    Ketua Polis Daerah, ACP A.Asmadi Abdul Aziz berkata Mohammad Azim Mohamad Sanusi, 29, sedang menukar minyak hitam dan membaiki brek tayar hadapan di sebelah kanan kereta Perodua Bezza miliknya sebelum dihempap kenderaan itu dalam kejadian kira-kira 12 tengah hari itu.

    “Mangsa maut di tempat kejadian,” katanya ketika dihubungi hari ini, serta menambah pemeriksaan ke atas tubuh badan mangsa mendapati tiada unsur jenayah.

    Mayat mangsa dibawa ke Hospital Putrajaya untuk proses bedah siasat, katanya. – BERNAMA

  • Lima nelayan bergayut 10 jam pada bot terbalik

    Lima nelayan bergayut 10 jam pada bot terbalik

    LIMA nelayan selamat selepas bot yang mereka naiki karam pada kedudukan kira-kira 3.6 batu nautika dari Pelabuhan Kerteh, tengah malam tadi.

    Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Zon Maritim Kemaman, Rashidilhadi Abd Rashid berkata, mereka terdiri daripada seorang tekong tempatan dan empat awak warga Myanmar.

    “Sebelum kejadian semua mereka yang berusia 21 hingga 53 tahun itu keluar menangkap ikan dari jeti Kuantan petang semalam, menuju ke Pulau Tenggol.

    “Setibanya di perairan Kerteh tengah malam tadi, bot yang mereka naiki itu mengalami kerosakan pada sistem pam menyebabkan air laut mula memenuhi bot mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Berikutan itu katanya, bot mereka itu terbalik yang menyebabkan kesemua nelayan terbabit terjun ke dalam laut dan bergayut pada bot.

    Rashidilhadi berkata, kesemua nelayan itu terpaksa bergayut selama 10 jam sebelum mereka ditemui dua buat bot tunda nelayan tempatan, pada pukul 10.15 pagi tadi.

    “Kami menerima panggilan kecemasan bersama enam anggota dengan sebuah bot bergegas ke lokasi kejadian.

    “Bagaimanapun, kesemua nelayan itu dibawa naik ke bot nelayan tempatan dan kesemua nelayan itu selamat tiba di jeti Pelabuhan Kerteh, pukul 10.45 pagi, “katanya.

    Menurutnya, mereka diberi rawatan oleh pasukan perubatan Pelabuhan Kerteh sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

    “Pihak kami menasihati kepada bot dan kapal supaya berhati-hati ketika melalui kawasan kejadian supaya tidak melanggar bangkai bot terbabit yang masih terapung di situ,” katanya, lapor Harian Metro.

  • Warga emas maut, kereta langgar rempuh belakang treler

    Warga emas maut, kereta langgar rempuh belakang treler

    SEORANG wanita warga emas maut selepas kereta yang dinaikinya melanggar kon sebelum merempuh belakang sebuah treler di Kilometer 334.4 Lebuhraya Utara Selatan, arah utara, dekat Tapah, pukul 5.30 pagi tadi.

    Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, mangsa yang berusia 81 tahun yang merupakan penumpang kereta berkenaan meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Tapah.

    “Sebelum kejadian tersebut, sebuah treler muatan alat ganti kereta yang dalam perjalanan dari Johor ke Padang Besar, Perlis telah terbabas lalu melanggar pembahagi jalan besi di tengah lebuh raya.

    “Kira-kira sejam kemudian, sebuah kereta yang datang dari arah sama telah hilang kawalan lalu melanggar kon keselamatan dan seterusnya terbabas melanggar bahagian belakang treler itu.

    “Dalam kemalangan ini penumpang belakang kereta yang berumur 81 tahun telah meninggal dunia di Hospital Tapah semasa menerima rawatan di wad kecemasan,” katanya dalam kenyataan di sini.

    Menurutnya, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Tapah telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

    Katanya, orang awam yang mempunyai maklumat mengenai kemalangan itu diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Prathiparaj Punasagaran di talian 014-6178095.

    “Pengguna jalan raya diingatkan supaya lebih berhati-hati dan bertimbang rasa semasa memandu kenderaan supaya kemalangan sebegini dapat dielakkan,” ujarnya, lapor Astro Awani.

  • Ibu maut, anak cedera ringan dilanggar motosikal

    Ibu maut, anak cedera ringan dilanggar motosikal

    SEORANG wanita maut manakala anak lelakinya cedera ringan selepas dilanggar sebuah motosikal berhampiran Sekolah Kebangsaan Taman Dato Harun 2, Petaling Jaya, petang kelmarin.

    Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, dalam kejadian pukul 5.30 petang, mangsa dan anaknya dilanggar sebuah motosikal Honda di Jalan PJS 2/2.

    “Mangsa berusia 37 tahun cedera parah di kepala dan dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya untuk menerima rawatan sebelum disahkan meninggal dunia, semalam.

    “Sementara anak mangsa berusia 10 tahun luka di bibir,” katanya dalam satu kenyataan hari ini, lapor UtusanTV.

    Jelasnya, siasatan kini dijalankan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

    Saksi kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Inspektor Muhammad Hisyam Azih di talian 017-7378704.