Category: Kemalangan / Bencana

  • Buruh dikhuatiri lemas ketika cuba selamat anak

    Buruh dikhuatiri lemas ketika cuba selamat anak

    SEORANG buruh kilang dikhuatiri lemas, selepas hilang dibawa arus ketika cuba menyelamatkan anaknya daripada lemas di Sungai Lubuk Tapeng dekat Air Puteh di Kemaman, pukul 1.45 tengah hari tadi.

    Ketua Polis Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, mangsa, Mohd. Mirwan Mohd. Remli, 40, tenggelam dibawa arus sungai berkenaan.

    “Sebelum kejadian mangsa bersama isterinya, Haryati Sulaiman, 36, serta anak mereka ke sungai itu untuk memancing dan mandi, mulai pukul 9.30 pagi.

    “Ketika sedang mandi, anaknya Muhammad Zafran Aidil, 12, tiba-tiba dibawa arus dan hanyut sehingga ke tengah sungai.

    “Mangsa dikatakan bertindak untuk menyelamatkan anaknya itu, namun isteri mangsa kemudiannya mendapati suaminya itu tenggelam.

    “Bagaimanapun, anak mangsa berjaya menyelamatkan diri dengan berpaut pada dahan pokok yang ada di sungai terbabit,” katanya dalam kenyataan.

    Hanyan berkata, menyedari suami hilang, isterinya bergegas mendapatkan pertolongan daripada penduduk kampung sebelum datang ke balai polis membuat laporan.

    Sementara itu, Pegawai Operasi Bomba, Mohd. Hafiezul Mohamad berkata, seramai 16 anggota bomba dan penyelamat dari Balai Cheneh dan Chukai, bergegas ke lokasi kejadian.

    Beliau berkata, operasi mencari dan menyelamat mangsa sedang giat dilakukan membabitkan kerjasama daripada polis, Rela dan penduduk kampung.

    “Seramai tujuh anggota Bomba dari Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) turut menyertai operasi ini dan setakat ini usaha pencarian mangsa masih belum berhasil,” katanya, lapor Berita Harian.

  • Pemuda lemas motosikal terbabas jatuh sungai

    Pemuda lemas motosikal terbabas jatuh sungai

    SEORANG lelaki ditemui lemas di Sungai Tambun Tulang, Arau selepas motosikalnya dipercayi terbabas sebelum terjunam ke dalam sungai pada pagi tadi.

    Ketua Polis Daerah Arau, Superintendan Ahmad Mohsin Md Rodi berkata, orang ramai melihat mangsa yang dikenali Mohd Syafidu Arifin, 27 tahun berasal dari Kampung Pida 3 Semut Gatal, Kedah terjatuh ke dalam sungai tersebut pada pukul 8.27 pagi.

    “Bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Arau menerima panggilan kecemasan daripada orang awam sebelum mengarahkan kereta Peronda MPV ke lokasi kejadian.

    “Gerakan IPD Arau juga telah memaklumkan kepada pihak Bomba Arau untuk bantuan pada pukul 8.50 pagi sebelum bomba berjaya menaikkan motosikal terbabit,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Katanya, pada pukul 9.44 pagi, Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) Bomba tiba di lokasi dan mereka membuat selaman ke dalam sungai.

    Kemudian pada pukul 11.07 pagi katanya, mereka berjaya menjumpai mangsa iaitu 15 meter dari lokasi mangsa jatuh bagaimanapun disahkan meninggal dunia.

    “Siasatan awal mendapati motosikal ditunggangi mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas dan terjunam ke dalam sungai terbabit bersama motosikal,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan mayat mangsa dihantar ke Hospital Tuanku Fauziah Kangar untuk bedah siasat.

  • 4 warga emas maut kereta bertembung treler di Taiping

    4 warga emas maut kereta bertembung treler di Taiping

    EMPAT warga emas terbunuh apabila kereta yang mereka naiki bertembung dengan sebuah treler  di Jalan Sungai Baru,Trong, Taiping, hari ini.

    Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, berkata pihaknya menerima panggilan kejadian pada jam 5.31 petang.

    ‘’Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Taiping diketuai oleh Penolong Bomba Kanan 2, Mohd Rizan Shahrudin, segera kelokasi kejadian untuk tindakan lanjut.

    “Kemalangan membabitkan sebuah treler muatan arang batu bertembung dengan sebuah kenderaan jenis Toyota Vios dan mengakibatkan empat mangsa tersepit. Kesemua mangsa masing-masing dua lelaki dan dua perempuan berusia antara 63 hingga 77 tahun disahkan meninggal dunia  di lokasi kejadian,’’ katanya dalam kenyataan.

    Beliau berkata, anggota bomba menggunakan peralatan khas bagi mengeluarkan semua mangsa yang tersepit sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

    Sementara itu Ketua Polis Daerah Taiping, Superintendan Razlam Ab Hamid mengesahkan kejadian dan menegaskan siasatan lanjut masih dijalankan.

  • Kereta langgar kerbau hingga melambung, wanita parah

    Kereta langgar kerbau hingga melambung, wanita parah

    LIMA beranak berdepan detik cemas apabila kenderaan dinaiki mereka berlanggar dengan seekor kerbau dalam kejadian di KM 2.6 Jalan Bypass Pasir Puteh ke Tok Bali, malam tadi.

    Kejadian kira-kira pukul 11 malam itu mengakibatkan seorang wanita cedera parah manakala suami dan tiga anaknya cedera ringan.

    Menurut Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Superintendan Zaizul Rizal Zakaria, ketika kejadian wanita berusia 27 tahun itu berada di bahagian hadapan penumpang manakala kereta dipandu suami mangsa serta tiga anak mangsa berada di bahagian belakang.

    Katanya, apabila sampai di lokasi kejadian, kereta mereka dipercayai terlanggar kerbau yang berada di laluan Tok Bali.

    “Pelanggaran itu menyebabkan haiwan itu melambung dan menghempap bumbung kereta mangsa,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

    Difahamkan wanita berkenaan mendapatkan rawatan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM).

    Mengulas lanjut, Zaizul berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

    “Kita masih jalankan siasatan lanjut berkaitan kejadian,” katanya.

    Bagi yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik,Sarjan Mohd Jailani Mokhtar di talian 019-9899469.

  • Bayi dua bulan maut dipercayai dihempap abang

    Bayi dua bulan maut dipercayai dihempap abang

    SEORANG bayi perempuan maut selepas dipercayai terhempap oleh abangnya ketika sedang tidur di rumah mereka di Taman Bidara Setia di Alor Gajah, semalam.

    Memetik laporan Astro AWANI, mangsa, Maryam Sofea Meor Syazalee yang berusia dua bulan didapati sudah tidak sedarkan diri oleh ibunya sebelum disahkan meninggal dunia di hospital.

    Menurut bapa mangsa, Meor Syazalee Sha @ Meor Sha, 38, ketika kejadian dia bersama isteri serta satu-satunya anak perempuan mereka sedang tidur di bilik tidur utama rumah manakala tiga lagi anaknya berusia 9, 6, dan 5 tahun tidur di bilik berasingan.

    “Apabila kami terjaga dari tidur, kami mendapati salah seorang anak lelaki yang berusia lima tahun sudah berada dan sedang tidur di sebelah adiknya.

    “Tidak lama selepas itu, kami dapati anak perempuan kami tidak bergerak seperti biasa dan kami terus bergegas membawanya ke hospital sebelum disahkan telah meninggal dunia,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Alor Gajah, hari ini.

    Mengulas lanjut, Meor Syazalee yang juga pensyarah di Kolej Kemahiran Tinggi Mara Masjid Tanah berkata, meskipun masih terkejut, namun mereka sekeluarga reda dengan kejadian itu.

    Katanya, dia berharap orang ramai tidak melemparkan sebarang komen negatif yang memberikan kesan emosi kepada mereka sekeluarga.

    “Ini ujian buat keluarga kami dan sebagai bapa saya reda dengan apa yang telah berlaku.

    “Apa yang saya harap adalah supaya orang ramai tidak membuat spekulasi atau mengeluarkan komen negatif yang boleh mengguris emosi kami sekeluarga,” katanya.

    Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Arshad ketika dihubungi enggan mengulas lanjut dan akan mengeluarkan kenyataan sehingga hasil laporan bedah siasat dikeluarkan.

  • Kanak-kanak perempuan maut kebakaran rumah

    Kanak-kanak perempuan maut kebakaran rumah

    Oleh BADLISHAH MAT

    SEORANG kanak-kanak perempuan meninggal dunia akibat kebakaran yang berlaku di rumah keluarganya di Kampung Besah, Kuala Ketil di Baling, pagi tadi.

    Mangsa, Nor Batrisha Razali, 12, ditemukan oleh anggota bomba yang memadam kebakaran terbabit di dalam bilik tidur kediaman itu.

    Menurut Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Wan Mohd. Hamizi Wan Mohd. Zin, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 7.08 pagi.

    “Hasil pemerhatian pasukan keluaran operasi (PKO) mendapati, kebakaran terbabit dipercayai bermula pada bahagian dalam bilik tidur.

    “Rumah tersebut yang berkeluasan 40 kaki x 20 kaki didapati terbakar kira-kira 90 peratus dan kerja-kerja ‘overhaul’ kini sedang dijalankan oleh anggota di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Tambah Wan Mohd. Hamizi, dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Baling bersama sepasukan anggota dikerahkan ke lokasi sebaik menerima panggilan kecemasan.

  • Feri Langkawi tersangkut di beting pasir, 511 penumpang terkandas lebih 2 jam

    Feri Langkawi tersangkut di beting pasir, 511 penumpang terkandas lebih 2 jam

    Oleh RIZQI ZABIDI

    PERJALANAN lebih 500 penumpang tergendala selama beberapa jam apabila feri dinaiki mereka dari Langkawi ke Kuala Perlis, tersangkut di kawasan beting pasir, semalam.

    Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Noor Azreyanti Ishak berkata, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menerima panggilan mengenai kejadian itu dari Jabatan Laut Malaysia (JLM) kira-kira pukul 9.15 malam.

    Katanya, Feri Express Bahagia 168 yang membawa 511 penumpang itu terkandas di posisi 0.8 batu nautika, muara Kuala Kedah.

    “Feri itu terkandas apabila paras air laut surut menyebabkannya tersangkut di kawasan beting lumpur.

    “Bot Perkasa 1224 kemudiannya diatur gerak ke lokasi sebaik menerima aduan bagi menjaga keselamatan dan membantu pihak feri serta JLM,” katanya.

    Tambahnya, feri tersebut berjaya ditunda balik oleh bot penunda milik sebuah syarikat kargo di Kuala Kedah dengan diiringi Perkasa 1224 kira-kira pukul 11.15 malam.

    “Operasi dikendalikan Maritim Rescue Sub-Cebtre (MRSC) Langkawi itu selesai kira-kira pukul 12 tengah malam.

    “Antara agensi sahabat yang terlibat ialah Jabatan Laut Malaysia (JLM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jabatan Kesihatan Malaysia (KKM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA),” katanya.

    Menurutnya, Maritim Malaysia mengalu-alukan orang ramai menyalurkan sebarang maklumat dan aduan sekiranya berlaku insiden kecemasan di laut ke Pusat Operasi Zon Maritim Kuala Kedah di talian 04-7310579 atau MERS 999 untuk maklum balas segera.

  • Wanita melecur pada badan, muka tong gas meletup

    Wanita melecur pada badan, muka tong gas meletup

    SEORANG wanita berusia 54 tahun melecur pada bahagian badan dan muka selepas tong gas di rumah sewanya di Flat Taman Sri Bayu, Bayan Lepas, Pulau Pinang meletup dalam kejadian awal pagi tadi.

    Mangsa bagaimanapun berjaya diselamatkan jirannya yang menyedari kejadian itu yang berlaku kira-kira pukul 9 pagi.

    Difahamkan, mangsa yang hanya menyewa bilik di kediaman itu berada seorang diri ketika kejadian.

    Pegawai Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Seri Balik Pulau, Zaiful Arif Mat Ariffin berkata, pihkanya menerima panggilan berhubung kejadian itu pukul 9.18 pagi sebelum bergegas ke lokasi kejadian.

    Menurutnya, sebaik sahaja anggota tiba di tempat kejadian didapati berlaku kebocoran gas sehingga menyebabkan letupan di dalam rumah.

    “Terdapat seorang mangsa wanita melecur hampir 60 peratus pada badan dan muka. Kebakaran terlebih dahulu dipadamkan oleh jiran mangsa sebelum pihak bomba tiba di lokasi,” katanya kepada pemberita hari ini.

    Menurut beliau, operasi menyelamat tamat sepenuhnya pukul 10 pagi dan mangsa telah diserahkan kepada pihak ambulans Kementerian Kesihatan (KKM) untuk dibawa ke hospital bagi mendapatkan rawatan lanjut.

  • 4 terselamat Perodua Axia terbakar

    4 terselamat Perodua Axia terbakar

    EMPAT individu berdepan detik cemas apabila kereta jenis Perodua Axia yang dinaiki mereka terbakar selepas terlibat dalam kemalangan dengan kereta jenis Mercedes Benz di Kilometer 3 Jambatan Pulau Pinang berdekatan kawasan perusahaan Perai, awal pagi tadi.

    Difahamkan, dalam kejadian kira-kira pukul 1 pagi itu, kesemua mangsa berjaya dikeluarkan dengan bantuan orang awam.

    Penolong Pengarah Operasi Negeri, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, Mohd. Hafiz Hafizal Timaradin berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian berlaku pada pukul 1.08 pagi.

    Menurutnya, operasi menyelamat mangsa membabitkan keanggotaan dari Balai Bomba dan Penyelamat Perai.

    “Peratusan kemusnahan kebakaran kereta terbabit dianggarkan hampir 100 peratus. Terdapat empat orang mangsa dan mereka berjaya dikeluarkan oleh orang awam sebelum pihak bomba tiba di lokasi kejadian.

    “Kebakaran dapat dikawal pada pukul 1.19 pagi dan berjaya dipadamkan sepenuhnya kurang lima minit kemudian,” katanya kepada kepada pemberita hari ini.

    Operasi tersebut tamat sepenuhnya pukul 2.20 pagi dan kesemua mangsa dibawa ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk mendapatkan rawatan lanjut.

  • Lelaki New Zealand lari daripada Imigresen cedera jatuh dari tingkat 14

    Lelaki New Zealand lari daripada Imigresen cedera jatuh dari tingkat 14

    SEORANG lelaki warga New Zealand cedera selepas dipercayai terjatuh dari tingkat 14 ke tingkat 11 akibat melarikan diri daripada pihak Imigresen di sebuah pusat perdagangan di Damansara di sini, petang tadi.

    Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Hafisyam Mohd Noor berkata mangsa terjatuh di bumbung tingkat 11 kawasan tangki air.

    Beliau berkata mangsa yang berumur 36 tahun mengalami kecederaan di tangan dan tulang pinggul.

    “Bomba menerima panggilan kecemasan pada 5.15 petang dan tiba di lokasi 16 minit kemudian.

    “Mangsa diturunkan oleh pihak bomba menggunakan pengusung dan diberi rawatan oleh pasukan Bulan Sabit Merah,” katanya dalam kenyataan. – BERNAMA