SEBUAH bot Jabatan Perikanan Johor berserta empat kru dipercayai hilang, dalam perjalanan ke Pangkalan Tampoi, di Johor Bahru, dari Pengerang, Kota Tinggi, petang semalam.
Pengarah Maritim Negeri Johor Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Johor Bahru menerima laporan berhubung kejadian itu pada 7.51 malam tadi.
Beliau berkata bot bernombor PL87 itu tidak dapat dihubungi dan gagal dikesan setelah berlepas dari Tanjung Pengelih, Pengerang kira-kira 12.45 tengah hari semalam dan sepatutnya dijangka tiba di Pangkalan Tampoi, di sini, pada 6.30 petang, pada hari yang sama.
“Susulan itu, MRSC Johor Bahru telah mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) dengan menggerakkan bot PENGAWAL 46 dan bot KILAT 18 bagi mengesan bot dan mangsa yang terlibat pada 8 malam tadi.
“Pasukan Polis Marin turut menggerakkan tiga aset dengan lokasi pencarian tertumpu sekitar perairan Tuas dan Tanjung Piai berikutan maklumat yang diterima daripada pihak berkuasa Singapura mengenai lokasi terakhir bot itu dikesan di perairan Tuas sekitar 3 petang, semalam, ” katanya menerusi, kenyataan hari ini.
Nurul Hizam berkata pihak Maritime Rescue Coordination Centre (MRCC) Putrajaya turut berhubung dengan pihak berkuasa Singapura dan Indonesia, sekiranya terdapat maklumat lanjut atau pengesanan mengenai bot tersebut, di perairan negara jiran.
Beliau berkata operasi berkenaan turut dibantu kapal KM RAMUNIA milik Maritim dan bot PL39 milik Jabatan Perikanan Johor. – BERNAMA
SEBUAH kereta ditemukan terbakar dalam keadaan mencurigakan apabila pemandunya menghilangkan diri dan meninggalkan kenderaan itu di Jalan Kampung Tala, Sik Kedah, pagi ini.
Ketua Polis Daerah, Deputi Superintenden Abdull Razak Osman berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu dari orang awam kira-kira pukul 6 pagi.
“Siasatan awal di lokasi kejadian mendapati kereta Proton Saga itu terbabas sendiri di selekoh.
“Pemeriksaan dijalankan terhadap kereta itu menemukan satu beg plastik terbakar yang disyaki berisi daun ketum seberat kira-kira lima kilogram,” katanya.
Tambahnya, pemandu kenderaan itu tidak berada di lokasi kejadian.
“Setakat ini kami masih menjalankan siasatan terhadap kes tersebut,” katanya.
Dalam pada itu jurucakap bomba memaklumkan, kemusnahan kereta itu akibat kebakaran dianggarkan kira-kira 90 peratus.
“Kereta itu dipercayai terbabas lalu melanggar penghadang jalan dan terbakar. Pemandu tiada di lokasi dan nombor pendaftaran kereta tidak diperolehi.
“Tindakan pemadaman menggunakan satu aliran salur bantu mula dan air tangki jentera. Operasi tamat sepenuhnya kira-kira pukul 6.22 pagi,” katanya.
TIDAK sampai sebulan, Johor kembali banjir di lima daerah melibatkan pemindahan 2,162 mangsa ke 25 pusat pemindahan sementara (PPS) setakat 9 pagi ini, susulan hujan lebat yang berterusan sejak pagi semalam.
Ia berbanding hanya seramai 1,591 penduduk daripada 560 keluarga dipindahkan ke 21 PPS, yang dibuka di empat daerah terjejas banjir, setakat pukul 8 pagi tadi.
Anggota bomba membantu memindahkan mangsa terjejas banjir di daerah Labis. FOTO JBPM
Menurut Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Tan Sri Dr Azmi Rohani, hujan lebat yang masih berterusan sejak lebih 24 jam lalu menyebabkan kebanyakan penempatan di kawasan rendah dan berhampiran sungai dinaiki air banjir.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) berkata Kulai daerah kelima dan terbaharu terjejas banjir di negeri ini dengan 74 mangsa daripada 21 keluarga yang ditempatkan di sebuah PPS di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (Cina), Bukit Batu.
Katanya, Segamat kekal daerah paling terjejas dengan seramai 746 mangsa daripada 209 keluarga ditempatkan di enam PPS yang dibuka.
“Mangsa banjir di Kluang pula melonjak naik kepada 650 penduduk daripada 188 keluarga di sembilan PPS berbanding hanya 162 mangsa di enam PPS, pukul 8 pagi tadi.
“Johor Bahru kekal dengan 560 mangsa yang dipindahkan di enam PPS diikuti seramai 123 mangsa daripada 32 keluarga pula ditempatkan di tiga PPS di Kota Tinggi.
“Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap bahaya atau merah ke atas semua 10 daerah negeri ini sehingga esok, sekali gus meningkatkan risiko banjir di kawasan rendah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mengulas lanjut, Azmi berkata, 10 sungai utama masing-masing tiga di Segamat dan Kulai, Johor Bahru (dua) dan masing-masing satu di Kluang dan Pontian, berada pada paras bahaya pagi ini.
Katanya, ia membabitkan Sungai Segamat Kecil yang melebihi paras bahaya di 38.12 meter, Sungai Batu Pahat lembangan Sungai Lenik melepasi 13.74 meter manakala Sungai Lenik Ladang Chaah pula melepasi 6.73 meter.
“Di Kulai pula, Sungai Siku di Kampung Murni Jaya melepasi paras bahaya di 18.93 meter, Sungai Skudai Kampung Separa melepasi 18.80 meter manakala Sungai Kampung Melayu Bukit Batu turut melepasi paras bahaya di 12.01 meter.
“Di Johor Bahru, Sungai Skudai di Kampung Laut melepasi paras bahaya 5.60 meter dan Sungai Skudai di Kampung Pasir turut melepasi tahap bahaya 1.05 meter.
“Sungai Kahang di Kampung Contoh, Kluang juga melepasi tahap bahaya di paras 15.49 meter dengan Sungai Pulai, di Kampung Ulu Pulai, Pontian turut melepasi tahap bahaya pada paras 2.85 meter,” katanya.
Sementara itu, Azmi berkata, empat jalan utama masing-masing dua di Kluang dan Segamat, turut ditutup sepenuhnya kepada semua jenis kenderaan kerana dinaiki air banjir.
“Ia membabitkan Jalan Kluang-Mersing (Ladang Greenway FT050) di Kluang.
“Bagaimanapun, Jalan Mohd Salim (FT172)di Kluang yang dinaiki air bah hampir satu meter hanya boleh dilalui kenderaan berat sahaja.
“Di Segamat pula, Jalan Bekok (J150) dan Jalan Kampung Tenang (J151)yang dinaiki air bah hampir satu meter, masih ditutup kepada semua jenis kenderaan” katanya, lapor Berita Harian.
POLIS memohon bantuan orang ramai untuk membantu mengesan seorang remaja perempuan yang dilaporkan hilang selepas keluar dari rumahnya di Taman College Height, Sikamat, Seremban sejak lima hari lepas.
Ketua Polis Daerah Seremban ACP Nanda Maarof berkata Nur Dalila Amani Ahmad Syaiful, 17, kali terakhir dilihat di ruang tamu oleh bapanya yang mahu keluar bekerja kira-kira 2.45 petang, 24 Feb lepas.
Beliau berkata bapa remaja itu menyedari kehilangan anak sulungnya hampir dua jam selepas itu dan cuba mencarinya di sekitar kawasan rumah namun gagal ditemukan.
“Ini kali pertama Nur Dalila Amani keluar dari rumah tanpa pengetahuan keluarga. Bapanya juga cuba mengesan remaja berkenaan melalui rakan sekolah namun gagal.
“Bapanya menjelaskan tiada pertengkaran atau perselisihan faham antara mereka sebelum anaknya yang masih bersekolah itu menghilangkan diri,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Nanda berkata Nur Dalila Amani memakai baju putih, berseluar panjang dengan beg silang coklat serta memiliki telefon bimbit, justeru, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenainya diminta menyalurkannya di balai polis berhampiran. – BERNAMA
SEORANG pekerja pembersihan kehilangan kedua-dua belah kaki selepas digilis trak angkat susun (forklift) dalam kejadian di Kompleks MASKargo Bayan Lepas semalam.
Kejadian itu dirakam dalam sebuah klip video yang menjadi tular di media sosial. Dalam video berdurasi 15 saat itu, mangsa, Jami @Jumi Shariff, 75, dilihat dilanggar trak angkat susun ketika berjalan di kawasan kargo itu.
Menurut Pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Barat Daya, Leftenan (PA) Noor Azizan Zakaria, susulan menerima panggilan pada 12.16 tengah hari, empat anggota dikejarkan ke tempat kejadian.
Tambahnya, apabila tiba di lokasi, anggotanya mendapati kedua-dua belah kaki mangsa telah hancur digilis jentera berkenaan
“Anggota pasukan kemudian memberi rawatan awal dengan membuat balutan dan memasang alat sokongan pada kaki mangsa,” katanya, lapor Berita Harian.
Ketika diberi rawatan awal, katanya, mangsa masih berada dalam keadaan sedar dan berada dalam keadaan stabil ketika dibawa ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk rawatan lanjut.
BEKAS penyampai radio Ismahalil Hamzah hari ini diperintah membela diri oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur atas pertuduhan mengedar dadah jenis kanabis dua tahun lepas.
Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Ismahalil, 49, di akhir kes pendakwaan.
Muhammad Jamil, dalam penghakiman ringkasnya berkata mahkamah mendapati 22 paket dadah yang ditemukan dalam bilik tertuduh (Ismahalil) berada dalam kawalan dan jagaannya.
“Semasa serbuan di bilik itu, tertuduh sendiri mengambil beg, yang mengandungi dadah dari lantai dan memberinya kepada pegawai polis selepas ditanya sama ada terdapat barang salah.
“Kelakuan tertuduh yang mengambil sendiri beg itu dan dilihat berada dalam keadaan mencurigakan menunjukkan tertuduh mengetahui kewujudan dadah tersebut. Oleh itu, pihak pendakwaan berjaya membuktikan dadah berkenaan berada dalam kawalan tertuduh.
Justeru, hujahan peguam bela bahawa anak guamnya tidak mempunyai pengetahuan, kawalan dan jagaan dadah berkenaan tidak mempunyai merit,” katanya dan menambah keterangan saksi-saksi pendakwaan tidak bercanggah dan boleh dipercayai.
Hakim itu turut memaklumkan kepada tertuduh bahawa bagi tujuan membela diri, dia mempunyai tiga pilihan iaitu sama ada memilih untuk berdiam diri; atau sama ada ingin memberi keterangan di dalam kandang tertuduh yang keterangan secara tidak bersumpah; atau memberi keterangan bersumpah di kandang saksi yang boleh disoal balas.
Ismahalil kemudian memilih untuk memberi keterangan secara bersumpah dari kandang saksi dan pihak pendakwaan diberikan peluang untuk menyoalnya semasa pemeriksaan balas.
Selepas mahkamah memberikan keputusan, tertuduh dilihat menangis teresak-esak sambil memandang ke arah isteri dan anak-anaknya yang berada di galeri awam.
Peguam Datuk Ahmad Zaharil Muhaiyar, yang mewakili Ismahalil memberitahu mahkamah, pihaknya akan memanggil seramai lima saksi pembelaan termasuk tertuduh untuk prosiding membela diri yang ditetapkan oleh mahkamah pada 30 dan 31 Mei depan.
Seramai lima saksi pendakwaan memberi keterangan pada perbicaraan yang bermula Oktober 2022.
Ismahalil mengaku tidak bersalah atas dakwaan mengedar dadah jenis kanabis anggaran berat 374.6 gram di sebuah rumah di Jalan Semarak, Wangsa Maju di sini, pada 5.35 petang, 27 Ogos 2021.
Dia dituduh mengikut Seksyen 39B(1)(A) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.
Prosiding hari ini dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Noor Dayana Mohamad manakala Ahmad Zaharil turut dibantu peguam Adi Zulkarnain Zulkafli. – BERNAMA
DUA beradik ditemukan lemas ketika mandi di sebuah kolam renang di Ipoh petang semalam.
Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Yahaya Hassan berkata pihaknya menerima maklumat berkaitan kejadian lemas itu pada 6.10 petang.
“Pihak kami telah menyiasat lokasi kejadian dan mendapati dua beradik berumur sembilan dan lapan tahun yang berasal dari Ipoh didapati lemas semasa berenang di dalam kolam tersebut.
“Mangsa yang merupakan seorang kakak dan adik lelaki itu dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di Ipoh oleh ambulans dan disahkan meninggal dunia oleh pihak hospital,” katanya dalam kenyataan.
Yahaya memaklumkan bahawa punca kematian mangsa adalah disebabkan lemas dalam air, hasil daripada proses bedah siasat yang selesai dijalankan pada hari ini.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 31(1)(A) Akta Kanak-kanak 2001 (Akta 611) iaitu mengabaikan, mendedahkan kanak-kanak dengan cara yang mungkin akan menyebabkan mengalami kecederaan fizikal.
“Orang awam khususnya ibu bapa atau penjaga dinasihatkan supaya tidak mendedahkan kanak-kanak kepada aktiviti yang mungkin mendatangkan bahaya bagi mengelakkan berlaku sebarang tragedi tidak diingini,” tambahnya.
SEORANG kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun maut apabila terjatuh dari tingkap tingkat 14 sebuah hotel di Kota Kinabalu pagi ini.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sabah ketika dihubungi memberitahu, siasatan awal mendapati mangsa jatuh dari tingkat 14 ke kawasan beranda di tingkat lima hotel tersebut.
Menurutnya, pihak bomba menerima panggilan mengenai kejadian itu pada 6.44 pagi tadi, sebelum tujuh anggota dari Balai Bomba Kota Kinabalu bersama jentera ke tempat kejadian bagi memberikan bantuan.
“Pasukan bomba menjalankan operasi membawa turun mangsa ke bawah. Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pihak Kementerian Kesihatan.
“(Mayat mangsa) diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya. Operasi ditamatkan pada 7.53 pagi,” katanya.
Katanya identiti mangsa masih dalam proses untuk dikenal pasti.
ANGGOTA Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang mengambil masa kira-kira 15 minit untuk memujuk seorang wanita yang cuba terjun dari Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah atau lebih dikenali sebagai jambatan kedua Pulau Pinang petang tadi.
Mangsa berusia 22 tahun yang dipercayai penuntut di sebuah universiti swasta itu dilaporkan cuba bertindak terjun di Kilometer (KM) 18.1 jambatan itu menghala ke bahagian pulau.
Terdahulu, mangsa turut bertindak meninggalkan kereta jenis Perodua MyVi berwarna putih miliknya di bahu jalan.
Menurut Pegawai Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Bayan Baru, Azman Mohd. Radzi, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pukul 4.02 petang sebelum bergegas ke lokasi kejadian.
Katanya, maklumat awal yang diterima mengatakan wanita itu dilihat sudah berdiri di tembok jambatan berkenaan sejak pukul 3 petang.
“Sebaik sahaja anggota tiba di tempat kejadian, didapati wanita terbabit masih berdiri di situ dan berada dalam keadaan dehidrasi dan lemah kerana cuaca panas.
“Kami dengan kerjasama anggota polis mengambil masa kurang 15 minit untuk memujuk sebelum menariknya ke belakang.
“Wajah mangsa kelihatan sedih dan hanya mendiamkan diri,” katanya kepada pemberita hari ini.
Tambah beliau, mangsa berjaya diselamatkan pukul 4.44 petang dan diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut.
Dalam pada itu, katanya, mana-mana individu yang mempunyai masalah kemurungan atau menghadapi tekanan boleh menghubungi Perkhidmatan Kesihatan Mental dan Sokongan Psikososial (MHPSS) di 03-29359935 atau 014-3223392 atau Talian Kasih 15999/WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 untuk mendapatkan bantuan.
DUA beradik lelaki maut akinat lemas ketika mandi bersama tiga lagi rakan mereka di air terjun Sungai Sedim, dekat Sungai Kob di Kulim, petang tadi.
Ketua Polis Daerah Kulim, Supritendan Mohd. Redzuan Salleh berkata, kedua-dua mangsa yang meninggal dunia berusia 33 dan 26 tahun.
“Difahamkan mangsa bersama rakan mandi di kawasan air terjun itu kira-kira pukul 3.20 petang.
“Semasa mandi, tiba-tiba air di kawasan itu berpusar, empat daripada mereka berjaya naik ke darat namun seorang didapati tiada dan disyaki lemas,” katanya.
Lokasi dua beradik lelaki maut akibat lemas ketika mandi bersama tiga lagi rakan
Melihatkan adiknya yang berusia 26 tahun itu tiada, Mohd. Redzuan berkata, abangnya yang berusia 33 tahun terjun semula ke sungai.
“Namun kali ini, abangnya pula yang tidak muncul kembali. Penduduk kampung kemudiannya membantu mencari dan berjaya menemukan kedua-dua mangsa dan membawa mereka ke darat,” katanya.
Tambahnya, petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kemudiannya mengesahkan dua beradik itu meninggal dunia.
“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (sdr) dan kedua-dua mayat mangsa dibawa ke Hospital Kulim untuk dibedah siasat.