Category: Kemalangan / Bencana

  • Mangsa banjir di lima negeri melonjak lebih 27,000 orang pagi ini

    Mangsa banjir di lima negeri melonjak lebih 27,000 orang pagi ini

    SEBANYAK 27,467 mangsa banjir ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di lima negeri terkesan banjir iaitu Johor, Pahang, Negeri Sembilan, Sabah dan Melaka, setakat pagi ini.

    Di JOHOR, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) memaklumkan jumlah mangsa banjir melonjak lebih dua kali ganda kepada 25,213 orang pagi ini berbanding 9,162 orang pada 8 malam tadi dengan Batu Pahat menjadi daerah terbaharu terjejas daripada kesemua 10 daerah yang terlibat.

    “Segamat daerah paling teruk terjejas dengan 2,050 keluarga dipindahkan ke 55 pusat pemindahan sementara (PPS), diikuti Kluang dengan seramai 1,559 keluarga di 39 PPS; Kota Tinggi seramai 769 keluarga di 18 PPS; Johor Bahru melibatkan 607 keluarga di 12 PPS dan Pontian dengan 58 keluarga di lima PPS,” menurut JPBN dalam satu kenyataan, hari ini.

    Di Muar sebanyak 445 keluarga ditempatkan di 12 PPS; Kulai melibatkan 242 keluarga di enam PPS; Mersing seramai 146 keluarga di lima PPS dan Tangkak seramai 254 keluarga di 13 PPS serta Batu Pahat dengan 883 keluarga di 22 PPS.

    Angota bomba menyelamatkan seorang mangsa banjir di Kampung Sungai Rambai, Machap, Kluang, semalam. – Foto ihsan bomba Johor

    Sebanyak 17 sungai di daerah Segamat, Muar, Tangkak, Batu Pahat, Kluang, Kulai, Kota Tinggi dan Mersing merekodkan bacaan sungai melepasi tahap bahaya.

    Antaranya, Sungai Muar di Segamat Kecil (Segamat) yang merekodkan bacaan 37.71 meter (m); Sungai Muar di Kampung Awat (Segamat) dengan 20.94m dan Sungai Siam (Kulai) berada di paras 20.96m.

    Di PAHANG, jumlah mangsa banjir di lima daerah adalah sebanyak 1,375 mangsa daripada 374 keluarga yang ditempatkan di 26 PPS pagi ini.

    Portal InfoBencana Jabatan Kebajikan Masyarakat memaklumkan Rompin mempunyai mangsa banjir teramai iaitu 627 orang diikuti Maran (489 orang), Jerantut (94 orang), Pekan (88 orang) dan Raub (77 orang).

    Anggota bomba membantu mangsa banjir di Kampung Sentosa Damai, Pasir Gudang, Johor untuk berpindah ke PPS. – Foto bomba Johor

    Di NEGERI SEMBILAN, Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) negeri, Lt Kol (PA) Mohd Nazri Mes Kam berkata keseluruhan mangsa banjir di negeri ini meningkat kepada 704 mangsa daripada 197 keluarga di 10 PPS setakat pukul 4 pagi tadi.

    Beliau berkata ia membabitkan lima PPS di Tampin iaitu di Sekolah Kebangsaan (SK) Londah, Balai Raya Pasir Besar, SK Sungai Kelamah, SK Gedok dan SK Agama Rakyat Felda Jelai 4; Jempol (SK Felda Palong 7, SK Felda Palong 1 dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Ladang Sialang); Kuala Pilah (Dewan Desa Dangi dan SK Kuala Pilah).

    Di SABAH, Sekretariat JPBN Sabah dalam kenyataan memaklumkan jumlah mangsa banjir kekal 108 orang daripada 24 keluarga yang ditempatkan di PPS Dewan Mini Kampung Simpang Entilibon di Tongod pagi ini.

    Di MELAKA, jumlah mangsa banjir meningkat kepada 67 orang daripada 21 keluarga pada 8 pagi ini berbanding 22 mangsa daripada lapan keluarga pada 8 malam tadi.

    JBPN Melaka dalam satu kenyataan pagi ini memaklumkan kesemua mangsa dipindahkan ke tiga PPS iaitu satu di PPS Balai Raya Bukit Tambun, Alor Gajah yang menempatkan empat mangsa daripada dua keluarga.

    “Di Jasin, 32 mangsa daripada 11 keluarga ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Asahan dan 31 mangsa daripada lapan keluarga di SK Chohong.

  • Mangsa banjir guna ‘TikTok Live’ kongsi keadaan di Segamat

    Mangsa banjir guna ‘TikTok Live’ kongsi keadaan di Segamat

    SEORANG mangsa banjir menggunakan aplikasi TikTok ‘live’ atau siaran langsung untuk memberitahu keadaannya ketika menunggu untuk diselamatkan selepas terperangkap di sebuah restoran di Bandar Segamat, awal pagi tadi.

    Menggunakan akaun ‘Pak Arab’, lelaki tersebut yang terperangkap bersama rakannya memaklumkan penonton bahawa dia sebelum itu keluar untuk memenuhi tugasan menebang pokok yang tumbang akibat hujan lebat di Tenang, Segamat.

    Bagaimanapun, dalam perjalanan pulang melalui bandar itu, dia diberitahu orang awam yang lain bahawa air banjir sudah meningkat ke paras dada.

    “Saya masih tidak tahu keadaan kampung saya sebab tak sempat balik lagi. Saya tunggu bantuan dekat Restoran Natasha ini sebab orang cakap kawasan ini lagi tinggi daripada tempat yang lain,” katanya memberitahu penonton.

    Lelaki berkenaan ketika itu bersama seorang lagi rakannya dan seorang orang awam lain, berselimutkan plastik tanpa makanan dan minuman.

    ‘Pak Arab’ kemudiannya dihubungi wakil Angkatan Pertahanan Awam (APM) yang menggunakan akaun Caldeeja Lee memberitahu pasukan APM kini berada di Genuang, Segamat dan dalam perjalanan ke sana.

    “Minta encik juga berhati-hati dan jauhkan sikit dari duduk di hadapan berdekatan air deras. Apa-apa, kami akan hubungi menerusi ‘live’ ini,” kata wanita tersebut.

    Anggota bomba menyelamatkan amngsa banjir sekitar Yong Peng, Batu Pahat, Johor. – Foto ihsan bomba Johor

    Beberapa penonton juga menyertai siaran langsung berkenaan dan berbual dengan ‘Pak Arab’ atau nama sebenarnya Syed Syaiful Syah, sambil berkongsi keadaan banjir di tempat masing-masing serta pengalaman yang pernah mereka lalui.

    Syed Syaiful Syah yang menetap di Jalan Simpang Jabi berkata ini merupakan kali pertama dia menggunakan TikTok ‘live’ memandangkan mahu mengisi masa lapang sebelum dapat diselamatkan.

    “Selalu saya tolong orang terutama sekali lepas banjir. Tolong orang cuci rumah, bersihkan rumah sebab saya ada peralatan. Tak sangka kali ini saya pula terkandas,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi semasa sesi siaran langsung tersebut, kira-kira 3 pagi tadi. 

    Selain itu, beberapa penonton turut berkongsi terdapat ahli keluarga mereka yang turut terkandas di beberapa lokasi sekitar bandar berkenaan dengan arus sungai juga kelihatan sangat deras sedang melalui bandar ketika sesi tersebut, yang turut cuba diseberangi beberapa individu tetapi dihalang oleh Syed Syaiful Syah.

    Setakat 8 pagi ini, mangsa banjir di Johor meningkat lebih dua kali ganda kepada 25,213 orang dengan Segamat merekodkan mangsa tertinggi seramai 7,272 mangsa.

  • Budak lelaki 10 tahun dikhuatiri lemas

    Budak lelaki 10 tahun dikhuatiri lemas

    SEORANG kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun dikhuatiri lemas di Sungai Pasir, Kampung Sri Makmur, Chini, Pekan, semalam.

    Pegawai Perhubungan Awam, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, mangsa dikenali Muhammad Hafizhan Abd Zaib beralamat di Felcra Sri Makmur di pekan.

    “Pihak bomba menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada pukul 2.49 petang dan sepasukan anggota bomba dihantar ke lokasi kejadian.

    “Sebaik tiba di lokasi kejadian pihaknya dimaklumkan seorang kanak-kanak lelaki dipercayai lemas di sungai,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Katanya, operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa turut dibantu penduduk kampung menggunakan dua bot fiber milik mereka dengan menggunakan pendayung.

    “Pencarian di permukaan air dilakukan dengan anggaran keluasan sekitar 200 meter dari lokasi mangsa dikatakan lemas,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Beliau berkata, Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dari Balai Bomba Penyelamat Pekan turut diarah ke lokasi bagi membantu operasi SAR.

  • ‘[VIDEO]Saya tidak tahu boleh hidup lagi atau tidak’

    ‘[VIDEO]Saya tidak tahu boleh hidup lagi atau tidak’

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG pegawai dan dua kakitangan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Batu Pahat berdepan detik cemas apabila pacuan empat roda dinaiki terperangkap dalam banjir selama satu jam semasa dalam perjalanan memnghantar bantuan ke pusat pemindahan sementara (PPS) Parit Haji Kamisan di Yong Peng, Batu Pahat, hari ini.

    Pegawai JKM Batu Pahat, Siti Nadiah Mardi, 36, berkata, kejadian tersebut berlaku pada tengah hari melibatkan beliau dan rakan sekerja, Herlinda Abd Majid, 42, dan pemandunya lelakinya berusia 46 tahun.

    “Sebelum itu kenderaan kami melalui jalan tersebut sebelum air banjir naik dengan cepat dan arusnya semakin deras. Kenderaan kami terperangkap di jalan itu iaitu dalam kawasan kebun kelapa sawit. Jalan itu menjadi antara laluan utama ke PPS berkenaan.

    “Pada awalnya air banjir naik hanya pada paras sederhana namun semakin tinggi hingga kepada paras berbahaya iaitu melebihi satu meter. Keadaan itu juga mengakibatkan pacuan empat roda jenis Ford Everest dinaiki kami hanyut ke tepi,” katanya ketika dihubungi.

    Menurutnya, air terus naik sehingga memaksa mereka naik ke bonet sebelum duduk atas bumbung pacuan empat roda berkenaan.

    Katanya, lebih sejam mereka berdepan situasi mencemaskan itu dan ketiga-tiganya sudah bersedia untuk memanjat pokok kelapa sawit sekiranya air terus naik.

    “Saya tidak tahu boleh hidup lagi atau tidak. Air menghampiri bumbung kereta dan kami ketika itu sudah bersiap sedia untuk berpaut pada pokok kelapa sawit. Kami menghubungi pelbagai agensi dan rakan supaya membantu sebelum keadaan bertambah buruk,” katanya.

    Siti Nadiah berkata, selepas sejam mereka mendengar bunyi bot dan ketika itu masing-masing menjerit meminta bantuan sambil melambai-lambaikan tangan.

    “Hanya tuhan saja mengetahui perasaan kami ketika itu, Alhamdulillah bot itu menuju ke arah kami dan difahamkan mereka menerima maklumat dan segera ke lokasi bagi menyelamatkan kami,” katanya.

    Siti Nadiah berkata, dalam kejadian berkenaan kesemua barangan yang dibawa dalam kenderaan termasuk makanan, minuman serta borang pendaftaran sudah rosak.

    Bagaimanapun beliau dan rakannya bersyukur kerana terselamat tanpa mengalami sebarang kecederaan.

    “Ini adalah kejadian kali pertama seumur hidup dan kami tidak akan lupakan dan akan dijadikan iktibar supaya lebih berhati-hati pada masa depan. Kami berterima kasih kepada keluarga, kenalan dan rakan sekerja yang mendoakan keselamatan kami.

    “Kebiasaannya kami membantu mangsa namun pada kali ini kami sendiri berdepan dengan detik mencemaskan apabila kenderaan pacuan empat roda dinaiki hampir tenggelam,” katanya.

  • Empat kru bot Jabatan Perikanan Johor ditemukan di perairan Indonesia

    Empat kru bot Jabatan Perikanan Johor ditemukan di perairan Indonesia

    EMPAT kakitangan Jabatan Perikanan Johor yang dilaporkan hilang selepas terputus hubungan, semalam ditemui selamat oleh pasukan Tentera Nasional Indonesia (TNI) di perairan negara itu tengah hari tadi.

    Mereka yang menaiki bot PL87 itu ditemui pada jarak kira-kira 13 batu nautika dari lokasi terakhir mereka dikesan atau satu batu nautika dari Pulau Kepalajerih, Batam, Indonesia, pada pukul 1.45 tengah hari.

    Bot PL87 diketuai Fatimah Razak, 36; bersama tiga kru lain, Zaharin Baharudin, 33; Abdul Halim Sanip, 52; dan Marzuki Jusuh, 53.

    Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria, berkata hasil maklumat awal diperolehi, bateri bot berkenaan dilaporkan mengalami kerosakan.

    “Bot kemudian tidak dapat berfungsi dengan baik sebelum dihanyutkan.

    “Ketika ditemui, semua kru dilaporkan berada dalam keadaan selamat dan sihat,” katanya pada sidang media di Jeti Maritim Malaysia Sungai Pulai di Iskandar Puteri, hari ini lapor, Berita Harian.

    Nurul Hizam dalam pada itu mengesahkan ketika ini, bot berkenaan masih di perairan Indonesia dan pihaknya sedang menjalankan urusan membawa pulang semua mangsa dengan kerjasama TNI.

    “Bot PL87 kini dalam proses pembaikan oleh TNI, jika ia boleh dibaiki, bot akan bergerak sendiri dengan diiringi TNI sebelum diserahkan kepada kita.

    “Kita berharap semua urusan membawa pulang bot PL87 dan mangsa dapat diselesaikan hari ini dan proses serahan dijangka dibuat di perairan Johor Barat,” jelasnya.

    Semalam, bot yang dalam perjalanan pulang dari Tanjung Pengelih, Kota Tinggi ke Pengkalan Jabatan Perikanan di Tampoi, Johor Bahru, sejak j 12.45 tengah hari semalam, gagal dikesan dan dihubungi kira-kira 3 petang.

    Bot berkenaan dijadualkan tiba di Tampoi pada 6.30 petang.

    Operasi Mencari Dan Menyelamat (SAR) kemudian dilancarkan bermula malam tadi membabitkan keluasan carian sehingga 47 batu nautika.

    Lapan aset digerakkan termasuk helikopter APMM, bot Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua Johor dan Jabatan Perikanan Negeri Johor.

    “Kita ingin mengucapkan terima kasih kepada TNI, Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan (BASARNAS) Republik Indonesia dan Singapore Police Coast Guard (SPCG) yang turut membantu dalam operasi SAR ini,” katanya yang menamatkan SAR kes berkenaan 2 petang tadi.

  • Jalan Labis-Chaah terputus, BBP Yong Peng ambil alih usaha menyelamat

    Jalan Labis-Chaah terputus, BBP Yong Peng ambil alih usaha menyelamat

    USAHA menyelamatkan mangsa banjir di sekitar Chaah oleh Balai Bomba Penyelamat (BBP) Labis terjejas apabila Jalan Labis-Chaah, dekat Segamat, terputus hubungan akibat dinaiki air dan tidak boleh dilalui oleh semua kenderaan.

    Bagaimanapun, Ketua BBP Labis Penolong Penguasa Bomba, Muhammad Hafifie Md Sarif berkata operasi menyelamat mangsa di kawasan itu diambil alih oleh pasukan BBP Yong Peng dan pasukan Bomba Sukarela Chaah.

    “Misi menyelamat di sekitar Chaah dilapor berjalan lancar dengan sokongan dari BBP Yong Peng dan pasukan sukarela Chaah.

    “Hujan lebat telah menyebabkan banyak kawasan dinaiki air dan jumlah mangsa yang terperangkap akibat banjir dijangka terus meningkat. Kerja-kerja memindahkan mangsa banjir masih berjalan dan beberapa kawasan terputus hubungan seperti di Kampung Tenang, Pekan Air Panas dan Kampung Juaseh,” katanya ketika ditemui, di sini hari ini.

    Beliau berkata BBP Labis kemudiannya menumpukan perhatian pada misi menyelamat di sekitar Labis yang dijalankan oleh dua pasukan. 

    Muhammad Hafifi berkata situasi banjir di pekan Labis dan sekitarnya serta beberapa perumahan, dinaiki air sedalam satu meter dengan paras air paling dalam dikenal pasti di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kamarul Ariffin, dekat sini.

    “Antara aset yang digunakan adalah Jentera Scania J1-30, Ambulans J2-18, lori 3 tan, hilux, kembara, bot getah dan bot fiber.

    “Hujan lebat masih berterusan dan dijangka berlarutan sehingga esok. Seawal 4 pagi tadi, kami dah pindahkan 209 keluarga melibatkan 746 mangsa ke enam PPS di sekitar Labis,” kata beliau.

    Sementara itu, seramai 6,694 mangsa banjir dipindahkan ke 63 pusat pemindahan sementara di tujuh daerah terjejas banjir setakat 2 petang ini, menurut Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri. – BERNAMA

  • MetMalaysia keluar amaran hujan berterusan tahap bahaya di 4 negeri

    MetMalaysia keluar amaran hujan berterusan tahap bahaya di 4 negeri

    JABATAN Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) hari ini mengeluarkan amaran hujan lebat berterusan tahap bahaya di empat negeri sehingga esok.

    MetMalaysia dalam kenyataan yang dikemas kini pada 1.05 tengah hari tadi memaklumkan hujan sangat lebat berterusan dijangka berlaku di Negeri Sembilan, Melaka, Johor dan daerah Jerantut, Maran dan Kuantan di Pahang.

    Hujan lebat berterusan tahap buruk pula dijangka berlaku di Lipis, Raub, Bentong dan Temerloh di Pahang sehingga esok.

    Dalam pada itu, hujan berterusan tahap waspada dijangka berlaku di Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya dan Perak (Manjung, Kinta, Perak Tengah, Kampar, Bagan Datuk, Hilir Perak, Batang Padang dan Muallim) sehingga hari ini.

    Situasi sama juga diramal berlaku di Terengganu, Pahang (Tanah Tinggi Cameron), Sarawak (Kuching, Serian, Samarahan, Sri Aman, Betong, Sarikei, Sibu dan Mukah) sehingga esok. – BERNAMA

  • Terperangkap atas bumbung rumah, mangsa banjir rayu diselamatkan

    Terperangkap atas bumbung rumah, mangsa banjir rayu diselamatkan

    SEPASANG suami isteri bersama tiga anak dan seorang lagi ahli keluarga terperangkap di atas bumbung rumah mereka di Kampung Jawa, Chaah, dekat Segamat sejak pagi tadi merayu pasukan keselamatan menyelamatkan mereka.

    Ini setelah petempatan itu dilanda banjir susulan hujan lebat berterusan sejak awal pagi tadi.

    Memetik laporan Berita Harian, Azizah Bani, 53, berkata, dia terpaksa memecahkan bumbung rumah mereka di Jalan Sidek, berhampiran Masjid Chaah itu sebelum bersama abangnya, suami dan tiga anak memanjat keluar untuk menyelamatkan diri setelah rumahnya mula ditenggelami air, kira-kira 8 pagi tadi.

    Dia turut menggunakan laman Facebook melalui tayangan video secara terus, meminta diselamatkan dengan segera.

    “Saya mohon bantuan segera untuk selamatkan saya sekeluarga atas bumbung ini. Tolong hantar bantuan helikopter dengan kadar segera.

    “Kami sehelai sepinggang, tiada makanan minuman dan basah akibat hujan lebat.

    “Suami saya kesejukan dan tidak dapat menahan rasa sejuk di atas bumbung dengan hujan lebat yang turun tanpa henti,” katanya ketika dihubungi hari ini.

    Suami saya kesejukan dan tidak dapat menahan rasa sejuk di atas bumbung dengan hujan lebat yang turun tanpa henti,” katanya ketika dihubungi hari ini.

  • Banjir di Johor makin buruk, 5,878 mangsa di enam daerah dipindah

    Banjir di Johor makin buruk, 5,878 mangsa di enam daerah dipindah

    SITUASI banjir di Johor semakin buruk dengan jumlah mangsa banjir melonjak kepada 5,878 orang setakat 12 tengah hari ini berbanding 1,591 mangsa direkodkan pagi tadi.

    Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) menerusi kenyataan memaklumkan sebanyak 1,575 keluarga ditempatkan di 54 pusat pemindahan sementara (PPS).

    “Kluang menjadi daerah paling teruk terjejas dengan 1,952 orang ditempatkan di 10 PPS, diikuti Segamat dengan 1,431 orang dipindahkan ke 16 PPS.

    “Turut terjejas bencana itu ialah Kota Tinggi melibatkan 1,156 mangsa, Johor Bahru (1,004 orang), Kulai (320 orang) dan Pontian (15 orang),” menurut kenyataan itu.

    Di Segamat, beberapa sungai telah melepasi paras bahaya iaitu Sungai Segamat Kecil yang merekodkan bacaan 38.32 meter (m); Sungai Bandar Segamat (9.2m); Sungai Labis (41.31m) dan Sungai Lenik, Ladang Chaah (8.11m).

    Turut melepasi paras bahaya ialah Sungai Kahang, Kampung Contoh (Kluang) di paras 16.95m; Sungai Siku, Kampung Murni Jaya (Kulai) 21.51m; Sungai Skudai, Kampung Separa (Kulai) 18.66m; Sungai Siam, Kampung Sungai Siam 21.51m dan Sungai Pontian Besar, Kampung Melayu Bukit Batu 12.86.

    Selain itu, paras air Sungai Pulai, Kampung Ulu Pulai (Pontian) turut  melepasi paras bahaya iaitu 2.81m dan Sungai Skudai, Kampung Laut (Johor Bahru) 5.79m.

    Cuaca di kesemua 10 daerah dijangka hujan sehingga petang. – BERNAMA

  • Banjir: 89 calon SPM di Johor terkandas

    Banjir: 89 calon SPM di Johor terkandas

    SEBANYAK 89 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Segamat dan Kulai terkandas akibat banjir serta tidak dapat menduduki peperiksaan itu hari ini.

    Menurut Exco Pendidikan, Penerangan dan Komunikasi negeri, Norliza Noh menerusi kenyataan, kesemua pelajar yang terkandas itu membabitkan tujuh pusat peperiksaan di Segamat dan satu di Kulai.

    “Seramai 89 calon SPM di Segamat iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tenang Stesen, SMK Bandar Putra, SMK Tinggi, SMK Gemereh, SMK LKTP Pemanis, SMK Dato Bentara Dalam dan SMK Labis Segamat.

    “Di Kulai pula membabitkan SMK Taman Putri. Hari ini melibatkan peperiksaan subjek Sains dan Fizik manakala sebelah petang SRT (Sains Rumah Tangga),” katanya hari ini lapor Sinar Harian.

    Mengulas lanjut Norliza berkata, terdapat calon SPM di beberapa buah pusat peperiksaan di Pasir Gudang, Johor Bahru, Kluang, Batu Pahat dan Kota Tinggi turut terjejas akibat banjir menyebabkan peperiksaan dimulakan lewat dan terpaksa menumpang di pusat peperiksaan yang lain.

    “Seramai 127 calon SPM di daerah Kota Tinggi menumpang di pusat peperiksaan yang lain melibatkan SMK Laksamana, SMK Tun Habab, SMK Agama dan SMK Bandar,” katanya.

    Beliau menambah, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) sedang memantau keadaan terkini terutama membabitkan keselamatan calon di semua pusat peperiksaan di negeri ini.