Category: Kemalangan / Bencana

  • Mayat nelayan ditemukan terapung, tersangkut pada pokok bakau

    Mayat nelayan ditemukan terapung, tersangkut pada pokok bakau

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG warga emas yang hilang semasa menangkap ikan di kawasan Sungai Lintang, Pasir Gudang pada petang kelmarin, ditemukan mayatnya terapung dan tersangkut pada pokok bakau hari ini.

    Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superitendan Mohd. Sohaimi Ishak berkata, mayat Abdul Latif Mahmud, 61, ditemukan pasukan penyelamat berdekatan Sungai Nyor, Kong Kong, Masai di Pasir Gudang pada pukul 11.45 pagi.

    “Warga emas berkenaan yang berusia 61 tahun sebelum itu keluar menangkap ikan pada jam 5 petang kelmarin sebelum tidak pulang ke rumah.

    “Anak perempuannya kemudian membuat laporan di Balai Polis Scientex pada pukul 12.02 tengah malam tadi memaklumkan bapanya masih tidak pulang ke rumah selepas keluar menangkap ikan dan gagal dihubungi,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

    Beliau berkata, susulan laporan tersebut anggota dari balai polis berkenaan dibantu Pasukan Polis Marin Wilayah 2 serta Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Gudang menjalankan usaha mencari mangsa.

    Katanya, selepas mayat ditemukan, proses pengecaman dilakukan dan anak perempuan mangsa mengesahkan lelaki tersebut adalah bapanya.

    Mayat ditemukan pasukan penyelamat berdekatan Sungai Nyor, Kong Kong, Masai di Pasir Gudang pada pukul 11.45 pagi.

    Menurutnya, mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultan Ismail (HSI) Johor Bahru untuk bedah siasat.

    “Hasil bedah siasat mendapati mangsa mati akibat lemas. Mangsa bekerja sebagai seorang nelayan,” ujar beliau.

    Sementara itu, Komander Operasi dari BBP Pasir Gudang, Penolong Penguasa Bomba Sarhan Akmal Mohamad berkata, mangsa dikatakan lemas ketika melakukan aktiviti memancing di sungai berkenaan.

    “Tindakan operasi membuat ‘size up’ di sekitar kawasan mangsa dipercayai lemas dengan menggunakan sebuah bot milik orang awam.

    “Pihak bomba membuat operasi mencari dan menyelamat di kawasan mangsa dilaporkan hilang. Mangsa dijumpai oleh orang awam pada jarak 1 kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan lemas,” katanya.

  • 2 beranak terselamat MPV hangus di PLUS

    2 beranak terselamat MPV hangus di PLUS

    DUA beranak iaitu seorang ibu dan anak perempuannya berdepan detik cemas selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Vellfire yang dinaiki mereka terbakar dan hangus sepenuhnya dalam kejadian di Bukit Minyak, Pulau Pinang petang ini.

    Jurucakap Pasukan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu yang berlaku di Kilometer (KM) 134 Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) Permatang Pauh, Perai kira-kira pukul 2.55 petang sebelum bergegas ke lokasi kejadian.

    Jelasnya, sebaik sahaja tiba di lokasi kejadian, didapati kebakaran itu melibatkan sebuah kereta Toyota Vellfire dengan peratusan kemusnahan kebakaran dianggarkan 90 peratus.

    “Terdapat dua mangsa telah berjaya dikeluarkan oleh orang awam sebelum pihak bomba tiba di lokasi kejadian.

    “Si ibu tidak mengalami sebarang kecederaan, namun anaknya cedera ringan melecur di bahagian kaki dan mangsa telah diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan (KKM) untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Jelas beliau, pihaknya mengambil tindakan melakukan kerja-kerja pengawalan dan pemadaman yang mana kebakaran dapat berjaya dipadamkan sepenuhnya pukul 3.31 petang.

    “Kerja-kerja ‘overhaul’ pula telah selesai dijalankan dan operasi tamat sepenuhnya pada pukul 3.39 petang,” katanya.

  • 21 maut bot terbalik di Laut Merah Yaman

    21 maut bot terbalik di Laut Merah Yaman

    SERAMAI 21 penumpang, termasuk 12 wanita dan tujuh kanak-kanak maut selepas bot yang dinaiki terbalik di Laut Merah,Yaman pada petang Selasa.

    Bot yang membawa 27 penumpang itu dilaporkan terbalik di luar daerah Alluheyah utara bandar pelabuhan Hodeidah, lapor Xinhua.

    Kesemua penumpang dilaporkan dalam perjalanan dari Alluheyah ke Pulau Kamaran, untuk menghadiri majlis perkahwinan.

    “Enam lagi penumpang dilaporkan terselamat dan dibawa ke Hospital Al-Thawra di bandar Hodeidah untuk menerima rawatan,” kata pegawai majlis daerah Akram al-Ahdal

    Kemalangan dipercayai berpunca akibat angin kencang.

  • Peniaga kaki lima maut terkena tayar treler tercabut

    Peniaga kaki lima maut terkena tayar treler tercabut

    SEORANG peniaga maut, manakala rakannya patah tangan selepas terkena tayar lori yang terpelanting ke arah mereka di Kilometer 43 Kampung Merang berhampiran Shell Merang di Setiu, petang tadi.

    Dalam kejadian kira-kira pukul 5.05 petang itu, Muhamad Airiel Rizman Mohamad Nazeri, 18, meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di bahagian dada.

    Tayar yang mengakibatkan peniaga maut, manakala rakannya patah tangan selepas terkena tayar lori yang terpelanting ke arah mereka di Kilometer 43 Kampung Merang berhampiran Shell Merang di Setiu, petang tadi.

    Menurut Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Afandi Hussin, seorang lagi mangsa, Nik Muhammad Afiq Rizani Mohd Zainani, 22, pula patah tangan kanan, luka di bahagian muka dan dikejarkan ke Hospital Setiu untuk mendapatkan rawatan.

    Katanya, siasatan awal mendapati ketika kejadian treler itu dalam perjalanan dari arah Merang ke Kampung Telaga Papan, Setiu di sini.

    “Sejurus tiba di lokasi kejadian, sebiji tayar pada bahagian belakang sebelah kiri treler itu secara tiba-tiba tercabut dan terpelanting terkena dua individu yang sedang berniaga di kaki lima jalan.

    “Seorang mangsa (Muhamad Airiel Rizman) disahkan meninggal dunia oleh penolong pegawai perubatan di tempat kejadian, manakala seorang lagi dikejarkan ke Hospital Setiu untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya, lapor Berita Harian, hari ini.

    Mengulas lanjut, Afandi berkata, mayat dibawa ke Unit Forensik Hospital Setiu, manakala pemandu treler berusia 37 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.

    “Ketika kejadian keadaan cuaca baik dan permukaan jalan kering. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” tambahnya

  • 2 bot bawa 19 penumpang bertembung, 3 maut

    2 bot bawa 19 penumpang bertembung, 3 maut

    TIGA orang dilaporkan terbunuh dalam kejadian dua bot bertembung di perairan berdekatan Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Lumut, malam tadi.

    Kejadian kira-kira pukul 9 malam itu melibatkan sebuah bot membawa 17 penumpang bersama seorang tekong dari arah Lumut ke Pulau Pangkor yang berlanggar dengan sebuah lagi bot membawa dua penumpang serta seorang tekong.

    Lapor Harian Metro, Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian pada pukul 9.17 malam.

    Katanya, polis bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Manjung serta dibantu TLDM kemudian bertindak melakukan misi mencari dan menyelamat mangsa.

    “Akibat pertembungan itu, 10 penumpang bot dari arah Lumut ke Pulau Pangkor jatuh ke dalam laut dan kemudiannya diselamatkan oleh kedua-dua tekong bot terbabit. Kesemua mangsa dihantar ke Hospital Angkatan Tentera Laut (HAT) untuk mendapatkan rawatan,” katanya menerusi satu kenyataan.

    Mengulas lanjut, Nor Omar berkata, pihak HAT memaklumkan tiga mangsa wanita berumur linkungan antara 26 hingga 43 tahun meninggal dunia dan dihantar ke Hospital Seri Manjung untuk dibedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian.

    “Seorang lagi wanita berumur 43 tahun sedang menerima rawatan di unit rawatan rapi (ICU) manakala 17 orang mangsa lagi dirawat sebagai pesakit luar,” katanya lagi.

    Menurutnya, setakat ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan orang awam yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian diminta menghubungi Bilik Gerakan IPD Manjung di talian 05-6886222 atau balai polis berdekatan bagi membantu siasatan.

  • Lebih 42,000 mangsa banjir masih berlindung di PPS tiga negeri

    Lebih 42,000 mangsa banjir masih berlindung di PPS tiga negeri

    JUMLAH mangsa banjir di tiga negeri sedikit menurun dengan 42,909 orang ditempatkan di 234 pusat pemindahan sementara (PPS) setakat 8 pagi ini.

    Di JOHOR, jumlah mangsa banjir di sembilan daerah berkurang daripada 40,129 semalam kepada 39,620 orang susulan penutupan 16 PPS malam tadi.

    Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) berkata keadaan banjir di daerah Segamat semakin surut, bagaimanapun terdapat peningkatan mangsa di daerah Batu Pahat, Muar dan Tangkak.

    Daripada sembilan daerah, tiga daerah paling teruk terjejas adalah Batu Pahat melibatkan 22,209 orang, diikuti Muar dengan 5,094 orang dan Segamat 4,036 orang.

    Setakat ini, sebanyak 10,862 keluarga ditempatkan di 210 PPS dan angka korban akibat banjir kini lima orang susulan penemuan mayat wanita yang dipercayai hanyut akibat arus deras bersama keretanya di Mersing, malam tadi.

    Di PAHANG, Sekretariat JPBN melaporkan jumlah mangsa banjir pagi ini kekal pada 2,684 orang daripada 766 keluarga seperti malam tadi.

    Sebanyak 2,671 mangsa berada di 18 PPS di Rompin manakala 13 lagi ditempatkan di sebuah PPS di Maran.

    Di MELAKA, jumlah mangsa banjir di Jasin meningkat sedikit kepada 605 mangsa daripada 161 keluarga berbanding 593 mangsa daripada 160 keluarga pada 8 malam tadi.

    Kesemua mangsa ditempatkan di lima PPS iaitu PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Batu Gajah; SK Parit Penghulu, SK Seri Mendapat; SK Sungai Rambai dan SK Parit Gantong.

  • Korban kelima banjir di Johor:Mayat wanita ditemukan dalam kereta

    Korban kelima banjir di Johor:Mayat wanita ditemukan dalam kereta

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG wanita yang hilang selepas dihanyutkan arus banjir semasa memandu seorang diri ditemukan mayatnya dalam kereta di Jalan Nitar Utama, Mersing malam tadi.

    Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Mersing, Penolong Pegawai Bomba Abdul Muiz Mukhtar berkata, mayat mangsa, Tan Sharon yang berusia 24 tahun dan berasal dari Sarawak ditemukan dalam kereta pada pukul 10.19 malam.

    “Sebelum itu pihak bomba melakukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) sejak semalam selepas menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 6.49 pagi.

    “SAR melibatkan lapan anggota dari BBP Mersing, tiga anggota dari BBP Endau dan tiga anggota BBP Skudai pada mulanya berjaya menjumpai kereta mangsa ditenggelami air pada pukul 6.55 petang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata, selepas kereta jenis Perodua Myvi dipandunya itu dinaikkan, pihak bomba menemukan mayat wanita berkenaan dalam kenderaan tersebut.

    Mangsa katanya, ditemukan pada jarak kira-kira 15 meter dari lokasi mangsa dipercayai terbabas sebelum hanyut dalam arus dan mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

    Sementara itu, Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Dr. Azmi Rohani berkata, penemuan mayat berkenaan menjadikan korban mangsa banjir di Johor seramai lima orang setakat ini.

    Menurutnya, mangsa pertama yang maut melibatkan K Sarathkumar, menetap di Kluang manakala pasangan Lee Amo Yee dan Tan Sue Ke serta Fatimah Anthony menetap di Segamat.

    “Sarathkumar dipercayai maut dalam kereta selepas kereta dipandunya dihanyutkan arus deras ketika dalam perjalanan ke tempat kerja pada 1 Mac, manakala Amo Yee, Sue Ke dan Fatimah Anthony dilaporkan mati lemas pada 2 Mac,” katanya dalam satu kenyataan berasingan.

    Mengenai jumlah mangsa banjir di Johor, beliau berkata, seramai 39,620 orang daripada 10,862 keluarga masih ditempatkan di 210 pusat pemindahan sementara (PPS) setakat jam 8 pagi Selasa.

    Jumlah itu katanya, menunjukkan penurunan berbanding seramai 49,410 mangsa daripada 14,125 keluarga yang ditempatkan di 269 PPS, pada waktu sama, semalam.

    Azmi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) memberitahu, sembilan
    daerah terjejas akibat banjir dengan paling ramai mangsa adalah di Batu Pahat melibatkan 22,209 mangsa daripada 6,219 keluarga.

    “Ini diikuti daerah Muar (5,094 mangsa, 1,222 keluarga); Segamat (4,036 mangsa daripada 991 keluarga); Kluang (2,591 mangsa daripada 707 keluarga); Tangkak (2,584 mangsa daripada 796 keluarga) dan Kota Tinggi (1,755 mangsa daripada 502 keluarga).

    “Ini disusuli di Mersing (1,164 mangsa daripada 348 keluarga); Pontian (150 mangsa daripada 39 keluarga) dan Johor Bahru (38 mangsa); Pontian (278 mangsa daripada 38 keluarga),” ujar beliau.

  • Lelaki berusia 87 tahun meninggal dunia di PPS

    Lelaki berusia 87 tahun meninggal dunia di PPS

    SEORANG warga emas ditemui tidak sedarkan diri oleh anaknya di pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Orang Ramai Yong Peng, Batu Pahat hari ini, sebelum disahkan meninggal dunia.

    Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, warga emas berusia 87 tahun itu bersama keluarganya ditempatkan di PPS berkenaan sejak Jumaat lalu.

    “Warga emas tersebut mendapatkan rawatan di Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) Batu Pahat pada malam Jumaat kerana sakit perut dan telah dimasukkan ke wad.

    “Menurut anaknya, bapanya dibenarkan pulang dan telah masuk semula ke PPS sebelum dilaporkan muntah ketika makan dan diberi rehat di dalam khemah,” katanya ketika ditemui.

    Katanya, anak mangsa yang berusia 57 mendapati bapanya itu tidak sedarkan diri pada pukul 1.30 tengah hari tadi sebelum disahkan meninggal dunia akibat jangkitan kuman dalam darah oleh pegawai perubatan.

    “Berdasarkan maklumat daripada anaknya, bapanya itu menghidap penyakit batu karang, gastrik, sakit kulit dan darah tinggi,” katanya, lapor Sinar Harian.

  • Mayat kanak-kanak lelaki lemas di Bachok dijumpai

    Mayat kanak-kanak lelaki lemas di Bachok dijumpai

    MAYAT seorang kanak-kanak lelaki yang lemas ketika cuba menyelamatkan anak saudaranya yang tergelincir di Pantai Kemayan, Bachok semalam, ditemukan hari ini.

    Ketua Polis Daerah Bachok Supt Mohamad Ismail Jamaluddin berkata mangsa Ahmad Fadhlullah Mohamad, 12, ditemukan pada 1.40 tengah hari tadi oleh orang awam di Pantai Senok, kira-kira lima kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan tergelincir.

    “Mayat mangsa dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk dibedah siasat dan proses selanjutnya,” katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.

    Beliau berkata usaha mencari dan menyelamat mangsa turut mendapat bantuan daripada anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Angkatan Pertahanan Awam (APM).

  • 53,040 mangsa banjir ditempatkan di PPS pagi ini

    53,040 mangsa banjir ditempatkan di PPS pagi ini

    JUMLAH mangsa banjir di tiga negeri sedikit berkurangan dengan 53,040 ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) pagi ini, berbanding hampir 55,000 orang malam tadi.

    Di JOHOR, jumlah mangsa menurun sedikit kepada 49,410 orang setakat 8 pagi ini, berbanding 50,596 orang pada 8 malam tadi.

    Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Johor menerusi kenyataan memaklumkan seramai 14,125 keluarga ditempatkan di 269 PPS di kesemua 10 daerah di negeri itu.

    Batu Pahat kekal daerah paling teruk terjejas dengan 20,767 mangsa daripada 5,809 keluarga; diikuti Segamat dengan 11,023 orang (3,253 keluarga); Kluang 4,770 mangsa (1,376 keluarga); Muar 4,625 mangsa (1,358 keluarga); dan Kota Tinggi dengan 3,160 orang  (837 keluarga).

    ”Turut terjejas bencana itu ialah Tangkak dengan 3,229 mangsa melibatkan 949 keluarga; Mersing 1,167 orang  (346 keluarga); Johor Bahru dengan 327 mangsa (114 keluarga); Pontian seramai 278 mangsa (68 keluarga); serta Kulai dengan 64 orang mangsa (15 keluarga),” menurut kenyataan itu.

    Cuaca di sembilan daerah di negeri itu diramalkan cerah pagi ini, kecuali Mersing yang dijangka hujan. 

    Di PAHANG, aplikasi InfoBencana Jabatan Kebajikan Masyarakat melaporkan seramai 3,029 mangsa masih berada di 21 PPS pagi ini, berbanding 3,014 orang  malam tadi. 

    Rompin kekal mencatatkan jumlah mangsa paling ramai iaitu 2,774 orang diikuti Temerloh dengan 226 orang di sebuah PPS manakala 29 orang lagi di sebuah PPS di Maran. 

    Bacaan paras Sungai Pahang di dua lokasi iaitu Lubuk Paku, Maran dan Paloh Hinai, Pekan serta Sungai Keratong di Rompin masih melebihi paras bahaya dan hujan sepanjang hari dijangka melanda Rompin dan Maran, manakala hujan dijangka di Temerloh pada sebelah malam. 

    Di MELAKA, jumlah mangsa sedikit meningkat kepada 601 orang daripada 148 keluarga setakat 8 pagi ini berbanding 595 orang daripada 147 keluarga, 8 malam tadi.

    JPBN Melaka dalam satu kenyataan memaklumkan daripada jumlah itu, seramai 591 orang daripada 145 keluarga merupakan penduduk di daerah Jasin yang ditempatkan di lima PPS di daerah itu dan 10 mangsa dari tiga keluarga masih ditempatkan di satu PPS di Alor Gajah.