Category: Kemalangan / Bencana

  • 2 pejalan kaki maut, 2 parah dirempuh kereta terbabas di Jalan Raja Laut

    2 pejalan kaki maut, 2 parah dirempuh kereta terbabas di Jalan Raja Laut

    DUA daripada empat pejalan kaki maut selepas dirempuh sebuah kereta yang hilang kawalan di Jalan Raja Laut, di ibu negara awal pagi semalam.

    Dalam kejadian pukul 3 pagi itu dipercayai berlaku apabila Perodua Myvi melanggar Proton Wira yang mengubah haluan sebelum hilang kawalan.

    MenurutnKetua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya, kemalangan itu membabitkan empat kenderaan dan empat pejalan kaki.

    “Siasatan awal mendapati, Perodua Myvi terbabit hilang kawalan sebelum melanggar empat pejalan kaki menyebabkan dua daripadanya maut.

    “Seorang mangsa berusia 22 tahun mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di lokasi manakala seorang lagi pejalan kaki meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL),” katanya dalam kenyataan, hari ini, lapor Berita Harian.

    Mengulas lanjut, Noor Dellhan berkata, dua mangsa pejalan kaki yang lain cedera parah dan masih dirawat di hospital.

    “Pemandu Proton Wira berusia 22 tahun dan pemandu Perodua Myvi berusia 20 tahun tidak mengalami kecederaan dan sedang direman selama 4 hari untuk siasatan lanjut.

    “Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu merbahaya sehingga menyebabkan kematian,” katanya.

    Katanya, orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan ataupun maklumat boleh menghubungi Balai Polis Trafik Jalan Tun H.S Lee di talian 03-2071 9999 atau Hotline JSPT Kuala Lumpur di talian 03- 20260267/69 atau mana- mana balai polis berampiran.

  • 11 pelancong Singapura cedera, 1 parah, van persiaran terlibat nahas di Pagoh

    11 pelancong Singapura cedera, 1 parah, van persiaran terlibat nahas di Pagoh

    SEBANYAK 11 pelancong warga Singapura cedera ringan manakala seorang cedera parah dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan di Kilometer 139.9 Lebuhraya Utara Selatan Arah Selatan, dekat Pagoh di Muar, semalam.

    Ketua Polis Daerah Muar ACP Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata dalam kejadian pada pukul 5.15 petang itu, kesemua 12 pelancong yang menaiki van persiaran terlibat kemalangan dengan sebuah bas ekspres membawa 28 penumpang serta dua kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Mazda CX-30 dan Honda HR-V.

    Bagaimanapun beliau berkata kesemua 28 penumpang bas tersebut terselamat dan hanya pemandu bas dan seorang penumpang Mazda mengalami kecederaan ringan.

    “Siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila bas ekspres dalam perjalanan dari Melaka ke Johor Bahru yang berada di lorong kiri, telah melanggar van persiaran di hadapannya, sebelum van tersebut melanggar Mazda di depannya.

    “Mazda berkenaan kemudian telah merempuh sebuah Honda HR-V di hadapannya, sekali gus menyebabkan empat kenderaan terbabit dalam nahas itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata hasil ujian saringan air kencing terhadap pemandu bas berkenaan adalah negatif dan bebas daripada pengaruh alkohol.

    Raiz Mukhliz berkata kesemua individu yang mengalami kecederaan di bawa ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah, Muar untuk mendapatkan rawatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

    Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pagoh Pegawai Bomba Kanan II Mohd Farid Mohd Sarjan menerusi kenyataan berasingan berkata sembilan anggota termasuk empat dari BBP Muar dikejarkan ke lokasi kejadian bagi memberikan bantuan.

    “Empat mangsa didapati tersepit di dalam van persiaran itu dan kesemuanya berjaya dikeluarkan,” katanya sambil menambah operasi tamat pada pukul 6.52 petang.

  • Pelajar perempuan tersepit besi penutup longkang pada hari pertama sekolah

    Pelajar perempuan tersepit besi penutup longkang pada hari pertama sekolah

    SEORANG pelajar perempuan di sebuah sekolah menengah di Seksyen 7 Shah Alam terpaksa menanggung kesakitan pada hari pertama sesi persekolahan apabila kakinya tersangkut di besi penutup longkang, pagi tadi.

    Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Morni Mamat berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 9.08 pagi dan bergegas ke lokasi kejadian.

    Beliau berkata seramai 10 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Shah Alam tiba di sekolah tersebut pada pukul 9.17 pagi dan memulakan operasi menyelamat mangsa berumur 16 tahun itu.

    “Remaja perempuan itu dipercayai tersepit selama 20 minit di besi penutup longkang berkedalaman satu meter. Bomba telah menggunakan peralatan khas dan berjaya mengeluarkan mangsa dalam tempoh seminit tanpa sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

  • Nelayan dikhuatiri lemas ketika uji bot

    Nelayan dikhuatiri lemas ketika uji bot

    SEORANG nelayan dikhuatiri lemas ketika menguji bot gentian kaca berhampiran jeti pengkalan bot Kampung Baru Penarik, di Setiu, malam tadi.

    Mahamad Harun, 63, yang menetap di kampung itu tidak pulang ke rumah selepas turun ke sungai untuk menguji bot gentian kaca pada pukul 7 malam.

    Ketua Polis Daerah Setiu Deputi Superintendan Afandi Hussin berkata, pihaknya menerima laporan daripada isteri mangsa yang memaklumkan suaminya tidak pulang ke rumah dan dikhuatiri lemas.

    “Pihak polis menerima maklumat daripada seorang saksi yang juga penduduk kampung menyatakan melihat mangsa menghala ke Kampung Mangkuk sambil membuang air dari dalam bot.

    “Hasil pencarian yang dilakukan penduduk kampung menemui bot di kawasan paya bakau kira-kira 650 meter dari jeti dan mendapati mangsa tiada dalam bot,” katanya ditemui di lokasi kejadian, hari ini.

    Katanya, operasi mencari dan menyelamat (SAR) disertai polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan penduduk kampung bermula malam tadi.

    Afandi berkata, seorang saksi yang melihat mangsa dari jarak 100 meter menyatakan botnya berpusing dan menuju ke seberang sungai.

    “Saksi tidak mengesyaki bot mangsa bermasalah dan saksi terus balik ke rumah memandangkan cuaca hampir gelap,” katanya.

    Afandi berkata, pihaknya juga mendapatkan bantuan Unit Anjing Pengesan (K9) bomba bagi mengesan mangsa.

    “Usaha dan menyelamat giat dilakukan dengan fokus pencarian terarah ke arah muara.

    “Saya menasihatkan nelayan supaya mengutamakan keselamatan dengan memakai jaket keselamatan apabila mahu menjalankan aktiviti sama ada di sungai atau laut,” katanya, lapor Harian Metro.

  • 3 maut nahas kereta langgar kren di Bukit Seputeh

    3 maut nahas kereta langgar kren di Bukit Seputeh

    TIGA maut dalam nahas membabitkan sebuah kereta melanggar kren berhampiran Sekolah Tinggi Kuen Cheng di Jalan Syed Putra, Bukit Seputeh, Kuala Lumpur, pagi tadi.

    Pusat Gerakan Operasi Bomba Kuala Lumpur menerima laporan kejadian pada pukul 3.46 pagi sebelum 10 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Hang Tuah digerakkan ke lokasi.

    Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan II K Segar berkata, kemalangan membabitkan sebuah kereta Proton Saga melanggar belakang sebuah kren yang diletakkan di bahu jalan.

    “Seorang pemandu lelaki didapati tersepit dalam kereta, manakala dua pekerja keselamatan yang menjaga kren turut cedera akibat dilanggar kereta terbabit.

    “Pasukan bomba bertindak mengeluarkan pemandu yang tersepit dengan menggunakan peralatan menyelamat, namun mangsa disahkan meninggal dunia,” katanya, lapor Berita Harian.

    Katanya, dua pekerja keselamatan yang menjaga kren dan didapati cedera kemudian turut disahkan meninggal dunia oleh petugas ambulans.

    Mayat ketiga-tiga mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

  • Pemandu lori, kelindan maut rempuh belakang treler rosak

    Pemandu lori, kelindan maut rempuh belakang treler rosak

    SEORANG pemandu lori dan kelindannya maut selepas kenderaan dinaiki mereka melanggar bahagian belakang sebuah treler rosak, yang diletakkan di tengah jalan di Kilometer 43.5 Jalan Gua Musang-Kuala Krai, di Gua Musang pagi tadi.

    Ketua Polis Daerah Gua Musang Supt Sik Choon Foo berkata kejadian berlaku, ketika kedua-dua mangsa menaiki lori kecil membawa muatan cat dari arah Gua Musang menuju Kota Bharu, pada 6.45 pagi.

    “Kejadian mengakibatkan pemandu lori Wan Muhammad Izzat Wan Jusoh, 25, dan kelindannya Nik Mohamad Nasrullah bin Mohd Nizam, 26, tersepit dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

    “Siasatan awal mendapati treler yang membawa muatan barangan besi itu berhenti di tengah-tengah jalan akibat mengalami kerosakan pada kotak gear,” katanya menerusi sebuah kenyataan di sini.

    Sik berkata jenazah kedua-dua mangsa telah dibawa ke Bahagian Forensik Hospital Gua Musang, untuk bedah siasat.

    “Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan Raya 1987 kerana memandu secara melulu, sehingga menyebabkan kemalangan maut,” katanya. – BERNAMA

  • Remaja maut motosikal ditunggang laju rempuh belakang Perodua Kancil

    Remaja maut motosikal ditunggang laju rempuh belakang Perodua Kancil

    Oleh RIZQI ZABIDI

    SEORANG remaja berusia 17 tahun maut apabila motosikalnya yang dipercayai ditunggang laju, merempuh belakang sebuah kereta di jenis Perodua Kancil di Kilometer 83 Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS), menghala arah utara awal pagi ini.

    Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, kejadian itu berlaku kira-kira pukul 1.55 pagi ketika cuaca berada dalam keadaan baik serta jalan lengang dan cerah dengan bantuan lampu jalan.

    Katanya, kejadian itu berlaku ketika kedua-dua kenderaan tersebut bergerak di lorong kiri dari arah Plaza Tol Sungai Petani menuju ke kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Gurun.

    “Apabila tiba di lokasi kejadian, motosikal jenis Yamaha 135LC yang ditunggang mangsa dengan laju gagal mengelak kereta Perodua Kancil tersebut di bahagian belakang sebelah kiri.

    “Pelanggaran tersebut menyebabkan motosikal berkenaan terbabas ke kiri jalan sebelum melanggar besi penghadang tepi jalan,” katanya.

    Akibat kemalangan itu katanya, mangsa yang tidak bekerja dan berasal dari Taman Keladi, Sungai Petani maut di lokasi kejadian akibat kecederaan serius di kepala.

    “Pemandu serta penumpang kereta itu yang kedua-duanya lelaki, bekerja sebagai mekanik kereta dan berusia 38 serta 26 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.

    Tambahnya siasatan awal setakat ini menunjukkan kemalangan berpunca daripada kecuaian penunggang motosikal yang menunggang laju hingga melanggar kereta tersebut.

    “Kejadian itu bagaimanapun masih disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

  • Anggota Perhilitan maut akibat keracunan di atas Gunung Gelemat

    Anggota Perhilitan maut akibat keracunan di atas Gunung Gelemat

    SEORANG anggota Jabatan Perlindungan Hidupan Liar Dan Taman Negara (Perhilitan) meninggal dunia ketika menjalankan tugas di Gunung Gelemat Pasir Raja, Dungun, semalam.

    Mangsa, Muhammad Nazli Ajis, 36, yang berasal dari Jalan Jamaluang Mersing, Johor disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan pukul 6.35 petang.

    Sebelum itu seorang anggota Perhilitan membuat aduan di Balai Bomba Bandar Al Muktaffi Billah Shah AMBS memaklumkan seorang rakan setugasnya yang berada di gunung terbabit mengalami keracunan makanan dan berada dalam keadaan kritikal, pukul 2.30 petang.

    Ketua Zon 2, Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, Penguasa Kanan Bomba II, Azman Alias berkata, anggota terbabit dikatakan bersama 12 lagi rakan setugas sedang mengadakan kerja-kerja persempadanan antara Taman Negara.

    “Untuk sampai ke lokasi kejadian mengambil masa selama dua hingga tiga hari dan kami mengambil keputusan untuk meminta bantuan helikopter.

    “Sebuah helikopter dari Unit Udara Bomba Subang melakukan penerbangan ke lokasi kejadian kira-kira pukul 4 petang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah berkata, kesemua 13 anggota Perhilitan itu bertugas di kawasan gunung terbabit sejak 9 Mac.

    Menurutnya, helikopter Bomba tiba di Bandar AMBS pukul 5.48 petang sebelum bersama seorang pegawai perubatan dari Klinik Kesihatan AMBS berlepas ke kawasan gunung terbabit.

    “Mangsa disahkan telah meninggal sebelum mayat mangsa dibawa pulang dengan helikopter terbabit ke AMBS.

    “Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Bilik Forensik Hospital Dungun untuk siasatan lanjut,” katanya, lapor Harian Metro.

  • Remaja tercucuk anak panah di hidung sewaktu menangkap ikan

    Remaja tercucuk anak panah di hidung sewaktu menangkap ikan

    SEORANG remaja lelaki berusia 18 tahun cedera setelah hidungnya tertusuk anak panah sewaktu menangkap ikan di Ranau petang semalam.

    Mangsa yang bersama rakannya sewaktu kejadian kemudian dikejarkan ke Hospital Ranau pukul 4.30 petang sejurus kemalangan itu berlaku.

    Menurut Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pasukannya menerima panggilan pada pukul 4.59 petang daripada pihak hospital setelah cubaan mengeluarkan anak panah tersebut tidak berjaya.

    “Tiga orang pegawai bomba kemudian diarahkan ke hospital berkenaan bagi menjalankan operasi mengeluarkan anak panah terbabit.

    “Bilik kawalan Balai Bomba Dan Penyelamat Ranau terima panggilan kecemasan daripada pihak hospital terdapat seorang remaja tercucuk anak panah di bahagian hidungnya,” menurutnya menerusi satu kenyataan dikeluarkan pada Jumaat.

    Katanya, sejurus tiba, pasukan bomba bertindak memotong anak panah dengan menggunakan bolt cutter.

    “Mangsa kemudian diserahkan kepada pihak KKM untuk tindakan selanjutnya”, katanya, lapor Astro Awani.

    Operasi ditamatkan pada pukul 5.11 petang, selepas 10 minit usaha mengeluarkan anak panah tersebut berjaya.

  • Lelaki, wanita maut kereta bertembung lori

    Lelaki, wanita maut kereta bertembung lori

    Oleh RIZQI ZABIDI

    DUA individu terdiri daripada seorang lelaki dan perempuan maut apabila kereta dinaiki mereka bertembung dengan sebuah lori di Jalan Kulim menuju ke Mahang, Kedah pagi ini.

    Ketua Polis Daerah Kulim Superintendan Mohd Redzuan Salleh berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu kira-kira pukul 8.40 pagi.

    Katanya, pemandu kereta yang maut itu merupakan seorang lelaki berusia 22 tahun manakala identiti penumpang wanita yang turut meninggal dunia masih belum dikenal pasti.

    “Siasatan awal mendapati kereta Proton Wira dinaiki kedua-dua mangsa sedang dalam perjalanan dari arah Sungai Kob menghala ke Mahang manakala lori itu pula datang dari arah bertentangan.

    “Ketika tiba di selekoh berhampiran Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen), kereta Proton Wira tersebut termasuk ke laluan bertentangan mengakibatkannya terlanggar bucu depan sebelah kanan lori berkenaan,” katanya.

    Difahamkan pemandu kereta itu tidak memiliki lesen memandu manakala pemandu lori berusia 43 tahun itu pula mempunyai lesen memandu dan cukai jalan yang sah.

    Tambahnya, pemandu dan penumpang kereta itu cedera parah di kepala dan disahkan maut di lokasi kejadian manakala pemandu lori pula tidak mengalami kecederaan.

    “Pemandu lori itu turut diambil keterangan untuk siasatan lanjut. Setakat ini siasatan masih dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.