Category: Kemalangan / Bencana

  • Pelajar maut ketika dalam perjalanan ke sekolah

    Pelajar maut ketika dalam perjalanan ke sekolah

    Oleh RIZQI ZABIDI

    SEORANG pelajar tingkatan lima meninggal dunia apabila motosikal jenis Yamaha Y15ZR ditunggangnya bertembung dengan kereta Proton Saga di Jalan Felda Sungai Tiang dekat Jalan Felda Sungai Tiang, Pendang hari ini.

    Ketua Polis Daerah Pendang, Deputi Superintendan Arriz Sham Hamezah berkata, kejadian itu dipercayai berlaku kira-kira pukul 7.20 pagi ketika mangsa, Muhammad Hasrul Hakimi Ibrahim, 17 dalam perjalanan menuju ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Tiang selepas menghantar adiknya di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Tiang.

    Setibanya di lokasi kejadian katanya, motosikal mangsa bertembung dengan sebuah kereta yang keluar dari simpang kiri.

    “Akibat kemalangan itu, mangsa terbabas ke kanan jalan dan berlanggar pula dengan pokok serta Pejabat Felda Sungai Tiang.

    “Mangsa mengalami kecederaan parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

    Motosikal mangsa bertembung dengan sebuah kereta sebelum terbabas ke kanan jalan dan berlanggar pula dengan pokok serta Pejabat Felda Sungai Tiang

    Sementara itu ibu mangsa, Halimaton Naimah Mat Isa, 37, memaklumkan, kemalangan itu berlaku tidak lama selepas Muhammad Hasrul menghantar dua adiknya yang mengikuti Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Tiang.

    Katanya, Muhammad Hasrul bersama dua adiknya iaitu Noor Salihatul Nabila, 12 dan Faiz Qayyum, 10, keluar dari rumah kira-kira pukul 7 pagi.

    “Saya terkejut apabila suami, Ibrahim Ahmad, 48, menerima panggilan telefon yang memaklumkan mengenai kejadian itu kira-kira pukul 8 pagi.

    “Kami ke lokasi kejadian namun jasad anak telah dibawa menaiki ambulans menuju ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar.
    Disebabkan itu, kami terus ke Unit Forensik HSB untuk menuntut jenazah anak,” katanya ketika ditemui pemberita di lobi Unit Forensik HSB, hari ini.

    Difahamkan motosikal ditunggang Muhammad Hasrul bertembung dengan kereta dipandu seorang guru wanita yang mengajar di sekolah adik mangsa.

    Mengulas lanjut Halimaton berkata, beliau sekeluarga amat merasai kehilangan Muhammad Hasrul yang mesra dipanggil ‘Abang Chik’.

    “Sebagai anak sulung dari lima beradik, dia memang menjadi harapan keluarga. Selama ini pun jika cuti sekolah, dia rajin membantu menambah rezeki keluarga dengan menolong saya menoreh getah atau bersama ayahnya mengawal lalu lintas di kuari,” katanya.

  • Wanita warga emas maut ketika melintas jalan ke masjid

    Wanita warga emas maut ketika melintas jalan ke masjid

    SEORANG warga emas maut dilanggar kereta ketika melintas di jalan utama Kuala Terengganu-Kuantan hadapan Masjid Rhu Muda, Kampung Seberang Marang, Marang, malam tadi.

    Mangsa, Esah Awang, 72, dari rumahnya dipercayai melintas jalan untuk menunaikan solat di Masjid Rhu Muda, Marang.

    Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Mohd. Zain Md Dris berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu lebih kurang pada jam 8.50 malam.

    “Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika mangsa dari rumah yang terletak sebelah pantai melintas jalan untuk pergi solat di Masjid Rhu Muda yang terletak sebelah jalan.

    “Ketika melintas jalan, mangsa dilanggar oleh sebuah kereta yang dipercayai datang dari arah Kuantan ke Kuala Terengganu.

    “Kenderaan yang melanggar mangsa belum dikenal pasti dan belum tampil membuat laporan polis serta polis sedang mengesannya,” katanya menerusi kenyataan, hari ini, lapor Harian Metro.

    Mohd. Zain berkata, akibat daripada perlanggaran terbabit, mangsa cedera parah dan meninggal dunia di tempat kejadian.

    Beliau berkata, mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk tindakan selanjutnya dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengakutan Jalan 1987.

  • Kereta masuk sungai, lelaki dikhuatiri lemas cuba selamat anak

    Kereta masuk sungai, lelaki dikhuatiri lemas cuba selamat anak

    SEORANG lelaki dikhuatiri lemas ketika menyelamatkan anak berusia lima tahun yang terperangkap dalam kereta selepas terhumban ke dalam sungai di Kampung Imbahan, Putatan semalam.

    Insiden berlaku pada pukul 5.30 petang apabila Lasibi Lawahidu, 40-an, terjun ke dalam sungai selepas Perodua Myvi yang dinaiki anaknya, Mushab Umair Lasibi, 5, tiba-tiba menggelongsor ke dalam sungai.

    Ketua Polis Penampang, Mohd. Haris Ibrahim berkata, sebelum kejadian mangsa sedang memancing di tebing manakala anaknya berada dalam kenderaan terbabit dalam keadaan enjin dihidupkan.

    “Kereta terbabit tiba-tiba bergerak sebelum jatuh ke dalam sungai, menyebabkan mangsa terus terjun untuk menyelamatkan anaknya.

    “Mangsa dikatakan sempat mengeluarkan anaknya daripada kenderaan itu sebelum dibantu seorang lelaki yang kebetulan berada di situ untuk memancing.

    “Ketika lelaki terbabit menyambut kanak-kanak itu, mangsa dikatakan tiba-tiba hilang dipercayai tenggelam,” katanya, menurut Harian Metro.

    Anak mangsa yang diselamatkan dihantar ke Hospital Queen Elizabeth (HQE) untuk rawatan lanjut.

    Sementara itu, Pemangku Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penampang Rony Sikawan berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 5.53 petang.

    “Operasi mencari dan menyelamat (SAR) turut disertai anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) BBP Kota Kinabalu.

    “Setakat 11 malam, mangsa masih belum ditemui,” katanya yang memaklumkan operasi akan bersambung hari ini.

  • Banjir di Johor pulih, 2 PPS terakhir ditutup

    Banjir di Johor pulih, 2 PPS terakhir ditutup

    BANJIR di Johor akhirnya pulih selepas lebih empat minggu 141 penduduk terjejas berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS).

    Mereka melibatkan seramai 62 mangsa daripada 15 keluarga di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Medan dan 79 mangsa daripada 22 keluarga di Dewan Orang Ramai Yong Peng.

    Kesemua penduduk dibenarkan pulang selepas lebih empat minggu berlindung di PPS berkenaan berikutan bah besar yang melanda negeri ini sejak 28 Februari lalu.

    Memetik laporan Berita Harian, Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Johor memaklumkan, dengan penutupan dua PPS terakhir berkenaan bermakna bencana banjir sudah berakhir secara rasmi tengah hari ini.

    “Alhamdulillah, kesemua 141 mangsa banjir terakhir di PPS Sri Medan dan Yong Peng dibenarkan pulang tengah hari ini.

    “Terima kasih kepada semua yang terbabit terutama anggota penyelamat, agensi awam dan swasta, sukarelawan serta rakan media yang sama berganding bahu membuat laporan ketika Johor berdepan bencana bah sejak 28 Februari lalu,” katanya dalam kenyataan ringkas, hari ini.

    Banjir besar yang melanda negeri ini sejak 1 Mac lalu dilaporkan berpunca daripada taburan hujan yang luar biasa, hampir dua kali ganda banyaknya daripada jumlah purata hujan bulanan di negeri ini.

    Hujan selama dua hari iaitu pada 28 Februari dan 1 Mac lalu dilaporkan melebihi rekod jumlah hujan untuk tempoh sebulan, sekali gus menyebabkan bencana besar antara terburuk pernah dialami Johor sejak 1986 dan 2006.

    Banjir besar Johor kali ini dilaporkan merekodkan sejumlah 74,453 mangsa daripada 26,376 keluarga di semua 10 daerah dan babitkan 379 PPS.

  • Suami isteri maut, anak lelaki parah nahas lima kenderaan

    Suami isteri maut, anak lelaki parah nahas lima kenderaan

    SEPASANG suami isteri maut manakala anak lelaki mereka cedera parah dalam kemalangan membabitkan lima kenderaan di Kilometer (KM) 46, Kampung Selamat, Sungai Tong di Setiu hari ini.

    Kemalangan pukul 1.17 tengah hari itu melibatkan sebuah lori, dua kenderaan pelbagai guna (MPV) iaitu Proton Exora dan Toyota Wish, sebuah kenderaan pacuan empat roda Nissan Navara serta Perodua Axia.

    Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintenden Afandi Hussin berkata, mangsa, Faizul Azman, 44, dan isterinya, Habsah Ismail, 44, yang menaiki Proton Exora meninggal dunia di lokasi kejadian akibat cedera parah.

    Katanya, anak lelaki mereka iaitu Muhammad Daniel Dzulkarnain, 13, yang mengalami kecederaan parah pada bahagian muka dikejarkan ke Hospital Setiu.

    “Seramai 13 individu termasuk pemandu dan penumpang kenderaan lain yang terlibat nahas itu terselamat termasuk lima kanak-kanak berusia 2 bulan hingga 13 tahun yang berada di dalam sebuah Toyota Wish,” katanya dalam kenyataan.

    Beliau berkata, kes itu disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

    Sementara itu, Komander Operasi Bomba, Sulaiman Merah berkata, seramai 16 anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Setiu dibantu BBP Kuala Nerus dikerahkan ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan pukul 1.17 tengah hari.

    “Anggota penyelamat membersihkan sisa kemalangan menggunakan aliran hose reel air tangki jentera dan operasi tamat pukul 3.22 petang,” katanya, lapor Sinar Harian.

  • Warga emas maut susulan rumah dirempuh MPV

    Warga emas maut susulan rumah dirempuh MPV

    SEORANG warga emas berusia 82 tahun yang mengalami kecederaan dan tidak sedarkan diri selepas rumahnya dilanggar kenderaan pelbagai guna (MPV) tengah hari semalam, meninggal dunia pada pukul 10.30 malam tadi.

    Ketua Polis Daerah Jelebu, Deputi Superintendan Maslan Udin berkata, mangsa, Rahimah Abdul Majid meninggal dunia di Hospital Tuanku Ja’afar ( HTJ ) Seremban ketika menerima rawatan.

    Katanya, polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

    Terdahulu, media melaporkan, warga emas patah tulang pinggul selepas kediamannya di rempuh MPV dalam kejadian pada pukul 12.58 tengah hari semalam.

    Memetik laporan BH Online, pemandu MPV jenis Nissan Grand Livina, wanita berusia 43 tahun lebam pada dada kiri dan paha kiri.

    Siasatan awal polis mendapati, MPV dipandu wanita dari arah Serting Ulu menghala ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dusaj, terbabas masuk ke bahu jalan dan melanggar sebuah rumah ketika melalui jalan di Kilometer 40 Jalan Peradong.

    Akibat kejadian itu, mangsa yang berada di dalam rumah mengalami kecederaan dan tidak sedarkan diri.

    Rumah mangsa pecah di bahagian dinding hadapan, manakala MPV remuk bahagian hadapan dan cermin depan pecah.

  • Enam lembu jadi mangsa serangan harimau tiga beranak

    Enam lembu jadi mangsa serangan harimau tiga beranak

    SEORANG penternak kerugian kira-kira RM15,000 apabila enam lembu peliharaannya mati diserang harimau belang dalam kebun getah di Kampung Perala di Tanah Merah, semalam.

    Kejadian itu disedari Wan Md. Seri Wan Ismail, 60, apabila mendapati dua lembunya mati akibat serangan terbabit, manakala empat lagi terpaksa disembelih.

    “Ketika ke kebun getah tempat 13 ekor lembu peliharaan saya ditambat pada pukul 9.30 pagi semalam, saya mendapati pagar kandang pecah namun tidak mengesyaki apa-apa.

    “Sebaik masuk ke dalam kandang, saya dapati seekor lembu kelihatan dalam keadaan diam bagaikan trauma. Keadaan itu agak pelik kerana selama ini semua lembu saya tidak jinak sedemikian rupa, malah ada ketikanya sukar dikawal.

    “Hasil pemerhatian lanjut, saya dapati dua lagi lembu terbaring dengan kesan serangan haiwan dan saya pasti ia adalah harimau belang.

    “Saya segera menghubungi Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) sebelum mereka tiba untuk membuat pemeriksaan lanjut,” katanya kepada pemberita hari ini.

    Wan Md. Seri berkata, empat lembu yang turut diserang masih hidup tapi terpaksa disembelih dan dagingnya diberikan secara percuma kepada jiran, manakala separuhnya dijual dengan harga yang murah.

    Dia terpaksa memindahkan baki tujuh ekor lagi lembunya ke kandang lain sementara perangkap selesai dipasang pada hari ini.

    Di kandang sementara itu katanya, dipasangkan lampu dan buat unggun api serta memasang radio dengan kuat bagi mengelakkan harimau mendekati kawasan berkenaan.

    “Saya dimaklumkan oleh Perhilitan bahawa serangan itu membabitkan sekumpulan harimau belang yang dipercayai tiga beranak yang merayau mencari makanan.

    “Kehadiran harimau belang itu juga menimbulkan kebimbangan kepada penduduk kampung untuk keluar bekerja terutama penoreh getah yang risau jika terserempak dengan tiga beranak itu,” katanya, lapor Berita Harian.

  • Kereta rempuh mati pejalan kaki junam ke sungai, seorang wanita lemas

    Kereta rempuh mati pejalan kaki junam ke sungai, seorang wanita lemas

    SEORANG pejalan kaki maut selepas dirempuh kereta sebelum kenderaan itu terbabas ke dalam sungai di Jalan Nenasi Rompin dekat Pekan, pukul 947 pagi tadi.

    Menurut Bomba Pahang dalam kenyataan, lelaki terbabit maut di lokasi kejadian manakala seorang penumpang wanita kereta itu dipercayai lemas selepas hanyut dalam cubaannya menyelamatkan diri.

    “Pemandu kereta yang juga seorang lelaki selamat dengan cedera ringan, manakala penumpang wanita terjatuh ke dalam sungai bersama kenderaan dinaiki.

    “Mangsa dikatakan sempat keluar dari kereta, tetapi dihanyutkan arus sungai,” menurut kenyataan berkenaan.

    Operasi mencari dan menyelamat digerakkan di sekitar lokasi kejadian dibantu unit Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuantan serta tiga anggota dari Rompin bersama sebuah bot penyelamat.

    “Mayat lelaki (pejalan kaki) dihantar ke Unit Forensik Hospital Pekan untuk tindakan lanjut,” tambah kenyataan itu, lapor FMT.

  • Dua terbunuh dalam letupan kilang coklat di AS

    Dua terbunuh dalam letupan kilang coklat di AS

    SEKURANG-kurangnya dua orang terbunuh dan beberapa yang lain cedera dalam letupan dan kebakaran di sebuah kilang coklat di Pennsylvania Amerika Syarikat, lapor Sputnik.

    Kebakaran itu dilaporkan berlaku kira-kira 5 petang waktu tempatan pada Jumaat (21:00 GMT), memusnahkan sebahagian daripada kilang coklat R.M. Palmer Company di West Reading, Berks County, lapor The New York Times memetik kenyatan polis West Reading.

    WPVI-TV melaporkan dua orang maut dan tujuh lagi hilang. Sekurang-kurangnya enam orang dimasukkan ke hospital akibat kecederaan.

    Letupan berkemungkinan disebabkan oleh kebocoran gas. Siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.

  • Babi hutan melintas, dua penunggang motosikal cedera

    Babi hutan melintas, dua penunggang motosikal cedera

    Oleh RIZQI ZABIDI

    DUA penunggang motosikal cedera setelah terbabit dalam kemalangan yang turut melibatkan dua ekor babi hutan di Jalan Pintasan Semeling dekat Sungai Petani, Kedah, tengah malam tadi.

    Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, kejadian itu berlaku pukul 12.35 tengah malam itu berlaku setelah dua ekor babi hutan tersebut melintas secara tiba-tiba.

    Ketika itu katanya, kedua-dua motosikal tersebut dalam perjalanan dari Semeling menghala ke Bedong.

    “Setibanya di lokasi kejadian, salah seorang penunggang motosikal tersebut, Muhammad Naufal Izani Abd. Mutalib, 22, tidak sempat mengelak babi hutan berkenaan yang melintas dari kanan ke kiri jalan secara tiba-tiba lalu melanggarnya.

    “Selepas itu, motosikal ditunggang seorang warganegara Myanmar, Nur Alam Boshor, 35, yang datang dari belakang, terlanggar pula motosikal ditunggang Muhammad Naufal mengakibatkannya turut terbabas,” katanya.

    Akibat pelanggaran itu katanya, Muhammad Naufal yang menunggang motosikal jenis Modenas Kriss luka di tangan manakala Nur Alam cedera di muka.

    “Kedua-dua mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di Sungai Petani untuk dirawat.

    “Kes tersebut disiasat mengikut Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 (Rule 10 LN 166/59),” katanya.