Category: Kemalangan / Bencana

  • Kekal sokong sampai hujung nyawa, hantaran penyokong Perak FC jadi kenyataan

    Kekal sokong sampai hujung nyawa, hantaran penyokong Perak FC jadi kenyataan

    SATU daripada dua penyokong Perak FC yang maut dalam kemalangan selepas menonton perlawanan bola sepak antara pasukan mereka melawan Johor Darul Takzim (JDT), malam tadi pernah memuat naik hantaran untuk kekal menyokong pasukan mereka sehingga hujung nyawa.

    Hantaran Facebook (FB) itu dimuat naik oleh mangsa bernama Faiz Bazli yang menyatakan; ‘Perak (Perak FC) sampei hujung nyawe (nyawa),”.

    Faiz atau nama sebenarnya Muhammad Faiz Bazli Abdul Hamid, 25, serta seorang rakannya Izzwan Syamel Denial Ismail, 18, maut apabila motosikal ditunggang bergesel sesama sendiri di Jalan Susur Lebuhraya Utara-Selatan arah Utara antara Bercham-Jelapang di sini.

    Memetik laporan Harian Metro, Faiz Bazli dikesan memuat naik hantaran terbabit pada 26 Februari lalu.

    Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, dalam kejadian kira-kira 12.30 tengah malam, motosikal Yamaha 135LC yang ditunggang Faiz Bazli menghala Jelapang dipercayai bergesel dengan motosikal Yamaha Lagenda yang ditunggang oleh Izzwan Syamel.

    “Selepas kedua-dua motosikal itu bergesel, sebuah lagi motosikal iaitu jenis Yamaha Y15ZR yang ditunggang oleh remaja lelaki berusia 16 tahun turut terbabas ketika cuba sempat mengelak.

    “Akibat kemalangan, Faiz Bazli dan Izzwan Syamel maut di lokasi kejadian, manakala penunggang Yamaha Y15ZR cedera dan dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh untuk rawatan lanjut,” katanya, hari ini.

    Yahya berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

    Sementara itu, laman FB ‘Ultras’ Perak, The Supporters turut memuat naik ucapan takziah terhadap pemergian kedua-dua penyokong itu.

    Ucapan takziah susulan pemergian dua sekawan itu turut dirakamkan oleh Pengerusi Perak FC, Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi yang menzahirkan ucapan takziah menerusi kenyataan di FB rasmi Perak FC, Perak Football Club.

    “Saya mewakili pihak pengurusan, barisan jurulatih dan pemain menzahirkan ucapan takziah dan mendoakan keluarga mangsa tabah menghadapi ujian besar ini.

    “Sekali lagi, kami menghargai sokongan peminat Perak FC yang hadir setiap minggu untuk menyokong (skuad) The Bos Gaurus,” katanya.

  • Budak maut jatuh kondo selepas kelas mengaji

    Budak maut jatuh kondo selepas kelas mengaji

    SEORANG kanak-kanak warga Somalia maut dipercayai terjatuh dari kondominium di Jalan Langkawi, Setapak.

    Kejadian itu disedari penduduk kira-kira 7 malam tadi, apabila terdengar dentuman kuat sebelum menemui mayat kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun itu.

    Difahamkan, mangsa baru selesai ke kelas mengaji di blok A kondominium itu.

    Menurut Astro Awani, ibu mangsa yang hendak menjemputnya pulang ke rumah, cemas apabila gagal menemui anaknya.

    Wanita itu kemudian menemui anaknya dalam keadaan tidak sedarkan diri atas jalan dekat blok B.

    Dua beranak itu dipercayai warga Somalia yang memegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) sejak 2017.

    Difahamkan, polis turut menemui beg sandang mengandungi al-Quran dekat tangga tingkat 4 berhampiran blok B.

  • Lori jatuh laut, pemandu dikhuatiri lemas

    Lori jatuh laut, pemandu dikhuatiri lemas

    SEORANG lelaki dikhuatiri lemas selepas lori dipandunya terjatuh dalam laut di Terminal Maritim Lumut di Manjung, hari ini.

    Anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sitiawan menerima panggilan kecemasan kejadian itu pada pukul 5.30 pagi.

    Ketua Operasi, Mohd Azizi Zakaria berkata, membabitkan mangsa berusia lingkungan 20-an dan lori berkenaan terjatuh dalam laut pada anggaran kedalaman 11 meter.

    Katanya, maklumat diperolehi mengesahkan terdapat hanya seorang mangsa dalam lori terbabit.

    “Kapal berdekatan dengan pelabuhan telah ditarik bagi memudahkan operasi menyelamat dilakukan,” katanya dalam kenyataan.

    Ujar beliau, operasi menyelamat masih dilakukan dengan bantuan Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) Balai Bomba dan Penyelamat Pulau Pangkor.

    “Dua unit kren dari pelabuhan, dalam tindakan untuk membawa naik lori ke tebing,” katanya, lapor Sinar Harian.

  • Gempa bumi di Laut China Selatan tidak hasilkan gegaran permukaan-MetMalaysia

    Gempa bumi di Laut China Selatan tidak hasilkan gegaran permukaan-MetMalaysia

    GEMPA bumi yang berlaku di Laut China Selatan awal pagi semalam tidak menghasilkan sebarang gegaran di permukaan, menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dalam kenyataan hari ini.

    MetMalaysia memaklumkan perkara ini kerana gempa bumi itu berlaku terlalu dalam iaitu 611 kilometer (km), malah pemantauan yang dijalankan secara dekat mendapati tiada sebarang gempa susulan berlaku.

    Menurut kenyataan itu, Sistem Rangkaian Seismik MET Malaysia telah mengesan gempa bumi itu berlaku pada pukul 3.32 pagi dengan 4.4 pada skala Richter di kedudukan 6.45° Utara 115.87° Timur di Laut China Selatan.

    “Sehubungan itu, maklumat gempa bumi tersebut telah direkodkan dan tidak dihebahkan kepada pihak awam semalam, namun MetMalaysia akan terus menjalankan pemantauan kejadian gempa bumi.

    “Kedudukan gempa bumi berkenaan berada di kedudukan yang secara amnya di luar zon aktif gempa iaitu di luar lingkaran api Pasifik,” menurut kenyataan itu.

    Semalam, tular dalam media sosial mendakwa satu kejadian gempa bumi berlaku di Laut China Selatan kira-kira 53 km dari Kota Kinabalu.

    Menurut kenyataan MetMalaysia, berdasarkan peta seismotektonik edisi kelima pada 2009 yang dikeluarkan oleh Jabatan Mineral dan Geosains, gempa bumi itu berada di kawasan inactive thrust fault.

    “Oleh yang demikian, gempa bumi yang berlaku di laut dengan magnitud kurang daripada lima dan kedalaman melebihi 300 km tidak memberi kesan di permukaan,” menurut kenyataan itu.

  • Duda maut jatuh tingkat 9 PPR

    Duda maut jatuh tingkat 9 PPR

    SEORANG duda ditemui maut dipercayai terjatuh dari kediamannya di tingkat sembilan Program Perumahan Rakyat (PPR) Krubong, di Melaka, petang semalam.

    Mangsa berusia 45 tahun itu ditemui dalam keadaan tertiarap di bumbung tingkat dua Blok D PPR berkenaan dalam kejadian pukul 5.50 petang dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan.

    Menurut Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit, Balai Polis Tanjung Minyak menerima panggilan kecemasan daripada orang awam pada pukul 5.55 petang.

    “Siasatan awal mangsa dipercayai terjatuh dari tingkat sembilan berikutan dia tinggal seorang diri di sebuah unit kediaman di tingkat sama.

    “Mangsa cedera pada tangan kanan dan muka. Siasatan di tempat kejadian oleh pasukan forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka tidak menemui sebarang unsur jenayah,” katanya, lapor Berita Harian.

    Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Cheng, Pegawai Bomba Kanan (PBK) II, Jamian Saleh, berkata seramai enam anggota bomba terbabit operasi mengangkat dan menurunkan mayat mangsa sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.

  • Lelaki maut kereta dipandu langgar belakang lori

    Lelaki maut kereta dipandu langgar belakang lori

    SEORANG lelaki maut selepas kereta jenis Proton Waja yang dipandunya melanggar belakang sebuah lori di Kilometer 1.5 Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu, George Town, Pulau Pinang awal pagi tadi.

    Dalam kejadian kira-kira pukul 4 pagi itu, mangsa, S. Vitra Stevan meninggal dunia di lokasi kejadian selepas tersepit di bahagian tempat duduk pemandu.

    Menurut Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Perak, Israhanafi Ismail, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian sebaik sahaja menerima panggilan berkenaan kejadian itu kira-kira pukul 4.19 pagi.

    “Apabila tiba di lokasi kejadian didapati kemalangan berlaku melibatkan sebuah kereta jenis Proton Waja melanggar belakang sebuah lori dan terdapat seorang mangsa pemandu kereta tersepit dibahagian pemandu.

    ”Komander Operasi membuat ‘size up’ di lokasi kejadian dan mengarahkan anggota melakukan kerja-kerja menyelamat bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit dengan menggunakan peralatan khas,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Menurutnya, mangsa berjaya dikeluarkan pukul 4.51 pagi dan disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan Kementerian Kesihatan (KKM).

    ”Mangsa telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya dan operasi tamat sepenuhnya pukul 5.04 pagi,” katanya.

  • Gempa Sumatera: Beberapa negeri mungkin alami gegaran – METMalaysia

    Gempa Sumatera: Beberapa negeri mungkin alami gegaran – METMalaysia

    SATU gempa bumi kuat berlaku di Utara Sumatera, Indonesia pada pukul 10.59 malam, malam ini.

    Perkara itu disahkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) menerusi satu kenyataan ringkas.

    Menurutnya, gempa sekuat 6.2 magnitud itu mungkin dirasai beberapa negeri di Malaysia.

    “Gegaran mungkin dirasai di Perak, Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor,” katanya.

    METMalaysia turut memaklumkan tiada ancaman tsunami kepada Malaysia susulan gempa yang berlaku di 84 kilometer (km) di barat daya daya dari Padang Sidempuan, Indonesia.

    Sementara itu, Bomba KL menerima laporan berlaku gegaran di Rumah Pangsa Pudu Impian 1 yang dirasai penghuni di situ, dipercayai kesan gempa berkenaan.

  • Penuntut kolej maut, pelajar parah kemalangan dua motosikal

    Penuntut kolej maut, pelajar parah kemalangan dua motosikal

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG gadis yang sedang menuntut di sebuah kolej maut manakala seorang pelajar lelaki cedera parah selepas terlibat dalam kemalangan di Kilometer 75, Jalan Johor Bharu-Ayer Hitam, Kluang, hari ini.

    Nijha Ilhany, 21, yang merupakan pelajar kolej kejururawatan dan Muhammad Azrul Hakimi, 16, pelajar Sekolah Menengah (SM) Abdul Rahman Andak, Simpang Renggam meninggal dunia dalam kemalangan pada pukul 3.34 petang itu.

    Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd. Noh berkata, kemalangan tersebut melibatkan motosikal jenis Suzuki ditunggang pentuntut kolej tersebut dan motosikal Modenas Kriss ditunggang pelajar berkenaan.

    “Hasil siasatan awal di tempat kejadian mendapati motosikal Suzuki datang dari arah Johor Bahru menghala ke Pasar Raya Econsave dilanggar oleh Modenas Kriss dari arah Ayer Hitam ke Johor Bharu yang melanggar lampu isyarat merah pada masa kejadian.

    “Akibat kemalangan itu, penuntut kolej itu mengalami kecederaan di bahagian kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian manakala pelajar tersebut cedera parah di kepala,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata, pelajar berkenaan masih menerima rawatan di Zon Merah Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) di Kluang.

    Tambahnya, kedua-dua mangsa beralamat di Simpang Renggam dan kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

  • 2 wanita kakitangan Jabatan Perangkaan Pahang maut

    2 wanita kakitangan Jabatan Perangkaan Pahang maut

    DUA kakitangan Jabatan Perangkaan Pahang maut selepas kereta dinaiki mereka bertembung dengan sebuah lori di Kilometer 55 Jalan Pekan/Nenasi/Rompin di Pekan pukul 8.30 pagi tadi.

    Kedua-dua mangsa yang bertugas sebagai pembantu perangkaan iaitu pemandu kereta, Ruzana Mohamad Agin, 50 dan penumpang, Suhaizan Abdullah, 41, meninggal dunia di tempat kejadian.

    Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Mohd. Zaidi Mat Zin berkata, kemalangan terbabit melibatkan sebuah kereta jenis Perodua Myvi dan lori jenis Man TGA.

    “Siasatan mendapati kemalangan berlaku ketika pemandu dan penumpang kereta terbabit dalam perjalanan dari Pekan menghala ke Rompin.

    “Apabila sampai di tempat kejadian selepas kereta itu melalui selekoh ke kiri dan keadaan jalan licin menyebabkan Myvi telah terbabas masuk ke laluan bertentangan lalu terlanggar lori yang datang dari arah hadapan.

    “Akibat kemalangan itu, pemandu dan penumpang kereta meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya satu dalam kenyataan hari ini.

    Katanya, pemandu lori berusia 44 tahun itu pula selamat dan tidak mengalami kecederaan, lapor Sinar Harian.

    Jelas Mohd. Zaidi lagi, mayat mangsa dihantar ke Hospital Pekan dan bedah siasat akan dijalankan selepas memperoleh keputusan ujian swab Covid-19 dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ)1987.

  • Pemandu maut, lori terjunam dalam tali air

    Pemandu maut, lori terjunam dalam tali air

    SEORANG lelaki maut apabila lori yang dipandunya terjunam ke dalam tali air berhampiran Taman Perindustrian Kuantan Malaysia-China (MCKIP), di Kuantan, hari ini.

    Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 1.02 pagi.

    “Seramai sembilan anggota termasuk pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Gebeng bergegas ke lokasi kejadian.

    “Tiba di lokasi, benar berlaku kemalangan melibatkan sebuah lori dengan muatan tanah, terjatuh ke dalam tali air berdekatan MCKIP,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Katanya, mangsa disahkan meninggal dunia oleh petugas kesihatan yang berada di lokasi, lapor Astro Awani.

    Jelasnya, pasukan bomba menggunakan peralatan menyelamat bagi mengeluarkan mangsa, sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan susulan.