Category: Kemalangan / Bencana

  • Ibu dalam pantang maut tertusuk pisau di leher

    Ibu dalam pantang maut tertusuk pisau di leher

    SEORANG wanita yang baru sebulan bersalin ditemui maut dengan kesan tikaman pada leher di Kampung Beris Panchor, Tawang, dekat Bachok semalam.

    Dalam kejadian pukul 6 petang itu, mangsa yang berusia 35 tahun itu dipercayai baru 36 hari melahirkan anak keempatnya.

    Ibu mangsa, Zuraizah Mat, 58, berkata anak perempuannya yang tinggal di Kedah sebelum ini, ditemui berlumuran darah dalam bilik tidur.

    “Kami turut menemui sebilah pisau pemotong sayur berada di bahagian tengah leher mangsa,” katanya menurut Sinar Harian.

    Beliau berkata, mangsa yang berada di ruang tamu sebelum itu, menyerahkan bayinya untuk bercakap dengan suami yang berada di Kedah menerusi telefon dan sempat berpesan menjaga bayinya sebelum memasuki bilik.

    Zuraizah kemudian meminta anak bongsunya mengintai mangsa yang berada dalam bilik menggunakan tangga kerana bimbangkan keselamatannya.

    “Kami juga cuba pecahkan pintu bilik beberapa kali. Apabila berjaya masuk, kami terkejut dia terbaring berlumuran darah dengan pisau tertusuk pada lehernya.”

    Katanya, ketika itu, mangsa masih bernyawa dan beliau meminta ahli keluarga membawa mangsa ke Klinik Kesihatan Beris Panchor.

    Beliau berkata, mangsa yang sering mengadu sakit di bahagian perut, pergi ke hospital untuk mendapatkan rawatan pagi semalam.

    “Sejak pulang dari sana, dia kelihatan seperti tertekan,” katanya.

    Ketua Polis Bachok, Mohamad Ismail Jamaluddin yang mengesahkan menerima laporan kejadian itu berkata, jenazah mangsa dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II untuk tindakan lanjut dan kes diklasifikasi mati mengejut.

  • Kanak-kanak perempuan melecur main bunga api

    Kanak-kanak perempuan melecur main bunga api

    Oleh BADLISHAH MAT

    SEORANG kanak-kanak perempuan melecur sebahagian badan dipercayai akibat disambar api ketika bermain bunga api dan mercun di Kampung Senara, Kubur Panjang di Pendang, malam kelmarin.

    Kejadian kira-kira pukul 10.30 malam itu mengakibatkan mangsa, Nur Zatil Hidayah Mohd. Tarmizi, 4, melecur kira-kira 46 peratus pada anggota badan.

    Ketua Polis Daerah Pendang, Deputi Superintenden Arriz Sham Hamezah berkata, siasatan awal mendapati kejadian berlaku ketika mangsa bersama dua abangnya berusia tujuh dan 10 tahun bermain bunga api dan mercun di hadapan rumah.

    Katanya, ibu bapa mangsa pula berada di dalam rumah dan dikatakan sedang menonton televisyen.

    “Tiba-tiba pasangan suami isteri itu dikejutkan dengan jeritan mangsa dan berlari keluar sebelum mendapati dua anak lelaki mereka sedang cuba memadam api yang membakar tubuh mangsa,” katanya hari ini.

    Kata beliau, bapa mangsa yang bekerja kampung itu kemudian mengambil sebaldi air lalu menjirus pada badan anaknya itu sebelum bergegas membawa mangsa ke Hospital Pendang.

    “Kita masih menjalankan siasatan berikutan bapa mangsa mendakwa anak perempuannya itu disyaki terbakar selepas disambar api daripada pelita minyak tanah ketika ingin menyalakan bunga api.

    “Kejadian sebenar hanya akan diketahui selepas kita merakam keterangan dua abang mangsa kerana buat masa ini mereka masih dalam keadaan trauma dengan insiden yang berlaku,” ujarnya.

    Tambahnya, pihak hospital setakat ini masih belum memaklumkan laporan keputusan punca kecederaan sebenar mangsa sama ada disebabkan oleh minyak pelita atau mercun.

    “Kita membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 iaitu ibu bapa atau penjaga mendedahkan kanak-kanak kepada bahaya,” katanya.

    Arriz Sham berkata, mangsa kemudian dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar untuk rawatan lanjut.

  • Wanita lemas bot karam, 3 lagi termasuk 2 kanak-kanak masih hilang

    Wanita lemas bot karam, 3 lagi termasuk 2 kanak-kanak masih hilang

    SEORANG wanita ditemui lemas dalam kejadian bot karam di Sungai Penawan, Kampung Sin-Singon, Sepulut, Sabah, semalam yang turut mengakibatkan tiga individu termasuk dua kanak-kanak dikhuatiri lemas

    Mangsa berusia 26 tahun ditemui oleh penduduk kampung, kira-kira 3 petang.

    Menurut Jurucakap Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, pihaknya menerima laporan berkaitan kejadian pada pukul 1.14 tengah hari semalam.

    Katanya, sepasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sook dan Keningau termasuk anjing pengesan (K9) serta dibantu Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Nabawan kemudiannya digerakkan ke lokasi kejadian.

    “Menurut maklumat awal daripada pemanggil, terdapat lima mangsa terbabit iaitu seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun dan lelaki berusia 36 tahun berjaya menyelamatkan diri.

    “Mangsa yang belum ditemui iaitu dua kanak-kanak lelaki dan perempuan berusia tujuh dan sembilan tahun,” katanya menurut laporan Berita Harian.

    Jurucakap itu berkata, pasukan bomba bertindak membuat operasi mencari dan menyelamat (SAR) dengan kaedah pencarian di permukaan di sekitar kawasan bot karam.

    “Pada pukul 3.15 petang semalam, penduduk kampung menemui mangsa wanita disahkan meninggal dunia dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

    “Pencarian dua lagi mangsa yang memasuki hari kedua pada jam 8.42 pagi tadi, dijalankan di sepanjang sungai dengan anggaran pencarian sejauh tiga kilometer,” katanya.

    Sementara itu, kata jurucakap itu, ketika operasi pencarian dua lagi mangsa dijalankan, terdapat seorang lelaki berusia 38 tahun iaitu kumpulan orang kampung yang turut serta dalam operasi SAR terjatuh ke dalam sungai dan hilang.

    “Kejadian berlaku kira-kira jam 4 petang ketika operasi SAR dijalankan membabitkan semua agensi dan orang kampung.

    “Operasi SAR tiga mangsa diteruskan dan maklumat akan dikemas kini dari semasa ke semasa,” katanya sambil menambah operasi turut disertai Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Keningau.

  • Potong besi tingkap keluarkan mayat sudah kembung

    Potong besi tingkap keluarkan mayat sudah kembung

    KHIDMAT Jabatan Bomba dan Penyelamat dikerah bagi membantu mengeluarkan mayat seorang lelaki yang sudah meninggal dunia hingga badannya ‘kembung’ dalam kejadian di sebuah rumah di Seksyen 2, Petaling Jaya, semalam.

    Dalam kejadian itu, bomba terpaksa memotong besi tingkap rumah bagi mengeluarkan mangsa yang dipercayai sudah meninggal dunia sejak dua hari lalu di dalam bilik rumah berkenaan.

    Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, pihaknya menerima panggilan daripada adik mangsa berhubung penemuan mayat abangnya pada pukul 6 petang.

    Katanya, siasatan awal mendapati mangsa tidak bekerja dan mempunyai rekod kesihatan darah tinggi dan kencing manis.

    “Lelaki itu tinggal bersama adiknya di rumah berkenaan, namun dua beradik itu jarang berjumpa berikutan urusan kerja adiknya dan kali terakhir mereka bertemu pada pukul 5 petang, Ahad lalu,” katanya menurut laporan Sinar Harian.

    Mengulas lanjut, Mohamad Fakhrudin, mangsa disahkan meninggal dunia dalam tempoh 48 jam oleh pasukan perubatan dari Hospital Sungai Buloh.

    Katanya, mayat mangsa dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk dibedah siasat bagi mengetahui punca sebenar kematian.

    Beliau menambah, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian itu boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Asisten Superintendan Azizul Zahari di talian 0127220094.

  • Tragedi Double Six: Tiada bukti sabotaj, pesawat diselenggara ikut jadual

    Tragedi Double Six: Tiada bukti sabotaj, pesawat diselenggara ikut jadual

    SIASATAN terhadap punca pesawat Sabah Air yang terhempas pada 1976, meragut nyawa Ketua Menteri Sabah ketika itu, Tun Fuad Stephens dan 10 penumpang lain mendapati tiada sebarang bukti sabotaj, kebakaran atau letupan ditemui oleh pasukan penyiasat.

    Memetik laporan Berita Harian, laporan penyiasat tragedi itu yang dinyahklasifikasi hari ini, juga mendedahkan pesawat malang terbabit diselenggara mengikut jadual, selain melakukan penerbangan dengan had berat yang dibenarkan.

    Bagaimanapun, laporan itu mendedahkan, kedudukan pusat graviti pesawat terbabit di luar had buritan kapal.

    “Prosedur operasi yang dijalankan oleh juruterbang syarikat itu tidak mengikut standard profesional,” kata laporan itu lagi.

    Selain itu, ujian patologi terhadap juruterbang pesawat Sabah Air yang terhempas di perairan Sembulan pada 6 Jun 1976 membuktikan beliau cukup layak untuk terbang pada ketika itu.

    Laporan akhir nahas udara itu yang dinyahklasifikasikan hari ini mendedahkan juruterbang berkenaan tidak mengalami kesan daripada alkohol atau dadah.

    Bagaimanapun, terdapat bukti lain yang menunjukkan juruterbang itu penat dan mengalami sakit perut ringan.

    Terdahulu, Kementerian Pengangkutan menyiarkan laporan penuh nahas pesawat terhempas pada 1976 menerusi sesawangnya.

    Menterinya, Anthony Loke, berkata proses nyahklasifikasi laporan terbabit selesai pada 6 April mengikut Seksyen 2C Akta Rahsia Rasmi 1972 sebelum ia dimuat naik untuk dilihat oleh orang awam menerusi sesawang, www.mot.gov.my.

    Pada 5 April lalu, media melaporkan kerajaan bersetuju menyahklasifikasikan laporan kemalangan pesawat itu yang dikenali sebagai “Tragedi Double Six”.

    Dalam tragedi pada 6 Jun 1976 itu, Fuad yang baru 53 hari mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri, meninggal dunia bersama 10 yang lain, termasuk menteri kabinetnya, apabila pesawat GAF Nomad dinaiki mereka terhempas di Sembulan, Kota Kinabalu.

    Mereka yang maut termasuk Menteri Kabinet Sabah, Salleh Sulong, Chong Thien Vun dan Peter Mojuntin.

    Susulan kejadian itu, pengeluar GAF Nomad Australia dan Jabatan Pengangkutan Australia melancarkan siasatan untuk membuktikan bahawa nahas bukan disebabkan oleh masalah mekanikal.

    Siasatan selesai kira-kira empat bulan kemudian, tetapi laporan penuh tidak didedahkan kepada umum kerana diklasifikasikan mengikut Akta Rahsia Rasmi.

  • Empat motosikal bertembung treler: Tiga remaja maut, seorang parah

    Empat motosikal bertembung treler: Tiga remaja maut, seorang parah

    Oleh RIZQI ZABIDI

    TIGA remaja lelaki maut manakala seorang lagi cedera parah dalam kemalangan melibatkan empat motosikal dan sebuah treler berhampiran sebuah stesen minyak dekat Tanjung Musang di Alor Setar, malam tadi.

    Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, kejadian kira-kira pukul 10.50 malam itu mengakibatkan tiga penunggang motosikal berusia 19, 21 dan 23 tahun maut di lokasi kejadian.

    Seorang lagi penunggang motosikal berusia 13 tahun mengalami kecederaan parah di muka dan tangan manakala pemandu treler berumur 56 tahun tidak cedera.

    “Siasatan awal mendapati kesemua kenderaan terlibat datang dari arah Alor Setar menuju ke Jabi. Kemalangan dipercayai berlaku apabil treler tersebut yang selesai mengisi minyak di stesen minyak berkenaan, masuk ke laluan utama.

    “Kira-kira 40 meter selepas keluar dari stesen minyak itu dan bergerak lurus di lorong kiri, empat motor tersebut tiba-tiba melanggar tepat di bahagian belakang treler,” katanya.

    Tambahnya, empat motosikal yang terlibat adalah SYM VF31, Yamaha 15ZR dan dua Honda RS-X.

    Seorang daripada mangsa yang maut bekerja sendiri manakala dua yang lain merupakan kontraktor pembersihan dan jurujual.

    Keempat-empat mereka berasal dari Kampung Telok Jamat di Mukim Tualang, Pokok Sena; Alor Pongsu di Bagan Serai, Perak; Kampung Mukim Telaga Mas di Pokok Sena serta Mukim Tualang, Pokok Sena.

    “Kesemua yang maut mengalami kecederaan parah di kepala dan badan. Mayat ketiga-tiga mereka lalu dibawa ke Unit Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk dibedah siasat.

    “Seorang lagi penunggang motosikal yang cedera parah itu pula dihantar ke hospital sama untuk rawatan lanjut,” katanya.

  • Seorang lagi rentung dalam kebakaran rumah di Pulau Pinang

    Seorang lagi rentung dalam kebakaran rumah di Pulau Pinang

    SEORANG lagi individu ditemukan rentung dalam kejadian kebakaran rumah di Pulau Pinang dengan kejadian terbaharu berlaku di Jalan Seri Bahari, George Town awal pagi ini membabitkan sebuah rumah kedai dua tingkat.

    Dalam kejadian kira-kira pukul 4.12 pagi itu, mangsa yang masih belum dikenal pasti identitinya itu ditemukan rentung di kawasan bilik air di tingkat bawah rumah kedai terbabit.

    Ini merupakan kejadian ketiga berturut-turut melibatkan mangsa yang ditemukan rentung dalam kebakaran rumah di negeri ini selepas seorang kanak-kanak perempuan, G. Sri Laavanya maut dalam kebakaran rumahnya di Kampung Pisang, Air Itam, awal pagi Isnin lalu.

    Dalam kejadian petang semalam pula, seorang wanita orang kurang upaya (OKU), Nuraida Hashim, 43, turut maut dalam kebakaran rumahnya di Kampung Alma, Bukit Mertajam.

    Sementara itu, dalam kejadian awal pagi ini, Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Lebuh Pantai, Mohd. Shafie Mohamad Safar berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian kebakaran kira-kira pukul 4.12 pagi ini sebelum bergegas ke lokasi kejadian.

    Sebaik sahaja tiba, katanya, didapati berlaku kebakaran dengan anggaran kemusnahan 90 peratus di rumah kedai berkenaan.

    ”Kebakaran dapat dikawal pukul 4.43 pagi dan terdapat seorang mangsa terperangkap di dalam bangunan.

    ”Kerja-kerja mengawal dan memadam api sepenuhnya masih dijalankan dan operasi turut dibantu oleh pasukan bomba sukarela berhampiran,” katanya dalam kenyataan hari ini.

  • Wanita OKU maut rumah terbakar

    Wanita OKU maut rumah terbakar

    SEORANG wanita golongan orang kurang upaya (OKU) maut dalam kebakaran sebuah rumah di Kampung Alma, Bukit Mertajam, Pulau Pinang, kira-kira pukul 5 petang tadi.

    Ketika kejadian, mangsa, Nuraida Hashim, 43, yang mengalami masalah ketidakupayaan mental dikatakan berada di atas katil di dalam sebuah bilik rumah berkenaan.

    Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang berkata, mangsa berjaya dibawa keluar ke tempat selamat ketika kejadian, namun pemeriksaan lanjut oleh pihak hospital kemudian mengesahkan wanita tersebut telah meninggal dunia.

    Katanya, mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

    Terdahulu, ujar beliau, pihaknya menerima panggilan berhubung kebakaran itu yang melibatkan sebuah rumah dengan anggaran peratusan kemusnahan kira-kira 40 peratus.

    “Seramai 15 anggota termasuk penyelia dengan diketuai oleh pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Mertajam terlibat dalam misi memadam kebakaran itu.

    “Turut memberi bantuan ialah jentera dari BBP Bandar Perda serta beberapa pasukan bomba sukarela (PBS) iaitu dari Kota Permai, Cross Street dan Juru,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Jelasnya, kebakaran dapat dikawal kira-kira pukul 5.31 petang dan api berjaya dipadamkan sepenuhnya pukul 6.26 petang.

    “Kerja-kerja ‘overhaul’ kemudian dijalankan di kawasan yang terbakar dan operasi tamat sepenuhnya pukul 7.48 malam,” ujarnya.

  • Van sekolah terbalik dirempuh treler, 3 pelajar cedera parah

    Van sekolah terbalik dirempuh treler, 3 pelajar cedera parah

    TIGA pelajar cedera parah selepas van sekolah dinaiki bersama 12 penumpang lain terbalik dan terseret sejauh 19 meter dalam kemalangan di simpang tiga hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang, di Gua Musang pukul 2 petang semalam.

    Insiden itu dipercayai berpunca daripada tindakan pemandu sebuah kereta jenis Kia Spectra yang bertindak secara cuai keluar dari simpang untuk membelok ke kanan sebelum dirempuh oleh sebuah treler muatan balak yang datang dari arah kanan.

    Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, pelanggaran tersebut menyebabkan treler tidak dapat dikawal dan masuk ke laluan bertentangan lalu merempuh tiga buah kenderaan iaitu sebuah kereta Perodua Myvi, sebuah van jenis Nissan Urban dan kereta Honda Civic.

    “Kesan rempuhan tersebut, van berkenaan diseret sejauh 19 meter sebelum terbalik bersama-sama seorang pemandu dan 15 penumpang pelajar sekolah berumur 7 hingga 17 tahun.

    “Tiga daripada mereka mengalami kecederaan parah, seorang kanak-kanak perempuan, 7, mengalami patah tulang selangka sebelah kanan, kanak-kanak perempuan, 8, alami kecederaan darah beku di dahi dan kanak-kanak perempuan, 10, terkehel tulang paha kanan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Katanya, 12 lagi pelajar hanya cedera ringan, semua mangsa dibawa ke Hospital Gua Musang untuk menerima rawatan lanjut.

    Menurutnya, kes disiasat bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara tidak cermat sehingga menyebabkan kemalangan jalan raya.

    “Bagaimanapun siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya, lapor Sinar Harian.

  • Lelaki putus pergelangan tangan ubah suai mercun masuk ICU

    Lelaki putus pergelangan tangan ubah suai mercun masuk ICU

    SEORANG lelaki yang cedera parah di tangan akibat letupan mercun yang diubah suai dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) Hospital Sultanah Nur Zahirah di Kuala Terengganu.

    Ketua Polis Terengganu Rohaimi Md. Isa berkata, siasatan awal mendapati kejadian itu berlaku di Kuala Nerus pukul 3.30 pagi semalam, ketika mangsa berusia 27 tahun itu membuat sendiri mercun menggunakan mercun bola dan paip polivinil klorida (PVC).

    “Ia menyebabkan berlaku letupan besar, dan kesan letupan itu, mangsa mengalami kecederaan parah putus pergelangan tangan kanan, beberapa jari kiri hancur serta kecederaan lain di bahagian badan,” katanya, menurut Harian Metro.

    Beliau berkata, kes itu disiasat bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957, susulan laporan polis dibuat abang mangsa.

    “Usaha mengesan dan menangkap pengedar dan penjual mercun itu sedang dilakukan,” katanya.

    Dilaporkan semalam bahawa kejadian disedari abang mangsa selepas terdengar bunyi letupan kuat berdekatan rumahnya.

    Abang mangsa pada mulanya menyangka berlaku pergaduhan dan menghubungi polis untuk mendapatkan bantuan, namun kemudian mendapati adiknya mengalami kecederaan di kedua-dua tangan disyaki akibat letupan mercun.

    Rohaimi berkata, terdapat 17 kes berkaitan mercun di Terengganu membabitkan 18 tangkapan dan nilai rampasan berjumlah RM18,835 sejak 23 Mac hingga kelmarin.

    Beliau memberi amaran keras bahawa mana-mana individu didapati mengedar atau menjual bunga api mercun tanpa permit akan dikenakan tindakan bawah seksyen dan akta sama.

    Menurutnya, ini kes kedua selepas kejadian membabitkan empat kanak-kanak berusia lapan hingga 13 tahun di Kuala Nerus pada Selasa lalu.