Category: Kemalangan / Bencana

  • Dua wanita separa sedar diselamatkan bomba dalam kebakaran

    Dua wanita separa sedar diselamatkan bomba dalam kebakaran

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    DUA wanita yang terperangkap dalam kebakaran di tiga buah rumah di Jalan Tembikai, Jalan Kota Masai, Pasir Gudang, pada pagi tadi diselamatkan bomba dalam keadaan separuh sedar.

    Anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Gudang menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 3.37 pagi.

    Komander Operasi dari BBP Pasir Gudang, Penolong Penguasa Bomba Sarhan Akmal Mohamad berkata, berikut itu seramai 21 anggota dibantu sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT), satu utiliti dan satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke tempat kejadian.

    “Kebakaran melibatkan tiga buah rumah teres jenis kekal. Dalam kejadian tersebut terdapat dua mangsa telah dikeluarkan dan diberikan rawatan awal oleh anggota bomba.

    “Kedua-dua mangsa, Azian Zainalabidin, 20, dan Murni Atikah Zainalabin, 25, didapati separa sedar sebelum dihantar ke Hospital Sultan Ismail (HSI) di Johor Bahru dengan menaiki jentera EMRS dan ambulans Kementerian Kesihatan (KKM) untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata, selain itu tiga buah kereta jenis Toyota Yaris, Toyota Avanza dan Proton Saga terbakar 80 peratus serta tiga buah motosikal terbakar 95 peratus.

    Kebakaran tersebut katanya, mengkibatkan kemusnahan rumah pertama sebanyak 20 peratus, rumah kedua 90 peratus dan rumah ketiga, 40 peratus.

    Menurut Sarhan Akmal, operasi berkenaan tamat pada pukul 6.22 pagi.

    “Punca kebakaran dan anggaran kerugian masih
    dalam siasatan,” katanya lagi.

  • Guru besar maut angkara pemandu positif dadah

    Guru besar maut angkara pemandu positif dadah

    GURU Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Tok Bali maut selepas motosikal yang ditungganginya dipercayai dirempuh oleh sebuah kereta dalam kejadian di kilometer 12 Jalan Pasir Puteh – Machang-Grik di Pasir Puteh, pukul 4.30 petang semalam.

    Mangsa, Wan Ab. Hisham Wan Noh, 55, meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan di kepala.

    Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Superintendan Zaizul Rizal Zakaria berkata, siasatan awal mendapati semasa kejadian seorang pemandu wanita berusia 20 tahun dalam perjalanan dari arah Machang menghala ke Pasir Puteh.

    “Setiba di lokasi kejadian, sebuah kereta yang dipandu oleh seorang lelaki berusia 39 tahun yang berada di belakangnya telah hilang kawalan lalu melanggar kereta wanita terbabit di bahagian sisi kiri.

    “Akibat pelanggaran itu, menyebabkan kereta dipandu wanita berkenaan hilang kawalan dan telah memasuki laluan bertentangan serta merempuh motosikal yang ditunggang oleh mangsa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Katanya, dipercayai wanita terbabit tidak sempat mengelak sehingga menyebabkan mereka bertembung.

    “Tangkapan telah dibuat terhadap lelaki berkenaan yang merupakan pemandu lori bagi melakukan siasatan lanjut,” ujar beliau.

    Zaizul Rizal memberitahu, hasil pemeriksaan air kencing terhadapnya mendapati dia positif methampetamine, lapor Sinar Harian.

  • Trak Mack keluarga Diraja Johor kemalangan di PLUS

    Trak Mack keluarga Diraja Johor kemalangan di PLUS

    TRAK Mack milik keluarga Diraja Johor terlibat kemalangan dengan dua lagi kenderaan selepas tayarnya meletup di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) semalam.

    Menurut Ketua Polis Kulai, Tok Beng Yeow, pihaknya menerima laporan kemalangan jalan raya di KM18.8 di PLUS pada 6.50 petang semalam, lapor Oriental Daily.

    “Siasatan awal di tempat kejadian mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila tayar trak yang dalam perjalanan dari arah utara menghala ke selatan pecah secara tiba-tiba,” katanya.

    Difahamkan, trak itu hilang kawalan sebelum terbabas masuk ke laluan bertentangan dan berlanggar dengan dua lagi kenderaan.

    Bagaimanapun katanya, tiada kecederaan dialami pemandu lori berusia 39 tahun dan semua mangsa yang terlibat.

    Katanya, kes diklasifikasikan bawah Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 (Rule 10 LN 166/59).

    Terdahulu, tular sekeping gambar dan video berdurasi 23 saat di Twitter memaparkan sebuah lori dipercayai milik keluarga diraja terbabas dan memasuki laluan bertentangan di Lebuhraya PLUS, semalam.

    Pada 2016, Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar memandu trak Mack itu ketika Kembara Mahkota Johor.

    Sebelum itu media Australia melaporkan, trak berkenaan yang ditempah khas di Queensland pada 2015, adalah yang paling mahal di dunia.

  • Segamat catat keadaan udara tidak sihat dua hari berturut-turut

    Segamat catat keadaan udara tidak sihat dua hari berturut-turut

    DAERAH Segamat di Johor terus mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat hari ini iaitu 151 setakat 11 pagi, hari ini.

    Mengikut laman web Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), kadar bacaan IPU tidak sihat di daerah itu berlaku sejak semalam iaitu 121.

    Memetik laporan Harian Metro, sebanyak 66 kawasan pula mencatatkan bacaan sederhana.

    Tanah Merah, Kelantan mencatat bacaan paling tinggi iaitu 100 berbanding 107 semalam.

    Sementara itu, dua stesen iaitu Kuala Terengganu, Terengganu mencatatkan bacaan 97 diikuti Kota Bharu, Kelantan (96).

    Untuk rekod, bacaan IPU antara 0 hingga 50 adalah dikategorikan paras baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat), manakala 300 ke atas berbahaya.

  • Hajat beli persiapan raya tak kesampaian, bapa, anak saudara maut kemalangan

    Hajat beli persiapan raya tak kesampaian, bapa, anak saudara maut kemalangan

    HASRAT seorang pekerja kilang membawa bapa saudaranya membeli persiapan raya tidak kesampaian apabila kedua-duanya maut setelah kenderaan dinaiki terbabas dan melanggar sebatang pokok di Jalan Lendu Masjid Tanah, Alor Gajah malam tadi.

    Kejadian pukul 12 tengah malam itu mengakibatkan, mangsa, Muhammad Hasraf Amin Hasrin, 23, dan bapa saudaranya, Mohd Firdaus Yusof, 38, meninggal dunia di lokasi kejadian.

    Seorang lagi penumpang bahagian belakang, Azizul Hamis@Jainy pula cedera parah dalam kejadian itu.

    Menurut Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu, ketiga-tiga mangsa menaiki Perodua Myvi dari arah Taman Dimensi Lendu menuju ke arah Masjid Tanah.

    Namun katanya, sejurus tiba di lokasi kejadian kereta dipandu Muhammad Hasraf hilang kawalan sebelum terbabas dan melanggar sebatang pokok di bahu kiri jalan.

    “Siasatan awal mendapati mereka dalam perjalanan menuju ke bazar Aidilfitiri di Masjid Tanah.

    “Impak kemalangan itu pemandu dan bapa saudaranya yang duduk di kerusi penumpang hadapan kereta meninggal dunia di tempat kejadian kerana mengalami kecederaan parah di kepala, manakala Azizul yang mengalami cedera parah dikejarkan ke Hospital Alor Gajah dan dirawat di zon merah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Mengulas lanjut Arshad berkata, mayat kedua-dua saudara itu dibawa ke unit forensik hospital sama untuk proses bedah siasat.

    Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987

  • Pemandu lori buah maut elak tayar atas lebuh raya

    Pemandu lori buah maut elak tayar atas lebuh raya

    SEORANG pemandu lori buah maut selepas kenderaan dipandu terbabas dan terbalik melanggar besi pembahagi jalan setelah dia cuba mengelak tayar yang berada atas lebuh raya, awal pagi ini.

    Dalam kejadian di kilometer 68.3 Lebuhraya PLUS, pukul 2.30 pagi itu, mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian.

    Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, mangsa Muhammad Saifuddin Md Lazan, 35, maut akibat kecederaan parah di kepala dan badan, selepas tercampak keluar dari kenderaannya dan jatuh ke bawah jambatan.

    Menurutnya, kemalangan turut membabitkan seorang pemandu treler membawa muatan simen berusia 68 tahun dan pemandu Honda Civic berusia 26 tahun. Bagaimanapun keduanya tidak cedera.

    “Akibat daripada kemalangan itu, pemandu lori buah terjatuh ke dalam longkang pembahagi jalan dan cedera parah di kepala serta di badan.

    “Seorang pemandu treler yang membawa muatan simen dan pemandu Honda Civic yang berada di belakang lori mangsa tidak sempat mengelak lalu melanggar lori muatan buah-buahan itu yang terbalik atas jalan.

    “Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu lori simen dan Honda Civic tidak mengalami kecederaan,” katanya menurut laporan Harian Metro.

    Mengulas lanjut Bahrin berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

    “Ketiga-tiga kenderaan dari arah Kuala Lumpur menghala ke Johor Bahru dan siasatan lanjut masih diteruskan,” katanya.

    Dalam pada itu, Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan II Shoromi Salih dari Balai Bomba dan Penyelamat Renggam berkata, seramai sembilan anggota dan sebuah jentera dikejarkan ke lokasi kejadian.

    “Terdapat seorang mangsa iaitu pemandu lori lima tan jenis Isuzu tercampak keluar ke bawah jambatan. Mangsa lain dalam keadaan selamat dan pasukan keluaran operasi (PKO) bertindak membawa mangsa naik menggunakan pengusung,” katanya.

  • Lelaki maut direnjat elektrik di Sarawak

    Lelaki maut direnjat elektrik di Sarawak

    SEORANG lelaki maut dipercayai terkena renjatan elektrik di kawasan setinggan dekat Rancangan Perumahan Rakyat (RPR) Sebiew, Bintulu semalam.

    Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Zon 5 Bintulu, Wan Kamarudin Wan Ahmad, berkata sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Bintulu bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan pada 2.18 petang.

    “Sampai di lokasi kejadian, pasukan bomba mendapati sememangnya terdapat seorang lelaki yang berada dalam keadaan tidak sedarkan diri akibat terkena renjatan elektrik,” katanya menurut Harian Metro.

    Beliau berkata, pemeriksaan pasukan perubatan mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia dan mayat dihantar ke Unit Forensik Hospital Bintulu untuk bedah siasat.

  • Klinik Kesihatan Pengkalan Chepa terbakar 80 peratus, empat bilik musnah

    Klinik Kesihatan Pengkalan Chepa terbakar 80 peratus, empat bilik musnah

    KLINIK Kesihatan Pengkalan Chepa di Kota Bharu terbakar 80 peratus akibat kebakaran empat buah bilik dalam kejadian pada pukul 12.26 tengah malam, semalam.

    Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pengkalan Chepa, PKPgB Alam Nasut Ilias berkata, Pasukan Keluaran Operasi (PKO) tiba di lokasi pada 12.33 tengah malam dan mendapati empat buah bilik iaitu bilik pemandu ambulans serta tiga bilik pemeriksaan doktor (pesakit luar) di klinik kesihatan berkenaan hangus dijilat api.

    “Seramai 17 anggota termasuk bantuan daripada BBP Kota Bharu terlibat dalam operasi pemadaman kebakaran dan api berjaya dikawal sepenuhnya pada 2.18 pagi tadi,” katanya ketika dihubungi hari ini.

    Beliau berkata tiada mangsa terlibat dan punca kebakaran masih dalam siasatan.

  • Kematian tentera di Hutan Belum tiada unsur jenayah, kata polis

    Kematian tentera di Hutan Belum tiada unsur jenayah, kata polis

    KEMATIAN anggotar tentera berpangkat koperal di Hutan Simpan Belum, dekat Gerik, tidak membabitkan sebarang unsur jenayah atau binatang buas, kata Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri.

    Katanya, mayat Mohammad Nasri Mohd. Nasib berusia 33 tahun dari Batalion ke-25 Rejimen Askar Melayu Diraja berpangkalan di Kem Sri Bentong, Pahang ditemui dalam keadaan sempurna pada 10.15 pagi semalam.

    “Saya dimaklumkan mayat (ditemui) dalam kawasan hutan berhampiran dengan sungai.

    “Keadaan mayat masih sempurna dan kita percaya tiada unsur jenayah ataupun binatang buas. Jadi kita tunggu hasil bedah siasat,” katanya menurut Berita Harian.

    Beliau berkata, mayat mangsa dipindahkan dari Hospital Gerik ke Hospital Raja Permaisuri Bainun di Ipoh untuk dibedah siasat.

    Buat masa ini, katanya, kes diklasifikasikan mati mengejut.

    Media sebelum ini melaporkan kehilangan mangsa ketika menjalankan operasi bersama lima anggota lain kira-kira 5 petang Jumaat lalu.

    Kehilangan mangsa dilaporkan kepada polis hanya pada 12.50 tengah malam Ahad lalu, dengan usaha mencari dan menyelamat dijalankan bersama pasukan tentera pada hari sama mangsa dilaporkan hilang.

  • 2 maut lori rempuh treler

    2 maut lori rempuh treler

    DUA lelaki maut selepas lori dinaiki mereka merempuh belakang sebuah treler di KM402.7 Lebuhraya Utara-Selatan menghala ke Kuala Lumpur, pagi tadi.

    Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor, Morni Mamat, berkata 10 anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Sentosa bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada 4.13 pagi.

    “Menurut laporan awal, kemalangan membabitkan sebuah treler Scania yang dilanggar dari belakang oleh sebuah lori Isuzu yang membawa muatan ais batu.

    “Dua lelaki berusia 30-an yang menaiki lori itu masing-masing tersepit di bahagian pemandu dan kelindan. Mereka dipercayai meninggal dunia,” katanya menurut Harian Metro.

    Bagaimanapun, katanya, identiti dua mangsa itu belum dikenal pasti.