Category: Kemalangan / Bencana

  • Kereta bertembung bas ekspres, suami isteri maut

    Kereta bertembung bas ekspres, suami isteri maut

    SEPASANG suami isteri maut manakala anak perempuan mereka cedera selepas kereta dinaiki keluarga berkenaan bertembung dengan sebuah bas ekspres di KM21, Jalan Kuala Terengganu-Kota Bharu, di Sungai Ikan, dekat Kuala Terengganu tengah hari tadi.

    Timbalan Ketua Polis Kuala Terengganu Wan Mohd Zaki Wan Ismail berkata, dalam kejadian pada 12.45 tengah hari itu, pemandu Perodua Myvi, Che Ku Yusoff Ali Che Ku Embong, 52, dan isterinya, Siti Faridaf Ahmad, 46, yang berada di tempat duduk belakang, meninggal dunia di lokasi kejadian.

    Sementara itu, anak pasangan itu, Che Ku Batrisya, 18, yang berada di tempat duduk penumpang hadapan, pemandu bas ekspres berusia 51 tahun serta lapan penumpang bas mengalami kecederaan.

    “Siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berlaku ketika bas ekspres yang membawa seorang kelindan dan 27 penumpang dalam perjalanan dari arah Kota Bharu, Kelantan menghala ke Kuantan, Pahang.

    “Sebaik tiba ditempat kejadian, kereta dipandu Che Ku Yusoff Ali dari arah Kuala Terengganu menghala ke Felda Belara di Kuala Terengganu, memasuki laluan bas ekspres dan jarak yang dekat menyebabkan pemandu bas tidak sempat mengelak, menyebabkan kedua-dua kenderaan itu bertembung,” katanya ketika dihubungi.

    Katanya, mayat suami isteri itu dibawa ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

    Wan Mohd Zaki berkata, anak pasangan itu dan pemandu bas ekspres kini berada di HSNZ untuk menerima rawatan manakala penumpang bas yang cedera dibawa Hospital Setiu untuk pemeriksaan lanjut.

  • Rumah hangus terbakar, 20 sekeluarga beraya di rumah jiran

    Rumah hangus terbakar, 20 sekeluarga beraya di rumah jiran

    LEBIH 20 ahli keluarga yang pulang ke kampung untuk menyambut hari lebaran tidak menyangka rumah yang dihuni kedua ibu bapa mereka hangus dalam kebakaran petang semalam.

    Mangsa, Muhaizar Mohamad, 43, berkata, rumah yang dihuni mentuanya, Md. Jamhuri Sanusi, 70, dan Zabedah Mohd, 68, di Kampung Padang Setar, Kuala Nerang hangus dalam kejadian itu.

    “Ketika kejadian kira-kira pukul 4.10 petang saya ketika itu sedang tidur di beranda, anak-anak sedang bermain manakala isteri, Suria Arfah Md. Jamhuri 39, sedang memasak di dapur bersama ibunya.

    “Ketika bapa mentua berjalan untuk ke dapur, bapa terhidu bau hangit dari dalam salah sebuah bilik lalu memaklumkan kepada saya.

    “Sebaik membuka pintu bilik berkenaan saya melihat terdapat percikan api dan mengambil keputusan untuk memadamkan kebakaran terbabit namun gagal,” katanya.

    Menurutnya, dia bersama isteri dan anak-anak pulang ke rumah mentua kelmarin untuk menyambut Aidilfitri dan tidak menyangka akan berdepan detik cemas namun bersyukur kerana semua ahli keluarga terselamat dalam kejadian itu.

    Katanya, adik iparnya, Rizal Md. Jamhuri, 37, pula baru sampai kira-kira pukul 12 tengah hari semalam sebelum keluar ke bandar Kuala Berang, untuk membeli sedikit keperluan harian pada pukul 4 petang.

    Muhaizar berkata, adik iparnya tidak sempat menyelamatkan semua barangan yang sudah dibawa naik ke dalam rumah berikutan ketika itu adik ipar keluar bersama ahli keluarganya.

    “Bapa dan ibu mentua masih trauma dengan kejadian ini dan sambutan Aidilfitri kali ini dijangka enam daripada tujuh adik beradik isteri akan pulang berhari raya di sini.

    “Namun, akibat kejadian ini kami sekeluarga kini menumpang rumah jiran yang terletak bersebelahan rumah mentua dan kebetulan rumah jiran berkenaan adalah rumah kosong,” katanya.

    Dia bersama isteri dan ahli keluarga lain mengambil keputusan tetap menyambut Aidilfitri dan tidak pulang ke ibu kota sehingga habis cuti namun dalam suasana berbeza kerana beraya sekadar termampu kerana banyak barangan seperti baju dan kelengkapan lain hangus terbakar.

    Anak sulung keluarga berkenaan, Samsul Md. Jamhuri, 42, berkata, dia tinggal bersama kedua ibu bapanya namun kelmarin, dia ke Chenih, Kemaman, untuk menjemput isterinya pulang beraya di Kuala Berang.

    “Saya menerima panggilan memaklumkan rumah keluarga terbakar dan sebaik tiba saya melihat keseluruhan struktur rumah yang diperbuat daripada kayu hangus.

    “Buat masa ini kami menumpang rumah jiran yang kebetulan kosong dan bolehlah kami berhari raya ala kadar di rumah ini buat sementara waktu,” katanya.

    Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Berang, Zuraidi Mohd. Yusof, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 4.34 petang berhubung kebakaran rumah separuh kekal.

    “Kebakaran membabitkan 75 peratus rumah berkenaan dan api marak dengan pantas berikutan cuaca panas manakala operasi tamat sepenuhnya pada pukul 6 petang,” katanya, lapor Harian Metro.

  • Sederetan rumah kedai lima pintu terbakar

    Sederetan rumah kedai lima pintu terbakar

    SEDERET rumah kedai lima pintu separa kekal di Chabang Tiga, Gaal, di Pasir Puteh, terbakar dalam kejadian pada pukul 11.30 pagi semalam.

    Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Daerah Pasir Puteh, Penolong Penguasa Azhar Elmi Mustofar, berkata kejadian itu melibatkan tiga bangunan iaitu satu rumah kedai tiga pintu, kilang roti dan kedai menjual santan kelapa.

    “Kebakaran ini berjaya dikawal pada pukul 12.21 tengah hari dan padam sepenuhnya pukul 2.15 petang.

    “Kedai runcit terbakar 100 peratus di mana 90 peratus daripada struktur kedai diperbuat daripada kayu, manakala kilang roti hangus 30 peratus serta kedai santan pula terbakar 10 peratus, bahagian selebihnya berjaya diselamatkan oleh kami,” katanya ketika dihubungi di Pasir Puteh.

    Menurutnya api cepat merebak berikutan keadaan cuaca panas terik dan punca serta kerugian sebenar kejadian masih dalam siasatan.

    Azhar Elmi berkata operasi tersebut melibatkan tiga Fire Rescue Tender (FRT), satu pam water tanker, satu RRV dengan enam pegawai dan 15 anggota.

    Menurutnya sepasukan Bomba dan Penyelamat Jerteh, Terengganu juga turut sama membantu mengawal kebakaran rumah kedai berkenaan daripada merebak.

    Sementara itu, seorang mangsa, Wan Mohd Shahrul Wan Ahmad, 40 iaitu pengusaha kedai runcit berkata dia mengalami kerugian sekelip mata sebanyak RM150,000 dalam kebakaran itu.

    “Kira-kira RM100,000 berupa barangan runcit dan selebihnya wang tunai yang dijadikan sebagai modal pusingan turut terbakar.

    “Barangan runcit ini adalah stok jualan sepanjang perayaan Hari Raya Aidilfitri yang mendapat permintaan tinggi,” katanya.

    Bagaimanapun, beliau apabila anak lelakinya Wan Rizhan Shah, 5 yang tertidur semasa kejadian turut terselamat.

  • Gempa bumi lemah di Beluran, tiada ancaman tsunami-MET Malaysia

    Gempa bumi lemah di Beluran, tiada ancaman tsunami-MET Malaysia

    GEMPA bumi lemah di laut berukuran 3.5 pada skala Richter dikesan berlaku di Beluran, Sabah pada 9.07 pagi ini.

    Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) dalam kenyataannya memaklumkan, kejadian itu berlaku pada kedalaman 10 kilometer (km) di koordinat 6.6 darjah utara dan 117.4 darjah timur.

    “Gempa tersebut berjarak 37 km tenggara dari Pitas, Sabah dan 365 km utara dari Tarakan, Indonesia,” menurut kenyataan berkenaan.

    Bagaimanapun, ia tidak membawa ancaman tsunami kepada Malaysia.

  • Dua beranak maut,enam cedera dalam kemalangan babit tiga kenderaan

    Dua beranak maut,enam cedera dalam kemalangan babit tiga kenderaan

    HASRAT dua beranak untuk pulang ke kampung bagi meraikan Aidilfitri tidak kesampaian apabila mereka maut dalam kemalangan melibatkan tiga kereta di KM28 Jalan Terengganu-Kuantan di Kampung Pulau Kerengga, dekat Marang pagi tadi.

    Ketua Polis Daerah Marang DSP Mohd Zain Mat Dris berkata kemalangan pada 6.30 pagi itu menyebabkan mangsa, Subhi Sayuti Abd Ghani, 43, maut di lokasi kejadian akibat cedera di kepala manakala anaknya, Syuhada Hafiya, 7, meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu.

    Beliau berkata ketika kejadian kedua-dua mangsa yang menaiki kereta Perodua Alza dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke kampung mereka di Taman Hidayah dekat sini.

    “Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila Perodua Alza dipandu mangsa (Subhi Sayuti) dari arah Kuala Lumpur memasuki laluan bertentangan dan merempuh bahagian hadapan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) SsangYong Rexton dinaiki enam sekeluarga berusia lima hingga 37 tahun.

    “Akibat rempuhan itu, kereta Perodua Alza berpusing dan impak pelanggaran menyebabkan pemandunya maut manakala pemandu serta semua penumpang SUV SsangYong Rexton mengalami kecederaan dan dihantar ke HSNZ untuk rawatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Mohd Zain berkata terdapat sebuah kereta Perodua Kenari yang berada di belakang kereta Perodua Alza, namun pemandunya seorang lelaki berusia 28 tahun sempat mengelak dan kenderaan itu hanya mengalami kerosakan kecil. – BERNAMA

  • Pelajar tahfiz maut, 11 cedera pulang beli baju raya

    Pelajar tahfiz maut, 11 cedera pulang beli baju raya

    SEORANG pelajar tahfiz maut, manakala 11 lagi cedera apabila van dinaiki mereka terbabas memasuki parit dalam kemalangan di Jalan Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP), Taman Bendahara, Pengkalan Chepa, dekat Kota Bharu pada 11.32 pagi tadi.

    Dalam kejadian itu, van jenis Ssangyong yang dinaiki pelajar tahfiz tersebut dipercayai dalam perjalanan pulang daripada membeli pakaian raya di sebuah pasar raya berhampiran.

    Mangsa, Wan Ahmad Izzat Alauddin, 12, meninggal dunia di tempat kejadian sebelum dihantar ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian untuk bedah siasat.

    Ibu mangsa, Wan Noor Azilah Wan Sulaiman, 48, berkata dia yang tinggal di Kampung Tapang, di sini mengetahui berita kemalangan itu melalui aplikasi kumpulan WhatsApp pusat tahfiz berkenaan sebelum bergegas ke tempat kejadian.

    “Saya sampai di tempat kejadian 20 minit kemudian, luluh hati apabila melihat tubuh anak telah ditutup. Dalam keadaan masih keliru, saya kuatkan diri untuk melihat juga keadaannya yang telah kaku dan berlumuran darah di bahagian kepala,” katanya ketika ditemui pemberita di HUSM di sini hari ini.

    Wan Nor Azilah berkata sepatutnya dia akan menjemput anaknya malam ini untuk pulang beraya di kampung neneknya di Felda Ciku 7, Gua Musang.

    Katanya anak tunggal itu teruja memberitahunya untuk keluar membeli baju raya bersama rakan-rakan yang lain ketika menelefonnya malam tadi.

    “Saya tidak menyangka itulah kali terakhir saya bercakap dengannya. Walaupun sedih kehilangan satu-satunya anak, saya reda dengan ketentuan Allah,” katanya.

    Wan Nor Azilah berkata jenazah Wan Ahmad akan dibawa pulang petang ini sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Ciku 7.

    Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pengkalan Chepa Alam Nasut Ilias berkata pihaknya tiba di tempat kejadian pada 11.45 pagi dan mendapati seorang mangsa telah meninggal dunia, manakala 11 lagi pelajar dan seorang pemandu cedera.

    Semua mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ) II untuk mendapatkan rawatan, manakala mangsa yang meninggal dihantar ke HUSM untuk bedah siasat. – BERNAMA

  • Kasih nenek sempat selamatkan cucu sebelum maut dirempuh motosikal

    Kasih nenek sempat selamatkan cucu sebelum maut dirempuh motosikal

    KASIH seorang nenek terhadap cucunya berjaya menyelamatkan kanak-kanak itu daripada ajal selepas mereka dirempuh motosikal ketika melintas jalan dalam kejadian di Jalan UMS berhampiran Kampung Rampayan, Manggatal, di Kota Kinabalu, pagi tadi.

    Namun, dalam kejadian 8.45 pagi itu, wanita berusia 56 tahun tersebut cedera di kepala disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

    Penunggang motosikal berusia 46 tahun yang cedera di kepala turut disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

    Sementara itu, cucu perempuan wanita terbabit berusia sembilan tahun dan pembonceng wanita berusia 47 tahun hanya cedera ringan.

    Menurut Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah, siasatan awal mendapati penunggang motosikal bersama teman wanitanya bergerak dari arah Indah Permai menuju ke 1Borneo.

    Katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian, seorang wanita tiba-tiba melintas jalan bersama cucunya.

    “Penunggang motosikal gagal mengelak dan terus merempuh wanita terbabit sebelum terbabas ke bahu jalan.

    “Kanak-kanak perempuan hanya mengalami kecederaan ringan selepas sempat ditolak oleh neneknya bagi mengelakkan daripada dilanggar motosikal,” katanya dalam kenyataan, hari ini, lapor Harian Metro.

    Mengulas lanjut Mohd Zaidi berkata, pembonceng motosikal mengalami kecederaan ringan di muka dan kini dirawat di Hospital Queen Elizabeth I (HQEI).

    Katanya, siasatan masih dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

  • Anggota polis URB putus kaki rempuh Jeep dipandu lelaki disyaki mabuk

    Anggota polis URB putus kaki rempuh Jeep dipandu lelaki disyaki mabuk

    SEORANG anggota polis Unit Rondaan Bermotosikal (URB) putus kaki kanan apabila motosikal ditunggangnya terbabit kemalangan dengan sebuah kenderaan di Jalan Lintas, berhadapan City Mall, di Kota Kinabalu, Sabah, semalam.

    Mangsa berpangkat Koperal berusia 35 tahun itu bertugas di bahagian URB Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu, dalam perjalanan ke tempat kerja, kira-kira pukul 9.30 malam.

    Menurut Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah, berdasarkan saksi kejadian, pemandu kenderaan jenis Jeep dikatakan dilihat membuat pusingan U di tempat yang salah.

    Beliau berkata, saksi kejadian telah membunyikan hon untuk memberi amaran kepada pemandu namun kenderaan itu telah masuk ke laluan sebelah.

    “Mangsa yang menunggang motosikal datang dari arah Kolombong ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) sedang bergerak lurus tidak sempat mengelak menyebabkan berlaku perlanggaran dengan kenderaan Jeep berkenaan.

    “Akibat daripada pelanggaran itu, mangsa putus kaki kanan sehingga bahagian betis akibat terkena pada besi hadapan kenderaan berkenaan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

    Mohd Zaidi berkata, mangsa diberi rawatan awal oleh pihak ambulans di lokasi sebelum dibawa ke Hospital Queen Elizabeth I (HQE I) untuk rawatan lanjut.

    “Pemandu kereta Jeep tidak cedera dan disyaki memandu di bawah pengaruh alkohol.

    “Bagaimanapun siasatan masih diteruskan dan sampel darah pemandu Jeep diambil di HQE II dan akan dihantar ke Jabatan Kimia Kota Kinabalu untuk dianalisa kandungan alkohol dan dadah dalam darahnya,” katanya.

    Sementara itu, Mohd Zaidi berkata, kenderaan Jeep itu turut ditahan untuk pemeriksaan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM).

    “Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya menurut laporan Berita Harian.

  • Bapa tak sangka keluarkan anak sendiri, anak jiran dari dasar sungai

    Bapa tak sangka keluarkan anak sendiri, anak jiran dari dasar sungai

    BAPA kepada seorang daripada dua kanak-kanak yang lemas di Sungai Pulau Jering di Segamat Johor kelmarin tidak menyangka mengeluarkan mayat anak sendiri dan anak jirannya dari dasar sungai berkenaan.

    Menurut Hermee Latim, 47, dia secara kebetulan melalui jalan di sungai berkenaan kira-kira pukul 5.30 petang.

    “Saya melalui kawasan itu dan anak kedua saya, Ahmad Aidil Kuyom, 10, yang turut berada di tebing sungai berkenaan memaklumkan kejadian itu.

    “Dia mengatakan abangnya bersama seorang rakan hilang dalam sungai tersebut. Saya tidak mengesyaki sesuatu yang buruk pada awalnya.

    “Namun saya mulai mengesyaki sesuatu yang buruk menimpa anak dan anak jiran saya apabila mereka tidak kelihatan di permukaan sungai.

    “Saya terus terjun ke dalam sungai untuk mendapatkan mereka berdua,” katanya menurut laporan Sinar Harian.

    Dalam kejadian pukul 5.15 petang kelmarin, Ahmad Muhammad Hermee, 12, anak sulung daripada empat beradik dan Muhammad Khalifi Kamaruzaman, 13, anak sulung daripada dua beradik, lemas semasa mandi di Sungai Pulau Jering, Kampung Bukit Tunggal di Segamat.

    Mengulas lanjut, Hermee berkata, sebaik berjaya dikeluarkan dari dasar sungai mendapati kedua-duanya tidak sedarkan diri dan keadaan itu membuatkannya terduduk dan hampir pitam.

    “Tak sangka sama sekali saya sendiri ditakdirkan mengeluarkan anak saya dan anak jiran dari dasar sungai tersebut,” katanya.

    Menurutnya, kedua-duanya kemudian dibawa ke klinik swasta berhampiran sebelum disahkan meninggal dunia.

    Hermee yang masih trauma dengan kejadian tersebut, reda dengan ujian berat itu namun merasakan hikmah tersirat di sebalik anak dan anak jirannya kembali kepada pencipta-Nya pada Jumaat malah dalam Ramadan.

    Katanya, jenazah kedua-duanya dikebumikan dalam satu liang lahad selepas solat zuhur, semalam.

    Sementara itu, suasana sedih menyelubungi kawasan Tanah Wakaf Perkuburan Islam di Kampung Bukit Tunggal semasa upacara pengkebumian dua kanak-kanak berkenaan.

    Terdahulu, jenazah tiba dari Jabatan Forensik Hospital Daerah Segamat (HDS) selepas menjalani proses bedah siasat pada pukul 12.45 tengah hari sebelum solat jenazah di rumah keluarga mangsa.

    Kira-kira 250 penduduk kampung termasuk saudara mara dan kenalan hadir pada pengebumian berkenaan untuk memberi penghormatan terakhir kepada mangsa.

  • Dua kanak-kanak lemas ketika mandi sungai

    Dua kanak-kanak lemas ketika mandi sungai

    DUA kanak-kanak lelaki ditemukan lemas ketika mandi di Sungai Pulau Jering, Kampung Bukit Tunggal, Segamat, petang semalam.

    Ketua Polis Daerah Segamat, Superintenden Ahmad Zamry Marinsah berkata, pihaknya menerima laporan polis daripada keluarga mangsa kira-kira pukul 5.10 petang.

    “Kedua-dua mangsa disedari lemas oleh salah seorang bapa kanak-kanak tersebut yang kebetulan melalui kawasan berkenaan sebelum meminta bantuan orang awam.

    “Dengan bantuan penduduk kampung, kedua-dua mangsa berjaya dikeluarkan dari sungai berkenaan dalam keadaan tidak sedarkan diri. Kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia di sebuah klinik swasta di sini,” katanya dalam kenyataan di Segamat hari ini.

    Mangsa dikenal pasti sebagai Muhammad Khalifi Kamaruzaman, 13, dan Ahmad Muhammad Ibnu Hermee, 12.

    Tambah Ahmad Zamry, kedua-dua kanak-kanak terbabit adalah murid Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Tunggal dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jementah.

    Menurutnya, siasatan awal di tempat kejadian mendapati kedua-dua mangsa pergi untuk mandi di sungai berkenaan.

    Ahmad Zamry berkata, kedua-dua mangsa seterusnya dikejarkan ke sebuah klinik swasta terdekat namun disahkan meninggal dunia. 

    “Bedah siasat dijalankan di Jabatan Forensik Hospital Daerah Segamat (HDS) hari ini bagi mengenal pasti punca kematian. Tiada sebarang unsur jenayah ke atas kematian kedua-dua mangsa. Kes diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut (SDR,” katanya lapor Utusan Malaysia.