Category: Kemalangan / Bencana

  • Tanah runtuh: Kakitangan IIM diarah bekerja dari rumah

    Tanah runtuh: Kakitangan IIM diarah bekerja dari rumah

    KAKITANGAN Institut Integriti Malaysia (IIM) diarah bekerja dari rumah susulan kejadian tanah runtuh yang berlaku berhampiran Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) dan institut itu tengah hari semalam.

    Kenyataan IIM malam tadi memaklumkan arahan itu dibuat atas faktor keselamatan dan berkuatkuasa sehingga satu tempoh yang akan dimaklumkan kelak.

    “IIM sedang bekerjasama dengan pihak-pihak berkuasa dalam kerja-kerja pemantauan di kawasan terlibat.

    “Orang ramai juga boleh melayari laman sesawang IIM (www.iim.gov.my) dan media-media sosial IIM untuk maklumat terkini,” menurut kenyataan itu.

    Ketika kejadian pada kira-kira 1.30 tengah hari semalam, seramai 76 orang terdiri daripada 36 lelaki dan 40 wanita yang merupakan petugas pentadbiran MACA dan IIM, yang terletak bersebelahan akademi itu, berdepan detik cemas selepas berlaku runtuhan tanah di kawasan tersebut namun mereka tidak mengalami sebarang kecederaan.

    Kejadian itu melibatkan kawasan di depan pintu akademi milik SPRM dan meruntuhkan sebuah pondok kawalan dengan keluasan tanah runtuh dianggarkan 30.48 x 36.57 meter persegi.

  • Pemandu maut kereta dihempap pokok ketika ribut

    Pemandu maut kereta dihempap pokok ketika ribut

    Oleh BADLISHAH MAT

    SEORANG pemandu Proton Waja maut selepas keretanya dihempap pokok yang dipercayai tumbang dalam kejadian ribut di Jalan Lencongan Timur, berdekatan Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), di Sungai Petani, malam tadi.

    Lelaki berusia lingkungan 50-an yang mengalami kecederaan parah di kepala dan badannya itu belum disahkan identitinya setakat ini.

    Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Aman Jaya, Penolong Penguasa Bomba (PPgB) Azahari Abdullah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 8.27 malam ketika berlaku kejadian angin kencang dan hujan lebat di kawasan berkenaan.

    “Apabila sampai di lokasi kejadian didapati lima buah kereta termasuk Proton Waja terbabit, Mercedes-Benz, Perodua MyVi dan Nissan X Trail mengalami kerosakan akibat dihempap lebih 10 batang pokok.

    “Pemeriksaan lanjut mendapati pemandu kereta Proton Waja dalam anggaran umur 50-an meninggal dunia selepas mengalami kecederaan parah di kepala dan bahagian badannya,” katanya.

    Menurutnya, empat lagi pemandu kenderaan lain dan penumpang masing-masing turut mengalami kecederaan, namun jumlah sebenar kesemua mangsa terlibat masih dalam siasatan.

    “Mayat lelaki berkenaan serta mangsa yang cedera diserahkan kepada pihak polis sebelum dihantar ke HSAH untuk tindakan lanjut,” katanya.

    Azahari berkata, seramai 16 anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Petani, BBP Aman Jaya dan dibantu oleh 14 anggota sukarela terlibat dalam operasi tersebut.

    “Dengan bantuan tiga jengkaut milik kontraktor THB serta peralatan Rescue Tools, mangsa-mangsa berjaya dibawa keluar daripada kenderaan masing-masing,” katanya.

  • Pendaki meninggal dunia akibat AMS, isteri stabil

    Pendaki meninggal dunia akibat AMS, isteri stabil

    SEORANG pendaki Gunung Kinabalu meninggal dunia akibat sindrom akut gunung (AMS) ketika menerima rawatan di Hospital Ranau, pukul 4.30 pagi semalam.

    Alexzander Kueh Check Boo, 45, disahkan meninggal dunia selepas dibawa turun ketika mendaki gunung bersama isterinya yang turut mengalami AMS.

    Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Christina Liew berkata, mendiang bersama isterinya mula mendaki puncak Gunung Kinabalu kelmarin dan tiba di Panalaban namun dipercayai mengalami AMS.

    “Kejadian bermula apabila isteri mendiang mengadu sakit kepala dan sesak nafas kira-kira pukul 9 malam.

    “Pasukan Bomba Bantuan Mencari dan Menyelamat di Gunung (Mosar) telah memberinya oksigen yang diperlukan untuk pertolongan cemas namun pada puk5 10 malam, pasukan Penyelamat memutuskan untuk mengusungnya ke Timpohon Gate dan kemudian ke Hospital Ranau untuk rawatan lanjut.

    “Selang empat jam kemudian iaitu dua kilometer dari Timpohon Gate, mendiang pula mengalami kesukaran bernafas dan kekejangan otot sebelum diusung ke Timpohon dan turut di bawa ke hospital yang sama namun disahkan meninggal dunia pada jam 4.30 pagi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Christina telah meminta pihak Taman-Taman Sabah (TTS) yang terletak di bawah Kementeriannya membantu keluarga mangsa.

    “Keadaan isteri stabil selepas sembuh dari AMS. Namun, dia kehilangan pasangannya yang setia,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Beliau dalam pada itu turut menasihatkan semua pendaki gunung supaya lebih bersedia secara fizikal dan mental sebelum memulakan pendakian.

  • 3 rumah kongsi pekerja hangus dalam kebakaran

    3 rumah kongsi pekerja hangus dalam kebakaran

    TIGA rumah kongsi yang didiami pekerja di tapak pembinaan bangunan kerajaan di Tunjong, Kota Bharu musnah dalam kebakaran petang semalam.

    Bagaimanapun, 300 buruh binaan yang majoritinya warga Bangladesh dilaporkan terselamat dalam kejadian pada pukul 6.20 petang itu.

    Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tunjong, Zainal Fitri Husain berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pukul 6.22 petang berhubung kebakaran yang membabitkan kediaman berstruktur separuh kekal itu.

    “Seramai 15 pegawai dan anggota bergegas ke lokasi dan sebaik tiba, dua rumah kongsi itu sedang terbakar dan api mula merebak ke unit yang ketiga.

    “Rumah kongsi itu dibina dalam satu bangunan dan dibahagikan dalam lima unit yang didiami kira-kira 300 pekerja yang ketika itu kebanyakannya sedang bekerja,” katanya menurut Harian Metro.

    Zainal Fitri berkata kepantasan bomba berjaya menyelamatkan dua unit rumah kongsi namun tiga lagi musnah 90 peratus.

    Katanya, faktor binaan daripada kayu dan zink serta cuaca panas dan berangin menyebabkan kebakaran cepat merebak.

    “Kebakaran dapat dikawal kira-kira setengah jam selepas itu dan berjaya dipadam sepenuhnya pada 7.30 malam.

    “Bagaimanapun punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya.

  • Remaja lelaki OKU maut, rakan kritikal dipanah petir

    Remaja lelaki OKU maut, rakan kritikal dipanah petir

    SEORANG remaja orang kurang upaya (OKU) maut manakala rakannya kritikal selepas dipanah petir ketika bermain bola di padang Pekan Papar, Kota Kinabalu, pukul 3.55 petang tadi.

    Mangsa, Muhammad Zulqilfle Redzwan, 13, disahkan meninggal dunia oleh petugas perubatan yang hadir memberi rawatan adwal di lokasi kejadian.

    Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 4 petang.

    “Susulan itu sepasukan anggota bomba bersama jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Papar digerakkan ke lokasi kejadian.

    “Bomba menerima laporan dua remaja lelaki masing-masing berusia 13 tahun disambar petir ketika menjalankan aktiviti sukan bola sepak.

    “Pasukan bomba dari Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) memberi rawatan awal pada mangsa yang cedera dan seterusnya menyerahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan (KKM) untuk dihantar ke Hospital Papar.

    “Seorang lagi mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

    Menurutnya, mangsa yang meninggal dunia diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

    “Operasi tamat pada 4.40 petang,” katanya lapor Harian Metro.

  • 76 individu kosongkan Akademi SPRM akibat tanah runtuh

    76 individu kosongkan Akademi SPRM akibat tanah runtuh

    LEBIH 70 penghuni di dua blok Akademi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Persiaran Tuanku Syed Sirajuddin, Kuala Lumpur, diarah meninggalkan bangunan itu susulan kejadian tanah runtuh petang tadi.

    Kejadian berlaku di hadapan pintu masuk bangunan akademi SPRM sehingga meruntuhkan sebuah pondok kawalan dengan runtuhan dianggarkan membabitkan keluasan 30 x 60 meter persegi.

    Jabatan Bomba Penyelamat (JBPM) Kuala Lumpur menerima panggilan kejadian tersebut pada pukul 1.54 petang.

    “Seramai lapan pegawai dan anggota dari Balai Bomba Penyelamat (BBP) Sentul dikejarkan ke lokasi untuk membantu.

    “Seramai 76 mangsa membabitkan 36 lelaki dan 40 wanita yang berada dalam dua blok bangunan di akademi itu diarahkan keluar dan mereka tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya melalui satu kenyataan hari ini.

    Katanya, semua mangsa dipindahkan ke tempat selamat dan ketika ini pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Syabas telah dimaklumkan untuk tindakan selanjutnya.

    “Berdasarkan maklumat awal, pergerakan tanah dilaporkan masih berlaku dipercayai akibat kejadian paip pecah,” katanya, lapor Berita Harian.

  • Pasrah anak sulung, bayi dalam kandungan maut sekali gus

    Pasrah anak sulung, bayi dalam kandungan maut sekali gus

    BAPA kepada kanak-kanak yang meninggal dunia dalam kemalangan di Kilometer 153 Jalan Jerangau-Jabor di Cheneh, Kemaman semalam pasrah dengan kehilangan anak sulung dan bayi dalam kandungan isterinya.

    Insiden pada petang semalam itu mengorbankan bapa mentua tirinya, Abd. Halim Ismail, 71, dan anaknya, Alisha Mardhiah yang berusia dua tahun.

    Muhammad Ubaidillah Zikri Adnan, 30, berkata, ketika kejadian mereka sekeluarga baru pulang dari menghadiri rumah terbuka sepupunya di Perasing, Kemaman.

    “Masa kejadian tu mak mentua sedang memangku anak saya di tempat duduk belakang dan ayah mentua duduk bahagian hadapan penumpang manakala isteri di tempat duduk penumpang belakang.

    “Sewaktu kereta dirempuh, anak tersembam dan berlaku pendarahan dalam otak. Anak saya disahkan meninggal dunia di unit kecemasan Hospital Kemaman dan ayah mentua pula meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya ketika ditemui selepas pengebumian jenazah anak dan bapa mentuanya di Tanah Perkuburan Padang Polis Batu Rakit, di Kuala Nerus hari ini.

    Katanya, Muhammad Ubaidillah Zikri, isterinya, Nurul Fatihah Azman, 28, yang patah tangan kanan dan luka pada kaki kanan masih trauma dan terkejut dengan kejadian.

    “Saya dan isteri sedih dengan kehilangan anak sulung kami. Lebih pilu apabila isteri keguguran. Bayi dalam kandungan isteri yang berusia lima bulan turut meninggal dunia.

    “Mungkin hentakan yang kuat menyebabkan isteri keguguran. Walaupun begitu, kami berdua pasrah dengan ketentuan Ilahi dan berserah kepadaNya atas ketentuan ini,” ujarnya.

    Muhammad Ubaidillah Zikri memberitahu, Aidilfitri kali ini menjadi sejarah buat dirinya dan keluarga.

    Katanya, dia bekerja di Kuala Lumpur dan pulang ke kampung halaman di Batu Rakit pada Khamis iaitu tiga hari sebelum berlaku kejadian yang menyayat hati itu.

    “Saya sebenarnya PJJ (perkahwinan jarak jauh) dengan isteri. Pada bulan puasa lalu saya ada balik jumpa anak isteri dua minggu sekali. Waktu itu anak masih seperti biasa dengan saya.

    “Raya kali ini saya perasan anak sulung nampak ada sikit berubah iaitu dia tidak mahu bersama saya dan sentiasa mahukan ibunya. Saya agak pelik sebab kebiasaannya dia mahu juga duduk dekat dengan saya.

    “Tak sangka ia merupakan petanda dia akan pergi buat selama-lamanya,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Jenazah Abd. Halim dan Alisha Mardhiah dikebumikan dalam satu liang lahad kira-kira pukul 12 tengah hari tadi.

    Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Hanyan Ramlan berkata, kemalangan membabitkan dua buah Proton Persona yang berlaku pada pukul 4.47 petang itu turut mengorbankan empat penumpang lain.

    Mangsa terkorban ialah Nor Nadia Natasha Abu Bakar, 23; Nur Syafinaz Naura Saiful Azwan, 2 tahun; Tuan Yah Dollah, 61; dan Rosliza Mat Hussin, 38.

    Katanya, pemandu kereta tersebut iaitu Shah Rezzal Zanzalani, 27, dan tiga penumpang lain iaitu Wan Muhamad Adam Wan Muhamad Khalil, 11; Wan Alya Farhana Wan Muhamad Khalil,15; dan Nur Syafana Nasha Saiful Azwan,2, mengalami kecederaan.

    Beliau memberitahu, hasil siasatan awal mendapati kemalangan itu berpunca apabila kereta dipandu Shah Rezzal yang dalam perjalanan dari Bukit Besi, Dungun ke Cheneh, Kemaman hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan.

    Keadaan itu menyebabkan kenderaan dipandu Muhammad Ubaidillah Zikri dari Perasing, Kemaman menghala ke Batu Rakit, Kuala Nerus tidak dapat mengelak kerana jarak yang dekat menyebabkan kedua-dua kereta itu bertembung.

  • Warga emas ditemukan mati dalam rumah berkunci

    Warga emas ditemukan mati dalam rumah berkunci

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG lelaki warga emas ditemukan meninggal dunia dalam sebuah rumah yang berkunci di Taman Perdana di Muar malam tadi.

    Kejadian tersebut dimaklumkan kepada pihak bomba pada pukul 11 malam.

    Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Muar, Pegawai Bomba Kanan II Mohd Azhar Khalil berkata, empat anggota berserta satu utiliti pacuan empat roda dikejarkan ke lokasi kejadian.

    “Setibanya di lokasi kejadian, terdapat seorang lelaki warga emas berkunci dalam rumah.

    “Anggota bertindak memotong mangga pintu menggunakan alatan khas ‘circular saw’,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Katanya, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan dan kes diserahkan kepada pihak polis.

  • Identiti 6 korban kereta bertembung di Kemaman dikenal pasti

    Identiti 6 korban kereta bertembung di Kemaman dikenal pasti

    IDENTITI enam mangsa terkorban dalam nahas dua buah kereta Proton Persona yang bertembung di Kilometer 153 Jalan Jerangau-Jabor di Cheneh dekat Chukai, Kemaman petang semalam, telah dikenal pasti.

    Ketua Polis Daerah Kemaman Supt Hanyan Ramlan berkata mangsa yang maut adalah empat penumpang di dalam kereta Proton Persona yang pertama iaitu Nor Nadia Natasha Abu Bakar, 23; Nur Syafinaz Naura Saiful Azwan, 2 tahun; Tuan Yah Dollah, 61; dan Rosliza Mat Hussin, 38.

    Katanya, pemandu kereta tersebut Shah Rezzal Zanzalani, 27, dan tiga penumpang lain iaitu Wan Muhamad Adam Wan Muhamad Khalil, 11; Wan Alya Farhana Wan Muhamad Khalil,15; dan Nur Syafana Nasha Saiful Azwan,2, mengalami kecederaan.

    “Manakala di dalam kereta Proton Persona kedua pula mangsa yang maut adalah Abd Halim Ismail, 71 dan Alisha Mardhiah Muhammad Ubaidillah Zikri berusia dua tahun. Pemandu kereta Muhammad Ubaidillah Zikri Adnan, 26 dan dua penumpang lain Nurul Fatihah Azman, 28, dan Zaiton Mohamad, 57, mengalami kecederaan,” katanya dalam kenyataan tengah malam tadi.

    Hanyan berkata berdasarkan siasatan awal, kemalangan berlaku kira-kira lima petang semalam itu berpunca apabila kereta dipandu Shah Rezzal yang dalam perjalanan dari Bukit Besi, Dungun ke Cheneh dekat situ, hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan.

    Situasi tersebut menyebabkan kenderaan dipandu Muhammad Ubaidillah Zikri dari Perasing menghala ke Batu Rakit, Kuala Nerus, tidak dapat mengelak kerana jarak yang dekat dan menyebabkan kedua-dua kereta bertembung secara berhadapan, katanya.

    “Empat mangsa maut di lokasi kejadian manakala dua mangsa iaitu Alisha Mardhiah dan Rosliza meninggal dunia di Hospital Kemaman.

    “Mayat semua mangsa telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Kemaman manakala mangsa yang cedera telah dibawa ke hospital sama untuk rawatan lanjut,” katanya sambil memaklumkan kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

  • 2 lagi maut, korban nahas di Kemaman meningkat 6 orang

    2 lagi maut, korban nahas di Kemaman meningkat 6 orang

    DUA lagi maut dalam kemalangan di Kilometer 153 Jalan Jerangau-Jabor di Cheneh dekat Chukai semalam, menjadikan keseluruhan mangsa yang terkorban dalam tragedi 3 Syawal itu kepada enam orang.

    Ketua Polis Kemaman, Hanyan Ramlan ketika mengesahkan perkara tersebut berkata dua lagi mangsa meninggal dunia di hospital manakala empat lagi mangsa maut di lokasi kejadian.

    Terdahulu Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Cheneh Mohd Hafiezul Mohamad berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kemalangan melibatkan dua buah kereta Proton Persona itu pada 4.47 petang.

    Katanya, sejurus itu lima anggota dari BBP Cheneh dan enam anggota yang bersedia di kawasan Rehat & Rawat (R&R) Perasing bergegas ke lokasi.

    “Kereta Proton Persona pertama yang dinaiki lapan individu termasuk pemandu dalam perjalanan dari Bukit Besi, Dungun menghala ke Bandar Baru Cheneh, Kemaman.

    Manakala kereta Proton Persona kedua pula dinaiki lima individu termasuk pemandu dalam perjalanan dari Perasing dekat Jabor menuju ke Batu Rakit, Kuala Nerus,” katanya ketika dihubungi Bernama semalam.

    Bagaimanapun identiti semua mangsa masih belum dikenal pasti.