Category: Kemalangan / Bencana

  • Remaja perempuan, lelaki maut motosikal bertembung

    Remaja perempuan, lelaki maut motosikal bertembung

    Oleh RIZQI ZABIDI

    DUA terbunuh manakala searing kanak-kanak perempuan cedera apabila dua motosikal bertembung di Jalan Sungai Dedap, Kampung Pisang, Yan, Kedah, malam tadi.

    Ketua Polis Daerah Yan, Deputi Superintenden Shahnaz Akhtar Haji berkata, kejadian itu berlaku kira-kira pukul 9.15 malam melibatkan motosikal jenis Honda EX5 dan Yamaha 15ZR.

    Menurutnya, kejadian itu dipercayai berlaku ketika Mohd. Khatib Sharbini Tajuddin, 41, yang menunggang motosikal jenis Honda EX5, dalam perjalanan dari Sungai Limau menghala ke Kampung Bahagia.

    “Setibanya di lokasi, motosikal ditunggang Mohd. Khatib bertembung secara berdepan dengan motosikal Yamaha 15ZR dinaiki Nur Aina Ellysya Abdul Hadi, 13, bersama adiknya, Nur Aina Syafiqa Abdul Hadi, 11, secara berdepan.

    “Kejadian itu dipercayai berlaku apabila motosikal ditunggang Nur Aina Ellysya dan dibonceng adiknya itu secara tiba-tiba masuk ke laluan bertentangan,” katanya.

    Tambah beliau, ketiga-tiga mereka yang terlibat dalam kemalangan itu dipercayai tidak memakai topi keledar.

    “Akibat kemalangan itu, Mohd. Khatib dan Nur Aina Ellysya meninggal dunia di lokasi kejadian manakala Nur Aina Syafiqa pula mengalami kecederaan.

    “Mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Yan untuk dibedah siasat manakala kanak-kanak perempuan yang cedera itu pula turut dibawa ke hospital sama bagi mendapatkan rawatan.

    Tambahnya, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

    “Setakat ini siasatan masih berjalan dan kami akan berusaha mengesan saksi bebas yang menyaksikan kemalangan itu,” katanya.

  • Remaja dikhuatiri lemas dihanyut ombak

    Remaja dikhuatiri lemas dihanyut ombak

    SEORANG remaja lelaki dikhuatiri lemas selepas dihanyutkan ombak ketika bermandi-manda bersama tiga rakannya di pantai Kampung Gatas Bekenu, Miri semalam.

    Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, mangsa dikenali sebagai Shahrizan Amani Sepawi, 17, manakala rakannya yang hampir lemas sempat diselamatkan orang kampung.

    “Dua lagi rakannya berjaya menyelamatkan diri dengan berenang ke tepi pantai.

    “Kita menghantar sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Batu Niah ke lokasi kejadian, sejurus menerima panggilan kecemasan pada 6 petang.

    “Bomba dan polis memulakan operasi pencarian di sekitar tepi pantai dengan bantuan orang kampung dalam radius 1km, namun mangsa gagal ditemui,” katanya menurut laporan Berita Harian, hari ini.

    Beliau berkata, operasi terpaksa ditangguhkan pada 8.35 malam tadi disebabkan keadaan gelap dan berbahaya.

    Operasi mencari dan menyelamat diteruskan hari ini dan sebarang perkembangan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

  • Dua remaja 17 tahun maut motosikal bertembung

    Dua remaja 17 tahun maut motosikal bertembung

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    DUA remaja maut selepas motosikal mereka terlibat kemalangan dengan sebuah motosikal lain di Jalan Felda Air Tawar 4, Kota Tinggi pukul 8.40 malam tadi .

    Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Hussin Zamora berkata, insiden melibatkan dua mangsa masing-masing berusia 17 tahun itu melibatkan motosikal Yamaha Y15 ZR dinaiki mangsa dengan satu lagi motosikal jenis sama.

    “Siasatan awal di tempat kejadian mendapati motosikal dua remaja terbabit datang dari arah Felda Air Tawar 4 menghala ke Felda Air Tawar 5.

    “Semasa sampai di jalan utama Felda Air Tawar 4, motosikal dua mangsa tersebut hilang kawalan dan bertembung dengan satu lagi motosikal Y15 ZR tersebut secara berdepan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Akibat kemalangan tersebut katanya, kedua-dua remaja tersebut cedera parah di bahagian kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian.

    Menurut Hussin, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih diteruskan bagi mengetahui kejadian sebenar.

    “Orang awam dinasihatkan supaya lebih peka dan mematuhi peraturan lalu lintas bagi memastikan keselamatan bersama,” ujar beliau.

    Terdahulu, tular perkongsian dalam Facebook Orang Kota Tinggi berhubung kemalangan maut di jalan masuk Felda Air Tawar 4 itu yang membabitkan dua penunggang motosikal.

    Dalam hantaran itu mendakwa kawasan kemalangan itu sudah beberapa hari bergelap akibat lampu jalan yang tidak hidup.

    “Semoga dipermudahkan segala urusan dan salam takziah buat keluarga arwah,” tulisnya.

  • Lelaki maut digilis komuter selepas baring atas landasan

    Lelaki maut digilis komuter selepas baring atas landasan

    SEORANG lelaki maut digilis komuter selepas baring atas landasan kereta api dekat Seputeh Kuala Lumpur, petang semalam.

    Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata, pihaknya menerima makluman mengenai kejadian pada pukul 1.08 petang.

    Siasatan awal polis mendapati mangsa telah bertindak baring di atas landasan kereta api sebelum dirempuh sebuah komuter yang menghala dari stesen Salak Selatan ke Seputeh.

    “Mangsa merupakan seorang lelaki dengan bangsa tidak pasti, berambut pendek, berbaju dan seluar berwarna hitam.

    “Mayat mangsa telah dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya bagi tujuan bedah siasat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini, lapor Utusan TV.

    Jelasnya, orang ramai yang mempunyai maklumat atau kehilangan ahli keluarga diminta menghubungi polis Brickfields di talian 03-22979222 bagi membantu pengecaman mayat ini.

  • Pengawal keselamatan maut tertimbus runtuhan penahan tebing di Wisma YPR

    Pengawal keselamatan maut tertimbus runtuhan penahan tebing di Wisma YPR

    SEORANG Pengawal Keselamatan maut selepas tertimbus tanah akibat runtuhan penahan tebing di Wisma YPR, Jalan Syed Putra, Kuala Lumpur awal pagi tadi.

    Penguasa Kanan Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur Mohd Rizuan Razali berkata lelaki berusia 73 tahun itu disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh petugas kesihatan.

    Beliau berkata ketika kejadian mangsa sedang bertugas dan berada di dalam pondok pengawal.

    Menurutnya, sebelum kejadian berlaku, terdapat bongkah batu yang jatuh berhampiran pondok pengawal keselamatan itu, pada 8 malam, semalam.

    “Difahamkan, pengawal keselamatan berkenaan hendak membuat laporan berhubung bongkah batu yang jatuh itu namun tidak sempat.

    “Bomba menerima panggilan kecemasan pada 12.53 tengah malam tadi dan tiba di lokasi kejadian pada 1.05 pagi,“ katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian hari ini, labor BERNAMA.

    Mohd Rizuan berkata seramai 41 anggota bomba dikerahkan ke lokasi kejadian melibatkan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Hang Tuah dan BBP Seputeh bagi operasi mencari dan menyelamat.

    Beliau berkata mangsa berjaya dikeluarkan pada kira-kira 6.30 pagi ini dan dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk dibedah siasat.

    “Setakat ini hanya seorang mangsa yang terlibat manakala lokasi runtuhan diserahkan kepada pihak pengurusan (Wisma YPR),” katanya.

    — BERNAMA

  • Tiga kru dipercayai terperangkap dalam kapal tangki yang masih terbakar

    Tiga kru dipercayai terperangkap dalam kapal tangki yang masih terbakar

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    TIGA kru kapal yang hilang dalam kebakaran kapal tangki MT Pablo pada kedudukan 37.5 batu nautika timur laut Tanjung Sedili, Kota Tinggi semalam masih lagi tidak dapat dikesan sehingga kini.

    Pemangku Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Madya Maritim Datuk Saiful Lizan Ibrahim berkata, ini termasuk selepas operasi mencari dan menyelamat (SAR) diperluaskan kawasan pencarian kepada empat sektor di perairan berkenaan.

    “Tiga kru kapal berkenaan dikenali sebagai Satyam Tripathi, 26, dan Dinesh Kumar Chauhan, 34, merupakan warganegara India manakala seorang lagi, warganegara Ukraine, Sabit Shenderovsky, 37.

    “Kita tidak menolak kemungkinan, tiga kru kapal ini berada di dalam kapal. Bagaimanapun anggota operasi SAR masih tidak dapat masuk ke dalam kapal kerana asap kebakaran masih tebal.

    “Setakat ini punca kebakaran masih dalam siasatan. Kebakaran melibatkan 50 peratus daripada keseluruhan kapal di mana bahagian tengah kapal paling teruk terjejas.

    “Kapal tangki berkenaan dilaporkan masih dalam keadaan terapung. Ketika kejadian kapal tangki berkenaan kosong kerana dalam perjalanan ke Singapura untuk mengambil minyak mentah,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Maritim Malaysia Johor di Johor Bahru hari ini.

    Saiful Lizan berkata, seramai 136 pegawai dan anggota terbabit dalam operasi SAR sejak Isnin membabitkan sebuah pesawat udara AW139 milik Maritim Malaysia, sembilan aset laut termasuk dari Polis Diraja Malaysia (PDRM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Jabatan Laut Malaysia dan Pelabuhan Johor.

    “Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) akan tiba pada pagi Rabu bagi membantu operasi SAR. Kawasan pencarian oleh pasukan SAR telah dibahagikan kepada empat sektor dan diperluaskan sehingga 71 batu nautika persegi,” ujar beliau.

    Setakat ini tiada tumpahan minyak berlaku katanya, namun pemantauan rapi giat dilakukan sebagai persiapan sekiranya berlaku tumpahan minyak kapal.

    Kapal tangki yang berdaftar dari Gabon, Afrika dilaporkan dalam perjalanan dari China menuju ke Singapura bersama 28 kru kapal sebelum dilaporkan terbakar pada kedudukan 37.5 batu nautika timur laut Tanjung Sedili sekitar pukul 3 petang semalam.

    Seramai 25 kru berjaya diselamatkan di mana empat daripada mereka mengalami kecederaan serius di tangan, pinggang dan kaki kini dirawat di Hospital Kota Tinggi.

    Sementara itu, kapten kapal berkenaan Lepyoshkin Oleksandr dari Russia memberitahu, kejadian kebakaran kapal tangki itu berlaku secara tiba-tiba ketika dalam perjalanan ke Singapura bagi mengambil muatan minyak mentah di republik berkenaan.

    “Berlaku letupan kuat seperti bom jatuh atas kapal sehingga tingkap kaca atas kapal pecah sebelum ia terbakar. Saya cuba membuat panggilan kecemasan namun peralatan di atas kapal semuanya sudah rosak dan terbakar.

    “Kami bernasib baik kerana ada dua kapal berada berhampiran yang memberikan bantuan kecemasan segera termasuk membantu menyelamatkan kru kami yang sedang panik dan ketakutan,” jelasnya.

  • Seorang lagi budak maut disyaki akibat strok haba

    Seorang lagi budak maut disyaki akibat strok haba

    SEORANG lagi kanak-kanak lelaki meninggal dunia di Kluang kira-kira 7 pagi semalam, dipercayai akibat strok haba.

    Bapanya, Syahrol Azmi Mohd Hekak, 42, berkata anak keduanya Airiel Syahren, 12, disahkan meninggal dunia oleh doktor akibat ‘septic shock secondary to meningoencephalitis’ di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom, Kluang.

    Menurutnya, pada mulanya Airiel dan adik lelaki berusia sembilan tahun serta ibu mereka mengalami demam biasa dan hanya memakan ubat.

    “Saya meminta mereka tidur di ruang tamu kerana bilik itu sejuk sebelum terdengar seperti ada benda jatuh. Saya kemudian mendapati anak kekejangan.

    “Saya terus menghubungi talian kecemasan untuk bantuan ambulans. Pada masa itu keadaan anak meronta-ronta dan adiknya juga begitu tetapi sekejap sahaja,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Bentong, Kluang, hari ini.

    Syahrol Azmi berkata, anaknya juga sebelum itu mengalami simptom demam tidak berpeluh, kekejangan otot, serta muntah, kira-kira 10 malam kelmarin.

    Katanya, doktor turut menjelaskan simptom strok haba dialami anaknya menyebabkan buah pinggangnya terjejas serta keradangan otak.

    “Anak saya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bentong. Manakala anak ketiga, Aidil Syahren, 9, pula disahkan stabil dan masih berada di wad,” katanya, memetik laporan Berita Harian.

  • Pelajar parah akibat terjatuh dari tingkat enam bangunan asrama

    Pelajar parah akibat terjatuh dari tingkat enam bangunan asrama

    HANYA kerana mahu mendapatkan kunci yang tertinggal dalam unit kediamannya, seorang pelajar lelaki universiti tempatan parah selepas terjatuh dari tingkat enam blok kediaman universiti berkenaan di Sungai Chuchuh, di Padang Besar semalam.

    Mangsa, Ubaidul Aqied Bustamam, 24, yang berasal dari Kulim, Kedah dipercayai terjatuh selepas tergelincir ketika cuba memanjat masuk ke dalam kediamannya untuk mengambil kunci rumah yang tertinggal dalam unit berkenaan.

    Ketua Polis Daerah Padang Besar, Asisten Komisioner Mohd. Shokri Abdullah, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan sekitar jam 3 petang yang memaklumkan mengenai kejadian berkenaan

    “Siasatan awal pihak polis mendapati, mangsa adalah pelajar lelaki tempatan berusia 24 tahun yang tinggal di kediaman lokasi kejadian dan berdasarkan maklumat awal, dia dipercayai cuba mengambil kunci kediamannya itu.

    “Menurut saksi yang berada di sekitar tempat kejadian, mereka terdengar bunyi seperti sesuatu jatuh sebelum melihat mangsa terbaring serta berlumuran darah di lantai aras bawah bangunan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

    Katanya, ketika ditemui orang ramai, mangsa masih berada dalam keadaan sedar namun tidak dapat bergerak akibat kecederaan serius yang dialami mangsa.

    “Mangsa kemudian dibawa ke Hospital Tuanku Fauziah, Kangar untuk rawatan lanjut dan kini berada dalam keadaan stabil. Kita sudah mengambil keterangan beberapa orang saksi bagi membantu siasatan,” katanya, lapor BH Online.

    Pada masa sama, Mohd Shokri turut memberi amaran kepada orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi kejadian berkenaan bagi menjaga sensitiviti keluarga mangsa.

    Punca kejadian masih disiasat dan polis turut memohon kerjasama saksi lain yang berada di tempat kejadian untuk tampil bagi membantu siasatan pihak polis.

    Sebarang maklumat boleh terus menghubungi Pegawai Penyiasat, Sarjan Mejar Mohd Izham Aziz di talian 017-5387986.

  • Tiga kru hilang kapal tangki dari Afrika terbakar

    Tiga kru hilang kapal tangki dari Afrika terbakar

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEBUAH kapal tangki asing terbakar dan mengakibatkan tiga kru hilang manakala 25 lagi selamat dalam kejadian pada kedudukan 37.5 batu nautika timur laut di Tanjung Sedili, Kota Tinggi hari ini.

    Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Johor Bahru menerima laporan kejadian itu pada pukul 4 petang.

    Menurutnya, kapal tangki yang berdaftar dari Gabon, Afrika itu dalam perjalanan dari China menuju ke Singapura bersama 28 kru kapal.

    “Susulan itu sebuah bot ronda Maritim Malaysia PETIR 12 telah diatur gerak ke lokasi kejadian dan berjaya menyelamatkan dua kru kapal tangki tersebut.

    “Seramai 23 kru lagi berjaya diselamatkan oleh dua buah kapal berhampiran lokasi kejadian manakala tiga lagi kru dilaporkan masih hilang dan identiti mereka sedang dikenal pasti,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Nurul Hizam berkata, punca kejadian masih dalam siasatan.

  • Dua beradik lemas di Pantai Tanjung Buloh

    Dua beradik lemas di Pantai Tanjung Buloh

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    KEGEMBIRAAN sebuah keluarga bercuti di Pantai Tanjung Buloh, Kota Tinggi berakhir tragedi apabila dua beradik didapati lemas.

    Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penawar, Penolong Penguasa Bomba Mohd. Khairul Sufian Dahari berkata, kedua-dua mangsa yang meninggal dunia dikenali sebagai Siti Nursalina Johari, 10 dan kakaknya, Siti Rabiah Johari, 13.

    Beliau memberitahu, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu sekitar pukul 3.39 petang.

    “Sebaik menerima panggilan berkenaan, seramai sembilan anggota dari BBP Penawar dengan satu jentera LFRT dan Hilux dikejarkan ke lokasi kejadian.

    Pihak bomba membantu mengangkat kedua-dua mangsa lemas sebelum menyerahkan kepada polis untuk tindakan lanjut dalam kejadian di Pantai Tanjung Buloh, Tanjung Sedeli, Kota Tinggi, hari ini

    “Setibanya di lokasi pasukan keluaran operasi (PKO) mendapati empat mangsa daripada satu keluarga didapati lemas di lokasi.

    “Dua daripada mereka telah diselamatkan orang awam manakala dua lagi mangsa telah lemas dan dibawa naik ke darat sebelum PKO tiba ke lokasi.

    “Kedua-dua mangsa yang lemas itu kemudiannya disahkan telah meninggal dunia,” katanya.

    Katanya, mangsa yang cedera pula Saleha Haron, 27, dan Mersidita Yunos, 46, yang merupakan ibu kepada kedua-dua mangsa.

    Beliau berkata, pihak bomba memberikan rawatan awal kepada kedua-dua mangsa yang cedera.

    Dua mangsa meninggal dunia diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut, katanya.