Category: Kemalangan / Bencana

  • Awak-awak warga Thailand dikhuatiri lemas dekat Pulau Bidan, Yan

    Awak-awak warga Thailand dikhuatiri lemas dekat Pulau Bidan, Yan

    SEORANG awak-awak warga Thailand dikhuatiri lemas ketika sedang memukat bilis di kedudukan 1.8 batu nautika barat daya Pulau Bidan, Yan, petang semalam.

    Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah Komander Maritim Noor Azreyanti Ishak berkata mangsa Donbagee Tingsa, 33, dipercayai terjatuh dari bot pada pukul 2.25 petang sebelum Maritime Rescue Sub-Centre (MRSC) Langkawi mengaktifkan Operasi Mencari dan Menyelamat (Carilamat) pada 2.35 petang sejurus menerima maklumat.

    Beliau berkata ketika kejadian, bot nelayan warga tempatan yang berpangkalan di Tanjung Dawai, Kuala Muda sedang melakukan aktiviti memukat ikan bilis sebelum menyedari mangsa tiada di atas bot.

    Katanya, usaha mengesan mangsa diteruskan pagi ini yang turut disertai Pasukan Polis Marin, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan bot nelayan tempatan meliputi keluasan kira-kira 9.38 batu nautika persegi.

    “Maritim Malaysia khususnya Zon Maritim Kuala Kedah mengingatkan semua yang berhasrat melakukan aktiviti di laut agar mengambil langkah-langkah keselamatan seperti memakai jaket keselamatan, merujuk ramalan kaji cuaca, memastikan bot dalam keadaan baik dan membawa Personal Locator Beacon (PLB),” katanya.

    Zon Maritim Kuala Kedah juga meminta orang awam untuk melaporkan sebarang kejadian kecemasan atau kemalangan di laut melalui talian kecemasan 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Zon Maritim Kuala Kedah menerusi talian 04-7310579.

  • Budak tunggang motosikal maut rempuh tiang lampu

    Budak tunggang motosikal maut rempuh tiang lampu

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG budak lelaki berusia 13 tahun maut manakala adiknya berusia 12 tahun pula cedera parah selepas motosikal dinaiki melanggar tiang lampu di Taman Seri Impian, Kluang malam tadi.

    Kejadian pada pada pukul 11.29 malam itu mengorbankan Muhammad Farish Hafiy manakala adiknya, Muhammad Amin Asyraf patah kaki kanan dan lebam di dahi.

    Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten komisioner Bahrin Mohd. Noh berkata, kedua-dua beradik tersebut yang beralamat di Bandar Seri Impian di Kluang menaiki motosikal jenis Honda Wave.

    “Hasil siasatan awal di tempat kejadian didapati motosikal itu dipercayai datang dari arah kawasan perumahan Taman Seri Impian menghala ke lampu isyarat di Jalan Kota Tinggi-Kluang.

    “Tiba di tempat kejadian, motosikal tiba-tiba hilang kawalan lalu melanggar tiang lampu jalan yang berada di tengah pembahagi jalan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Beliau berkata, akibat kemalangan itu, penunggangnya, Muhammad Farish Hafiy yang tidak memiliki lesen cedera parah di kepala dan

    meninggal dunia di tempat kejadian.

    Kata Bahrin, Muhammad Amin Asyraf pula patah kaki kanan dan lebam di dahi
    sebelum dikejarkan ke Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom di Kluang.

    Menurutnya, dalam kejadian tersebut kedua-dua beradik berkenaan tidak memakai topi keledar dan motosikal tersebut atas nama ibu mereka.

    Katanya, siasatan mendapati cukai jalan dan insuran motosikal berkenaan telah tamat tempoh.

    “Pemilik akan dipanggil untuk tindakan saman di bawah Seksyen 26(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) iaitu 1987 mana-mana pemilik kenderaan tidak boleh membenarkan orang tiada lesen memandu atau menunggang kenderaannya,” jelasnya.

    Tambahnya, kes tersebut juga disiasat mengikut Seksyen 41 (1) APJ 1987.

  • Kanak-kanak dakwa tok wan ‘badan panas ada bulu’ pandu kereta

    Kanak-kanak dakwa tok wan ‘badan panas ada bulu’ pandu kereta

    KANAK-kanak berusia enam tahun yang tular  memandu keretanya di Langkawi mendakwa, bukan dia yang berbuat demikian.

    Sebaliknya, kanak-kanak itu mendakwa, “bukan abang bawa (pandu) tapi pak cik dengan tok wan. Tok wan tak (kacak), badan dia panas ada bulu.”

    Itulah yang didakwa oleh kanak-kanak tersebut selepas dikatakan memandu Toyota Vios milik keluarganya sehingga terbabit kemalangan dalam kejadian di Jalan Bukit Tangga kelmarin.

    Cerita berunsurkan misteri itu timbul berdasarkan perkongsian rakaman skrin audio perbualan di aplikasi WhatsApp yang tular dalam media sosial antara seorang wanita dan kanak-kanak berkenaan yang menjadi perbualan hangat warganet ketika ini.

    Berita Harian melaporkan, satu mesej yang dikongsi di WhatsApp itu juga menyatakan berdasarkan cerita orang kampung yang didakwa rapat dengan ibu kanak-kanak itu memaklumkan pemandu kereta adalah orang tua berbadan besar, hitam dan berbulu mengikut cerita kanak-kanak lelaki terbabit.

    Dakwa mesej itu juga, seorang lagi lelaki digelar ‘pak cik’ dikatakan duduk di sebelah, manakala seorang lagi duduk di belakang selain mendakwa kanak-kanak lelaki itu duduk di riba lelaki tua itu.

    “Pak cik tua tu (itu) la ajaq (ajar) pastu (selepas itu) ajak pi (pergi) kedai tok (atuk)… Adehh seram eh,” kata hantaran mesej itu.

    Menerusi rakaman audio yang tular sejak malam tadi, kanak-kanak dipercayai individu yang memandu kereta berkenaan menceritakan semula kejadian itu dan mendakwa kereta itu turut dinaiki tiga individu yang digelarnya ‘pak cik dan tok wan’.

    Kanak-Kanak berkenaan juga mendakwa dia diajak individu terbabit untuk bermain permainan video apabila wanita itu menyoalnya ke mana individu berkenaan mengajaknya pergi pada malam itu.

    Dia turut menggambarkan wajah lelaki tua itu tidak kacak, badannya berbulu dan panas, manakala seorang lagi digelar pak lang tiada bulu dan pak cik pula yang duduk di hadapan wajahnya agak kacak.

    Sementara itu, turut dikongsi audio percakapan seorang lelaki yang mengulas cerita berkenaan dan turut hairan dengan kejadian itu selain meragui bagaimana kanak-kanak lelaki boleh menarik brek tangan jika ia ditarik dengan betul dan kuat.

    “Yang itu kita pun pening. Kalau kata dia tekan minyak belah (melanggar) dinding rumah itu biasalah. Ini dia boleh keluar daripada rumah, Masuk gear, turun handbrake (brek tangan).

    “Itu tak boleh fikir macam mana dia reserve (undur kereta), corner (membelok), masuk balik keluar pergi ke jalan. Lagi satu handbrake itu kalau betul ditarik (kudrat dewasa) setakat tangan budak tak boleh bawa turun, keras.

    “Tapi bila kita renung (lihat) balik, cuba tengok dia nak jadi (kejadian berlaku ketika itu) dekat titi cawang itu juga.. Kot mana pun aih (tidak kira macam mana juga),” katanya.

    Bagaimanapun individu lelaki dan wanita dalam audi berasingan itu tidak dapat dikenal pasti.

    Semalam, media melaporkan kanak-kanak terbabit dikatakan memandu sejauh 2.5 kilometer (km) dari rumahnya bersama adiknya yang berusia tiga tahun untuk ke kedai bagi membeli mainan.

  • Mangsa diheret buaya ke dalam sungai, kata saksi

    Mangsa diheret buaya ke dalam sungai, kata saksi

    SEORANG pekerja ladang hilang selepas dibaham buaya dalam kejadian di Sungai Rawog, Ladang Linbar 2, di Beluran semalam.

    Mangsa, Rudi Amiruddin, 28, dilaporkan hilang pada pukul 12.30 tengah hari ketika membersihkan diri di sungai berkenaan.

    Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Beluran, Edoen Macheal berkata, pihaknya menerima panggilan kejadian itu daripada polis pada pukul 3.51 petang.

    “Menurut laporan, saksi yang memaklumkan sebelum kejadian mangsa sedang membersihkan kawasan pagar elektrik di dalam kawasan estet yang bersempadan dengan sungai terbabit.

    “Ketika berehat, mangsa pergi ke tepi sungai untuk mencuci tangan dan kakinya namun tiba-tiba seekor buaya muncul dan mengheret mangsa ke dalam sungai.

    “Mangsa sempat menjerit meminta tolong namun tidak dapat dibantu oleh rakannya yang berada di lokasi,” katanya memetik laporan Sinar Harian hari ini.

    Susulan kejadian itu, sebaik laporan diterima seramai empat anggota dikejar ke lokasi yang terletak sejauh 70 kilometer dari BBP Beluran.

    Edoen berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) bersama pasukan keselamatan lain segera dilakukan namun mangsa gagal ditemui semalam.

    “SAR hari kedua disambung semula dengan jarak radius satu kilometer di sekitar lokasi, namun sehingga kini pihak kami belum menemui mangsa,” katanya.

  • Budak enam tahun pandu kereta bawa adik, terbabas langgar tiang elektrik

    Budak enam tahun pandu kereta bawa adik, terbabas langgar tiang elektrik

    Oleh RIZQI ZABIDI

    DUA kanak-kanak lelaki berusia enam dan tiga tahun terlibat dalam kemalangan setelah mereka mengambil kesempatan memandu kereta tanpa disedari ahli keluarga di Langkawi, malam tadi.

    Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu kira-kira pukul 11.15 malam setelah menerima panggilan kecemasan dari orang awam.

    Menurutnya, kanak-kanak berusia enam tahun yang memandu kereta jenis Toyota Vios berwarna putih itu luka di dagu manakala adiknya pula tidak mengalami sebarang kecederaan.

    “Siasatan awal mendapati bapa kanak-kanak itu sedang tidur manakala ibu mereka ke bilik air. Selepas keluar dari bilik air, wanita tersebut mendapati kedua-dua anaknya sudah tiada di rumah.

    “Dianggarkan kereta itu dipandu sejauh kira-kira 2.5 kilometer dari rumah mereka sebelum terbabas dan melanggar tiang lampu di Jalan Bukit Tangga. Kes itu hingga kini masih disiasat,” katanya.

    Melalui video berdurasi seminit 36 saat yang tular di media sosial, orang ramai dilihat terkejut apabila mendapati kereta yang terbabas dipandu oleh kanak-kanak.

    Kanak-kanak itu kemudiannya mendakwa dia memandu kereta itu untuk ke kedai.

    Mengulas lanjut Shariman berkata, siasatan kini dijalankan mengikut Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

    “Siasatan juga dijalankan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya.

  • Pemandu van sekolah maut serangan jantung

    Pemandu van sekolah maut serangan jantung

    SEORANG warga emas meninggal dunia akibat serangan jantung sebelum kenderaan dipandunya terbabas di Jalan Selasih 5, Taman Selasih, Kulim pada pukul 5.55 petang semalam.

    Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Mohd. Redzuan Salleh berkata, pemandu van sekolah tersebut yang berusia 70 tahun itu terbabit dalam perjalanan menghantar murid Kelas Agama dan Fardu Ain (KAFA) pulang ke rumah masing-masing.

    “Siasatan mendapati ketika kejadian ada empat murid KAFA dalam van sekolah berkenaan.

    “Bagaimanapun semua kanak-kanak berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan dan diambil keluarga masing-masing sejurus kejadian.

    “Hasil siasatan juga mendapati mangsa gagal mengawal kenderaan dengan baik sebelum ia terbabas ke kanan jalan dan melanggar papan tanda,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Menurutnya, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian dan mayat dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Kulim untuk bedah siasat.

    Hasil bedah siasat mendapati punca kematian mangsa disebabkan ischaemic heart disease (penyakit jantung iskemik), katanya.

    “Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya lapor Harian Metro.

  • Anggota APM maut dipatuk ular bakal bertunang Aidiladha ini

    Anggota APM maut dipatuk ular bakal bertunang Aidiladha ini

    ANGGOTA Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) yang meninggal dunia selepas dipatuk ular tedung ketika bertugas bakal mengikat tali pertunangan pada Aidiladha ini.

    Lans Koperal Mohd Idris Abdul Samad, 33, meninggal dunia pada pukul 9.30 pagi tadi ketika menjalani rawatan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM).

    Ibunya, Noriah Awang, 67, memberitahu, anak lelaki daripada lima beradik itu akan bertunang dengan gadis pilihan hatinya yang berasal dari Pasir Tumboh, Kota Bharu.

    “Arwah minat dengan haiwan reptilia ini sejak kecil dan dia mempunyai kemahiran mengendalikan haiwan berbisa itu.

    “Dia pernah kehilangan jari tengah pada 2017 akibat dipatuk ular.

    “Saya sentiasa menasihati arwah supaya berhati-hati ketika bertugas dan tidak menyangka perkara yang dibimbangkan selama ini terjadi,” katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Kemasin, Bachok.

    Katanya, Mohd. Idris dipatuk ular pada pukul 8 pagi kelmarin ketika memindahkan ular dari guni ke sangkar.

    “Pada Isnin malam sekitar pukul 11 pagi, dia beritahu merasa tidak selesa di bahagian dada.

    “Pada pukul 3 pagi, anak saya sudah kritikal kerana bisa ular telah menyerang bahagian buang pinggangnya,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Sementara itu, Pengarah APM Kelantan, Mohd. Adzhar Mujab menberitahu, Mohd. Idris sudah berkhidmat selama 14 tahun sebagai anggota APM di Kota Bharu.

    Menurut beliau, Allahyarham merupakan seorang anggota yang komited dan terlatih dalam menangkap haiwan berbisa.

    Jenazah lans koperal itu dikebumikan selepas solat Zohor diiringi keluarga, rakan serta anggota APM Kelantan.

  • Wanita cedera, tujuh kenderaan rosak dirempuh pemandu sawan

    Wanita cedera, tujuh kenderaan rosak dirempuh pemandu sawan

    Oleh ABU UBAIDLLAH RAHMAN

    SEORANG wanita merempuh tujuh kenderaan dan mengakibatkan seorang pejalan kaki patah kaki di Pekan Nanas, Pontian hari ini.

    Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Mohammad Shofee Tayib berkata, wanita berkenaan yang memandu kereta Toyota Vios, Siti Faraisyah Mahfoz, 25, diserang sawan sebelum melanggar kenderaan dan pejalan kaki terbabit.

    “Siti Faraisyah bagaimanapun terselamat walaupun kenderaannya terbalik dalam kejadian pada pukul 7.10 pagi itu.

    “Kejadian berkenaan melibatkan lima motosikal dan dua kereta yang diletakkan di bahu jalan berhampiran dua kedai makan.

    “Siasatan mendapati kejadian berlaku semasa Siti Faraisyah yang dalam perjalanan pulang ke rumahnya mengalami sawan dan hilang kawalan lalu melanggar seorang pejalan kaki yang dikenali sebagai Zahara sebelum merempuh kenderaan lain.

    “Zahara yang bekerja sebagai pembantu kedai makan di kawasan tersebut mengalami di bahagian leher dan dihantar ke Hospital Pontian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Shofee berkata, dua motosikal yang dirempuh itu mengalami kerosakan di seluruh bahagian manakala yang lain pada bahagian belakang dan sisi kanan, sementara sebuah kereta rosak seluruh bahagian.

    Jelasnya, ketika kejadian semua pemilik kereta dan motosikal terlibat sedang atau selesai menikmati sarapan.

    Tambah beliau, kes disiasat bawah Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

    Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pekan Nanas, Penguasa Bomba Kanan II Mohd. Asnawi Jumaat berkata,
    lapan anggota dengan sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dikejarkan ke tempat kejadian.

    “Siasatan mendapati pejalan kaki yang dilanggar merupakan seorang wanita warga asing. Pihak bomba menggunakan ‘streacher’ untuk memindahkan mangsa pejalan kaki yang mengalami patah kaki,” katanya.

    Mohd. Asnawi berkata, oeprasi tersebut selesai kira-kira pada pukul 8 pagi.

  • Lelaki maut dihempap kayu balak

    Lelaki maut dihempap kayu balak

    SEORANG lelaki maut selepas dipercayai dihempap kayu balak di kilang papan Sri Wangi, Kawasan Perindustrian Gua Musang, Gua Musang, pukul 2.15 petang semalam.

    Insiden berlaku ketika mangsa berusia 53 tahun sedang menurunkan kayu balak dari lori menggunakan kaedah yang biasa iaitu membuka empat rantai dan ‘chain-lock’ kecuali bahagian tengah.

    Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintenden Sik Choon Foo berkata, siasatan awal mendapati selepas membuka ‘chain lock’ mangsa telah pergi ke arah kanan lori dan bertindak menarik rantai terbabit.

    “Perbuatan tersebut telah menyebabkan sebatang balak telah jatuh lalu menghempap badan mangsa.

    “Rakannya yang berada di lokasi kemudiannya telah membawa mangsa ke Hospital Gua Musang untuk mendapatkan rawatan lanjut dan disahkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Menurut beliau, siasatan polis di tempat kejadian mendapati bahawa tiada unsur jenayah yang berlaku.

    “Hasil bedah siasat mendapati sebab kematian mangsa ialah ‘massive blood loss secondary’.

    “Siasatan lanjut masih diteruskan dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya lapor Sinar Harian.

  • Lelaki maut, treler terjunam ke dalam gaung

    Lelaki maut, treler terjunam ke dalam gaung

    SEORANG lelaki maut, manakala rakannya cedera selepas treler dinaiki mereka terbabas dan terjunam ke gaung di Jalan Tenom-Kemabong di Tenom, Sabah.

    Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Sabah berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Tenom digerakkan ke lokasi selepas menerima makluman pada 9.50 pagi semalam.

    Beliau berkata, kemalangan itu membabitkan sebuah treler yang terbabas lalu jatuh ke gaung.

    “Terdapat dua mangsa terbabit, seorang mangsa dihantar ke hospital oleh ambulans sebelum ketibaan pasukan bomba.

    “Seorang lagi mangsa yang berada di luar kenderaan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan,” katanya menurut Harian Metro.

    Beliau berkata, mayat mangsa serahkan kepada polis untuk tindakan lanjut dan operasi tamat pada 11.42 pagi.