Category: Kemalangan / Bencana

  • Hanyut dibawa arus, 2 remaja 15 tahun ditemukan lemas

    Hanyut dibawa arus, 2 remaja 15 tahun ditemukan lemas

    DUA remaja lelaki dilaporkan hilang Jumaat lalu selepas dihanyutkan arus sungai semasa mandi di Sungai Rajang berdekatan pekan Durin, kira-kira 26km dari Sibu, ditemukan lemas hari ini.

    Ketua Bomba Sibu, Andy Alie, berkata mangsa pertama, Justin Siaw ditemukan pada 7.35 pagi, manakala mangsa kedua Kong Wei Seng pada 8.15 pagi.

    Beliau berkata, kedua-dua mangsa yang berusia 15 tahun ditemukan pada jarak antara lima dan 10km dari lokasi kejadian.

    “Pengecaman kedua-dua mangsa dilakukan ibu bapa masing-masing di lokasi,” katanya menurut Bernama.

    Dalam kejadian kira-kira 5 petang itu, dua remaja itu dikatakan sedang mandi di sungai berkenaan bersama seorang lagi rakan, apabila kedua-duanya dilihat dibawa arus dan terus tenggelam, kira-kira 10m dari jeti berhampiran.

    Rakan mangsa yang menyaksikan kejadian itu bergegas memaklumkan kepada saudara-mara untuk meminta bantuan.

  • Lelaki maut, bakal tunang parah selepas balik beli cincin pertunangan

    Lelaki maut, bakal tunang parah selepas balik beli cincin pertunangan

    LELAKI maut manakala tunangnya parah selepas terbabit dalam kemalangan di Kilometer 105 Jalan Kuala Terengganu-Kuantan, berhampiran Terminal Minyak Mentah (TCOT) dekat Kerteh, pukul 11 malam tadi.

    Ketua Polis Daerah Kemaman Superintendan Hanyan Ramlan berkata, Muhammad Alif Hafizzudin Samsul, yang beralamat di Kampung Bukit Kuang, Kemaman, maut di tempat kejadian.

    “Bakal tunangnya, berusia 20-an dan berasal dari Kampung Seberang Pintasan, Dungun, parah dan dihantar ke Hospital Kemaman untuk rawatan lanjut.

    “Kejadian, kedua-dua mangsa menaiki kereta dari arah Kerteh menghala ke Dungun,” katanya dalam kenyataan.

    Menurutnya, kemalangan dipercayai berlaku apabila sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) dari arah Dungun ke Kemaman dipercayai hilang kawalan sebelum melepasi pembahagi jalan.

    Katanya, MPV terbabit kemudiannya memasuki laluan kanan dan keadaan itu menyebabkan kereta yang dipandu mangsa gagal mengelak lalu bertembung dengan MPV terbabit.

    Jelasnya, pertembungan kuat itu menyebabkan kereta dipandu mangsa remuk dan terbalik.

    Hanyan berkata, ketika kejadian, mangsa dikatakan dalam perjalanan menghantar tunangnya pulang ke Dungun selepas membeli cincin pertunangan mereka di Kemaman.

    Tambahnya, mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Bilik Forensik Hospital Kemaman untuk siasatan lanjut sebelum diserahkan kepada ahli keluarganya untuk urusan pengebumian.

    “Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya, lapor Harian Metro.

  • Ribuan ikan mati akibat cuaca panas

    Ribuan ikan mati akibat cuaca panas

    RIBUAN ikan di tasik Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Gong Badak, Kuala Nerus, mati sejak semalam akibat fenomena El Nino.

    Ini kerana cuaca panas melampau sejak Mac lalu meningkatkan lagi suhu permukaan tasik, sekali gus mengurangkan kapasiti simpanan oksigen dalam air.

    Felo Penyelidik Institut Penyelidikan Alam Sekitar (Eseri) UniSZA, Fathurrahman Lananan, berkata kekurangan oksigen di tasik berkenaan dikenal pasti menjadi punca kematian ikan terbabit yang sebilangan besarnya spesies tilapia.

    “Kita sudah menjalankan pemeriksaan sampel air tasik dan mendapati bacaan oksigennya terlalu rendah. Selain cuaca panas, kita syak kekurangan oksigen itu juga disebabkan kemasukan nutrien sisa air domestik daripada sistem perparitan taman perumahan berhampiran,” katanya lapor Berita Harian.

    Fathurrahman berkata, pertembungan faktor nutrien daripada sisa buangan domestik yang pekat ditambah peningkatan suhu permukaan tasik memburukkan keadaan.

    Katanya, kenaikan mendadak oksigen biologikal (BOD) boleh mengakibatkan bacaan oksigen air menjadi sifar, sekali gus mematikan ekosistem dalam sungai seperti ikan dan tumbuhan.

    “Ini kali kedua insiden ikan mati di tasik UniSZA akibat sebab yang sama sejak tasik ini dijadikan komponen tebatan banjir kawasan setempat mulai 2017,” katanya.

    Susulan itu, Fathurrahman berkata, pihaknya turut memohon kerajaan meluluskan segera projek Loji Rawatan Air (LRA) bagi menampung kemasukan air domestik di tasik berkenaan.

  • Pegawai bomba maut terlanggar kerbau

    Pegawai bomba maut terlanggar kerbau

    SEORANG  pegawai bomba maut selepas motosikal ditunggangnya dipercayai terlanggar seekor kerbau di Kampung Purun, Kuala Penyu, malam tadi. 

    Ketua Polis Daerah Beaufort DSP Yusoff Zaki Mat Yaacob berkata mangsa, Mohd Haziq Abdul Jalil, 32, yang bertugas di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kimanis, disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Kuala Penyu pada 11.30 malam.

    “Siasatan awal di tempat kejadian mendapati kemalangan kira-kira 8.40 malam itu berlaku ketika mangsa menunggang motosikal dalam perjalanan pulang ke rumah di Kampung Tidong, Kuala Penyu.

    “Apabila tiba di lokasi kejadian, mangsa dipercayai terlanggar seekor kerbau yang berada di atas jalan dan menyebabkannya terjatuh ke atas jalan raya,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.

    Beliau berkata Mohd Haziq kemudian dihantar ke Hospital Kuala Penyu dengan ambulans, namun disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan akibat cedera parah di bahagian kepala dan badan.

    Sementara itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah dalam kenyataan memaklumkan pihaknya menerima laporan berkaitan kejadian itu pada 10.30 malam.

    “Empat anggota bomba digegaskan ke lokasi kejadian dan apabila tiba, pihak operasi dimaklumkan terdapat seorang mangsa terlibat iaitu anggota BBP Kimanis telah ditemukan orang awam dalam keadaan tidak sedarkan diri.

    “Mangsa telah dihantar ke Hospital Kuala Penyu oleh ambulans sebelum ketibaan pasukan bomba. Operasi kemudian ditamatkan pada 11.40 malam,” katanya.

  • 30 hektar kawasan hutan terbakar di Pekan

    30 hektar kawasan hutan terbakar di Pekan

    Kira-kira 30 hektar kawasan hutan berhampiran Ladang KMT Jalan Pekan-Nenasi, Pekan dilaporkan terbakar akibat cuaca panas, hari ini. 

    Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang Datuk Dr Wan Mohammad Zaidi Wan Isa berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berkaitan kejadian kira-kira 7.55 pagi.

    Beliau berkata seramai 26 pegawai dan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Pekan, Peramu, Nenasi serta Gebeng digegaskan ke lokasi kejadian bagi operasi pemadaman, yang masih dilakukan sehingga kini.

    “Lokasi kebakaran adalah kawasan tanah gambut, jadi bila cuaca sangat panas dan terdapat punca nyalaan, ia mengakibatkan kawasan belukar itu mudah terbakar,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

    Selain bomba, operasi pemadaman turut menerima bantuan daripada 11 pekerja ladang selain badan bukan kerajaan (NGO) yang menerbangkan dron bagi memantau lokasi kebakaran dari udara.

    Tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian itu.

  • Akibat ‘microsleep’, lelaki rempuh lima kenderaan

    Akibat ‘microsleep’, lelaki rempuh lima kenderaan

    LIMA buah kenderaan yang diparkir di Jalan TTDI Groove 1/2, di sini dirempuh sebuah kereta, pada Selasa lalu selepas pemandunya terlelap sejenak atau ‘microsleep’.

    Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, kemalangan itu dilaporkan berlaku kira-kira jam 9 pagi.

    Katanya, siasatan awal mendapati pemandu kereta Perodua Myvi berusia 34 tahun itu dalam perjalanan dari Jalan TTDI Groove 1/1 menghala ke rumahnya di Taman Jelok Indah selepas membuat kerja penghantaran barang.

    “Sebaik tiba di Jalan TTDI Groove 1/2, pemandu terbabit mengalami ‘microsleep’ lalu termasuk ke laluan bertentangan. Perodua Myvi itu terlanggar lima kenderaan di petak parkir sebelum serpihan kenderaan terbabit telah terkena pada seorang pekerja pembersihan yang sedang menyapu di jalan berhampiran,” katanya dalam kenyataan, hari ini, lapor Sinar Harian.

    Beliau berkata, pekerja pembersihan terbabit telah dibawa ke Hospital Kajang untuk mendapatkan rawatan.

    Katanya, semua pemilik kenderaan terbabit selesai membuat laporan pada jam 4 petang, hari yang sama.

    “Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan orang awam diminta untuk tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kejadian itu,” ujarnya.

    Tambahnya, mana-mana individu yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu di boleh menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

  • Enam penumpang cedera ringan bas ekspres rempuh belakang lori

    Enam penumpang cedera ringan bas ekspres rempuh belakang lori

    ENAM penumpang bas ekspres cedera ringan apabila kenderaan merempuh belakang sebuah lori di Lebuhraya Utara Selatan berdekatan Kuala Kangsar, awal pagi ini.

    Dalam kenyataan hari ini, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat (JBPM) Perak, Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, mereka menerima maklumat mengenai kejadian itu pada pukul 2.46 pagi. 

    ‘’Berdasarkan maklumat daripada pemandu bas ekpres, bas itu yang membawa 26 penumpang dalam perjalanan dari Pulau Pinang ke KL Sentral telah terlanggar bahagian belakang sebuah lori. Terdapat enam orang mangsa telah mengalami kecederaan tetapi tiada mangsa tersepit,” katanya.

    Beliau berkata,  anggota bomba memberi rawatan awal kepada mangsa sebelum dihantar ke hospital dengan jentera EMRS dan ambulan Kementerian Kesihatan (KKM).

    Mohamadul berkata, bas tersebut dipercayai menghadapi masalah brek dan pemandu dikatakan terpaksa melanggar pembahagi jalan bagi mengelakkan risiko kemalangan lebih teruk. 

    Operasi yang diketuai Pegawai Bomba Kanan II Saiful Hanif Mahmad Ayub tamat jam 3.40 pagi.

  • Lelaki maut disengat tebuan

    Lelaki maut disengat tebuan

    Oleh BADLISHAH MAT

    SEORANG lelaki meninggal dunia dipercayai akibat disengat tebuan tanah dalam kejadian di Kampung Sidam Kanan, Padang Serai di Kulim pada petang semalam.

    Kejadian terbabit berlaku pada pukul 4.35 petang ketika mangsa, Muhammad Sazwan Marzuki, 28, yang merupakan pemilik kedai peralatan perkakasan mengendalikan sebuah jentera jengkaut.

    Mangsa terlebih dahulu mengadu bahagian kepalanya sakit akibat disengat serangga terbabit.

    Ketua Polis Daerah Kulim, Superintenden Mohd. Redzuan Salleh berkata, terdapat sarang tebuan pada jentera jengkaut yang lama tidak digunakan.

    “Pada awal kejadian, abang mangsa bersama seorang rakan membawanya ke sebuah klinik swasta di Taman Jaya, Padang Serai untuk rawatan awal.

    “Bagaimanapun pihak klinik terbabit meminta mangsa segera dirujuk ke wad kecemasan Hospital Kulim.

    “Mangsa diberikan rawatan di zon merah tetapi doktor yang merawat mangsa kemudianya mengesahkan mangsa telah meninggal dunia,” katanya.

    Mohd. Redzuan berkata, anggota Balai Polis Padang Serai turut diarahkan menjalankan siasatan bagi memastikan kematian mangsa bukan disebabkan kejadian jenayah.

    “Proses bedah siasat telah dijalankan pada pukul 10.45 pagi hari ini di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar namun punca kematian belum diperolehi,” katanya.

  • Dua pelajar KKTM lemas di air terjun

    Dua pelajar KKTM lemas di air terjun

    DUA pelajar Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM) Kemaman lemas ketika mandi bersama rakan-rakan mereka di kawasan Air Terjun Lubuk Kain, Kampung Syukur, dekat Dungun, pukul 11.20 pagi tadi.

    Mayat mangsa, Ahmad Syahid Hamdan,19, dari Kampung Tuk Jembal, Kuala Nerus dan Muhammad Ridhwan Zawawi,19, dari Kampung Bukit Payung ditemui pada pukul 12.15 tengah hari.

    Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah, berkata sebelum kejadian itu, sekumpulan pelajar terbabit dari Kemaman datang berkelah di situ pada kira-kira pukul 11 pagi.

    “Kedua-dua mangsa bersama seorang lagi rakannya dikatakan naik ke tingkat atas di kawasan berbatu di situ.

    “Kedua-dua mangsa dikatakan terjun ke dalam air, manakala seorang lagi tidak berbuat demikian.

    “Rakan mangsa tidak menyedari kedua-dua rakannya itu lemas dan tidak muncul di permukaan air kerana dilindungi kawasan berbatu di situ,” katanya.

    Baharudin berkata, seorang pengunjung yang menyaksikan kedua-dua mangsa yang lemas, kemudian memaklumkan kepada rakannya yang berada di kawasan berbatu itu.

    Beberapa pengunjung yang berada di situ katanya, tidak berani memberi bantuan kerana air di kawasan itu berpusar dan sangat dalam.

    “Orang ramai kemudian meminta bantuan penduduk kampung yang segera memberi pertolongan,” katanya.

    Baharudin berkata, polis yang menerima laporan kejadian itu, tiba bersama sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba Dan Penyelamat Bandar Al Muktaffi Billah Shah bagi operasi menyelamat.

    Menurutnya, mayat pertama, Muhammad Ridhwan ditemui pukul 12.08 minit, manakala mayat Ahmad Syahid ditemui pukul 12.15 tengah hari pada kedalaman air kira-kira empat meter.

    “Mayat kedua-dua mangsa kemudian dibawa ke Bilik Forensik Hospital Dungun untuk siasatan lanjut dan keluarga kedua-dua mangsa sudah dimaklumkan berhubung kejadian itu,” katanya, lapor Berita Harian.

  • Mayat Orang Asli dipercayai dibaham harimau ditemukan

    Mayat Orang Asli dipercayai dibaham harimau ditemukan

    MAYAT lelaki Orang Asli suku kaum Bateq yang hilang ketika memancing dipercayai dibaham harimau Selasa lepas, ditemukan di Kuala Sungai Tunggul semalam.

    Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, mayat Halim Asin, 27, dijumpai oleh pasukan penyelamat pada pukul 5.10 petang dalam keadaan terlungkup dan tersangkut pada tunggul kayu pada jarak kira-kira dua kilometer (km) dari tempat kejadian.

    “Mayat ditemukan dalam keadaan separuh bogel dan hanya memakai baju berwarna gelap, dipercayai hanyut dari tempat kejadian sehingga ditemukan pasukan mencari dan menyelamat (SAR) yang memulakan operasi pagi semalam,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) Kampung Aring 5 di Gua Musang hari ini.

    Mengulas lanjut, Choon Foo berkata, berikutan keadaan persekitaran di hutan yang gelap dan agak berbahaya, pasukan penyelamat mengambil keputusan untuk mengeluarkan mayat mangsa pagi tadi dan tiba ke tebing Sungai Aring 5 kira-kira pukul 12.30 tengah hari.

    Beliau berkata, mayat mangsa dibawa ke unit Forensik Hospital Gua Musang untuk proses bedah siasat.

    Choon Foo berkata, misi SAR itu melibatkan lapan anggota Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dan dua anggota Pasukan Gerakan Am (PGA), serta polis menamatkan SAR itu berikutan penemuan mayat mangsa.

    Sementara itu, abang ipar mangsa Kuang Cemetong, 31, yang menyertai operasi SAR dari hari pertama pencarian Rabu lepas meluahkan rasa lega kerana mayat Halim berjaya ditemukan.

    “Saya adalah antara orang pertama yang melihat mayat mangsa. Perasaan ketika itu sangat sedih, namun lega apabila Halim akhirnya dijumpai.

    “Keluarga masih belum dimaklumkan tentang berita penemuan ini dan balik nanti saya akan beritahu kepada ayah, kakak serta anaknya,” katanya.

    Terdahulu, media melaporkan Halim hilang ketika memancing bersama anak saudaranya Alang Kuang, 8, di Sungai Aring 5, dikhuatiri menjadi mangsa serangan harimau.