Category: Kemalangan / Bencana

  • Dibawa arus selepas jatuh sungai, remaja ditemui lemas

    Dibawa arus selepas jatuh sungai, remaja ditemui lemas

    SEORANG remaja yang dibawa arus deras ketika mandi sungai di Penempatan Orang Asli Kampung Gabong dekat Bentong, Pahang ditemui lemas semalam.

    Mayat Muhammad Syafiq Akmal Zaidi, 17, ditemui pada 9.35 malam tadi.

    Mangsa yang tinggal di Felda Lakum, Lanchang, dikatakan ke D’Kasai Riverside (Monkey Rock) bersama tiga rakannya pada 5.10 petang.

    Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, mayat mangsa ditemui skuad Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) pada kedalaman 3m di sekitar lokasi mangsa dipercayai terjatuh.

    “Bagaimanapun, mangsa dipercayai tergelincir dan jatuh ke dalam sungai serta dibawa arus deras.

    “PPDA turut membantu menaikkan mangsa kerana air terlalu deras,” katanya menurut Harian Metro.

    Beliau berkata, 10 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Bentong bersama dua jentera bergegas ke tempat kejadian selepas menerima maklumat.

    Katanya, mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

  • Remaja dikhuatiri lemas ketika mandi sungai

    Remaja dikhuatiri lemas ketika mandi sungai

    SEORANG remaja lelaki dikhuatiri lemas selepas hilang dibawa arus ketika mandi bersama tiga rakan di sungai berhampiran D’kasai Riverside (Monkey Rock) Kampung Orang Asli Gabong, Bentong hari ini.

    Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, mangsa dikenali sebagai Muhammad Syafiq Akmal Zaidi, 17, dari Felda Lakum, Lanchang,Temerloh.

    “Pihak bomba menerima laporan berhubung kejadian pukul 5.10 petang sebelum 10 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bentong ke lokasi untuk operasi mencari dan menyelamat (SAR).

    “Operasi SAR dilakukan melalui pencarian di permukaan sekitar kawasan lokasi mangsa dilaporkan terjatuh.

    “Setakat pukul 6 petang mangsa belum ditemui dan operasi pencarian masih dijalankan,” katanya, lapor Sinar Harian.

  • Azriyani jemput semua ke rumah sebelum maut bersama 4 anak

    Azriyani jemput semua ke rumah sebelum maut bersama 4 anak

    AZRIYANI Abdul Latif, 45, yang maut bersama empat anak dalam nahas di Kilometer 310.2 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah selatan, dekat Kampar, awal pagi tadi, dalam perjalanan pulang ke kampung di Tapah untuk membawa bapanya ke hospital.

    Menurut anaknya, Ahmad Danish Basyir Nasaruddin, 16, ibu bersama empat adik beradiknya bertolak dari rumah mereka di Kuala Kangsar lewat malam tadi ke rumah kampung di Tapah Road kerana datuknya perlu menjalani pemeriksaan kesihatan, dijadualkan pagi ini.

    Menurut anak keempat daripada lapan beradik itu, dia diberitahu mengenai kejadian menimpa ibu, abang dan tiga adiknya itu oleh kakak saudara, kira-kira pukul 7.30 pagi tadi ketika berada di sekolahnya, Sekolah Izzuddin Shah, Ipoh.

    Ketika ditemui pemberita di luar Unit Forensik, Hospital Kampar, di Kampar hari ini, Ahmad Danish Basyir berkata, dia pada mulanya tidak percaya dengan apa yang diberitahu oleh kakak saudaranya itu.

    “Waktu itu saya tak percaya, takut dia main-main, tapi selepas cikgu panggil saya, maka saya percaya dan terus datang sini (hospital). Saya diberitahu, emak dan lain-lain ke Tapah sebab nak bawa datuk jalani pemeriksaan di hospital yang sepatutnya pagi ini,” katanya.

    Nahas pukul 2.27 pagi tadi itu turut mengorbankan anak sulung Azriyani, Muhammad Azib, 23; anak keenam, Siti Nur Aminah, 8; anak ketujuh, Muhammad Fawwaz, 7, dan anak bongsu, Ahmad Uwais Al Qorni, 5.

    Proton Saga dinaiki keluarga itu dipercayai hilang kawalan sebelum melanggar belakang lori membawa muatan pasir, menyebabkan Ahmad Uwais Qorni, Siti Nur Aminah, Muhammad Azib dan Azriyani maut di tempat kejadian, manakala Muhammad Fawwaz meninggal dunia di Hospital Tapah.

    Ahmad Danish Basyir berkata, dia terlalu rapat dengan Ahmad Uwais Al Qorni dan kali terakhir mereka berkumpul sekeluarga ialah ketika cuti perayaan Aididilfitri lalu sebelum pulang ke asrama sekolahnya.

    “Adik bongsu amat rapat dengan saya, dia manja dan kami kerap tidur satu bilik. Ketika hantar saya ke asrama, emak pesan agar pandai jaga diri ketika di asrama, belajar rajin-rajin, jangan buat masalah,” katanya.

    Sementara itu, sepupu Azriyani, Nur Haniza Abdul Hamid, 36, Azriyani menjemputnya datang ke rumah di Taman Bunga Raya, Kuala Kangsar, melalui aplikasi WhatsApp semalam.

    “Semalam kali terakhir saya berhubung dengan arwah melalui WhatsApp, dia jemput semua datang ke rumahnya sempena Syawal yang masih berbaki. Kali ini, semua akan datang rumahnya (untuk majlis pengkebumian),” katanya, lapor Berita Harian.

    Menurut Nur Haniza, lima beranak itu dijangka dikebumikan di Kampung Paya Panjang, Padang Rengas.

  • Mangsa kelima nahas kereta, lori di Kampar meninggal dunia

    Mangsa kelima nahas kereta, lori di Kampar meninggal dunia

    KANAK-KANAK yang parah dalam kemalangan di Kilometer 310.2 Lebuh Raya Utara Selatan, arah selatan, dekat Kampar, hari ini, meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Tapah, pagi ini.

    Ketua Polis Daerah Kampar, Suptenden Mohamad Nazri Daud berkata, Muhammad Fawwaz Nasaruddin, 7 tahun, disahkan meninggal dunia pukul 9.20 pagi, lapor Astro Awani.

    Terdahulu, media melaporkan empat beranak maut manakala seorang lagi parah, apabila kereta yang mereka naiki dipercayai melanggar belakang sebuah lori tanah sebelum terbakar di Kilometer 310.2 Lebuh Raya Utara Selatan, arah selatan, Kampar, awal pagi ini.

    Mangsa yang maut ialah Azriyani Abdul Latif, 45, dan tiga anaknya, Muhammad Azib, 23 tahun, Siti Nur Aminah, 8 tahun, dan Ahmad Uwais Al Qorni, 5 tahun.

    Muhammad Fawwaz, yang cedera parah dikejarkan ke Hospital Tapah.

    Mohamad Nazri dalam kenyataan sebelum ini berkata, siasatan awal mendapati, kereta yang dipandu Muhammad Azib dari arah Ipoh ke Kuala Lumpur.

    Menurutnya, apabila sampai di tempat kejadian kereta berkenaan telah melanggar bahagian belakang lori di lorong sebelah kiri.

    Katanya, bedah siasat akan dilakukan di Hospital Kampar pagi ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

  • Pemandu rentung dalam kemalangan tiga lori balak

    Pemandu rentung dalam kemalangan tiga lori balak

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG pemandu rentung selepas terlibat dalam nahas melibatkan tiga lori bawa muatan kayu balak di Jalan Utama, Kampung Temehel, Yong Peng, Batu Pahat pagi tadi.

    Pihak bomba menerima panggilan kecemasan berhubung kemalangan berkenaan yang berlaku berhampiran Klinik Kesihatan Yong Peng pada pukul 3.14 pagi.

    Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Yong Peng, Penolong Penguasa Bomba Asyraf Nur Mohd Yusuff berkata, lapan anggota dari BBP Yong Peng, enam anggota BBP Ayer Hitam dan dua BBP Penggaram bersama dua jentera Fire Rescue Tender (FRT), satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan jentera (EMRS), lori tangki dan Fire Response Vehicle (FRV ) dihantar ke lokasi.

    “Kemalangan melibatkan tiga lori jenis Volvo membawa muatan kayu balak. Sebuah lori terbakar dan akibat kemalangan itu dua pemandu tersepit,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Beliau berkata, seorang pemandu lelaki berusia 39 tahun terperangkap dalam lori itu dan tidak dapat menyelamatkan diri sebelum rentung.

    “Pihak bomba mengeluarkan mayat yang rentung dan seorang lagi pemandu lelaki yang berusia 29 tahun tersepit dan cedera dengan menggunakan peralatan khas. Semua mangsa yang terlibat diserahkan kepada pihak polis,” ujar beliau.

    Tambahnya, seorang lagi pemandu berusia 30 tahun terselamat dan operasi tamat pada pukul 8.38 pagi.

  • Empat beranak maut, seorang parah dalam kemalangan kereta-lori

    Empat beranak maut, seorang parah dalam kemalangan kereta-lori

    EMPAT sekeluarga maut manakala seorang lagi parah, apabila kereta yang mereka naiki dipercayai melanggar belakang sebuah lori tanah sebelum terbakar di Kilometer 310.2 Lebuh Raya Utara Selatan, arah selatan, awal pagi ini.

    Mangsa yang maut dikenali sebagai Azriyani Abdul Latif, 45 tahun, dan tiga anaknya, Muhammad Azib Nasaruddin, 23 tahun, Siti Nur Aminah, 8 tahun, dan Ahmad Uwais Qorni, 5 tahun.

    Sementara mangsa yang parah ialah seorang lagi anaknya, dikenali sebagai Muhammad Fawwaz, 7 tahun.

    Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat (JBPM) Perak Mohamadul Ehsan Mohd. Zain berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu pada pukul 2.06 pagi.

    “Kemalangan melibatkan sebuah kereta Proton Saga yang melanggar bahagian belakang lori muatan tanah jenis Volvo dan terbakar di bahagian bonet.

    “Terdapat dua mangsa yang tersepit dan kebakaran dipadamkan oleh orang awam menggunakan alat pemadam api.

    “Mangsa yang terlibat adalah enam orang. Empat disahkan maut oleh pegawai Kementerian Kesihatan manakala seorang dibawa ke Hospital Tapah oleh anggota EMRS Gopeng.

    “Terdapat mangsa yang maut telah melecur di bahagian anggota badan,” katanya dalam kenyataan di Kampar hari ini.

    Menurutnya lagi, anggota bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit dengan menggunakan peralatan menyelamat dan menyerahkannya kepada pihak polis dan ambulans.

    Katanya, mangsa yang maut dibawa ke Hospital Kampar untuk tindakan selanjutnya.

    Operasi yang diketuai Penolong Kanan Penguasa Bomba Nadzri Che Nordin itu tamat jam 4.25 pagi.

    Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kampar Suptritenden Mohamad Nazri Daud berkata, siasatan awal mendapati, kereta tersebut dipandu Muhammad Azib dari arah Ipoh ke Kuala Lumpur.

    Menurutnya, apabila sampai ditempat kejadian kereta berkenaan telah melanggar bahagian belakang lori di lorong sebelah kiri.

    ‘Bedah siasat akan dilakukan di Hospital Kampar pagi ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya lapor Astro Awani.

  • Lelaki Pakistan rentung van terbakar langgar lori muatan batu

    Lelaki Pakistan rentung van terbakar langgar lori muatan batu

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    LELAKI warga Pakistan rentung selepas terlibat van dinaiki terlibat kemalangan melibatkan empat kenderaan di Kilometer 52 Lebuhraya Utara Selatan, Simpang Renggam, Kluang kira-kira pukul 5.30 petang tadi.

    Kemalangan tersebut melibatkan sebuah van jenis Toyota Hiace, lori Isuzu, kereta Toyota Camry dan Honda Civic.

    Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Renggam, Penolong Penguasa Bomba Nizar Mamun berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian tersebut pada pukul 5.39 petang.

    Menurutnya, kemalangan tersebut melibatkan sebuah van jenis Toyota Hiace, lori Isuzu, kereta Toyota Camry dan Honda Civic.

    “Kejadian berlaku apabila van berkenaan yang dinaiki tiga lelaki semuanya dipercayai warga Pakistan terlibat kemalangan di arah utara lebuh raya itu dengan sebuah lori 5 tan yang membawa muatan batu.

    “Akibatnya van tersebut terbalik dan merempuh pembahagi jalan sebelum terbakar. Dua lelaki yang berada van berjaya menyelamatkan diri manakala seorang lagi yang tidak dikenali idenditinya rentung,” katanya ketika dihubungi.

    Jelasnya, lori berkenaan turut terbalik dengan muatan batu berterabur atas jalan dan turut terpelanting ke laluan bertentangan.

    Pada masa sama katanya, kereta Toyota Camry dan Honda Civic datang dari arah bertentangan iaitu arah selatan tidak sempat mengelak muatan batu yang jatuh sehingga mengakibatkan kemalangan.

    “Pemandu lori berkenaan tidak diketahui cedera atau tidak kerana semasa bomba tiba dia sudah tidak berada di lokasi manakala empat mangsa dalam Toyota Camry dan seorang mangsa lelaki dalam Honda Civic selamat,” ujar beliau.

    Menurut Nizar yang juga Komander Operasi dari BBP tersebut, sembilan anggota sebuah jentera ‘Fire Rescue Tender’ (FRT) terlibat dalam operasi berkenaan yang selesai pada pukul 6.39 petang.

  • Titi Hayun, Sungai Seri Perigi di Yan dilanda kepala air

    Titi Hayun, Sungai Seri Perigi di Yan dilanda kepala air

    Oleh BADLISHAH MAT

    KIRA-kira 30 buah keluarga yang tinggal di sepanjang Sungai Titi Hayun dan Sungai Seri Perigi di Yan gusar apabila kejadian kepala air berlaku di kaki Gunung Jerai, petang ini.

    Namun, limpahan air sejak pukul 6.40 petang itu setakat ini tidak memasuki rumah mereka.

    Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Yan, Penolong Penguasa Bomba Norhamidi Ali berkata, hujan lebat di puncak gunung dipercayai bermula kira-kira pukul 6 petang sebelum berlarutan hampir sejam kemudian.

    “Pemantauan yang dilakukan sebaik hujan lebat mendapati paras kedua-dua air sungai melebihi paras biasa dan segera mengarahkan penduduk mengambil langkah keselamatan.

    “Walaupun arus deras hingga menyebabkan air melimpah memenuhi jalan di kawasan berkenaan, namun sehingga kini tiada rumah penduduk yang dimasuki air,” katanya.

    Kata Norhamidi, selain pihak bomba, pelbagai agensi lain turut membuat pemantauan dan sehingga pukul 8.15 malam ini, keadaan masih terkawal dan tiada penduduk dipindahkan.

    “Kami bersama agensi lain masih memantau keadaan berdasarkan keadaan hujan yang dijangka berlaku malam ini dan menasihatkan penduduk supaya lebih peka dengan
    keadaan semasa,” katanya.

    Dalam kejadian kepala air di Gunung Jerai pada 18 Ogos 2021, enam mangsa terkorban manakala 1,732 rumah, 124 premis dan 14 chalet pelancongan desa turut terjejas akibat fenomena alam itu.

  • Mayat nelayan dibaham buaya ditemui terapung

    Mayat nelayan dibaham buaya ditemui terapung

    MAYAT nelayan disyaki dibaham buaya ditemui terapung di di perairan Kampung Nala Lama Tungku, Lahad Datu hari ini.

    Mayat Rusbin Asri, 40, ditemukan oleh orang awam pada pukul 6.45 pagi tadi kira-kira 15 kilometer dari mangsa dilaporkan dibaham buaya dalam kejadian Jumaat lalu.

    Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu Sumsoa Rashid berkata, pihaknya menerima laporan penemuan mayat itu daripada pihak polis.

    “Pasukan bomba dan agensi bantuan bergerak ke lokasi dan seterusnya mayat dibawa ke Kampung Makuau untuk proses pengecaman daripada pihak keluarga,” katanya ketika dihubungi.

    Katanya, mangsa kemudian disahkan sebagai nelayan yang dilaporkan dalam kejadian ini dan mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

    Sementara itu, Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Rohan Shah Ahmad berkata, dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) membabitkan mangsa itu terdapat empat sangkar buaya telah dibuat pengecaman.

    “Ini bagi mengesan jika terdapat mangsa berada di dalam sangkar berkenaan, namun berikutan penemuan mayat itu operasi ditamatkan hari ini,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Media kelmarin melaporkan mangsa yang sedang memukat di pesisir pantai dipercayai dibaham buaya selepas bot yang dinaikinya terbalik manakala terdapat seekor buaya dilihat sedang melibas ekornya di lokasi sama.

  • Rumah kongsi terbakar, pekerja ladang ditemui rentung

    Rumah kongsi terbakar, pekerja ladang ditemui rentung

    SEORANG pekerja ladang kelapa sawit ditemui rentung dalam kebakaran sebuah rumah kongsi di kawasan estet di Kalabakan, dekat Tawau semalam.

    Dalam kejadian kira-kira 9 pagi itu, Sofian Aggel Ibrahim, 52, dipercayai tidak sempat keluar dari rumah ketika kebakaran.

    Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tawau, Jemishin Ujin berkata, pihaknya hanya menerima panggilan kecemasan pada 1.50 tengah hari melalui Balai Polis Bombalai.

    Katanya, pengadu lewat melaporkan kejadian itu akibat lokasi kejadian tiada liputan rangkaian telekomunikasi.

    “Empat anggota bomba dikejar ke lokasi yang terletak sejauh 65km untuk mengambil maklumat dan pengesahan kebakaran.

    “Pengadu memaklumkan menemui mangsa dalam keadaan rentung dan mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya menurut Sinar Harian.

    Beliau berkata, blok rumah kongsi tidak kekal yang mempunyai tujuh pintu itu musnah sepenuhnya dalam kebakaran berkenaan.

    “Pemeriksaan turut dijalankan bagi memastikan tiada bahaya lain di lokasi kejadian sebelum operasi ditamatkan pada 6.31 petang.”