Category: Kemalangan / Bencana

  • Pesara polis maut dirempuh ketika pusingan U

    Pesara polis maut dirempuh ketika pusingan U

    SEORANG pesara polis maut apabila keretanya dirempuh dan diseret sejauh 30 meter oleh sebuah trak pikap ketika melakukan pusingan U di Jalan Kota Bharu-Terengganu dekat Melor, semalam.

    Mangsa, Che Mohd. Noor Awang, 63, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala, dalam kejadian kira-kira 10 pagi itu.

    Ketua Polis Kota Bharu, Mohd. Rosdi Daud, berkata kejadian dipercayai berlaku ketika mangsa yang memandu Perodua Viva dalam perjalanan dari arah Melor ke Kubang Kerian.

    Menurutnya, sebaik tiba di lokasi, mangsa membuat pusingan U namun sebuah trak pikap dipandu remaja 18 tahun tidak sempat mengelak lalu merempuh keretanya.

    “Akibat jarak yang terlalu dekat, Isuzu D-Max dipandu seorang remaja itu tidak sempat mengelak dan merempuhnya.

    “Kejadian itu menyebabkan kereta mangsa diseret sejauh 30 meter. Warga emas itu yang tersepit dan tidak sedarkan diri di dalam keretanya disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan, menurut Utusan Malaysia.

    Rosdi berkata remaja terbabit hanya dirawat sebagai pesakit luar di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian.

    Katanya, siasatan lanjut mendapati nahas berpunca daripada kecuaian mangsa membuat pusingan U tanpa memberi keutamaan laluan kepada trak pikap terbabit.

    “Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

  • 15 buah sekolah di Kuala Lumpur alami kerosakan akibat ribut

    15 buah sekolah di Kuala Lumpur alami kerosakan akibat ribut

    KEJADIAN  hujan lebat dan ribut yang melanda ibu negara petang semalam mengakibatkan 15 sekolah mengalami pelbagai kerosakan seperti bumbung bangunan tercabut dan pokok tumbang.

    Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata Jabatan Kerja Raya (JKR) Kuala Lumpur sedang menjalankan semakan dan siasatan lanjut bagi mengenal pasti dengan lebih mendalam jenis dan tahap kerosakan.

    “Buat masa ini, JKR menasihatkan pihak sekolah termasuk guru-guru dan pelajar-pelajar supaya mengelak daripada memasuki kawasan terjejas sehingga keselamatan lokasi berkenaan dipastikan terlebih dahulu,” katanya dalam hantaran di Facebook.

    Menurutnya Kementerian Kerja Raya melalui JKR akan bekerjasama rapat dengan Kementerian Pendidikan bagi memastikan usaha menyiasat, membaik pulih dan mengawal keselamatan dapat diselaraskan dengan sebaik dan secepat mungkin.

    Sekolah yang terlibat ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Desa Perdana, Sekolah Kebangsaan (SK) Yaacob Latif, SK Salak South, SK Danau Perdana, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Jalan Imbi, SK Cochrane, SMK (P) Methodist.

    Turut terjejas SK Setapak, SK Kg Bharu, SMK Puteri Wilayah (Asrama), SMK Seri Titiwangsa, SK Kementah, SMK Taman Melati, SMK Jinjang dan SK Seri Nilam.

    Nanta berkata pihak kementerian turut menerima laporan kerosakan beberapa unit kediaman Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) di Kem Batu Kentonmen Kuala Lumpur membabitkan bumbung dan sengkuap (awning) yang tercabut akibat kejadian itu.

    “JKR akan bekerjasama dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk melakukan pemeriksaan dan penilaian kerosakan untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

  • Kanak-kanak maut kereta terbabas ke dalam gaung

    Kanak-kanak maut kereta terbabas ke dalam gaung

    SEORANG kanak-kanak lelaki maut manakala tiga lagi cedera selepas kereta Perodua Myvi yang dinaiki mereka terbabas dan jatuh ke dalam gaung sedalam dua meter, di Lebuhraya Bahau-Kerayong, dekat Bandar 15 Melati, awal pagi ini.

    Mangsa, Muhammad Raziq Ramli berusia 11 tahun beralamat di Felda Kerayong 6, Muadzam Shah.

    Pegawai Perhubungan Awam, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 3.20 pagi.

     Susulan itu, katanya, seramai lapan anggota termasuk pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Muadzam Shah bersama dua jentera dikejarkan ke lokasi kejadian.

    “Berdasarkan laporan Komander Operasi, benar terdapat sebuah kereta Perodua Myvi terbabas lalu terjatuh ke dalam gaung sedalam dua meter.

    “Terdapat empat orang mangsa, dua lelaki dewasa dan dua kanak-kanak lelaki. Namun, salah seorangnya meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya lapor Astro Awani

    Jelasnya lagi, keadaan mangsa tidak tersepit, dan pasukan Bomba menaikan mangsa menggunakan pengusung sebelum menyerahkan kepada pihak polis untuk tindakan susulan.

  • Pengarah Pertahanan Awam Kedah meninggal dunia ketika daki Gunung Everest

    Pengarah Pertahanan Awam Kedah meninggal dunia ketika daki Gunung Everest

    PENGARAH Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah, Lt Kol Awang Askandar Ampuan Yaacub, 56, meninggal dunia ketika misi pendakian Gunung Everest, Himalaya.

    Mangsa dilaporkan meninggal dunia semalam, jam 10.30 pagi waktu Nepal (12.45 tengahari waktu Malaysia) selepas terjatuh pada malam sebelumnya.

    Ketua Misi Malaysia Everest 2023 (ME 2023), Azim Afif Ishak, 35, berkata, ketika kejadian, mangsa bersama Muhammad Hawari Hashim, 33, sedang melakukan pendakian pada jarak 8,000 meter dari aras laut.

    Mereka dilaporkan hanya memerlukan kira-kira 20 minit untuk sampai ke puncak.

    “Selepas kejadian, Allahyarham dibawa ke kem empat dengan bantuan malim gunung untuk diberikan rawatan dan meninggal dunia pagi tadi (semalam). Jenazah akan dibawa turun sehingga ke kem dua esok untuk diterbangkan ke hospital dengan helikopter, namun bergantung kepada keadaan cuaca.

    “Kejadian sedih ini sudah dimaklumkan kepada Kedutaan Malaysia di Nepal dan selepas dibawa turun, jenazah akan dihantar ke hospital untuk bedah siasat,” katanya dalam satu kenyataan lapor SINAR HARIAN.

    Beliau berkata, keluarga Allahyarham sudah dimaklumkan mengenai kejadian itu dan pihaknya akan bekerjasama dengan pihak berkuasa Nepal bagi menguruskan jenazah.

    Difahamkan, mangsa yang berasal dari Sabah itu adalah warga asing kesembilan meninggal dunia bagi musim pendakian tahun ini, termasuk malim gunung.

    Misi ME 2023 dikatakan percubaan kedua Allahyarham selepas tertangguh tahun lalu disebabkan faktor cuaca.

    Azim berkata, misi pendakian itu dipecahkan kepada dua pasukan, yang mana Allahyarham Awang Askandar bersama Hawari memulakan misi pertama manakala dia dan Tiong Ling Yang, 30, kumpulan kedua.

    Jelasnya, selepas terjatuh, Allahyarham masih dalam keadaan sedar dan Hawari meneruskan pendakian sehingga ke puncak.

    Katanya, beliau berasa sedih dengan kejadian itu dan misi kumpulan kedua terpaksa ditangguhkan bagi urusan membawa keluar jenazah Awang Askandar.

    Sementara itu, Chef De Mission ME2023, Tan Sri Dr Salleh Mohd Nor ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan berharap seluruh ahli keluarga bersabar menerima berita sedih itu.

  • 3 kritikal, 6 cedera kereta terbabas, rempuh gerai nasi lemak di Jitra

    3 kritikal, 6 cedera kereta terbabas, rempuh gerai nasi lemak di Jitra

    TIGA kritikal manakala enam lagi cedera apabila sebuah kereta terbabas dan merempuh gerai nasi lemak di Jalan Hospital dekat Taman Suria Jitra, pagi tadi.

    Ketua Polis Daerah Kubang Pasu Supt Rodzi Abu Hassan berkata dalam kejadian kira-kira 8.25 pagi itu turut melibatkan tiga buah kenderaan lain dan enam motosikal yang berada berhampiran gerai terbabit.

    “Siasatan awal mendapati kereta jenis Proton Satria itu terbabas dan melanggar kereta lain diletakkan di tepi jalan sebelum merempuh orang ramai yang sedang beratur di hadapan gerai nasi lemak berkenaan.

    “Sembilan individu cedera dengan tiga daripada mereka kritikal termasuk pasangan suami isteri yang menjual nasi lemak di gerai itu. Mereka yang cedera telah dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), di sini untuk rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor BERNAMA.

    Rodzi berkata pihaknya masih menjalankan siasatan berhubung kemalangan itu dan mengambil keterangan beberapa saksi yang berada di lokasi kejadian.

    “Pemandu kereta berkenaan juga didapati tiada lesen memandu dan cukai jalan serta insurans kenderaan itu juga telah tamat tempoh,” katanya.

    Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Kedah Penguasa Bomba Abdul Rahim Che Omar dalam kenyataan berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 8.56 pagi dan sebuah jentera serta van perkhidmatan penyelamat perubatan kecemasan (EMRS) dari Balai Bomba dan Penyelamat Jitra dikerah ke lokasi kejadian.

  • Dua maut, 8 cedera bas ekspres terbabas di LPT 2

    Dua maut, 8 cedera bas ekspres terbabas di LPT 2

     SEBUAH bas ekspres terbabas Kilometer 375.4, Lebuh Raya Pantai Timur 2( LPT2), selepas Hentian Rawat dan Rehat (R&R) Bukit Besi, mengakibatkan dua orang terbunuh dan lapan cedera awal pagi ini.

    Mereka yang maut ialah Tan Poh Hwa, 42, dan Choo Chia Tan, 44, masing-masing dari Taman Indah Tampin, Negeri Sembilan.

    Poh Hwa disahkan maut di tempat kejadian sementara Chia Tan meninggal dunia ketika diberi rawatan kecemasan di Hospital Dungun, kira-kira jam 9.15 pagi.

    Ketua Cawangan Pusat Gerakan Operasi Bomba negeri Terengganu, Baharum Muhamad Hasim berkata, pihaknya menerima panggilan kira-kira jam 5.20 pagi berhubung kemalangan membabitkan sebuah bas persiaran.

    Katanya, seramai 16 anggota bomba dari Balai Bomba Bandar Al-Muktaffi Billah Shah dan Balai Bomba Kuala Berang bergegas ke lokasi kejadian.

    “Sebaik anggota kami sampai di tempat kejadian, seorang daripada mangsa yang maut tercampak keluar dari bas terbabit. Seorang lelaki yang dipercayai suami mangsa tersepit di tempat duduk dan kami mengambil masa selama 10 minit untuk mengeluarkan mangsa,” katanya lapor Berita Harian.

    Beliau semua mangsa yang parah dan cedera dikejarkan ke Hospital Dungun dan Hulu Terengganu untuk menerima rawatan lanjut.

    Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah berkata, bas persiaran terbabit dalam perjalanan dari Tampin Negeri Sembilan menghala ke Kuala Terengganu.

    Katanya, sebaik tiba di tempat kejadian, bas terbabit dipercayai terbabas dan merempuh pembahagi lebuh raya kira-kira 50 meter sebelum terbalik ke laluan bertentangan.

    “Semua mangsa dikatakan dalam perjalanan untuk bercuti di Pulau Redang, Kuala Nerus sebelum terbabit dalam kemalangan itu.Pemandu bas persiaran terbabit yang berusia 26 tahun cedera parah dihantar ke Hospital Hulu Terengganu untuk diberi rawatan lanjut,” katanya.

    Baharudin berkata, semua maklumat mangsa yang cedera serta cedera parah masih belum diperolehi.

    “Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

  • Pegawai, anggota tentera maut kereta langgar belakang lori

    Pegawai, anggota tentera maut kereta langgar belakang lori

    SEORANG pegawai dan anggota tentera maut dalam nahas selepas kereta Proton Persona dinaiki mereka melanggar bahagian belakang sebuah lori di Kilometer 48 Jalan Teluk Intan-Klang, semalam.

    Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintenden Agus Salim Mohd. Alias berkata, mangsa yang berusia 28 dan 49 tahun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

    Katanya, kaunter aduan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam menerima panggilan daripada Pusat Kawalan Daerah (DCC) memaklumkan terdapat kemalangan melibatkan sebuah kereta dan lori pada pukul 3.20 petang.

    “Siasatan awal mendapati lori dipandu seorang lelaki berusia 35 tahun baru menjalani kerja pembersihan jalan dan dalam keadaan mengundur untuk mengutip kon selepas selesai kerja pembersihan jalan.

    “Setiba di lokasi kejadian, kereta dinaiki kedua-dua mangsa dari arah Sabak Bernam menghala ke Klang gagal mengelak lalu melanggar bahagian belakang lori berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan.

    Agus Salim memberitahu, akibat kemalangan itu, pemandu kereta yang juga Lans Koperal dan penumpang berpangkat Leftenan Kolonel mengalami cedera parah di bahagian kepala, manakala pemandu lori tidak cedera.

    Ujarnya, dua mangsa maut yang beralamat di Markas Tentera Darat Cawangan Sumber Manusia Kementah, Kuala Lumpur itu dipercayai dalam perjalanan dari Lumut menuju ke Port Dickson.

    “Mayat kedua-dua mangsa kemudian dibawa ke Hospital Sabak Bernam untuk bedah siasat selepas keputusan ujian saringan Covid-19 diperoleh dan kemalangan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya, lapor Sinar Harian.

  • Pelajar UniSZA maut, dua lagi parah kemalangan dalam kampus

    Pelajar UniSZA maut, dua lagi parah kemalangan dalam kampus

    SEORANG pelajar Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) maut manakala dua lagi cedera setelah motosikal ditunggang bertembung dalam kawasan kampus di Gong Badak, Kuala Nerus, Kuala Terengganu pukul 8 malam tadi.

    Mangsa, Wan Muhamad Azhar Izzuddin Wan Abdul Razak, 21, yang merupakan penuntut Ijazah Sarjana Muda Pengajian Islam Dakwah maut di lokasi kejadian.

    Sementara itu, dua lagi mangsa masing-masing berusia 23 tahun parah dalam kemalangan itu.

    Difahamkan, ketika kejadian mangsa dalam perjalanan dari asrama ke majlis perasmian Festival Kokurikulum di Dewan Al-Muktafi Billah Shah di kampus berkenaan.

    Sebaik tiba di lokasi kejadian, motosikal dinaiki mangsa dikatakan bertembung dengan sebuah lagi motosikal yang dinaiki dua lagi mangsa dari arah bertentangan.

    Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah pada bahagian kepala manakala dua lagi mangsa dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk rawatan lanjut.

    Sementara itu, Naib Canselor, Pengurusan Tertinggi dan seluruh warga UniSZA merakam ucapan takziah melalui hantaran di laman rasmi Facebook universiti berkenaan.

    “Salam takziah diucapkan kepada seluruh ahli keluarga, sahabat dan kenalan Allahyarham Wan Muhammad Azhar Izzuddin Wan Abdul Razak (Pelajar ISM Pengajian Islam (Dakwah) Dengan Kepujian, Fakulti Pengajian Kontemporari Islam UniSZA) yang sudah kembali ke rahmatullah.

    “Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan hambaNya yang beriman,” katanya, lapor Sinar Harian.

  • Jurusensor senjata pesawat pejuang Sukhoi TUDM maut kemalangan

    Jurusensor senjata pesawat pejuang Sukhoi TUDM maut kemalangan

    SEORANG jurusensor senjata pesawat tempur Sukhoi Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) maut dalam kemalangan jalan raya di Seberang Jaya, Pulau Pinang, semalam.

    Menurut TUDM dalam satu kenyataan, Mejar Hendrinraj Pulvendiran yang berkhidmat di Pangkalan Udara Gong Kedak sedang bertugas di Pangkalan Udara Butterworth ketika kejadian.

    “Mendiang meninggalkan isteri, Ann Linda Anthonysamy dan seorang anak lelaki berusia dalam lingkungan tiga tahun.

    “Mayat mendiang telah diuruskan oleh pihak Pangkalan Udara Butterworth setelah selesai urusan bedah siasat di Hospital Seberang Jaya, Pulau Pinang seterusnya dibawa ke Pangkalan Udara Subang untuk penghormatan terakhir,” katanya.

    TUDM memberitahu, mayat mendiang dibawa ke Bangunan Pergerakan Udara Pangkalan Udara Subang yang telah sedia ditunggu ketibaannya oleh Panglima Operasi Udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Lt Jen Datuk Mohd Shahada Ismail TUDM yang turut mewakili Panglima Tentera Udara, berserta pegawai-pegawai kanan TUDM, pegawai-pegawai dan anggota LLP untuk penghormatan terakhir.

    Selain itu TUDM berkata, Panglima Operasi Udara telah menyantuni waris mendiang, menyampaikan ucapan serta surat takziah dan sumbangan kematian.

    “Seterusnya beliau dan warga udara yang berada di Bangunan Pergerakan Udara telah memberikan penghormatan terakhir kepada mendiang.

    “Kumpulan pengusung kemudiannya turut memberikan penghormatan dan mengusung keranda menaiki kenderaan untuk dibawa pulang ke kediaman keluarga di Seremban bagi tatapan dan penghormatan terakhir oleh waris, ahli keluarga, saudara mara serta kenalan sebelum urusan pengebumian dilaksanakan dengan bantuan Pangkalan Udara Gong Kedak dan Pangkalan Udara Sendayan yang dijadualkan pada 18 Mei 23.

    “TUDM turut mengucapkan salam takziah kepada ahli keluarga mendiang yang juga merupakan suatu kehilangan aset TUDM iaitu sumber manusia.

    “Semoga mereka tabah dan bersabar menerima ujian hidup kehilangan orang yang disayangi,” katanya, lapor Astro Awani.

  • Kebakaran tercetus di Mid Valley

    Kebakaran tercetus di Mid Valley

    SEBUAH kebakaran tercetus di pusat beli-belah Midvalley Megamall, Kuala Lumpur pagi tadi.

    Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur berkata, kebakaran bermula di sebuah bilik pencawang Tenaga Nasional Berhad (TNB) dalam pusat beli-belah itu.

    Kuala Lumpur Command & Control Centre (KLCCC) yang memuat naik gambar kebakaran itu di Twitter, memaklumkan bahawa dua jalan telah ditutup.

    Polis berada di tempat kejadian untuk mengarahkan lalu lintas, lapor FMT.