Category: Kemalangan / Bencana

  • Budak 9 tahun maut tercekik rambutan

    Budak 9 tahun maut tercekik rambutan

    SEORANG kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun maut dipercayai akibat tercekik buah rambutan, semalam.

    Ketua Polis Daerah Maran Deputi Superintendan Norzamri Abd Rahman berkata mangsa Nur Iman Fitriah Muhamad Nizam disahkan meninggal dunia oleh Klinik Kesihatan Pekan Tajau, Maran sekitar 8 malam.

    “Doktor di klinik berkenaan mengeluarkan buah rambutan dari mulut mangsa sebelum jenazah dibawa ke Hospital Jengka untuk bedah siasat.

    “Bedah siasat pada awal pagi tadi mengesahkan kematian mangsa akibat salur pernafasan tersumbat disebabkan oleh sesuatu objek,” katanya semasa dihubungi di Kuantan hari ini.

    Norzamri berkata polis mengklasifikasikan kematian mangsa yang beralamat di Kampung Sungai Ling Luar, Maran sebagai mati mengejut.

    Jenazah mangsa yang jga pelajar tahun tiga Sekolah Kebangsaan (SK) Paya Pasir selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Bukit Cempedak, Maran pagi tadi.

  • Bot meletup di Mersing: Dua kru, lapan penumpang cedera

    Bot meletup di Mersing: Dua kru, lapan penumpang cedera

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SERAMAI 10 penumpang cedera selepas bot yang mereka naiki untuk ke Pulai Aur meletup di bahagian lantai pada kedudukan lebih kurang 7.6 batu nautika timur laut Pulau Pemanggil, Mersing pukul 11.50 pagi tadi.

    Menurut Pengarah Zon Maritim Mersing, Komander Maritim Suhaizan Saadin, mangsa merupakan empat lelaki dan enam wanita berusia 32 hingga 48 tahun.

    Beliau memberitahu, dua mangsa wanita mengalami kecederaan parah pada bahagian kaki, manakala seorang mangsa lelaki cedera parah pada bahagian dan belakang pinggang.

    “Mangsa yang mengalami kecederaan ringan di kaki terdiri daripada empat wanita dan seorang lelaki, manakala dua orang kru bot hanya mengalami kecederaan ringan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Katanya, semua mangsa diberikan rawatan awal sebelum dipindahkan ke bot Perkasa 44 serta bot awam yang berada berhampiran lokasi kejadian.

    Tambah beliau, semua mangsa dibawa ke Hospital Mersing bagi menerima rawatan lanjut.

    “Punca sebenar letupan berkenaan masih dalam siasatan pihak berkuasa,” ujar beliau.

  • Lelaki maut dilanggar kereta api di Bukit Mertajam

    Lelaki maut dilanggar kereta api di Bukit Mertajam

    SEORANG lelaki maut digilis kereta api di landasan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) berdekatan Taman Sri Kijang, Machang Bubuk Bukit Mertajam malam tadi.

    Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner (ACP) Tan Cheng San berkata, mayat tanpa identiti itu ditemui orang awam yang menghubungi polis kira-kira pukul 8.30 malam.

    “Berdasarkan pemerhatian, mangsa dianggarkan berusia 30-an mengalami kecederaan parah dan telah meninggal dunia.

    “Mangsa dipercayai dilanggar oleh kereta api yang berada di landasan laluan arah Bukit Mertajam ke Simpang Ampat.

    “Siasatan awal polis di tempat kejadian, tiada kesan suntikan Bacillus Calmette Gurrain (BCG) ditemui pada si mati selain tiada dokumen pengenalan diri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Setakat ini, tiada unsur jenayah dikesan dan kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut. Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik, Hospital Bukit Mertajam untuk bedah siasat.

    Cheng San meminta orang ramai yang mempunyai maklumat atau kehilangan ahli keluarga menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah di talian 04-538 2222 bagi membantu pengecaman mayat.

    “Pihak polis juga menasihati orang ramai agar tidak menceroboh kawasan yang dipagar atau melintas landasan KTMB kerana boleh membahayakan nyawa dan merosakkan harta benda,” katanya, lapor Astro AWANI.

  • Dua pemuda ditemui lemas ketika memancing

    Dua pemuda ditemui lemas ketika memancing

    DUA pemuda yang dilaporkan hilang ketika keluar memancing di pantai Kiamsam, Labuan kelmarin ditemui lemas petang semalam.

    Mangsa pertama, Yassin Jhonal, 20, ditemui 5.20 petang manakala seorang lagi mangsa, Mohd Shah Nadzmin, 19, ditemui dua minit selepas itu.

    Menurut Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia Zon Labuan, Nudin Jusoh, pasukannya menyelaras operasi Carilamat bersama agensi lain dan orang tempatan.

    Katanya, pencarian awal dilakukan oleh bot kilat 40 milik Maritim Malaysia di lokasi kejadian membabitkan kawasan seluas empat batu nautika persegi sekitar pantai Kiamsam.

    “Penemuan mayat pertama kira-kira 0.5 batu nautika dari pantai Kiamsam pada 5.20 petang semalam.

    “Mayat kedua pula ditemui hampir 10 meter dari mayat pertama pada 5.22 petang. Mayat kedua-dua mangsa ditemui oleh bot nelayan dan dibawa ke jeti oleh bomba,” katanya menurut Berita Harian.

    Terdahulu, media melaporkan dua pemuda itu dikhuatiri hilang selepas bot yang dinaiki mereka untuk keluar memancing ditemukan terapung tanpa anak kapal di jeti terbabit, awal pagi semalam.

  • Warga emas, remaja ditemukan lemas ketika memancing

    Warga emas, remaja ditemukan lemas ketika memancing

    DUA lelaki ditemukan lemas ketika memancing di Sungai Simen, Jalan Rantau Ladang Kombok di Seremban, semalam.

    Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Rantau Pegawai Bomba Kanan (PBK) 1 Mohd Syazwan Saidy berkata mangsa dikenali sebagai A. Vijay, 16, yang beralamat di Ladang Kombok dan kenalannya G. Chantiran, 60, beralamat di Taman Bukit Merbok Ria, Rasah.

    Beliau berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 8.07 malam sebelum 10 anggota dari balai Rantau dengan 10 anggota Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) dikejarkan ke lokasi.

    “Mayat remaja berkenaan ditemukan abangnya berusia lingkungan 20-an pada 7.15 malam, dia sebelum itu mencari mangsa di kawasan sungai tersebut selepas dia tidak pulang ke rumah sejak petang.

    “Abangnya mendapati hanya keperluan peribadi kedua-dua mangsa sahaja berada berhampiran sungai itu. Dia cuba menghubungi adiknya dan terdengar deringan telefon di tebing sungai sebelum secara tiba-tiba ternampak jala di permukaan air,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Mohd Syazwan berkata abang mangsa kemudian menarik jala tersebut dan mendapati Vijay dalam keadaan terbelit namun adiknya itu sudah tidak bernyawa.

    Beliau berkata mayat warga emas itu pula ditemukan oleh PPDA di dasar sungai kira-kira 11 malam iaitu dengan jarak 10 meter dari tebing.

    Beliau berkata anak mangsa C. Sivam, 36, sebelum itu turut mencari ayahnya di lokasi tersebut namun tidak menemukan mangsa.

    Katanya, mayat kedua-dua lelaki itu kemudian diserahkan kepada pihak polis dan dihantar ke Hospital Tuanku Jaafar, Seremban untuk tujuan bedah siasat.

  • Enam buah kilang musnah dalam kebakaran besar di Sungai Buloh

    Enam buah kilang musnah dalam kebakaran besar di Sungai Buloh

    SELEPAS tragedi pesawat terhempas di Elmina pada Khamis lalu sehingga mengorbankan 10 nyawa, hari ini Shah Alam gempar lagi apabila satu kebakaran besar berlaku di Kampung Baru Sungai Buloh mengakibatkan enam buah kilang pembuatan perabot musnah.

    Pusat Gerakan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor menerima laporan berhubung kejadian itu pada 4.48 petang tadi.

    Dalam satu kenyataan, Pengarah JBPM Selangor, Wan Md Razali Wan Ismail, berkata 11 jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Buloh, Selayang, Damansara serta Rawang bergegas ke tempat kejadian .

    “Jentera pertama tiba pada jam 5 petang. Kebakaran membabitkan enam premis kilang pembuatan perabot. Kerja pemadaman sedang dijalankan pasukan bomba. Bagaimanapun tiada kemalangan jiwa dilaporkan,” katanya.

  • Polis beri amaran jangan sebar video mangsa pesawat terhempas

    Polis beri amaran jangan sebar video mangsa pesawat terhempas

    POLIS memberi amaran kepada orang awam agar tidak menyebarkan video mangsa nahas pesawat Beechcraft 390 (Peremier 1) yang terhempas di Lebuhraya Guthrie ,berdekatan Bandar Elmina, Shah Alam, pada Khamis lalu.

    Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay, berkata mana-mana pihak yang masih berdegil bakal berdepan tindakan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

    “Saya nak seru kepada masyarakat jangan tularkan benda-benda ini, hormatilah privasi keluarga mangsa.

    “Jangan sebarkan video-video ini, kalau ada salurkan kepada pihak polis. Macam-macam teori yang ada dan sebab itu saya katakan jangan buat spekulasi, biar pihak berkaitan buat siasatan,” katanya ketika ditemui pemberita di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah Fasa 2, di Kuala Lumpur, hari ini, lapor BERNAMA.

    Beliau menghadiri majlis pengebumian Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN) Pelangai, Datuk Seri Johari Harun yang turut berkorban dalam nahas berkenaan.

    Katanya, setakat ini pihak polis telah mengambil keterangan tiga individu yang terlibat dalam penyebaran video nahas berkenaan selain tidak menolak kemungkinan individu lain akan dipanggil berdasarkan kesesuaian dan permintaan untuk membantu siasatan.

    Dalam kejadian itu, 10 mangsa disahkan terkorban dalam nahas pesawat itu.

    Lapan yang meninggal dunia terdiri daripada enam penumpang dan dua juruterbang pesawat ringan itu, manakala dua lagi ialah orang awam, masing-masing penghantar makanan bermotosikal dan pemandu e-hailing yang berada di kawasan nahas.

    Ketika kejadian, pesawat malang itu dalam penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang dan mendapat kebenaran untuk mendarat di lapangan terbang itu pada jam 2.48 petang.

  • Kesemua jenazah mangsa pesawat terhempas selamat dikebumikan

    Kesemua jenazah mangsa pesawat terhempas selamat dikebumikan

    KESEMUA baki sembilan jenazah mangsa nahas kapal terbang terhempas di Bandar Elmina, Khamis lepas dikebumikan hari ini. 

    Semua jenazah telah dibawa keluar dari Jabatan Forensik Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang secara berperingkat untuk dimandi dan disembahyangkan di Masjid Jamek Ar-Rahimiah yang terletak hanya kira-kira dua kilometer.

    Selesai mandi dan solat jenazah di masjid itu, kesemua jenazah kemudian dibawa ke destinasi masing-masing untuk dikebumikan.

    Sementara itu, suasana hiba menyelubungi Tanah Perkuburan Raudhatul Sakinah Fasa 2 Kuala Lumpur sebaik sahaja jenazah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelangai Allahyarham Datuk Seri Johari Harun tiba. 

    Jenazah Johari, 53, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Pahang, selamat dikebumikan kira-kira pukul 12.04 tengah hari dengan bacaan talkin oleh anak Allahyarham sendiri iaitu Muhammad Hafiz Naqiuddin.

    Antara yang hadir memberi penghormatan terakhir adalah Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, bekas Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay.

    Semalam jenazah Allahyarham Muhamad Hafiz Muhamad Saleh, 32, seorang lagi mangsa dalam tragedi pesawat terhempas itu selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Al-Huda, Kampung Jerung, Sungai Petani, pada 4 petang.

    Sementara itu, jenazah pemandu e-hailing, Allahyarham Sharipuddin Shaari, 51, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Masjid Jamek Sultan Hisamuddin, Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang kira-kira 12.50 tengah hari. 

    Terdahulu, jenazah Allahyarham sekali lagi disembahyangkan di Masjid Jamek Sultan Hisamuddin dengan dipimpin Imam Saudi Jusoh yang kemudian turut membacakan talkin. 

    Lebih 100 jemaah termasuk ahli keluarga menunaikan solat jenazah berkenaan. 

    Seorang lagi mangsa Mohammad Taufiq Mohd Zaki, 37, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana kira-kira 1 tengah hari ini.

    Sebelum dikebumikan, jenazah Mohammad Taufiq yang merupakan Pegawai Khas kepada Allahyarham Johari sekali lagi disembahyangkan di Masjid Bukit Indah, Ampang.

  • ‘’Abang tepati janji balik awal…’’ -kata adik mangsa pesawat terhempas

    ‘’Abang tepati janji balik awal…’’ -kata adik mangsa pesawat terhempas

    Oleh RIZQI ZABIDI 

    “Semasa sambutan Aidiladha, abang janji nak balik awal untuk majlis pernikahan saya minggu depan. Betul, dia balik awal…” 

    Itu kata-kata yang terpacul dari mulut Noorhidayah Muhamad Salleh kepada pemberita sewaktu ditemui selepas selesai majlis pengebumian jenazah abangnya, Muhamad Hafiz Muhamad Salleh, 26, yang meninggal dunia dalam kejadian jet persendirian terhempas di Bandar Elmina, Shah Alam, kelmarin. 

    Menurut Noorhidayah, dia bersyukur kerana Allah mempermudahkan segala urusan abang kesayangannya itu di sepanjang perjalanan terakhir untuk dikebumikan. 

    Muhamad Hafiz merupakan pekerja p-hailing yang maut setelah jet persendirian tersebut terhempas berhampiran motosikal ditungganginya ketika dia sedang bertugas melakukan penghantaran makanan kepada pelanggan. 

    Noorhidayah Muhamad Salleh adik Muhamad Hafiz

    Katanya, segala urusan melibatkan tuntutan jenazah, perjalanan dan pengebumian berjalan lancar

    “Memang bergerak pada Khamis malam, dengan niat nak ambil (jenazah) abang bawa balik. Tak ada niat lain. Sampai sahaja di sana, semua urusan sangat dipermudahkan. Allahuakbar. Allah permudahkan segalanya. Sudah tertulis begini cara dia kembali kepada Allah, namun ramai yang hadir bagi memberikan penghormatan terakhir,” katanya.

    Dalam pada itu, Noorhidayah turut meminta orang ramai agar tidak terus menyebarkan video kemalangan melibatkan abangnya itu. 

    “Saya memohon orang ramai mendoakan abang saya. Kepada yang memiliki video semasa kejadian, mohon jaga perasaan kami. Padam jika ada, dan hentikan penyebaran.” katanya. 

    Terdahulu jenazah Muhamad Hafiz selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Al-Huda, Kampung Jerung di Sungai Petani kira-kira pukul 3 petang tadi.

  • Proses bedah siasat mangsa nahas pesawat selesai, tunggu padanan DNA

    Proses bedah siasat mangsa nahas pesawat selesai, tunggu padanan DNA

    URUSAN bedah siasat terhadap semua mayat mangsa nahas pesawat terhempas di Lebuhraya Guthrie berhampiran Bandar Elmina Shah Alam Khamis lepas, telah selesai malam tadi dan menunggu hasil padanan asid deoksiribonukleik (DNA).

    Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata sebanyak 300 sampel cebisan mayat telah dihantar ke Jabatan Kimia bagi tujuan padanan DNA dan 30 peratus berjaya diselesaikan.

    Beliau berkata seramai 30 pegawai patologi dan forensik terlibat dalam bedah siasat berkenaan.

    “Semalam, kita telah mendapat satu padanan DNA yang positif milik penunggang p-hailing Muhamad Hafiz Muhamad Saleh dan jenazah diserahkan kepada warisnya pagi ini.

    “Pihak Jabatan Kimia sedang berusaha keras untuk melengkapkan semua padanan DNA dan kita positif semua urusan akan selesai Isnin ini,” katanya dalam sidang media di Jabatan Forensik Hospital Tengku Ampuan Rahimah di Klang hari ini, lapor BERNAMA.

    Hussein menjangkakan satu lagi jenazah akan dapat dikenal pasti hari ini dan boleh diserahkan kepada waris esok.

    Beliau berkata selain padanan DNA, urusan pengecaman jenazah juga dibuat menggunakan rekod pergigian dan cap jari.

    “Setakat ini, polis telah berjaya mengenal pasti lapan cap jari mangsa,” katanya.

    Sementara itu, Hussein berkata beliau berharap waris mangsa nahas berkenaan dapat menerima seadanya keadaan jenazah yang diserahkan kepada mereka kelak.

    Beliau berkata terdapat cebisan-cebisan mayat yang telah terbakar dan tidak dapat diproses untuk mencari padanan DNA.

    “Waris juga harus bersabar kerana proses padanan DNA adalah rumit dan sensitif, dan kita mahu semua cebisan mayat diserahkan kepada pemilik yang sebenarnya,” katanya.

    Tragedi yang berlaku pada 2.48 petang itu menyaksikan sebuah pesawat peribadi terhempas dan mengorbankan kesemua dua kru dan enam penumpang selain meragut nyawa dua pengguna jalan raya masing-masing seorang pemandu e-hailing dan penunggang p-hailing.