Category: Kemalangan / Bencana

  • Pegawai Maritim Malaysia hilang ketika daki Telaga Tujuh di Langkawi 

    Pegawai Maritim Malaysia hilang ketika daki Telaga Tujuh di Langkawi 

    Oleh RIZQI ZABIDI

    SEORANG pegawai Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dilaporkan hilang setelah mendakit Telaga Tujuh di Gunung Matchincang, Langkawi semalam. 

    Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari berkata, pegawai tersebut  Mohd. Ridhaudden Rosman, 32, memuat naik status tiba di puncak Telaga Tujuh kira-kira pukul 4.45 petang semalam. 

    Selain itu katanya, mangsa turut berkomunikasi dengan isterinya kira-kira setengah jam selepas itu. 

    “Pihak kami menerima laporan mengenai kehilangan pegawai itu kira-kira pukul 12.47 pagi ini. Difahamkan pegawai itu bertugas di Bahagian Cari Lamat dan Bantuan Bencana (SAR) Maritim Malaysia Putrajaya dan berada di Langkawi sempena LIMA’23. 

    “Motosikal digunakan mangsa ditemukan berada di tempat meletak kereta Telaga Tujuh. Sebaik menerima laporan, pencarian awal terus dimulakan bermula seawal 2 pagi tadi,” katanya. 

    Tambahnya, operasi mencari dan menyelamat disertai oleh pihak polis, bomba, Maritim Malaysia dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) terdiri daripada 23 pegawai dan 68 anggota. 

    “Selain itu operasi tersebut turut disertai 15 orang awam yang mahir dengan laluan di situ. Misi mencari dan menyelamat  turut melibatkan kekuatan aset darat dan udara.  Mangsa difahamkan bergerak sendiri ke lokasi berkenaan dan bukan mendaki kawasan itu untuk melaksanakan tugas,” katanya.

  • Tujuh termasuk 4 kanak-kanak maut selepas bumbung padang sekolah runtuh

    Tujuh termasuk 4 kanak-kanak maut selepas bumbung padang sekolah runtuh

    TUJUH termasuk empat kanak-kanak maut selepas bumbung di sebuah padang sekolah runtuh dalam kejadian ribut di Thailand semalam.

    Memetik SCMP, mangsa terdiri daripada kanak-kanak berumur di antara enam dan 13 tahun itu sedang berlindung ketika hujan selepas menyertai aktiviti di Sekolah Rendah Wat Nern Por di wilayah Phichit.

    Menurut media tempatan, keadaan hujan lebat dan angin kencang menyebabkan bumbung itu runtuh secara tiba-tiba.

    “Orang dewasa yang terkorban termasuk dua ibu bapa dan seorang penjaga, manakala 18 yang lagi cedera,” kata pejabat hubungan awam wilayah Phichit, lapor Agensi.

    Seorang saksi memberitahu ThaiPBS, dia terdengar bunyi seakan berada dalam zon perang sebelum dilanda ribut yang kuat.

    Datuk Bandar tempatan Kannika Intarakul memaklumkan banyak kediaman di kawasan itu turut mengalami kerosakan.

    Difahamkan, seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun telah dibawa ke hospital namun meninggal dunia akibat kecederaan parah.

    Sebelum ini, Jabatan Meteorologi Thailand mengeluarkan amaran mengenai hujan lebat di kawasan utara Thailand bermula minggu ini.

  • Budak lelaki terima lapan jahitan, diserang buaya Batu Putih

    Budak lelaki terima lapan jahitan, diserang buaya Batu Putih

    SEORANG berhadapan detik cemas apabila diserang buaya dalam satu kejadian di Kampung Batu Putih, Sandakan, semalam.

    Dalam kejadian kira-kira pukul 1 tengah hari, mangsa berusia 9 tahun berkenaan cedera di tangan, bahu, kepala dan terpaksa menerima lapan jahitan

    Pegawai Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sandakan, Hussien Muin, berkata kejadian berlaku ketika air laut pasang sehingga ke kawasan jalan perkampungan terbabit.

    Beliau berkata, kejadian berlaku ketika mangsa bersama rakan sebaya berenang keluar daripada rumah jiran untuk balik ke rumah.

    “Secara tiba-tiba, mangsa diserang dan dibaham bahagian tangan, namun mangsa sempat melawan dan berjaya melepaskan diri sebelum diselamatkan bapanya.

    “Kanak-kanak itu kemudiannya dikejarkan ke sebuah klinik swasta lalu diberikan rawatan sebelum pulang ke rumah.

    “Kakitangan JHL kemudiannya memeriksa mangsa di rumah sebelum mendapati mangsa sudah menerima 8 jahitan di lengan kanan, cedera di bahu kanan dan kepala,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

    Hussein berkata, susulan kejadian itu anggota JHL Sandakan mendapatkan maklumat daripada bapa mangsa seterusnya membuat tinjauan di sekitar lokasi kejadian.

    “Namun ketika tinjauan dijalankan, tiada kelibat buaya dilihat berhampiran kawasan kerana ketika air sudah surut sepenuhnya.

    “Justeru itu, penduduk setempat dinasihati agar sentiasa berwaspada apabila menggunakan laluan jalan ketika air laut pasang.

    “Penduduk juga diminta sentiasa memastikan anak-anak tidak berada atau bermain di kawasan berhampiran sungai berkenaan bagi tujuan keselamatan,” katanya, lapor BH Online.

  • Lelaki maut tergelincir sebelum jatuh ke dalam gang

    Lelaki maut tergelincir sebelum jatuh ke dalam gang

    SEORANG Seorang lelaki maut dipercayai akibat tergelincir sebelum terjatuh ke dalam gaung sedalam lebih 20 meter di KM 1 jalan naik ke Genting Highlands, Bentong hari ini.

    Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Genting Highlands Mohd Saufi Zakaria berkata lelaki berusia lingkungan 60-an itu dikatakan sedang melakukan pemantauan di lereng bukit bagi kerja-kerja pemasangan paip sebelum tergelincir.

    Beliau berkata lapan anggota dan pegawai bergegas ke lokasi kejadian selepas pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai insiden berkenaan pada pukul 2.53 petang.

    “Bomba menjumpai lelaki itu sekitar 3.30 petang sebelum menjalankan operasi menaikan mayat itu  menggunakan tali dan alat pengusung yang mengambil masa lebih sejam,” katanya ketika dihubungi di sini. 

    Katanya mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut dan operasi selesai sepenuhnya pada pukul 5 petang. 

  • Kanak-kanak maut dibaham buaya ketika cari siput

    Kanak-kanak maut dibaham buaya ketika cari siput

    SEORANG kanak-kanak lelaki maut dibaham buaya ketika sedang mencari siput dalam kejadian di perairan Pulau Sumangut Payau di Sandakan pada pukul 8 pagi tadi.

    Mangsa berusia 12 tahun dikatakan disambar buaya ketika sedang berenang menghampiri perahunya.

    Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan Severinus Sainkui berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada pukul 8.25 pagi.

    “Seramai empat anggota dikejar ke lokasi kejadian yang terletak sejauh 24 kilometer dengan menaiki sebuah pacuan empat roda dan bot untuk operasi mencari dan menyelamat (SAR).

    “Berdasarkan maklumat daripada saksi menyatakan bahawa mangsa sebelum itu mencari siput di kawasan berkenaan dan selepas selesai mangsa mahu kembali semula ke perahunya.

    “Ketika berenang menghampiri perahu, tiba-tiba mangsa disambar buaya,” katanya ketika dihubungi.

    Katanya lagi, mangsa kemudian dimaklumkan telah ditemukan pada pukul 10.38 pagi oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).

    Beliau memberitahu, mangsa ditemukan kira-kira satu batu nautika dari lokasi kejadian dan dilaporkan telah meninggal dunia.

    “Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya dan operasi ditamatkan pada jam 12.40 tengah hari,” katanya, lapor Sinar Harian.

  • Jenazah pendaki Malaysia dibawa turun ke Kathmandu hari ini-Wisma Putra

    Jenazah pendaki Malaysia dibawa turun ke Kathmandu hari ini-Wisma Putra

    USAHA membawa turun jenazah Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah Lt Kol Awang Askandar Ampuan Yaacub yang meninggal dunia Jumaat lepas dari Everest Base Camp ke Kathmandu menggunakan helikopter akan dijalankan hari ini, sekiranya operasi dari Camp 4 itu berjalan lancar mengikut jadual.

    Wisma Putra dalam kenyataan hari ini turut memaklumkan bahawa proses mencari dan menyelamat (SAR) seorang lagi peserta Misi Malaysia Everest 2023 (ME 2023) yang hilang, Muhammad Hawari Hashim sedang giat dijalankan oleh pihak berkuasa tempatan.

    “Usaha SAR udara dijalankan sejak 20 Mei, namun masih tidak berjaya mengesan pendaki berkenaan. Proses mencari dan menyelamat diteruskan di kawasan darat di kawasan lurah-lurah ais, sejak 21 Mei,” menurut kenyataan itu.

    Menurutnya pihak kementerian menerusi Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu akan terus menghulurkan bantuan konsular yang sewajarnya bagi memastikan proses membawa pulang jenazah dan misi SAR berjalan lancar.

    “Sebarang perkembangan terkini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” katanya.

    ME 2023 yang dianjurkan Kelab Eksplorasi Altitud, memulakan misi menawan puncak tertinggi dunia itu bermula 2 April sehingga 2 Jun, dengan mendapat sokongan kerajaan serta Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

  • Peneroka Felda maut nahas elak babi

    Peneroka Felda maut nahas elak babi

    SEORANG peneroka Felda maut selepas motosikal ditunggangnya terlibat kemalangan dengan sebuah kereta di KM11 Jalan Bahau-Rompin, Jempol, malam tadi.

    Ketua Polis Daerah Jempol, Superitendan Hoo Chang Hook berkata, nahas kira-kira 10 malam semalam membabitkan sebuah motosikal berkuasa tinggi ditunggang lelaki berusia 61 tahun yang juga peneroka Felda Serting Hilir dengan sebuah kereta dipandu lelaki berusia 22 tahun.

    “Berdasarkan siasatan awal, kereta berkenaan dalam perjalanan pulang dari arah Bahau ke Batu Pahat, manakala mangsa dari arah Rompin hendak ke Bahau.

    “Sebaik tiba di lokasi kejadian, pemandu kereta terbabit dipercayai cuba mengelak seekor babi yang tiba-tiba melintas menyebabkan kenderaannya masuk sedikit ke laluan bertentangan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Hoo berkata, kebetulan motosikal ditunggang mangsa dari arah bertentangan, bergesel dan melanggar sisi kanan kereta menyebabkan mangsa jatuh serta terseret ke bahu jalan.

    Katanya, warga emas yang parah itu dibawa ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah, Kuala Pilah untuk rawatan lanjut, manakala pemandu kereta yang merupakan tukang masak tidak cedera.

    “Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggalkan dunia pada 3.15 pagi Isnin akibat pelbagai kecederaan susulan kemalangan itu. Siasatan kes masih diteruskan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan,” katanya menurut Sinar Harian.

  • Bangunan lama KWSP berusia 63 tahun terbakar lagi

    Bangunan lama KWSP berusia 63 tahun terbakar lagi

    BANGUNAN lama Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) di Jalan Gasing, Petaling Jaya, terbakar lagi.

    Klip video bangunan enam tingkat bersebelahan Lebuhraya Persekutuan itu dijilat api mula tersebar dalam media sosial setengah jam lalu.

    Jabatan Bomba dan Penyelamat mengesahkan kebakaran itu, lapor FMT.

    Bangunan itu dikosongkan selepas kebakaran pada Februari 2018 – tiada kemalangan jiwa dilaporkan ketika itu.

    Bangunan pejabat berusia 63 tahun itu dijadualkan dibuka semula lewat tahun depan sebagai kemudahan warga emas.

  • Remaja lemas ketika mandi di air terjun

    Remaja lemas ketika mandi di air terjun

    SEORANG remaja lemas semasa mandi bersama tiga rakannya di Air Terjun Lata Medang Kuala Kubu Bharu di Hulu Selangor hari ini.

    Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Hafisham Mohd. Noor berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 3.08 petang.

    “Sepasukan enam pegawai dan anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kubu Bharu bergegas ke lokasi kejadian.

    “Menurut laporan awal, kejadian membabitkan seorang remaja lelaki berusia 19 tahun lemas ketika mandi bersama tiga rakannya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Hafisham berkata, pihaknya melakukan operasi mencari dan menyelamat melalui kaedah ‘surface water rescue’.

    “Mayat mangsa ditemui pada pukul 4.03 petang dan telah disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia. Mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya, lapor Sinar Harian.

  • 36 sekolah di KL, Selangor terjejas akibat ribut

    36 sekolah di KL, Selangor terjejas akibat ribut

    SEBANYAK 36 sekolah terjejas akibat ribut yang melanda ibu kota dan sekitar Selangor, kelmarin.

    Kementerian Pendidikan (KPM) memaklumkan, kerosakan membabitkan 27 sekolah di Kuala Lumpur dan sembilan sekolah di Selangor.

    “Pihak Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JPWPKL), Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (JPNS) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) akan membuat penilaian lanjut terhadap kerosakan yang berlaku di sekolah berkenaan dengan kerjasama daripada Jabatan Kerja Raya (JKR).

    “Seterusnya, pihak JKR akan mengemukakan laporan penilaian berserta anggaran kos kepada KPM,” menurut KPM dalam satu kenyataan.

    Menurut kenyataan itu, penyaluran peruntukan penyelenggaraan untuk tujuan membaiki kerosakan di bawah kecemasan akan disalurkan kepada JPWPKL dan JPNS dengan segera.

    “JPWPKL, JPNS dan PPD akan melaksanakan pembaikan serta pembersihan segera bagi membolehkan sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) diteruskan tanpa sebarang gangguan.

    Antara sekolah yang mengalami kerosakan dalam kejadian hujan lebat dan ribut yang melanda Kuala Lumpur pada 19 Mei 2023. – Foto Facebook Alexander Nanta Linggi

    “KPM sentiasa mengambil berat perkara berkaitan keselamatan, kesejahteraan dan kebajikan seluruh warganya,” katanya, lapor Harian Metro.

    Kelmarin, hujan lebat serta ribut menyebabkan pokok tumbang di beberapa lokasi di sekitar ibu kota dan Selangor sehingga merosakkan kenderaan, rumah dan menghalang laluan.

    Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dilaporkna menerima kira-kira 90 kes kejadian pokok tumbang yang menghempap kenderaan dan kediaman.