Category: Kemalangan / Bencana

  • Kanak-kanak ditemukan lemas, terapung dalam paya

    Kanak-kanak ditemukan lemas, terapung dalam paya

    KEHILANGAN seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun selepas tidak balik ke rumahnya di Kampung Gong Beris, Pulau Kerengga, Marang sejak petang semalam, terjawab apabila ditemukan meninggal dunia hari ini akibat lemas dalam sebuah paya.

    Muhammad Syafiq Abdullah ditemukan pada pukul 8 pagi di kawasan paya berdekatan kampung itu yang jaraknya hanya 500 meter dari rumahnya.

    Mayat ditemukan berseluar pendek berwarna biru tanpa baju, terapung dalam paya itu yang kedalamannya lebih kira-kira 1 meter.

    Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Mohd Zain Mat Deris berkata, kehilangan mangsa di rumah hanya disedari ibunya kira-kira pukul 6 petang semalam sejurus tersedar daripada tidur.

    “Pada mulanya menyangkakan anaknya keluar bermain seperti selalu.

    “Namun, sehingga pukul 8 malam mangsa didapati masih belum pulang ke rumah yang seterusnya mengundang rasa tidak sedap hati serta bimbang tentang keselamatan mangsa sebelum meminta bantuan ahli keluarganya dan penduduk kampung mencari mangsa.

    “Usaha pencarian dilakukan di kawasan parit, paya dan lombong serta semua kawasan di sekitar kampung tetapi kanak-kanak itu tidak dijumpai.

    “Suri rumah tersebut mengambil keputusan membuat laporan polis kerana mengesyaki anaknya yang dilihat kali terakhir pukul 4 petang semalam telah hilang,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

    Jelas Mohd. Zain, hasil siasatan awal mendapati mangsa berkemungkinan terjatuh ketika cuba mengambil sebiji bola yang dipercayai terjatuh ke dalam kawasan paya.

    Mayat mangsa dibawa ke Bilik Forensik Hospital Sultanah Nurzahirah (HSNZ), Kuala Terengganu untuk dibedah siasat.

    Menurutnya, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

  • Bas persiaran rempuh tiga kereta, dua cedera

    Bas persiaran rempuh tiga kereta, dua cedera

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEBUAH bas persiaran tanpa penumpang hilang kawalan sebelum merempuh tiga buah kereta di kilometer (KM) 37, Lebuh Raya Selatan Susur Bandar Dato Onn, Johor Bahru, hari ini.

    Kemalangan pada kira-kira pukul 9 pagi itu melibatkan bas persiaran, kereta jenis Proton Saga, BMW dan Perodua Myvi.

    Pelanggaran itu mengakibatkan dua lelaki cedera iaitu mangsa berusia 38 tahun yang memandu Proton Saga manakala seorang lagi berusia 47 tahun memandu kereta BMW.

    Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tebrau, Pegawai Bomba Kanan II, Khairul Azhar Abd. Aziz berkata, tujuh anggota dengan bantuan sebuah unit Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) ke lokasi kejadian.

    Anggota bomba membantu mangsa yang cedera selepas sebuah bas persiaran merempuh tiga buah kereta di kilometer (KM) 37, Lebuh Raya Selatan Susur Bandar Dato Onn, Johor Bahru, hari ini.

    “Kejadian juga dipercayai berlaku apabila bas persiaran telah merempuh tiga buah kenderaan itu sekali gus mengakibatkan dua mangsa mengalami kecederaan

    “Dalam perlanggaran tersebut, tiada penumbang di dalam bas persiaran itu. Bas itu juga telah dialihkan selepas pihak bomba tiba di lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Kedua-dua pemandu katanya, diberi rawatan awal oleh pasukan EMRS sebelum dibawa ke Hospital Sultan Ismail (HSI) di Johor Bahru,” katanya.

  • Dua pekerja SWM Corp maut dalam kemalangan

    Dua pekerja SWM Corp maut dalam kemalangan

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    DUA pekerja SWM Corp maut manakala seorang lagi parah selepas lori pengangkut sampah milik syarikat konsesi itu kemalangan berhampiran ST Rhodes Club, Ladang Johor, Labis, dekat Segamat, hari ini.

    Kemalangan melibatkan dua pekerja syarikat konsesi itu iaitu pemandu lori tersebut, Ramli Ibor, 58, dan kelindan, Muhammad Helmi Karim, 30, dengan lori jenis Isuzu melibatkan pemandunya, Nor Fazli Ramli, 30.

    Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Labis, Penolong Penguasa Bomba Muhammad Hafifie Md. Sarif berkata, pihaknya
    menerima laporan kejadian tersebut pada pukul 8.11 pagi.

    “Seramai 14 anggota dengan sebuah jentera Fire Rescue Team (FRT) serta satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke tempat kejadian.

    Dua mangsa daalam lori SWM Corp telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan perubatan yang berada di lokasi kejadian

    “Kemalangan itu melibatkan sebuah lori 3 tan membawa muatan besi binaan telah bertembung dengan sebuah lori SWM Corp,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, hari ini.

    Beliau berkata, akibat pelanggaran secara berdepan itu semua mangsa tersepit di tempat duduk masing-masing.

    Katanya, pihak bomba bertindak mengeluarkan kesemua mangsa yang tersepit dengan menggunakan peralatan rescue tools dan stretcher.

    “Dua mangsa daalam lori SWM Corp telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan perubatan yang berada di lokasi kejadian dan diserahkan kepada pihak polis,” katanya.

    Sementara pemandu lori berkenaan katanya, mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan dibawa ke Hospital Segamat dengan menaiki ambulans bagi menerima rawatan lanjut.

    Beliau menambah, operasi berkenaan tampat pada pukul 10.56 pagi.

  • Pengurus bank maut kereta bertembung lori

    Pengurus bank maut kereta bertembung lori

    SEORANG pengurus bank terbunuh selepas kereta dipandunya terlibat kemalangan sebuah lori di Kilometer 22.5 Jalan Tampin-Gemas di hadapan kilang Gemencheh Granite, Tampin awal pagi ini.

    Mangsa, N. Arumugam, 40, dipercayai dalam perjalanan dari arah Tampin menghala ke Gemas dalam kejadian pada pukul 3 pagi.

    Timbalan Ketua Polis Daerah Tampin, Deputi Superintendan Amiruddien Sariman berkata, siasatan awal mendapati mangsa yang memandu kereta jenis Proton Persona dipercayai telah hilang kawalan sebelum melanggar sebuah lori.

    “Kejadian itu mengakibatkan kereta dipandunya terbabas ke bahu jalan sebelah kiri dan melanggar bahagian hadapan sebuah lori yang diletakkan di bahu jalan.

    “Mangsa yang bekerja sebagai pengurus sebuah bank di Serdang, Selangor mengalami parah dan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, hari ini.

    Menurutnya, mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Tampin untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

  • Dua maut dua parah terpelanting dalam kemalangan

    Dua maut dua parah terpelanting dalam kemalangan

    DUA penunggang maut manakala dua lagi cedera parah dalam kemalangan membabitkan tiga motosikal di Jalan Buangsiol, Limbang, malam tadi.

    Mangsa yang maut ialah Akmal Haziq Arshad, 25 dan Richard Ruaini, 33.

    Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Superintendan Alexson Naga Chabu berkata, seorang lagi penunggang motosikal iaitu lelaki berusia 17 tahun dan pembonceng salah satu motosikal iaitu warga Indonesia cedera parah.

    Menurutnya, hasil siasatan awal dijalankan mendapati ketika kejadian, Akmal dan seorang lagi rakannya sedang bergerak seiring dari arah Bandar Limbang menuju ke Patiambun.

    “Sampai di satu laluan lurus, sebuah lagi motosikal ditunggang Richard bersama-sama pemboncengnya tiba-tiba hilang kawalan lalu masuk ke laluan bertentangan dan bertembung dengan dua motosikal itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Katanya, impak perlanggaran yang kuat turut menyebabkan kesemua mangsa terpelanting ke tengah jalan.

    Pasukan paramedik yang menjalankan pemeriksaan ke atas mangsa katanya, mengesahkan kedua-dua mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian manakala dua lagi parah.

    “Mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Limbang untuk bedah siasat manakala dua mangsa yang cedera turut dihantar ke hospital sama.

    Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

  • Motosikal bertembung, pelajar sekolah dan lelaki Rohingya maut

    Motosikal bertembung, pelajar sekolah dan lelaki Rohingya maut

    SEORANG pelajar sekolah menengah dan seorang buruh etnik Rohingya maut manakala dua lagi parah selepas motosikal yang mereka tunggangi bertembung dalam kemalangan di Ulu Melaka, di Langkawi, malam tadi.

    Menurut Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari, kemalangan kira-kira pukul 10.22 malam itu melibatkan motosikal jenis Honda Wave dan Yamaha LC yang datang dari arah bertentangan.

    Pelajar yang maut dikenal pasti sebagai Ku Nur Shahrizal Ku Nor Sazali, 16 tahun manakala lelaki Rohingnya, Anas Ali, 28 tahun, yang mengalami kecederaan parah di kepala dan badan.

    Dua yang parah pula merupakan isteri Anas, Artiyah Lashidullah, 20 tahun, dan anak mereka Nadiyah, 5 tahun, yang membonceng motosikal terbabit.

    “Kemalangan dipercayai berlaku apabila motosikal ditunggangi pelajar tingkatan 4 itu, yang datang dari arah Ulu Melaka menghala ke Air Hangat, memasuki laluan bertentangan.

    “Di tempat kejadian, motosikal dinaiki tiga beranak etnik Rohingya itu berada di laluannya, lalu bertembung secara berhadapan,” katanya seperti dipetik dari laporan Astro Awani.

    Shariman berkata, akibat pelanggaran itu kedua-dua mangsa yang maut jatuh di atas jalan manakala dua pembonceng tercampak hampir 10 meter ke atas jalan.

    Mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultanah Maliha untuk bedah siasat.

    Manakala dua yang parah dihantar ke bahagian kecemasan hospital sama untuk rawatan lanjut.

    Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

  • Seorang maut, dua parah kereta berpusing dan rempuh pokok

    Seorang maut, dua parah kereta berpusing dan rempuh pokok

    TIGA sahabat yang sedang perjalanan pulang ke rumah selepas makan di sebuah kedai terlibat kemalangan apabila kereta dinaiki terbabas sebelum merempuh pokok di Kampung Kolam, Kuala Berang, hari ini.

    Kemalangan pukul 5 pagi itu mengakibatkan Muhammad Aziq Adam Abdul Raqib, 20, beralamat di Taman Gong Badak Empat, Kuala Nerus, maut.

    Sementara dua lagi rakannya parah iaitu Muhammad Shafiq Md. Shadip dan Muhammad Amir Naim Anuar, kedua-duanya juga berusia 20 tahun dan berasal dari Felda Bukit Bading, Kuala Berang.

    Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daud berkata, kemalangan berlaku apabila kereta Proton Saga FL dinaiki mereka dikatakan terbabas sebelum merempuh sebarang pokok di lokasi kejadian.

    “Sebelum kejadian, tiga rakan terbabit dikatakan dalam perjalanan pulang ke Felda Bukit Bading selepas selesai makan di sebuah kedai di Kampung Binjai Rendah, Marang, pada 3 pagi.

    “Sebaik tiba di lokasi kejadian, kereta dipandu Muhammad Shafiq dikatakan hilang kawalan dan berpusing ke bahu kiri jalan menghala ke Ajil, Kuala Berang sebelum merempuh pokok dan ketiga-tiga mangsa tersepit,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Beliau berkata, semua mangsa dikeluarkan anggota bomba sebelum dibawa ke Hospital Hulu Terengganu (HHT).

    Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

  • Siasat dan umum segera punca kejadian tanah runtuh di Cameron Highlands

    Siasat dan umum segera punca kejadian tanah runtuh di Cameron Highlands

    SAHABAT Alam Malaysia (SAM) menggesa pihak berkuasa menyiasat segera tragedi tanah runtuh di KM34 Jalan Simpang Pulai – Blue Valley ke Cameron Highlands semalam dan mendedahkan hasil siasatannya kepada orang ramai.

    Presidennya, R. Meenakshi berkata, pihaknya bimbang sekiranya terdapat sebarang pembersihan tanah untuk aktiviti pertanian atau pembangunan lain yang telah atau sedang dijalankan di kawasan itu.

    Jelas beliau, situasi itu jika berlaku perlu dihentikan segera supaya langkah perlindungan dan pemulihan dapat dilakukan dengan segera.

    Dalam masa sama tambahnya, SAM menggesa pihak berkuasa berkenaan di Cameron Highlands dan kawasan sekitarnya memantau semua kawasan berisiko tinggi serta mengambil langkah mencegah daripada berlakunya tanah runtuh atau kegagalan cerun lain.

    “Kita semua mesti tahu kawasan tanah tinggi dan bukit adalah kawasan alam sekitar yang sensitif dan amat terdedah kepada tanah runtuh serta kegagalan cerun.

    “Dengan berlakunya perubahan iklim, kita boleh melihat kekerapan dan keamatan hujan lebat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Tambah beliau, kejadian tanah runtuh di Cameron Highlands dan kawasan sekitarnya jelas menunjukkan langkah-langkah yang telah diambil untuk mencegah tragedi sebegitu masih tidak mencukupi.

    Ujarnya, kejadian hujan lebat bukan sesuatu yang luar biasa dan sudah dijangka, tetapi bukan penyebab utama kepada berlakunya tanah runtuh dan kegagalan cerun.

    “Bagi suatu kejadian tanah runtuh dan kegagalan cerun untuk berlaku dan dicetuskan oleh hujan lebat yang berterusan mestilah terdapat gangguan kepada rupa bumi semula jadi di kawasan berkenaan,” katanya.

    Sehubungan itu tambah Meenakshi, sudah tiba masanya pihak berkuasa mengawal dengan ketat pembangunan di atas tanah bukit dan tanah tinggi dan menjalankan pemantauan lebih kerap serta menguatkuasakan dengan tegas undang-undang dan peraturan sedia ada.

    “Kita perlu menghentikan penukaran tanah bukit dan tanah tinggi dan mestilah mengawal dengan lebih tegas aktiviti yang sedia ada. Jika tidak, kita akan terus mengundang tragedi sebegini,” katanya.

  • Pemandu lori disyaki mabuk tuak maut dalam kemalangan

    Pemandu lori disyaki mabuk tuak maut dalam kemalangan

    SEORANG pemandu lori yang dipercayai mabuk, maut dalam kemalangan membabitkan tiga buah kenderaan di Jalan Sungai Burong, Tawau, Sabah semalam.

    Siasatan awal polis mendapati kejadian pukul 8.15 malam itu berpunca daripada pemandu lori Daihatsu berusia 63 tahun yang hilang kawalan dan masuk ke laluan bertentangan.

    Ketua Polis Daerah Peter AK Umbuas berkata, pemeriksaan dalam lori yang dipandu mangsa turut menemui minuman tuak.

    “Semasa kejadian, pemandu tersebut tiba-tiba memasuki laluan bertentangan lalu melanggar cermin sisi kanan serta lampu belakang sebuah lori yang sedang dalam perjalanan menuju ke Tawau.

    “Kemudian, pemandu lori (Daihatsu) yang sedang menuju ke Semporna itu memasuki semula laluannya sebelum menuju ke laluan bertentangan sehingga bertembung dengan lori jenis Nissan,” katanya ketika dihubungi.

    Mangsa yang tersepit berjaya dikeluarkan oleh pihak bomba dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

    Dua lori lain yang terbabit mengalami kerosakan akibat kemalangan itu, namun pemandunya tidak cedera.

    Kes disiasat bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

  • 2 kanak-kanak mati lemas dalam bekas lombong

    2 kanak-kanak mati lemas dalam bekas lombong

    DUA kanak-kanak ditemukan lemas di sebuah bekas lombong di Kampung Sisik, Tanjung Resang di Mersing, petang semalam.

    Mangsa dikenali sebagai Wilton Callos, 4, dan rakannya Medical Micaella, 10.

    Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Endau, Penolong Penguasa Bomba Mohd Alias Hussin berkata, pihaknya menerima panggilan pada pukul 6.16 petang sebelum lapan anggota dikerahkan ke lokasi kejadian.

    Semasa kejadian mangsa bersama-sama ibunya dan adik-beradik serta jiran dan anak-anak telah pergi ke lombong pasir tersebut untuk tujuan berkelah.

    Beliau berkata, pihaknya bertindak melakukan pencarian dua kanak-kanak itu di permukaan lombong sebelum kedua-duanya dijumpai oleh bapa kepada salah seorang mangsa pada jarak kira-kira empat kaki dari tebing terbabit.

    “Kedua-dua mangsa kemudiannya diberikan bantuan kecemasan jantung dan pernafasan (CPR) namun tiada tindak balas,” katanya dalam kenyataan di sini, lewat malam tadi.

    Mohd Alias berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Mersing dengan kenderaan pelbagai guna (MPV) milik anggota tentera dan operasi ditamatkan pada 7.28 malam. – BERNAMA