Category: Kemalangan / Bencana

  • Lebih 11,000 mangsa banjir dipindahkan di tujuh negeri setakat malam tadi

    Lebih 11,000 mangsa banjir dipindahkan di tujuh negeri setakat malam tadi

    LEBIH 11,000 mangsa banjir dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) di tujuh negeri yang dilanda banjir dengan Selangor merekodkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 3,632 mangsa, setakat malam tadi.

    Negeri lain yang dilanda banjir termasuk Pahang, Selangor, Melaka, Negeri Sembilan, Perak dan Kelantan terus mencatatkan peningkatan, kecuali Terengganu yang mencatat penurunan jumlah mangsa.

    Di SELANGOR, InfoBencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memaklumkan seramai 3,508 mangsa banjir dipindahkan ke 45 PPS, membabitkan daerah Kuala Langat, Klang, Kuala Selangor, Sepang dan Hulu Langat susulan hujan lebat sejak 24 jam lepas.

    Timbalan Ketua Polis Daerah Shah Alam Supt Ramsay Anak Embol dalam kenyataan berasingan berkata susulan kejadian banjir itu, sembilan jalan di daerah itu ditutup setelah dinaiki air dan tidak boleh dilalui dan pihaknya telah mengerakkan 115 anggota termasuk lapan pegawai dengan dibantu oleh 47 anggota dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, MBSA dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).

    Di SEPANG, seramai 124 mangsa dari 30 keluarga ditempatkan di PPS setakat 8 malam tadi. 

    Timbalan Ketua Polis Daerah Sepang Supt Md Noor Aehawan Mohamed berkata jumlah mangsa itu meningkat berbanding 66 orang pada 12 tengah hari tadi.

    Di PAHANG, jumlah mangsa banjir meningkat mendadak apabila 3,193 mangsa daripada 928 keluarga daerah Maran, Raub, Jerantut, Lipis dan Kuantan dipindahkan ke 72 PPS pada sebelah malam tadi, menurut InfoBencana JKM.

    Di MELAKA pula, jumlah mangsa banjir di daerah Alor Gajah terus meningkat kepada 438 daripada 83 keluarga setakat pukul 9 malam ini dan ditempatkan di 10 PPS, menurut Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Melaka Lt Kol (PA) Cuthbert John Martin. 

    Sementara di KELANTAN, jumlah mangsa banjir terus menunjukkan peningkatan setakat 10 malam tadi, apabila 3,155 orang daripada 722 keluarga dipindahkan ke 39 PPS berbanding 1,391 orang daripada 337 keluarga, petang tadi.

    Di NEGERI SEMBILAN, jumlah mangsa banjir meningkat kepada 388 individu dan sembilan PPS dibuka di beberapa kawasan termasuk Port Dickson dan Seremban setakat pukul 10 malam tadi.

    Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Negeri Sembilan Lt Kol (PA) Mohd Syukri Madnor berkata ini menjadikan Jelebu daerah terbaharu dilanda banjir dengan 25 mangsa daripada tujuh keluarga di Kampung Juntai dipindahkan ke PPS balai raya kampung berkenaan, kira-kira pukul 8 malam tadi.

    Di IPOH, hujan lebat berterusan menyebabkan Perak mula dilanda banjir apabila Lorong Kampung Kedah di Batu 8, Jalan Changkat Jong, Teluk Intan di daerah Hilir Perak dinaiki air sejak lewat petang tadi.

    Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak dalam kenyataan malam ini berkata seramai 11 penduduk daripada empat keluarga dipindahkan ke Dewan Changkat Jong.

    Beliau berkata cuaca di kawasan berkenaan masih hujan sehingga kini dan anggota serta pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Teluk Intan telah dikerahkan ke lokasi bagi kerja menyelamat dan pemantauan.

    Di TERENGGANU, situasi banjir di negeri itu agak baik malam ini dengan penurunan mangsa kepada 248 orang daripada 85 keluarga berbanding 285 orang daripada 92 keluarga pada 4 petang tadi.

    Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu dalam kenyataan memaklumkan hanya Dungun, satu-satunya daerah yang masih dilanda banjir ketika ini dengan dua PPS masih beroperasi.

    — BERNAMA

    .

  • Agong redah banjir tinjau situasi bencana

    Agong redah banjir tinjau situasi bencana

    YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah meredah air banjir di sekitar Pusat Dagangan Dunia (WTC) di Kuala Lumpur malam tadi ketika meninjau situasi banjir di ibu negara.

    Keberangkatan Seri Paduka bagi  meninjau situasi banjir susulan hujan lebat sejak Jumaat itu turut dirakamkan dan dimuat naik di laman Facebook Istana Negara.

    Catatan itu menyatakan Seri Paduka telah berkenan turun dari kenderaan Baginda sewaktu hujan lebat di jalan susur menghala WTC dan meredah air banjir bagi melihat sendiri situasi di sekitar kawasan tersebut.

    YANG di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat meninjau situasi banjir di ibu kota susulan hujan lebat yang melanda Ibu Kota sejak 24 jam yang lalu. GAMBAR: Facebook Istana Negara

    “Keberangkatan Seri Paduka Baginda mencemar duli adalah cerminan keperibadian tinggi dan kasih kepada rakyat baginda tanpa mengira tempat, masa dan cuaca,” menurut catatan tersebut.

    Lembah Klang dilanda banjir menyebabkan ribuan penduduk dipindahkan ke pusat pemindahan sementara serta sejumlah pengguna jalan raya terkandas akibat laluan yang dinaiki air dan ditutup.

    Selain Lembah Klang, banjir turut dilaporkan berlaku di Pahang, Melaka, Negeri Sembilan, Perak, Kelantan dan Terengganu.

    Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah mengarahkan semua kementerian berkaitan menggerakkan aset ke kawasan terjejas banjir bagi memastikan rakyat diselamatkan dan ditempatkan di pusat pemindahan sementara dengan segera.

  • Banjir: Jururawat dan anak sanggup jalan kaki 8 jam untuk kembali ke rumah

    Banjir: Jururawat dan anak sanggup jalan kaki 8 jam untuk kembali ke rumah

    SEORANG jururawat bersama anak perempuan sanggup berjalan kaki selama lapan jam dari sebuah stesen minyak di Shah Alam ke rumah mereka Bandar Putera Klang kerana kereta dinaiki rosak setelah cuba meredah banjir untuk pulang ke rumah.

    Hayati Halim, 44, pulang dari kampung halaman di Bagan Serai, Perak selepas mendapat tahu daripada jirannya bahawa rumahnya telah dinaiki air hingga ke paras dada.

    “Saya nak tengok dahulu apa keadaan di rumah dan sedang menunggu bot untuk memasuki kawasan rumah kerana paras air tinggi, nak tengok apa yang boleh saya selamatkan,” katanya yang ditemui.

    Beliau yang tinggal di Taman Kamelia, Bandar Putera Klang, ditemani anak perempuan berumur 16 manakala suami dan seorang lagi anak menguruskan kereta mereka. 

    Sementara itu, seramai 280 mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Kemuning Utama, dekat sini terpaksa ‘bergelap’ apabila bekalan elektrik di kawasan itu terputus sejak 11 malam tadi.

    Mangsa merupakan penduduk di sekitar Taman Bukit Kemuning dan Taman Seri Muda yang telah berpindah ke PPS tersebut sejak 6 pagi Sabtu.

    Seorang penduduk Mohamad Albrahim Chong Shafie, 41, berkata ini merupakan kali pertama dewan itu digunakan sebagai PPS dan juga pengalaman pertamanya menjadi mangsa banjir.

    “Sebelum ini air pernah naik pada paras betis di kawasan taman saya, namun banjir kali ini ada rumah di kawasan saya naik sehingga ke paras dada,” katanya kepada Bernama.

    Beliau berkata hanya sebahagian mangsa banjir di PPS itu mendapat khemah mudah alih untuk keselesaan manakala sebahagian lain masih menunggu bantuan itu sampai.

    Seorang lagi mangsa, Amiruddin Savai, 63, berkata beliau bersama lapan ahli keluarganya menghadapi detik cemas apabila air naik dengan begitu pantas dan tidak pernah dialaminya sejak 23 tahun menetap di situ.

    “Pak cik sekeluarga tidak boleh tidur kerana air naik begitu pantas dan bermula dari waktu solat Maghrib (semalam), air terus naik sampai ke paras dada,” katanya yang turut membawa kucing peliharaan anak perempuannya ke PPS berkenaan.

    Terdahulu ketika tinjauan Bernama ke PPS berkenaan, mendapati kawasan di sekitar PPS tersebut turut bergelap kerana ketiadaan elektrik selain terdapat banyak pokok tumbang merentasi jalan raya ekoran angin kencang.

    Semasa menuju ke PPS berkenaan, sebuah peti  bekal kuasa Tenaga Nasional Berhad di tepi jalan terbakar sehingga mengeluarkan kepulan asap tebal.

    Beberapa laluan yang dinaiki air hanya boleh dilalui oleh kenderaan pacuan empat roda dan kenderaan berat.

  • Awas! Hujan sangat lebat tahap bahaya di KL, Perak, Pahang, Selangor hari ini

    Awas! Hujan sangat lebat tahap bahaya di KL, Perak, Pahang, Selangor hari ini

    HUJAN sangat lebat berterusan tahap bahaya diramal berlaku hari ini di beberapa kawasan di ibu negara, Perak, Pahang dan Selangor.

    Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menerusi kenyataan amaran cuaca yang dikeluarkan pada 1.40 pagi memaklumkan bahawa kawasan yang terlibat di Perak ialah Manjung, Kinta, Perak Tengah, Kampar, Bagan Datuk, Hilir Perak, Batang Padang dan Muallim.

    Di Pahang, kawasan yang dijangka terlibat ialah Cameron Highlands, Lipis, Raub, Jerantut, Bentong dan Kuantan manakala di Selangor ialah Sabak Bernam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Klang, Gombak, Petaling, Kuala Langat serta Hulu Langat. 

    Sementara itu, hujan lebat berterusan tahap buruk diramal berlaku di Kuala Muda, Kulim dan Bandar Baharu di Kedah; Pahang (Temerloh, Maran dan Pekan); Sepang (Selangor); Wilayah Persekutuan Putrajaya dan Jelebu (Negeri Sembilan).

    MetMalaysia juga mengeluarkan amaran waspada hujan berterusan di seluruh Perlis; Kedah (Langkawi, Kubang Pasu, Kota Setar, Pokok Sena, Padang Terap, Yan, Pendang, Sik dan Baling), Perak (Hulu Perak) dan Kelantan (Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Jeli, Tanah Merah, Bachok, Machang, Pasir Puteh dan Kuala Krai).

    Keadaan cuaca sama turut diramal berlaku di seluruh Terengganu, Melaka, Pahang (Bera dan Rompin); Negeri Sembilan (Seremban, Port Dickson, Kuala Pilah, Rembau, Jempol dan Tampin) serta Johor (Tangkak, Segamat, Muar dan Batu Pahat).  – BERNAMA

  • Hujan luar biasa, air pasang punca banjir di Selangor – MB

    Hujan luar biasa, air pasang punca banjir di Selangor – MB

    HUJAN luar biasa sejak pagi semalam dan berterusan sehingga kini ditambah dengan kejadian air pasang menyebabkan beberapa kawasan di Selangor dilanda banjir.

    Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata Jabatan Pengairan dan Saliran Selangor memaklumkan bahawa taburan hujan telah mencecah 380mm.

    “Jumlah ini adalah lebih dua kali ganda taburan hujan tertinggi yang dicatat sebelum ini iaitu kira-kira 180mm. Air pasang di kawasan-kawasan terlibat banjir pula mencecah hingga 4.5 meter,” katanya dalam kenyataan selepas mempengerusikan mesyuarat Unit Pengurusan Bencana Negeri Selangor hari ini.

    Beliau berkata susulan itu beberapa langkah sedang dan akan diambil termasuk membabitkan keselamatan mangsa-mangsa banjir di kawasan yang paling terkesan.

    Katanya setakat 5 petang tadi, daerah Klang, Petaling, Sepang, Kuala Langat dan Kuala Selangor telah mengoperasikan 46 pusat pemindahan sementara (PPS) bagi menempatkan 3,582 mangsa banjir.

    Menurut Amirudin, kesemua mangsa di PPS akan melalui saringan COVID-19 secara berkala dan percuma untuk mengelak tercetusnya kes COVID-19 dan PPS khusus akan disediakan bagi mangsa yang dikesan positif COVID-19. 

    Beliau berkata aset-aset kerajaan negeri serta agensi seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat, Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia akan dikerah khususnya kenderaan redah banjir bagi pemindahan mangsa serta pengagihan barangan keperluan asas manakala Air Selangor diarah menyediakan tangki air bergerak di PPS.

    “Kesemua usaha ini akan dikoordinasi oleh Smart Selangor Operations Centre (SSOC) yang beroperasi 24 jam berpusat di Ibu Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, Shah Alam selain pasukan sukarelawan Team Selangor dan Selangor Volunteer (SERVE) akan digerakkan bagi membantu proses penempatan penduduk di PPS, mengagihkan bantuan awal serta pembersihan selepas air pasang mula surut,” katanya.

    Amirudin berkata 134 pintu air terpaksa ditutup akibat kejadian air pasang bagi mengelakkan air melimpah keluar ke kawasan-kawasan perumahan penduduk yang berdekatan kunci air. 

    “Sebanyak 93 pam turut beroperasi secara penuh untuk mempercepatkan aliran air ke sistem perparitan sungai bagi mengawal kejadian banjir,” katanya sambil menambah orang awam yang memerlukan pertolongan boleh menghubungi Unit Pengurusan Bencana Negeri Selangor di talian 03-50350920. – BERNAMA

  • Banjir: Lima pekerja balak berenang 300 meter selamatkan diri

    Banjir: Lima pekerja balak berenang 300 meter selamatkan diri

    LIMA orang pekerja balak yang menghuni sebuah rumah kongsi berdekatan Sungai Kelemin di Hulu Dungun, Dungun, terpaksa menggadai nyawa merenangi banjir sejauh 300 meter untuk ke tebing sungai, sebelum diselamatkan pihak bomba.

    Nasir Abdullah, 57, berkata beliau bersama rakan-rakannya terperangkap sejak petang semalam akibat air yang naik mendadak sehingga menenggelamkan sebuah jambatan kecil yang merupakan satu-satunya laluan keluar daripada rumah kongsi itu.

    “Kami sudah berada di rumah kongsi sejak lima hari lepas dan hujan sejak semalam menyebabkan air naik begitu cepat menyebabkan kami tidak boleh keluar hari ini. Bekalan makanan pun semakin berkurangan jadi kami pun menghubungi majikan dan minta diselamatkan.

    “Selepas itu kami keluar dari rumah kongsi dan berenang sampai ke tebing sungai sebab jambatan sudah tenggelam. Bomba pula ambil kami dengan bot,” katanya ketika ditemui pemberita selepas diselamatkan pasukan penyelamat di tebing Sungai Kelemin, Kampung Talong, Hulu Dungun, di Dungun hari ini.

    Nasir yang berasal dari Sandakan, Sabah berkata meskipun rumah kongsi didiaminya terletak di kawasan yang tinggi namun beliau dan rakan-rakan mengambil keputusan untuk keluar dari kawasan itu kerana bimbang sekiranya banjir semakin buruk dan mereka akan terputus bekalan makanan.

    Sementara itu Ketua Balai Bomba Dan Penyelamat Bandar Al-Muktafi Billah Shah (AMBS), Penolong Penguasa Bomba, Zul Husni Abdul Rahman berkata pasukan penyelamat mengambil masa selama 40 minit untuk menyelamatkan pekerja rumah kongsi berkenaan dengan menyeberangi Sungai Kelemin sejauh lapan kilometer.

    “Kerja-kerja penyelamatan dilakukan oleh empat anggota Balai Bomba AMBS dan dibantu empat anggota polis dari Balai Polis Kuala Jengal, dengan menggunakan sebuah bot milik bomba.

    Keadaan arus sungai yang deras dan risiko kayu balak yang hanyut menyebabkan kita mengalami kesukaran menyelamatkan pekerja-pekerja yang berumur lingkungan 50-an itu,” katanya.

    Dalam pada itu Zul Husni menasihati semua pekerja rumah kongsi terutama yang terletak berdekatan sungai supaya lebih berhati-hati apabila tibanya musim tengkujuh.

    Katanya mereka juga perlu keluar dari rumah kongsi lebih awal sekiranya keadaan hujan berterusan bagi mengelakkan daripada terperangkap dengan keadaan banjir yang lebih buruk sehingga menyukarkan operasi menyelamat. – Bernama

  • 108 PPS dibuka di 6 negeri – Rina Harun

    108 PPS dibuka di 6 negeri – Rina Harun

    JABATAN Kebajikan Masyarakat (JKM) telah membuka sebanyak 108 pusat pemindahan sementara PPS bagi membantu mangsa banjir di beberapa negeri terjejas, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun.

    Beliau berkata, setakat ini lebih 5,000 orang terjejas akibat banjir ekoran hujan berterusan sejak semalam.

    “108 pusat pemindahan sementara telah dibuka yang melibatkan enam buah negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang, Melaka, Negeri Sembilan dan Selangor. Setakat ini, jumlah kesuluruahan mangsa adalah seramai 5,846 orang,” katanya pada sidang akhbar selepas Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu 2021, hari ini.

    Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun pada sidang akbar di Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu 2021, hari ini

    Katanya, beberapa bilik gerakan JKM Daerah dan Negeri di kawasan yang terjejas turut dibuka bagi memudahkan urusan mangsa.

    Orang ramai boleh menghubungi bilik gerakan di negeri berikut:
    Selangor- 03-55456856
    Pahang- 09-5650226
    Kelantan- 09-7416925. -SB

  • Banjir di Melaka:Balai Polis Lubok Cina, jentera bomba tenggelam

    Banjir di Melaka:Balai Polis Lubok Cina, jentera bomba tenggelam

    BALAI Polis Lubok Cina dan sebuah jentera Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) di Masjid Tanah ditenggelami air sejak pukul 5 pagi tadi.

    Keadaan itu berpunca daripada hujan lebat yang berterusan sejak semalam menyebabkan paras Sungai Rembau yang kira-kira 100 meter dari bangunan dan jentera berkenaan melimpah ke daratan.

    Melalui hantaran dalam Facebook Polis Alor Gajah, balai polis berkenaan dinaiki air berikutan hujan lebat sejak petang semalam.

    Sementara itu, anggota bomba menjalankan gerakan menyelamat mangsa banjir di Kampung Telok Berembang berkata, jentera berkenaan diletakkan berhampiran balai polis itu awal pagi tadi.

    Menurutnya yang enggan dikenali, semua anggota bomba sibuk menjalankan gerakan menyelamatkan mangsa banjir di beberapa kampung, terutama Kampung Telok Berembang yang paling teruk terjejas.

    Balai polis di Alor Gajah turut dinaiki air berikutan hujan lebat sejak petang semalam

    “Bagaimanapun, apabila mereka kembali ke lokasi jentera itu diletakkan, mereka dapati jentera sudah dinaiki air,” katanya.

    Setakat pukul 12.30 tengah hari tadi, air masih belum surut, sekali gus menyebabkan jentera berkenaan masih belum mampu dialihkan.

    Peniaga warung di pekan Lubok Cina, Mohd. Rozi Khamis, 45, berkata, warungnya yang berhampiran balai polis itu dinaiki air pukul 5 pagi.

    “Saya pergi ke warung untuk menyelamatkan 100 doh roti canai tetapi tidak sempat kerana air sudah naik kira-kira 1.5 meter dan saya terkejut apabila mendapati balai polis juga sudah dinaiki air.

    “Bagaimanapun, saya diberitahu, semua anggota polis dalam balai berkenaan sudah keluar sebelum air mencecah paras 1.5 meter,” katanya.

  • Bantu rakan baiki kereta sebelum jadi korban nahas – Adik

    Bantu rakan baiki kereta sebelum jadi korban nahas – Adik

    “SAYA sempat berbual dengan abang kira-kira pukul 10 malam tadi ketika beliau pulang dari kerja dan bersiap-siap untuk keluar semula difahamkan bagi membantu rakannya yang mengalami kerosakan kereta di jalan raya,” kata Muhamad Farhan Rolex.

    Muhamad Farhan, 24, adik kepada Mohamad Rahimi Rolex, 27, yang merupakan seorang daripada 10 mangsa yang maut dalam kemalangan ngeri berhampiran kawasan Rehat & Rawat USJ Lebuhraya ELITE menghala Shah Alam di sini, malam tadi. 

    Beliau berkata bapanya, Rolex Shapiai memberitahu bahawa Mohamad Rahimi masih belum pulang meskipun waktu itu sudah pukul 12.30 tengah malam.

    “Bapa cuba menghubungi telefon abang saya beberapa kali sehinggalah seorang individu yang tidak dikenali menjawab panggilan itu dan memberitahu keadaan yang menimpa beliau,” katanya kepada Bernama di bilik mayat Hospital Shah Alam, di sini.  

    Muhamad Farhan berkata sudah menjadi kebiasaan bagi abangnya yang merupakan seorang mekanik, menghulurkan bantuan kepada pemandu yang kenderaan mereka mengalami kerosakan di jalan raya. 

    Bernama difahamkan rakan kepada Mohamad Rahimi yang meminta bantuan bagi membaiki kereta Perodua Axianya turut mengalami kecederaan iaitu patah kaki dalam nahas tersebut.  

    Sementara itu, tinjauan Bernama di bilik mayat hospital itu mendapati suasana sugul menyelubungi ahli keluarga dan sahabat handai mangsa. 

    Selain Mohamad Rahimi, nahas membabitkan dua Proton Wira, sebuah Perodua Axia dan sebuah treler itu yang melibatkan 17 mangsa, turut mengorbankan seorang wanita dan lapan anaknya.

    — BERNAMA


  • Seorang nelayan Myanmar dikhuatiri lemas bot karam

    Seorang nelayan Myanmar dikhuatiri lemas bot karam

    SEORANG nelayan warga Myanmar dikhuatiri lemas manakala empat yang lain berjaya diselamatkan selepas bot mereka karam di perairan Kuala Kuantan di Kuantan semalam.

    Empat mangsa tersebut diselamatkan nelayan tempatan yang berada sekitar lokasi, mereka semuanya berusia 25 hingga 37 tahun.

    Pengarah Maritim Negeri Pahang, Laksamana Pertama Maritim Datuk Amran Daud berkata, nelayan warga asing itu menaiki bot nelayan kelas C karam kira-kira 3.8 batu nautika akibat dipukul ombak.

    Pengarah Maritim Negeri Pahang, Laksamana Pertama Maritim Datuk Amran Daud berkata, pihaknya mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat (carilamat) bermula pukul 4.15 petang semalam selepas menerima laporan daripada pemilik bot.

    “Bot ronda maritim yang beroperasi di sekitar lokasi berdekatan segera diatur gerak bagi melaksanakan operasi carilamat.

    “Maklumat turut disalurkan kepada komuniti nelayan tempatan termasuk beberapa rakan pemilik bot yang turut membantu dalam operasi pencarian,” katanya melalui satu kenyataan, hari ini.

    Maritim Malaysia Pahang membuka bilik gerakan operasi carilamat seorang nelayan warga Myanmar yang dikhuatiri lemas dalam kejadian bot karam di Perairan Kuala Kuantan semalam.

    Amran berkata, operasi ditangguhkan pada pukul 7 petang semalam dan disambung semula jam 7 pagi ini.

    “Operasi hari ini turut melibatkan pesawat udara Maritim dengan keluasan sektor pencarian 178 batu nautika persegi namun setakat ini masih gagal ditemui,” katanya.

    Tambah beliau, Maritim sentiasa menasihatkan bot nelayan tempatan terutama bot kecil supaya lebih berwaspada dengan amaran angin kencang dan laut bergelora ketika ini.

    “Sebarang maklumat berkaitan kejadian kecemasan kegiatan jenayah di laut boleh terus menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Pahang di talian 09-5717345 atau melalui talian bantuan kecemasan MERS 999,” katanya.