Category: Kemalangan / Bencana

  • Wanita warga emas maut selepas kereta terbalik

    Wanita warga emas maut selepas kereta terbalik

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG warga emas meninggal dunia selepas kereta dinaiki terbabas dan masuk ke kawasan semak sebelum terbalik di tepi Jalan Perani, Bandar Seri Perani, Kota Tinggi, pukul 7 petang kelmarin.

    Kemalangan tersebut mengorbankan Asmah Kental berusia 64 tahun yang mengalami cedera parah.

    Menurut Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Tinggi, Pegawai Bomba Kanan II Mohd. Rafi Mohd. Nor, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian berkenaan pada pukul 7.05 petang.

    Susulan itu katanya, seramai lapan anggota dengan bantuan sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dihantar ke tempat kejadian.

    “Kemalangan melibatkan sebuah kereta jenis
    Proton Wira terbabas di bahu jalan. Terdapat dua mangsa iaitu seorang lelaki dewasa, Muhammad Syukur Osman, 30, cedera ringan dan wanita warga emas tersebut cedera,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

    Beliau berkata, kedua-dua mangsa dikeluarkan oleh orang awam sebelum pihak bomba sampai dan pihaknya memberikan rawatan awal kepada mangsa.

    Katanya, pegawai perubatan yang hadir memberi rawatan ke lokasi kemudian mengesahkan wanita berkenaan telah meninggal dunia.

    Tambah beliau, operasi menyelamat tamat pada pukul 8.24 malam.

  • Pemandu jengkaut maut dihempap bongkah batu 10 tan

    Pemandu jengkaut maut dihempap bongkah batu 10 tan

    SEORANG pemandu jengkaut ditemui maut selepas dipercayai dihempap bongkah batu seberat 10 tan di sebuah kawasan kuari dekat Simpang Pulai semalam.

    Ketua Polis Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, kejadian antara 12 hingga 1 tengah hari itu dipercayai berlaku ketika seorang lelaki berusia 48 tahun berasal dari Gerik, Perak sedang menjalankan kerja pembersihan batu di kawasan kuari.

    Ketika sedang bekerja, katanya, sebuah bongkah seberat 10 tan jatuh dari ketinggian 25m dan menghempap kokpit menyebabkan mangsa tersepit dalam kokpit jentera berat itu.

    “Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh petugas Kementerian Kesihatan, selepas kerja mengeluarkan batu kuari itu dijalankan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) pada 6.45 petang,” katanya dalam kenyataan.

    Yahaya berkata, mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

  • 3 mangsa kebakaran cedera termasuk Shahrukhan diselamatkan atas bumbung

    3 mangsa kebakaran cedera termasuk Shahrukhan diselamatkan atas bumbung

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    DUA remaja dan seorang kanak-kanak cedera semasa menyelamatkan diri dalam kebakaran di tiga buah teres di Taman Mutiara Rini, Skudai Johor Bahru kira-kira pukul 3 petang tadi.

    Tiga mangsa berkenaan iaitu Nur Hidayah Amir Hamzah, 19, Nur Syazliana Shamsudin, 18, dan adiknya, Muhamad Shahrukhan, 8, menyelamatkan diri dengan memanjat atas bumbung sebelum meminta bantuan.

    Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Skudai, Pegawai Bomba Kanan I Kamalrulzaman Salleh berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kejadian tersebut pukul 3.18 petang.

    “Pihak bomba bertindak menyelamatkan semua mangsa menggunakan tangga dan memberi rawatan awal sebelum menghantar mereka ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini untuk rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan malam ini.

    Menurut beliau, kebakaran tersebut memusnahkan tiga rumah teres struktur kekal berkeluasan 6.7x21x4.5 meter setiap satu.

    Katanya, dua rumah berkenaan musnah kira-kira 50 peratus manakala sebuah lagi musnah 15 peratus.

    “Kebakaran juga memusnahkan motosikal Yamaha Lc 135 sebanyak 30 peratus dan Suzuki Belang (30 peratus) dan SYM110 (30 peratus),” katanya.

    Kamalrulzaman berkata, kebakaran tersebut dapat dikawal dan operasi tersebut tamat pada pukul 5.11 petang.

    Tambahnya, punca kejadian dan kerugian masih dalam siasatan.

    Ujar beliau, operasi berkenaan melibatkan 18 anggota dari BBP Skudai dan BBP Iskandar Puteri dibantu dua jentera Fire Rescue Tender (FRT), satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS)dan satu unit Rapid Rescue Vehicle (RRV).

  • Azizulhasni, Nurul Izzah rangkul emas di Hong Kong

    Azizulhasni, Nurul Izzah rangkul emas di Hong Kong

    JAGUH berbasikal trek negara Datuk Mohd Azizulhasni Awang memperagakan kayuhan cemerlang untuk meraih emas dalam acara pecut lelaki pada Piala Berbasikal Trek Antarabangsa Hong Kong, hari ini.

    Pada perlumbaan berlangsung di Velodrom Hong Kong itu, penguasaan The Pocket Rocketman ternyata sukar digugat selepas dengan mudah menewaskan pelumba China Kang Shing Feng, yang terpaksa berpuas hati meraih kedudukan kedua.

    Seorang lagi pelumba negara Muhammad Shah Firdaus Sahrom dalam pada itu berjaya meraih pingat gangsa selepas menewaskan pelumba Korea Selatan Kang Seojun, dalam aksi penentuan tempat ketiga dan keempat.

    Sementara itu, Nurul Izzah Izzati Mohd Asri mengiringi kejayaan kedua-dua pelumba negara tersebut, dengan turut mengungguli emas bagi acara pecut bagi kategori wanita.

    Pelumba berusia 20 tahun itu, lebih mendominasi saingan dan berjaya menewaskan pelumba Korea Selatan, Park Jihae.

  • Anggota TLDM hilang 5 hari ditemui maut dalam parit

    Anggota TLDM hilang 5 hari ditemui maut dalam parit

    MISTERI kehilangan seorang anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) hampir lima hari lalu terjawab apabila jenazah mangsa ditemui dalam sebuah kereta yang terbabas ke dalam parit di Sabak Bernam.

    Timbalan Pengarah Bomba Selangor Wan Md Razali Wan Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung penemuan sebuah kereta jenis Perodua Kelisa di dalam parit besar di hadapan sebuah hotel.

    Katanya, kereta itu ditemui oleh seorang pemotong rumput berhampiran longkang berkenaan.

    “Susulan laporan itu sepasukan sembilan anggota bersama jentera daripada Balai Bomba dan Penyelamat, Sabak Bernam dikejarkan ke lokasi kejadian.

    “Berdasarkan laporan awal, kejadian membabitkan sebuah Perodua Kelisa ditemui orang awam dalam parit sedalam dua meter. Kereta itu dalam keadaan terbalik dipercayai terbabas,” katanya dalam kenyataan.

    Katanya, mayat seorang lelaki yang ditemui dalam kereta itu dikeluarkan selepas kenderaan itu dibawa naik dengan menggunakan sebuah jentolak.

    “Mangsa disahkan sudah meninggal dunia dan jenazah lelaki itu diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

    Sementara itu, Harian Metro melaporkan mangsa adalah seorang anggota TLDM, Mohamad Khair Mahat, 28, yang dilaporkan hilang pada 21 Mei lalu.

    Difahamkan, pada 21 Mei lalu isteri mangsa menerima laporan suaminya tidak hadir bertugas dan keluarga membuat laporan polis berhubung kehilangan pada keesokan harinya.

  • Arab Saudi keluar amaran hujan lebat berterusan, banjir landa Kota Makkah

    Arab Saudi keluar amaran hujan lebat berterusan, banjir landa Kota Makkah

    DIREKTORAT Pertahanan Awam Arab Saudi menasihatkan orang ramai agar berhati-hati dan mengambil langkah berjaga-jaga ekoran amaran hujan lebat berterusan selama lima hari selain ribut petir disertai ketulan air batu dan banjir kilat di kebanyakan wilayah di negara itu, mulai hari ini, hingga Selasa depan.

    Agensi Berita Arab Saudi (SPA) yang memetik kenyataan direktorat itu melaporkan Kota Makkah yang menempatkan masjid paling suci umat Islam iaitu Masjidil Haram akan turut terkesan berikutan fenomena itu.

    Menurut SPA, angin kencang berdebu turut diramal berlaku di beberapa tempat termasuk kawasan Masyair di Makkah dan Madinah selain Taif, Maysan, Adham, Al-Khurma, Al-Ardiyat dan beberapa kawasan berhampiran di wilayah sempadan utara.

    Direktorat itu menjelaskan jangkaan hujan sederhana hingga lebat dan angin kencang berdebu akan melanda wilayah Riyadh, Afif, Dawadmi, Al-Quwaiyah, Al-Majma’a, Al-Zulfi, Al-Ghat dan Ramah.

    “Kami menasihatkan orang ramai, termasuk jemaah haji dan umrah supaya berhati-hati semasa fenomena hujan lebat dan menjauhi lokasi air hujan terkumpul bagi mengelakkan insiden luar jangka”, menurut direktorat itu.

  • Tiga maut, empat termasuk anggota tentera parah dalam nahas

    Tiga maut, empat termasuk anggota tentera parah dalam nahas

    TIGA maut termasuk dua beradik dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Lebuh Raya Pan Borneo hala Sri Aman-Engkelili, dekat Kuching, semalam.

    Mangsa Pauline Simba Jua, 34, yang berasal dari Rumah Panjang Mandau Lempaong, Betong, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala adiknya Elizabeth Jua, 33, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Klinik Kesihatan Engkelili.

    Sementara, pemandu kereta Perodua Viva yang mereka naiki, Carlos Nelson, 22, turut disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala seorang lagi penumpang kereta terbabit, Ling Unang, 38, pula parah.

    Tiga lagi mangsa termasuk dua anggota tentera yang menaiki kereta Proton Saga yang terbabit dalam kemalangan itu turut parah.

    Anggota tentera terbabit, kedua-duanya berasal dari Perak ialah Mohammad Taufiq Hidayat Othman, 24 dan Mohamad Noor Salam Ab. Jalil, 31, manakala pemandu kereta dinaiki, Aden Fabian, 26, berasal dari Kampung Quop, Kuching.

    Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada pukul 6.38 petang.

    “Sembilan anggota termasuk dua anggota EMRS dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sri Aman dikejarkan ke lokasi sejurus menerima panggilan itu.

    “Setibanya di lokasi, didapati dua kenderaan iaitu Perodua Viva dan Proton Saga bertembung yang membabitkan tujuh mangsa.

    “Dua penumpang bahagian belakang Perodua Viva sudah dikeluarkan oleh orang awam sebelum bomba tiba manakala dua lagi termasuk pemandu tersepit di dalam kenderaan dan disahkan maut di tempat kejadian.

    “Seorang lagi mangsa yang dikejarkan ke Klinik Kesihatan Engkelili pula disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Menurutnya, semua mangsa yang parah menerima rawatan lanjut di Hospital Sri Aman, lapor Harian Metro.

  • Pemandu maut tersepit bawah treler terbalik

    Pemandu maut tersepit bawah treler terbalik

    SEORANG pemandu maut akibat tersepit di bawah treler dipandunya dalam kemalangan di KM448.8 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan, dekat Rawang, awal pagi tadi.

    Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor, Hafisham Mohd Noor berkata, treler dipandu lelaki tempatan berusia 28 tahun itu terbabas dan melanggar pembahagi jalan sebelum terbalik.

    Katanya, sepasukan anggota bomba bersama dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Rawang bergegas ke lokasi selepas menerima panggilan kecemasan pada 5.41 pagi tadi.

    “Kami mengambil masa beberapa minit bagi mengeluarkan mangsa tersepit (di bawah kenderaan),” katanya menurut Harian Metro.

    “Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pihak Kementerian Kesihatan,” katanya sambil menambah mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

  • Lori paip, lori papan terlibat kemalangan, seorang pemandu maut

    Lori paip, lori papan terlibat kemalangan, seorang pemandu maut

    SEORANG lelaki maut manalala seorang lagi cedera dalam kemalangan membabitkan dua buah lori di Jalan Kuantan-Segamat dekat Bandar Muadzam Shah pagi tadi.

    Penolong Pengarah (Operasi) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Ismail Abdul Ghani berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian menerusi panggilan pukul 5.16 pagi.

    Sepasukan sembilan anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Muadzam Shah dikejarkan ke lokasi kemalangan dengan menaiki dua jentera.

    “Ketika sampai di tempat kejadian, bomba mendapati berlaku kemalangan membabitkan dua buah lori masing-masing membawa muatan papan dan paip.

    “Dalam kejadian itu, seorang lelaki dewasa yang juga pemandu lori papan disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia manakala seorang lagi mengalami kecederaan ringan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini, lapor Astro AWANI.

    Beliau berkata, anggota bomba bertindak mengeluarkan mangsa menggunakan alatan menyelamat khas sebelum mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan seterusnya.

  • Kanak-kanak perempuan maut digilis lori di Melaka

    Kanak-kanak perempuan maut digilis lori di Melaka

    SEORANG anak-kanak perempuan berusia lima tahun maut selepas digilis lori dalam kemalangan di Kampung Paya Mengkuang, Batang Tiga di sini hari ini.

    Ketua Polis Daerah Melaka Tengah ACP Christopher Patit berkata kejadian kira-kira 5.30 petang itu menyebabkan mangsa, Nur Qayra Quraisya Muhamad Qayyum meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala dan badan.

    Beliau berkata siasatan awal mendapati kemalangan berlaku di simpang tiga ketika mangsa sedang bermain bersama saudaranya di celah pokok di sekitar tempat kejadian. 

    “Pemandu lori itu iaitu lelaki berusia 37 tahun mendakwa tidak perasan kehadiran mangsa walaupun telah memastikan keadaan jalan selamat sebelum keluar dari simpang berikutan tindakan kanak-kanak itu yang tiba-tiba keluar dari celah pokok.

    “Berikutan itu, lelaki berkenaan tidak menyedari mangsa yang sedang berlari ke arahnya sebelum terlanggar kanak-kanak itu,” katanya dalam kenyataan malam ini.

    Beliau berkata mayat kanak-kanak itu dihantar ke Hospital Melaka untuk bedah siasat manakala sampel darah turut diambil daripada pemandu lori itu untuk mengesan kandungan alkohol dan dadah.

    Katanya kes disiasat lanjut di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.