Category: Kemalangan / Bencana

  • Tragedi menjelang Gawai: Jasad remaja mangsa bot karam ditemui

    Tragedi menjelang Gawai: Jasad remaja mangsa bot karam ditemui

    SUASANA duka dirasakan ketika jasad Linsa Empih Melin, 17 tahun, ditemui penduduk kampung pada jarak dua kilometer dari lokasi kejadian bot karam pada Selasa lalu.

    Ketua Operasi Bomba dan Penyelamat Negeri Sarawak, Henderi Ardimansyah berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) pada kelmarin telah membawa kepada penemuan jasad remaja malang tersebut.

    “Operasi turut disertai pihak polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan penduduk kampung terbabit.

    “Mereka menemui jasad mangsa pada kira-kira pukul 10 pagi tidak jauh daripada Jambatan Mujong, lokasi insiden berlaku.

    “Mendiang merupakan salah seorang daripada 14 penumpang yang tercampak keluar daripada bot yang mereka tumpangi ketika dalam perjalanan pulang bergawai ke Rumah Geramong Nanga Spioh,” katanya, memetik laporan Astro Awani.

    Katanya, jasad mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

    Operasi SAR ditamatkan pada pukul 11:17 pagi.

  • Tiga maut, lima cedera dalam kemalangan

    Tiga maut, lima cedera dalam kemalangan

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    TIGA maut manakala lima lagi cedera dalam nahas melibatkan sebuah kereta dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda di Kilometer 13 Jalan Sengkang-Teratai, Tangkak pada pukul 4.30 petang semalam.

    Pemangku Ketua Polis Daerah Tangkak, Deputi Superintenden Idris Abdul Rahman berkata, kemalangan berkenaan melibatkan kereta jenis Toyota Altis dari arah Bukit Gambir dilanggar oleh kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux dari arah Kampung Teratai.

    “Kemalangan berlaku apabila kenderaan pacuan empat roda, Toyota Hilux memasuki laluan bertentangan dan menyebabkan berlaku perlanggaran dengan Toyota Altis tersebut.

    “Akibat perlanggaran berkenaan, pemandu, penumpang hadapan serta seorang penumpang di bahagian belakang kereta Toyota Altis meninggal dunia di tempat kejadian sementara seorang lagi penumpang cedera parah dan dibawa ke Hospital Tangkak bagi mendapatkan rawatan,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

    Katanya, semua mangsa yang meninggal dunia dihantar ke rumah mayat Hospital Tangkak bagi tujuan bedah siasat.

    Beliau memberitahu, tiga mangsa yang meninggal dunia melibatkan pasangan suami isteri berusia 56 dan 52 tahun dan anak perempuan mereka berusia 17 tahun.

    Selain itu katanya, seorang lagi anak perempuan pasangan berkenaan yang berusia 15 tahun cedera parah dan dihantar ke Hospital Tangkak untuk rawatan lanjut.

    “Kesemua penumpang Toyota Hilux dihantar ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) di Muar bagi mendapatkan rawatan namun tiada sebarang maklumat terkini mengenai keadaan mereka,” katanya.

    Kedua-dua kenderaan yang terlibat dalam kemalangan berkenaan turut dan dibawa ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) untuk pemeriksaan lanjut, tambahnya.

    Ujar beliau l, siasatan lanjut masih diteruskan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

    Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Gambir, Pegawai Bomba Kanan II Jahairi Shukor berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kemalangan berkenaan melalui talian MERS 999 pada 3.42 petang semalam.

    Katanya, sebaik menerima panggilan berkenaan, satu jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Gambir dengan kekuatan keseluruhan seramai enam anggota dihantar ke lokasi.

    “Kemalangan melibatkan lapan penumpang, mangsa yang meninggal dunia diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

  • Budak redah api menjulang selamatkan bayi dalam kebakaran

    Budak redah api menjulang selamatkan bayi dalam kebakaran

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG budak berusia 12 tahun boleh boleh dianggap wira kerana meredah api menyelamatkan seorang bayi daripada rentung dalam kebakaran di Kampung Parit Suratman, Parit Yaani, Batu Pahat semalam.

    Nor Azmi Khairul Azri, sanggup bergadai nyawa menyelamatkan bayi berkenaan yang juga adiknya, Haziq, dalam kejadian pada pukul 1.45 tengah hari.

    Dia nekad bertindak demikian selepas ibunya, Nor Izura Maat, 36, menyedari adiknya itu masih berada dalam rumah selepas semua ahli keluarga sudah keluar menyelamatkan diri.

    Api marak dengan cepat di rumah kanak-kanak terssebu di Kampung Parit Suratman, Parit Yaani, Batu Pahat semalam

    Menceritakan detik cemas itu, abangnya, Hazman, 14, yang melecur di kedua-dua tapak kaki berkata, dia terlebih dahulu keluar dan ibunya menyelamatkan barangan lain dalam rumah itu.

    “Ketika itu, barulah ibu teringat adik masih dalam rumah dan Nor Azmi segera masuk meredah api sedang menjulang lalu mendukung adik keluar. Saya tidak boleh berlari lagi ketika itu kerana tapak kaki sudah melecur.

    “Pada masa kejadian, ibu menjerit supaya kami keluar menyelamatkan diri manakala Haziq berada di ruang tamu. Masing-masing ketika itu dalam keadaan kelam-kabut hingga terlupa adik masih lagi berada dalam rumah,” katanya ketika ditemui, hari ini.

    Hamzan dan ibunya melecur kedua-dua tapak kaki kerana terpijak tikar getah panas manakala Nor Azmi hanya cedera di ibu jari kakinya.

    Anggota bomba memadam kebakaran rumah berkenaan dan operasi tamat sepenuhnya pada jam 3.35 petang semalam

    Pelajar Tahfiz Darul Qura itu berkata, sebelum kejadian dia bersama adik yang lain berada di rumah dan terhidu bau asap.

    “Saya ternampak warna kemerahan dari bilik saya dan belum sempat membuka pintu, api sudah menjulang. Kami tidak sempat menyelamatkan apa-apa kerana api marak begitu cepat.

    “Mujurlah semua ahli keluarga kami selamat walaupun rumah pusaka ini musnah sama sekali. Kami reda dengan kejadian itu dan menganggap ada hikmah di sebaliknya,” katanya.

    Sepupu Nor Azmi iaitu Khairul Hamim melihat keadaan rumah ibu saudaranya yang musnah dalam kebakaran

    Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Yong Peng, Penolong Penguasa Bomba Asyraf Nur Mohd Yusof berkata, 18 anggota dari BBP Yong Peng dan BBP Penggeram dikejarkan ke tempat kejadian.

    Anggota berkenaan katanya, dibantu dua jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan dua Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).

    “Kedua-dua mangsa yang melecur dihantar oleh ambulans ke hospital. Punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan. Operasi tamat pada pukul 3.35 petang,” katanya dalam kenyataan.

  • Jatuh dalam pusaran air, tentera lemas mandi sungai

    Jatuh dalam pusaran air, tentera lemas mandi sungai

    SEORANG anggota tentera ditemukan lemas selepas terjatuh di dalam pusaran air ketika mandi di Sungai Leleh Bukit Ibam dekat Muadzam Shah, Rompin, petang semalam.

    Mangsa dikenali sebagai Mohd. Sabbrie Syahrie Mohd. Shah, 28, yang bertugas di Markas Tentera Darat, Cawangan Sumber Manusia, Kementah Jalan Padang Tembak, Kuala Lumpur.

    Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria, berkata pihaknya menerima laporan kejadian kira-kira 3.17 petang sebelum menghantar bantuan.

    “Seramai lapan anggota termasuk pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Muadzam Shah serta bantuan daripada Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) BBP Pekan dan Kuantan dikerahkan ke lokasi kejadian.

    “Komander operasi melaporkan terdapat seorang lelaki dewasa disyaki lemas ketika mandi selepas mangsa dipercayai terjatuh ke kawasan air dalam dan berarus deras.

    “Pasukan penyelamat melakukan pencarian di permukaan air sebelum memohon bantuan pasukan PPDA Pekan dan Kuantan,” katanya dalam satu kenyataan, menurut Harian Metro.

    Katanya, pasukan penyelam membuat selaman di lokasi mangsa dikatakan terjatuh pukul 6.38 petang sebelum mayat mangsa ditemui di dasar sungai kira-kira 17 minit kemudian.

    “Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis dan dihantar ke Hospital Muadzam Shah untuk tindakan lanjut,” katanya.

  • APMM selamatkan pemancing warga British terkandas di Pulau Lalang

    APMM selamatkan pemancing warga British terkandas di Pulau Lalang

    AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Melaka dan Negeri Sembilan berjaya menyelamatkan seorang pemancing warga British yang terkandas di Pulau Lalang, Melaka semalam.

    Pengarah Maritim negeri Kapten Maritim Iskandar Ishak berkata mangsa dikenali sebagai Russel Walter Boyd, 40, dan tinggal di Bangsar, Kuala Lumpur ditemukan dalam keadaan selamat tanpa sebarang kecederaan selepas terkandas kira-kira tiga jam.

    Beliau berkata sebelum kejadian, mangsa keluar memancing seorang diri menaiki bot getah ke pulau tersebut sebelum bot dinaikinya hanyut dibawa arus kerana tidak diikat.

    “Pihak kami menerima makluman pada 2.30 pagi semalam dari Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Johor Bahru melalui aduan MERS 999 sebelum mengatur gerak Bot Kilat 19 yang berada di kawasan berhampiran bagi menyelamatkan mangsa.

    “Lelaki berkenaan kemudiannya dibawa ke Jeti Marina Bandar Hilir Melaka untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

    Beliau berkata Maritim Malaysia sentiasa peka dan serius melaksanakan pemantauan operasi dan penguatkuasaan agar komuniti maritim selamat untuk melakukan aktiviti di laut. 

    Katanya sebarang maklumat atau kecemasan sila laporkan segera ke Pusat Operasi Maritim Melaka dan Negeri Sembilan di talian 06-3876730 dan MERS 999 yang beroperasi secara 24 jam bagi membantu operasi.

  • Lelaki maut terkena renjatan elektrik di Bidor

    Lelaki maut terkena renjatan elektrik di Bidor

    SEORANG lelaki maut akibat terkena renjatan elektrik di Kampung Coldstream, di Bidor hari ini.

    Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat (JBPM) Perak, Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, mangsa yang berusia lingkungan 40 tahun itu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

    “Pihak bomba terima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 11.30 pagi sebelum anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bidor bergegas ke lokasi.

    “Tiada pengenalan diri ditemukan pada mangsa, ketua operasi membuat ‘size up’ dan mendapati masih ada arus elektrik di kawasan sekitar tersebut.

    “Susulan itu, pihak bomba meminta bantuan daripada pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) bagi memastikan tiada lagi arus elektrik di situ,” katanya kepada pemberita hari ini, lapor Astro Awani.

    Beliau berkata, mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis bagi tindakan selanjutnya.

    Operasi yang diketuai Pegawai Bomba Kanan II Ahmad Tarmizee Hassan itu tamat pada pukul 1.35 tengah hari.

  • Warga emas maut dilanggar lori di Gua Musang

    Warga emas maut dilanggar lori di Gua Musang

    SEORANG warga emas maut selepas dilanggar sebuah lori ketika sedang menunggang motosikal di Kilometer 8, Gua Musang-Kuala Krai, Gua Musang, semalam. 

    Ketua Polis Daerah Gua Musang Supt Sik Choon Foo berkata akibat perlanggaran tersebut mangsa Ishak Musa, 73, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat cedera parah pada bahagian kepala selepas tercampak di atas bahu jalan raya. 

    “Kejadian berlaku kira-kira 4.20 petang ketika mangsa sedang menunggang motosikal jenis SM Sport 110E dari arah Gua Musang menghala ke Kuala Krai sebelum dipercayai sedang bergerak masuk perlahan-lahan ke laluan utama selepas berhenti di tepi jalan sebelah kiri. 

    “Dua kenderaan yang berada di hadapan lori jenis Isuzu sempat mengelak ketika mangsa sedang masuk ke laluan tersebut, namun pemandu lori terbabit tidak sempat mengelak dan melanggar mangsa dari arah belakang di laluan yang sama,” katanya dalam kenyataan, hari ini. 

    Sik berkata pemandu lori yang berusia 23 tahun itu tidak mengalami sebarang kecederaan, manakala mangsa yang maut dibawa ke Bahagian Forensik Hospital Gua Musang untuk proses bedah siasat.

    “Siasatan mendapati kemalangan itu berpunca daripada pemandu lori yang melanggar bahagian belakang motosikal warga emas berkenaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. 

  • 3 maut termasuk 2 rentung dalam kemalangan

    3 maut termasuk 2 rentung dalam kemalangan

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    TIGA maut termasuk dua rentung manakala seorang lagi cedera parah selepas terlibat dalam kemalangan dua kenderaan di Kilometer 172.2 Jalan Johor Bahru-Seremban, Segamat pada 6.30 petang semalam.

    Nahas pada pukul 6.30 petang itu melibatkan empat mangsa antara kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Sienta dan kereta Mercedes-Benz.

    Tregedi tersebut mengorbankan Hoo Kok Yong, 35, Wong Chee Choy, 62, dan Chong Jui Chat, 67, yang berada dalam dalam MPV berkenaan sementara Lee Lam Chai, 67, yang memamdu kereta tersebut cedera parah.

    Ketua Polis Daerah Segamat Superintenden Ahmad Zamry Marinsah berkata, siasatan awal mendapat kemalangan berpunca MPV Toyota Seinta dipandu mangsa lelaki berusia 36 tahun hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung Mercedes-Benz berkenaan.

    “Pemandu Mercedes-Benz berusia 35 tahun dan seorang penumpang berusia 62 tahun rentung manakala seorang lagi penumpang berusia 67 tahun cedera parah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Beliau berkata, pemandu Toyota Sienta yang berusia 67 tahun dan dalam perjalanan dari Johor Bahru ke Segamat turut meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah.

    Mangsa yang cedera parah itu katanya, dirawat di zon merah Hospital Daerah Segamat (HDS) dan proses bedah siasat mayat juga dijalankan di jabatan forensik hospital berkenaan.

    Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan beliau meminta saksi kejadian tampil membantu siasatan dengan menghubungi Bahagian Siasatan Penguatkusaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Segamat menerusi talian 07-9325811.

    Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Baru Segamat, Penolong Kanan Penguasa Bomba Mazuki Ismail berkata, seramai 10 anggota dibantu satu jentera Fire Rescue Tender (FRT), satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dan satu Utiliti Hilux dikejarkan ke tempat kejadian.

    Ujarnya, kemalangan tersebut mengakibatkan Mercedes-Benz yang terbakar 70 peratus, dua mangsa dalam kereta itu tersepit dan rentung.

    “Toyota Sienta itu pula telah terbabas dan jatuh ke dalam gaung pada kedalaman kira-kira 4.5 meter dan pemandunya juga tersepit dan disahkan telah meninggal
    dunia oleh pegawai perubatan yang hadir,” katanya.

    Tambah Marzuki, operasi menyelamat mangsa tamat pada pukul 8.45 malam.

  • Disambar buaya ketika memancing, mayat lelaki ditemui terapung

    Disambar buaya ketika memancing, mayat lelaki ditemui terapung

    SEORANG lelaki yang hilang selepas disambar buaya ketika memancing bersama menantu dan birasnya di Sungai Patarikan, Merapok di Lawas ditemui terapung oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) semalam.

    Kosmo memetik jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak sebagai berkata, mayat mangsa berusia 51 tahun itu ditemui terapung dengan bentuk fizikal sempurna pada radius 1 kilometer dari tempat dia disambar buaya pada 9.53 pagi semalam.

    Mangsa dilaporkan memancing bersama menantu dan birasnya di Sungai Patarikan kira-kira 5.30 petang kelmarin, sebelum disambar buaya.

    Operasi SAR melibatkan pasukan bomba, polis serta penduduk Kampung Patarikan digerakkan bagi mengesan mangsa.

  • 11 maut dalam runtuhan salji di utara Pakistan

    11 maut dalam runtuhan salji di utara Pakistan

    SEKURANG-KURANGNYA 11 maut manakala 13 lagi cedera selepas ditimpa runtuhan salji di utara Pakistan, lapor Agensi Anadolu (AA).

    Kejadian runtuhan salji berlaku berhampiran Shounter Valley Pass di Tapak Perkhemahan Bakarwal di wilayah Gilgit Baltistan, menurut kerajaan wilayah dalam satu kenyataan Sabtu.

    “Semasa kejadian itu, 25 orang daripada keluarga Gujjar termasuk haiwan ternakan … ditimpa runtuhan salji,” katanya.

    Lapan mayat ditemukan setakat ini, sementara usaha mencari mereka yang masih hilang diteruskan.

    Menurut kenyataan itu, mereka yang cedera telah dibawa ke Hospital Ibu Pejabat Daerah Astore, di mana sebahagiannya dilaporkan berada dalam keadaan kritikal.

    Disebabkan lokasi terpencil dan rupa bumi yang sukar, pasukan penyelamat juga berdepan cabaran untuk memindahkan jentera berat ke kawasan terjejas, menurut pegawai penyelamat tempatan.

    Perdana Menteri Shehbaz Sharif turut melahirkan rasa dukacita atas kehilangan nyawa dan mengarahkan pihak berkuasa tempatan menggerakkan pasukan penyelamat ke lokasi kejadian.