Category: Kemalangan / Bencana

  • 104 lokasi bencana di jalan Persekutuan, jalan negeri

    104 lokasi bencana di jalan Persekutuan, jalan negeri

    JABATAN Kerja Raya (JKR) memaklumkan 104 lokasi bencana membabitkan Jalan Persekutuan dan Jalan Negeri direkodkan berlaku di sembilan negeri sehingga 10 pagi ini.

    Menerusi infografik dalam laman Twitter Cawangan Senggara Fasiliti Jalan, Jabatan Kerja Raya (JKR), jenis kejadian cerun runtuh mencatat jumlah tertinggi dengan 45 lokasi.

    Ini diikuti kejadian banjir dengan 39 lokasi manakala jalan runtuh dengan 11 lokasi.

    Sementara itu, kejadian banjir kilat dikenal pasti di empat lokasi manakala jambatan rosak serta jalan mendap masing-masing dengan tiga dan dua lokasi.

    Daripada jumlah itu, 61 Jalan Negeri terjejas manakala 43 bagi Jalan Persekutuan.

    Dalam perkembangan sama, Pahang mencatat negeri dengan jumlah daerah tertinggi yang terjejas diikuti Negeri Sembilan, Selangor dan Johor masing-masing dengan lima daerah.

  • Penduduk Kota Kuala Muda waspada fenomena air pasang besar

    Penduduk Kota Kuala Muda waspada fenomena air pasang besar

    PENDUDUK berdekatan pantai di Kota Kuala Muda, Kedah berada dalam keadaan berwaspada dan membuat persediaan bagi menghadapi fenomena air pasang besar dan diramal berlaku sehingga Rabu ini.

    Tinjauan Bernama di beberapa kampung di situ mendapati rata-rata penduduk peka dan mengambil serius amaran yang dikeluarkan Bahagian Pengurusan Zon Pantai, Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia itu.

    Penduduk Kampung Hujung Matang, Hasnah Mohd Rejab, 57, berkata sebaik sahaja mengetahui mengenai amaran berkenaan, beliau segera menyimpan barangan dan dokumen penting di tempat selamat serta mengemas pakaian bersesuaian yang diperlukan.

    “Barang-barang elektrik pun saya letak pada tempat tinggi malah saya juga simpan khemah dan barangan lain yang berkaitan dalam kereta siap-siap untuk memudahkan pergerakan keluarga saya semasa air pasang besar ini berlaku dengan teruk,” katanya.

    Bagaimanapun, berdasarkan pemantauan Bernama sejak semalam, air pasang besar belum berlaku di kawasan tersebut.

    Hasnah berkata keluarganya sentiasa mengambil berat akan setiap amaran yang dikeluarkan berkaitan cuaca ataupun sebarang fenomena kerana masih trauma dengan tragedi tsunami yang berlaku di kawasan itu pada 2004.

    Seorang lagi penduduk, Roslina Ismail, 47, berkata dia dan keluarganya telah pun bersiap sedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan dengan memastikan barangan dan dokumen penting sentiasa berada di tempat selamat.

    “Saya dan keluarga pernah berhadapan detik cemas air naik sampai paras lutut ketika kejadian air pasang besar kira-kira dua tahun lepas. Waktu itu, saya sedang tidur, sedar-sedar bangun pukul 4 pagi, tengok air sudah naik,” katanya.

    Sementara itu, penduduk Kampung Paya, Mohd Tarmizi Hassanudin, 50, berkata dia dan keluarganya sudah biasa dengan kejadian air pasang besar, justeru mereka sememangnya sentiasa berjaga-jaga dan bersedia untuk berhadapan apa jua kemungkinan.

    “Kami sentiasa berwaspada… tambahan pula saya sendiri berpengalaman menghadapi tragedi tsunami pada 2004 dulu. Perkakasan elektrik kena simpan pada tempat tinggi selain pastikan keselamatan diri dan keluarga sebaik mungkin,” katanya.

    Dalam pada itu, Ketua Bahagian Operasi Bencana Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah Kapten (PA) Saifuddin Abdullah berkata bacaan paras air laut setakat tengah malam tadi adalah setinggi 2.31 meter dan ia tidak menjejaskan kawasan di sekitar daerah Kuala Muda buat masa ini.

    Beliau berkata pihaknya berada dalam siap siaga menerusi pengawasan di Menara Pemerhati Pantai Merdeka dan anggota terlibat diarahkan memantau paras air laut dari semasa ke semasa.

    “Orang ramai juga diminta supaya tidak mendekati pantai ketika amaran air pasang besar ini, di sekitar daerah Kuala Muda,” katanya.- Bernama

  • Surau As Sobirin SBCR santuni mangsa banjir

    Surau As Sobirin SBCR santuni mangsa banjir

    SURAU As Sobirin, Sungai Buloh Country Resort (SBCR), Saujana Utama, Sungai Buloh, Selangor baru-baru ini mengadakan misi bantuan pasca banjir kepada mangsa-mangsa banjir di Kampung Limau Kasturi, Gua Musang, Kelantan dan Kampung Baru HICOM, Selangor.

    Kira-kira 20 sukarelawan yang terdiri daripada ahli kariah surau tersebut dan diketuai oleh Pengarah Misi Bantuan Banjir Surau As Sobirin Datuk Kamal Malik serta Pengerusi Surau Fakhrudin Husain menyertai misi tersebut.

    Menurut Kamal, pelbagai barangan keperluan asas seperti makanan, pakaian, peralatan dapur, kitab al-Quran, sejadah dan telekung solat serta bantuan wang tunai diagih-agihkan kepada kira-kira 30 keluarga yang terkesan teruk di dua buah kampung iaitu Kampung Serian Batu 11 dan Kampung Limau Kasturi.

    Beliau berkata, sumbangan tersebut adalah hasil derma orang ramai kepada Tabung Mangsa Banjir Surau As Sobirin yang diaktifkan setiap kali tiba musim banjir.

    “Beberapa pertubuhan bukan kerajaan seperti Global Peace Malaysia turut menyumbang kotak-kotak makanan untuk diberikan kepada penduduk di dua buah kampung yang terletak di pedalaman Gua Musang itu.

    “Keadaan di kampung tersebut sungguh menyayat hati, sebahagian besar rumah rosak teruk menyebabkan majoriti penduduk kampung kehilangan harta benda manakala jalan utama yang menghubungkan mereka dengan dunia luar juga hampir terputus,’’ katanya.

    Sementara itu Fakhrudin berkata, sukarelawan Surau As Sobirin turut menyumbang kira-kira 300 pek makanan segar kepada mangsa-mangsa banjir di Kampung Baru HICOM yang teruk dilanda banjir.

    Menurut beliau, misi bantuan pasca banjir ini akan diteruskan ke beberapa lagi kawasan yang telah dikenal pasti minggu depan.

    Orang ramai yang berhasrat menyumbang boleh menghulurkan sumbangan kepada Tabung Bantuan Khas Banjir Surau As Sobirin Bank Islam 12168010016979.

  • Tongkang bernilai RM6 juta tersadai di Pantai Melawi dituntut

    Tongkang bernilai RM6 juta tersadai di Pantai Melawi dituntut

    AGENSI perkapalan Jassari Sdn. Bhd. membuat tuntutan terhadap sebuah tongkang MMS 009 bernilai RM6 juta yang tersadai di Pantai Melawi, Bachok, hari ini.

    Pengurus Jassari Sdn. Bhd., M. Fakrul Razzi Muhammad berkata, tuntutan dibuat pihaknya bagi mewakili pemilik tongkang itu, Miccennium Marine Shipping yang berpangkalan di Singapura.

    “Semasa menunda tongkang itu sebelum ini, salah satu enjin bot yang terlibat dalam proses berkenaan telah mengalami kerosakan sekali gus menjejaskan kerja-kerja tersebut.

    “Ketika itu keadaan laut bergelora dan kelajuan angin mencecah 37 knot. Situasi tersebut cukup bahaya kepada kerja-kerja menunda tongkang berkenaan,” katanya ketika ditemui pemberita di Pantai Melawi, hari ini.

    Hadir sama Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Superintendan Mohamad Ismail Jamaluddin.

    Menurut beliau, situasi itu menyebabkan kru yang terlibat dalam kerja-kerja menunda terpaksa memotong tali tongkang tersebut bagi mengelakkan insiden lebih buruk berlaku.

    Beliau berkata, kesemua tujuh kru bot tunda yang terlibat dalam misi itu selamat berlabuh di jeti Ship Yard, Semerak, Pasir Puteh.

    M. Fakrul Razzi berkata, sejurus menerima maklumat daripada kru, pemilik tongkang berkenaan telah bertindak mencari pihaknya untuk menguruskan perkara tersebut.

    “Kita dapat tahu perkara ini pada Khamis, sehari kemudian, pihak kami telah membuat satu laporan polis di Balai Polis Jelawat untuk memaklumkan perkara tersebut kepada pihak berkuasa.

    “Kami akan mencari sebuah bot tunda untuk membawa keluar tongkang ini dari Malaysia dan pemiliknya kemudian akan putuskan sama ia akan digerakkan ke Songkla, Thailand atau kembali ke Singapura,” katanya.

  • Belum hilang penat, penduduk Raub diuji banjir gelombang kedua

    Belum hilang penat, penduduk Raub diuji banjir gelombang kedua

    BELUM pun hilang penat membersihkan rumah daripada kesan banjir, penduduk Kampung Ulu Sungai di Raub, diuji sekali lagi dengan gelombang kedua banjir pada hari pertama tahun baharu.

    Pekerja am Arif Shah Sulaiman, 49, berkata dia sekeluarga masih belum selesai membersihkan rumah kerana mengutamakan kerja pembersihan di rumah emaknya yang terletak bersebelahan sejak mereka dibenarkan pulang ke rumah pada 26 Dis lepas.

    “… tak sangka kali ini gelombang kedua terlalu dekat dengan banjir pertama. Peti sejuk pun belum sempat kering dan masih berada (dijemur) di laman rumah.

    “Mungkin dah tak dapat diselamatkan kerana sudah tiga kali peti sejuk terendam banjir dalam tempoh setahun,” katanya semasa dihubungi Bernama di Kuantan, hari ini.

    Arif Shah berkata banjir kali pertama pada awal 2021, dan pada 18 Dis lepas, adalah antara paling teruk pernah dialaminya kerana air naik hingga bahagian ruang tamu rumah yang dibina lebih tinggi daripada bahagian dapur.

    Banjir gelombang kedua kali, menurut bapa kepada tiga anak lelaki berusia 18, 14 dan lima tahun itu, hanya melepasi tiga anak tangga bahagian dapur.

    “Walaupun hanya di dapur, keadaan masih ‘total lost’ kerana ada barangan dipindahkan ke ruang tamu ketika banjir pertama. Lantai dan tiang juga banyak rosak akibat arus deras menyebabkan kami perlu tinggal di rumah emak sehingga selesai membaiki rumah sendiri.

    “Sebenarnya, saya sudah tak sedap hati kerana hujan tidak berhenti selama dua hari sebelum tahun baharu dan akhirnya firasat itu betul bila siren amaran banjir di belakang rumah berbunyi sekitar 12 tengah malam tahun baharu,” katanya.

    Walaupun tiga kali diuji musibah banjir dalam setahun, Arif Shah masih mampu bergurau kerana menurutnya dia pernah mengalami banjir sebanyak tujuh kali dalam tempoh sama sejak 14 tahun menetap di kampung tersebut.

    Ditanya jika dia pernah berfikir untuk berpindah, Arif Shah berkata faktor kewangan antara kekangan menghalangnya daripada berbuat demikian.

    Sementara itu, bagi Rashdan Rashid, 50, yang sudah empat tahun berpindah ke kampung tersebut, ini adalah kali pertama dia berdepan banjir ‘hatrik’ dalam setahun dan lebih malang buatnya apabila banjir bulan lepas berlaku semasa mereka sekeluarga pulang ke kampung di Negeri Sembilan.

    “Sempat bermalam (di rumah) dalam lima hari sahaja sebelum banjir kedua berlaku. Barang elektrik yang baru dicuci pun belum sempat diuji untuk tengok jika masih boleh digunakan,” katanya yang melakukan kerja kampung bagi menyara tujuh ahli keluarga.

    Rashdan berkata dia memindahkan ahli keluarga ke rumah bapanya di Batu Malim, Raub tanpa menunggu siren amaran banjir berbunyi selepas rakannya yang berada di hulu memaklumkan sungai di bahagian sana sudah naik.

    “Bimbang kalau air melimpah pada waktu malam, susah hendak pindahkan mereka terutamanya anak yang kecil hanya berusia setahun tiga bulan.

    “Malah, masa kami keluar rumah pun, hujan masih lebat dan tepat tindakan saya apabila malamnya banjir mula berlaku,” katanya. -Bernama

  • Lelaki terselamat berpaut pada pokok selepas hanyut

    Lelaki terselamat berpaut pada pokok selepas hanyut

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG lelaki terselamat berpaut pada sebatang pokok selepas hanyut dibawa arus ketika cuba meredah banjir denga motosikalnya di Bukit Sengit, Pogoh, Segamat, hari ini.

    Dalam kejadian kira-kira pukul 7.30 pagi, mangsa, Nor Ibrahim Ariffin, 37, yang menunggang motosikal jenis Yamaha RXZ cuba meredah banjir namun tidak berjaya kerana arus deras sebelum menghanyutkannya.

    Mangsa yang hanyut kemudian berjaya berpaut pada sebatang pokok dan kejadian tersebui dilihat penduduk setempat sebelum menghubungi pihak bomba untuk bantuan kerana mereka tidak berani memberikan pertolongan.

    Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Baru Segamat, Penguasa Bomba Kanan II Kenny Ismol Abd. Rahman berkata, pihaknya menerima laporan kejadian itu selepas mendapat maklumat awam pada pukul 7.58 pagi.

    Nor Ibrahim (tengah) berjaya diselamatkan pihak bomba selepas hanyut dibawa arus banjir dalam kejadian di Bukit Sengit, Pogoh

    Susulan itu katanya, seramai enam anggota dikejarkan ke tempat kejadian untuk menyelamatkan Nor Ibrahim.

    “Mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha RXZ hanyut dibawa arus deras ketika cuba merentas jalan yang sedang dinaiki air.

    “Namun mangsa berjaya berpaut pada sebatang pokok dan pihak bomba bertindak menyelamatkan mangsa menggunakan tali penyelamat dan membawa mangsa ke kawasan yang selamat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Beliau berkata, operasi tersebut tamat pada pukul 8.30 pagi.

  • Banjir: Jumlah mangsa di lima negeri terus meningkat pagi ini

    Banjir: Jumlah mangsa di lima negeri terus meningkat pagi ini

    JUMLAH mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) di Pahang, Johor, Melaka, Negeri Sembilan dan Sabah terus mencatat peningkatan pagi ini berbanding semalam.

    Di Pahang, hujan berterusan menyebabkan pertambahan mangsa iaitu 2,188 masih berada di 51 PPS pada awal pagi ini, membabitkan lapan daerah, menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri.

    Daripada jumlah itu, 1,421 orang adalah mangsa banjir gelombang kedua dengan daerah Lipis mencatatkan mangsa paling ramai iaitu 553 orang diikuti Rompin (340 orang) dan Raub (278 orang) dan selebihnya dari daerah lain.

    Lapan jalan ditutup akibat dinaiki air antaranya Jalan Sungai Lembing di Kuantan, Jalan Kuala Lumpur-Kuantan (Maran), Jalan Kuantan-Segamat (Pekan), Jalan Temerloh-Jerantut (Temerloh) dan Jalan Bentong-Gua Musang (Lipis).

    Laman web rasmi Jabatan Pengairan dan Saliran pula melaporkan enam sungai berada pada paras bahaya iaitu Sungai Tanum di Chegar Perah di Lipis, Sungai Pahang di Paya Gintong (Jerantut) dan di Kuala Krau (Temerloh), Sungai Serting di Pdg Gudang (Bera), Sungai Luit di Kampung Subuh (Maran) dan Sungai Pukin (Rompin), manakala Jabatan Meteorologi meramalkan cuaca hujan sepanjang hari di semua daerah terjejas banjir.

    Di Melaka, jumlah mangsa meningkat kepada 2,537 mangsa daripada 656 keluarga setakat 8 pagi ini berbanding 1,778 mangsa daripada 462 keluarga 8 malam tadi.

    Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Melaka Lt Kol (PA) Cuthbert John Martin Quadra berkata, kesemua mangsa terjejas adalah dari 14 kawasan di Alor Gajah, sembilan di Melaka Tengah dan sembilan di Jasin.

    “Seramai 1,015 mangsa daripada 270 keluarga ditempatkan di 10 PPS di Alor Gajah, 1,391 mangsa daripada 356 keluarga ditempatkan di sembilan PPS di Melaka Tengah serta 131 mangsa daripada 30 keluarga ditempatkan di tiga PPS di Jasin,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Di Johor pula, jumlah mangsa bertambah kepada 3,841 orang pagi ini berbanding 2,553 orang semalam dengan enam daerah kini terjejas.

    Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor R Vidyananthan berkata Mersing menjadi daerah terbaru dilanda banjir dengan seramai 366 mangsa daripada 90 keluarga ditempatkan di enam PPS.

    Sementara di Sabah jumlah mangsa terus meningkat kepada 2,435 daripada 874 keluarga setakat pagi ini berbanding 1,823 mangsa daripada 599 keluarga malam tadi.

    Sekretariat Pengurusan Bencana Negeri Sabah memaklumkan setakat ini sebanyak 23 PPS dibuka enam daerah di negeri ini sejak Jumaat lepas.

    Daerah yang terjejas banjir termasuk Kota Marudu seramai 1,973 mangsa daripada 520 keluarga ditempatkan di 12 PPS, daerah kecil Paitan 97 mangsa daripada 23 keluarga di tiga PPS.

    Selain itu di Pitas, 79 mangsa daripada 22 keluarga di dua PPS, Sandakan (197 mangsa daripada 42 keluarga) di dua PPS, Telupid (51 mangsa, lapan keluarga) di dua PPS dan Beluran (38 mangsa, 10 keluarga) di satu PPS.

    Di Negeri Sembilan, data terkini menerusi aplikasi InfoBencana Jabatan Kebajikan Masyarakat menunjukkan jumlah mangsa banjir membabitkan 22 PPS di negeri ini meningkat kepada 2,041 individu daripada 554 keluarga setakat 7 pagi ini berbanding 1,892 individu daripada 505 keluarga malam tadi.

    Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Sembilan Ir Wan Hasnan Wan Musa berkata sebanyak 15 laluan membabitkan beberapa daerah di Negeri Sembilan ditutup untuk semua kenderaan dan hanya tiga dibuka untuk kenderaan berat termasuk di Tampin susulan jalan runtuh dan dinaiki air setakat tengah malam tadi.

    Di Terengganu, Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Leftenan Kolonel (PA) Mohd Rosman Abdullah berkata, jumlah mangsa banjir kekal 137 orang daripada 42 keluarga pagi ini di dua PPS di Dungun.

    “Dua PPS yang masih beroperasi ialah Dewan Orang Ramai Kampung Shukor yang menempatkan 68 orang daripada 20 keluarga dan Dewan Orang Ramai Kampung Pasir Raja (69 orang, 22 keluarga).

    Jabatan Pengairan dan Saliran melalui portal rasmi https://publicinfobanjir.water.gov.my pula memaklumkan hanya Sungai Kemaman di Rumah Pam Paya Paman, Kemaman merekodkan ketinggian melepasi paras amaran pagi ini.

    Di Selangor, dua PPS di daerah Kuala Langat menempatkan 40 mangsa kembali dibuka semalam.

    Dua PPS tersebut adalah Dewan Orang Ramai Kampung Kelanang (25 mangsa) dan Balai Raya Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Banting (15 mangsa).

    Sementara itu, laman web publicinfobanjir.water.gov.my setakat 6.45 pagi tadi melaporkan kawasan Sungai Langat di Bukit Changgang, Kuala Langat kini berada pada paras bahaya apabila mencatat 4.29 meter manakala Sungai Langat di kawasan Dengkil, Sepang berada pada paras amaran dengan ketinggian 7.07 meter. – Bernama

  • Cuaca buruk: Nelayan dinasihatkan berwaspada, tangguh aktiviti laut – Maritim

    Cuaca buruk: Nelayan dinasihatkan berwaspada, tangguh aktiviti laut – Maritim

    KOMUNITI maritim terutama nelayan dan pengunjung pantai peranginan dinasihatkan berwaspada dan menangguhkan dahulu aktiviti melibatkan perairan susulan cuaca buruk di Negeri Sembilan dan kebanyakan negeri ketika ini.

    Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Melaka dan Negeri Sembilan, Kapten Maritim Haris Fadzillah Abdullah berkata ini kerana perairan negeri ini diramalkan berlaku air pasang besar dengan tiupan angin Monsun Timur Laut yang lebih kuat sehingga Rabu (5 Januari).

    Beliau berkata keadaan laut ketika ini juga adalah berbahaya kepada bot-bot kecil berikutan hujan lebat dan laut bergelora dengan ombak boleh mencapai ketinggian sehingga 1.5 meter.

    “Kebanyakan nelayan yang berdaftar di negeri ini adalah nelayan Kelas A yang menggunakan bot kecil untuk menangkap ikan. Dengan cuaca yang buruk pada masa sekarang, ada kemungkinan bot mudah terbalik apabila dibadai ribut dan ombak yang kuat.

    “Bagaimanapun, sekiranya masih perlu ke laut, mereka harus sentiasa berhati-hati dan mengambil langkah keselamatan dengan memakai jaket keselamatan, merujuk ramalan kaji cuaca terlebih dahulu serta memastikan bot dalam keadaan selamat,” katanya kepada Bernama, hari ini.

    Jelasnya, mereka juga perlu membawa Peranti Pengesan Peribadi yang membantu mempercepatkan bantuan di laut jika berlaku sebarang kecemasan selain menghubungi talian Pusat Operasi Maritim 06-3876730 atau 999 yang beroperasi 24 jam.

    Haris Fadzillah berkata Maritim Malaysia Melaka dan Negeri Sembilan sentiasa memantau keselamatan komuniti maritim di laut dengan melakukan rondaan di sekitar perairan, pantai rekreasi serta di jeti awam sekitar Negeri Sembilan.

    Sejak 25 Disember lepas, bot peronda digerakkan setiap hari bagi memantau keadaan perairan Melaka dan Negeri Sembilan serta melaksanakan program ‘Preventif SAR’ dalam memastikan keselamatan orang awam ketika menjalankan aktiviti di laut, katanya.

    Semalam, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan berterusan peringkat bahaya, buruk dan waspada yang dijangka berlaku di kebanyakan negeri sehingga Selasa (4 Januari) membabitkan Johor, Pahang, Negeri Sembilan, Melaka, Sabah, Kelantan, Terengganu, Perak, Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya. 

    Sementara itu, pegawai perikanan Jabatan Perikanan Negeri Sembilan (JPNS) Doreen Wee Siew Leen berkata nelayan masih ke laut untuk menangkap ikan namun hanya melibatkan zon pesisiran pantai dan menasihatkan sejumlah hampir 500 nelayan di negeri itu agar sentiasa berjaga-jaga ketika melakukan aktiviti di laut.

  • Banjir di Johor bertambah buruk, 3,841 mangsa setakat ini

    Banjir di Johor bertambah buruk, 3,841 mangsa setakat ini

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    JUMLAH mangsa banjir di Johor melibatkan tujuh daerah terus meningkat kepada 3,841 orang pada jam 8 pagi 3,665 pada jam 4 pagi tadi.

    Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor, R. Vidyananthan memberitahu, jumlah berkenaan melibatkan 1,008 keluarga yang kini ditempatkan di 62 pusat pemindahan sementara (PPS).

    Menurut beliau, mangsa banjir paling ramai adalah dari Segamat melibatkan 3,178 daripada 828 keluarga.

    Selain itu katanya, Mersing menjadi daerah terbaharu di Johor dilanda banjir melibatkan 366 orang daripada 90 keluarga yang dipindahkan ke enam PPS bermula jam 6 petang semalam.

    “Mangsa banjir itu antaranya dari Kampung Che Wok, Kampung Sri Pantai, Kampung Orang Asli Peta, Kampung Tenglu Besar, Kampung Tenglu Laut, Kampung Air Papan Tengah, Kampung Air Papan, Kampung Sawah Dato, Kampung Lubuk, Kampung Pengkalan Batu dan Kampung Jemari.

    “Mereka dipindahkan ke PPS di Balai Raya Sri Pantai, Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Pantai, Kompleks Taman Negara Endau-Rompin, SK Tenglu, SK Air Papan dan Politeknik Mersing sejak 6 petang semalam hingga 11 malam tadi.

    “Selain itu terdapat juga pertambahan mangsa banjir di beberapa daerah lain seperti di Mersing dan Kluang manakala mangsa banjir di Tangkak, Kota Tinggi dan Johor Bahru masih sama,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Dalam perkembangan lain, beliau berkata, tiga jalan ditutup di Segamat untuk semua kenderaan melibatkan Jalan Putting ke Kampung Putting, Jalan Tumang ke Tumang dan Jalan Kuala Balai Badang ke Kampung Balai Badang.

    Sementara dua jalan di daerah itu katanya, melibatkan Jalan Felda Medoi ke Surau Kampung Logah dan Jalan Jabi Kampung Bukit Tempurung ke Kampung Bukit Tempurung dibuka untuk kenderaan berat sahaja.

    Di Mersing pula katanya, jalan ke Kampung Orang Asli Peta dan Kampung Orang Asli Punan masih ditutup untuk semua kenderaan.

  • Mangsa banjir ditemukan maut di kawasan pokok bakau

    Mangsa banjir ditemukan maut di kawasan pokok bakau

    SEORANG daripada dua lelaki yang dilaporkan hilang dalam bencana banjir pada Jumaat lepas di kawasan berasingan di Paitan, kira-kira 190 kilometer dari Beluran, ditemukan maut di kawasan pokok bakau di Kuala Penubukan.

    Ketua Polis Daerah Beluran Superintenden Kasim Muda dalam kenyataan malam ini memaklumkan mayat Rajis Nawang, 28, yang merupakan seorang nelayan, ditemukan pada kira-kira 12.30 tengah hari semalam.

    Beliau berkata, mangsa dilaporkan hilang oleh bapanya ketika memasang pukat kira-kira 1.5 kilometer dari lokasi mayatnya ditemukan.

    Lelaki yang masih hilang dikenali sebagai Kaerul, 26, seorang pekerja ladang yang dipercayai dihanyutkan air deras ketika cuba menyeberang jalan di Kampung Kinadaan.

    Kasim berkata ketika kejadian, paras air di kawasan itu dipercayai mencecah 1.5 meter.

    Katanya usaha mencari mangsa masih dijalankan. – BERNAMA