Category: Kemalangan / Bencana

  • 5,479 mangsa banjir di Johor pagi ini

    5,479 mangsa banjir di Johor pagi ini

    SITUASI banjir di Johor semakin teruk apabila jumlah mangsa banjir yang terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) terus meningkat kepada seramai 5,479 orang pada pukul 8 pagi ini.

    Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, R. Vidyananthan berkata, jumlah itu terdiri daripada 1,486 buah keluarga.

    “Daerah yang terjejas akibat banjir di negeri ini ketika ini adalah Segamat, Tangkak, Kota Tinggi, Mersing, Kluang, Muar dan Batu Pahat.

    “Setakat ini, kesemua mangsa ditempatkan di 78 buah PPS yang telah dibuka di tujuh buah daerah berkenaan.

    “Segamat kekal daerah paling teruk terjejas akibat banjir dengan seramai 4,016 mangsa direkodkan, diikuti Mersing (548 mangsa), Tangkak (434 mangsa) dan Kota Tinggi (210 mangsa),” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Tambah Vidyananthan, ramalan kaji cuaca daripada Jabatan Meteorologi Malaysia menunjukkan Johor dengan tahap Amaran Hujan Berterusan Buruk bagi seluruh negeri untuk hari ini.

    “Sementara itu, status notifikasi bacaan sungai menunjukkan empat sungai di Segamat dalam status bahaya manakala satu sungai di Tangkak dalam status sama.

    “Sungai tersebut adalah Sungai Muar di Kampung Awat dan Sungai Muar di Buloh Kasap, Sungai Segamat di Bandar Segamat, Sungai Lenik di Ladang Chaah dan Sungai Kesang di Tangkak,” jelasnya.

    Sehubungan itu, Vidyananthan turut mengingatkan orang ramai agar sentiasa berhati-hati dan tidak bermain-main di kawasan banjir bagi mengelakkan berlakunya sebarang jangkitan penyakit berjangkit seperti kencing tikus dan lain-lain penyakit bawaan air.

    “Dalam masa sama, mereka turut dinasihati untuk terus mematuhi prosedur operasi standard ditetapkan dalam norma baharu,” katanya.

  • Mangsa banjir di PPS di empat negeri meningkat

    Mangsa banjir di PPS di empat negeri meningkat

    JUMLAH mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) di Johor, Pahang, Melaka dan Negeri Sembilan terus mencatat peningkatan petang ini, manakala Selangor kekal dan Sabah merekodkan penurunan.

    Di JOHOR, jumlah mangsa meningkat kepada 4,278 orang setakat 4 petang ini berbanding 4,062 orang tengah hari tadi, dengan Muar menjadi daerah terbaharu terjejas banjir.

    Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor R. Vidyananthan dalam kenyataan hari ini berkata seramai 52 mangsa terjejas banjir di Muar, dan kini ditempatkan di dua PPS iaitu Dewan Serbaguna Felcra Bukit Kepong dan Dewan Semai Bakti Felda Maokil.

    “Jumlah keseluruhan PPS yang dibuka di negeri ini ialah 70 PPS melibatkan lapan daerah terjejas iaitu Segamat, Tangkak, Kota Tinggi, Johor Bahru, Kluang, Mersing, Batu Pahat dan Muar.

    “Segamat terus mencatatkan mangsa tertinggi iaitu 3,344 orang diikuti Mersing (395), Kota Tinggi (203), Tangkak (161), Kluang (71), Muar (52), Batu Pahat (50) dan Johor Bahru (2),” katanya sambil menambah keadaan cuaca di seluruh negeri dilaporkan mendung.

    Di PAHANG, bilangan mangsa banjir meningkat petang ini apabila Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri melaporkan, seramai 2,572 mangsa masih ditempatkan di 55 PPS berbanding 2,252 mangsa berada di 54 PPS, tengah hari tadi.

    Daerah Temerloh merekodkan jumlah mangsa banjir tertinggi iaitu 625, diikuti Lipis (539), Rompin (390), Kuantan (357), Raub (279), Jerantut (185), Pekan (113), Maran (70) dan Bera (14).

    Sembilan jalan masih ditutup antaranya Jalan Sungai Lembing di Kuantan, Jalan Kuala Lumpur-Kuantan (Maran), Jalan Kuantan-Segamat (Pekan), Jalan Ulu Dong (Raub) dan Jalan Kuala Lipis-Jerantut (Jerantut).

    Sementara itu, laman web publicinfobanjir.water.gov.my pula melaporkan paras air di tiga stesen telah melepasi tahap bahaya setakat 4 petang ini iaitu Paya Gintong di Jerantut, Sungai Luit di Kampung Subuh (Maran) dan Sungai Serting di Jambatan Padang Gudang (Bera).

    Di MELAKA, jumlah mangsa banjir meningkat kepada 2,621 mangsa daripada 674 keluarga petang ini berbanding 2,555 mangsa daripada 659 keluarga, tengah hari tadi.

    Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Melaka Lt Kol (PA) Cuthbert John Martin Quadra berkata kesemua mangsa yang terjejas adalah dari 14 kawasan di Alor Gajah, sembilan kawasan di Melaka Tengah dan sembilan kawasan di Jasin.

    “Seramai 1,034 mangsa daripada 272 keluarga ditempatkan di 10 PPS di Alor Gajah, 1,418 mangsa daripada 362 keluarga ditempatkan di sembilan PPS di Melaka Tengah serta 169 mangsa daripada 40 keluarga ditempatkan di empat PPS di Jasin,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Di NEGERI SEMBILAN, data terkini menerusi aplikasi InfoBencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menunjukkan mangsa banjir meningkat kepada 2,073 individu membabitkan 568 keluarga dengan 21 PPS dibuka setakat 4 petang ini berbanding 2,040 individu (558 keluarga), tengah hari tadi.

    Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Gemas Mohd Farid Abu Bakar berkata paras air di Sungai Gemas ketika ini masih berada pada tahap amaran bahaya, namun aras air sedikit menurun berbanding hari pertama banjir dua hari lepas.

    Di SELANGOR, aplikasi Info Bencana JKM memaklumkan jumlah mangsa banjir  kekal seramai 40 orang melibatkan dua PPS di Daerah Kuala Langat iaitu Dewan Orang Ramai Kampung Kelanang dengan 25 mangsa dan Balai Raya Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Banting (15 mangsa).

    Ketua Polis Daerah Kuala Langat Supt Ahmad Ridhwan Mohd Nor @ Saleh ketika dihubungi berkata kerja-kerja membaik pulih dua ban oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor di Kampung Rancangan Tanah Baharu (RTB) Bukit Changgang dan Labohan Dagang dekat Kuala Langat juga telah selesai kira-kira 2.30 petang tadi.

    JPS juga memaklumkan setakat 3.45 petang tadi aras air Sungai Langat di Bukit Changgang, Kuala Langat masih berada pada aras bahaya pada ketinggian 4.21 meter dengan trend menurun.

    Pada masa sama, Ahmad Ridhwan turut menasihati orang awam supaya sentiasa berwaspada ekoran cuaca yang tidak menentu dan amaran air pasang besar yang telah dikeluarkan pihak berkuasa bermula semalam selama empat hari sehingga Rabu ini.

    Di SABAH, jumlah mangsa banjir sedikit menurun kepada 3,329 daripada 1,231 keluarga petang ini berbanding 3,398 daripada 1,236 keluarga, tengah hari tadi, berikutan penutupan PPS Masjid Nur Iman Sunagi Sandakan, pada 3 petang tadi.

    Sekretariat Pengurusan Bencana Negeri Sabah memaklumkan 26 PPS lagi masih dibuka di enam daerah, melibatkan Kota Marudu, Pitas, Telupid, Paitan, Sandakan dan Beluran.

    Kota Marudu mencatatkan jumlah mangsa banjir paling ramai berada di PPS iaitu seramai 2,765 mangsa daripada 1,061 keluarga yang ditempatkan di 13 PPS, diikuti Pitas (216 mangsa daripada 94 keluarga di empat PPS), Telupid (159 mangsa, 34 keluarga di tiga PPS), Paitan (102 mangsa daripada 24 keluarga di tiga PPS), Sandakan (46 mangsa, tujuh keluarga di satu PPS) dan Beluran (41 mangsa, 11 keluarga di satu PPS). – Bernama

  • Mayat reput ditemukan penduduk di pantai

    Mayat reput ditemukan penduduk di pantai

    SATU mayat yang sudah ditemukan penduduk di pesisir pantai Kampung Mengabang Panjang, Batu Rakit, Kuala Nerus, pada pukul 8 pagi tadi.

    Mayat tanpa identiti itu ditemui ketika beberapa penduduk melalui kawasan pantai tersebut dan bertindak menghubungi polis.

    Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Md. Din berkata, pengesahan identiti dan jantina mayat masih dalam siasatan kerana keadaan mayat yang telah reput.

    “Mayat dibawa ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk tindakan lanjut.

    “Orang ramai yang ada kehilangan ahli keluarga boleh berhubung dengan Ketua Polis Balai Batu Rakit untuk proses pengecaman,” katanya.

  • APM bantu pindahkan 4 mangsa banjir positif Covid-19

    APM bantu pindahkan 4 mangsa banjir positif Covid-19

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEBUAH keluarga yang menjadi mangsa banjir di Kampung Batu Bakar, Buloh Kasap, Segamat yang dan dikesan positif Covid-19 dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) hari ini.

    Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, R. Vidyananthan berkata, seorang pegawai dan tujuh anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Johor membantu memindahkan empat beranak itu.

    “Mangsa terdiri daripada lelaki dan wanita dewasa masing-masing berusia 32 dan 31 tahun bersama-sama dua kanak-kanak perempuan berusia dua dan empat tahun.

    “Mereka dipindahkan dari Kampung Batu Bakar ke PPS di Dewan Serbaguna Jalan Genuang, Segamat pada pukul 11.30 pagi. Mereka dipindahkan atas arahan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) yang sebelum ini menjalani proses kuarantin di rumah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Katanya, Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) bersama-sama agensi lain mengambil langkah ketat dan berjaga-jaga dengan proses kemasukan mangsa ke PPS pada musim pandemik Covid-19 untuk mengelakkan wujud kluster atau pernularan wabak di PPS.

    JKNJ juga katanya, sudah mengaktifkan semua jentera kesihatan termasuk aset, sumber manusia dan ubat-ubatan serta sebagai langkah persediaan dalam menghadapi situasi tersebut atau di luar jangka.

    Pihaknya akan memastikan fasiliti kesihatan di Johor mampu menampung peningkatan bilangan pesakit termasuk memastikan penggunaan ubat-ubatan yang cukup bagi merawat pesakit terbabit dalam tempoh itu.

    “Kita akan membuat lawatan dan menjalankan penaksiran risiko kesihatan persekitaran PPS mangsa banjir yang dikenal pasti selain memberikan perkhidmatan kesihatan rawatan dan pencegahan di semua PPS.

    “Kita juga akan mengenal pasti fasiliti-fasiliti kesihatan berisiko banjir dan menyediakan lokasi gantian untuk menwujudkan kesinambungan dalam proses perawatan pesakit,” katanya.

    Mangsa banjir juga katanya, dinasihatkan sentiasa mengamalkan penjagaan kebersihan diri semasa banjir termasuk mengamalkan penjagaan kebersihan persekitaran dengan tidak membuang sampah di merata tempat yang boleh mendatangkan risiko penyakit dan pembiakan vektor.

    “Semasa banjir, hujan akan menyebabkan bekas-bekas menakung air menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes dan anopheles. Ini menyebabkan populasi nyamuk bertambah dan boleh merebakkan penyakit bawaan nyamuk seperti demam denggi, chikungunya dan malaria,” katanya.

  • 196 anggota ATM, 31 aset bantu mangsa banjir di Johor-Hishammuddin

    196 anggota ATM, 31 aset bantu mangsa banjir di Johor-Hishammuddin

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SERAMAI 196 anggota termasuk pegawai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terlibat dalam menyelamatkan mangsa banjir di kawasan-kawasan yang terjejas di Johor.

    Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussien berkata, sebanyak 31 aset ATM juga telah digerakkan ke kawasan terbabit.

    Antara kawasan di Johor yang terjejas dengan banjir adalah Tangkak, Segamat, Kota Tinggi, Johor Bahru, Kluang dan Mersing.

    “Ini bagi membantu petugas Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), pasukan bomba dan penyelamat, polis dan setiap agensi berkaitan menerusi Operasi Murni,” katanya dalam sidang akhbar di Kem Segamat, Batu Anam, Segamat, hari ini.

    Terdahulu beliau bersama-sama Menteri Besar, Datuk Ir. Hasni Mohammad meninjau keadaan banjir di Segamat serta singgah ke pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Tambang, Batu Anam, Segamat.

    Hishammuddin mengadakan sidang akhbar di Kem Segamat, Batu Anam, Segamat, hari ini selepas meninjau keadaan banjir di daerah itu

    Katanya, pihak tentera juga akan membantu kawasan yang terputus hubungan jalan darat serta kawasan pedalaman, selain membantu proses penyediaan makanan di PPS.

    Beliau berkata, keutamaan pasukan tentera adalah memindahkan mangsa banjir ke kawasan selamat serta mempercepat penghantaran makanan dan barang keperluan ke pusat pemindahan sementara (PPS).

    “Setakat 12 tengah hari ini, di Johor sahaja, bawah Ops Murni, 12 pegawai dan 184 anggota berada di lapangan dan melakukan tugasan operasi.

    “Sebanyak 31 aset diatur gerak ke kawasan terlibat, termasuk tujuh bot, tujuh enjin bot, seunit trak 7 tan, 14 trak 3 tan dan dua trak 1 tan,” katanya

    Hishammuddin berkata, pasukan tentera sentiasa berkomunikasi dengan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta Jabatan Meteorologi bagi mendapatkan maklumat terkini paras air sungai di Johor serta ramalan cuaca, khususnya di selatan Semenanjung.

    Jumlah mangsa banjir di tiga negeri mencatatkan peningkatan dengan Pahang merekodkan 2,188 orang di lapan daerah, Melaka (2,537 orang) dan Negeri Sembilan (2,041 orang) setakat awal pagi tadi.

  • Banjir: Warga emas tidur dalam lori takut barang kena curi

    Banjir: Warga emas tidur dalam lori takut barang kena curi

    SEORANG warga emas memutuskan untuk tidur di dalam lori bagi menjaga keselamatan harta bendanya daripada dicuri pihak tidak bertanggungjawab, selepas rumahnya di Kampung Belimbing Dalam di Alor Gajah ditenggelami banjir separas dada sejak Sabtu lepas.

    Othman Baba, 83, berkata dia sememangnya tidak pernah berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) setiap kali kampung tersebut dilanda banjir, kerana risau rumahnya dipecah masuk pencuri.

    Berikutan itu, dia yang telah 17 tahun menetap di situ, memilih untuk tinggal di dalam lori milik anak lelakinya itu, yang diletakkan di jalan raya yang tidak dinaiki air berdekatan rumahnya.

    “Dua anak lelaki saya menjalankan perniagaan sewa khemah. Oleh kerana mereka tiada tempat nak letak barang, mereka simpan dalam stor di rumah saya.

    “Sejak banjir pada Sabtu lepas, dah dua malam saya bersama seorang lagi anak lelaki dan anak perempuan tidur dalam lori ini sebab takut barang-barang tersebut dicuri,” katanya ketika ditemui Bernama hari ini.

    Othman berkata ada penduduk kampung yang memintanya supaya berpindah ke PPS, tetapi beliau memutuskan untuk terus berada di situ, sementara menunggu air surut.

    Katanya bagi mendapatkan bekalan makanan dia akan keluar membeli di kedai atau menunggu bantuan makanan yang dihulurkan oleh mana-mana badan bukan kerajaan (NGO) mahupun sukarelawan.

    Menurutnya sejak Julai tahun lalu, sudah empat kali rumahnya dinaiki air memandangkan ia berada di kawasan rendah dan berdekatan sungai.

    “Saya dah bina pangkin di dalam rumah bagi meletakkan perabot dan barangan elektrik, namun tetap tenggelam kerana paras banjir tinggi,” katanya. – BERNAMA

  • Bantuan RM500 untuk mangsa banjir di Johor-MB

    Bantuan RM500 untuk mangsa banjir di Johor-MB

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    KERAJAAN Johor akan memberikan bantuan RM500 kepada mangsa-mangsa banjir yang terjejas di negeri itu.

    Menteri Besar, Datuk Ir. Hasni Mohammad berkata, bantuan itu sebagai tambahan bagi mereka mengharungi bencana itu yang kini sudah mencecah lebih 4,000 mangsa.

    Beliau memberitahu, bantuan tersebut akan dicadangkan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Johor pada Rabu ini untuk disalurkan segera.

    “Di peringkat Persekutuan, kerajaan memberikan bantuan RM1,000 kepada ketua setiap isi rumah yang terjejas banjir serta RM10,000 bagi kematian akibat bencana itu dan di Johor kita akan cadang supaya kerajaan negeri tambah RM500 kepada setiap keluarga.

    “Saya akan bawa ke mesyuarat Exco pada Rabu ini dan kita turut akan berbincang untuk bantuan tambahan juga kepada mereka yang kehilangan ahli keluarga akibat bencana itu,” katanya dalam sidang akhbar di Kem Segamat, Batu Anam, Segamat, hari ini.

    Terdahulu, beliau bersama-sama Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein melawat keadaan banjir di daerah ini serta singgah ke pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Tambang, Batu Anam.

    Hasni berkata, pihaknya setakat ini amat berpuas hati dengan kerjasama dan koordinasi antara jabatan, agensi di bawah kementerian dan kerajaan negeri dalam menyalurkan bantuan awal dan penyampaian sumbangan kepada mangsa-mangsa.

    “Peranan semua pihak amat kerajaan negeri alu-alukan dan terima kasih di atas komitmen yang ditunjukkan, setakat ini agensi-agensi khususnya Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan lain-lain memainkan peranan penting di kesemua PPS di Johor yang melibatkan enam daerah.

    “Apa yang penting kita pastikan supaya arahan yang diturunkan dan koordinasi agensi dapat dipermudahkan dan bantuan kepada mangsa tepat pada masanya. Malah, peranan dan tumpuan yang saya beri di Johor adalah kita memudah cara segala bentuk bantuan diberi pelbagai agensi,” katanya.

  • Banjir: Dua kali bersih rumah dalam tempoh 24 jam

    Banjir: Dua kali bersih rumah dalam tempoh 24 jam

    “DALAM tempoh 24 jam ini, sudah dua kali saya bersihkan rumah sepanjang tiga hari banjir melanda kampung ini,” kata Nosimah Naim, 56.

    Nosimah, yang tinggal di Kampung Belimbing Dalam, Durian Tunggal, Melaka berkata air mulai naik pada Sabtu lepas separas paha dan beliau menyelamatkan barangan seperti perabot dan alat elektrik ke atas meja.

    Beliau berkata sebahagian daripada kelengkapan rumah seperti sofa pula diletakkan di atas jalan selepas memasang khemah bagi meneduhkan barangan tersebut daripada terkena air hujan.

    “Sabtu lalu, air mulai naik kira-kira pukul 10 pagi. Selepas memindahkan barangan ke tempat selamat saya kemudiannya mendaftarkan diri ke pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Belimbing Dalam yang terletak berdekatan rumah.

    “Pagi semalam, saya dimaklumkan air mulai surut dan memutuskan untuk mengemaskan rumah namun tak sangka air naik kembali pada pukul 3 pagi tadi separas lutut,” katanya ketika ditemui Bernama, hari ini.

    Suri rumah itu berkata beliau terpaksa memindahkan kembali kelengkapan rumah yang telah dikemaskan semalam ke tempat tinggi untuk kali kedua.

    “Inilah yang dilalui penduduk Kampung Belimbing setiap kali hujan. Sepanjang enam bulan lepas, sudah empat kali kampung ini dinaiki air termasuklah yang terbaru pada Sabtu lalu,” katanya.

    Sementara itu, penternak lembu dan kerbau Mohamad Noor Abdul Rahman, 43, berkata air yang kembali naik pada awal pagi tadi dipercayai dari Tampin, Negeri Sembilan yang mula masuk ke Sungai Melaka.

    “Saya mula tinggal di kampung ini sejak 2010 dan memang tiap-tiap tahun dilanda banjir, tapi kali ini lebih besar daripada tahun-tahun sebelumnya. Tak pernah air naik dua kali dalam tempoh 24 jam seperti kali ini.

    “Justeru saya berharap agar pihak berkenaan dapat menyelesaikan masalah banjir di kampung ini. Risau juga jika banjir lebih besar berlaku dan saya tak sempat nak selamatkan 20 ekor lembu dan 40 ekor kerbau yang mula diternak sejak tahun 2000,” katanya. – Bernama

  • Hujan lebat dijangka berterusan di Johor, Pahang sehingga esok

    Hujan lebat dijangka berterusan di Johor, Pahang sehingga esok

    JABATAN Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran cuaca buruk tahap jingga iaitu hujan lebat berterusan dijangka berlaku di Pahang dan Johor sehingga esok.

    Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) hari ini memaklumkan daerah yang terlibat ialah Rompin di Pahang dan Mersing di Johor.

    Sementara itu, kenyataan itu turut mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap kuning yang diramal berlaku di Kemaman (Terengganu), Maran, Kuantan, Bera, Pekan (Pahang), Kuala Pilah, Rembau, Jempol, Tampin (Negeri Sembilan) dan Melaka.

    Amaran tahap waspada itu turut diberikan kepada beberapa kawasan iaitu Tangkak, Segamat, Muar, Batu Pahat, Kluang, Pontian, Kulai dan Johor Bahru (Johor) dan Sandakan, Telupid, Kinabatangan, Beluran (Sabah).

    Dalam pada itu NADMA turut menyarankan supaya Jawatankuasa Pengurusan Bencana Peringkat Negeri dan Daerah diaktifkan di kawasan yang berisiko tinggi selain meningkatkan tahap kesiapsiagaan bagi menghadapi bencana.

    “Pihak jawatankuasa itu juga dimohon untuk memastikan setiap pusat pemindahan dilengkapi dengan keperluan asas dan Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) mempunyai segala aset pengoperasian mencukupi serta berada di dalam keadaan baik dan bersedia untuk digunakan,” menurut NADMA. – Bernama

  • Paras sungai tahap bahaya, penduduk di lima negeri diminta waspada

    Paras sungai tahap bahaya, penduduk di lima negeri diminta waspada

    PENDUDUK di lima negeri iaitu Pahang, Selangor, Johor, Negeri Sembilan dan Melaka dinasihatkan sentiasa berwaspada serta mematuhi arahan pihak berkuasa berikutan paras air di beberapa sungai di negeri-negeri tersebut masih di tahap bahaya.

    Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dalam kenyataan hari ini memaklumkan di Pahang, paras air Sungai Serting di Jambatan Padang Gudang di Bera, Stesen Paya Gintong di Jerantut dan Sungai Pahang, Kuala Krau di Temerloh berada pada tahap bahaya dengan trend menaik. 

    Sungai lain iaitu Sungai Pukin di Rompin, Stesen Jambatan Chegar Perah di Lipis dan Sungai Luit, Kampung Subuh di Maran juga masih berada tahap bahaya namun dengan trend menurun.

    Menurut JPS, di Selangor, Sungai Langat di Bukit Changgang, Kuala Langat, juga berada pada tahap bahaya tetapi dengan trend menurun.

    Di Johor, dua sungai di Segamat iaitu Sungai Lenik di Ladang Chaah dan Sungai Segamat di Bandar Segamat mencatat tahap bahaya dengan trend menaik manakala Sungai Tangkak di Kampung Seri Makmur, Tangkak berada tahap bahaya dengan tidak menunjukkan perubahan.

    JPS memaklumkan di Negeri Sembilan, Sungai Muar di Pekan Rompin, Jempol dan Sungai Muar di Kampung Berembang, Kuala Pilah berada dalam trend menurun walaupun masih tahap bahaya.

    Di Melaka, Sungai Melaka di Melaka Pindah, Alor Gajah mencatat tahap bahaya tetapi dengan trend menurun, sungai sama di Batu Hampar, Melaka Tengah mencatat tahap bahaya dengan trend menaik manakala Sungai Kesang di Telok Rimba, Jasin pula mencatat tahap bahaya dengan tidak menunjukkan perubahan. 

    Jabatan Mineral dan Geosains turut memaklumkan terdapat penambahan kawasan tanah runtuh hari ini melibatkan tujuh kawasan di Sabah, enam di Negeri Sembilan dan satu di Johor menjadikan jumlah kumulatif setakat hari ini sebanyak 243 kejadian di sembilan negeri termasuk Selangor, Kuala Lumpur, Melaka, Pahang, Terengganu dan Sarawak. 

    Kawasan baharu berlaku tanah runtuh di Sabah ialah Kampung Sagaliud Seberang di Jalan Sagaliud dan Kampung Warisan di Jalan Bukit Garam; Jalan Bongkud, Jalan Stadium, Jalan Tambunan-Ranau dan Jalan Timbau-Melinsau, Ranau serta Jalan Nangoh Paitan di Kanibongan.

    Di Negeri Sembilan, tanah runtuh berlaku di Jalan Seremban-Port Dickson, Jalan Karak-Tampin dan Jalan Talang Ulu, Kampung Lubuk Kadam, Tanjung Ipoh serta tiga kawasan perumahan di Taman Desa Permai dan Kampung Jeram di Tampin dan Gemas. 

    Kawasan berlaku tanah runtuh di Johor pula ialah Taman Bukit Pelali di Pengerang yang menjejaskan kawasan perumahan.– Bernama