Category: Kemalangan / Bencana

  • Bot karam, 7 PATI hilang, 6 terselamat

    Bot karam, 7 PATI hilang, 6 terselamat

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SERAMAI tujuh pendatang asing tanpa izin (PATI) hilang manakala enam lagi terselamat selepas bot yang dinaiki karam pada kedudukan 0.3 barat daya Pontian Besar, Pontian, hari ini.

    Dalam kejadian dikatakan pada awal pagi itu, bot yang dinaiki membawa 13 PATI warga Indonesia termasuk tekong karam dipukul ombak kuat semasa cuba memasuki negara ini.

    Pihak Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menerusi Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Johor Bahru menerima panggilan kecemasan kejadian tersebut pada pukul 10 pagi.

    Dua PATI yang terselamat dalam kejadian bot karam ketika cuba memasuki negara ini awal pagi ini

    Pengarah Maritim Negeri Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, enam mangsa termasuk wanita diselamatkan sebuah bot nelayan tempatan yang berada di perairan tersebut.

    “Operasi mencari dan menyelamat (Op Carilamat) diaktifkan sekitar pukul 10.20 pagi tadi dan Pangkalan Hadapan Carilamat (PHC) telah ditubuhkan di Jeti Persatuan Nelayan Pontian.

    “Sebuah pesawat AW139 dan bot Kilat 12 milik maritim telah diatur gerak ke lokasi bagi melaksanakan pemantauan mencari baki mangsa yang hilang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Beberapa PATI wanita yang diselamatkan sebuah bot nelayan selepas bot dinaiki mereka karam dipukul ombak besar

    Katanya, pihak maritim turut mendapatkan bantuan aset daripada agensi sahabat bagi membantu operasi berkenaan.

    “Kesemua enam mangsa yang terselamat telah dibawa ke Hospital Pontian untuk mendapatkan rawatan lanjut,” ujarnya.

  • 2 pemancing dikhuatiri lemas di Pulau Mataking

    2 pemancing dikhuatiri lemas di Pulau Mataking

    DUA lelaki dikhuatiri lemas ketika keluar memancing di kawasan perairan Pulau Mataking, Semporna, sejak petang kelmarin.

    Kedua-dua mangsa, Makbul Haja, 50, bersama rakannya, Sajid Armani, 39, keluar memancing sekitar pukul 3.30 petang kelmarin.

    Ketua Polis Daerah Semporna, Superintendan Mohd. Farhan Lee Abdullah berkata, kedua-dua pemancing terbabit bagaimanapun dilaporkan tidak pulang ke rumah masing-masing selepas tempoh 24 jam.

    “Ahli keluarga mangsa yang bimbang sesuatu yang buruk berlaku kemudian membuat laporan polis pada jam 4.41 petang semalam,” katanya dalam kenyataan media, malam ini.

    Mohd. Farhan berkata, susulan laporan itu operasi mencari dan menyelamat (SAR) membabitkan pelbagai agensi diaktifkan bermula petang semalam, namun gagal menemukan sebarang petunjuk.

    Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Atas Air Semporna, Faisal Ahmad berkata, operasi mencari dan menyelamat dijalankan di sekitar kawasan perairan Pulau Kulapuan dan Pulau Mataking.

    “Setakat hari ini, kedua-dua mangsa belum ditemui dan operasi terpaksa ditangguhkan pada jam 5 petang berikutan keadaan laut bergelora dan hujan,” katanya sambil memaklumkan operasi SAR akan disambung semula pagi esok.

  • Stor barang rumah anak yatim musnah dalam kebakaran

    Stor barang rumah anak yatim musnah dalam kebakaran

    SEBUAH stor penyimpanan barang di rumah anak yatim di Jalan Air Mawar 1, Taman Air Panas, Setapak, Kuala Lumpur musnah dalam kebakaran awal pagi tadi.

    Komander Operasi Kanan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur Ahmad Daniel Ahmad Kamal berkata jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BPP) Sentul, BPP Jalan Tun Razak, BPP Wangsa Maju, BPP Hang Tuah dan BPP Sentul dengan kekuatan 26 anggota dikejarkan ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada 1.31 pagi.

    Beliau berkata sebaik tiba di lokasi, kesemua penghuni di banglo dua tingkat yang dijadikan rumah anak yatim itu telah dikeluarkan oleh penjaga rumah anak yatim berkenaan.

    “Seramai 12 kanak-kanak lelaki, 20 kanak-kanak perempuan, tiga wanita dewasa dan dua lelaki dewasa berada di rumah berkenaan semasa kejadian. Mereka semua selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.

    “Kebakaran dapat dikawal kira-kira sejam kemudian dan berjaya dipadamkam sepenuhnya pada 3.30 pagi. Operasi tamat pada 5.48 pagi,” katanya dalam kenyataan hari ini.- Bernama

  • Motosikal bertembung: Pelajar tahfiz, mekanik maut

    Motosikal bertembung: Pelajar tahfiz, mekanik maut

    SEORANG pelajar tahfiz meninggal dunia apabila motosikal yang ditunggangnya bertembung dengan motosikal yang dibawa oleh seorang mekanik di Kampung Pangkal Kala, Pasir Mas, kira-kira pukul 10.30 malam tadi.

    Pelajar tahfiz berkenaan, Muhammad Amirul Hakim Abdullah, 17, dan Mohd Aizat Abdul Ghani, 22, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat mengalami cedera parah pada bahagian kepala.

    Memetik laporan BH hari ini, Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir berkata, siasatan mendapati kejadian berlaku ketika Mohd Aizat yang menunggang dari arah Gelang Mas menghala ke Bunut Susu, manakala Muhammad Amirul dari arah bertentangan.

    “Kedua-dua motosikal itu bertembung di tengah laluan di lokasi kejadian menyebabkan kedua-dua mangsa yang tidak memakai topi keledar ketika itu, terjatuh di tengah jalan dan cedera parah di kepala.

    “Mohd Aizat yang tinggal di Kampung Kedondong Kubang Gadong, Pasir Mas dan Muhammad Amirul beralamat di Kampung Jal Besar, Tumpat disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

    “Kemalangan dipercayai akibat daripada kecuaian kedua-dua penunggang yang menunggang dalam keadaan laju di lokasi yang gelap dan jalan lurus,” katanya.

    Beliau menambah, kedua-dua motosikal remuk di bahagian hadapan dan kedua-dua mangsa telah dibawa ke Hospital Pasir Mas untuk bedah siasat.

    Siasatan terhadap kemalangan itu dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

  • Dua remaja lemas dalam sungai

    Dua remaja lemas dalam sungai

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    DUA remaja lelaki ditemukan lemas dalam sungai di Jalan Masai Utama, Taman Masai Utama, Pasir Gudang, malam tadi.

    Sharif Mohd. Sharizan Sabri, 11, dan Mohd. Ahlan Kiram, 14, sebelum itu bermain di tepi sebelum dipercayai terjatuh dalam sungai.

    Balai Bomba dan Penyelemat (BBP) Pasir Gudang menerima panggilan kecemasan berhubung insiden tersebut pada pukul 6.14 petang semalam.

    Menurut Komander Operasinya, Penolong Kanan Penguasa Bomba Hamdan Ismail berkata, seramai 14 anggota BBP Pasir Gudang dibantu unit Pasukan penyelamat di Air (PPDA) BBP Skudai dikejarkan ke tempat kejadian.

    Mangsa dalam sungai berkedalaman hampir 3 meter dan sebelum itu kedua-dua mangsa dikatakan bermain di tepi sungai sebelum kejadian itu

    Katanya, mereka dibantu sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT), satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS), satu utiliti Urvan dan dua jentera Rapid Rescue Vẹhicle (RRV).

    “Mangsa dalam sungai berkedalaman hampir 3 meter. Mereka dikatakan bermain di tepi sungai sebelum kejadian itu.

    “Mayat pertama telah dijumpai pukul 9.18 malam pada jarak 15.24 meter dari lokasi mangsa dipercayai lemas dan mangsa kedua dijumpai pukul 10.32 malam pada jarak 18.28 meter dari lokasi mangsa lemas,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Katanya, operasi mencari mangsa dibantu orang awam dan mayat diserahkan kepada polis sebelum operasi tersebut tamat pukul 11.59 malam.

  • Akibat selisih faham sesama keluarga, tiga rumah terbakar

    Akibat selisih faham sesama keluarga, tiga rumah terbakar

    AKIBAT perselisihan faham dalam keluarga, seorang lelaki yang disyaki kurang siuman bertindak membakar rumahnya hingga mengakibatkan dua lagi unit perumahan awam di Setapak Jaya dekat sini, musnah dalam kebakaran petang tadi.

    Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Supt Ashari Abu Samah berkata, lelaki berusia 38 tahun itu ditahan di lokasi kejadian selepas pihaknya menerima maklumat daripada orang awam berhubung kebakaran tersebut pada kira-kira 4.30 petang.

    “Kita menerima maklumat awal berlaku pergaduhan keluarga di lokasi kejadian sehingga menyebabkan suspek disyaki membakar rumahnya sendiri sebelum api merebak ke dua unit rumah lain.

    “Suspek yang negatif ujian saringan air kencing itu dibawa ke Balai Polis Wangsa Maju untuk tindakan selanjutnya,” katanya kepada Bernama.

    Ashari berkata, tiada kemalangan jiwa dilaporkan namun insiden tersebut telah mengakibatkan tiga unit rumah tersebut musnah terbakar kira-kira 90 peratus.

    Sementara itu, Penolong Penguasa Jabatan Bomba dan Penyelamat Wangsa Maju Ahmad Daniel Ahmad Kamal berkata seramai 44 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Wangsa Maju, Keramat, Setapak dan Hang Tuah terbabit dalam operasi memadamkan kebakaran.

    “Kebakaran berlaku di tingkat empat rumah pangsa itu dan api berjaya dikawal tidak lama selepas kejadian,” katanya. – BERNAMA

  • Tempahan kacang putih sempena Thaipusam musnah dalam kebakaran

    Tempahan kacang putih sempena Thaipusam musnah dalam kebakaran

    “SEMUA kacang, keropok dan kerepek, yang ditempah pelanggan untuk sambutan Thaipusam dan Tahun Baharu Cina hangus dalam kebakaran dan tidak dapat diselamatkan. Saya sangat sedih.”

    Demikian luahan pemilik premis DNS Kacang Putih, T. Sanggarlingam, 52, selepas perniagaan memproses kacang putihnya itu musnah dalam satu kebakaran, awal pagi tadi.

    Sanggarlingam yang mengusahakan kedai kacang putih itu sejak 30 tahun lalu berkata beliau serta anak lelakinya S. Sathis Kumar, 30, baharu sahaja menyiapkan kerja-kerja tempahan pelanggan di premis berkenaan kira-kira pukul 12.30 tengah malam.

    “Setengah jam kemudian, salah seorang jiran menelefon anak lelaki saya memberitahu ternampak percikan api dan terdengar bunyi letupan di dalam kedai itu dan tidak mengambil masa lama, mereka (jiran dan anak lelaki) menelefon pihak bomba.

    “Saya dan anak lelaki cuba untuk memadamkan api dengan menggunakan pemadam api tetapi gagal kerana api sudah semakin marak dan tidak dapat dikawal,” katanya ketika ditemui Bernama di lokasi kejadian di Ipoh hari ini.

    Sanggarlingam yang kelihatan sedih berkata kesemua peralatan memasak dan pembungkusan bahan kudapan itu yang setiap satu bernilai RM80,000 hingga RM300,000, musnah dalam kebakaran tersebut dan jumlah kerugian yang dialaminya dianggarkan bernilai lebih RM1 juta.

    Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Perak berkata kebakaran di Laluan Sungai Pari 12, Buntong di sini turut melibatkan sebuah rumah dua tingkat, sebuah van dan sebuah motosikal.

    “Kedai berkenaan terbakar kira-kira 90 peratus. Rumah pula terbakar 30 peratus manakala van dan motosikal hanya lima dan 40 peratus. Kejadian itu tidak melibatkan kemalangan jiwa,” menurut jurucakap tersebut.

    Jurucakap itu berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada kira-kira 1.08 pagi tadi dan sepasukan anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ipoh dibantu BBP Meru Raya, BBP Pasir Puteh serta Pasukan Bomba Sukarela Pasir Pinji, Menglembu dan Pekan Baru digegaskan ke lokasi kejadian dan operasi pemadaman tamat sepenuhnya pada 4.15 pagi. – BERNAMA

  • Terlibat kemalangan polis sahkan kematian anggota pengiring bermotosikal Istana Negara

    Terlibat kemalangan polis sahkan kematian anggota pengiring bermotosikal Istana Negara

    Polis mengesahkan kematian membabitkan seorang anggota polis pengiring bermotosikal cawangan Istana Negara setelah terlibat dalam kemalangan jalan raya di Jalan Tunku, Bukit Tunku, di Kuala Lumpur, semalam.

    Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur ACP Sarifudin Mohd Salleh berkata mangsa yang berusia 46 tahun mengalami kecederaan di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh Pegawai Perubatan Hospital Kuala Lumpur.

    Siasatan awal mendapati dalam nahas pada pukul 6 petang itu motosikal Kawasaki GTR yang ditunggang mangsa melanggar sisi sebelah kanan sebuah Perodua Axia yang pada sama sedang membelok di tempat kejadian untuk masuk ke rumah dari arah yang sama.   

    Sarifudin memaklumkan pemandu kereta berusia 31 tahun itu tidak mengalami sebarang kecederaan dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian.

    Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu boleh menghubungi Balai Polis Trafik Jalan Tun H.S Lee di talian 03-20719999 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran.

    — BERNAMA

  • Lembu bunting jatuh lubang, terperangkap sejak malam

    Lembu bunting jatuh lubang, terperangkap sejak malam

    SEEKOR lembu bunting terjatuh ke dalam lubang dan terperangkap dalam kejadian di Kampung Teloi Tua, Sik, Alor Setar, malam tadi.

    Penduduk yang menyedari kejadian itu menghubungi Angkatan Pertahanan Awam (APM) selepas buntu untuk mengeluarkannya.

    Pegawai Pertahanan Awam Daerah Sik, Leftenan (PA) Haisul Aishah Mohd. Napiah berkata, anggota APM Sik dihubungi penduduk kampung pukul 8.50 pagi untuk menyelamatkan seekor lembu itu.

    Menurutnya, sepasukan anggota Skuad Golf bergegas ke lokasi kejadian pukul 8.57 pagi bagi mengendalikan operasi mengeluarkan lembu tersebut.

    “Lembu itu dikatakan terjatuh ke dalam lubang berkenaan dalam kejadian yang berlaku pada malam Jumaat oleh pemilik rumah, bagaimanapun pemilik lembu gagal dikenal pasti.

    “Anggota APM bertindak mengeluarkan haiwan terperangkap itu menggunakan beberapa peralatan sambil dibantu penduduk setempat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Beliau memberitahu, lembu bunting terbabit berjaya dikeluarkan dengan selamat dan operasi kemudiannya ditamatkan pukul 10.44 pagi.

  • Nekad terjun dari tingkat tiga bangunan kedai terbakar

    Nekad terjun dari tingkat tiga bangunan kedai terbakar

    Seorang lelaki mengalami patah kaki dan tangan selepas terjun dari tingkat tiga sebuah bangunan terbakar di Klang

    SEORANG lelaki patah kaki dan tangan selepas nekad terjun dari tingkat tiga untuk menyelamatkan diri daripada sebuah premis sedang terbakar berhampiran Hotel Comfort di Jalan Meru, Taman Bunga Melor, Klang, hari ini.

    Dalam kejadian pukul 9.42 pagi itu, seramai 12 mangsa terdiri daripada lapan lelaki, dua wanita dan tiga kanak-kanak yang kesemuanya warga asing dilaporkan terperangkap dalam kebakaran bangunan kedai tiga tingkat tersebut.

    Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Selangor, Norazam Khamis berkata, kebakaran melibatkan bangunan kedai tiga tingkat dan tingkat satu sahaja yang terbakar 80 peratus.

    “12 orang mangsa berjaya diselamatkan manakala seorang lelaki telah terjun dari atas sebelum ketibaan bomba. Lelaki tersebut patah kaki dan tangan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Menurutnya, jentera dan anggota dari balai bomba Sungai Pinang, Kapar, Kota Anggerik, Shah Alam serta Damansara tiba di lokasi sekitar jam 9.52 pagi selepas menerima panggilan kecemasan pukul 9.42 pagi.

    Beliau berkata, kesemua mangsa dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) untuk rawatan lanjut.