Category: Kemalangan / Bencana

  • Mayat wanita warga emas ditemukan dalam Sungai Plentong

    Mayat wanita warga emas ditemukan dalam Sungai Plentong

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG penduduk terkejut apabila menemukan mayat seorang wanita warga emas terapung-apung dalam Sungai Plentong berdekatan Jalan Masjid, Kampung Plentong Baru, Masai, Johor Bahru, hari ini.

    Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superitendan Mohd Sohaimi Ishak berkata, mayat tersebut yang dipercayai warga asing berusia 64 tahun ditemukan pada pukul 10.45 pagi sebelum dilaporkan kepada pihak polis.

    “Susulan penemuan mayat itu pihak polis menyiasat seorang wanita warga tempatan berusia 33 tahun yang membuat laporan polis berkenaan kehilangan rakan serumahnya.

    “Mayat wanita tersebut dipercayai rakan serumahnya yang hilang selepas wanita warga tempatan itu membuat pengecaman pakaian yang dipakai simati,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Katanya, mayat dibawa ke Hospital Sultan Ismail (HSI) di Johor Bahru untuk dibedah siasat.

    Menurutnya, pihak polis masih menjalankan siasatan dan ketika ini kes diklasifikasi sebagai kematian mengejut (SDR).

    Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Johor Jaya, Pegawai Bomba Kanan II Kilok Anak Lampas berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan untuk membantu polis mengangkat naik mayat tersebut pada pukul 12.11 tengah hari.

    Susulan itu katanya, seramai lapan anggota dan satu jentera Fire Rescue Tender (FRT), satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) serta satu unit bot kecil dari Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Ulu Tiram dikejarkan ke tempat kejadian.

    “Mayat wanita dewasa itu didapati berada di permukaan sungai dengan jarak 10 meter dari tebing sungai. Mayat dibawa naik ke darat dan disahkan sudah meninggal oleh pasukan perubatan yang hadir.

    “Mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya. Operasi tamat pada pukul 2.45 petang,” katanya.

  • Budak perempuan jatuh dari tingkat empat bangunan

    Budak perempuan jatuh dari tingkat empat bangunan

    SEORANG kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun cedera selepas terjatuh dari tingkat empat sebuah bangunan di Jalan Mahawangsa 1, Kuah, Langkawi hari ini.

    Ketua Bomba Zon Langkawi, Mohd Fadzlullah Mohd Noor berkata pihaknya menerima panggilan daripada orang awam mengenai kejadian itu pada pukul 8.23 pagi.

    “Sebaik anggota tiba di lokasi, didapati mangsa seorang kanak-kanak perempuan telah terjatuh dari tingkat empat bangunan. Anggota bertugas terus memberi rawatan awal kepada mangsa.

    “Mangsa mengalami kecederaan di bahagian kepala dan kemudian dibawa ke Hospital Langkawi dengan ambulans,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Sementara itu, Ketua Polis Daerah Langkawi, ACP Shariman Ashari berkata ketika kejadian bapa mangsa mendakwa dia dan keluarga sedang tidur dan hanya menyedari kejadian itu selepas dimaklumkan oleh seorang pengawal keselamatan.

    Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 31(1) (a) Akta Kanak-kanak 2001. – BERNAMA

  • Selepas 20 hari, kebakaran tapak pelupusan sampah Pulau Burung padam

    Selepas 20 hari, kebakaran tapak pelupusan sampah Pulau Burung padam

    LEBIH 11 hektar daripada kawasan tapak pelupusan sampah Pulau Burung, Jalan Byram di Nibong Tebal yang terbakar sejak 12 Jan lepas akhirnya berjaya dipadamkan sepenuhnya semalam.

    Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkongsi perkara itu di Facebooknya dan memaklumkan operasi pemadaman di kawasan tapak pelupusan sampah tersebut telah berjaya dipadamkan semalam.

    Menerusi hantarannya, Reezal Merican berkata, kejayaan itu disempurnakan dengan kerjasama semua pihak dan beliau mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua agensi persekutuan serta negeri dalam proses pemadaman kebakaran terbabit.

    “Alhamdulillah, misi memadam kebakaran di tapak pelupusan Pulau Burung telah berjaya disempurnakan sepenuhnya.

    “Terima kasih saya ucapkan kepada pasukan #WiraMerah Pulau Pinang serta pelbagai agensi Persekutuan dan negeri dalam proses pemadaman kebakaran. Kerjasama bersepadu dapat mengakhiri misi ini dengan jayanya,” katanya.

    Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar dan Kebajikan Pulau Pinang, Phee Boon Poh berkata, pihak Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pulau Pinang ketika ini akan terus memantau kawasan tersebut bagi memastikan tiada lagi titik panas yang boleh menyebabkan kebakaran di kawasan tapak pelupusan sampah tersebut.

    “Selain memantau titik panas, pihak JAS turut membuat pemantauan bacaan indeks pencemaran udara (IPU) di stesen Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Byram bagi memastikan ia dalam keadaan baik dan selamat untuk penduduk di kawasan tersebut pulang semula ke rumah mereka,” katanya.

    Katanya, ketika ini IPU di situ mencatatkan tahap sederhana namun angkanya semakin baik dari semasa ke semasa iaitu 74 direkodkan pada 7 pagi hari ini manakala pada 10 pagi is mencatatkan bacaan IPU 73. Pada Isnin, 98 peratus kebakaran tapak pelupusan sampah berkenaan berjaya dipadamkan dengan bakinya melibatkan sektor 5 sahaja.

    Kejadian kebakaran tapak pelupusan sampah di Jalan Byram, Pulau Burung dilaporkan berlaku pada kira-kira 5 petang pada 12 Jan lepas dan penduduk berhampiran telah diminta berpindah ke pusat pemindahan sementara, manakala 10 sekolah berdekatan diarah tutup.

    Pada 22 Jan, Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, hasil siasatan semula oleh pihak bomba ke atas tapak pelupusan sampah itu mendapati keluasan kawasan tersebut ialah lebih 33 hektar dengan kira-kira 11 hektar yang terbakar dan kerja-kerja pemadaman api giat dijalankan menggunakan kaedah air serta tambakan tanah. – BERNAMA

  • Enjin kereta api ekspres Tumpat – JB terbakar

    Enjin kereta api ekspres Tumpat – JB terbakar

    BAHAGIAN enjin sebuah kereta api ekspres dari Tumpat ke Johor Bahru terbakar di Kampung Anok Machang, Sungai Keladi dekat Pasir Mas pada pukul 9.44 malam tadi.

    Bagaimanapun tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan.

    Penolong Penguasa Bomba (PPgB) Pasir Mas Shapawi Setapa berkata, kejadian kebakaran berpunca daripada enjin di bahagian hadapan kereta api yang membawa 13 gerabak penumpang itu dan berjaya dipadamkan pada pukul 1.44 pagi tadi.

    “Dua jentera dari balai bomba dari Pasir Mas dan Tanah Merah serta turut dibantu anggota bomba sukarela Rong Chenok dan anggota polis daripada Balai Polis Tok Uban melibatkan kira-kira 30 orang.

    “Kesemua penumpang seramai 180 orang berjaya diselamatkan dan tiada sebarang kecederaan berlaku,” katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.

    Kereta api tersebut telah dibawa ke stesen Pasir Mas untuk tindakan pihak Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB). – BERNAMA

  • Banjir termenung di Marudi jejaskan sambutan Tahun Baharu Cina

    Banjir termenung di Marudi jejaskan sambutan Tahun Baharu Cina

    BANJIR termenung membuatkan perayaan Tahun Baharu Cina di bandar Marudi, Kuching suram dan hambar, hari ini.

    Ini susulan sebahagian besar jalan raya di pekan berkenaan dinaiki air sehingga paras 0.5 meter.

    Pekan Marudi mula dinaiki air 26 Januari lalu akibat limpahan air Sungai Batang Baram selepas hujan lebat di kawasan hulu sungai.

    Beberapa penempatan penduduk terjejas sehingga pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Dewan Suarah Marudi pada jam 4 petang, Sabtu lalu.

    Ketika ini, seramai 31 penduduk daripada lapan keluarga dari Kampung Padang Kerbau dan Jalan Wawasan Kampung Cina Marudi, masih ditempatkan di PPS berkenaan.

    Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon Miri, Law Poh Kiong berkata, pihaknya terus memantau keadaan banjir di Marudi termasuk membuat tinjauan udara hari ini.

    Tinjauan itu dijalankan Unit Udara Bomba Wilayah Sarawak yang berpangkalan di Miri.

    “Hasil tinjauan pada 12.30 tengah hari tadi mendapati beberapa kawasan sekitar pekan Marudi masih ditenggelami air namun pada aras yang terkawal,” katanya.

  • Bot pelancong berlanggar di Kuala Besut bawa penumpang berlebihan

    Bot pelancong berlanggar di Kuala Besut bawa penumpang berlebihan

    BOT pelancong terlibat dalam insiden pelanggaran dengan sebuah bot nelayan di muara Sungai Besut di Jeti Pelancongan Kuala Besut petang semalam, didapati membawa penumpang berlebihan iaitu seramai 29 orang, berbanding 12 yang dibenarkan.

    Ketua Unit Komunikasi Korporat (UKK) Ibu Pejabat Laut, Jabatan Laut Malaysia (JLM) Muhammad Shuhaimi Abd Rahman berkata keadaan itu, menyebabkan bot pelancong tersebut sukar dikawal apabila berlaku pelanggaran, selain turut dipengaruhi faktor cuaca iaitu ombak dan arus laut yang kuat.

    Katanya siasatan secara lisan turut mendapati, penumpang bot yang terdiri daripada 15 dewasa, 13 kanak-kanak dan seorang bayi serta dua kru bot, tidak memakai jaket keselamatan ketika kejadian kira-kira pukul 3.30 petang semalam.

    “Akibat pelanggaran tersebut, kesemua penumpang serta kru bot pelancong dan bot nelayan jatuh ke dalam air, dan telah diselamatkan oleh anggota daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia serta orang awam.

    “Seramai 22 orang dibawa ke Klinik Kuala Besut untuk mendapatkan rawatan susulan, dengan 11 orang daripadanya iaitu dua kritikal, lapan separa kritikal dan seorang cedera ringan, telah dirujuk ke Hospital Besut,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

    Selain itu, Muhammad Shuhaimi  berkata siasatan awal juga mendapati nakhoda bot yang didaftarkan di lesen, adalah berbeza dengan nakhoda semasa kejadian dan lesen bot tersebut dilaporkan telah tamat tempoh pada 10 Jun lepas.

    “Pemilik bot juga telah mengalihkan bot yang terlibat kemalangan dan menanggalkan nombor pendaftaran, bagi mengelirukan pihak Pejabat Laut Kuala Besut,” katanya.

    Menurutnya penumpang juga dilaporkan menaiki bot di jeti pendaratan persendirian yang tidak sah, dan bukan di bawah seliaan JLM, selain jeti tersebut juga jauh daripada kawalan JLM.

    Katanya antara jeti persendirian tidak sah yang sering digunakan pelancong untuk ke Pulau Perhentian dan Pulau Redang dari Besut adalah seperti di tepi pesisir pantai, Bukit Kluang, Pulau Rhu, dan di Sungai Kampung Raja.

    “Jeti Penumpang Jabatan Laut Malaysia masih ditutup ekoran Fasa Monsun Timur Laut 2021/2022 yang bermula 3 Nov lepas, dan dijangka berterusan sehingga Mac ini. Hujan berterusan, angin kencang dan laut bergelora berisiko mengancam keselamatan bot-bot untuk beroperasi di laut,” katanya.

    Dalam pada itu, Muhammad Shuhaimi berkata pengusaha bot terbabit boleh dihadapkan ke mahkamah dan dikenakan tindakan saman di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar (OPS) 1952, jika didapati bersalah.

    Beliau berkata orang ramai yang ingin ke pulau-pulau peranginan dinasihatkan agar menggunakan jeti yang sah sahaja, iaitu di Jeti Penumpang Jabatan Laut Malaysia dan memakai jaket keselamatan, manakala pengusaha bot diingatkan tidak membawa lebihan muatan atau penumpang, serta memastikan lesen bot dan lesen nakhoda masih sah, bagi mengelakkan insiden tersebut berulang.

    “JLM akan sentiasa bekerjasama dengan agensi penguat kuasa seperti PDRM dan APMM (Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia), serta mempergiatkan kempen memperbaharui lesen bot sebelum pulau peranginan beroperasi semula pada Mac ini,” katanya.

    — BERNAMA

  • Dipercayai langgar lampu merah, dua beradik koma dirempuh lori

    Dipercayai langgar lampu merah, dua beradik koma dirempuh lori

    DUA  beradik perempuan parah selepas motosikal dinaiki mereka dirempuh sebuah lori kurier di persimpangan lampu isyarat Simpang Ampat, Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ), di Alor Gajah, malam tadi.

    Dalam nahas jam 8.40 malam itu, Anis Athirah Nor Azlan, 28, dan adiknya, Nur Aima Natasya, 19, beralamat di Kampung Anak Ikan Dalam Jabi, Jerteh, Terengganu, parah pada beberapa anggota badan.

    Difahamkan, Anis Athirah yang menunggang motosikal Honda Wave dan dibonceng adiknya, dalam perjalanan dari Ampang, Selangor untuk bertemu tunangnya di sebuah kem tentera di Sungai Udang. Rakaman video nahas berkenaan turut tular dalam media sosial.

    Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu, berkata dua beradik perempuan itu masih koma dan dirawat di Zon Merah Hospital Melaka.

    Katanya, siasatan awal mendapati dua beradik itu dari arah Plaza Tol Simpang Ampat menghala Alor Gajah sebelum membelok ke kanan lampu isyarat, namun pada masa sama datang sebuah lori dari arah bertentangan yang meneruskan perjalanan kerana lampu isyarat hijau dan berlaku pelanggaran di tengah-tengah persimpangan.

    “Akibatnya kedua-dua mangsa perempuan parah di beberapa anggota badan dan dibawa ke Hospital Alor Gajah sebelum dipindahkan ke Hospital Melaka untuk rawatan lanjut. Pemandu dan kelindan lori, kedua-duanya berusia 28 tahun tidak cedera, diminta hadir ke Balai Polis Trafik Alor Gajah untuk siasatan lanjut,” katanya lapor Berita Harian.

    Arshad berkata, kenderaan terbabit nahas itu turut ditahan untuk pemeriksaan di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) dan kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

  • Dua keluarga hilang rumah di pagi Tahun Baharu Cina

    Dua keluarga hilang rumah di pagi Tahun Baharu Cina

    SAMBUTAN Tahun Baru Cina bagi dua keluarga di Taman Permai Jaya, Sibu menjadi kenangan yang tidak dapat dilupakan apabila kediaman mereka musnah dalam kebakaran pukul 1 pagi tadi.

    Selain dua rumah itu, turut terjejas dua lagi unit kediaman di rumah teres dua tingkat bersebelahan.

    Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pada mulanya bomba menerima panggilan berhubung kebakaran kenderaan di garaj salah sebuah rumah itu pada pukul1.13 pagi.

    “Seramai 28 anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Merah dan BBP Sentral Sibu dikejarkan ke lokasi sebaik menerima panggilan.

    “Sejurus tiba di lokasi, didapati api masih marak dan kebakaran kereta itu sudah merebak ke rumah pemiliknya serta dua lagi rumah bersebelahan.

    “Kebakaran itu turut merebak ke rumah keempat namun berjaya dikawal menyebabkan kerosakan rumah terbabit hanya dalam lingkungan lima peratus,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Menurutnya, jiran pada mulanya berusaha memadam kebakaran kereta di garaj rumah teres itu menggunakan alat padam api jenis debu kering, namun usaha mereka gagal.

    “Api kemudian terus marak dan menyambar rumah itu sebelum merebak ke sebuah rumah di sebelah kanan dan kemudiannya melarat ke dua lagi rumah di sebelah kiri.

    “Dua rumah yang mengalami kerosakan teruk didiami penghuni berbangsa Cina dengan sebuah daripadanya musnah 70 peratus, sebuah lagi 30 peratus manakala dua lagi rumah yang didiami penghuni Melayu mengalami kerosakan 10 peratus dan lima peratus,” katanya.

    Menurutnya, semua 25 penghuni empat rumah terbabit berjaya menyelamatkan diri tanpa sebarang kecederaan.

    “Siasatan lanjut masih dijalankan untuk mengenalpasti punca kebakaran kenderaan itu yang kemudian merebak ke rumah,” katanya.

  • 10 cedera, bot pelancong bertembung bot nelayan di Jertih

    10 cedera, bot pelancong bertembung bot nelayan di Jertih

    SEPULUH orang termasuk dua kanak-kanak berusia 11 dan 12 tahun cedera apabila bot pelancong yang mereka naiki bertembung dengan bot nelayan di muara Sungai Besut di Jeti Pelancongan Kuala Besut di sini, petang tadi.

    Ketua Polis Daerah Besut Supt Abdul Rozak Muhammad berkata 21 lagi individu yang menaiki bot pelancong tersebut terselamat dalam kejadian yang berlaku kira-kira pukul 3.30 petang itu.

    “Bot yang dinaiki pelancong tersebut berlepas dari Jeti Pulau Perhentian pada pukul 2.30 petang dan insiden itu berlaku setibanya mereka di Jeti Pelancongan Kuala Besut kira-kira satu jam kemudian,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

    Beliau berkata lima anggota Polis Diraja Malaysia, lapan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dan lapan anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia berserta orang awam terlibat dalam operasi menyelamat mangsa.

    Abdul Rozak berkata insiden tersebut telah dirujuk kepada Jabatan Laut Malaysia untuk tindakan lanjut di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar (OPS) 1952.

    Sementara itu, Pegawai Pertahanan Awam Daerah Besut Kapt (PA) Ramlan Ros Wahid berkata difahamkan insiden berlaku ketika bot pelancong tersebut sedang memasuki kawasan jeti, manakala bot yang dinaiki tiga nelayan ingin keluar dari kawasan itu.

    “Kesemua mangsa berjaya diselamatkan dan menerima rawatan di Hospital Besut serta Klinik Kesihatan Kuala Besut,” katanya.

    — BERNAMA

  • Negeri di Pantai Barat Semenanjung antara lokasi diramal berlaku puting beliung 

    Negeri di Pantai Barat Semenanjung antara lokasi diramal berlaku puting beliung 

    BEBERAPA lokasi di negeri Pantai Barat Semenanjung serta Sabah dan Sarawak adalah diramalkan untuk terjadinya fenomena puting beliung seperti yang berlaku di Perak semalam.

    Pengarah Kanan Pusat Instrumentasi Meteorologi dan Sains Atmosfera Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) Ambun Dindang berkata negeri tersebut turut melibatkan Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Melaka dan Negeri Sembilan.

    “Kita dapati kebanyakan (puting beliung) berlaku di sebelah negeri-negeri di Pantai Barat Semenanjung, dan tidak lupa juga di Sabah dan Sarawak, yang juga pernah melaporkan kejadian seumpama itu.

    “Kebanyakan (yang akan berlaku) di kawasan di persisiran pantai seperti Bintulu, Miri dan Perairan Labuan dan Pantai Barat Sabah. Itu kawasan yang sudah melaporkan kejadian puting beliung dan kawasan ini akan sentiasa berlaku, bila keadaan cuaca sesuai (kehadiran awan kumulonimbus),” katanya ketika dihubungi Bernama.

    Semalam, ratusan rumah mengalami kerosakan akibat angin ribut dan puting beliung di beberapa kawasan di Ipoh, Perak. 

    Ambun berkata, faktor berlakunya kejadian ini disebabkan oleh kehadiran awan kumulonimbus yang besar menyebabkan perolakan yang kuat dalam awan tersebut, seterusnya membentuk corong awan di dasar awan tersebut.

    Ambun berkata amat sukar untuk MetMalaysia meramal kejadian puting beliung di Malaysia kerana ia berlaku pada skala yang kecil dengan jangka hayat yang pendek.

    “Puting beliung sebesar ini dia sekejap sahaja, paling lama pun sejam dia berlaku. Jadi tempoh untuk memantau kejadian ini agak singkat, sebab itu dia agak sukar untuk diramal, tapi kita melihat pembentukan awan kumulonimbus dengan menggunakan imej radar kita yang ada di seluruh Malaysia” katanya.

    Ambun berkata antara tanda awal akan berlakunya puting beliung ialah pembentukan awan yang besar dan dasar awan yang gelap serta corong awan yang menjulur ke bawah.

    Beliau turut menasihati orang ramai untuk sentiasa berwaspada sekiranya berlaku puting beliung, selain elakkan mendekati kawasan tersebut dan mencari perlindungan di tempat selamat.

    — BERNAMA