Category: Kemalangan / Bencana

  • Wanita warga emas rentung dalam kebakaran di Mukah

    Wanita warga emas rentung dalam kebakaran di Mukah

    SEORANG wanita warga emas ditemukan rentung dalam kebakaran sebuah rumah di Kampung Tutus Ulu, Jalan Mukah-Balingian, kira-kira 146 kilometer dari Sibu, tengah malam tadi.

    Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata warga emas berusia dalam lingkungan 80-an dan belum dikenal pasti identitinya itu dijumpai di bawah runtuhan rumah berstruktur tidak kekal itu yang musnah dalam kebakaran yang dilaporkan pada pukul 12.04 tengah malam.

    “Rumah itu didiami enam sekeluarga dengan penghuni lain terdiri daripada empat lelaki dewasa dan seorang wanita dewasa berjaya keluar menyelamatkan diri,” katanya.

    Beliau berkata lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Mukah digerakkan ke lokasi dan berjaya memadamkan kebakaran itu sepenuhnya kira-kira pukul 1.57 pagi.

    Punca dan jumlah kerugian akibat kebakaran itu masih lagi dalam siasatan, katanya.

  • OKU maut terbabas langgar tiang elektrik

    OKU maut terbabas langgar tiang elektrik

    SEORANG lelaki orang kurang upaya (OKU) maut selepas motosikal yang ditunggangnya terbabas sebelum melanggar tiang elektrik dalam kejadian dekat sebuah resort di Port Dickson, pagi semalam.

    Mayat Fandi Aziz, 43, yang kudung kaki kanan itu ditemui orang awam yang melalui kawasan terbabit, kira-kira 10 pagi.

    Timbalan Ketua Polis Port Dickson, Muhamad Mustafah Hussin berkata, difahamkan ketika kejadian, mangsa yang bekerja sebagai penjaga pantai di Teluk Kemang menunggang motosikal SYM Bonus berwarna merah sebelum terbabas sendiri dan maut di tempat kejadian.

    Katanya, kejadian dipercayai berlaku ketika mangsa dalam perjalanan dari pantai menghala resort berkenaan.

    “Sebaik sampai di Jalan Kemang 13, motosikal ditunggang mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum melanggar tiang elektrik di kiri bahu jalan, dan tercampak ke dalam longkang,” katanya dalam kenyataan, lapor Harian Metro.

    Mustafah berkata, mangsa yang parah di kepala disahkan meninggal dunia oleh petugas Hospital Port Dickson.

    “Kemalangan disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih diteruskan,” katanya.

  • 5  termasuk kanak-kanak maut dalam kemalangan di Sibu

    5 termasuk kanak-kanak maut dalam kemalangan di Sibu

    LIMA orang termasuk seorang kanak-kanaklelaki berusia dua tahun dan seorang warga emas, maut dalam satu kemalangan jalan raya di KM64, Jalan Sibu-Bintulu dekat Sibu, hari ini.

    Menurut Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Negeri Sarawak, mangsa maut yang menaiki kereta model Perodua Myvi dikenali sebagai Allesandro Collin Stewart, 2 dan Alicesha Bathrish Langi, 24.

    Beliau berkata, tiga lagi mangsa yang turut terkorban di lokasi kejadian adalah penumpang kereta Kia Sportage dikenali sebagai Marcos Marican, 26, Marican@Langkan Legi, 61, dan seorang lagi lelaki yang belum dapat dikenal pasti identiti.

    “Lima lagi mangsa mengalami kecederaan termasuk seorang daripadanya dilaporkan parah,” katanya dalam kenyataan media hari ini, lapor Berita Harian.

    Menurut beliau, sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Selangau dengan bantuan BBP Sungai Merah bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan pada jam 10.09 pagi.

    “Pasukan bomba kemudiannya bertindak mengeluarkan seorang mangsa wanita yang masih tersepit dalam kereta Perodua Myvi dan pemeriksaan yang dijalankan pasukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ke atas mangsa mengesahkannya sudah meninggal dunia.

    “Seorang lagi kanak-kanak lelaki berusia dua tahun juga dilaporkan mengalami kecederaan parah dan dikejarkan ke Klinik Kesihatan Selangau, namun disahkan meninggal dunia semasa diberikan rawatan di klinik terbabit,” katanya.

    Dalam masa sama, beliau berkata, lima lagi mangsa yang cedera turut dihantar ke Klinik Kesihatan Selangau bagi diberikan rawatan lanjut dengan menggunakan Unit Ambulans KKM.

    Mayat kelima-lima mangsa yang mengalami kecederaan kemudiannya diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut.

  • Jurukamera Channel NewsAsia maut dalam kemalangan

    Jurukamera Channel NewsAsia maut dalam kemalangan

    JURUKAMERA agensi berita Channel NewsAsia, Khairul Azman Zainuddin maut akibat kemalangan motosikal di KM43 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak, Bentong hari ini.

    Ketua Polis Daerah Bentong Supt Zaiham Mohd Kahar berkata kejadian pada 12 tengah hari itu berlaku ketika Khairul Azman, 45, dalam perjalanan menuju Kuala Lumpur dan dia disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala. 

    “Motosikal mangsa dipercayai hilang kawalan lalu melanggar pembahagi jalan sebelum tercampak ke laluan bertentangan dan mangsa juga dilanggar sebuah motosikal di laluan itu yang tidak dapat mengelak,” katanya dalam kenyataan. 

    Penunggang dan pembonceng sebuah lagi motosikal cedera ringan dan dirawat di Hospital Bentong.

    Beliau berkata kemalangan itu sedang disiasat lanjut mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan polis meminta saksi kejadian tampil membantu siasatan dengan menghubungi pusat kawalan daerah (DCC) Ibu Pejabat Polis Daerah Bentong di 09-2222 222

  • 3 maut, 3 cedera dirempuh pemandu dipercayai mabuk ketika berteduh di bawah jambatan

    3 maut, 3 cedera dirempuh pemandu dipercayai mabuk ketika berteduh di bawah jambatan

    TIGA penunggang motosikal maut manakala tiga lagi cedera selepas dirempuh sebuah kereta ketika berteduh di bawah jambatan di Kilometer 19.6  Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) menghala selatan, awal pagi ini.

    Astro Awani melaporkan, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Fakhrudin Ambul Hamid berkata, ujian yang dijalankan ke atas pemandu terbabit mendapati tubuhnya mengandungi alkohol melebihi had dibenarkan.

     Beliau berkata, tiga mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala mereka yang cedera termasuk seorang yang parah dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk mendapatkan rawatan.

    Menurutnya, dalam kejadian pukul 5.59 pagi, kesemua mangsa yang berusia 19 hingga 37 tahun itu berhenti berteduh di lorong kecemasan di bawah jambatan berkenaan kerana hujan.

    “Siasatan awal mendapati pemandu kereta Honda City Hatchback dalam perjalanan dari ibu negara ke Cyberjaya. Setibanya di lokasi kemalangan, kereta yang dipandu suspek hilang kawalan menyebabkan kenderaan itu terbabas serta melanggar enam lelaki yang sedang berteduh di bawah jambatan kerana hujan,” katanya dalam kenyataan.

    Katanya, pemandu kereta itu ditahan bagi membolehkan siasatan mengikut Seksyen 44 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dijalankan.

    Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi pegawai penyiasat trafik, Inspektor Navalan Ravindran di talian 014-2536820 atau mana-mana balai polis berhampiran dengan segera.

  • Budak 8 tahun hilang ketika mandi sungai

    Budak 8 tahun hilang ketika mandi sungai

    SEORANG kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun dikhuatiri lemas selepas hilang ketika mandi di sungai berhampiran Teratak River View Lubuk Hantu, Simpang Empat, Tanjung Malim, Perak.

    Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba Perak, Sabarodzi Nor Ahmad, berkata pihaknya menerima panggilan mengenai kehilangan kanak-kanak itu pada 5.06 petang tadi.

    Katanya, mangsa berpakaian baju renang berwarna hitam bertompok hijau dipercayai hilang ketika mandi di lokasi berkenaan.

    “Setibanya jentera di lokasi, kita terima makluman daripada saksi, seorang kanak-kanak lelaki yang sedang mandi-manda hilang dan dipercayai lemas.

    “Ketika ini operasi mencari dan menyelamat sedang dijalankan dengan bantuan penduduk kampung merangkumi jarak 30m dari lokasi mangsa dipercayai hilang,” katanya.

    Katanya, setakat ini 10 anggota terlibat dalam operasi itu dengan Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) dari Balai Bomba Teluk Intan juga digerakkan ke lokasi.

  • 2 penunggang motosikal maut dirempuh kereta selepas ubah haluan

    2 penunggang motosikal maut dirempuh kereta selepas ubah haluan

    DUA penunggang motosikal maut dirempuh kereta selepas mengubah haluan secara tiba-tiba di Jalan Pintasan Kuantan-Pelabuhan hala Kuantan, di Kuantan pukul 7.52 pagi tadi.

    Mangsa merupakan Yusof Ibrahim yang berusia 58 tahun dari Kampung Baru Sungai Miang, Pekan manakala seorang lagi mangsa, Ismail Jaafar, 61, belum dikenal pasti alamatnya.

    Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd. Zahari Wan Busu berkata, siasatan awal mendapati kedua mangsa terbabit menunggang motosikal Yamaha Y15ZR dari arah Gebeng ke Kuantan.

    Menurutnya, semasa tiba di lokasi kejadian berhampiran Depoh Alam Flora, Kuantan, motosikal mangsa dikatakan mengubah haluan dari lorong kiri ke lorong kanan secara mengejut menyebabkan sebuah kereta dari arah sama di lorong kanan tidak sempat mengelak dan melanggar motosikal terbabit.

    “Akibat pelanggaran itu, kedua mangsa tercampak ke atas jalan dan mengalami kecederaan parah di kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini

    Katanya, mayat kedua mangsa kemudian dihantar ke Unit Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan untuk bedah siasat.

    “Kereta jenis Nissan Almera berkenaan dipandu seorang wanita berusia 32 tahun dan akibat kejadian itu dia mengalami cedera di dada, katanya lapor Berita Harian.

    Katanya, pemeriksaan lanjut mendapati penunggang motosikal tidak mempunyai sebarang lesen memandu manakala cukai jalan motosikal terbabit juga sudah tamat tempoh tiga tahun lalu.

    Tambahnya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

  • Lebih 200 maut, ratusan cedera kereta api bertembung di India

    Lebih 200 maut, ratusan cedera kereta api bertembung di India

    SEKURANG-kurangnya 207 orang terbunuh manakala 900 lagi cedera akibat kemalangan kereta api di wilayah Odisha India pada petang Jumaat, menurut ciapan ketua setiausaha wilayah Pradeep Jena, di Twitter.

    Sebuah kereta api penumpang bertembung koc kereta api lain yang tergelincir di timur India, Xinhua memetik laporan media tempatan.

    Presiden India Draupadi Murmu melahirkan rasa dukacita dan berkongsi kesakitan dan kehilangan orang tersayang.

    “Semoga mangsa yang cedera segera pulih,” menurut ciapan Perdana Menteri Narendra Modi.

    Beliau memberi jaminan bahawa “semua bantuan yang sewajarnya” akan diberi kepada mereka yang terjejas.

  • Bapa maut, dua anak cedera selepas kereta dinaiki jatuh ke dalam gaung

    Bapa maut, dua anak cedera selepas kereta dinaiki jatuh ke dalam gaung

    SEORANG bapa berusia 48 tahun maut dan dua anak perempuannya cedera selepas kereta Perodua Kancil yang dinaiki mereka terjatuh ke dalam sebuah gaung di Kampung Layangan,Labuan malam tadi.

    Mangsa yang meninggal dunia di tempat kejadian dikenali sebagai Abd Rashid Bahari sementara anaknya Nur Aqeesha, 8, dan Nor Izah Batrisyah,10, cedera dalam nahas pada pukul 8 malam itu.

    Ketua Balai Bomba Layangan Huzyman Malikin berkata beliau menerima panggilan kecemasan pada pukul 8.26 malam dan bergegas ke lokasi kejadian.

    Beliau berkata pihaknya mengalami kesukaran untuk mengeluarkan mangsa daripada kenderaan kerana kerosakan teruk pada bahagian depannya.

    “Kami menyerahkan mayat mangsa kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

    Beliau berkata operasi menyelamat selesai pada pukul 9.25 malam.

  • Mayat remaja dibaham buaya ditemukan tanpa kepala, kaki

    Mayat remaja dibaham buaya ditemukan tanpa kepala, kaki

    MAYAT remaja lelaki yang dikhuatiri lemas ketika mandi di Sungai Tinjar di Miri, ditemukan dalam keadaan tidak sempurna oleh penduduk kampung pada awal pagi hari ini.

    Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Negeri Sarawak mengesahkan mayat mangsa ditemukan pada jarak enam kilometer dari lokasi terakhir mangsa mandi berhampiran Rumah Magdeline di Lubok Mulong Melugu Bakong pada pagi Rabu lalu.

    “Ketika ditemukan empat orang penduduk kampung, hanya bahagian badan mangsa sahaja yang dijumpai, tanpa kepala dan kedua-dua belah kaki serta tangan mangsa.

    “Kita percaya bahawa mangsa dipercayai dibaham buaya memandangkan kepala dan kedua-dua belah kaki dan tangan mangsa hilang dengan beberapa kesan gigitan pada tubuh mangsa,” katanya, lapor Harian Metro.

    Beliau berkata, mayat mangsa kemudiannya dibawa ke rumah keluarga mangsa sebelum memaklumkan kepada pihak polis.

    Pada Rabu lalu, mangsa yang dikenali sebagai Agustine Ujang Stewart, 13, sedang mandi di sungai terbabit berhampiran Lubok Mulong dilaporkan hilang dibawa arus deras.