Category: Kemalangan / Bencana

  • Dua pelajar minum air berkarbonat campur spirit meninggal dunia

    Dua pelajar minum air berkarbonat campur spirit meninggal dunia

    DUA pelajar sekolah menengah di Pitas yang berada dalam keadaan kritikal kerana keracunan metanol pada minggu lepas dilaporkan telah meninggal dunia.

    Sinar Harian melaporkan kedua-dua pelajar berusia 17 tahun itu disahkan meninggal dunia masing-masing pada Rabu dan semalam di Hospital Queen Elizabeth (QHE1) dan QHEII di Kota Kinabalu.

    Kematian pelajar pertama dilaporkan pada 4.08 petang kelmarin manakala seorang lagi pelajar pada 4 petang semalam, menurut Ketua Polis Kota Marudu Zairolnizal Ishak.

    “Punca kematian (pelajar pertama ialah) kegagalan fungsi pelbagai organ disebabkan keracunan metanol.

    “Pelajar kedua pula dilaporkan meninggal dunia disebabkan beberapa kecederaan pada otak akibat keracunan metanol,” katanya dalam satu kenyataan.

    Katanya, mayat kedua-dua pelajar itu tidak perlu dibedah siasat memandangkan punca kematian telah diperoleh dan mangsa meninggal dunia semasa menerima rawatan.

    Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

    Dilaporkan pada 9 Jun seramai 20 pelajar sebuah sekolah menengah berasrama di Pitas mengalami keracunan metanol, dipercayai berpunca akibat minum campuran air berkarbonat dan ‘spirit’.

    Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri Sabah (Kesihatan Awam) Dr. Asits Sanna berkata, mangsa berusia antara 13 hingga 17 tahun, dan lapan daripadanya mengalami gejala seperti lemah badan, sakit perut, muntah, kabur penglihatan serta pening kepala, manakala 12 lagi tidak bergejala.

  • Pemandu lori sebabkan kematian polis bantuan dipercayai mengantuk, tiada lesen memandu

    Pemandu lori sebabkan kematian polis bantuan dipercayai mengantuk, tiada lesen memandu

    LETIH dan mengantuk ketika memandu dipercayai menjadi punca seorang pemandu lori hilang kawalan hingga menyebabkan seorang anggota polis bantuan Jambatan Kedua Sdn. Bhd. (JKSB) maut dalam nahas di atas Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah (JSAHMS) di Batu Kawan, Pulau Pinang, awal pagi tadi.

    Lebih mengejutkan, lelaki berusia 26 tahun itu juga didapati tidak memiliki lesen memandu, namun bebas daripada sebarang pengaruh dadah atau alkohol hasil saringan air kencing terhadapnya.

    Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPS), Superintenden Lee Chong Chern berkata, kejadian itu berlaku selepas seorang wanita yang memandu kereta Perodua Viva memberhentikan keretanya di lorong kecemasan di Kilometer (KM) 11.6 jambatan berkenaan kerana mengalami kerosakan kira-kira pukul 8.30 pagi itu.

    Ekoran itu, katanya, mangsa, Musyiri Bakar, 49, tiba tidak lama kemudian bersama kenderaan Toyota Hilux yang diletakkan di belakang Perodua Viva itu untuk memberikan bantuan kecemasan.

    Bagaimanapun, jelasnya, ketika mangsa sedang berjalan ke arah kereta Perodua Viva itu, sebuah lori datang dari arah belakang dan melanggar Toyota Hilux tersebut sebelum ia menggelonsor dan mengenai mangsa yang sedang berdiri di antara kenderaannya dan pembahagi jalan.

    Lee Chong Chern

    “Akibatnya, mangsa tersepit sebelum terpelanting ke lorong motosikal dan dilanggar pula oleh seorang penunggang motosikal yang kebetulan melalui jalan itu.

    “Mangsa bagaimanapun meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah,” katanya kepada pemberita hari ini.

    Menurut beliau, hasil bedah siasat yang dijalankan di Unit Forensik Hospital Sungai Bakap kemudian mendapati punca kematian mangsa disebabkan pelbagai kecederaan yang konsisten akibat pelanggaran kenderaan motor.

    Jelasnya, penunggang motosikal yang melanggar mangsa pula kini sedang dirawat di Hospital Pulau Pinang (HPP) manakala pemandu Perodua Viva berusia 39 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.

    “Kes tersebut kini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

    Tambah beliau, keempat-empat kenderaan yang terlibat termasuk kereta Perodua Viva serta motosikal yang melanggar mangsa turut mengalami kerosakan akibat kejadian berkenaan.

  • Suami alami tekanan perasaan tak hirau isteri meninggal dalam rumah

    Suami alami tekanan perasaan tak hirau isteri meninggal dalam rumah

    Oleh RIZQI ZABIDI

    SEAKAN tiada apa yang berlaku, seorang lelaki dipercayai mengalami tekanan perasaan, selamba duduk di meja depan rumahnya sambil menemani anaknya yang juga orang kurang upaya (OKU) autisme berusia 9 tahun menjamah nasi, ketika jasad isterinya terkulai di dalam bilik.

    Menurut Ruhaina Radzali, 41, dia hadir ke rumah pasangan tersebut di Pekan Ayer Hitam dekat Jerlun, Kedah kira-kira pukul 12.15 tengah hari bagi menghantar nasi ayam dimasaknya sebagai bekalan makanan tengah hari keluarga itu.

    Katanya, isteri lelaki tersebut yang juga OKU lembam, Nur Syahani Safarina Ibrahim, 42, merupakan birasnya dan dia memang selalu menghantar makanan kepada keluarga tersebut.

    “Sebaik tiba di rumah mereka, saya bertanyakan lelaki itu di mana isterinya. Dengan selamba lelaki itu mendakwa isterinya tiada kerana sudah mati.

    “Saya terkejut mendengarnya dan bertanyakan sekali lagi mengenai perkara itu. Lelaki tersebut lalu menyuruh saya masuk ke rumah untuk melihat keadaan isterinya sendiri jika tidak percaya,” katanya.

    Berikutan itu katanya, dia masuk ke dalam rumah tersebut dan ternampak wanita berkenaan terkulai di tepi katil dengan kepalanya terlentok atas tilam.

    “Saya memanggilnya beberapa kali namun tiada maklum balas. Apabila saya memegangnya, badannya sudah sejuk.

    “Ekoran itu, saya berlari ke rumah jiran sebelum memaklumkan kejadian itu kepada petugas klinik kesihatan berhampiran. Petugas yang hadir bersama ambulans kemudiannya mengesahkan Nur Syahani sudah meninggal dunia,” katanya.

    Ruhaina menambah, suami Nur Syahani asalnya seorang yang sihat dan mula bercakap sendirian dan kerap menjerit siang malam sejak berhenti kerja dari sebuah pasar Raya kira-kira setahun lalu.

    “Memang dia sering bercakap seorang diri dan sukar difahami tetapi tak pernah pula dia dilihat memarahi isterinya,” katanya.

    Dalam pada itu Ketua Polis negeri, Datuk Fisol Salleh berkata, setakat ini kes tersebut diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR).

    “Pemeriksaan dijalankan termasuk oleh Unit Forensik mendapati tiada unsur-unsur jenayah, pergelutan mahu pun darah di lokasi kejadian.
    Selain itu keluarga wanita berkenaan memaklumkan mangsa ada mengadu terasa penat semalam dan dia dikatakan memang menghidap penyakit semput selain kencing manis.

    “Suami wanita itu turut dibawa ke balai polis untuk siasatan lanjut. Jasad wanita berkenaan kemudiannya dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk dibedah siasat,” katanya.

  • Penunggang Ducati maut jatuh ‘flyover’ elak motosikal lawan arus

    Penunggang Ducati maut jatuh ‘flyover’ elak motosikal lawan arus

    SEORANG lelaki maut selepas tercampak daripada motosikal berkuasa tinggi yang ditungganginya sebelum jatuh dari jejambat (flyover) di susur Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (SUKE) menghala Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) di Ampang hari ini.

    Penunggang motosikal jenis Ducati berkenaan dipercayai cuba mengelak sebuah motosikal lain yang melawan arus, sebelum mangsa terbabas dan terjatuh ke bawah jejambat itu, lapor Sinar Harian.

    Video dan gambar yang memaparkan kemalangan berkenaan tular dalam media sosial.

    Kes berkenaan masih dalam siasatan dan Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail akan mengeluarkan kenyataan media dalam masa terdekat.

    Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail, akan mengeluarkan kenyataan rasmi dalam masa terdekat selepas hasil siasatan awal diperoleh daripada Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Daerah Ampang Jaya.

    Terdahulu rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berdurasi 12 saat memaparkan motosikal melawan arus tular di media sosial.

    Sejurus selepas itu, motosikal berkuasa tinggi dilihat hilang kawalan sebelum melanggar penghadang jalan dan terpelanting ke bawah.

  • OKU rentung terperangkap dalam kebakaran

    OKU rentung terperangkap dalam kebakaran

    SEORANG wanita orang kurang upaya (OKU) ditemui rentung selepas rumahnya terbakar di Kampung Gong Datuk, Kuala Nerus, Terengganu.

    Dalam kejadian pukul 11.50 pagi, Senik Abdullah, 60, disahkan meninggal dunia selepas gagal menyelamatkan diri.

    Timbalan Pengarah Bomba Terengganu, Mohd. Khairiri Mat Resad @ Arshad, berkata pihaknya menerima panggilan 12.01 tengah hari sebelum menggerakkan 28 anggota bersama tiga jentera daripada Balai Kuala Nerus, Kuala Terengganu dan Jalan Kota ke lokasi kejadian.

    Beliau berkata, sebaik sampai, api sedang marak membakar rumah berkenaan sebelum kerja-kerja pemadaman segera dijalankan.

    “Api berjaya dikawal kira-kira 20 minit kemudian sebelum kita menemui mayat mangsa dalam bilik. Ketika ini, kerja-kerja pemadaman sedang dijalankan dan punca serta jumlah kerugian masih dalam siasatan.

    “Mayat mangsa dikeluarkan dari lokasi kebakaran pada 2.10 petang sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya menurut Berita Harian.

  • Polis bantuan maut kemalangan ketika bantu kereta rosak di Jambatan Kedua Pulau Pinang

    Polis bantuan maut kemalangan ketika bantu kereta rosak di Jambatan Kedua Pulau Pinang

    SEORANG kakitangan Polis Bantuan Jambatan Kedua Sdn. Bhd. (JKSB) maut selepas terbabit dalam kemalangan ketika membantu pemandu kereta yang rosak di Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (JSAHMS) di Batu Kawan, Pulau Pinang awal pagi tadi.

    Menurut jurucakap JKSB, mangsa, Musyiri Bakar, 49, berada di kawasan berkenaan untuk membantu sebuah kenderaan Perodua Viva yang rosak di tepi jalan di KM11.6 dari arah Batu Kawan menghala ke Batu Maung.

    Bagaimanapun, katanya, sebuah lori lima tan dipercayai hilang kawalan dan melanggar kenderaan peronda (Hilux) menyebabkan mangsa yang berada di hadapan kenderaan berkenaan tercampak ke lorong motosikal.

    “Mangsa kemudiannya dilanggar sebuah motosikal yang turut melalui kawasan terbabit.

    “Bagaimanapun, penunggang motosikal dilaporkan cedera ringan manakala pemandu lori dan pemandu Perodua Viva tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Tambah jurucakap itu, pihak JKSB masih menunggu siasatan lanjut daripada polis berhubung kejadian berkenaan.

    Difahamkan, jenazah Musyiri akan dibawa ke Masjid Jamek Tasek Junjung, Simpang Empat dekat sini untuk disolatkan dan dikebumikan petang ini.

  • Pemandu rentung treler terbabas dalam longkang

    Pemandu rentung treler terbabas dalam longkang

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG pemandu treler rentung selepas terlibat kemalangan di Kilometer 109 Lebuhraya Pagoh-Yong Peng dekat Batu Pahat tengah malam tadi.

    Orang awam yang menyaksikan kejadian itu memaklumkan kepada pihak polis pukul 12.40 tengah malam.

    Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, kemalangan dipercayai berlaku semasa treler dipandu mangsa dari arah Kuala Lumpur menghala ke Johor Bharu.

    “Apabila sampai di tempat kejadian hilang kawalan dan terbabas masuk ke dalam longkang sebelah kiri jalan lalu terbakar.

    “Akibat daripada kemalangan tersebut pemandu treler terbakar keseluruhan badan dan meninggal dunia ditempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan di Batu Pahat hari ini.

    Beliau berkata, mayat dihantar ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) Batu Pahat dan bedah siasat akan dijalankan bagi mengetahui punca kematian.

    Tambahnya, kes disiasat mengikut seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

    “Sekiranya mana-mana saksi awam terlihat kejadian kemalangan boleh tampil ke Balai Polis Trafik Batu Pahat atau berhubung dengan pegawai penyiasat di talian 07- 4327704,” ujar beliau.

    Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pagoh, Penolong Penguasa Bomba Mohd. Fadli Ismail berkata, seramai 17 anggota dari BBP Pagoh dan BBP Bukit Gambir dikejarkan ke tempat kejadian.

    “Mereka dibantu dua jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS). Treler berkenaan yang terbabas telah terbakar 80 peratus daripada keseluruhan kenderaan tersebut.

    “Terdapat seorang mangsa rentung di bahagian tempat duduk pemandu. Pihak bomba mengeluarkan mangsa dan menyerahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. Operasi selesai pada jam 3.13 pagi,” katanya.

  • 2 beradik maut kereta dirempuh lori tangki

    2 beradik maut kereta dirempuh lori tangki

    DUA beradik maut selepas kereta dinaiki mereka dirempuh lori tangki membawa muatan petroleum berhampiran lampu isyarat Felda Lepar Hilir di Jalan Kuantan-Segamat, Kuantan malam tadi.

    Ketua Polis Kuantan, Wan Mohd Zahari Wan Busu, berkata mereka yang maut ialah Siti Mazurah Zulkifli, 30, dan Siti Nur Alia Saffiyah, 18, berasal dari Felda Lepar Hilir Satu.

    “Kemalangan pada 11 malam itu dipercayai berlaku apabila lori tangki yang dalam perjalanan ke sebuah stesen minyak di Gambang hilang kawalan dan terbabas ke laluan bertentangan lalu merempuh kereta mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Kejadian berlaku ketika hujan itu menyebabkan kereta dipandu Nur Alia Saffiyah terperosok ke bawah lori tangki dan kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

    Zahari berkata, pemandu lori tangki berusia 31 tahun ditahan bagi membantu siasatan dan ujian saringan air kencing yang dilakukan negatif.

    Mayat mangsa dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk bedah siasat dan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

  • Tiga maut dalam dua nahas berasingan

    Tiga maut dalam dua nahas berasingan

    SEORANG lelaki maut dalam satu nahas membabitkan sebuah kereta Perodua Viva dengan sebuah lori balak tanpa muatan di Jalan Temerloh – Mentakab, Temerloh, pagi tadi.

    Pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada pukul 6.39 pagi sebelum tujuh anggota termasuk seorang pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BPP) Temerloh bergegas ke lokasi kejadian.

    Pegawai Perhubungan Awam, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, kemalangan melibatkan lori balak tanpa muatan melanggar sebuah kereta Perodua Viva.

    “Berikutan kejadian itu, mangsa tersepit dan meninggal dunia di lokasi kejadian. Bagaimanapun, pemandu lori hanya mengalami cedera ringan,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

    Katanya, Komander Operasi melaporkan, pasukan Bomba telah melakukan kerja-kerja mengeluarkan mangsa menggunakan peralatan khas.

    “Mangsa telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan susulan,” jelasnya, lapor Astro Awani.

    Lori balak tanpa muatan yang terlibat dalam nahas di Jalan Temerloh - Mentakab, di Temerloh, pagi tadi. - Foto JBPM

    Lori balak tanpa muatan yang terlibat dalam nahas di Jalan Temerloh – Mentakab, di Temerloh, pagi tadi. – Foto JBPM

    Sementara itu, dalam kejadian berasingan, dua wanita maut dalam kemalangan membabitkan kereta Proton Wira dengan lori tangki minyak di Jalan Gambang – Kampung Lepar Hilir, di Kuantan, semalam.

    Mangsa, Siti Nur Alia Saffiyah Zulkifli, 18, dan kakaknya Siti Mazurah, 30, dari Felda Lepar Hilir, yang menaiki kereta Proton Wira maut di tempat kejadian manakala pemandu lori tangki berusia 31 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.

    Zulfadli berkata, seramai lapan anggota termasuk pegawai dari BBP Taman Tas termasuk pasukan Bomba bantuan dari BPP Indera Mahkota dikejarkan ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada pukul 11.21 malam.

    Kedua-dua mangsa tersepit dalam nahas di Jalan Gambang - Kampung Lepar Hilir. - Foto JBPM

    Kedua-dua mangsa tersepit dalam nahas di Jalan Gambang – Kampung Lepar Hilir. – Foto JBPM

    “Berikutan kemalangan itu, kedua-dua mangsa tersepit. Pasukan Bomba melakukan kerja-kerja menyelamat menggunakan peralatan khas.

    “Namun, wanita itu disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh petugas kesihatan yang berada di lokasi kejadian, dan mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” jelasnya.

    Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd. Zahari Wan Busu, berkata pihak polis tidak menolak kemungkinan siasatan awal mendapati kemalangan berlaku kerana kecuaian pemandu lori tangki mengawal kenderaan ketika memandu.

    “Kejadian itu menyebabkan lori tangki terbabit merempuh Proton Wira dinaiki dua beradik terbabit sehingga menyebabkan mangsa tersepit, dan meninggal dunia di lokasi kejadian.

    “Berdasarkan siasatan awal, keadaan jalan lurus, sistem jalan satu lorong satu hala, permukaan jalan rata tetapi permukaan jalan basah kerana hujan,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

    Tambahnya, pemandu lori itu turut ditahan untuk siasatan lanjut tetapi ujian saringan air kencing dijalankan terhadap lelaki terbabit mendapati ketika kejadian bebas daripada pengaruh dadah.

  • Wanita Malaysia, anak 3 tahun maut dalam kebakaran di Toronto

    Wanita Malaysia, anak 3 tahun maut dalam kebakaran di Toronto

    SEORANG wanita Malaysia dan anak perempuannya berusia tiga tahun maut, manakala suaminya cedera parah, dalam kebakaran yang memusnahkan kediaman mereka di Kanada.

    Melissa Archana John, 38, maut pada hari kejadian manakala anaknya, Aria Jeanne Phoenix, meninggal dunia sehari kemudian akibat kecederaan yang dialami apabila rumah mereka di Brampton, Toronto, terbakar pada 2 Jun.

    Suami Melissa, Omar Watson, yang cedera parah kini berada dalam keadaan koma.

    Sepupu Melissa, Philip Subash, yang mengesahkan kejadian itu, memberitahu FMT bahawa ibu bapanya, Eappen K. John dan Daisy Mathews, sedang mendapatkan visa untuk terbang ke Kanada sesegera mungkin.

    “Ibu bapanya hanya tahu tentang kejadian itu empat hari kemudian selepas tidak mendengar khabar daripada Melissa selama beberapa hari. Mereka menghubungi kakak Watson, yang kemudian menyampaikan berita tragis itu.

    “Aria dan Watson masih hidup ketika bomba mengeluarkan mereka dari rumah (yang terbakar).

    “Aria meninggal dunia pada keesokan harinya, manakala Omar masih dalam keadaan koma di hospital,” ujarnya lagi.

    Menurut Philip, punca kebakaran masih disiasat.

    Beliau berkata, pengebumian mereka akan diuruskan selepas pihak berkuasa di Kanada mengenal pasti mayat Melissa.