Category: Kemalangan / Bencana

  • Dua bot berlanggar, juragan maut selepas jatuh dalam laut

    Dua bot berlanggar, juragan maut selepas jatuh dalam laut

    SEORANG lelaki warga asing disahkan meninggal dunia di wad kecemasan hospital di Semporna selepas terjatuh di laut selepas bot dikendalikannya dilanggar sebuah bot tambang berdekatan perairan Jeti Balimbang, Pulau Bum Bum semalam.

    Ketua Polis Daerah Semporna, Supt Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, ketika kejadian pada 7.20 malam itu, mangsa berusia 50 tahun mengendalikan sebuah bot kecil serta tidak berlampu sebelum dilanggar sebuah bot tambang dinaiki tujuh penumpang.

    “Pada 8.31 malam, polis bertugas di Balai Polis Pulau Bum Bum menerima laporan berhubung kejadian iaitu mangsa menaiki sebuah bot dari arah Pulau Bum Bum menuju ke Pekan Semporna sementara bot tambang dikendalikan seorang lelaki warga asing berusia 20 tahun itu dari Pekan Semporna ke Pulau Bum Bum.

    “Impak pelanggaran itu, bot mangsa pecah di bahagian belakang serta enjin bot jatuh ke laut termasuk mangsa, dan penumpang bot tambang bertindak pantas menyelamatkan mangsa, setelah kejadian itu mangsa dibawa ke hospital namun lebih sejam kemudian mangsa yang mengalami kecederaan lebam di perut selain di lengan kanan disahkan meninggal dunia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Dalam pada itu, katanya, polis membuka satu kertas siasatan di bawah Seksyen 304 A Kanun Keseksaan berhubung kejadian itu, selain juragan bot tambang berkenaan ditahan pada hari sama kejadian dan direman selama empat hari sehingga 10 Mei ini bagi membantu siasatan.

    Sementara itu, Mohd Farhan berkata, orang ramai yang melihat kejadian itu supaya menyalurkan maklumat kepada pegawai penyiasat kes Insp Muhammad Nur Faez Hazreeq dengan menghubungi talian 089-781222 atau tampil ke balai polis berdekatan.

    Di samping itu, Mohd Farhan turut mengingatkan pemilik bot atau juragan supaya memastikan keselamatan bot terjamin termasuk memasang lampu bot pada waktu malam serta menyediakan jaket keselamatan. – BERNAMA

  • Pemotong rumput maut dirempuh MPV dipandu remaja 16 tahun

    Pemotong rumput maut dirempuh MPV dipandu remaja 16 tahun

    SEORANG pekerja pemotong rumput maut manakala rakannya cedera parah selepas dirempuh sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di Jalan Pintasan Semeling, berhampiran Taman Malinja dekat Bedong, hari ini.

    Ketua Polis Daerah Kuala Muda, ACP Zaidy Che Hassan berkata, mangsa yang maut itu lelaki dikenali sebagai Cinglowpa, 20, yang berasal dari Myanmar manakala rakan senegaranya, Jamal Husson Fozol Haque, 33, patah bahu bahagian kanan.

    “Sebelum kejadian kira-kira 11 pagi itu, Cinglowpa sedang berehat di bahu jalan manakala rakannya sedang duduk di atas motosikal jenis Honda Wave yang diparkir di situ selepas bekerja.

    Secara tiba-tiba, MPV jenis Perodua Alza yang dipandu laju remaja lelaki berusia 16 tahun telah hilang kawalan sebelum terbabas ke bahu kiri jalan dan melanggar pokok. MPV itu kemudian terus melanggar kedua-dua mangsa,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

    Beliau berkata akibat pelanggaran itu, mangsa maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala manakala remaja berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan.

    “Mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), Sungai Petani untuk proses bedah siasat dan mangsa yang cedera parah juga telah dihantar ke hospital sama untuk rawatan lanjut.

    Remaja berkenaan telah ditahan untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – BERNAMA

  • Lebih lapan jam bomba padam kebakaran gudang simpan bahan kimia

    Lebih lapan jam bomba padam kebakaran gudang simpan bahan kimia

    PASUKAN bomba mengambil masa lebih lapan jam untuk memadam kebakaran di sebuah gudang menyimpan bahan kimia di Kawasan Perindustrian Valdor di Sungai Bakap, di Nibong Tebal hari ini.

    Pegawai Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang Mohamad Tarmizi Abdul Salam berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 5.45 pagi dan jentera pertama dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Bakap digegaskan ke lokasi kejadian.

    “Ketika bomba tiba, api sedang marak dan peratusan kebakaran pada masa itu (ketika sampai ke lokasi) dianggar lebih 70 peratus iaitu membabitkan tiga bahagian struktur tempat penyimpanan di situ.

    “Gudang itu berkeluasan 3,716 meter persegi yang menyimpan pelbagai bahan kimia dan cecair mudah terbakar sekali gus menyebabkan api cepat merebak,” katanya ketika dihubungi hari ini.

    Beliau berkata lebih 100 pegawai dan anggota bomba dibantu Pasukan Bomba Sukarela (PBS) bersama 10 jentera terlibat dalam operasi pemadaman.

    Mohamad Tarmizi berkata setakat 5 petang tadi, operasi pemadaman sudah di peringkat akhir dan pihaknya sedang melakukan kerja-kerja ‘overhaul’ bagi memastikan api serta bara padam sepenuhnya.

    Beliau berkata kejadian tidak menyebabkan kemalangan jiwa atau kecederaan manakala punca serta jumlah kerugian sedang disiasat.

    “Cuma sebuah jentera bomba PBS yang terlibat dalam operasi itu nyaris terbakar akibat terkena serpihan letupan daripada api yang sedang marak,” katanya.

    — BERNAMA

  • Remaja dikhuatiri lemas, tiga selamat dihanyut arus

    Remaja dikhuatiri lemas, tiga selamat dihanyut arus

    SEORANG remaja lelaki dikhuatiri lemas manakala tiga lagi selamat selepas mereka dihanyutkan arus semasa mandi di kawasan rekreasi Pasir Puteri, Sungai Lembing di Kuantan hari ini.

    Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata mangsa Amirun Mohamad, 14, dari Jabor, Terengganu difahamkan ke lokasi kejadian bersama ahli keluarganya sekitar 2 petang untuk berkelah. 

    “Mangsa didakwa turun mandi bersama tiga ahli keluarga sebelum mereka didakwa dihanyutkan arus deras ke tempat dalam kira-kira pukul 2.30 petang.

    Orang awam yang berada di lokasi cuba untuk membantu, namun hanya dapat menyelamatkan tiga remaja manakala Amirun terus dihanyutkan ke bahagian hilir sungai dan gagal dilihat,” katanya semasa dihubungi di sini hari ini.

    Wan Mohd Zahari berkata mangsa yang selamat ialah abang mangsa, Mohamad Azri, 17, dan dua sepupunya iaitu Amaluddin Ismail, 13, serta Mohamad Khalid Yusof, 16, kedua-duanya dari daerah ini.

    Sementara itu, Timbalan Pengarah (Operasi) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang Ismail Abdul Ghani operasi mencari dan menyelamat mangsa turut melibatkan Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dari balai Kuantan dan Pekan yang menggunakan teknik selaman bagi mencari mangsa.

    — BERNAMA

  • [VIDEO] Kancil dipandu warga emas rempuh restoran tom yam

    [VIDEO] Kancil dipandu warga emas rempuh restoran tom yam

    ENAM pelanggan termasuk seorang kanak-kanak berusia setahun yang sedang menikmati hidangan di sebuah restoran tom yam di Jalan Hang Li Po, Bukit Baru di Melaka berdepan detik cemas apabila sebuah kereta merempuh masuk restoran tersebut semalam.

    Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, kejadian 7.15 malam itu berpunca apabila kereta jenis Perodua Kancil yang dipandu warga emas lelaki berusia 66 tahun, tertekan pedal minyak lalu merempuh masuk ke dalam restoran tom yam tersebut.

    “Siasatan mendapati pemandu tersebut baru selesai makan di restoran itu dan hendak menghidupkan kenderaan yang diletakkan di ruang parkir di hadapan restoran berkenaan.

    “Bagaimanapun pemandu tersebut tertekan pedal minyak dan menyebabkan keretanya terus merempuh masuk ke dalam restoran lalu melanggar tembok dinding dan beberapa meja makan batu di dalam restoran tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Katanya, insiden itu menyebabkan enam pelanggan berusia setahun hingga 56 tahun yang berasal dari Melaka, Johor dan Pulau Pinang mengalami kecederaan ringan dan dirawat di Zon Hijau Hospital Melaka manakala pemandu tidak mengalami sebarang kecederaan.

    https://youtu.be/kimLoE2xoP4
    Kredit video: Saluran YouTube Viral Online Channel

    Jelasnya, ketika kejadian cuaca baik dan terdapat rakaman sistem kamera litar tertutup (CCTV) serta saksi bebas yang tampil bagi membantu siasatan mengikut Seksyen Rule 10LN 166/58. – BERNAMA

  • Dua beranak maut dalam kemalangan libat lima kenderaan di Gemas

    Dua beranak maut dalam kemalangan libat lima kenderaan di Gemas

    DUA beranak maut selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Avanza dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan membabitkan lima kenderaan di Jalan Besar Palong 4, Gemas dekat Bahau, malam tadi.

    Ketua Polis Daerah Jempol Supt Hoo Chang Hook berkata dalam kejadian 11.50 malam itu mangsa yang maut dikenali sebagai Mohd Azharruddin, 34, dan ibunya, Nor Rohaini, 62, beralamat di Felda Palong 12, mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

    “Siasatan awal mendapati, sebuah MPV jenis Proton Exora dipandu wanita bersama seorang penumpang lelaki dalam perjalanan dari Dungun, Terengganu ke Melaka melalui jalan Palong. Pemandu dipercayai mengantuk dan keletihan menyebabkan kereta dipandu hilang kawalan.

    “Kereta itu kemudiannya dipercayai merempuh tayar belakang sebelah kanan lori jenis Nissan UD dipandu lelaki berusia 39 tahun dari arah bertentangan dan melanggar sebuah lagi Proton Exora di bahagian hadapan sisi kanan yang juga dari arah bertentangan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Hoo berkata wanita itu kemudian melanggar sebuah lagi kereta Toyota Avanza dipandu wanita berumur 29 tahun bersama mangsa dan tiga penumpang lain dari arah depan sebelum sebuah lagi kenderaan model yang sama di belakangnya melanggar Proton Exora.

    Beliau berkata lima mangsa lain mengalami kecederaan di bahagian kepala serta patah kaki manakala tiga mangsa lagi tidak mengalami sebarang kecederaan.

    Hoo berkata mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Jempol bagi tujuan bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

    — BERNAMA

  • Tragedi Aidilfitri: 113 maut kemalangan jalan raya

    Tragedi Aidilfitri: 113 maut kemalangan jalan raya

    SEBANYAK 113 kes kematian direkodkan akibat kemalangan jalan raya di seluruh negara dalam Op Selamat setakat semalam, kata Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Razarudin Husain.

    Beliau berkata, sepanjang enam hari Op Selamat yang dilancarkan pada 29 April lalu sempena musim perayaan Aidilfitri itu juga, sejumlah 9,816 kemalangan dilaporkan berlaku di seluruh negara.

    Pada hari pertama operasi berkenaan, sebanyak 2,140 kemalangan direkodkan membabitkan 10 kematian dalam 10 kemalangan maut manakala pada semalam sahaja (hari keenam) sebanyak 1,455 kemalangan direkodkan membabitkan 24 kemalangan maut dengan 24 kematian, katanya ketika dihubungi hari ini.

    Beliau berkata, penunggang dan pembonceng motosikal mencatat jumlah kematian tertinggi dengan 72 kematian, diikuti 30 pemandu dan penumpang kereta, enam pejalan kaki, dua kematian melibatkan pemandu dan penumpang van, dua kematian pemandu dan penumpang kenderaan pacuan empat roda serta satu pemandu atau penumpang teksi.

    Razarudin berkata, Selangor mencatat jumlah kemalangan tertinggi dengan 2,160 kes, diikuti Johor (1,372 kes), Perak (982 kes), Kuala Lumpur (875 kes), Pulau Pinang (803 kes), Kedah (659 kes), Pahang (561 kes) dan Negeri Sembilan (507 kes).

    Katanya, Melaka pula mencatat 405 kes kemalangan jalan raya diikuti Kelantan (484 kes), Sarawak (319 kes), Sabah (311 kes), Terengganu (303 kes) dan Perlis (75 kes).

    “Jalan bandaran mencatat jumlah kemalangan tertinggi dengan 3,876 kes, diikuti Jalan Persekutuan dengan 2,148 kes, jalan negeri (1,937 kes) dan lebuh raya (1,043 kes),” katanya.

    Sepanjang tempoh itu juga katanya, sebanyak 26,837 saman bagi enam kesalahan utama dikeluarkan kepada pengguna jalan raya dengan kesalahan memandu melebihi had laju mencatatkan saman tertinggi iaitu 25,582 saman. – BERNAMA

  • Anggota tentera maut tidak sempat jumpa isteri baru bersalin

    Anggota tentera maut tidak sempat jumpa isteri baru bersalin

    HASRAT seorang anggota Tentera untuk menemui isteri baru bersalin tidak kesampaian setelah maut dalam kemalangan di Kilometer 46 Jalan Alor Setar-Butterworth, malam tadi.

    Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, kejadian berlaku jam 8.15 malam ketika itu mangsa Muhammad Izzat Jefree, 27, dalam perjalanan pulang ke rumah.

    “Mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha R25 datang dari arah Bedong menghala ke arah ke arah Gurun.

     “Akibat jarak terlalu dekat mangsa tidak nampak sebuah kereta Jenis Honda Accord sedang membelok untuk masuk ke Taman Selesa Bedong merempuh bahagian kiri kereta terbabit.

    “Mangsa terpelanting jatuh ke atas jalan dan maut di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah di kepala dan badan,” katanya menerusi kenyataan, lapor Astro Awani.

    Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk bedah siasat.

    Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

  • Tiga cedera, tujuh selamat, van terbabas di bahu jalan

    Tiga cedera, tujuh selamat, van terbabas di bahu jalan

    TIGA  individu cedera ringan manakala tujuh yang lain selamat selepas van dinaiki mereka terbabas di bahu jalan di Jalan Teluk Nipah, Pulau Pangkor petang tadi.

    Jurucakap Bilik Gerakan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kemalangan tersebut pada 5.02 petang.

    “Kenderaan tersebut dinaiki 10 orang termasuk pemandu. Tiga daripadanya cedera ringan manakala bakinya tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Menurut jurucakap itu kejadian dipercayai berpunca akibat pemandu van berkenaan hilang kawalan ke atas kenderaannya dan usaha mengeluarkan mangsa kemudian turut dibantu orang ramai.

    Beliau berkata mangsa dihantar ke Hospital Pulau Pangkor dan operasi berkenaan tamat pada 5.25 petang.

    — BERNAMA

  • Dua keluarga mangsa banjir dipindahkan ke PPS

    Dua keluarga mangsa banjir dipindahkan ke PPS

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SERAMAI 11 mangsa banjir daripada dua keluarga di Kampung Sri Gambut, Pekan Nanas, Pontian dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) pagi tadi.

    Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Pontian dalam satu kenyataan memberitahu, semua mangsa berkenaan dipindahkan ke PPS di Sekolah Kebangsaan (SK) Melayu Raya kira-kira pada pukul 9.30 pagi.

    “Hujan lebat selama lebih dua jam pada 3.30 pagi tadi mengakibatkan rumah mangsa dinaiki air. Tiada kemalangan jiwa dilaporkan setakat ini. Pemantauan masih dilakukan lima Anggota Pertahanan Awam (APM).

    “APM turut dibantu masing-masing dua anggota polis, anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) selain dua penghulu serta seorang ketua kampung,” menurut kenyataan itu hari ini.