Category: Kemalangan / Bencana

  • Dua beradik lemas ketika mandi sungai

    Dua beradik lemas ketika mandi sungai

    DUA beradik lemas semasa mandi bersama-sama 12 rakannya di Sungai Rayu, Matang, Kuching, tengah hari tadi.

    Mangsa, Lee Huai Fen, gadis berusia 17 tahun dan abangnya, Lee Jun Suhia, 34, lemas dan tenggelam dalam ke sungai berkenaan.

    Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, Tiong Ling Hii berkata, mayat Jun Suhia ditemui pasukan mencari dan menyelamat (SAR) pada 5.48 petang.

    “Mayat mangsa kedua pula ditemui pada 6.43 petang oleh Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) yang melakukan selaman di dasar sungai.

    “Pusat Gerakan Operasi (PGO) JBPM Sarawak menerima panggilan berhubung kejadian itu pada pukul 3.01 petang.

    “Sembilan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Petra Jaya serta enam anggota PPDA dari BBP Batu Lintang dikejarkan ke lokasi,” katanya memetik laporan Harian Metro.

    Tiong berkata, operasi dilakukan dengan melaksanakan pencarian di permukaan serta penyelaman di dasar sungai oleh anggota PPDA.

    Menurutnya, mayat kedua-dua mangsa diserah kepada polis untuk tindakan lanjut.

  • Kepala air: 80 pengunjung air terjun terperangkap

    Kepala air: 80 pengunjung air terjun terperangkap

    PETUGAS Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jasin menyelamatkan kira-kira 80 pengunjung Air Terjun Lama Tiga Budaya, Asahan selepas terperangkap akibat fenomena kepala air hari ini berikutan hujan lebat.

    Komander Operasi Mohd Rizuan Suliman berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada seorang pengunjung pada pukul 1 tengah hari tadi sebelum tiba ke tempat kejadian 27 minit kemudian bersama sebuah jentera dan empat anggota.

    “Setakat ini, 60 pengunjung berjaya dibawa ke tempat selamat manakala 20 pengunjung lagi masih berada di kawasan air terjun berikutan mahu meneruskan aktiviti berkhemah di tempat tersebut.

    “Namun anggota bomba dan polis yang berada di lokasi menasihatkan mereka untuk menangguhkan aktiviti tersebut sehingga keadaan benar-benar selamat,” katanya ketika dihubungi hari ini.

    Katanya, kesemua mangsa diselamatkan dengan menyeberang kawasan sungai yang cetek dengan bantuan anggota bomba dan tiada pengunjung yang cedera dalam kejadian kepala air terbabit. – BERNAMA

  • Anggota badan milik pendaki wanita yang hanyut ditemukan

    Anggota badan milik pendaki wanita yang hanyut ditemukan

    PASUKAN mencari dan menyelamat (SAR) hari ini menemukan anggota badan manusia dipercayai milik seorang daripada dua pendaki wanita yang dihanyutkan kepala air semasa mendaki di Gunung Suku, Simpang Pulai di Ipoh semalam.

    Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Muhammad Shahrizal Aris berkata, anggota badan itu ditemukan di bawah timbunan kayu pada 10.20 pagi.

    “Kita telah menjumpai separuh anggota badan mangsa yang tidak dapat dikenal pasti lagi milik siapa dan Pasukan Khas Taktikal Operasi Penyelamat Malaysia (STORM) telah membawa turun anggota badan itu seterusnya dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, di Ipoh untuk tindakan selanjutnya.

    “Anggota badan itu ditemukan di lokasi berbeza dari lokasi sebelah kaki yang ditemukan petang semalam. Anggota badan itu dijumpai di kawasan bawah manakala kaki dijumpai di kawasan air terjun iaitu di kawasan atas,” katanya kepada pemberita di Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) di Kampung Pos Atap Baru di Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands, di Ipoh hari ini.

    Beliau berkata, operasi SAR diteruskan hari ini bergantung kepada keadaan faktor cuaca iaitu operasi akan berhenti sementara sekiranya hujan.

    Muhammad Shahrizal berkata, seramai 53 anggota penyelamat terlibat dalam operasi itu terdiri daripada bomba, polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Perhutanan Negeri Perak, Persatuan Malim Gunung Negeri Perak serta Unit Komunikasi RCRC Cameron Highlands.

    Terdahulu, kelihatan pasukan SAR membawa keluar anggota tubuh berkenaan kira-kira 11.30 pagi tadi dan diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.

    Semalam, Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalathrash Wahid dilaporkan berkata kedua-dua wanita itu dikenali sebagai See Su Yen, 32, dan Ng Yee Chew, 46 tahun.

    Beliau berkata, semasa kejadian kira-kira 5 pagi, sekumpulan 29 pendaki gunung telah mendengar bunyi air dan tanah runtuh di atas gunung lalu mengambil keputusan untuk berpatah balik.

    Namun, semasa dalam perjalanan turun ke kaki bukit, kepala air menimpa kumpulan pendaki tersebut dan dua orang pendaki gunung wanita itu yang berasal dari Cheras dan Klang, Selangor dipercayai telah dihanyutkan arus deras. – BERNAMA

  • [VIDEO] Siasat polis langgar kenderaan awam di pusat beli-belah

    [VIDEO] Siasat polis langgar kenderaan awam di pusat beli-belah

    POLIS akan menyiasat video tular membabitkan kemalangan kenderaan orang awam dengan kenderaan polis yang sedang mengiringi orang kenamaan (VIP) di hadapan sebuah pusat membeli belah, di Kuala Lumpur, kelmarin.

    Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd. Salleh berkata, pihaknya sudah menerima dua laporan polis berhubung kejadian tersebut.

    “Setakat ini kedua-dua pemandu kenderaan berkenaan sudah tampil membuat laporan polis. Siasatan lanjut kes itu sedang dijalankan.

    “Kita meminta kerjasama saksi yang melihat kejadian itu supaya hadir ke Balai Polis Trafik Kuala Lumpur bagi membantu siasatan.

    “Orang ramai yang mempunyai maklumat juga boleh menghubungi Balai Polis Trafik Jalan Tun H S Lee di talian 03-2071 9999 atau Hotline JSPT Kuala Lumpur di talian 03-20260267/69 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya dalam kenyataan, hari ini, lapor Harian Metro.

    https://www.tiktok.com/@mariaasren/video/7097829972634570010?is_copy_url=1&is_from_webapp=v1

    Terdahulu, satu video berdurasi satu minit 47 saat di Tik Tok memaparkan seorang wanita yang mendakwa kenderaannya dilanggar sebuah kenderaan polis yang sedang mengiringi VIP di sebuah pusat beli-belah tular semalam.

  • Maut ketika mahu ambil kasut futsal di rumah

    Maut ketika mahu ambil kasut futsal di rumah

    SEORANG remaja lelaki maut selepas terlibat kemalangan semasa mahu mengambil kasut futsal di Batu 8 Jalan Gombak Lama, Gombak, semalam.

    Semasa kejadian pada pukul 8.45 malam itu, mangsa yang berusia 18 tahun menunggang motosikal jenis Yamaha LC dari arah Batu 10.

    Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Zainal Mohamed Mohamed berkata, mangsa sebelum itu mahu bermain futsal di Titiwangsa.

    “Ketika sampai di Batu 7, mangsa berpatah balik ke Batu 10 kerana tertinggal kasut futsal.

    “Dalam perjalanan pulang ke Batu 10, mangsa telah hilang kawalan disebabkan jalan basah sebelum terbabas dan terjatuh di lorong bertentangan,” katanya dalam kenyataan, hari ini, lapor Sinar Harian.

    Zainal Mohamed berkata, kemudian sebuah kereta Myvi tidak sempat mengelak terus melanggar mangsa.

    “Akibat kemalangan tersebut, mangsa cedera parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian serta dibawa ke forensik Hospital Selayang untuk dibedah siasat,” katanya.

    Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

    “Orang ramai yang melihat atau mempunyai maklumat mengenai kemalangan ini diminta tampil membantu siasatan atau menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak di talian 03-61262222,” katanya.

  • Nelayan dikhuatiri lemas selepas candat sotong

    Nelayan dikhuatiri lemas selepas candat sotong

    SEORANG nelayan dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam laut di perairan Chendering, di Kuala Terengganu hari ini.

    Mangsa, T Razali Wok, 74, yang berasal dari Kampung Raja, Chendering, dipercayai terjatuh kira-kira 5.30 pagi ketika dalam perjalanan pulang selepas mencandat sotong bersama tiga rakan termasuk tekong.

    Pengarah Maritim Terengganu Kapten Maritim Muhammad Suffi Ramli berkata, kehilangan warga emas itu hanya disedari rakannya pada jarak empat batu nautika dari pangkalan di Chendering.

    “Sebaik menerima laporan, Pusat Penyelaras Mencari dan Menyelamat (MRSC) Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat menggunakan bot Perkasa 1234.

    “Usaha mengesan mangsa sedang giat dijalankan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau menasihatkan orang ramai termasuk komuniti nelayan dan maritim supaya sentiasa memakai jaket keselamatan ketika melakukan aktiviti di laut sebagai langkah keselamatan. – BERNAMA

  • [VIDEO] 13 mangsa terperangkap kepala air di Maran

    [VIDEO] 13 mangsa terperangkap kepala air di Maran

    TINDAKAN pantas pasukan bomba berjaya menyelamatkan 13 individu yang terperangkap dalam kejadian kepala air di Lubuk Ujik, Taman Che Minah Sayang, Maran, hari ini.

    Penolong Pe­ngarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Ismail Abdul Ghani berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 2.07 petang, sebelum enam anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Maran digerakan ke lokasi kejadian.

    Beliau berkata, sejurus tiba, pihaknya mendapati terdapat enam orang dewasa dan tujuh kanak-kanak terdiri daripada dua keluarga dari Muadzam Shah, Rompin terkandas dalam kejadian kepala air itu.

    https://www.tiktok.com/@epultowingtemerloh/video/7097891436133125403?is_copy_url=1&is_from_webapp=v1&q=kepala%20air%20maran&t=1652617669726

    “Operasi menyelamat dilaksanakan menggunakan peralatan personal flotation devices (PFD) dan tali dengan cara teknik river crossing. Kesemua mereka berjaya diselamatkan dan operasi tamat pada 4.10 petang,” kata Ismail dalam kenyataan hari ini.- BERNAMA

  • Pemandu van kilang maut rempuh belakang treler

    Pemandu van kilang maut rempuh belakang treler

    SEORANG pemandu van kilang yang dalam perjalanan mengambil penumpang maut selepas merempuh belakang treler di Jalan Tikam Batu, Kota Kuala Muda hari ini.

    Ketua Polis Daerah Kuala Muda, ACP Zaidy Che Hassan berkata, Ramli Abdul Aziz, 56, maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala.

    “Dalam kejadian pada kira-kira 5.50 pagi itu, mangsa sedang dalam perjalanan dari arah Tikam Batu menghala ke Kota Kuala Muda dipercayai untuk mengambil penumpang.

    “Sampai di lokasi kejadian, mangsa tidak sempat mengelak dan terus melanggar belakang treler yang sedang keluar dari simpang dan berada di bahagian kiri jalan setelah selesai menurunkan barang muatan batu,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata, impak kemalangan itu menyebabkan pemandu van kilang terbabit maut di tempat kejadian manakala pemandu treler yang berumur 31 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.

    “Mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani untuk proses bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – BERNAMA

  • 2 wanita daki Gunung Suku hilang dalam tanah runtuh, kepala air

    2 wanita daki Gunung Suku hilang dalam tanah runtuh, kepala air

    DUA wanita dipercayai dibawa arus deras dalam kejadian tanah runtuh dan kepala air ketika sedang mendaki Gunung Suku di Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands di Ipoh pagi tadi.

    Mangsa dikenali sebagai See Su Yen, 32, dan Ng Yee Chew, 46 tahun.

    Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu pada kira-kira pukul 6.50 pagi.

    “Semasa kejadian pada kira-kira pukul 5 pagi, sekumpulan pendaki gunung seramai 29 orang telah mendengar bunyi air dan tanah runtuh di atas gunung lalu mengambil keputusan untuk berpatah balik.

    “Namun, semasa dalam perjalanan turun ke kaki bukit, kepala air menimpa kumpulan pendaki tersebut dan dua orang pendaki gunung wanita itu yang berasal dari Cheras dan Klang, Selangor dipercayai telah dihanyutkan oleh arus deras,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Sehubungan dengan itu, beliau berkata, satu operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang diketuai oleh Ketua Polis Daerah Ipoh telah dilancarkan dengan dibantu oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Perhutanan Negeri Perak dan Persatuan Malim Gunung Negeri Perak.

    Menurutnya, tempat kejadian adalah di Hutan Simpanan Kekal Gunung Suku yang terletak kira-kira tiga jam perjalanan kaki dari jalan utama iaitu lebih kurang 32 kilometer perjalanan menaiki kereta dari Balai Polis Simpang Pulai.

    Beliau berkata setakat ini operasi SAR masih djalankan dan kedua-dua mangsa masih belum ditemui manakala 27 orang pendaki gunung yang lain ditemui dalam keadaan selamat oleh pasukan penyelamat. – BERNAMA

  • 5 rentung: Pemandu treler diheret ke mahkamah seawal Selasa

    5 rentung: Pemandu treler diheret ke mahkamah seawal Selasa

    PERINTAH reman terhadap pemandu treler bagi membantu siasatan kemalangan yang mengorbankan lima pelajar Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) di Lebuhraya Utara Selatan arah utara di Kuala Kangsar, Rabu lepas, disambung tiga hari lagi bermula esok.

    Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, ACP Omar Bakhtiar Yaacob berkata, lelaki berusia 28 tahun itu dijangka dituduh di mahkamah selewat-lewatnya Rabu depan.

    “Reman dapat disambung selama tiga hari. Suspek dijangka didakwa sama ada Selasa petang atau Rabu pagi,” katanya yang dihubungi hari ini.

    Media sebelum ini melaporkan pemandu treler berkenaan direman bermula Khamis lepas hingga hari ini bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

    Siasatan polis mendapati pemandu itu mempunyai 22 saman trafik dengan daripada jumlah itu, 21 saman telah dibayar termasuk lapan saman berkaitan kesalahan memandu laju.

    Lima pelajar yang maut ialah Muhammad Nasrun Aidol Munir Akbar, 22; Ahmad Naim Najmi Ahmad Hafizan, 21; Iqbal Hasnun Halimi, 23; Muhammad Nabil Haikal Muhammad Fariz, 19, dan Ahmad Akmal Ahmad Mokhlis, 20. – BERNAMA