Category: Kemalangan / Bencana

  • Dua remaja sesat di Gunung Santubong sejak semalam

    Dua remaja sesat di Gunung Santubong sejak semalam

    DUA remaja yang sedang mendaki Gunung Santubong di Kuching, semalam, sesat dan masih belum ditemukan sehingga kini.

    Mereka dipercayai keluar dari trek hutan Permai Rain Forest di gunung tersebut apabila dipercayai tidak mengikuti laluan bertanda.

    Menurut Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian berkenaan pada pukul 6.42 petang.

    “Individu yang membuat laporan itu memaklumkan, dua remaja berumur 19 tahun itu, Gibriel Brodie dan Christian Xavier, disedari hilang ketika berada berdekatan dengan lokasi air terjun.

    “Sejurus menerima maklumat itu, 10 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Petra Jaya bergegas ke lokasi.

    “Operasi mencari dan menyelamat (SAR) diaktifkan bersama tujuh anggota polis serta dua kakitangan Kem Permai,” katanya memetik laporan Harian Metro, hari ini.

    Menurutnya, setibanya di kaunter pendaftaran Kem Permai pada 7.15 malam, komander operasi dimaklumkan, mangsa dipercayai terkeluar dari trek hutan selepas cuba berpatah balik ketika hendak ke lokasi dikenali ‘Blue Pool’.

    “Kedua-dua mangsa hanya dapat dihubungi melalui aplikasi WhatsApp dan pasukan SAR cuba mengesan kedudukan sebenar mereka,” katanya.

    Menurutnya lagi, kedua-dua mangsa cuba membuat unggun api bagi memudahkan pasukan SAR mengesan mereka selain menghantar lokasi menerusi WhatsApp.

    “Bagaimanapun, sehingga tengah malam, kedudukan mereka masih gagal dikesan dan operasi ditangguhkan pada 1.22 pagi.

    “Mangsa dipercayai sudah keluar jauh dari trek sebenar sehingga menyukarkan usaha untuk mengesan mereka,” katanya sambil memaklumkan gerakan SAR diteruskan pagi ini.

  • Empat kenderaan rosak dilanggar bas undur sendiri

    Empat kenderaan rosak dilanggar bas undur sendiri

    EMPAT buah kenderaan rosak selepas sebuah bas yang sedang diparkir tiba-tiba mengundur sendiri lalu melanggar kenderaan berkenaan di pekan Goh Tong Jaya, Genting Highlands, semalam.

    Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd. Kahar memaklumkan, dalam kejadian kira-kira pukul 6 petang itu, bas tersebut diletakkan di hadapan sebuah hotel dengan empat kenderaan yang terlibat diletakkan di tempat letak kereta, lapor Sinar Harian.

    Menurutnya, bas tersebut milik sebuah institut pendidikan perguruan di Kuala Terengganu manakala empat kenderaan yang terlibat terdiri daripada sebuah pacuan empat roda, kenderaan pelbagai guna (MPV), kenderaan utiliti sukan (SUV) dan kereta.

    “Hasil siasatan polis mendapati bas tersebut telah diletakkan di hadapan hotel dalam keadaan enjin dimatikan kira-kira pukul 5 petang sementara pemandunya yang berusia 60 tahun telah keluar untuk beriadah.

    “Pada jam lebih kurang 6 petang, bas itu dipercayai bergerak sendiri secara mengundur dan melanggar empat kenderaan tersebut yang diletakkan di tepi jalan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Ujarnya, kejadian menyebabkan empat kenderaan itu rosak, namun tiada sebarang kecederaan dilaporkan.

    “Kita mohon kerjasama mana-mana pihak yang melihat kejadian ini untuk tampil membantu siasatan,” tambahnya.

  • Pelajar tingkatan dua parah terjatuh dari jejantas

    Pelajar tingkatan dua parah terjatuh dari jejantas

    SEORANG pelajar perempuan tingkatan dua sebuah sekolah menengah di Chukai, Kemaman, Terengganu cedera parah selepas terjatuh dari jejantas setinggi 10 meter di sekolahnya, semalam.

    Ketua Polis Daerah Kemaman, Supt. Hanyan Ramlan berkata jejantas tersebut digunakan pelajar berkenaan kerana ia menghubungkan dua blok akademik yang terletak di seberang jalan. 

    “Mangsa dikatakan mahu pergi ke blok bertentangan selepas selesai mengikuti sesi bacaan Yasin dan terjatuh ketika berada di jejantas tersebut pada 7.30 pagi.

    “Polis yang mendapat laporan terus ke lokasi kejadian dan menghantar mangsa ke Unit Kecemasan Hospital Kemaman untuk rawatan lanjut,” katanya ketika dihubungi pemberita. 

    Hanyan berkata akibat kejadian itu, pelajar tersebut dilaporkan patah pinggang dan beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian itu kerana pihaknya sedang melakukan siasatan terperinci.–Bernama

  • Kereta dinaiki tujuh sekeluarga terjunam dalam sungai

    Kereta dinaiki tujuh sekeluarga terjunam dalam sungai

    TUJUH sekeluarga berdepan detik cemas selepas kereta Proton Exora dinaiki mereka terjunam ke dalam sungai di Jalan Haji Abdul Manan, Klang, Selangor.

    Memetik laporan Sinar Harian, Pengarah Bomba Selangor, Norazam Khamis berkata, dua parah manakala lima yang lain mengalami cedera ringan dalam kejadian pada malam Ahad itu.

    Menurutnya, laporan kejadian diterima pada pukul 11.46 malam dan dipercayai mereka dalam perjalanan dari arah Bukit Kapar ke Rantau Panjang, Klang.

    “Orang awam yang berada di lokasi kejadian telah membantu mengeluarkan lima mangsa dan terdapat dua lagi mangsa yang tersepit pada stereng dikeluarkan pasukan penyelamat.

    “Dua mangsa alami parah iaitu pemandu dan penumpang hadapan. Semua mangsa telah diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk tindakan lanjut,” katanya.

    Katanya, kira-kira 30 minit masa diambil bagi operasi menyelamat itu sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut.

  • [VIDEO] 9 rumah sewa musnah dalam kebakaran

    [VIDEO] 9 rumah sewa musnah dalam kebakaran

    DERETAN sembilan premis rumah sewa satu tingkat musnah hampir 90 peratus dalam kebakaran di Kampung Jenderam Hilir, di Dengkil malam tadi.

    Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, pasukan bomba menerima panggilan kecemasan pada 9.52 malam dan anggota tiba di lokasi pada 10 malam dan kebakaran berjaya dipadamkan sejam kemudian.

    “Anggaran kemusnahan keseluruhan adalah 90 peratus dan tidak melibatkan mangsa. Punca kejadian masih dalam siasatan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

    https://www.tiktok.com/@rosenieja90/video/7102798888322485531?is_copy_url=1&is_from_webapp=v1&q=rumah%20sewa%20jenderam%20hilir&t=1653797169712

    Difahamkan, seramai 25 individu tinggal di rumah sewa berkenaan iaitu 20 dewasa dan lima kanak-kanak termasuk warganegara Indonesia dan Pakistan. – BERNAMA

  • Penolong pegawai tadbir MBSA maut ketika menyelam

    Penolong pegawai tadbir MBSA maut ketika menyelam

    SEORANG kakitangan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) meninggal dunia ketika melakukan aktiviti menyelam bersama rakannya di perairan Tokong Timur, Pulau Tenggol, hari ini.

    Kejadian yang menimpa Puspasari Aminuddin, 37, disedari apabila mangsa ditemui tidak bernafas ketika timbul dari penyelaman.

    Pemandu bot kumpulan itu, Mohamad Sani berkata, mangsa timbul selepas 15 minit di dalam air sedangkan masa diperuntukkan adalah 45 minit.

    Beliau pelik apabila melihat mangsa timbul selepas hanya 15 minit menyelam tetapi tidak berbuat apa-apa kerana fikirkan wanita berkenaan mahu berehat atau mengambil nafas.

    “Apabila melihat mangsa tidak bergerak, saya mula curiga sebelum menghidupkan enjin bot dan pergi mendapatkan mangsa dalam jarak kira-kira 150 meter.

    “Mangsa tidak menunjukkan tindas balas selepas saya mengejutkan beberapa kali sebelum saya menaikkan dia ke atas bot dan memeriksa nadi,” katanya memetika laporan Berita Harian.

    Mohammad berkata, selepas membuat pemeriksaan nadi, mangsa didapati meninggal dunia sebelum segera menghubungi talian kecemasan.

    Mangsa yang juga penolong pegawai tadbir MBSA bersama tiga rakan melakukan aktiviti penyelaman di situ.

    Ketika itu ada lapan penyelam lain juga menyelam di situ.

    “Kami bertolak dari Kuala Dungun pukul 8.30 pagi dan tiba di situ, pukul 9.45 pagi sebelum mangsa serta penyelam lain turun menyelam.

    “Saya dan pembantu saya di atas bot dan 15 minit selepas itu, saya pelik bila melihat mangsa timbul di permukaan air dalam sedangkan masa menyelam diperuntukkan kepada mereka sekitar 45 minit,” katanya.

    Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah, ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung dengan kejadian itu.

    Menurutnya, mangsa bersama tiga rakannya tiba di Dungun malam tadi sebelum bertolak ke kawasan Pulau Tenggol pukul 8.30 pagi ini untuk menyelam di situ.

    “Mangsa dikatakan memiliki sijil menyelam dan menyertai trip harian itu dan dijangka pulang semula ke Dungun pada petang ini.

    “Mayat mangsa dibawa oleh pemandu bot ke Kuala Dungun sebelum dibawa polis ke Bilik Forensik Hospital Dungun untuk siasatan lanjut,” katanya.

  • Naqiu kemalangan dilanggar teksi

    Naqiu kemalangan dilanggar teksi

    PENYANYI Naqiu berhadapan dengan detik cemas apabila mengalami kemalangan setelah langgar oleh sebuah teksi dari arah bertentangan.

    Kemalangan yang berlaku di Putrajaya berlaku kira-kira pukul 8 malam tadi sebaik sahaja dia pulang daripada menjalani latihan untuk persembahan sempena Anugerah Meletop Era yang akan berlangsung esok.

    “Memang kejadian berlaku sangat cepat dan saya hanya perasan apabila beg udara  terkeluar dan kereta mula berasap. Waktu tu saya panik dan tak tahu nak buat apa-apa.

    “Bila keadaan sudah okay barulah saya hubungi pengurus memaklumkan kejadian tersebut. Janhan risau tak ada kecederaan serius pun,” katanya, lapor Satu Berita.

    Namun penyanyi berusia 37 tahun ini mendedahkan beberapa anggota badan termasuklah muka, bahagian dada dan kaki sakit akibat kemalangan tersebut.

    Dalam kejadian itu, dia tidak keseorangan sebaliknya bersama pengawal perhubungan awam syarikat naungannya.

    Kedua-dua mereka sudah pun membuat laporan polis mengenai kejadian tersebut di Sepang dan mendapatkan rawatan di hospital untuk pemeriksaan lanjut.

  • Tragedi mandi sungai:Dua lemas, seorang lagi masih hilang

    Tragedi mandi sungai:Dua lemas, seorang lagi masih hilang

    SEORANG lagi remaja ditemukan lemas ditemukan malam tadi, menjadikan dua mangsa disahkan terkorban dalam kejadian di Sungai Pasir Kelang, Kuala Krai, pukul 4 semalam.

    Mangsa yang lemas adalah Nik Nabila Tuan Tengah, 15, dan, Nik Adib Tuan Tengah, 12, manakala, sepupu perempuan mereka, Ku Nabila Ku Zaid, 15, sehingga kini belum ditemui.

    Semalam, tiga remaja bersaudara yang juga warga Thailand, membabitkan dua perempuan dan seorang lelaki, dengan seorang masih hilang, dikatakan mandi di sungai berkenaan ketika keluar memancing bersama dua lagi rakan mereka.

    Ketua Polis Daerah Kuala Krai Superintendan Suzaimi Mohammad berkata, hasil siasatan mendapati lima individu pergi memancing di tepi Jeti Pengkalan Feri, Pasir Kelang.

    Bagaimanapun, katanya, pada pukul 4.30 petang, tiga mangsa pergi mandi di sungai berdekatan dan secara tiba-tiba dibawa arus sungai.

    “Dua rakan mangsa yang melihat kejadian itu meminta bantuan penduduk kampung sebelum seorang mangsa (Nik Nabila) ditemukan (5.30 petang).

    “Seorang lagi mangsa (Nik Adib) ditemukan pukul 9 malam tadi oleh penduduk kampung, manakala seorang lagi mangsa (Ku Nabila) masih hilang,” katanya memetik laporan Harian Metro, hari ini.

    Suzaimi berkata, pasukan penyelamat terdiri daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) digerakkan pada 5.30 petang untuk operasi mencari dan menyelamat (SAR).

    “Operasi SAR akan disambung dan diteruskan pada 7 pagi esok dengan bantuan penduduk setempat sehingga mangsa ditemui,” katanya.

  • Lelaki ditemukan maut dalam pacuan empat roda

    Lelaki ditemukan maut dalam pacuan empat roda

    SEORANG lelaki ditemukan meninggal dunia dalam sebuah pacuan empat roda yang diparkir berhadapan premis perniagaan di Bandar Raub, Raub, semalam.

    Mangsa, Liew Yoong Kuang, 47 tahun, dijumpai dalam keadaan tidak sedarkan diri oleh orang awam yang melalui premis berkenaan sebelum bertindak mengetuk tingkap dan menggoyangkan kenderaan jenis Nissan Navara terbabit.

    Kejadian itu disahkan Ketua Zon 3 Bomba Pahang, Shahrulnizam Nasir, lapor Astro Awani hari ini.

    “Menyedari mangsa tidak memberi respons, orang awam bertindak menghubungi pihak bomba untuk meminta bantuan bagi membuka pintu pacuan empat roda yang terkunci.

    “Sebaik menerima maklumat pada jam 9.47pagi, sepasukan lapan anggota termasuk seorang pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Raub bergegas ke lokasi kejadian,” katanya.

    Shahrulnizam berkata, setibanya di lokasi, pasukan bomba mendapati terdapat seorang mangsa tidak sedarkan diri dalam pacuan empat roda itu, dengan enjin kenderaan dimatikan.

    Menurutnya, pihak bomba mengambil masa kira-kira lima minit bagi membuka pintu kenderaan berkenaan dengan menggunakan peralatan khas.

    “Setelah operasi membuka pintu berjaya dijalankan, mangsa yang tidak sedarkan diri disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan yang tiba di lokasi kejadian.

    “Mayat mangsa seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” ujarnya.

  • Budak tiga tahun hilang dari rumah rakit

    Budak tiga tahun hilang dari rumah rakit

    SEORANG kanak-kanak berusia tiga tahun dikhuatiri lemas selepas hilang dari Rumah Rakit Atia Sofea, Bukit Rangin, Kuantan, awal pagi ini.

    Kejadian tersebut dilaporkan kepada pihak bomba pada pukul 3.23 pagi sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Indera Mahkota dikejarkan ke lokasi kejadian bagi membantu operasi mencari dan menyelamat.

    Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Pahang berkata, kanak-kanak tersebut dipercayai terjatuh ke dalam sungai.

    “Operasi pencarian dengan menggunakan bot tertumpu di sekitar rumah rakit dan kawasan sungai berdekatan.

    “Bantuan Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) serta Unit Anjing Pengesan K9 turut digerakkan bagi membantu operasi pagi ini. Sehingga kini, mangsa masih belum ditemui,” katanya memetik laporan Astro Awani, hari ini.