Category: Kemalangan / Bencana

  • Lori pecah tayar, brek rosak rempuh tujuh kenderaan

    Lori pecah tayar, brek rosak rempuh tujuh kenderaan

    GARA-gara tayar belakang pecah secara tiba-tiba dan berdepan masalah brek, sebuah lori muatan barang runcit hilang kawalan lalu merempuh tujuh kenderaan lain di Kilometer 81.5 Jalan Ipoh- Butterworth, Butterworth pagi tadi.

    Kejadian yang berlaku sekitar pukul 7.30 pagi itu mengakibatkan empat orang pemandu termasuk seorang penunggang motosikal cedera.

    Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Osman Mamat berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu daripada orang awam yang memaklumkan terdapat lapan kenderaan terbabit dalam kemalangan itu.

    “Kenderaan yang terlibat ialah Proton Saga, Proton Wira, Perodua Axia, Toyota Wald, dua buah Perodua Myvi, Yamaha Ego dan lori jenis Hino.

    “Akibat kemalangan itu, pemandu Perodua Axia, Toyota Wald, Perodua Myvi dan penunggang motosikal mengalami kecederaan, manakala pemandu lain selamat,” katanya seperti dalam laporan Astro Awani, hari ini.

    Beliau berkata, siasatan awal mendapati pemandu lori itu dari arah Kamunting ke Kuala Kangsar.

    “Sampai di tempat kejadian semasa pemandu lori meneruskan perjalanan, tiba-tiba tayar belakang sebelah kirinya pecah.

    “Dalam masa sama lori itu mengalami masalah brek, menyebabkan dia hilang kawalan dan merempuh tujuh lagi kenderaan lain,” katanya lagi.

    Osman berkata, ujian saringan air kencing pemandu lori itu juga negatif.

    “Tiada sebarang tangkapan dibuat, punca kemalangan disebabkan pemandu lori hilang kawalan,” katanya.

    Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

  • 2 warga emas termasuk pesara guru maut kemalangan

    2 warga emas termasuk pesara guru maut kemalangan

    SEORANG pesara guru maut selepas tercampak apabila trak pikap dipandunya terbabit kemalangan dengan dua lagi kenderaan di Kampung Pichin, Kilometer 14, Jalan Tebedu-Serian, Serian, pukul 10.30 pagi tadi.

    Insiden itu membabitkan trak pikap Isuzu Dmax, van dan motosikal turut mengorbankan penunggang motosikal berusia 62 tahun.

    Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak Superintendan Bingkok John berkata, pemandu pikap, Bernard Lohin, 63, dari Kampung Tebedu Mawang disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

    Sementara penunggang motosikal, Mat Lumpeng, 62, dari Kampung Pichin yang parah meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Serian.

    “Pikap yang dipandu pesara guru itu bergerak dari arah Serian menuju ke Tebedu tidak sempat mengelak sebuah motosikal yang tiba-tiba keluar dari simpang.

    “Mangsa terlanggar dan mengheret motosikal itu sebelum bergesel dengan sebuah van lalu terbalik,” katanya memetik laporan Harian Metro.

    Menurutnya, pemandu van tidak mengalami sebarang kecederaan dan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

    Sementara itu, jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 10.52 pagi.

    Menurutnya, tujuh anggota termasuk dari Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Serian bergegas ke lokasi sebaik menerima panggilan itu.

  • Lelaki rempuh suami isteri OKU hingga maut direman empat hari

    Lelaki rempuh suami isteri OKU hingga maut direman empat hari

    SEORANG lelaki yang terlibat dalam kemalangan mengakibatkan kematian pasangan suami isteri Orang Kurang Upaya (OKU) di Jalan Serkam Pantai, Merlimau, Jasin semalam, ditahan reman empat hari bermula hari ini.

    Perintah reman terhadap operator kilang berusia 24 tahun itu dikeluarkan oleh Majistret Nabihah Mohd Noor di Mahkamah Majistret Ayer Keroh di sini.

    Dalam kejadian pada 7.45 pagi itu, pemuda itu yang dipercayai memandu dalam keadaan mabuk telah merempuh motosikal yang dinaiki mangsa Ezuddin Mohammad, 50, dan Surayah Muhamat, 48.

    Seorang penunggang motosikal Ya’akob Mohamad, 57, turut mengalami cedera ringan

    Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.–Bernama

  • Lelaki maut, isteri patah tangan motosikal berkuasa besar langgar lori

    Lelaki maut, isteri patah tangan motosikal berkuasa besar langgar lori

    SEORANG lelaki maut manakala isterinya patah tangan apabila motosikal berkuasa besar yang dinaiki mereka hilang kawalan dan melanggar bahagian tepi sebuah lori di Kilometer 16 Jalan Gula dekat pintu masuk Kampung Lian Seng, di Kerian, pada Isnin.

    S Muraly, 55, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan, manakala M Lechmy, 53, dihantar ke Hospital Taiping untuk rawatan susulan.

    Memetik Astro AWANI, bagaimanapun pemandu lori berusia 54 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan. Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Mazuki Mat berkata, insiden itu berlaku pada jam 10.30 pagi tadi.

    Katanya siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika motosikal berkenaan datang dari arah Teluk Intan menghala ke Kuala Gula.

    “Apabila sampai di tempat kejadian mangsa dipercayai telah gagal mengawal motosikal lalu melanggar bahagian tepi sebelah kanan lori. Ketika kejadian lori berada di hadapannya sedang membelok ke simpang di sebelah kanan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Mazuki berkata kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

  • Suami isteri terbunuh motosikal dirempuh pemandu mabuk di Merlimau

    Suami isteri terbunuh motosikal dirempuh pemandu mabuk di Merlimau

    SEPASANG suami isteri maut selepas motosikal ditunggangi mereka dirempuh sebuah kereta yang dipandu seorang lelaki dipercayai dalam keadaan mabuk di Jalan Serkam Pantai, Merlimau, Melaka hari ini.

    Mangsa Ezuddin Mohammad, 50, dan isterinya Surayah Muhamat, 48, yang menaiki motosikal Yamaha Ego disahkan meninggal dunia dalam nahas kira-kira pukul 7.45 pagi yang melibatkan sebuah kereta jenis Perodua Myvi dan tiga motosikal.

    Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) negeri, Superintendan Amran@Mohamad Zaki Omar berkata, kejadian itu turut mengakibatkan pemandu dipercayai mabuk berusia 24 tahun dan seorang lagi penunggang motosikal Yamaha Lagenda berusia 57 tahun mengalami kecederaan ringan.

      “Kejadian ini melibatkan sebuah kereta yang dipercayai dipandu dibawah pengaruh alkohol serta tiga buah motosikal masing-masing ditunggang pasangan suami isteri yang maut, seorang lelaki berusia 57 tahun dan seorang wanita berusia 55 tahun.

    “Kereta jenis Myvi itu dikatakan hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan yang mana insiden itu menyebabkan dua buah motosikal termasuk motosikal ditunggangi pasangan suami isteri yang berada di laluan itu gagal mengelak dan membrek sebelum merempuh kereta terbabit.

    “Motosikal Yamaha Lagenda yang terlibat turut terbakar sebelum pemandu dipercayai mabuk itu melanggar sebuah motosikal lain yang diletakkan di bahu jalan sebuah rumah berhampiran,” katanya lapor Astro AWANI

    Beliau berkata, kejadian itu menyebabkan pasangan suami isteri itu mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan badan dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

    “Akibat kemalangan itu, pemandu Myvi yang juga operator kilang terbabit mengalami kecederaan di bahagian muka, manakala penunggang motosikal berusia 57 tahun cedera di bahagian badan.

    “Mangsa yang maut dihantar ke Unit Forensik Hospital Jasin bagi proses bedah siasat selain mereka yang cedera dikejarkan ke Hospital Melaka bagi menerima rawatan lanjut,” katanya.

  • Penjawat awam maut dilanggar pemandu mabuk

    Penjawat awam maut dilanggar pemandu mabuk

    SEORANG penjawat awam maut dilanggar pemandu disyaki mabuk dalam nahas di Kilometer 1, Jalan Kuala Dipang- Malim Nawar di Kampar, semalam.

    Dalam kejadian kira-kira jam 11.45 malam itu, mangsa, Mohd Nazri Sham Aring, 42, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan di bahagian dada.

    Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Mohamad Nazri Daud berkata, laporan awal kemalangan membabitkan kereta jenis Perodua Viva yang dipandu mangsa dan Honda Civic yang dinaiki dua lelaki.

     Menurutnya, isteri mangsa berusia 33 tahun cedera ringan manakala anak lelakinya berusia tiga tahun mengalami pendarahan dalaman di bahagian kepala.

    “Hasil siasatan mendapati Honda Civic telah memasuki laluan kenderaan mangsa menyebabkan berlaku pertembungan. Akibat kemalangan itu, mangsa yang bertugas di Pejabat Tanah dan Daerah Kampar maut di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan lapor Sinar Harian.

    Mohamad Nazri berkata, pemandu Honda Civic berusia 29 tahun ditahan selepas disyaki memandu dalam keadaan mabuk semasa kejadian.

    “Suspek direman lima hari bagi membantu siasatan. Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik, Hospital Kampar untuk dibedah siasat. Punca kejadian masih dalam siasatan dan siasatan lanjut diteruskan mengikut Seksyen 44(1)(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

  • Dua maut dalam kemalangan libat tiga kenderaan

    Dua maut dalam kemalangan libat tiga kenderaan

    DUA maut dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Jalan Besar Simpang Renggam- Machap, Kluang, dalam kejadian kira-kira 8 malam tadi.

    Salah seorang mangsa dikenali sebagai Mohamad Afiq Karim, 25, manakala seorang lagi, seorang penumpang lelaki dewasa, masih belum dikenal pasti, menurut Komander Pasukan Keluaran Operasi Affendi Mustafar.

    Katanya, mangsa yang tersepit dalam Proton Satria dinaiki terpaksa dikeluarkan menggunakan peralatan khas.

    “Kedua-duanya disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian dan mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya lapor Harian Metro.

    Sementara itu, katanya, pemandu lori dikenali sebagai Muhammad Hishamuddin Hussin, 23 tahun cedera manakala empat penumpangnya selamat.

    Katanya, pemandu sebuah lagi kenderaan terbabit, sebuah Perodua Kembara, dikenali sebagai Mohd Talib Ramli, 56, turut mengalami kecederaan.

    “Mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom untuk rawatan lanjut,” katanya yang memaklumkan operasi tamat pada 9.08 malam.

  • Suami isteri maut motosikal terbabas

    Suami isteri maut motosikal terbabas

    SEPASANG suami isteri maut setelah motosikal yang ditunggangi mereka terbabas di Jalan Banting- Dengkil awal pagi semalam.

    Ketua Polis Daerah Kuala Langat Supt Ahmad Ridhwan Mohd Nor @ Saleh berkata dalam kejadian pada kira-kira 6 pagi itu, motosikal ditunggangi pasangan muda yang dalam perjalanan dari arah Dengkil menghala ke arah Banting dipercayai telah hilang kawalan dan terbabas ke kiri jalan sebelum melanggar papan tanda amaran di bahu kiri jalan.

    “Penunggang motosikal iaitu lelaki berumur 21 tahun manakala pembonceng perempuan berumur 16 tahun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Katanya kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan mayat dibawa ke Hospital Banting untuk bedah siasat.

    Saksi kejadian atau individu yang mempunyai maklumat mengenai kemalangan tersebut diminta menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau Pegawai Penyiasat Trafik, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat Inspektor Fatin Husna Khairuzzaman di talian 017-3012621 atau 03-31872222.

    — BERNAMA

  • Pelajar MRSM maut, ibu cedera parah dalam kemalangan

    Pelajar MRSM maut, ibu cedera parah dalam kemalangan

    SEORANG pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Muadzam Shah, Pahang maut manakala ibunya cedera parah dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Kilometer 40 Jalan Seremban-Tampin berhampiran Rumah Rakyat Kendong, Rembau semalam.

    Ketua Polis Daerah Rembau DSP Hazri Mohamad berkata dalam kejadian pada 9.20 malam itu, mangsa  Shazman Sabarudin, 16, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian selepas mengalami kecederaan parah di kepala.

    Beliau berkata ibu mangsa, Husnirazulia Mohd Yudin, 47, yang juga mengalami kecederaan parah kini menerima rawatan di zon merah, Hospital Tampin.

    “Kemalangan membabitkan dua kenderaan iaitu kereta jenis Perodua Axia yang dipandu lelaki berusia 24 tahun yang dinaiki kedua-dua mangsa tersebut dan kereta Proton Saga dinaiki lima individu,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

    Menurutnya berdasarkan siasatan awal terdapat kerja-kerja penurapan jalan dari arah Tampin menghala ke Rembau di lokasi kejadian dan keadaan jalan lurus tetapi tidak rata, tidak berturap, berbatu halus serta mempunyai satu lorong sehala.

    Hazri berkata kereta Perodua Axia yang dipandu dari arah Tampin menghala ke Rembau itu dipercayai hilang kawalan disebabkan permukaan jalan tidak berturap serta tidak rata, sebelum berpusing dan masuk ke laluan Proton Saga yang datang dari arah bertentangan.

    “Akibat kejadian itu juga, pemandu kereta Perodua Axia serta lima individu menaiki Proton Saga mengalami kecederaan termasuk patah kaki dan dirawat di zon kuning hospital sama,” katanya.

    Katanya mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Rembau untuk bedah siasat pada pagi tadi dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

    — BERNAMA

  • [VIDEO] 2 lelaki maut dilanggar lori semasa tukar tayar

    [VIDEO] 2 lelaki maut dilanggar lori semasa tukar tayar

    DUA lelaki maut termasuk seorang penyelia Kementerian Kesihatan yang bertugas di Seremban, Negeri Sembilan selepas dilanggar sebuah lori dalam kemalangan di Kilometer 11.5 Jalan Kuala Selangor-Kuala Lumpur sekitar 4 petang semalam.

    Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Supt Ramli Kasa berkata, siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila pemandu lori yang menghala ke Kuala Lumpur itu melihat orang ramai termasuk dua mangsa tersebut berada di bahu jalan kerana terdapat sebuah kereta pancit.

    “Susulan itu pemandu lori berkenaan telah cuba mengelak daripada melanggar mereka dengan melorongkan lorinya ke lorong kanan jalan namun dalam keadaan titik buta, dia tidak menyedari sebuah kereta Mercedez datang dari arah belakang.

    “Seterusnya pemandu lori itu cuba untuk mengelak kereta tersebut lalu melanggar kedua-dua mangsa yang berada di bahu jalan itu. Akibat daripada perlanggaran itu, mangsa yang berusia 55 dan 40 tahun berkenaan mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    https://www.tiktok.com/@majoritiofficial/video/7104864050281975067?is_copy_url=1&is_from_webapp=v1&q=langgar%20lori%20tukar%20tayar&t=1654230335827

    Ramli berkata, kedua-dua mangsa telah dibawa ke Hospital Tanjung Karang untuk bedah siasat dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – BERNAMA