Category: Kemalangan / Bencana

  • Konvoi motosikal:Dua wanita maut terperosok bawah treler

    Konvoi motosikal:Dua wanita maut terperosok bawah treler

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    DUA wanita maut selepas motosikal yang ditunggang mereka secara berasingan semasa berkonvoi terbabas dan merempuh treler di laluan bertentangan di Jalan Gunung Pulai, Kulai kira-kira pukul 11.30 pagi tadi.

    Kemalangan tersebut membabitkan tiga kenderaan iaitu treler Volvo dan motosikal Y15ZR serta Y16ZR yang ditunggang Suria Othman, 36 tahun dan seorang lagi wanita berusia 38 tahun.

    Seorang lagi wanita berusia 38 tahun cedera parah dan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim, Kulai. – Foto ihsan bomba Johor

    Pemangku Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Yusof Othman berkata, siasatan mendapati kedua-dua motosikal hilang kawalan di selekoh Jalan Gunung Pulai dan terbabas sebelum merempuh sebuah treler di laluan bertentangan.

    “Kejadian berlaku ketika cuaca hujan dan permukaan jalan licin. Mangsa berusia 36 tahun mengalami kecederaan parah dan meninggal dunia di lokasi kejadian.

    “Seorang lagi mangsa iaitu wanita berusia 38 tahun meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim, Kulai,” katanya dalam satu kenyataan di Kulai.

    Hilang kawalan sebelum jatuh dan terpesorok bawah lori – Foto media sosial

    Katanya, pemandu treler berusia 39 tahun itu pula tidak mengalami sebarang kecederaan.

    Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kulai, Pegawai Bomba Kanan II Mohd. Firdaus Juritah berkata, enam anggota dibantu sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS) dikejarkan ke tempat kejadian.

    Dua motosikal yang ditunggangi dua wanita terbabit kemalangan maut di Jalan Gunung Pulai, di Kulai. – Foto tangkap layar video tular

    “Seorang penunggang motosikal wanita berusia 36 tahun tersepit bawah lori dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang hadir.

    “Pihak bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit dengan menggunakan peralatan khas. Mayat diserahkan kepada pihak polis dan operasi selesai pada pukul 12.38 tengah hari,” katanya.

    Dua wanita yang maut dalam kemalangan tersebut dikatakan sedang berkonvoi. – Foto media sosial

    Terdahulu, tular dalam media sosial sebuah video berdurasi 31 saat memaparkan dua motosikal terbabit terbabas ketika melalui selekoh jalan dalam cuaca hujan.

  • Sudah 5 hari pesara guru meninggal

    Sudah 5 hari pesara guru meninggal

    SEORANG pesara guru dipercayai sudah lima hari meninggal dunia sebelum mayatnya ditemukakan tengah malam tadi.

    Mayat Mustaffa Abdul Ghani, 67, ditemukan di rumahnya di Taman Chukai, dekat Kemaman, dalam keadaan terbaring di bilik tidur selepas pintu kediamannya dipecahkan anggota polis, pukul 12 tengah malam.

    Rakan, Mohammad Sabrin Hassan, 51, berkata, dia pelik selepas gagal menghubungi Mustaffa sejak beberapa hari lalu.

    “Kali terakhir saya hubungi dia minggu lepas dan mangsa memberitahu dia demam, batuk dan mahu berehat di rumah.

    “Selepas itu, saya menghubunginya beberapa kali lagi, namun gagal dan pelik dengan keadaan itu. Saya ajak rakan ke kediamannya malam tadi untuk menyiasat,” katanya ketika ditemui hari ini.

    Katanya, sebaik sampai di rumah pesara guru itu, dia mendapati pintu berkunci dan beberapa kali memanggil nama rakannya, namun tiada sahutan.

    Menurutnya, bimbang akan keselamatan Mustaffa, dia segera menghubungi pihak polis memaklumkan perkara itu.

    “Selepas berjaya masuk ke kediamannya, saya sangat sedih apabila polis memaklumkan dia sudah meninggal,” katanya.

    Mohammad Sabrin berkata, Mustaffa tinggal bersendirian di rumah itu, manakala isterinya ketika itu berada di Kuala Terengganu.

    Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan ketika dihubungi, mengesahkan kejadian itu.

    Pihak polis katanya, terpaksa meminta bantuan anggota bomba untuk memecah pintu kediaman Mustaffa yang berkunci sebelum menemukan pesara guru itu dalam keadaan berselimut.

    “Berdasarkan keadaan mayat, polis percaya dia telah meninggal dunia sekitar empat hingga lima hari lalu.

    “Siasatan lanjut tidak menemukan sebarang unsur jenayah dan kes itu diklasifikan sebagai mati mengejut,” katanya, lapor Berita Harian.

    Hanyan berkata, mayat dibawa ke Bilik Forensik Hospital Kemaman untuk siasatan lanjut.

  • Suami isteri maut, 2 anak parah nahas di LPT2

    Suami isteri maut, 2 anak parah nahas di LPT2

    PASANGAN suami isteri maut manakala dua anak mereka parah selepas kereta dinaiki mereka terbabas dan terbalik di Kilometer 267.2, berhampiran susur keluar Jabor dekat Kemaman, di Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2), hari ini.

    Dalam kejadian kira-kira 4 petang itu, Mohd Riduan Mohd Yaacob, 35, dan isterinya, Zahidah Hanisah Mohamad, 35, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan.

    Dua kanak-kanak dipercayai anak pasangan berkenaan iaitu Muhammad Uwais Wafiuddin, 8, dan Raudhatul Khayra, 3, pula dilaporkan mengalami kecederaan parah.

    Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu, berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada pukul 4.14 petang sebelum lapan anggota dengan dua buah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Cheneh digerakkan ke lokasi.

    “Tiada kenderaan lain yang terbabit dalam kemalangan itu dan punca sebenar kemalangan masih dalam siasatan pihak berkuasa.

    “Mayat mangsa telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut manakala dua kanak-kanak tersebut masing-masing telah dibawa ke Hospital Kemaman dan Hospital Kuantan untuk diberi rawatan,” katanya ketika dihubungi di Kuala Terenganu, hari ini.

    Menurutnya, operasi JBPM masih diteruskan untuk kerja-kerja pembersihan di lokasi kemalangan.

  • Lelaki warga AS cedera, jatuh di air terjun Rimba Kanching

    Lelaki warga AS cedera, jatuh di air terjun Rimba Kanching

    SEORANG lelaki warga Amerika Syarikat cedera akibat terjatuh ketika mandi di air terjun Rimba Kanching di Rawang hari ini.

    Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor, Mohamadul Ehsan Mohd. Zain berkata, pihaknya menerima panggilan berkaitan kejadian pada pukul 11.16 pagi.

    Susulan itu katanya, seramai tujuh pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Rawang dikejarkan ke lokasi kejadian dan tiba pada pukul 11.40 pagi.

    “Mangsa berumur lingkungan 29 tahun dipercayai terjatuh ketika mandi di lokasi kejadian

    “Mangsa mengalami kecederaan di bahagian pinggang menerusi pemeriksaan awal yang dijalankan.

    “Mangsa kemudian dibawa turun oleh anggota bomba terlibat untuk rawatan selanjutnya,” katanya menerusi kenyataan hari ini, lapor Sinar Harian.

  • Seorang maut insiden bot bertembung di Pulau Perhentian

    Seorang maut insiden bot bertembung di Pulau Perhentian

    SEORANG kru bot nelayan maut manakala dua penumpang cedera parah dalam insiden dua bot bertembung di perairan Pulau Perhentian dekat Jertih kira-kira pukul 8.15 pagi tadi.

    Mangsa, Rahmat Mat Ariffin, 43, dari Kampung Nail, Kuala Besut disahkan meninggal dunia sebaik tiba di Klinik Kesihatan Pulau Perhentian.

    Pemangku Ketua Polis Daerah Besut, Deputi Superintenden Azrol Anuar Nor berkata, nahas itu membabitkan sebuah bot nelayan yang membawa tiga kru serta 10 penumpang dan sebuah bot pelancong yang dinaiki dua kru serta 10 penumpang.

    “Kemalangan dikatakan berlaku ketika bot pelancong dari Pasir Panjang di Pulau Perhentian Kecil (yang dalam perjalanan) ke jeti sebuah pusat peranginan di Pulau Perhentian Besar melanggar bot nelayan yang menjalankan aktiviti sewaan mencandat sotong (yang dalam perjalanan) ke jeti kampung Pulau Perhentian.

    “Akibat pelanggaran tersebut, bot nelayan bocor dan tenggelam manakala seorang kru meninggal dunia akibat kecederaan parah yang dialaminya, dua penumpang cedera parah dan seorang cedera ringan,” katanya dalam satu kenyataan.

    Azrol berkata, bot pelancong jenis gentian kaca hanya mengalami kerosakan kecil manakala semua kru serta penumpang termasuk tiga warga asing dan dua kanak-kanak tidak mengalami kecederaan.

    Beliau berkata, mangsa yang maut dan cedera dibawa ke Klinik Kesihatan Pulau Perhentian oleh bot orang awam sebelum dihantar ke Hospital Besut menggunakan bot Pasukan Polis Marin dan bot ambulans Klinik Kesihatan Pulau Perhentian.

    “Kejadian ini telah dirujuk kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia untuk siasatan lanjut.

    “Polis menasihati semua pengusaha dan pemandu bot agar mematuhi peraturan yang ditetapkan semasa berada di perairan seperti memastikan bot dalam keadaan baik serta sentiasa mematuhi peraturan lain yang ditetapkan termasuk memastikan semua kru dan penumpang memakai jaket keselamatan,” katanya.

  • Wanita maut kereta dipandu terhumban dalam gaung

    Wanita maut kereta dipandu terhumban dalam gaung

    SEORANG wanita maut selepas kereta yang dipandu terhumban ke dalam gaung sedalam 15 meter di Jalan Lubuk Yu dekat Sungai Jering, di Maran, hari ini.

    Pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada pukul 11.34 pagi dan seramai enam anggota termasuk pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Jengka dikejarkan ke lokasi kejadian.

    Pegawai Perhubungan Awam, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, mangsa yang memandu kereta Toyota Rush dipercayai terbabas sebelum terjatuh ke dalam gaung sedalam 15 meter, hingga ke sungai berdekatan.

    Orang ramai berjaya mengeluarkan mangsa sebelum ketibaan pasukan bomba. – Foto JBPM

    “Orang ramai berjaya mengeluarkan mangsa sebelum ketibaan pasukan bomba dan pasukan bomba menggunakan tali dan pengusung untuk menaikkan mangsa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini, lapor Astro Awani.

    Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh petugas kesihatan. – Foto JBPM

    Katanya, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh petugas kesihatan, dan mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

  • Mayat wanita tanpa kepala, tangan dipercayai dibaham buaya

    Mayat wanita tanpa kepala, tangan dipercayai dibaham buaya

    MAYAT wanita tanpa kepala dan kedua-dua tangan ditemui di Sungai Kampung Sapat, Papar, Sabah, Khamis lalu dipercayai akibat dibaham buaya.

    Ketua Polis Papar, Deputi Superintendan Kamaruddin Ambo Sakka, berkata keadaan anggota badan tidak sempurna turut menyukarkan proses mengenal pasti identiti mangsa.

    “Setakat ini, kita belum dapat kenal pasti sepenuhnya identiti mangsa kerana keadaan yang tidak sempurna.

    “Kepala tiada, kedua belah tangan tiada serta kaki kirinya juga tiada, jadi memang tidak dapat cam identiti mangsa.

    “Dipercayai kehilangan anggota badan mangsa disebabkan dibaham buaya,” katanya menurut Sinar Harian.

    Khamis lalu, akhbar itu melaporkan mayat dianggarkan berusia 30 hingga 40 tahun ditemui terapung dan tersangkut pada ranting pokok kayu di tepi sungai terbabit.

    Mayat itu ditemui dalam keadaan tidak berbaju dan hanya tinggal kaki kanan, iaitu bahagian paha ke paras lutut dengan selebihnya hilang.

    Polis sebelum ini meminta orang ramai yang kehilangan ahli keluarga atau rakan tampil ke IPD Papar untuk pengecaman mayat.

  • Pemandu dan kelindan maut, lori alami masalah brek

    Pemandu dan kelindan maut, lori alami masalah brek

    SEORANG pemandu lori dan kelindannya maut selepas kenderaan yang dinaiki mereka hilang kawalan sebelum melanggar penghadang jalan di Bukit Tangga, Jalan Seremban- Kuala Klawang di Jelebu, pukul 5.15 petang semalam.

    Ketua Polis Daerah Jelebu, Deputi Superintenden Maslan Udin berkata, nahas itu membabitkan sebuah lori tanpa muatan dipandu lelaki tempatan berusia 50-an bersama dua kelindan warga Bangladesh dari arah Seremban menuju Kuala Klawang, Jelebu.

    “Sebaik sampai jalan menurun di Bukit Tangga pemandu berkenaan hilang kawalan dipercayai mengalami masalah brek dan terbabas melanggar penghadang jalan di tepi bukit.

    “Akibat kemalangan tersebut pemandu dan seorang kelindannya berusia 30-an mengalami kecederaan parah dan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Ujarnya, seorang lagi kelindan terselamat telah dibawa ke Hospital Jelebu untuk rawatan lanjut.

    Katanya, bedah siasat terhadap dua mangsa maut akan dijalankan pada hari ini (Sabtu) di Hospital Jelebu.

    Menurutnya, siasatan lanjut masih dijalankan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

    “Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta tampil menyalurkannya di balai polis berhampiran atau menghubungi pegawai Bahagian Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis daerah (IPD) Jelebu SM Baharuddin Jamil di talian 010- 7706864,” katanya, lapor Sinar Harian.

  • Remaja hilang ditemukan lemas di Air Terjun Chamang

    Remaja hilang ditemukan lemas di Air Terjun Chamang

    REMAJA lelaki yang dilaporkan hilang semasa mandi di Air Terjun Chamang, Bentong semalam ditemukan lemas hari ini.

    Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang berkata mayat Muhamad Akmal Husni Mohamad Ridzuan, 19, ditemukan pada 9.52 pagi oleh anggota Pasukan Penyelamat di Air (PPDA), kira-kira lima kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan terjatuh.

    “Mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi di Kuantan hari ini.

    Media semalam melaporkan mangsa yang merupakan pelajar pondok di Perak difahamkan menyertai aktiviti perkhemahan di kawasan air terjun itu bersama 14 pelajar selama empat hari bermula Rabu.

  • Rakaman CCTV kemalangan maut di SUKE dihantar ke makmal forensik

    Rakaman CCTV kemalangan maut di SUKE dihantar ke makmal forensik

    RAKAMAN kamera litar tertutup (CCTV) mengenai kejadian kemalangan melibatkan seorang penunggang motosikal berkuasa tinggi di Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) pada Rabu, telah diteliti dan dihantar ke makmal forensik untuk dianalisis.

    Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Mohd Azam Ismail berkata setakat ini, tiada tangkapan dilakukan pihaknya berhubung kes itu.

    “Bedah siasat terhadap mangsa telah selesai dijalankan di Hospital Ampang semalam dan sebab kematian ialah kecederaan yang pelbagai akibat kemalangan jalan raya. Jenazah mangsa telah diserahkan kepada waris, pada hari yang sama selesai bedah siasat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Dalam kejadian tengah hari kelmarin, mangsa Ahmad Fadzil Omar Azaddin, 64, meninggal dunia selepas terjatuh dari jejambat lebuh raya berkenaan dengan ketinggian 30 meter, akibat mengelak daripada melanggar sebuah motosikal yang melawan arus.

    Allahyarham yang menunggang motosikal jenis Ducati Panigale, maut di lokasi kejadian dan rakaman CCTV kejadian berkenaan tular menerusi media sosial sejak kelmarin.

    Mohd Azam meminta saksi kejadian, untuk tampil menyalurkan maklumat bagi membantu siasatan di balai polis berhampiran atau berhubung terus dengan Pegawai Penyiasat Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya Insp Muhamad Yusaiful Muhamat Basir di talian 011-1307 8348.